Mac 2008


Apabila Pak Lah Badawi jadi Menteri Pelajaran beliau mengistiharkan Skim Gaji guru kepada dua kategori,  Guru Siswazah dan Guru Bukan Siswazah. Ketika sebelum itu aku dalam kategori T1 (Lepasan Diploma Sains dengan Pendidikan dari UPM dan UTM).  Kategori T1 masuk dalam kumpulan Bukan Siswazah

Hajat dihati ketika itu rasa nak jadi pemimpin di sekolah, tetapi sistem dua kategori gaji itu tidak mengizinkan aku jadi Guru Besar jauh sekali nak jadi Pengetua.  Sebab T1 ketika itu tidak dilantik menjadi GB. Beberapa tahun kemudian barulah kawan-kawan lepasan Dip. Sains dengan Pendidikan dilantik jadi GB.

Pada ketika yang sama UPM menerima guru lepasan Maktab Perguruan yang mempunyai pengalaman mengajar lima tahun untuk membuat ijazah TESL dan PBMP. Aku sebagai lepasan UPM pergi menemuai Dekan FSAS (Prof. Badri Muhamad) dan Dekan FPP (Prof. Atan Long).  Kedua-duanya menasihati aku agar isi borang UPU dan beri tahu kawan-kawan yang lain agar isi borang juga.  Mereka kata insya Allah, UPM akan terima anak-anak didik mereka.  Pandailah kami aturkan supaya ex-Dip akan boleh buat ijazah.

Bulan Jun 83 aku jadi mahasitua semula di UPM. Ex-Dip boleh tamatkan pengajian dalam masa 2 tahun setengah (5 semester) sebab boleh pindah kredit.  Akhir Disember 85 aku pun tamat pengajian dan mula bertugas semula sebagai guru di sekolah dahulu, awal Januari 86. Kawan-kawan lama aku di sekolah itu memang kenal aku, tahu kebolehan aku. Pengetua baru pun kenal aku melalui penerangan daripada rakan-rakan beliau yang juga rakan-rakan aku.  Aku buat kerja apa yang pengetua minta.  Aku mengajar seperti biasa. 

Belajar jadi Pentadbir

Awal 87 aku dilantik jadi waden asrama. Aku pindah ke rumah guru dalam kawasan sekolah.  Aku tunjuk kemampuan tadbir asrama bersama-sama pengetua. GPK HEM tinggal diluar jadi banyak urusan aku buat terus dengan Pengetua terutama waktu malam sebab pengetua juga tinggal di rumah guru. Program untuk mendidik penghuni asrama aku cadangkan, dipersetujui oleh pengetua dan aku laksanakan. Program itu berjaya selepas lima tahun setelah pengetua yang sama-sama merangka program sudah bertukar. Pengetua baru tak tahu rasional program itu. Ada pula dikalangan guru yang dengki dan irihati kerana jaga asrama masa itu dah mudah, penghuni lelaki dan perempuan mudah ikut perintah, kes disiplin sangat kurang.  Ramai hendak jadi waden.  Aku difitnah, akibatnya aku ditukarkan keluar daripada Lipis.

Satu tahun tujuh bulan sahaja diluar daerah. Aku mohon tukar balik ke Lipis.  Dengan pertolongan kawan-kawan di JPN Pahang dan Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang (Dia adalah guru aku dulu) aku dapat pindah ke sekolah menengah di Felda dalam daerah Lipis. Aku berhajat nak mengajar lima tahun di sekolah itu tetapi selepas dua tahun dah ditukarkan.

Di sekolah Felda itulah aku secara rasminya mula menjadi pentadbir sekolah.  Hari pertama semasa melapor diri kepada pengetua aku diberi tahu oleh pengetua tentang cadangan beliau bersama-sama PPD untuk melantik aku sebagai GPK1.  Mereka berdua dah bersetuju tunggu persetujuan daripada aku sahaja.

Mengingat kembali fitnah yang pernah dilemparkan kepada aku dua tahun lalu aku perlu berhati-hati sebelum menerima jawatan GPK1. Aku tak mahu kedatangan aku ke sekolah felda itu dan menjadi GPK1 akan mengakibatkan ada guru yang lama kecil hati atau sakit hati. Untuk kepastian sementara aku tanya pengetua. Pertama tentang guru-guru senior disitu. Pengetua kata ada seorang, iaitu GPK HEM, tetapi dia memang tak nak jadi GPK1. Selain dari itu ada seorang lagi GPK Koko juga tak nak jadi GPK1 (beliau adalah kawan aku yang aku kenal sejak dahulu, aku yang hantar dia ke UKM melapor diri masa hendak buat ijazah). Guru-guru yang lain adalah sangat junior belum pun sah dalam jawatan. Kedua, sejauhmana pengetua kenal saya.  Beliau kata dah kenal perihal diri saya dari seorang kawan saya hanya beliau tak kenal dirinya sahaja. Kawan saya itu telah cerita semua kisah saya di sekolah lama dahulu. Sebenarnya kami berkawan memenjak kecil lagi.  Ketiga, adakah beliau yakin kepada kebolehan saya dan kesetiaan saya buat kerja tadbir sekolah.  Beliau kata yakin 110% dan PPD dah kata saya ada potensi jadi pentadbir yang baik.  Selepas itu aku tak tanya lagi sebaliknya aku terima sahaja tawaran itu.  Esoknya aku mula menjalankan tugas GPK1 walaupun surat belum diterima dari JPN Pahang. 

