Julai 2008


Bercakap adalah satu anugerah Allah. Oleh itu apabila bercakap biarlah mendatangkan kebaikan kepada penutur dan pendengar. Biarlah si penutur beroleh pahala dan pendengarnya juga berlaba dengan pahala. Kebanyakan murid hari ini memang pandai bercakap. Mereka diasuh untuk bercakap semenjak dari kecil lagi, sebelum mereka hadir ke tadika.  Ibubapalah orang yang bertanggungjawab untuk mengasuh anak-anak mereka bercakap.  Rakan-rakan sebayanya yang mengukuhkan kemahiran bertutur itu. Sikap suka bercakap ini juga disuburkan lagi oleh pergaulan anak-anak itu di rumah bersama ibu, bapa dan adik beradik serta sanak saudara.  Rakan sebaya juga berperanan dalam membentuk watak bagi anak itu bercakap dan bertutur.

Apakah setakat anak itu boleh bercakap sahaja sudah memadai.  Di sekolah kebolehan bercakap ini tidak digunakan untuk pembelajaran malah membantutkan proses pembelajaran. Bercakap tidak digunakan untuk pembelajaran bermaksud, anak itu menggunakan kebolehan bercakap untuk berborak sahaja.  Berborak ertinya bercakap tanpa tajuk tertentu, bercakap dalam kumpulan dimana semua ahli berborak itu hendak tunjuk mereka yang mahir, mereka yang pakar dan mereka yang hero. Akhirnya tiada yang mendengar sebab semua nak bercakap.  Kalau diperhatikan mereka yang berborak ini akan bercakap tanpa tajuk dan tanpa fokus. Apa yang terlintas dikepala penutur akan tertuturlah. Yang penting penutur berharap dia dapat menunjukkan bahawa dia orang yang tahu dan ceritanya didengari oleh pendengar yang juga ingin menunjukkan bahawa dia juga orang yang tahu.

Aksi berborak ini sangat lumrah didapati waktu ini dikalangan murid-murid sekolah. Kalau mereka berborak diwaktu rehat tidak mengapa tetapi apa yang berlaku ialah mereka berborak sewaktu guru memberi penerangan. Malangnya apabila mereka diminta bercakap atau memberi pendapat atau menjawab soalan mereka tidak pula bercakap. Akhirnya pengajaran dan pembelajaran akan terganggu. Selain pengajaran dan pembelajaran terganggu, pembelajaran rakan-rakan sekelas juga tersekat-sekat akibat daripada guru hendak mententramkan keadaan.  Pengajaran guru juga tidak lancar. Oleh itu berborak ini boleh menyebabkan gangguan kepada pngajaran dan pembelajaran. Apa yang lebih malang lagi ialah murid-murid ini berborak tentang perkara yang tidak berkaitan dengan isi pembelajaran. Bercakaplah mereka tentang topik yang membawa seronok seperti perihal artis, perihal kehebatan mereka menakal di sekolah, kehebatan mereka beraksi tak semenggah dengan budaya diluar sekolah dan banyak lagi perkara yang tidak bermanfaat disisi pembelajaran mereka. 

Kebolehan bercakap ini boleh dimanfaaatkan sekiranya murid mngambil bahagian yang aktif dalam perbincangan. Untuk membuat perbincangan murid mesti membuat persediaan dari segi pengetahuan. Semasa perbincangan dibuat setiap murid mesti bercakap. Kesempatan untuk bercakap hendaklah dikawal oleh pengerusi kumpulan perbincangan. Apa yang ditutur akan dicatat oleh juru catat dan juga semua ahli. Pendapat, pengetahuan, idea dan juga buah fikiran seseorang penutur itu menjadi bahan yang berguna. Hasil catitan menjadi nota. Segala hasil penuturan ahli kumpulan perbincangan menjadi bahan rujukan mengulangkaji.  Oleh itu bercakap dalam kumpulan perbincangan mendatangkan faedah kepada murid untuk melakukan pembelajarannya.

