April 2008


Minggu lalu (21 hingga 25 April 2008) aku bersama rakan-rakan dari seluruh negara berkampung di Hotel Mahkota, Melaka. Kami buat satu kerja untuk kegunaan para guru yang menyediakan murid-murid mereka untuk SPM setiap tahun. Kami dipanggil oleh Unit Psikometrik, Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk menulis Kupasan Mutu Jawapan bagi beberapa mata pelajaran penting SPM 2007.

Disamping menyediakan Kupusan Mutu Jawapan (KMJ) bagi setiap mata pelajaran, kami juga dibekalkan oleh pihak penganjur KMJ tahun 2005 bagi semua mata pelajaran penting diperingkat UPSR, PMR, SPM dan STAM. Tiada KMJ dibuat untuk tahun 2006.

Bagi aku yang telah terlibat menulis KMJ semenjak 2003 lagi, aku merasakan KMJ sangat penting kepada setiap guru kerana sekurang-kurangnya ia memberikan aku panduan bagi mengajar murid-murid aku membuat persediaan menghadapi peperiksaan yang mereka ambil.  Aku rasa tak ramai guru yang ambil pusing tentang KMJ ini. Atau mungkin mereka tak pernah dengar tentang KMJ ini.

Bagi guru biasa yang tidak terlibat membuat soalan peperiksaan atau menjadi pemeriksa mana-mana peringkat peperiksaan awam wajarlah mereka membaca, meneliti dan membincangkan KMJ ini dalam mesyuarat panitia mata pelajaran masing-masing. Ini adalah salah satu kemahiran asas sebagai seorang guru (kemahiran pentaksiran).

Masalahnya dimanakah KMJ ini boleh didapati.  Rasanya perkara ini akan diedarkan kepada setiap sekolah melalui Unit Peperiksaan di PPD dan Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN masing-masing. Kami dibekalkan dengan CD. Kalau tak ada juga di PPD atau JPN mintalah terus kepada Unit Psikometrik Lembaga Peperiksaan Malaysia, KPM. Pihak penganjur berjanji nak letakkan dilaman maya mereka di alamat www2.moe.gov.my/¬lpm. Cuba-cubalah layari laman maya ini.

Aku juga berhasrat nak buat catatan panduan kepada para guru tentang bagaimana nak gunakan KMJ mengikut persepktif seorang guru bilik darjah menggunakan KMJ bagi menyediakan muridnya menghadapi peperiksaan umum. Aku harap dapat siapkan segera. 

Sebenarnya aku telah menggunakan KMJ ini (dulu nama lain) semenjak tahun 1986) lagi. Ia bermula dengan pengetua aku ketika itu membuat salinan fotostat KMJ bagai semua mata pelajaran dan diedarkan kepada ketua panitia. Ketika itu aku ketua panitia. Beliau arahkan agar dibincang dalam mesyuarat panitia untuk difahami oleh semua guru. Aku buat dan aku dapat manfaatnya serta rakan guru juga dapat manfaat tidak terkecuali juga murid-murid dapat manfaatnya.  Selamat mencari KMJ, membaca dan berusaha. TQ.

Aku diserang oleh seorang ibu Melayu.  Kesnya bermula apabila anaknya dirotan kerana ponteng bersama-sama rakannya di dalam semak tak jauh dari sekolah. Semasa kepungan dibuat keatas tempat persembunyian ahli-ahli ponteng itu, lima dari ahli ponteng dapat ditangkap lebih kurang jam 9.30 pagi. Dua lagi ahli ponteng dapat lari tetapi kasut dan beg sekolah mereka tertinggal di tempat persembunyian mereka.  Barang itu diambil dan aku simpan dibilik pengetua.

Lima orang yang ditangkap dibawa kebilik pengetua. Aku meminta kaunselor menghubungi ibubapa atau penjaga mereka. Hanya seorang bapa datang. Empat lagi tak datang kerana bekerja.  Apabila seorang bapa daripada lima orang murid itu sampai aku mula membuat soal jawab tentang kesalahan murid-murid itu.  Akhirnya apabila hukuman hendak dijatuhkan murid-murid itu merayu agar kes mereka tidak diberi tahu kepada ibubapa mereka.  Tak adil kepada salah seorang rakan mereka kerana ayahnya sudah berada bersama-sama dalam bilik pengetua ketika itu.