Aku belajar dari Pengetua cara mengurus kurikulum dan juga kewangan sekolah.  Sambil itu aku mengajar Biologi di tingkatan 4 dan 5 serta Sains Teras tingkatan lima. Aku berulang alik sejauh 29 km dari rumah sendiri yang baru siap dibina.  Aku gembira bertugas di sekolah felda itu sebab antara guru yang mengajar disitu terdapat bekas murid aku bersama-sama menjadi guru.  Di gugusan felda itu juga terdapat ramai saudara aku.  Aku luangkan masa untuk berkunjung kerumah mereka. Mereka gembira dan bangga kerana ada saudara mereka jadi GPK1.  Aku juga meluangkan masa ke masjid felda sebab aku amat kenal tuan imam dan tok siak masjid. Akibatnya aku diminta memberi tazkirah di masjid itu.  Di sekolah aku mengambil peluang berkongsi kemahiran aku bersama-sama guru-guru muda.  Mereka agak hormat kepada aku.  Aku cuba memujuk hati mereka supaya aku akan lebih mudah bekerja dengan mereka dengan memberi sokongan kepada pengetua. 

Anak murid pula, ramai yang baik perangainya.  Adalah lebih kurang 10% yang nakal, yang ada kes.  Aku juga belajar dari pengetua cara menangani disiplin murid felda.  Aku menghadiri mesyuarat felda, berkenalan dengan ahli JKKKR yang dipengerusikan oleh Pengurus Felda.  Aku pelajari cara pentadbiran mereka, apa peluang sekolah dapat bantuan dari mereka dan bagaimana memudahkan urusan kerja sama sekolah dengan felda.  Aku bincang strategi untuk kemajuan sekolah dengan pengetua.  Aku bagi idea pada pengetua.  Pengetua yang lebih berpengaruh dengan felda (Dia Ustaz boleh beri kuliah di surau-surau dan masjid) dapat menyampaikan idea kepada pentadbiran felda bagai mana memajukan pendidikan di gugusan felda itu. Cukup dahulu entri kali ini insya Allah akan datang perbincangan tentang kerja baru aku sebagai penanggung kerja Pengetua.

Beliau adalah pengetua yang muda. Pernah bertugas bersama-sama saya di sekolah dimana saya mengajar sekarang, pada awal tahun 90an dahulu. Beliau mengikuti pengajian sejarah diperingkat ijazah pertama dan membuat pengkhususan dalam bidang pentadbiran pendidikan diperingkat Ijazah Sarjana.

Sekolah ini merupakan sekolah kedua beliau menjadi pengetua. Di sekolah pertama dahulu ramai yang mengatakan bahawa beliau adalah pengetua yang hebat. Apabila sampai ke sekolah ini kehebatan beliau tidak terserlah.  Di sekolah dahulu beliau mempunyai pasukan kerja yang mantap.  Bila sudah pecah kongsi (dia bertukar) rupanya kekuatan itu tidak terjalin di sekolah ini.

Beliau tidak suka dibandingkan atau dikaitkan dengan pengetua sebelumnya. Lantaran itu sebaik sahaja beliau sempai ke sekolah ini beliau terus mengubah visi dan misi sekolah tetapi tidak pula mengubah perancangan strategik untuk mencapai visi dan misi beliau yang baru.  Beliau hanya buat perubahan dari segi bentuk tetapi bukan dari segi content atau kandungannya.

Beliau kelihatan kurang wibawa dalam membuat keputusan. Banyak arahan dan keputusan dibuat berdasarkan kehendak GPK1.  Ini menunjukkan beliau tidak berani membuat keputusan sendiri.  Satu tabiat bias yang jelas ialah beliau sukar menerima pandangan guru-guru lain kecuali GPK1.  Arahan dan dasar yang dibuat selalunya tidak konsisten, sentiasa berubah dan sukar dilaksanakan oleh para guru.  Lebih malang lagi ada arahan yang beliau buat, beliau sendiri yang langgar.  Sebagai contoh; beliau meminta para guru mesti mengawal kelas dengan baik dan jangan mengajar sambil duduk.  Dalam dua arahan ini beliau sendiri yang tidak patuh.  Pernah dijumpai oleh beberapa orang guru bahawa kelas yang beliau ajar bising dan menggangu P&P kelas yang berjiran.  Beliau juga pernah dilihat oleh beberapa orang guru duduk dan tertidur dalam kelas waktu mengajar.

Contoh bahawa beliau tidak konsisten dengan pelaksanaan dasar yang dia buat adalah berkait dengan disiplin murid.  Pada awal tahun beliau bersikap tegas tentang disiplin murid seperti pemakaian unifom sekolah yang lengkap, tetapi dipertengahan tahun pelaksanaannya nampak longgar dan pada akhir tahun beliau tidak kisah pun tentang murid yang pakai unifom lengkap atau tidak.  Sehingga ramai murid lelaki dan perempuan memakai selipar sahaja kesekolah.  Begitu jug dalam kes ponteng kelas dan ponteng sekolah, dimana diawal tahun beliau memberikan perhatian tetapi apabila akhir tahun beliau membiarkan keadaan tidak terkawal.  Malang juga bagi sekolah apabila kes-kes tertentu dirujuk kepada beliau, beliau tidak mengambil tindakan apa-apa walau pun dari siasatan yang dibuat murid berkenaan adalah bersalah.  Akibatnya di akhir tahun vendalism berlaku dikelas-kelas tingkatan tiga. (Kerusi, meja dan almari besi musnah)

Satu tindakan lucu yang diingati oleh ramai guru berlaku dihari akhir persekolahan sebelum Hari Raya Puasa.  Selepas program diambang takbir berakhir ramai guru berhasrat hendak balik kampung.  Pukul 12.00 tengahhari, pengerusi kelab guru pergi menemui beliau untuk meminta izin bagi sebahagian guru yang jauh untuk balik kampung.  Beliau tidak memberi keizinan dan beliau telah pergi kepondok jaga dekat pintu pagar utama sekolah untuk menutup pintu pagar.  Beliau duduk disitu sehingga pukul 2.40 petang.  Pada ketika yang sama semua murid sudah mula balik.  Beliau mengarahkan semua guru masuk kelas walau pun yang tinggal hanya meja dan kerusi sahaja.

Menyedari hal itu dilakukan oleh pengetua, ada beberapa orang guru keluar dari kawasan sekolah melalui dua pintu pagar yang lain.  Ini merupakan tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pengetua kerana keadaan itu mengundang rasa tidak puas hati dikalangan para guru. Selepas peristiwa itu ramai guru hilang rasa hormat kepada beliau.

