Mei 2008


Tujuan manusia dicipta oleh Allah SWT adalah untuk menjadi khalifah dan hambaNya di muka bumi ini. Berdasarkan ayat 63-76 dari Surah Al Furqan, Allah SWT menyatakan sifat-sifat manusia yang layak menjadi hambaNya itu. Siri ini akan membincangkan perkara yang berkenaan. Selepas kita melihat sifat-sifat yang dinyatakan, kita tanya diri kita sendiri, adakah layak kita menjadi hamba Allah? Kalau tak layak, kita jadi hamba siapa?

 

  1. Dan hamba-hamba Ar Rahman itu ialah mereka yang berjalan di muka bumi beradab sopan. (ayat 63)
  2. Dan jika diajak bercakap atau dicela oleh orang-orang jahil mereka berkata ”selamat” (ayat 63)
  3. Dan mereka yang berada pada waktu malam, menyembah kepada Tuhan mereka dengan sujud dan berdiri (ayat 64)
  4. Dan mereka berdoa: Ya Tuhan kami!! Hindarkanlah kami daripada seksa neraka Jahanam (ayat 65)
  5. Dan mereka itu apabila membelanjakan hartanya tidaklah membazir dan tidak lokek – malahan pertengahan sahaja antara keduanya. (ayat 67)
  6. Dan mereka tidak menyekutukan Allah dengan Tuhan yang lain (ayat 68)
  7. Dan tidak pula membunuh manusia yang diharamkan melainkan dengan kebenaran (ayat 68)
  8. Dan tidak pula mereka melakukan zina (ayat 68)
  9. Dan barang siapa bertaubat dan beramal salih, Sesungguhnya dia telah bertaubat kepada Allah dengan diterima taubatnya. (ayat 71)

10.     Dan tidak mereka itu tidak mahu menjadi saksi palsu (ayat 72)

11.     Dan apabila bertemu dengan perkara yang sia-sia mereka berlalu secara terhormat (ayat 72)

12.     Dan mereka apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidak memekakkan telinga dan tidak membutakan mata (ayat 73)

13.     Dan mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan anak-anak kami yang menggirangkan hati kami dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertaqwa” (ayat 74)

 

Inilah 13 sifat manusia yang layak menjadi hamba Ar Rahman.  Persoalannya, adakah kita layak menjadi hamba Ar Rahman ini.  Sekiranya ingin keterangan lanjut anda bolehlah membaca Tafsir Quraan yang sememangnya terdapat di negara kita masa kini.

Sebenarnya artikel di atas ini adalah merupakan artikel dari Suara Masjid Kampung Relong, siri ke 19 yang saya tulis dan dikeluarkan pada 10 Jamadil awwal 1429H (16 Mei 2008) yang lalu. 

Berborak atau berbincang, dua perkara yang boleh dijadikan fokus dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p). Kedua-duanya menggunakan keboleh asas manusia iaitu bercakap.  Kita semenjak lahir telah diajar untuk bercakap menggunakan bahasa yang difahami oleh orang disekitar kita. Berdasarkan kebolehan asas inilah kita belajar. Belajar untuk menambah pengetahuan, belajar untuk berinteraksi antara kita dengan orang lain atau kemahiran interpersonal. Dengan berinteraksi antara kita dengan orang lain kita boleh menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta memperkembangkan pemikiran dan juga membina adab.

Persolannya, sejauhmanakah murid-murid kita menggunakan kemahiran bercakap untuk menambahkan pengetahuan, kemahiran dan memperkembangkan pemikiran serta membina adab?  Dari pemerhatian ke atas murid-murid masa kini dapat dirumuskan bahawa mereka memang pandai bercakap tetapi bercakap yang diketagorikan sebagai berborakBerborak ialah bercakap sebagai proses berinteraksi tanpa fokus. Setiap orang yang terlibat dalam berborak cuba menunjukkan kehebatannya atau to show off . Tiada yang akan menunjukkan yang dirinya tak hebat. Bercakap tanpa tajuk dan tanpa tumpuan. Tajuk boleh berubah dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Tanpa had masa dan tanpa keputusan yang konkrit dan jitu.  Oleh itu anugerah Allah kepada kita iaitu keboleh bercakap menjadi perkara yang sia-sia sahaja jika bercakap menjadi sekadar berborak. Medan yang menjadi rujukan ialah kedai kopi. Di sana ada yang berborak dari pagi sampai ke petang tanpa ada menghasilkan rumusan yang bererti atau berguna. 

Sebagai murid atau pelajar, kita mesti menggunakan anugerah Allah (kebolehan bercakap) itu agar kita dapat meningkatkan pengetahuan, memperkayakan kemahiran, mengembangkan fikiran serta memupuk adab. Ini semua hanya boleh dicapai sekiranya kita bercakap itu ada fokus, ada matlamat, menjawab persoalan apa, bila dan bagaimana serta ada penilaian kemudiannya.  Untuk memperolehi semua ini kita mesti membudayakan suasana berbincang dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Apabila berbincang kita biasanya akan menetapkan matlamat perbincangan. Apa perkara yang hendak dibincang. Ketika yang sama kita menetapkan masa, tempat dan jangka waktu pelaksanaan perbincangan itu. Kita juga menetapkan bagaimana perbincangan itu perlu dijalankan, ada yang akan mengawal keadaan atau pengerusi, ada yang mencatat (setiausaha), ada yang akan membuat persediaan untuk memberikan sumbangan maklumat atau fakta, penjelasan dan sebagainya. Dalam perbincangan ada adab-adab berbeza pendapat diamalkan, ada rujukan yang dipegang.  Setelah siap berbincang akan ada pula penilaian dibuat sama ada tercapai atau tidak matlamat perbincangan. Sekurang-kurang ada rumusan yang dibina.

Sekolah merupakan tempat yang paling sesuai perkara seperti ini disemai dan dipupuk.  Tetapi malangnya sekolah hari ini tidak mempraktikkan perkara ini. Walau pun saranan dibuat tetapi suasana itu tidak berlaku!! Salah siapa?  Jangan mencari kesalahan, kalau dicari pasti dijumpai.  Apa yang patut dibuat ialah cuba menyemai, memupuk dan membajai kebolehan bercakap secara berfokus supaya kata-kata yang dihebur keluar dari mulut tidak menjadi sia-sia seperti ahli perlimen hari ini yang sesetengahnya hanya bercakap ikut suka sahaja, konon aku yang hebat berhujah bicara. Sekolah wajar mengwujudkan budaya berbincang bukan memperkasakan budaya berborok atau bersembang kosong. Guru-guru mesti berusaha bersungguh-sungguh mengajar, mempraktikan dan memupuk suasana berbincang dalam p&p bagi mata pelajaran yang mereka ajar.  Ini merupakan fokus kerja kita.  Biarlah kita menyediakan anak didik yang pandai berbincang dimasa depan bukan murid yang hanya pandai berborak atau bersembang kosong sahaja.