Apabila keputusan dibuat, setiap orang dirotan tiga kali. Semua yang ada dalam bilik pengetua ketika itu setuju dengan hukuman itu. Pihak sekolah juga berjanji tidak akan menghantar surat rasmi kepada penjaga murid-murid itu sebaliknya setiap orang mesti beri tahu certita sebenar dan meminta ibubapa mereka datang bertemu pengetua dalam masa tiga hari. Bagi murid yang lari semua juga bersetuju agar dikenakan empat rotan. Dalam masa tiga hari yang diberikan semua penjaga datang menemui pengetua dalam suasana yang harmoni termasuk seorang penjaga india yang anaknya lari. Tetapi berlainan dengan seorang ibu kepada seorang lagi yang lari. 

Ibu itu datang dengan marah-marah sambil menghentak meja pengetua. Ketika yang sama dia mengatakan bahawa pengetua adalah orang jahat.  Aku melihat mukanya sambil membiarkan dia bercakap ikut kehendaknya.  Sambil itu aku pelawa agar duduk dikerusi. Apabila dia tidak berkata-kata lagi aku tanya dia dah habiskah bercakap. Dia diam sahaja. Aku tak hendak berjawapan ketika dia marah supaya dia tak berpanjangan bercakap.

Aku minta dia diam dan aku pula hendak bercakap. Aku kenal dia sebab dia adalah orang kampung aku. Kampung Berang. Dia berkahwin dengan orang batu 6 jalan Lipis- Raub.  Akhirnya setelah aku cakap sesuatu yang mengenai diri dan keluarganya dia menangis dan minta maaf daripada aku. Aku kira itu satu pengajaran dalam hidupnya yang bertindak dengan angkuh tanpa siasat terlebih dahulu kedudukan sebenar perkara yang berlaku.  Sebenarnya ramai ibubapa yang bersikap seperti ini, menganggap bahawa guru-guru termasuk pengetua suka-suka aje ambil tindakan keatas anak mereka. Tanpa tahu duduk perkara terus serang pihak sekolah. Akhirnya diri sendiri yang malu.

Itu kisah pertama, pengetua menghadapai serangan dari ibubapa.  Sebenarnya ada lagi dua pengalaman kena serang ini. Insya Allah posting akan datang menceritakan serangan dari sekeluarga cina pula. TQ

Sebagai pengetua banyak perkara yang perlu diberi perhatian setiap hari. Antara yang paling utama ialah kehadiran guru ke sekolah diwaktu pagi. Ketika jam menunjukkan 7.35 pagi biasanya aku akan melihat buku kedatangan guru. Siapa yang belum datang terutama yang ada kes kecemasan dan tak sempat telefon pengetua atau penolong kanan.  Satu cerita yang patut aku kongsi bersama ialah tentang seorang guru perempuan.

Pagi itu dia datang kesekolah dalam keadaan yang agak kusut sedikit. Tidak seperti hari-hari lain, biasanya dia kelihatan ceria. Dalam keadaan yang agak gusar dia memohon cuti untuk hari itu kerana hendak menjaga anaknya yang demam. Suami dia kerja out station.  Saya tanya dia berapa orang anak yang demam, dia kata seorang sahaja dan yang lain dia dah hantar ke rumah pengasuh. Saya tanya pula, berapa waktu dia mengajar, dia jawab empat waktu. Saya suruh dia bawa anak dia ke sekolah dengan peralatan buai dan lain-lain keperluan.  Saya kata waktu mengajar nanti awak tinggalkan anak awak dibilik guru, tentu ramai yang akan jaga. Kalau tak ada orang aku boleh tolong jaga juga. Dia tanya balik saya, boleh ke bawa anak ke sekolah, nanti pelawat ke, orang JPN atau PPD ke tanya.  Saya jawab saya akan bertanggung jawab atas keadaan itu. Dia hanya mengajar empat waktu sahaja hari itu, ertinya lima waktu dia free. Oleh itu banyak masa dia boleh jaga anak dia.

Dia balik ke rumah dan berkemas dan bawa anaknya ke bilik guru. Memang ramai yang hendak tolong.  Sewaktu dia mengajar dua tiga orang guru beri perhatian kepada anak yang demam dalam buaian itu. Selepas peristiwa itu, tiada lagi guru yang minta cuti kalau anak mereka demam sikit-sikit. Tapi kalau terpaksa masuk hospital tu lainlah ceritanya.