Nasib baik beliau tidak lama mentadbir sekolah ini kerana diakhir tahun beliau bertukar ke sekolah lain.  Kini beliau sedang menjadi pengetua disebuah sekolah yang besar.  Beliau masih ada lebih dari 10 tahun untuk berkhidmat.  Sekiranya prestasi kerjanya baik mungkin beliau berpeluang untuk menapak kepangkat yang lebih tinggi.

Dengan berakhirnya Anakdot Pengetua 14 ini maka tamatlah sudah catatan tentang karenah 14 pengetua yang mana saya pernah berkhidmat dibawah tadbiran mereka.  Selepas ini saya akan menulis pula cacatan seorang pengetua kerana saya pernah menjadi pengetua di posting akan datang. Insya Allah.

Beliau adalah pengetua perempuan yang pertama, yang menjadi pengetua saya. Beliau adalah junior saya sebagai seorang guru.  Beliau mula bertugas di sekolah yang sama dengan saya sekitar tahun 1980.  Saya memang kenal benar perangai beliau. Beliau baik dengan isteri saya. Keluarganya adalah sahabat keluarga saya.

Waktu saya menjadi warden asrama dia juga adalah warden asrama puteri.  Satu tabiat yang masih kekal ialah apa yang dia kata mesti diikut, tak boleh bantah.  Masa dulu dia tiada kuasa, jadi apabila dirasionalkan pendapatnya yang tak berapa betul, dia terpaksa terima.  Kini dia sudah jadi pengetua sudah pastilah ideanya mesti diterima.  Kalau guru-guru tak nak buat apa yang dia perintahkan dia akan buat kerja itu sendiri.  Guru-guru yang baru pasti takut dan ngeri. Guru-guru yang lama ada yang buat tak tau sahaja. Maka guru baru akan jadi pak turut perintahnya.  Asal ada guru yang ikut katanya sudah memadai.

Beliau bersikap aggresif dalam banyak hal pengurusan sekolah.  Ramai guru yang takut kepada beliau.  Kadang-kadang kata-katanya agak sinis dan laser.  Guru perempuan memanggil beliau UMI.  Kalau UMI hendak sesuatu jangan bantah.  Kalau bantah dia akan celoteh panjang.

Dalam hubungan dengan murid, beliau sangat berlembut, nak guna psikologi.  Pendekatan ini boleh diguna kalau murid-murid jenis boleh berfikir dan ibubapa yang boleh dibawa berbincang. Tetapi pendekatan psikologi ini tidak sesuai bagi murid dan ibubapa yang hardcore, yang bodoh tak boleh diajar dan yang pandai tak boleh diikut.

Satu perangai tak baik yang beliau ada ialah beliau berlagak tahu dalam semua hal. Akibat dari sikap itu ramai guru yang hendak membuat sumbangan idea dan kerja kepada sekolah akan tersekat sekerat jalan sebab belum pun selesai sesuatu idea dibentang oleh guru tertentu beliau akan cantas idea guru itu dengan menyatakan pandangan beliau yang selalunya bertentangan dengan idea itu atau sudah membuat kesimpulan atau keputusan kepada kerja yang bakal dibuat. Akhirnya semua guru yang ada inovasi akan berhenti sekerat jalan.  Beliau bersikap sangat autokratik.  Sikap autokratik pentadbir akan mematikan inovasi dan kreativiti dikalangan para guru.

Rentetan dari keadaan bahawa beliau pandai dan mampu dalam semua hal mengakibatkan selalunya sekolah dibebankan oleh pihak PPD dan JPN untuk menjadi tuan rumah bagi program peringkat daerah atau negeri.  Hasilnya masa guru banyak tertimpu bagi menjayakan program daerah atau negeri yang menyebabkan proses P&P sekolah selalunya terganggu.

Fokus beliau yang banyak kepada kokurikulum dan pelaksanaannya tidak seimbang dengan kurikulum menyebabkan berlakunya ketempangan dalam urus tadbir kurikulum.  Keadaan ini menjadikan keputusan peperiksaan PMR dan SPM kurang memberangsangkan.  Sekolah akan tersenarai dibahagian bawah dalam senarai di PPD dan JPN.

Beliau juga jenis yang terpesona dengan pujian dan anugerah-anugerah.  Banyak juga tenaga ditumpukan kepada aspek ini. Dalam bidang keceriaan beliau berikan juga fokus terutama kalau ada pertandingan diperingkat daerah,  negeri  atau kebangsaan tetapi hasilnya tidak memberangsangkan.

Oleh kerana saya kembali ke sekolah tempat saya mula-mula mengajar untuk kali keempat (bertukar dari sekolah elit)  dan bertugas dibawah pentadbiran beliau serta saya lebih senior dalam pengalaman dan umur, nampaknya apa-apa perkara yang saya tegur sedikit sebanyak beliau dengar juga. Terutama perkara yang berkait dengan kurikulum dan kebajikan para guru.

Beliau sangat mengambil berat hal-hal yang berkait dengan amalan agama sama ada dikalangan guru atau murid tetapi beliau tiada pelapis untuk melaksanakan perkara ini seperti yang beliau inginkan. Sikap tahu dalam semua hal yang ada pada beliau mematikan perkembangan sumbangan para guru untuk sekolah dan murid.

Beliau kini sudah bertukar menjadi pengetua di SMKA.  Perkhidmatan beliau masih panjang lagi.  Semoga beliau beroleh kejayaan dalam kerjayanya.  Sekian insya Allah bertemu empat hari dari sekarang bagi Anakdot Pengetua 14.  Saya terpaksa keluar station ada kerja yang sangat penting untuk negara.