Ingat mulut anugerah Allah, kebolehan bercakap juga anugerah Allah, berfikir juga anugerah Allah.  Oleh itu gunakan anugerah-anugerah itu untuk mendapatkan asset yang berguna (pahala) untuk dibawa bertemu dengan Allah. Jangan bawa bertemu dengan Allah asset yang tidak berguna (dosa) kelak neraka padahnya. 

Sekian posting kali ini. TQ 

Aku pernah mendapat email dari seorang sahabat. Artikel yang dihantar kepada aku telah aku baca. Aku dapati sangat berguna kalau dikongsi dengan pembaca seklian.  Ceritanya tentang Kunci Syurga atau Miftahul Jannah.

Hayati  kandungannya
Bismillahirrahmanirrahim.
Artikel ni agak  panjang, tapi banyak pengetahuan dan manfaat untuk kita, insya Allah…

Bila Paderi Terpaksa Buka Rahsia

Ada seorang pemuda  Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika. Pemuda ini adalah  salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan  dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang jurudakwah Islam.  Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan  mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah  masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah  perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di  kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula mula dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku  dengan hening, sebagaimana kebiasaan  orang-orang Nasarani itu duduk  dalam Gereja.

Ketika paderi masuk, mereka  serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat  itu, mata si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata,  “Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.”

 

Pemuda Arab  itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu  berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya  paderi itu berkata, “Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.”

Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu,  pemuda bertanya kepada sang paderi, “Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang  Muslim?” Paderi itu  menjawab, “Dari tanda yang terdapat di wajahmu.”

Kemudian dia beranjak  hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan  mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan  sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat  tersebut.

Paderi berkata, “Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan  dan anda harus menjawabnya dengan tepat. ” Si pemuda tersenyum dan berkata, “Silakan!”

Sang paderi pun mulai bertanya, “Sebutkan satu yang tiada  duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada  limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya,  sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.”

“Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia  tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan  ibu!”

“Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api  dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?”

“Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?”

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.

Setelah membaca  “Bismillah…” dia berkata,

-Satu yang tiada duanya ialah Allah  s.w.t..

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t.  berfirman, “Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran  kami).” (Al-Isra’: 12).

-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan  yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang  anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur’an.

-Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

-Enam yang  tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

-Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, “Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali  tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.”  (Al-Mulk: 3).

-Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul  Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, “Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung  ‘Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.” (Al-Haqah: 17).

-Sembilan yang  tiada sepuluhnya adalah mu’jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat,  tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan  belalang.*

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah  s.w.t. berfirman, “Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.” (Al-An’am: 160).

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah  Saudara-Saudara Nabi Yusuf .

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah  Mu’jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Musa  memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, “Pukullah batu itu dengan  tongkatmu.” Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air.” (Al-Baqarah: 60).

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

-Adapun sesuatu yang bernafas namun  tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. berfirman, “Dan waktu subuh  apabila fajarnya mulai menyingsing.” (At-Takwir: 18).

-Kuburan yang  membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

-Mereka yang  berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni  ketika mereka berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi  berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia  dimakan serigala.” Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka,  “Tak ada cercaan terhadap kamu semua.” Dan ayah mereka Ya’qub berkata, “Aku akan  memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha  Pengampun  lagi Maha Penyayang.” (Yusuf:98)

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun  tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya  sejelek-jelek suara adalah suara keldai.” (Luqman: 19).

-Makhluk yang  diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih  dan Kambing Nabi Ibrahim.

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah  Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api  adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, “Wahai api dinginlah dan selamatkan  Ibrahim.” (Al-Anbiya’:69).

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta  Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang  terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

-Sesuatu yang  diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana  firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.”  (Yusuf: 28).

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting  mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di  bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub  mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi.  Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu  pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini  berkata, “Apakah kunci surga itu?”

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi  menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia  berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang  hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun  dia cuba mengelak.

Mereka berkata, “Anda telah melontarkan 22 pertanyaan  kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu  pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!”

Paderi tersebut berkata,  “Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut  kalian marah.”

Mereka  menjawab, “Kami akan jamin keselamatan anda. “

Paderi pun berkata,  “Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah, Wa Asyhadu Anna Muhammadar  Rasulullah. “

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu  terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan  menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa  .**

NOTA:

Ini adalah artikel sulung dari qasha dan  merupakan sebuah artikel yang cukup bagus. Ia dapat menyedarkan kita agar  membaca dan memahami isi kandungan Al-Qur’an bagi membolehkan kita menangkis  tohmahan dan menjawab pertanyaan orang-orang kafir.

Saya pernah membaca  dari satu buku bahawa sebenarnya paderi Kristian tahu bahawa Kunci Syurga itu  adalah Dua Kalimah Syahadah. Kerana itu (kononnya) apabila nazak seorang  Kristian, maka paderi akan datang membisikkan kalimah itu ke telinganya dengan  harapan dia akan mati dalam Islam. Saya tidak pasti sama ada dakwaan ini  (membisikkan ke telinga orang nazak) benar atau tidak. Namun saya pasti ahli  kitab Kristian tahu bahawa Kunci Syurga adalah Dua Kalimah Syahadah. Cuma,  mereka tidak mahu mengaku (kebenaran Islam) kerana bimbang akan kehilangan  pangkat dan  kedudukan duniawi.

Wallahua’lam semana kaya atau  besar…tetap Allahuakbar!!!!  ittaqullah!!!!!