Mengapa saya pertindak demikian?  Sebenarnya sewaktu aku ada anak seorang dua dahulu aku menghadapi keadaan yang sama. Saya dan isteri mengajar di sekolah yang sama. Kalau anak demam memang susah kalau tinggal pada pengasuh.  Jadi kami bawa ke sekolah dan letak dibilik ERT. Aku dan isteri bergilir-gilir jaga anak itu dengan dibantu oleh guru ERT yang baik hati. Oleh kerana kaedah mengasuh anak kecil diajar dalam sukatan ERT ketika itu, kadang-kadang anak aku jadi bahan mengajar yang real kepada murid-murid yang ambil ERT. Aku berani mengambil tanggung jawab atas beberapa sebab; pertama, aku sendiri mengalami masalah itu dahulu. Kedua; aku suka guru-guru bersikap tolong bantu dalam menghadapi masalah atau menghadapi masalah secara bersama-sama. Ketiga; Aku ingin menanamkan rasa bahawa sekolah adalah tempat kerja yang seronok dan pengetua memberi sokongan kepada guru-guru walau pun tidak berkaitan dengan perguruan itu sendiri.  Dengan itu terbinalah satu keluarga besar yang saling berkerja sama antara satu dengan lain. Keadaan ini memudahkan aku mentadbir sekolah dan memudahkan aku mendapat kerjasama dari para guru.

Sekian untuk posting ini. Untuk yang akan datang aku nak ceritakan bagaimana aku diserang oleh ibubapa penjaga. TQ

Fokus pengurusan aku seterusnya ialah perkembangan keupayaan murid yang menjadi kayu pengukur kepada kejayaan sesuatu sekolah. Tanpa murid tiadalah sekolah. Oleh itu keupayaan murid belajar adalah sangat penting dalam kejayaan sesuatu sekolah.  Berkaitan dengan murid ini, apabila disiplin dapat dikawal maka mengupayakan kebolehan murid adalah sangat penting. Dari sinilah datangnya aspek motivasi.

Motivasi:  Beberapa siri motivasi dibuat. Diposting yang lalu diceritakan tentang motivasi hujung minggu dikawasan sekolah dan juga yang dibuat dipesiaran Gua Bama. Hajat aku sebagai pengetua adalah untuk mewujudkan sepasukan guru yang mahir dalam aspek motivasi dan sebilangan murid yang boleh menjadi penggerak motivasi dikalangan rakan-rakan mereka.  Siri pertama adalah menyediakan sekumpulan guru yang boleh memberi motivasi kepada murid-murid.  Para guru dikehendaki membuat transperensi yang boleh diguna untuk ceramah.  Oleh itu guru-guru berkenaan terpaksa membuat pembacaan tentang tajuk-tajuk yang khusus diberikan kepada mereka.  Selepas itu mereka akan menyampaikan ceramah kepada murid-murid terpilih menggunakan bahan transperensi yang telah disediakan.  Selepas itu murid dipilih untuk menyampaikan semula ceramah itu kepada sekumpulan murid lain.  Para guru menilai penyampaian murid mereka itu.  Selepas itu murid berkenaan akan diminta menyampaikan motivasi mengikut tajuk berkenaan kepada seluruh sekolah. Antara tajuk ceramah ialah, pertama:  Menetapkan Matlamat. Kedua: Motivasi kendiri. Ketiga: Teknik membuat nota. Keempat: Teknik membuat peta minda. Kelima: Pengurusan masa. Keenam: Membuat perbincangan dalam kumpulan dan ketujuh: Pembelajaran akses kendiri.   Melalui program ini murid-murid yang pandai dan faham sedikit sebanyak dapat membuat pembelajaran kendiri.

Pekerja sekolah:  Salah satu elemen penting dalam pengurusan dan kejayaan sekolah ialah sumbangan staf bukan akademik.  Kelancaran pentadbiran bergantung kepada kecekapan mereka  dipejabat. Keceriaan sekolah bergantung kepada tukang kebun.  Mereka perlu diberi motivasi. Kerjasama dengan mereka sangat diperlukan. Untuk berinteraksi dengan pekerja pejabat agak mudah sedikit tetapi untuk berinteraksi dengan tukang kebun atau PRA adalah sangat sukar.  Untuk itu saya membuat perjumpaan setiap dua minggu sekali. Dalam pertemuan dwimingguan ini saya akan membincangkan pembahagian kawasan kerja, tatakerja hari biasa, gotong royong hujung minggu (masa itu hari sabtu hari bekerja) dan motivasi kepada mereka. Sesungguhnya mereka ini antara golongan manusia yang berbagai ragam dan perlu kesabaran untuk mengendalikan mereka.

Setelah memberi fokus kepada disiplin murid, guru, akademik, motivasi dan pekerja saya kira saya perlu menilai kerja-kerja saya bersama-sama dengan para guru.  Keterbukaan saya sangat disenangi oleh para guru dan memudahkan saya berkerja dengan mereka.