Beliau adalah classmate saya masa diploma dahulu. Kami sama-sama membuat ijazah pada tahun dan universiti yang sama tetapi mengikuti bidang pengajian yang berbeza. Beliau membuat pengkhususan dalam bidang kimia manakala saya dalam disiplin biologi. Beliau memulakan kariernya sebagai guru di bandar besar, kemudian menjadi pensyarah di Maktab Perguruan sebelum bertugas di Kementerian Pelajaran. Sebelum beliau dilantik menjadi Pengetua di sekolah tempat saya bertugas, beliau berkhidmat di unit yang menjaga sekolah elit negara ini.

Beliau diutus untuk menjadi pengetua dengan tujuan menyelesaikan masalah pengurusan kewangan sekolah. Sebagai trouble shooter!!!  Itulah yang menjadikan beliau tidak lama jadi pengetua di sekolah tempat saya bertugas.  Beliau pun datang bujang (tak bawa keluarga bersama). Katanya isterinya tak dapat tukar bersamanya kerana tiada jawatan baginya disini (Jawatan di syarikat swasta).

Oleh kerana beliau belum pernah jadi pengetua maka pendekatan dalam pentadbiran beliau nampak celaru. Beliau tak tahu yang mana hendak diberi fokus, dan yang mana yang hendak diutamakan dahulu. Dalam keadaan begitu ada pula orang kiri kanan beliau yang cuba ambil kesempatan untuk tunjuk kuasa dan tunjuk hebat. Akibatnya berlaku krisis dalam pentadbiran asrama dimana semua warden letak jawatan. Satu cabaran bagi beliau untuk menyelesaikannya.  Dalam kes ini beliau dapat menyelesaikannya dengan cara beliau sendiri memujuk setiap warden agar meneruskan tugas mereka sehingga ke akhir tahun.

Beliau tak banyak fokus kepada peningkatan akademik kerana beliau tahu GPK 1 boleh buat kerjanya. Prinsip empowerment dilaksanakan didalam hal ini. Bagi pengurusan asrama dan hal ehwal murid beliau memberi perhatian agar peristiwa warden letak jawatan tidak berulang lagi (ini merupakan prioriti pengurusan beliau).  Dalam kokurikulum beliau menunjukkan teladan yang baik. Contohnya setiap hari rabu beliau akan memakai uniform pengakap yang lengkap dengan manik kayunya.  Beliau mengesa badan-badan beruniform di sekolah mengadakan perkemahan tahunan dimana beliau sendiri menyertainya sepenuh masa.

Semasa menjadi pengetua di sekolah ini beliau menunaikan fardhu haji. Oleh kerana nama beliau dan nama GPK1 sama dan kedua-duanya bertitle haji, jadi dalam beberapa keadaan terjadi kekeliruan bila hendak adress mereka berdua.  Beliau juga prihatin akan kebajikan rakan-rakan guru.  Seboleh mungkin beliau akan meraikan guru-guru seperti majlis perkahwinan para guru, beliau sanggup pergi meraikannya walau pun jauh.

Dibawah pentadbiran beliau peruntukan kewangan mudah diperolehi dari kementerian kerana beliau punyai ramai kenalan di KPM.  Beliau juga sering hilang dari sekolah kerana sibuk membantu urusan di kementerian atau mesyurat.  Keadaan ini membuatkan pekerja mengatakan bahawa pengetua ini seperti chips more, sekejap ada sekejap tiada.

Datang beliau adalah untuk selesaikan masalah kewangan sekolah, apabila masalah selesai maka bergeraklah beliau ketempat lain.  Kini beliau bertukar menjadi pengetua di sebuah sekolah elit di sabuah pulau dekat negeri di bawah bayu. Besara lambat lagi, tahun 2010.

Sekitar 12 Rabbi ul Awwal setiap tahun Hijrah kampung ku pasti mengadakan sambutan Maulidur Rasul (Unjuk rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW, semacam satu bentuk demonstrasai, satu budaya kita yang dibuat setiap tahun). Penghuni kampung ku majoritinya adalah cucu cicit Tok Linggi. Kami mendiami satu lembah yang dilingkungi oleh bukit bukau, membentuk seperti mangkuk yang merelong. Di tengah-tengah lembah yang merelong itu tertegak secara semula jadi satu bukit batu kapur diberi nama Gua Bama.

Dulu-dulu sambutan Maulidur Rasul biasanya dibuat di Surau Bukit Berangan. Surau itu dikelilingi oleh pondok-pondok kediaman orang-orang tua dan muda yang belajar ugama dari Tok Guru Bukit Berangan dan menantunya. Kini Tok Guru Bukit Berangan sudah tiada tapi suraunya masih ada sedang diperbaiki . Surau Bukit Berangan masih lagi makmur. Di makmurkan oleh anak-anak dan cucu Tok Guru Bukit Berangan.

Cara sambutan zaman Bukit Berangan dulu berlainan sedikit dari sekarang. Biasanya ada kenduri sekampung. Masak ketupat pulut. Ada berdikir maulud dan berzanji. Anak-anak muda ketika itu pandai bawa lagu yang menghiburkan sambil memuji Rasulullah. Aku pun ada belajar berdikir maulud dan membaca rawi. Masa itu aku baru keluar universiti. Aku dapat pujian dari menantu Tok Guru kerana lepas belajar universiti pun masih sanggup belajar berdikir maulud. Aku mencabar kedegilan anak-anak muda sekampung yang dah lesu dari belajar sesuatu yang berguna untuk budaya beragama. Selain berdikir maulud ada yang pandai berdikir rebana (kata sahabat ku Ustaz Hussin Ibrahim perkataan berdikir rebana datang dari perkataan zikru Rabbana). Generasi yang pandai berdikir rebana di kampung ku dah nak pupus dan tiada penerus.

Zaman ini sambutan Maulidur Rasul agak lebih ringkas, dibuat di masjid. Penduduk kampung berarak dari empat penjuru, dari Bukit Berangan, dari Kuala Sawa, dari Surau Kuning dan dari Carok Perian. Setiap kumpulan bawa sepanduk, sambil membaca selawat menuju ke masjid dengan perjalanan 10 minit. Di masjid diadakan pertandingan mewarna untuk murid tadika, menulis tulisan jawi untuk murid tahap satu dan murid tahap dua akan menjawikan tulisan rumi. Orang tua pula membaca rawi dan berselawat di dalam masjid sementara menunggu penceramah tiba.