—————————————————————
Nur Fariha Jailani
Seksyen Pembangunan Kompetensi
Jabatan Meteorologi Malaysia

Hari Guru membawa banyak makna kepada aku. Aku seorang guru, isteriku juga seorang guru. Kami telah berkhidmat sebagai guru lebih dari 30 tahun. Tapi perkhidmatan guru semakin hilang fokus. Kalau guru tugas kebanyakannya mendidik, mengajar dan menjadi fasilitator kepada murid dan sedikit-sedikit hal pentadbiran pendidikan tetapi hari ini kerja-kerja yang berkait dengan kertas (kata mereka orang besar-besar ialah dokumentasi) melonjak naik. Kata pembesar-pembesar negara nak kurangkan guna kertas tetapi hari ini kerja kertas semakin bertambah, semakin time consuming, semakin rencam. Walaupun zaman IT, kononnya kita nak kurangkan guna kertas nak jadi ‘paperless society’ tapi guna kertas semakin bertambah. Ramai rakan guru kata kita tiada masa nak fikirkan alat-alat bantu mengajar yang baru, atau cipta kaedah baru atau improvise kaedah penyampaian yang baru. Kalau tak guna lap top dan LCD masa mengajar, kalau datang pelawat atau pelawak kena komenlah pulak. Bukan sikit punya komen, banyakkk…. berkepuk-kepuk komen mereka, macamlah mereka itu pandai sangat mengajar!!!
Dari segi disiplin makin teruk. Kerajaan tawar masa pencen umur 58 tahun, tapi umur 45 tahu dah letih nak kawal disiplin murid. Nak sentuh murid yang degil tak boleh. Anak-anak kini terlalu manja, ibubapa mereka terlalu sensitif. Anak tak boleh usik. Banyak cerita tentang keluhan guru, nanti ada masa aku tulis panjang-panjang tentang ini. Posting ini nak tulis tentang hari guru.
Aku pernah menyambut perayaan hari guru semasa jadi murid. Kalau tak salah, perayaan hari guru kali pertama dimulakan pada 16 Mei 1973, masa itu aku bersekolah di SABS Kuantan di tingkatan Enam. Aku masih ingat Mr Chin (GPK), Mr Tan Kee Chaw dan rakan-rakannya menyayi, aku juga buat persembahan untuk meraikan guru-guru aku. Masa itu Datok Aman Shah (Orang Besar Bergelar Negeri Selangor kini) jadi guru kami yang popular (Darling of every female students)
Aku menyambut hari guru sebagai guru semenjak tahun 1978 hingga 2008. 31 kali aku sudah menyambut hari guru sebagai guru. 2 kali di Universiti semasa aku buat Ijazah. 1 kali di PPK semasa menghadiri kursus Orientasi KBSM dan lain-lain itu aku rayakan di sekolah bersama-sama rakan guru dan anak-anak murid.
Ada tiga kali perayaan hari guru yang sentiasa tersemat dalam ingatan. Pertama, perayaan Hari Guru 1995, ketika itu aku memangku Jawatan Pengetua di SM Felda. Kali pertama dalam pengalaman aku perayaan Hari Guru dikelolakan oleh PIBG dan ibubapa. (Sudah aku ceritakan dalam posting “Laluan Sejarah jadi Pengetua”). Kali kedua ialah perayaan hari guru 2001, dimana pada hari itu aku mendapat berita dari Ketua Sektor Perkhidmatan Pelajaran Pahang (dia telefon aku) bahawa aku dilantik menjadi Guru Cemerlang. Tarikh perlantikannya adalah pada 16 Mei 2001 dan sah jawatannya pada 16 Mei 2002. Ketiga, ialah perayaan Hari Guru 2007, tahun lalu dimana anak-anak murid aku (yang kini menjadi guru di sekolah yang sama, 11 orang semuanya) mengadakan program khas untuk aku, program kemuncak pada sambutan hari guru sekolah tahun lalu. Mereka menyatakan penghargaan kepada aku dalam berbagai bentuk, sajak khas, persembahan multimedia khas dan hadiah-hadiah khas sehingga aku tak terkata, hanya menitis air mata terharu dan gembira mengingatkan penghargaan dari murid-murid aku yang sudah berjaya.
Sebenarnya tarikah 16 Mei itu banyak membawa makna kepada kehidupan aku sebagai guru. Aku juga pernah dinobatkan sebagai Guru Paling Ceria di SEMESTA tahun 2004 walau pun masa itu hati aku tak ceria sebab aku terpaksa berulang alik dari rumah ke sekolah sejauh 64 km sehala. Walau apa pun hari guru tetap aku sambut seadanya kerana mengenangkan bahawa pada 16 Mei 1956, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menerima Laporan Razak yang menjadi dasar Pendidikan Negara.
“Guru Cemerlang Negara Terbilang”, dan Terima Kasih Cikgu!!!. Sekian posting kali ini.

Memenangi hati Guru.  Mengikut Kauzes dan Posner (1995) salah satu amalan utama seorang pemimpin dalam melaksanakan perubahan ialah dengan memenangi hati orang yang dipimpin.  Aku sememangnya memberi perhatian dalam hal memenangi hati guru-guru ini.  Aku tak boleh buat kerja untuk meningkatkan prestasi sekolah seorang diri, aku perlu bantuan dari para guru.  Oleh itu aku kena memenangi hati mereka. Antara aktiviti yang aku buat ialah:

(1)  Mengadakan ‘open house’ sempena Hari Raya.  Tak kiralah Hari Raya Puasa atau Hari Raya Haji, aku sentiasa mengadakan ‘open house’ dengan menjemput semua guru dan kakitangan sekolah serta seluruh keluarga mereka ke rumah aku pada hari tertentu.  Secara tak langsung aku dapat berkenalan dengan suami atau isteri para guru dan pekerjaan SM Batu Dua. Aku juga dapat berkenalan dengan anak-anak mereka.  Sampai sekarang pun guru-guru atau pekerja sekolah yang pernah berkhidmat di bawah aku sentiasa ingat akan majlis ‘open house’ itu.

(2)  Mengadakan Majlis Hari Keluarga staf di perkarangan rumah aku.  Aku mempunyai kolam ikan dua buah dekat rumah aku.  Ini adalah yang menjadi tarikan kepada para guru itu. Mereka merancang mengadakan acara-acara Hari Keluarga sambil ada peluang mengail atau menjala ikan dalam kolam aku.  Selepas itu ikan itu akan dimasak untuk dimakan bersama-sama.  Dengan cara itu terjalinlah kemesraan antara kakitangan dengan pengetua mereka.  Kemesraan dan keakraban antara semua memudahkan aku mengajak mereka membuat apa-apa perubahan ke arah kebaikan.