Apabila perbincangan dibuat sudah pastilah ia memerlukan tajuk yang hendak dibincang. Tajuk ini dikupas oleh setiap ahli. Kupasan setiap ahli ini menambahkan lagi kefahaman.  Dalam pembelajaran penambahan kefahaman adalah perkara yang sangat penting. Peningkatan kefahaman seseorang menjadikan orang itu lebih informatif dan lebih bijak. Kebolehan bercakap menjadikan kita mendapat pengetahuan dan menambahkan kefahaman itulah pembelajaran. Ditambah lagi sekiranya  pengetahuan itu boleh mengubah tingkah laku seseorang yang memperolehinya, maka wujudlah makna sesuatu perkara itu dalam dirinya. Oleh itu terbinalah ilmu dalam diri individu itu.  Dari sini bercakap dalam keadaan berbincang menambahkan ilmu, menambahkan pahala dan mendatangkan manfaat kepada diri kita. Selain dari itu berbincang mempunyai kesimpulannya yang boleh dijadikan bahan rujukan kepada ahli-ahli yang berbincang.

Persoalannya bagaimana seseorang guru mampu menjadikan perbincangan sebagi medium pengajaran dan pembelajarannya. Guru mestilah memupuk kesedaran dan kebolehan untuk berbincang ini dikalangan murid-muridnya sejak awal tahun lagi. Kemudian kembangkanlah kemahiran berbincang ini dari masa ke semasa. Jadikan anak murid kita, mereka yang menggunakan anugerah kebolehan bercakap itu untuk memproleh ilmu, untuk meraih pahala dalam alam persekolahan. Semoga kemahiran bercakap secara teratur ini dapat bermanfaat dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan mengurangkan keadaan murid berborak sewaktu P & P.  Sekian posting kali ini. TQ.

Satu lagi masalah murid masa kini ialah mereka sangat suka ke tandas. Akibat dari kesukaan mereka ini pihak sekolah telah sekurang-kurangnya melaksanakan dua polisi.  Polisi pertama ialah membuat peraturan bahawa tiada murid dibenarkan keluar dari kelas pada waktu pertama setiap hari dan waktu pertama selepas rehat.  Polisi kedua pula murid yang dibenarkan ke tandas hendaklah memakai vest pembalikan cahaya. Bagi murid yang tidak memakai vest pembalikan cahaya mereka boleh dianggap melanggar perauran sekolah.  Persoalannya, adakah kedua-dua peraturan ini berkesan dan dapat mengatasi masalah yang dihadapi.  Masalah murid suka ke tandas dan keluar kelas.

Mengapa murid suka ke tandas? Mengikut jawapan murid-murid mereka ke tandas selain membuang apa-apa yang patut dibuang ialah melepaskan tension dalam kelas. Apa tidaknya kalau melihat mereka yang berjalan ke tandas itu tiada yang menunjukkan keadaan ingin bersegera, sebaliknya mereka berjalan berlenggang lenggok sambil bersembang dan berguaru dengan rakan yang berjalan berasama-sama.  Lebih anih lagi ialah mereka akan mengikut jalan yang lebih jauh ke tandas walau pun ada jalan yang lebih dekat.  Akibat sikap ini mereka ke tandas menggunakan waktu yang lama. Kadang-kadang memakan sehingga 40 ke 50 minit.

Membuangan air kencing, adalah tindakan terkawal terutama bagi mereka yang sudah melepasi zaman kanak-kanak.  Kalau anak-anak tidak mampu mengawal maka mereka perlu memakai penyerap air seperti drypers, pempers dan lain-lain.  Orang orang yang tua juga tidak mampu mengawal kencing mereka oleh itu mereka juga kena memakai alat penyerap air ini. Seolah-olah ramai murid ketika ini tidak mampu mengawal kencing mereka. Mungkin mereka perlu memakai drypers ke sekolah dan ini merupakan satu kaedah yang boleh diguna sekiranya masalah terlalu kerap ke tandas ini belum dapat diselesaikan.   Sewajarnya anak-anak diberikan latihan tandas atau toilet training, ini bertujuan agar anak itu boleh berlatih mengawal waktu hendak kencing mereka. Kalau mereka boleh mengawal waktu kencing mereka, maka tidak berlakulah keadaan dimana murid sentiasa hendak keluar kelas waktu pengajaran dan pembelajaran. Agaknya murid-murid ini tidak pernah diberikan latihan tandas sewaktu mereka kecil. Aku yakin perkara ini tidak berlaku kerana majoriti ibubapa di sini tidak memahami konsep keibubapaan (parenting). Oleh itu kemahiran keibubapaan tidak berapa ada dikalangan mereka yang menghantar anak mereka ke sekolah ini.  Sewajarnya juga murid-murid yang menghadapi masalah ini perlu juga diberikan latihan tandas.