Kalau acara sambutan hendak dipanjangkan mungkin pihak belia adakan pertandingan melaungkan azan. Kalau ada anak kampung yang lebih duit mereka akan sponser beli lembu atau kerbau untuk buat kenduri besar-besaran.

Memang kesepakatan dikampungku ini hebat, hingga tersohor keseluruh daerah dan negeri. Perayaan setahun sekali ini sebagai mekanisme menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah, meneruskan budaya yang positif serta melatih generasi muda untuk meneruskan budaya yang menaikkan syiar Islam. Hanya sentiasa diharapkan agar sambutan ini menjadi ibadat kepada yang melaksanakan dan bukan sekadar menjadi adat kebiasaan. Semoga sambutan ini mengikat terus silaturrahim dikalangan cucu cicit Tok Linggi, meningkatkan amal dan ilmu agar menjadi ibadat yang diredhai oleh Allah SWT serta membekalkan iktibar kepada semua.

Mengapa buat sambutan Maulidur Rasul?

Sambutan dibuat atas dasar kecintaan cucu cicit Tok Linggi kepada Rasulullah SAW. Wahai Rasulullah kami zahirkan kecintaan kami kepada mu, kerana dikaulah wahai Rasulullah, yang menyelamatkan kami dari kejahilan didunia, dikau juga yang menyelamatkan kami dari siksa barzah, dikau juga yang memberikan syafaat kepada kami di mahsyar dan dikau juga yang akan memimpin kami ke syorga.

Mengapa mesti cinta kepada Rasulullah?

Pertama, perintah dari Allah yang disebut dalam Quraan. Kalau kamu cinta Allah kamu mesti ikut Nabi, nak ikut Nabi mesti cinta kepada Nabi.  Kedua, Nabi sangat cinta kepada umatnya. Ketiga, cinta kepada Nabi adalah teras kepada pendidikan akhlak atau adab. “Berikan didikan kepada anak-anak mu dalam tiga perkara, iaitu cintakan Nabi, cinta kepada ahli keluarga dan belajar Al Quraan. Keempat, Cinta Nabi sebagai syarat kepada mendapat kesempurnaan iman. “Tidak sempurna iman seseorang sehingga Allah dan Rasulnya lebih dicintai berbanding dengan yang lain.” Kelima, Cinta kepada Nabi adalah syarat untuk mendapat kemanisan iman. Iaitu seronok dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, gembira mendirikan solat dan memberi sedekah. Keenam, Cinta kepada Nabi adalah jalan utama untuk ke syorga.

Oleh itu kalau cinta kepada Nabi, usahakanlah menghidupkan sunnah Nabi. Sunah utama yang ditinggalkan ialah berusaha mencari ilmu dan konsisten mendirikan solat berjemaah di masjid. Sekian untuk kali ini.

Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. 

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu sari teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan banyak menyebut nama Allah.” (al-Ahzab: 21)

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa kepada seorang lelaki antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan, adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (al-Ahzab: 40)

Rasulullah SAW merupakan contoh tauladan yang terbaik kepada manusia serta pembawa rahmat ke seluruh alam. Sunnah baginda sepatut menjadi ikutan seluruh umat manusia terutama umat Islam. Malangnya tidak ramai umat Islam yang memahami sunnah baginda malah sekiranya ada usaha untuk mengamalkan sunnah baginda terdapat dikalangan umat Islam sendiri yang memperkecilkan atau menghina usaha itu. Ini semua berlaku akibat kejahilan umat Islam sendiri. Risalah minggu ini akan menjelaskan sedikit kelebihan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.  

Abul-LaitsAssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Abdur Rahman berkata: Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) “Tiada seorang yang memberi salam kepada ku sesudah matiku, melainkan datanglah Malaikat Jibril memberitahu kepada ku: Ya Muhammad ini Fulan bin Fulan memberi salam pada mu, maka langsung saya menjawab: Wa alaihissalam.” 

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Saied bin Al Musayyab berkata: Umar r.a. berkata; “Saya mendapat khabar bahawa doa itu tertahan di antara langit dan bumi, tidak dapat naik sehingga dibacakan selawat kepada Rasulullah SAW.” 

Muhammad bin Al Munkadir dari Jabir bin Abdullah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda “Siapa yang membaca selawat pada ku (untukku) seratus kali sehari, maka Allah akan menyampaikan seratus hajatnya, tujuh puluh dari hajat akhirat dan tiga puluh hajat dunia.” 

Said bin Umair Al Ansari r.a. seorang yang ikut dalam perang Badr, berkata: Rasulullah SAW bersabda “Siapa membaca selawat untukku satu kali dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi selawat (rahmat) untuknya sepuluh, dan diangkat ke sepuluh tingkat dan diampunkan baginya sepuluh dosa” 

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi SAW bersabda, “Bacalah selawat untukku, sebab bacaan selawat itu membersihkan kekotoranmu (dosa-dosamu) dan mintalah kepada Allah untukku wasilah.” Apakah wasilah itu ya Rasulullah? Jawab baginda “Satu darajat yang tinggi dalam syorga yang tidak akan dicapai kecuali oleh seorang, dan saya berharap semoga sayalah orangnya.” 

Amr bin Dienaar dari Abu Jaafar berkata: Nabi SAW bersabda; “Siapa yang lupa membaca selawat kepada ku maka bererti ia telah keliru (tersesat) dari jalan ke syorga.” 

Oleh itu sempena menyambut Maulidur Rasul tahun 1429H ini marilah kita bertekad untuk membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW  sepanjang hayat kita. “Allah hum ma Salli ‘ala Sayyidina Muhhammad” Semoga dengan demikian kita akan memperoleh kelebihan dan rahmat yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW. Sekian.