(3)  Aku selalu berada di bilik guru jika aku tiada kerja di pejabat atau mengajar. Guru merasakan aku sebahagian daripada mereka.  Aku pula mudah membuat pemantauan terhadap mereka, aku juga cepat tahu sekiranya para guru menghadapi apa-apa masalah. Aku juga dapat menyelami masalah anak buah dengan mudah.  Aku juga dapat menyelami hati budi mereka. Kalau perkara memerlukan pertolongan aku, aku akan cepat dapat menolong mereka.  Para guru tidak merasakan jawatan aku menjarakkan aku dengan mereka, ini menjadikan aku sentiasa dapat mengadakan interaksi positif dengan guru-guru aku.

(4)  Aku sentiasa mengadakan ‘morning prayer’ setiap pagi Rabu selama 20 minit. Tujuannya ialah untuk menyampaikan maklumat atau pekeliling mutakhir atau arahan pentadbiran kepada para guru.  Disamping itu aku tak perlu buat mesyuarat guru banyak kali.  Aku tahu bahawa guru-guru tak suka mesyuarat yang acap kali diadakan. Aku hanya perlu buat mesyuarat guru sebulan sekali. Masa yang diambil untuk mesyarat guru tak lebih daripada 2 jam setiap kali.  Aku pakai strategi ‘talk straight to the point, shorten your speech and do more work.‘  Apa yang diperlukan ialah maklumat sampai, tindak ikutnya dapat dibuat cepat dan keluarga para guru tak terabai akibat pentadbiran kita.

(5)  Mengadakan jamuan di kantin untuk para guru, tiga bulan sekali.  Walau pun pengetua bukan ada elaun keraian yang banyak, tetapi jangan kedekut.  Buatlah jamuan di kantin sekolah sekali sekala agar para guru terasa mereka sentiasa dihargai. Mereka adalah kawan-kawan aku, walau pun aku pengetua.  Aku jadi pengetua kerana aku lebih tua atau lebih senior dalam jawatan.  Guru-guru yang kita pimpin itu lambat laun akan jadi pengetua atau orang besar juga satu hari nanti.

(6)  Ambil tahu tentang masalah keluarga.  Masalah anak demam atau sakit. Ambil tahu juga tentang sakit pening ahli keluarga.  Supaya kita menjadi orang yang prihatin kepada rakan-rakan.  Walau bagai mana pun berhati-hati terhadap mereka yang mengambil kesempatan.  Sentiasa beringat!!

      Pengetua tidak mampu membuat perubahan seorang diri.  Beliau perlu kepada bantuan.  Pembantu utama adalah guru-guru penolong kanan dan guru-guru kanan.  Hubungan antara pengetua dengan mereka mestilah harmoni.  Kerja sepasukan antara pengetua dan mereka adalah perlu.  Hati dan perasaan mereka perlu dijaga

Orang yang akan menjalankan kerja-kerja asas dalam apa-apa program di sekolah ialah guru-guru dan kakitangan sekolah.  Pengetua hendaklah memenagi hati mereka dengan mengenali setiap orang anggota dibawahnya. Hanafi (1990) membuat saranan agar pengetua mengetahui sikap, nilai, perasaan, harapan dan ekspektasi para gurunya.

Pengetua perlu merancang dan memperuntukan masa – dalam waktu sekolah, di luar waktu sekolah, dalam keadaan formal dan dalam kadaan bukan formal, supaya pengenalan yang terjalin tidak “superficial”, sebaliknya mendalam dan bermakna. Perkenalan juga boleh menjagkau kepada peringkat ahli keluarga para guru dan kakitangan. Sebaliknya para guru dan kakitangan sekolah perlu juga mengenali hati budi pengetua. Keadaan tambal balik ini akan mengurangkan pergeseran negatif dan salah faham dapat dielakkan

SM Batu Dua difitnah. Kali ini berkait dengan satu berita dalam surat khabar cina. Cerita tentang tiga orang murid cina kononnya muntah darah akibat ditampar oleh guru SM Batu Dua. Nasib baik berita itu keluar dalam akhbar cina, kuranglah sensasinya dikalangan orang-orang melayu.

Sebenarnya peristiwa guru yang dikatakan “menampar” murid itu berlaku dihadapan aku. Waktu perhimpunan pagi Isnin, waktu aku berucap, terdapat empat orang murid tingkatan satu buat bising. Aku minta mereka diam. Akibatnya beberapa orang guru pergi berdiri dibelakang murid-murid itu. Aku meneruskan ucapan ku.  Murid-murid itu terus membuat bising.  Seorang guru menghampiri murid yang bising itu dan menarik pelipis (side burn) murid berkenaan dan mengetuk kepala mereka dalam kadar yang perlahan.  Aku nampak perkara itu kerana ia berlaku dihadapan mata aku. Aku berdiri ditempat yang tinggi di rostrum.

Petang Isnin itu aku ke Kuantan kerana menghadiri mesyuarat pengetua SM Negeri Pahang.  Petang Khamis, Tuan Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang datang berjumpa aku.  Beliau mengatakan ada peristiwa yang tak elok berlaku di SM Batu Dua. Dia kata guru di sekolah aku menampar murid cina tiga orang menyebabkan murid-murid itu muntah darah.  Kata aku kepada Tuan Timbalan, “Kuat sungguh guru aku ni, tampar murid, ketiga-tiga murid muntah darah!!” (Logik ke berita itu?). Aku terangkan hal sebenar yang berlaku kepada beliau dan aku katakan aku bersedia menghadapi perkara itu serta aku berharap pihak Jabatan jangan buat apa-apa kenyataan atau desakan terhadap SM Batu Dua buat sementara waktu.  Oleh kerana surat khabar cina itu dibacakan kepada Tuan Timbalan oleh ADUN Ceka dan ADUN Ceka itu yang terjemahkan ke Bahasa Melayu, aku buat andaian mesti ada sesuatu disebalik cerita anak murid muntah darah itu.

Pagi Jumaat aku balik ke Lipis. Sampai dirumah aku dapati sebuah kereta Mitsubishi GLS putih di hadapan rumah aku. Tuan punya kereta ialah seorang lelaki cina menunggu aku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai bekas AJK PIBG SM Batu Dua dan juga Ketua Kampung Baru tempat murid-murid yang kena ‘tampar’ itu datang.  Dia kata nak ajak selesaikan kes yang tertera dalam surat khabar cina itu. Saya buat tak tahu sebab saya tak pandai baca akhbar berbahasa Menderin. Dia ceritakan kisah yang saya sebenarnya sudah tahu. Saya beri tahu dia supaya tunggu hari Isnin dan jumpa aku di SM Batu Dua. Ini hal sekolah mesti bincang di sekolah bukan bincang di rumah aku.