Oleh kerana keputusan PMR tahun sebelumnya agak tidak berapa baik maka sekumpulan 10 orang Nazir Sekolah datang kesekolah saya untuk membuat full inspection. Dari mereka aku belajar banyak perkara tentang cara meningkatan prestasi sekolah. Nazir Sekolah zaman ini bukan nak cari kesalahan tetapi nak beri bantuan kepada para guru dan pentadbir sekolah.  Oleh itu aku ambil kesempatan sewaktu kehadiran mereka untuk belajar dan meminta para guru juga belajar sesuatu dari mereka.  Dikesempatan itu juga aku bertanya ketua nazir tentang guru cemerlang.  Penerangan dari Ketua Nazir itu aku gunakan sebagai panduan bagi aku sendiri untuk menjadi guru cemerlang.

Diwaktu yang sama keputusan SPM dikeluarkan. Selepas waktu sekolah aku ke SM Felda untuk melihat keputusan SPM hasil pentadbiran aku tahun lalu.  Alhamdulillah, aku cukup gembira kerana SM Felda menjadi sekolah terbaik dalam Daerah Lipis (1995). jumlah gred 1 tertinggi dalam sejarah sekolah itu setakat itu.  Biologi yang aku ajar dapat 100%.  Murid kelas aliran Sains semua lulus dan mendapat gred 1 dan gred 2 sahaja.  Malam selepas keputusan SPM keluar, telefon dirumah aku tak berhenti mendapat panggilan untuk menyampaikan tahniah kepada aku dari pengurus-pengurus felda, Naib pengerusi JKKKR dan YDP PIBG dan AJKnya.  Aku meninggalkan SM Felda dengan meninggalkan nama yang baik.  Sampai ke hari ini, mereka yang terbabit di Felda itu sangat menghormati aku.  Persoalannya bagaimana aku nak bina SM Batu Dua ini agar cemerlang seperti SM Felda itu.

Sekian posting kali ini. TQ 

Tahun pertama jadi pengetua di SM batu dua, banyak perkara yang menjadi asas untuk bicara. Untuk kali ini aku turunkan beberapa perkara yang menjadi fokus dalam kepimpinan aku. Aku memang sedar bahawa sebagai pengetua aku bertindak sebagai pengurus sekolah yang bertanggungjawab dalam mentadbir dan memimpin institusi sekolah. Aku mesti bijak mentadbir kewangan sekolah, aku kena bijak mentadbir perjawatan guru dan kakitangan, aku kena bijak mentadbir keperluan murid-muridku.  Sebagai pemimpin kepada institusi sekolah aku kena bijak sebagai contoh dan tauladan sebagai guru. Aku kena faham kepimpinan instruksional. Aku kena seiring sejalan dengan kehendak PPD dan JPNP dalam memimpin sekolah. Masa itu pendidikan di Pahang memberi fokus kepada program PKKP. PKKP aku mesti hadam.  TQM  (Total Quality Management) juga juga aku kena tahu. Untuk memudahkan aku dalam hari-hari awal menjadi pengetua aku fokuskan kerja aku kepada;

Membaiki Disiplin. Aku fokuskan agar murid-murid aku menjadi murid yang berdisiplin. Aku percaya jika, Disiplin sesebuah sekolah itu meningkat pencapaian akademik sekolah itu akan meningkat. Semasa aku mula-mula sampai aku buat pemerhatian terhadap disiplin murid. Aku mendapati ramai murid datang tidak dalam uniform sekolah yang lengkap, ramai pakai selipar. Pergaduhan selalu berlaku. Ada sedikit gejala ponteng.  Aku maklum perkara ini kepada semua guru. Mereka bersetuju. Aku merangka tindakan.  Pertama aku hebahkan perkara tindakan yang bakal diambil sekiranya murid masih kekal dengan keadaan itu.

Berkaitan dengan pemakainan uniform sekolah sekiranya tidak dipatuhi aku akan kenakan tindakan rotan bagi lelaki tetapi bagi perempuan aku gantung sekolah disamping makluman akan dibuat kepada ibubapa. Aku ulang peringatan itu tiga kali perhimpunan mingguan. Bagi yang pakai selipar aku akan pijak kaki mereka sekiranya mereka gagal menunjukkan surat doktor. Selepas seminggu ingatan terakhir diberi aku bawa seikat rotan ke sekolah dan aku berikan rotan-rotan itu kepada semua guru. Alhamdulillah, tindakan itu banyak memberi kesan kepada peningkatan disiplin murid. Satu tindakan aku memijak kaki murid telah dimaklumkan oleh murid berkenaan kepada PPD. Wakil PPD datang menyiasat. Murid berkaitan dipanggil untuk ditemu siasat oleh wakil PPD. Akhirnya murid berkaitan akur bahawa tindakan aku adalah berikutan kedegilannya.