Beliau anak Johor, tetapi selepas tamat ijazah di Universiti yang namanya sudah bertukar, beliau ditempatkan di sebuah sekolah elit ditebing sungai sebelah utara semenanjung. Bertugaslah beliau disitu, berumah tangga disitu sehingga menjadi GPK di sekolah itu. Kemudian beliau dipinjamkan ke sebuah Institusi latihan milik SEAMEO di negara ini. Tamat kontrak dengan SEAMEO beliau kembali ke sekolah elit ditebing sungai mengekalkan jawatan GPKnya.  Sampai masanya beliau bertugas sebagai pengetua di sebuah sekolah dekat kem tahanan ISA. Tiga tahun di sekolah itu kemudiannya dia yang ada insider di KPM telah ditempatkan menjadi pengetua tempat saya bertugas.

Beliau datang dengan hebat, ingin membawa perubahan. Setelah berbincang dengan GPK dan Guru Kanan beliau mencadangkan Visi dan Misi sekolah yang ada diubah dengan segera. Beliau menitahkan pekerja membuat pruning (pangkasan) terhadap pokok-pokok perhiasan yang ada.  Antara yang minta dipangkas segera ialah pokok Rhu.  Beliau kata nanti dahannya akan bertunas baru. Ada pekerja yang menasihati beliau bahawa pokok rhu tidak akan bertunas. Beliau berkeras juga.  Akhirnya pokok rhu yang dipangkas itu mati. Pekerja sekolah akhirnya mentertawakan beliau.

Waktu beliau melapur diri di sekolah tempat saya bertugas itu, keputusan PMR baru keluar. Takdirnya keputusan PMR sekolah dalam kelompok sekolah elit negara agak tak berapa baik. Beliau mula mengutuk pentadbiran sebelumnya dan juga para guru. Setiap kali mesyuarat guru, kami disindir dan dikata.  Ramai guru resah, hanya yang mampu dibuat adalah berdoa agar keputusan SPM dapat mengubat hati-hati yang terluka.

Apabila keputusan SPM keluar, kami berasa sangat lega kerana GPS sekolah meningkat mengatasi banyak sekolah elit negara. Oleh kerana budaya kumpulan sekolah elit ini mengeluarkan rangking pencapaian setiap sekolah mengikut mata pelajaran maka dapatlah kami membandingkan kebolehan sekolah kami dengan kehebatan sekolah elit ditebing sungai itu. Bila dibandingkan rupanya pencapaian sekolah kami mengatasi kebolehan sekolah elit ditebing sungai itu. Ada guru yang mempamirkan susunan rangking itu berhampiran bilik pengetua sambil menandakan pencapaian sekolah berbanding dengan sekolah elit ditebing sungai itu. Selepas itu beliau tak berani lagi mengecilkan kebolehan kami.

Satu tabiat lucu beliau ialah beliau tak suka warna hijau. Biasanya setiap sekolah akan ada rumah sukan berwarna hijau.  Oleh kerana asrama sekolah elit diseluruh negara mengikut sistem rumah, maka warna selimut disetiap bilik asrama akan mengikut warna rumah. Warna hijau tak boleh (phobia) jadi bendera dan selimut yang sepatutnya warna hijau ditukar menjadi warna putih.  Kalau dah angkat bendera putih awal-awal lagi tak perlulah bertanding dalam sukan. Beliau seorang guru fizik, tak faham tentang warna primer dan warna sekunder. Sedangkan warna hijau adalah warna primer.

Satu lagi tabiat buruk beliau ialah dengki kepada guru yang mendapat taraf guru cemerlang (GC). Ini adalah disebabkan GC sama taraf dengan beliau. Satu ketika dihadapan YDP PIBG beliau menyebut bahawa beliau nak perah GC yang ada di sekolah ini.  Takdirnya seorang GC ada bersama-sama waktu itu. GC tersebut dengan nada yang kuat mengatakan bahawa GC bukan isi kelapa yang boleh diramas atau diperah.  Selepas peristiwa itu beliau selalu buat hal dengan GC berkenaan.

Beliau suka menunjukkan kehebatannya dalam pentadbiran. Tetapi pengetahuannya tentang sesuatu perkara yang hendak dibuat adalah separuh masak. Akibatnya banyak programnya walau pun dikira baik akan mati separuh jalan. Banyak arahannya akan back-fire balik kepada beliau. Mungkin kerana itu dia agak keciwa dan berusaha untuk kembali bertugas ke negeri isterinya.

Akibat dari perancangannya separuh masak, beliau pernah meminta penulis untuk memberikan ceramah tentang taknik menjawab soalan (teknik singkir untuk menjawab sooalan objektif) kepada murid Tingkatan Lima dua minggu sebelum SPM.  Penulis mengatakan bahawa murid T5 tak perlu dikacau lagi minda mereka pada ketika itu. Rentetan dari peristiwa itu beliau mengeluarkan surat rasmi yang di ‘dispetch’ oleh pihak pejabat. Akhirnya memahami resiko yang mungkin berlaku penulis dan seorang sahabatnya melaksanakan program itu. Tetapi dalam mesyuarat guru selepas itu penulis telah mempertikaikan kaedah itu sambil mengatakan bahawa pengetua berniat jahat untuk menabur pasir dalam periok nasi penulis. Beliau tidak terkata apa-apa terhadap tuduhan itu.

Sesuatu yang menyeronokkan kami ialah tak banyak program dibuat dihujung minggu kerana dia datang bujang (meninggalkan keluarganya dibandar diraja di tebing sungai itu).  Setiap dua minggu beliau mesti balik ke bandar ditebing sungai itu.

Setelah setahun bertugas beliau ditukarkan kembali ke negeri isterinya dengan dinaikkan pangkat sebagai PPD sebuah daerah dinegeri itu. Kini beliau masih PPD juga tetapi sudah bertukar ke daerah lain.

Beliau adalah merupakan sahabat lama semasa di sekolah dahulu. Senior semasa diasrama. Dia adalah hostel captain yang digeruni. Watak itu masih ada ketika ia menjadi Pengetua. Beliau tinggal dalam kawasan sekolah. Dapat mengawasi anak murid sepanjang masa. Murid-murid memang takut kepadanya.  Guru-guru juga gerun kepadanya.