Pagi Isnin Encik Ketua Kampung dan ibu salah seorang murid yang buat repot polis yang konon anaknya kena ‘tampar’ datang ke pejabat aku.  Aku tanya si ibu, Awak dah buat repot polis? Dia jawab anak dia dah buat!!  Kalau begitu tak perlu bincang dengan aku lagi, tunggu polis akan selesaikan kes itu.  Aku bersikap begitu kerana aku tahu cerita sebenar. Sementara itu aku meminta guru-guru yang melihat peristiwa itu termasuk guru yang terlibat buat laporan peristiwa sebagai rujukan aku. Laporan itu penting untuk aku mempertahan mereka.

Murid-murid yang kononnya kena tampar itu dibawa ke balai polis oleh orang tertentu untuk buat repot polis. Pihak polis tak terima repot mereka selagi tak ada pengesahan pihak doktor kerajaan.  Doktor yang memeriksa murid-murid itu mendapati tiada apa-apa kecederaan yang dialami oleh murid-murid itu. Jadi repot polis tak boleh dibuat untuk isu itu. Esoknya mereka datang dengan wartawan akhbar cina dan bergambar dihadapan Balai Polis.  Akhbar buat berita sensasi satu muka surat penuh hari Rabu dan Khamis. SM Batu Dua disensasikan. Target mereka ialah pengetuanya.

Aku biarkan keadaan berlalu. Aku tak panggil pun murid-murid yang terlibat. Walau bagimana pun aku minta guru-guru terlibat pergi tanya polis dan doktor yang terlibat, kalau-kalau dapat berita yang sebenar. Aku tak risau sebab berita itu disengsasikan dalam akhbar cina sahaja. Sudah tentu ada udang disebalik batu bagi masyarakat cina setempat.  Kalau keluar dalam akhbar melayu mungkin aku jadi risau juga.

Selepas tiga minggu peristiwa itu berlaku, wakil penjaga murid-murid itu datang jumpa aku.  Mereka kata cerita itu dah selesai.  Mereka nak tarik balik repot polis.  Aku kata tarik ke, tak tarik ke, sama sahaja.  The damage had been done!!  Mereka nak buat jamuan makan-makan antara ibubapa murid dengan guru-guru SM Batu Dua.  Aku kata tak perlu sebab bila ada makan-makan akan ada salam-salam.  Nanti ada gambar-gambar, kemudian akhbar akan buat sensasi lagi.  Mereka akan kata pengetua SM Batu Dua dah minta maaf kepada murid-murid, ibubapa dan penjaga.  Aku tak mengaku aku bersalah, buat apa minta maaf! dan aku tak hendak dikenakan atau dibodohkan oleh si pemutar alam.

Sebulan setengah kemudian aku dikunjungi oleh OCS Kampung Baru Cina bersama-sama ketua DAP kampung berkenaan.  Ketua DAP bawa surat menarik balik repot polis dari mereka yang buat repot itu. Ketua DAP kata peristiwa itu berlaku kerana krisis MCA di tempat itu. Ada dua cawangan MCA disitu. Ada dua orang nak lawan ketua cawangan MCA yang ada.  Ketua MCA yang terancam kedudukan nak tunjuk hero, jadi ada kesempatan mereka ambil serta memangsakan orang lain.  Ketua DAP itu bersama-sama OCS Kampung Baru minta maaf kepada pihak sekolah khususnya pengetua.  Mereka kata pengetua bijak kerana (1) pengetua tak layan mereka dan  (2) tak terima pelawaan adakan jamuan.  Oleh itu pengetua SM Batu Dua tidak dijadikan mangsa dari pergolakan politik MCA setempat  

Ibubapa murid-murid yang terlibat kemudian sedar keadaan itu dan risau kalau-kalau pihak sekolah akan mengambil tindakan keatas anak-anak mereka. Oleh itu mereka minta OCS Kampung Baru diiringi oleh Ketua DAP untuk menemui pihak sekolah.  Mereka terasa bersalah kerana peristiwa itu dan tidak lagi mengharapkan MCA boleh menolong mereka. Politik orang cina memang bijak, tak dapat bergantung pada MCA mereka pergi minta DAP yang selesaikan.

Aku sebenarnya boleh ambil tindakan mahkamah terhadap fitnah yang dibuat oleh beberapa ibubapa dan penjaga serta juga akhbar yang terlibat tetapi aku tak mahu nak panjangkan kes itu. Aku tak mahu turun naik mahkamah dalam jangka masa yang panjang.  Sampai pencen pun belum tentu selesai.

Sekian untuk posting kali ini. TQ   

Diserang oleh satu bas orang estate.  Pagi itu Cikgu Arowati beritahu aku bahawa radio yang beliau guna sebagai Alat Bantu Mengajar Bahasa Melayu hilang.  Radio dibeli dengan harga RM 450.00 tahun lalu dan disimpan di Pusat Sumber Sekolah. Setelah siasatan dibuat aku buat keputusan untuk memberi tahu Pegawai Perhubungan Polis yang menjaga SM Batu Dua.  Aku telefon Insp. Razali, pegawai polis yang berkenaan yang juga OCS Bandar. Aku beri tahu beliau sekadar  makluman sahaja dan bukan hendak buat laporan polis.

Tidak semena-mena datang satu Land Rover polis ke sekolah aku. Beberapa orang polis datang diketuai oleh seorang Inspektor muda yang baru keluar daripada Maktab Latihan Pegawai Polis. Dia kata dia nak buat kes.  Aku kata tak perlu. Aku hanya maklum sahaja kepada Pegawai Polis yang jaga sekolah aku.