Murid keluar masuk kelas sewaktu pengajaran dan pembelajaran sebenarnya menggangu konsentrasi rakan-rakan mereka semasa belajar. Oleh itu usaha mesti dibuat untuk mengurangkan keadaan ini. Pengawalan perlu dibuat agar murid-murid sedar bahawa apabila mereka keluar mereka akan ketinggalan dalam pembelajaran mereka.  Kesedaran kepada pembelajaran itulah yang penting ditanam disanubari anak-anak pelajar sekelian.  Oleh itu program motivasi khas perlu dibuat oleh kaunselor sekolah untuk menyedarkan murid-murid yang ada membuat masalah suka ke tandas ini.  Sekian untuk posting ini TQ

Sebagai guru di sekolah dan guru bilik darjah ada tiga perkara yang ketara berlaku dikalangan murid-murid sekolah menengah hari ini. Ketiga-tiga itu aku kelaskan kepada tidur, tandas dan berborak. Mungkin guru yang menjadi pentadbir dan jarang masuk ke kelas tidak sedar perkara ini berlaku dan mungkin juga ada yang sedar. Apa-apa pun sesetengah sekolah telah mengambil tindakan keatas sebahagian perkara ini.

Semasa aku mula menjadi guru tahun 1977 dahulu dan masuk tahun 80′an dan 90′an aku jarang melihat murid tertidur dengan terjelepok di atas meja. Tetapi sejak 2003 hingga sekarang aku melihat masalah ini satu fenomena yang biasa.  Semasa aku mengajar di SEMESTA sebuah SBP aku melihat perkara ini berleluasa dikelas menengah rendah.  Seperti biasa aku cuba mengatasinya dengan membuat jenaka (jokes) semasa mengajar. Aku dapati ia tidak berkesan. Sebelum dari itu disekolah-sekolah lain tempat aku pernah mengajar kalau aku buat jenaka, insya Allah masalah mengantuk dan tertidur itu akan selesai.  Aku juga cuba atasi masalah ini dengan memicit bahu pelajar yang lelaki tetapi yang perempuan aku minta rakan mereka membuat picitan diatas bahu murid perempuan yang tidur itu.  Satu lagi kaedah ialah dengan meminta semua murid bangun dan duduk atau meminta mereka membuat senaman leher dan badan. Biasanya masalah tidur dan mengantuk itu akan selesai. Lain pula yang berlaku bagi murid masa kini. Buatlah bagaimana pun selepas beberapa minit mereka akan tidur balik.  Kalau dulu yang mengantuk atau tertidur itu satu atau dua orang sahaja tetapi kini jumlahnya melebihi sepuluh ke lima belas orang.  Jadi apa patut dibuat?

Semasa aku mengajar di SEMESTA dahulu aku pernah bertanya murid-murid yang mengantuk dan tidur ini mengapa mereka jadi demikian.  Majoriti menjawab mereka terpaksa bangun pagi, pukul 3.00 atau 4.00 pagi untuk membasuh pakaian terutama murid perempuan. Aku kata kepada mereka, “kan asrama ada dobi?”  Mereka menjawab, “Takkanlah pakaian dalam (seluar dalam, coli dan sebagainya) hendak hantar dobi”. Yelah, logik juga. Aku cuba membawa hal ini dalam mesyuarat guru mencadangkan agar diberi satu petang bagi murid-murid ini berpluang membasuh pakaian dalam mereka. Ikut giliran, F1- petang Isnin, F2 – petang Selasa, F3 – petang Rabu dan F4 & F5 – petang Khamis. Tapi nampaknya sehingga aku bertukar dari SEMESTA perkara itu tidak mendapat perhatian.

Di sekolah harian aku juga bertanya kepada murid yang tidur ini, ada yang menjawab meraka tidur lewat. Aku dapati mereka tidur lewat atas berbagai aktiviti. Murid luar (yang tidak tinggal di asrama) mereka berkesempatan membuat berbagai aktiviti, terutama bagi meraka yang ibubapanya tidak ambil kesah terhadap perjalanan hidup mereka. Ibubapa yang tak mengawal anak dengan betul. Bagi yang tinggal di asrama mereka suka berborak walaupun selepas masa lampu dipadamkan.