Aku juga yakin bahawa manusia ini ada empat kumpulan dari sudut perangainya. Pertama memadai dengan jeling atau pandang sahaja sudah membuatkan mereka takut untuk buat nakal. Kedua, sudah cukup dengan pujuk dan nasihat mereka akan berubah perangai. Ketiga, mereka perlu dimarah atau dihardik baru mereka faham dan keempat mereka perlu didenda dan dihukum baru mereka akan berubah. Kalau tak boleh juga itu sebenarnya dia bukan manusia lagi. Hakikatnya lebih teruk dari haiwan ternakan. Jadi golongan itu hanya cara penternakan saja wajar digunakan untuk mengembala mereka.

Dalam sistem sekarang, kaedah kaunseling hanya sesuai kepada golongan pertama dan kedua. Kaunseling tak mampu mengubati golongan ketiga dan keempat apatah lagi golongan yang lebih teruk dari haiwan ternakan.

Hubungan dengan Guru:  Kerja-kerja, baik mengajar, melatih permainan, urusan pekeranian dan lain-lain banyak dibuat oleh guru-guru.  Kalau guru tak nak buat atau mengelat, pengetua tak banyak peluang nak mengatasinya.  Keikhlasan guru dan kesungguhan guru adalah sangat-sangat dituntut.  Sebagai pengetua, hati para guru mesti dimenangi.  Untuk memenangi hati guru beberapa perkara perlu dijaga.  Jangan sakiti hati mereka. Kalau nak tegur biar ada adab sopan, tak boleh seperti seorang tuan memarahi hamba sebab pengetua itu ditakdir sahaja berada disitu mungkin kerana dia lahir dahulu atau keluar universiti lebih dahulu. Satu ketika nanti guru-guru muda itu akan jadi pengetua atau pentadbir juga.  Cara lain nak tambat hati guru adalah dengan sentiasa ambil tahu susah senang hidup mereka, kalau boleh tanya-tanyalah tentang kesihatan anak, isteri atau suami guru-guru itu. Sekali sekala ajak mereka makan-makan.  Dalam hal ini aku cukup mengerti kalau ada guru yang beritahu anak mereka sakit atau demam. Aku tak kisah kalau ada guru bawa anak mereka ke sekolah kerana orang gaji balik kampung atau lari. Aku akan sentiasa ambil tahu hal ini kerana aku selalu berada dibilik guru kalau aku tiada kerja pengurusan sekolah atau tidak mengajar.  

Fokus Akademik:  Aku sendiri mengajar 15 waktu.  Aku mengajar Sains di tingkatan 1, 2 kelas dan tingkatan 3 satu kelas. Masa itu sekolah belum ada tingkatan 4 dan 5. Dengan cara ini aku tahu masalah P&P dikalangan murid-murid sekolah itu. Aku dapat motivasi diri murid-murid adalah rendah. Ada cadangan dari para guru agar diadakan program motivasi. Aku setuju, tapi duit tak cukup. Beberapa orang guru buat cadangan buat program motivasi ala perkemahan dalam kawasan sekolah selama dua hari satu malam dan makanan para guru sendiri yang memasak.  Aku setuju. Kerja sama guru cukup mantap. Murid tidur didalam bilik darjah. Guru-guru juga tidur dalam bilik darjah dan bilik guru. Pengetua tidur dalam bilik pengetua.   Murid Islam ada qiamulail.  Ustaz tak datang malam itu, akhirnya pengetua yang menjadi imam qiamulail dan solat subuh serta beri kuliah subuh.

Beberapa bulan kemudian satu lagi perkemahan motivasi dibuat dekat Gua Bama.  Kali ini perancangan lebih teratur.  Kerjasama guru sangat baik.  Guru jadi tukang masak ikut shift. Ada pembantu khas dikalangan murid tingkatan 2 seramai 10 orang. Program motivasi berjalan lancar. Semua guru hadir secara bergilir ikut jadual.  Melalui dua program ini kesepaduan guru terserlah.  Guru tak segan kalau nak minta sesuatu dari pengetua. Pengetua pula tak kekok nak tegur guru.

Selain itu jadual kelas tambahan diatur semua guru terlibat. Bukan sahaja yang mengajar ditingkatan tiga.  Pengetua mengajar untuk kelas tambahan sains.  Bila pengetua terlibat sama dalam P&P dan kelas tambahan secara tak langsung guru-guru pun segan. Ramai minta pengetua buat unhouse training berkenaan pedagogi.  Alhamdulillah aku memang ada banyak pengetahun tentang  pedadogi dan pentaksiran.  Ramai guru gembira apabila ada program itu. Disamping mereka dapat ilmu atau memantapkan ilmu mengajar, mereka juga dapat makan belanja pengetua.  Sebagai pengetua jangan kedekut belanja guru. Tak muflis seorang pengetua kalau belanja rakan-rakan guru makan. Kan ke pengetua  ada elaun keraian (RM 500.00 sebulan – DG48).  Bila kita ajar orang ilmu kita akan meningkat.  Jadi jangan lokek dengan ilmu.