Dia tanya guru-guru, dia tanya jaga, dia tanya tukang kebun. Akhirnya dia dapat tahu ada sekumpulan murid India merupakan kumpulan yang terakhir meninggalkan sekolah diwaktu petang pada hari radio itu hilang. Polis dah dapatkan beberapa orang murid India lelaki dan perempuan yang balik lewat pada hari kejadian itu. Inspektor Muda hendak buat siasatan. Aku kata buatlah dalam bilik pengetua, tapi inspektor Muda berkeras nak bawa murid-murid India itu ke Balai Polis Daerah. Waktu dia minta izin sebenarnya dia telah menghantar murid-murid India itu ke Balai Polis. Aku hanya dapat memerintahkan seorang guru disiplin pergi ke Balai Polis untuk mengikuti keadaan selanjutnya. Akibat dari peristiwa itu murid-murid India itu balik lewat, melebihi pukul 3.00 petang dan seorang murid perempuan dikatakan dipukul oleh pihak penyiasat dengan host getah dalam bilik penyiasatan.

Dua hari selepas peristiwa itu satu bas (mutan 28 penumpang) telah menyerang aku. Mereka terdiri daripada bapa dan penjaga murid-murid India dari sebuah estate (13 km. dari sekolah).  Meraka park bas mereka ditempat letak kereta guru-guru. Ketua guru disiplin datang mengingatkan aku bahawa ribut hitam akan berlaku untuk melanda sekolah. Aku kata releks dan sediakan kerusi dalam bilik pengetua untuk mereka.

Aku jemput mereka yang 28 orang itu kebilik pengetua. Seorang anak muda sebagai juru cakap memperkenalkan diri. Dia kata dia berkerja dipejabat peguam di Kuala Lumpur. Aku kata tak ape!!, awak kerja di pejabat PM ke, di pejabat Menteri Pendidikan ke atau di pejabat Kerja Raya pun tak ape!!. Kemudian si orang muda kata dia nak telefon YB kawasan dia, nak beri tahu tentang hal ini. Aku kata silakan. Dia terus telefon YB berkenaan. Aku dengar dia menyebut nama SM Batu Dua dan dia tanya nama aku. Selepas itu anak muda itu keluar tanpa berkata apa-apa.

Sebenarnya YB kawasan mereka itu seorang Dato’.  Dia merupakan anak murid aku semasa dia belajar ditingkatan tiga. Agaknya YB itu marah kepada orang muda itu kerana kacau guru yang dia hormati.

Bila juru cakap orang muda itu lari, orang lain terpaksa jadi ketua atau juru cakap. Orang yang paling cerdik ketika itu ialah mandur estate yang juga driver bas. Dia pun mula cakap banyak. Aku biarkan sahaja. Bapa dan penjaga yang lain diam sahaja. Si Mandur pertikaikan mengapa murid-murid itu saya hantar ke Balai Polis.  Aku beri penjelasan panjang lebar tentang hal itu. Aku juga kata bahawa balai polis adalah tempat paling ’selamat’, kalau tak selamat itu diluar kemampuan aku nak kawal. Aku kata TPM (Anwar Ibrahim) pun kena belasah dalam lokap polis. Itu realiti.

Setelah berlaku cabar mencabar, debat berdebat, akhirnya aku tanya si Mandur estate yang pandai cakap, yang tunjuk seolah-olah dia tahu semua, dia cerdik, dia bijak, dimana di belajar dan apa kelulusan dia? Ada pergi Universiti ke?  Si Mandur tergamam. Aku beri tahu dia aku lulus Universiti. Si Mandur tunduk malu dan yang lain diam tak kata apa-apa. Akhirnya mereka tanya aku apa nak buat? Aku kata pergilah ke Balai Polis. Tanya apa sebenarnya berlaku.  Semua terus diam.  Aku beri tahu mereka aku akan telefon Balai Polis, beri tahu Balai ada satu bas India dari estate A nak datang ke Balai Polis. Si Mandur juru cakap mereka kata jangan! jangan!.  Mereka bergegas keluar dari bilik aku cepat-cepat!!!.

Apabila aku maklumkan hal ini kepada Inspketor Razali, Pegawai Perhubungan Polis bagi SM Batu Dua barulah aku tahu duduk perkara.  Ramai orang India dari estate A itu ada masalah dengan polis. Insp. Razali kata kalau aku telefon awal polis boleh masukkan semua mereka ke lokap. Nasib baik aku tak telefon awal pihak polis, kalau tidak nyaya aje bapa dan penjaga dari estate itu.

Apa-apa pun banyak pengajaran dari peristiwa ini. (1) Kalau kita sebagai pengetua diserang, kita kena tenang. Jangan aggresif (2) Kalau boleh jatuhkan moral ketua mereka dahulu, biar mereka rasa kecil. Matikan ego ketua mereka dahulu. (3) Kalau ada yang suka bercakap, kita jangan menyampuk. Biar dia habis bercakap. Bila dia dah habis bercakap minta yang lain diam, kita pula bercakap (4) Tunjukkan kita lebih pandai daripada mereka, turunkan emosi mereka dengan merendahkan emosi kita. dan (5) Kalau perlu hubungi pihak keselamatan (polis), kita boleh cas mereka sebagai the intruder.

Sekian untuk posting kali ini. TQ       

Semalam cuti Hari Hol bagi Negeri Pahang. Aku pergi ke SMKA TAHAP Jerantut. Memenuhi undangan Hajah Pengetua, sahabat lama aku. Pergi cahap-cakap tentang Sains dengan murid-murid tingkatan lima dari SMKA TAHAP dan juga sekolah-sekolah lain di Daerah Jerantut.  Waktu Asar aku bersolat di Surau Bukit Berangan.  Selepas solat ada tahlil kesyukuran. Selepas tahlil Abang Haji Awang Idris buat sedikit ucapan.

Surau Bukit Berangan, asalnya adalah surau yang dibina oleh Ayah Haji Tuan, Tok Guru Bukit Berangan. Abang Haji Awang Idris adalah anak sulung Ayah Haji Tuan.  Surau Bukit Berangan adalah pusat penyebaran dan mempertahankan Islam di Kampung Relong dan sekitarnya. Kampung Relong adalah kampung yang diteroka oleh Tok Linggi. Dahulu di sekeliling surau itu terdapat pondok. Penghuni pondok-pondok itu dari kanak-kanak, orang dewasa sehingga orang tua, adalah merupakan pelajar yang mengaji agama di surau itu.  Pondok itu sudah wujud semenjak sebelum Jepun sehingga ke zaman kominis. Nenek aku pun ada pondok disitu. Kata emak aku pondok itu adalah tempat kami sekeluarga tinggal dimasa kominis mengamuk dulu.  Ayah aku adalah orang yang dikehendaki oleh kominis. Bapa saudara aku mati ditembak kominis, seorang lagi bapa saudara aku tempang akibat ditembak kominis. Kini pondok-pondok dah tiada lagi, yang ada hanya rumah anak cucu Ayah Haji Tuan sahaja.