Aku juga menggunakan cara lain untuk mengatasi masalah tidur dan mengantuk ini. Antaranya, aku menggunakan alat bantu mengajar dalam bentuk CD yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Hasilnya murid masih tidur juga. Masa bertahan untuk tidak mengantuk atau tidur adalah lebuh kurang 15 ke 20 minit sahaja.  Selepas itu akan ramailah yang tidur.  Ini merupakan tamparan hebat ke atas mereka yang mengatakan bahawa alat bantu mengajar berbentuk elektronik (menggunakan LCD, overhead projector dan komputer) akan meningkatkan minat murid untuk belajar. Wang berbilion ringgit dilaburkan atas dasar ini, tetapi hasilnya tidak kesampaian. Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula keutamaan penggunaan wang rakyat dengan melihat kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sesuatu perkara itu. Aku berani mengatakan bahawa mengajar cara lama lebih berkesan berbanding mengajar menggunakan perkakasan elektronik ini. Sebenarnya penggunaan alat elektronik ini adalah satu bentuk chalk and talk juga, hanya yang ditulis itu bukan menggunakan chalk, guna tulisan bentuk persembahan multimedia.

 Cara lain ialah dengan mengadakan kerja kumpulan, meminta mereka membentangkan hasil kerja mereka dihadapan kelas. Malangnya aku gagal juga dalam pengembangan potensi ini. Bukan masalah murid tidur lagi yang dihadapi tetapi masalah mereka tak boleh bercakap dikhalayak secara formal. Yang aku perolehi ialah “lagu sunyi sepi“. Kalau ada kawan-kawan yang mempunyai kaedah lain untuk mengatasi masalah murid tidur dalam kelas ini harap berikan komen bagi posting ini. Ingatlah murid kita menerima pengajaran melalui tiga ‘pintu‘ sahaja, iaitu mata, telinga dan sentuhan. Penghiduan dan rasa jarang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kita.  Dalam hal pembelajaran ini kita mesti ingat “when the eyes are closed, the ears also closed and the thouch also not functioning than how learning can take place?”. Atau agaknya benarlah satu penyelidikan yang mengatakan bahawa semakin besar jarak umur antara yang mengajar (guru) dengan yang diajar (murid) semakin sukar yang diajar menerima pembelajaran.  Mungkin kerana aku dah tua menjadikan keadaan begini, oleh itu eloklah aku bersara cepat. Insya Allah tahun depan (2009).  

Tetapi wajar diingat bahawa masalah tertidur dan mengantuk dalam kelas ini sedang merebak dikalangan murid-murid. Oleh itu semua pihak perlu memberi perhatian untuk mencari cara dan kaedah penyelesaiannya sebelum masalah ini menjadi parah. Kita minta angkatan guru-guru kaunseling bergabung tenaga memikirkan kaedah dan cara bagi mengatasi masalah ini untuk generasi akan datang. Kita juga mengharapkan guru-guru yang aktif dalam kajian tindakan membuat kajian sambil mengperkenalkan kaedah penyelesaian kepada masalah ini. 

Untuk dua isu lagi iaitu Tandas dan Berborak insya Allah dibuat diposting berikutnya. Sekian TQ.

Hari-hari tengok borang. Berbagai borang dipersembahkan kepada para guru untuk diisi. Masa guru banyak dihabis dan digunakan untuk mengisi borang.  Sepatutnya borang-borang itu tak perlu diisi sekiranya pihak pentadbir sekolah, atau pihak PPD bertindak bijak. Bagaimana ye? Disekolah ada guru yang pandai tentang ICT.  Mereka tahu microsoft word, excel, power point, access, publisher dan lain-lain.  Pihak sekolah atau PPD bentuk satu Jawatan Kuasa ICT untuk menangani masalah pengisian borang itu.  Gerakkan dan manfaatkan kemahiran para guru ICT ini untuk kebaikan bersama. Borang yang berkaitan dengan Head Count, atau PKKP atau Sederap boleh dihasilkan dari format asas apabila data seperti markah telah diisi. Kerja Jawatan Kuasa ICT ini adalah membuat link kepada borang-borang analisis yang perlu dan hendak ditengok oleh “orang-orang besar” yang tak tahu nak guna kemudahan ICT.  Disamping itu AJK ICT ini boleh juga mengajar “orang-orang besar” yang fobia dan takut nak guna komputer ini. Produk dari kerja AJK ICT ini bolehlah dikongsi bersama dengan para guru dalam daerah Lipis ini agar daerah ini tidaklah nanti tercorot dalam segi akademik di negeri Pahang DM ini.