Sekian dahulu untuk entri kali ini.  Tahun Pertama Jadi Pengetua 2 akan menyusul. Insya Allah.

16 Nov. 1995, aku melapor diri di PPD Lipis, untuk bertugas sebagai Pengetua di sebuah sekolah 2 batu dari bandar Lipis.  Sekolah menengah kecil di tepi jalan. Murid ada 295 orang, guru ada 21 orang termasuk pengetua. Bilik pengetua baru di renovate sebelum aku sampai.  Sessi persekolahan yang baru akan bermula pada 1 Disember 1995.  Aku ada beberapa hari untuk buat perancangan.  Kata GPK1 ada mesyuarat, dua hari sebelum sekolah dibuka.  Aku akur pada perancangan orang lama. Aku tak berhasrat untuk buat perubahan drastik.

Langkah pertama aku nak berkenalan dengan semua guru, semua pekerja sekolah dan kalau boleh aku nak kenal semua murid. Kedua aku nak lihat prestasi PMR yang insya Allah akan di keluarkan sebelum sekolah dibuka.  Bila keputusan PMR keluar aku dapati keputusannya sangat sederhana. Jadi ada peluang bagi aku untuk improve tahun 1996 nanti. Tak perlu banyak, asalkan meningkat dari segi kuantiti (peratus) dan kualiti (ada yang dapat banyak A) sudah cukup.

Dalam mesyuarat pertama, mesyuarat awal tahun, setelah mendengar taklimat daripada GPK1, GPK HEM dan GPK Koko, aku memberi response dan harapan jangka pendek dan jangka panjang bagi sekolah itu. Antara perkara yang menjadi hasrat aku adalah,  pertama; berusaha mengwujudkan kelas menengah atas (tingkatan 4 dan 5) – sekolah telah berumur 35 tahun, antara sekolah menengah yang tua di daerah Lipis, tapi tak ada kelas menengah atas, kedua; meningkatkan pencapaian PMR dan kalau ada menengah atas, juga berusaha meningkatkan pencapaian SPM. Ketiga; meningkatkan keceriaan bagi kawasan sekolah supaya wujud suasana kondusif untuk pembelajaran. Keempat; mempastikan disiplin murid terkawal sebab apabila disiplin meningkat pencapaian akademik juga akan meningkat. Kelima; menerbitkan majalah sekolah sebab setakat 35 tahun kewujudannya sekolah ini belum buat majalah pun. Majalah adalah rakaman sejarah dan bahan yang mengimbas nostalgia. Keenam; melahirkan sekumpulan pengawas sekolah yang berwibawa. Ketujuh; meyujudkan guru dan murid yang cintakan ilmu supaya budaya ilmu wujud di sekolah ini. Kelapan; memupuk ketrampilan murid dalam belajar melalui latihan kemahiran belajar. dan Kesembilan; berkongsi pengalaman dengan guru-guru untuk meningkatkan kecemerlangan akademik diri guru dan murid-murid.

Itulah sembilan perkara yang aku hajatkan supaya tercapai semasa aku menjadi pemimpin di sekolah menengah di batu dua itu.  Kerisauan aku di sekolah lama tentang keputusan PMR terlerai kerana sekolah menengah felda itu mencapai keputusan yang agak membanggakan. Ada panggilan telefon dari sekolah berkenaan agar aku ke sana waktu malam tertentu kerana ada jamuan khas untuk aku dan meraikan kejayaan sekolah dalam PMR.  Alhamdullilah terungkai sudah satu kerisauan. Tunggu bulan Mac pula untuk SPM. Kerisauan dah kurang sedikit.

Untuk awal tahun aku rasa aku selesa sebagai pengetua disitu. PPD selalu panggil aku waktu petang untuk bersembang dengannya sambil merancang program daerah.  Dua tiga pengetua yang sekolahnya hampir dengan PPD selalu dipenggil ke PPD waktu petang. Aku tak terkecuali. Aku juga berasa gembira menjadi pengetua di sekolah itu kerana aku adalah bekas murid sekolah itu. Aku bersekolah di sekolah itu dari darjah peralihan (Remove Class) hingga ketingkatan dua. Tetapi sekolah itu tiada bangunan sendiri lagi, masih menumpang di sekolah lain. Selepas setahun dari tarikh kami ramai-ramai pindah ke sekolah baru, barulah sekolah ini mendapat bangunan baru ditempat sekarang. Itulah sekolah menengah batu dua.

Sekian, terima kasih. Posting baru nanti cerita tentang pengalaman manis jadi pengetua.