Bermula dari Surau Bukit Berangan, tertubuhnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Relong awal tahun 60′an dahulu. Tapi SAR Kampung Relong mati akhir tahun 60′an. Bekas muridnya yang berjaya kini sudah pencen. Kini SAR Kampung Relong tinggal dalam kenangan sejarah. Sejarahnya belum tertulis.

Surau Bukit Berangan dibina secara gotong royong oleh penduduk Kampung Relong. Surau itu sebagai tempat orang kampung belajar agama dari anak kampung yang balik dari mengaji agama. Ayah Haji Tuan, Tok Guru Bukit Berangan dulu belajar secara memondok di pondok Tuan Guru Haji Ismail Akil, Pasir Mas Kuala Lipis. Dia pergi belajar bersama-sama beberapa orang anak Kampung Relong termasuk ayah aku, Cu Him.  Kemudian mereka belajar lagi memondok di Kelantan. Sekembali dari perantauan mereka membuka surau di kampung Relong.

Antara tugas mereka ialah memurnikan akidah dan meningkatkan kefahaman Islam dikalangan penduduk kampung. Pusat aktivitinya ialah Surau Bukit Berangan. Ayah Haji Tuan berbakti sejak zaman sebelum Jepun menjajah Malaya sehingga ke akhir hayatnya tahun 70′an.  Semasa hayat Ayah Haji Tuan surau Bukit Berangan sentiasa meriah.  Perayaan agama tetap diadakan di surau itu.     

Tahun 60′an Surau Bukit Berangan dibina semula. Kali ini Kerajaan Negeri Pahang memberi peruntukan. Terbinalah surau kayu beratap asbestos. Perasmiannya dibuat oleh Tuan DO Daerah Lipis. Tuan DO datang merasmikan Surau Bukit Berangan bersama-sama isterinya. Aku masih ingat lagi dalam majlis perasmian itu isteri DO merokok depan orang ramai (tak senonohnya perempuan merokok depan public) Tahun 90′an, atas inisiatif anak bongsu Ayah Haji Tuan, Beh Ri suaru itu di sambung 10 kaki lebar.  Tahun ini atas inisiatif anak cucu Ayah Haji Tuan, Surau Bukit Berangan dibuat renovasi. Kali ini wang peruntukan tidak diminta dari kerajaan, sebaliknya wang didapati dari derma. Derma atau sedekah jariah itu diperolehi dari anak cucu Ayah Haji Tuan dan penderma setempat.  Kutipan melebihi RM 36,000.00.  Tedapat lebih daripada 15 orang yang menderma lebih dari RM 1000.00.  Hebat orang Relong ni!! Insya Allah dengan keikhlasan mereka, Islam tetap akan teguh di Kampong Relong.  Diharapkan Surau Bukit Berangan akan tetap berperanan sebagai tempat tersebarnya Islam yang syumul (bukan Islam Hadari)

Majlis tahlil dibuat kerana tanda bersyukur atas kejayaan membuat renovasi terhadap Surau Bukit Berangan. Di Surau itu masih diadakan majlis menadah kitab. Masih ada anak Ayah Haji Tuan yang boleh baca kitab kuning. Ada anak Ayah Haji Tuan yang mengajar hadith dan tafsir, fardhu ain dan mengaji quraan.  Aku pernah belajar tajuwid semasa mula-mula jadi guru akhir tahun 70′an dahulu. Masa itu Ayah Haji Tuan sudah tiada, aku bersama-sama Beh Ri anak bungsu Ayah Haji Tuan belajar tajuwid pada menentunya, Abang Muhamad Ustaz.  Semoga anak-anak Ayah Haji Tuan dan penduduk berdekatan terus mengimarahkan Surau Bukit Berangan.  Mungkin kalau boleh mulakan program tahfiz al Quraan secara serious.

Di surau ini masih terdapat keketuk (alat isyarat masuk waktu solat) yang berusia lebih 90 tahun. Keketuk itu dibuat daripada pokok leban yang dicari oleh Pak Andak Tanjung Kulur (Besan Ayah Haji Tuan, Tok Guru Bukit Berangan). Bunyi keketuk itu masih nyaring lagi.  Semalam Beh Ri (orang besar pendidikan Daerah Lipis kini) menceritakan nostalgia beliau mengetuk keketuk batang leban itu dibulan Ramadhan.

Penceritaan ini berdasarkan kepada cerita, nama dan keadaan sebenar. TQ  

Diserang oleh sekeluarga Cina. Dalam Catitan Pengetua 2 dahulu aku menceritakan tentang aku diserang oleh seorang ibu Melayu. Melalui posting ini aku nak cerita bagaimana aku menghadapi serangan satu keluarga cina. Kes berpunca apabila mereka menerima surat buang sekolah anak lelakinya. Dalam surat itu menyebut bahawa mereka boleh datang berjumpa dengan pengetua sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan yang dibuat oleh sekolah. Mereka datang tiga beranak; ibu dan dua orang kakak serta murid lelaki yang dibuang sekolah itu.

Ibu:   Apa pasal awak buang anak saya, anak saya tak salah, anak saya tidak jahat punya budak!  Sebelum apa-apa berlaku aku persilakan semua duduk di atas sofa bilik pengetua. Tapi mereka tak mahu duduk. Badan ketiga-tiga mereka besar belaka, sendul, sendul. Aku buka fail khas tentang murid berkenaan. Sememangnya murid yang ada banyak kes aku minta GPK HEM dan Guru Disiplin buka fail khas, khusus atas nama murid yang berkenaan. Dalam fail itu terdapat (1) Senarai kes-kes salah laku yang telah dibuat oleh murid berkenaan. (2) Rekod-rekod tindakan yang telah diambil. (3) Rekod-rekod kaunseling yang dibuat (4) Salinan surat-surat yang telah dihantar kepada ibubapa/penjaga termasuklah surat amaran pertama, amaran kedua dan amaran ketiga. (5) Surat aku janji selepas amaran pertama dan amaran kedua yang ditandatangan oleh pengetua, murid yang berkenaan dan juga oleh ibubapa/penjaga atau wakilnya.