Beliau menjadi pengetua sudah lama di sekolah itu. Mungkin kerana wataknya begitu dia tak bergerak dari sekolah itu walau pun ramai rakan-rakan sangakatan dengannya dah jadi PPD atau ketua sektor di JPN atau Timbalan Pengarah di Kementerian. 

Oleh kerana saya tak lama bertugas dibawahnya, jadi tak banyak perkara yang dapat dicoretkan disini. Beliau orang yang tegas dalam kerjanya. Tumpuan utama beliau ialah kurikulum.  Setiap selepas ujian atau peperiksaan ramai guru yang tension kerana bila masa post mortem nanti tentu banyak perkara yang ditanya. Kalau tak ada bukti tentu kena maki. Walau pun begitu dia marah waktu dalam mesyuarat sahaja. Diluar mesyuarat dia tetap orang yang baik.  Malah dia akan pujuk pula guru-guru, terutama yang dah kena belasah dalam mesyuarat sebelumnya.

Terdapat satu peristiwa yang sukar dilupakan oleh warga sekolah, iaitu waktu sukan peringkat daerah. Oleh kerana bantahan yang dibuat oleh wakil sekolah terhadap satu perlumbaan ditolak dan tak dilayan oleh penganjur walau pun apa yang dibantah itu memang berpihak kepada sekolah beliau, beliau mengarahkan seluruh kontegen sekolahnya balik waktu itu juga. Jadi semua guru dan muridnya dikerah balik. Ini gambaran tegasnya beliau.

Sekali pun beliau bersikap tegas, hatinya baik. Beliau akan memujuk dan mendamaikan hati guru dan muridnya.  Sikap beliau tidak kedekut. Bak belanja makan di kantin menjadi keutamaan beliau. Sehingga ada guru yang segan nak masuk kantin kalau beliau ada disitu. Segan nak makan belanja pengetua berulang kali.  Kalau musim buah-buahan terutama durian, beliau akan bawa durian dari kebunnya untuk dimakan bersama-sama guru-guru dan kadang-kadang murid.

Saya masih ingat lagi waktu saya mula-mula melapor diri di sekolah beliau. Beliau belanja makan disebuah kedai makan.  Dia kata sahabat mesti dilayan sebagai sahabat. Beliau juga suka datang berbincang dengan saya dan seorang lagi rakan sejawat tentang bagaimana hendak meningkatkan prestasi sekolah. Pandangan kami diangkat didalam mesyuarat untuk dilaksanakan di sekolah itu.

Beliau orang kuat PKPSM Negeri.  Dalam satu mesyuarat PKPSM beliau menasihati para Pengetua agar melihat keselamatan sekolah terutamanya tiang gol bola sepak. Malang tak berbau, tidak berapa lama sekembalinya dari mesyuarat itu murid disekolahnya mati ditimpa tiang gol.  Kata rakan-rakan guru yang ada disekolah itu waktu berlaku peristiwa itu, peragai Pengetua banyak berubah selepas itu.

Kini dia sudah bersara, jawatan akhir ialah PPD.  Beliau kini menumpukan kerja dikebun buah-buahan.  Sekian dulu sehingga menunggu Anakdot Pengetua 11, insya Allah.

Pilihanraya sudah slesai, kini tinggal giliran orang-orang menang membentuk kerajaan. Pas dah bentuk kerajaan di Kelantan, meneruskan kerajaan lama pimpinan TG Nik Aziz. Kedah juga membentuk kerajaan dengan Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi MB baru Kedah. Penang dah ada KM baru En Lim Guan Eng dan dua timbalan KM seorang melayu dan seorang India. Selangor belum usai lagi, Perak jua belum selesai lagi, walau pun MB sudah diperkenan oleh Sultan.

Nampaknya tiga MB adalah dari PAS. Oleh kerana PAS musuh tradisi UMNO maka tiga MB ini akan jadi terget media aliran utama. Tembakan media ini dihalakan kepada PAS sebab PAS lah yang banyak mencuri peluang UMNO. Segala kelemahan PAS akan dikoret walau pun kelemahan itu UMNO juga yang buat.

Media main stream akan buat berbagai berita yang memburukkan kerajaan pimpinan PAS. Kalau orang PAS buat kenyataan, kenyataan itu akan diputar belik. Kemudian spin doctor mereka akan reka-rekakan cerita untuk memburukkan kerajaan PAS dan ahli-ahli PAS. Selain itu mereka akan buat fitnah seperti kes KEMAS di Kedah.

Dalam kes DEB di Penang pula menggambarkan orang melayu akan dibela di Penang, Dulu masa UMNO kuat kenapa tak bela orang melayu. Kontrak buat Jambatan kedua ada masalah kerana kontrak belum di tanda tangan, suruh aje kontraktor itu buat dahulu. Ini akan jadi isu besar. PORR juga akan hadapi masalah sebab kontraktor tidak ditendar. Lepas ini kita akan tahu siapa sebenarnya tak bela melayu, UMNO ke atau PKR.

Kerajaan Barisan Rakyat (BR) di lima negeri harus belajar erti kesabaran dari TG Nik Aziz. Berkat kesabaran beliau, kelantan survive selepas 5 kali pilihanraya.

Ini adalah posting terakhir cerita pilihanraya. Lepas ini cerita pendidikan akan disambung semula. Sekian sahaja untuk kali ini.

Keputusan PRU 12 telah diketahui, Be End, kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor disamping tidak dapat mengambil Kelantan. Di Parlimen Be End dinafikan 2/3 majoriti, kali pertama dalam sejarah pemerintahan BN/Perikatan semenjak merdeka.

Bagi Najib (menang besar di Pekan), 2008 adalah tahun “merawat Kelantan”, dia pun turun ke Kelantan beberapa kali, nak pastikan Kelantan dapat ditawan oleh Be End. Pak Lah (yang hilang banyak majoriti di Kepala Batas) juga datang ke Kelantan nak pujuk orang Kelantan agar buang Tok Guru. Manakala Khairi Jamaluddin buat kempen “Pade Doh 18 taun” juga berusaha keras nak tumbangkan kerajaan Tok Guru.