Sekolah Menengah Felda tempat aku jadi GPK1 itu adalah sekolah gred A. Pengetuanya mesti DG2. Muridnya hampir 1000 orang. Pengetua telah bertukar bermula 1 Disember balik ke negerinya, negeri yang pantainya terpanjang di semenanjung malaysia. Masa itu awal sessi persekolahan ialah pada bulan Disember (kata DS Anwar Ibrahim masa dia jadi Menteri Pendidikan, sessi persekolahan dimulakan bulan Disember kerana masalah banjir dibanyak negeri). Pengetua baru tak ada, oleh itu aku diminta menanggung kerja Pengetua oleh PPD dan JPN Pahang.

Aku tunggu pengetua baru, awal tahun tak ada, bulan april tak juga ada, bulan julai juga tak ada akhirnya bulan november baru nama pengetua sampai. Jadi aku tanggung kerja pengetua selama sebelas bulan setengah.

Sementara menanti kedatangan pengetua baru semua kerja pengetua aku buat, kerja GPK1 aku buat juga, kerja guru mengajar dalam kelas aku buat juga. Aku  buat kerja tadbir dan ajar. Berat juga jadinya.  Sebagai guru aku mengajar biologi tingkatan 5 dan 4 serta mengajar sains dua kelas tingkatan lima. (18 waktu seminggu)

Sebagai pentadbir, aku kena tengok pengurusan kewangan. Akaun Wang SUWA, Akaun wang Kerajaan dan akaun asrama. Tiga akaun ini aku minta dua orang guru yang pandai dalam hal pengurusan wang membantu aku (guru prinsip akaun dan guru perdagangan) disamping kerani sekolah yang kerjanya terlebih teliti sehingga banyak kerja tergendala. Untuk pengurusan personal sekolah aku minta seorang guru lain bantu dalam mempastikan urusan gaji dan naik pangkat diteliti sambil mengingatkan aku dan kerani sekolah untuk buat kerja. Untuk urusan prestasi guru dan staff aku minta GPK HEM dan GPK Koko bantu aku buat penilian terhadap guru dan staff.  Untuk urusan perhubungan dengan orang luar terutama felda aku minta seorang guru anak peneroka felda bantu aku. Untuk membantu urusan disiplin aku minta GPK HEM dan seorang lagi guru anak peneroka felda yang kenal ramai orang besar felda membantu aku menghadapi masalah.  Untuk meningkatkan prestasi akademik (kerja GPK1)  aku bersama-sama satu pasukan kerja buat bersama-sama.  Aku juga pastikan hubungan sekolah dengan PIBG mantap. Hubungan sekolah dengan pengurusan felda juga mantap. Itulah antara strategi pengurusan aku.

Aku letak sasaran akademik agar menjadi sekolah terbaik dalam SPM dan PMR di daerah Lipis dan juga sekolah-sekolah felda seluruh negeri. Aku minta semua guru bantu aku agar mengajar dengan betul. Aku ajar teknik mengajar kepada guru-guru baru dan guru yang mahu belajar.  Aku highlight mana-mana kaedah mengajar yang aku rasa baik dipraktikkan oleh mana-mana guru, agar guru lain belajar dengan guru berkenaan. Ramai guru seronok apabila hasil usaha mereka diiktiraf. 

Sekolah tak ada duit nak bayar guru buat kerja extra. Aku minta pihak felda anjurkan kelas tambahan di rancangan masing-masing.  Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKKR) buat program seperti yang aku sarankan, mereka beri wang kepada guru yang mengajar.  Guru-gurunya semua guru dari sekolah aku.  Akibat dari itu ada semacam persaingan antara biro pelajaran JKKKR untuk buat kelas tambahan. Persaingan yang sihat. Kerja sekolah dimasyarakatkan. Aku tak perlu pening kepala cari wang untuk kelas tambahan.  Guru-guru aku seronok lagi.

Bagi menghadapi masalah disiplin aku hanya jaga apa yang berlaku dalam pagar sekolah sahaja. Aku ada task force disiplin yang mantap dibawah kelolaan GPK HEM (seorang ustazah).  Mana-mana yang telah diputuskan untuk didenda akan didenda, yang perlu dirotan aku yang merotan. Mana-mana murid yang kesalahannya patut diberi tahu ibubapanya aku akan hantar nama ibubapa itu kepada Pengurus Felda. Semua maklumat salahlaku murid aku beritahu Pengurus Felda yang berkenaan. Pengurus akan ambil tindakan berhadapan dengan peneroka berkenaan. Laporan mesti lengkap. Pihak pengurusan felda memang memberi kerjasama yang baik dengan sekolah. Aku senang hati dalam hal ini.