Bila melihat surat aku janji pertama dan kedua, ibunya mempertikaikan orang yang mewakili mereka. (Anak murid yang dibuang namanya bermula dengan Wong, tapi yang tandatangan surat aku janji mewakili keluarga mereka bernama Tan) Si kakak marah-marah, sambil berkata itu bukan wakil keluarga mereka, Dia kata aku menipu. Sebenarnya semasa orang yang bernama Tan itu datang untuk tandatangan aku janji bagi pihak keluarga Wong itu, En Tan kata dia adalah adik kepada ibu murid yang dibuang. Memang aku ada buat catatan  dalam fail itu. Murid yang dibuang itu memang memperkenalkan En Tan sebagai bapa saudaranya dan aku dah confirm hal itu dengan beberapa orang murid jiran si Wong murid yang kena buang itu.

Saya tanya si kakak yang bongkak itu “Apa nama ibu awak sebelum dia berkahwin dengan ayah awak” Si kakak diam. Ibu bercakap-cakap dalam bahasa Cina. (Aku tak faham) Aku beri tahu nama ibunya berdasarkan catatan yang ada dalam surat beranak adik dia si Wong murid yang kena buang itu.  Mereka ingat aku tak catat hal-hal seperti itu. Aku tunjukkan catitan yang tertera dalam fail itu.  Selepas itu semua diam. Aku ingatkan mereka bahawa mereka boleh buat rayuan dalam masa 30 hari selepas surat buang sekolah dikeluarkan. Rayuan mesti dibuat kepada pendaftar sekolah di JPN Pahang (Pendaftar sekolah ialah Pengarah Pendidikan Negeri)

Si Kakak yang banyak bercakap terus diam. Akhirnya episod yang mulanya panas dah jadi lembab. Mereka meninggalkan bilik pengetua tanpa sebarang kenyataan.

Catitan buat Pengetua, GPK HEM dan Guru Disiplin. Jika hendak buang murid yang bermasalah, ingatlah (1) tandatangan surat buang sekolah hanya boleh dibuat oleh pengetua/Guru Besar, orang lain tak boleh tandatangan bagi pihak pengetua. (2) Ingatlah bahawa Pengetua ada hak membuang murid yang bermasalah setelah memenuhi prosedur yang ditetapkan dan murid yang dibuang sekolah boleh merayu kepada pendaftar sekolah negeri masing-masing dalam masa 30 hari selepas tarikh  surat dikeluarkan. (3) Dokumen mesti lengkap dan betul (4) Setiap kesalahan yang mengakibatkan amaran mesti diiringi dengan rekod kaunseling oleh kaunselor sekolah kecuali kes-kes tertentu. (5) Murid telah diberi amaran pertama melalui surat berdaftar, amaran kedua melalui AR register dan diikuti dengan gantung sekolah dan amaran ketiga  diikuti dengan buang sekolah, kecuali kes-kes tertentu (6) Berhati-hati sebelum membuang seseorang murid dari sekolah.

Walau bagaimana pun kalau murid berkenaan mendatangkan masalah kepada sekolah, eloklah GPK HEM dan Guru Disiplin memulakan prosedur jangan sampai kerana beberapa orang murid bermasalah satu sekolah akan hancur disiplinnya. Peningkatan disiplin akan meningkatkan pencapaian akademik serta memudahkan pentadbiran. Pimpinan sekolah akan berjaya jika masalah disiplin dapat dikurangkan.

Posting akan datang cerita aku diserang oleh satu bas india dari estate. Sekian TQ   

 

Kupasan Mutu Jawapan (KMJ) adalah merupakan hasil tulisan guru-guru yang terlibat secara langsung dengan penandaan kertas calon peperiksaan. Biasanya guru-guru ini adalah orang yang paling kanan dalam kerja memeriksa kertas peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STAM) dibawah kelolaan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Antara kandungan KMJ yang boleh dimanfaatkan oleh para guru ialah penjelasan tentang format sesuatu kertas peperiksaan serta konstruk yang disoal bagi sesuatu soalan. Dua perkara ini sangat penting diketahui dan difahami oleh seseorang guru yang mengajar bagi menyediakan murid mereka menghadapi peperiksaan. Setiap mata pelajaran mempunyai format peperiksaannya tersendiri. LPM telah mengeluarkan buku format bagi setiap mata pelajaran yang diuji dalam peperiksaan. Dalam buku format itu diterangkan konstruk yang akan diuji seperti pengetahuan, kefahaman, aplikasi dan sebagainya. Dalam KMJ setiap soalan yang dibincang akan dinayatakan konstruknya.

Selain itu KMJ juga memaparkan contoh-contoh jawapan calon yang betul serta boleh diterima untuk diberikan markah. Terdapat juga contoh jawapan yang salah serta komen dan pernyataan sebab mangapa jawapan calon itu salah. Peraturan Pemarkahan (PP) atau skema jawapan adalah bertaraf SULIT dan tidak boleh didedahkan kepada umum tetapi melalui KMJ secara tak langsung skema jawapan bagi sesuatu kertas peperiksaan dapat diketahui. Oleh itu guru-guru perlu arif dan bijak menggunakan KMJ bagi tujuan memahami skema jawapan.

Di akhir KMJ terdapat saranan untuk calon dan saranan untuk guru. Saranan untuk calon ini perlu diterangkan kepada murid-murid agar mereka dapat menyediakan diri bagi menghadapi peperiksaan. Manakala saranan untuk guru membimbing para guru untuk melakukan sesuatu yang betul dan tepat bagi menyediakan murid mereka untuk menghadapi peperiksaan. Saranan-saranan ini ada yang berbentuk umum dan ada yang berbentuk khusus bagi sesuatu mata pelajaran.

Dalam menyediakan calon untuk menghadapi peperiksaan selalunya calon-calon dan para guru ingin mengetahui soalan yang bakal keluar dan ingin melihat skema jawapan. Perlu diingatkan kedua-dua perkara ini adalah bertaraf SULIT dan dikawal dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Oleh itu kedua-duanya tidak boleh didedah atau dibocorkan oleh mereka yang terlibat iaitu ahli penal dan pemeriksa kertas. Penjawat kedua-dua tugas ini tidak ramai dan mereka terikat dengan OSA. Oleh itu satu-satunya sumber yang dibuka oleh LPM (melalui dasar tingkap terbukanya) ialah KMJ.

Diharapkan seluruh guru dapat memahami, menggunakan dan memanfaatkan KMJ ini untuk meningkatkan profesionalisma keguruan dan menyediakan calon-calon kita dengan sempurna. TQ