Tok Guru tak panik, tapi Tok Guru minta petugas PAS dan Keadilan kerja kuat dan Tok Guru ajak rakyat kelantan bermunajat kepada Allah. Tok Guru mengadu kepada Allah bahawa dia tak berupaya untuk mempertahankan Islam di Kelantan dan Tok Guru serahkan kepada Allah untuk mempertahankan Islam seperti Allah melindungi Kaabah dari serangan Abrahah.  Usaha dan munajat orang Kelantan dan seluruh pencinta Islam yang syumul telah terserlah kejayaannya sekali gus menolak Islam Hadari dan gembar gembur ECER.  Kalau dulu kerajaan PAS Kelantan hanya ada satu kerusi majoriti kini selepas PRU 12 Kerajaan PAS Kelantan ada 32 kerusi majoriti. Ertinya PAS Kelantan dapat semula majoriti 2/3 dalam DUN Kelantan. Tempias dari itu PAS dapat menokok kerusi parlimen sehingga 23 kerusi dan Negeri Kedah PAS boleh membentuk kerajaan negeri bersama-sama PKR. Doa orang PAS dan pencinta Islam termakbul.  Be End harap belajar daripada minhaj PAS ini.

Wahai Najib dan orang-orang Be End kini sebenarnya giliran kamu, pertama jangan angkuh, kedua ingat Islam, ketiga muhasabah diri dan rawatlah Be End itu.  Dari segi melayu BN tak perlu rampas kelantan dan kini kedah kerana kelantan dan kedah di perintah oleh orang melayu. Dari segi Islam juga, BN tak perlu rampas kelantan dan kini kedah kerana Kelantan dan Kedah diperintah oleh orang Islam kecuali kedua-dua kerajaan negeri ini menderhaka kepada Allah.

Cerita merawat Kelantan dan Pade Doh 18 taun patut diingat oleh, Dollah, Najib dan Khairi bahawa kini mereka kena rawat Be End dan dah ada bloggers kata Pade Doh 51 taun. Ertinya dah ada idea nak tamatkan pemerintahan Be End ini dari alam Malaysia kerana kaedah perkongsian Be End dah tak releven lagi buat masa kini.

Dollah kena belajar dari Koh Su Koon, mengambil tanggungjawab kerana kalah dan sanggup berundur kalau dipersetujui oleh CWC Gerakan. Dolah jangan jadi Samy Vellu yang masih liat tak nak berhenti dari Jawatan Presiden MIC.

Lepas ni Che Det akan belasah Dollah dan anak menantu dan dia dah buat offer nak berikan nasihat untuk UMNO, itu pun kalau UMNO mahu. Tak perlu jawatan, tak perlu gelaran, hanya kalau mahu nasihat datang minta nasihat, itu kata Che Det.

Kepada DSAI syabas. Agaknya inilah salah satu hikmah DSAI tak bertanding pada 8 Mac 2008 dahulu, DSAI dapat pusing seluruh negara untuk nafikan 2/3 majoriti Be End. Matlamat DSAI tercapai berkat kerja kuat dan munajat.

Ingat antara 2008 ke 2013 ini akan ada proses persempadan semula kawasan pilihanraya menggunakan prinsip asas ikut jumlah penduduk dan geografi negara. Rang undang-undang berkaitan dengannya perlu dibuat dan diluluskan di Parlimen, jika kawasannya dibuat berpusing-pusing macam sekarang seperti kawasan Pekan yang ada belalai dari pekan ke batu 10 jalan kuantan maran nak masukkan kem tentera untuk Najib atau perlimen Baling dan Kuala Kedah ditambah bilangan DUN dibawahnya untuk kalahkan Ustaz Taib Azamudden dan Mohammad Sabu tahun 2004 dulu maka alamatlah rang undang-undang itu sukar akan lulus di Parlimen kerana tak ada 2/3 majoriti. Jadi sempadannya yang dibuat mesti boleh diterima oleh semua pihak.

Kalau begitu keadaannya maka bermula kini gerak kerja perlu dibuat untuk mempastikan BA akan dapat meng be endkan BN. Saya pasti pemimpin BA akan menyusun strategi yang elok untuk tujuan itu.

Pengajaran yang diperolehi disini ialah pengundi kini dah ramai yang matang. Sogokan wang nampaknya tidak banyak impaknya kerana pengundi akan ambil wang tapi mereka berani untuk buat keputusan sendiri. Usaha yang tersusun dalam satu jemaah perlu dibuat secara strategik dan bersungguh-sungguh dengan diiringi munajat dan doa kepada Allah, jangan abaikan hal ini. Tok Guru Nik Aziz dah ajar perkara ini, buktinya jelas sekali didepan mata.

Pengerusi SPR aku lihat teruk sekali. Dari sebelum pilihanraya lagi dia tunjukkan kerja yang tak ikhlas, buat peraturan ikut suka dia sahaja (ikut arahan BN). Cakap macam orang tak katan berdolak-dalik, mula kata kena mati stem, kemudian arahan itu ditarik balik. Dulu kata cat jari tanda dah mengundi kemudian batal pulak. Kata tak ada pengundi hantu tapi 8666 orang berumur lebih 100 tahu ada dalam senarai pemilih 2008. Nampak sangatlah penipuan SPR. Tapi ingat ayat Quraan yang diwiridkan oleh ramai petugas BA yang bermaksud, mereka merancang, kita merancang tapi perancangan Allah yang lebih baik. Disamping itu dia nabi Yunus dan doa dari qunut nazilah. Ini antara rahsia kejayaan BA khususnya PAS.    Serahkan semua urusan kepada Allah selepas berusaha dan terima apa-apa keputusan dengan reda selepas itu.  Sekian untuk posting ini,

Laman Berikutnya »