Satu lagi bidang kerjasama pengurusan felda dengan sekolah ialah masalah perumahan guru. Kalau ada guru yang baru posting atau ditukarkan ke sekolah aku, masalah ramah adalah masalah utama yang aku fikirkan.  Susah nak dapat rumah sewa di felda ni dan rumah guru untuk keluarga sudah penuh. Tempat aku mengadu ialah pengurus felda.  Biasanya mereka akan cuba adakan atau sentiasa renovate rumah pegawai yang dah tak dihuni.  Aku cukup tabik pada pengurusan felda dalam membantu aku cari rumah untuk guru-guru sekolah aku. 

Aku berulang setiap hari ke sekolah, petang baru balik. Kalau ada mesyuarat di PPD aku akan ke sekolah dahulu, lihat apa-apa yang patut aku buat dan beritahu penolong-penolong aku apa perlu dibuat semasa ketiadaan aku.  Aku tak boleh menilai kebolehan aku sendiri. Tetapi aku secara terbuka meminta guru-guru membuat komen terhadap pentadbiran aku sama ada secara terbuka atau secara tertutup.  Ada yang menegur dan memuji, aku telan dan hadam semua tanpa rasa marah. Aku ucap terima kasih atas teguran dan pujian.  Bila ada masa aku akan fikirkan secara teliti. Aku bawa berbincang dengan rakan-rakan guru yang lain atau aku bincang dan minta pandangan dari isteri aku.

Atas keyakinan pihak PIBG dan Pengurusan Felda satu peristiwa yang aku tak boleh lupa ialah perayaan hari guru tahun itu.  Itulah pertama kali perayaan hari guru pada 16 Mei tahun itu dikelolakan sepenuhnya oleh PIBG dan Felda.  Semua guru diberi penghargaan.  Kami dimaklumkan perkara itu seminggu sebelum 16 Mei. Kami diminta hanya menyediakan tempat dan meminta tiga orang guru anak peneroka menganggotai AJK mereka. Semua acara  sambutan berjalan lancar. Aku diminta merasmikan peristiwa itu.  Setakat ini itulah pengalaman pertama dan mungkin terakhir dalam perkhidmatan aku sebagai seorang guru dimana Perayaan Hari Guru dianjurkan oleh orang luar untuk meraikan guru-guru kepada anak mereka. Alhamdulillah.

PIBG memang rapat dengan sekolah. Apabila pihak sekolah kekeringan wang untuk urusan pembelian kertas sebelum PMR aku maklumkan hal itu kepada PIBG. Aku perlu lebih kurang RM 4000.00 untuk belanja beli kertas. Kantung sekolah untuk beli kertas hanya ada RM 500.00 sahaja. Program untuk SPM masih berjalan.  Seminggu selepas aku mengadu kepada YDP PIBG, satu mesyuarat yang melibatkan Pengurus tiga rancangan felda dan pengurus kilang sawit setempat serta Naib Pengerusi JKKKR diadakan.  Aku mempengerusikan mesyuarat itu.  Aku terangkan tujuan mesyuarat sambil membentangkan masalah yang aku hadapi.  Sebaik sahaja aku beri peluang ahli mesyuarat bercakap seorang Naib Pengerusi JKKKR mencadangkan agar setiap rancangan menyumbangkan RM 1100.00. Tanpa aku menduga semua hadirin setuju.  Dah dapat RM 3300.00, tak cukup lagi RM 200.00.  Pihak kilang bersetuju nak beri RM 500.00.  Selesai masalah aku.  Tapi selepas itu aku menjadi risau.  Aku minta wang bantuan dari mereka, bagaimana kalau keputusan PMR dan SPM tak membanggakan. Kerisauan itu aku maklumkan kepada semua guru. Guru nampaknya bertindak positif. Aku hanya mampu berusaha dan banyak berdoa.  Walau pun begitu kerisauan tetap ada dalam diri aku. 

Semasa cuti sekolah bermula, Tuan PPD panggil aku ke pejabatnya. Aku dibawa berjalan-jalan ke dua buah sekolah menengah dibandar Lipis.  Dia kata salah satu dari dua sekolah itu akan aku tadbir sebagai pengetua. Aku diam sahaja. Angguk tidak geleng pun tidak. Kau fikirkanlah bagaimana nak tadbir sekolah-sekolah ini nanti. Aku tetap diam.  PPD tanya aku, Kau nak atau tidak. Aku jawab, tunggu surat. 10 Nov. aku terima surat. Aku bertukar bermula 15 Nov sebagai Pengetua disebuah sekolah menengah rendah di bandar Lipis. Muridnya hanya ada 295 orang sahaja.

Sekian untuk kiriman ini. Insya Allah pengalaman sebagai pengetua akan ditulis nanti.