Satu masalah “orang-orang besar” ini adalah mereka besar sahaja tetapi malas untuk berfikir bagi menyenangkan anak-anak buah. Mereka nak data secara direct terus minta guru isi borang. Sepatutnya orang-orang besar ni, perlu hanya duduk dekat komputer dibiliknya dan buat analisis apa-apa keputusan peperiksaan selepas para guru masukkan markah mereka. Apa yang perlu bagi mereka ialah kemahiran dalam penggunaan komputer. Kalau dah jadi orang besar kenalah tahu menggunakan perisian bagi menganalisis data terutama yang berkait dengan keputusan peperiksaan.

Dulu di Lipis ini ada seorang pengetua yang pandai program excel. Selepas peperiksaan, dia buat analisis dan bila mesyuarat post mortem peperiksaan dia yang bentang analisis. Dalam mesyuarat itu dia hanya perlu mendapat keterangan lanjut dari guru yang berkenaan mengapa mata pelajarannya merosot atau meningkat. Disamping itu dia akan membuat saranan kepada para guru untuk mengubah pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dalam kelas kalau keputusan analisisnya tidak memberangsangkan.  Beliau juga hebat dalam pengajaran dan pembelajaran kerana dia sendiri mengajar dua kelas peperiksaan.  Sayangnya beliau sudah bersara. Pengetua semasa yang ada di Lipis dan pegawai-pegawai PPD Lipis pula tak mahu menggunakan atau meneruskan kepakaran pengetua ini.  Rugilah satu butir permata yang ada dihadapan mata.  Ini semua kerana adanya rasa ego yang menjadi raja diufuk jemala yang tidak membawa apa-apa harga.

Sekiranya para guru tidak disebukkan dengan kerja-kerja mengisi borang yang banyak dan urusan perkeranian yang sentiasa memerlukan penggunaan masa yang lama sudah pasti ramai para guru dapat memberikan fokus kepada pembaikan pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru boleh memberikan tumpuan kepada penambahbaikan dalam aspek teknik-teknik mengajar yang berkesan dan melatih teknik belajar yang diperlukan sebagai kemahiran yang perlu ada pada setiap murid. Murid boleh dilatih kemahiran belajar, kemahiran berfikir dan strategi berfikir.  Dengan membekalkan asas keilmuan kepada murid-murid mereka akan dapat berkelana dengan lebih berjaya dizaman selepas alam persekolahannya nanti. Melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dan aktiviti kokurikulum maka anak-anak didik akan memperolehi latihan asas membina tiga segi kejayaan iaitu; Pembinaan Pengetahuan, Pembinaan Kemahiran dan Pembentukan Sikap (Knowledge, Skills and Attitude). Asas ini sangat penting dalam mempastikan kemenjadian seseorang murid dalam proses mendidiknya dialam persekolahan. 

Oleh yang demikian diharapkan pihak pentadbir dan pengurus pendidikan jangan menambah beban yang tidak perlu kepada para guru.  Pengisian borang demi borang adalah penambahan beban yang tidak perlu sebab komputer boleh menylesaikan masalah itu.  Mesyuarat yang berpanjangan juga tidak perlu sebab banyak perkara yang dibuat didalam mesyuarat adalah perkara yang berulang-ulang. Kadang-kadang masalah itu boleh selesai kalau bertemu satu dua orang guru. Oleh itu pentadbir sekolah perlulah bijak mengurus personal dan mengurus borang-borang. Sekian TQ

Sebenarnya sudah lama aku ingin menulis untuk tajuk ini.  Aku hanya hendak membincangkan tentang keselamatan makanan.  Makanan adalah antara tiga perkara asas yang perlu diberikan perhatian oleh setiap orang daripada kita. Perkara-perkara itu ialah makanan, pakaian dan shelter atau tempat tinggal. Makanan adalah perkara penting bagi sesorang manusia.  A hungry man is an angry man.  Makanan lebih penting daripada keselamatan.  Diperingkat negara sekiranya negara sanggup menggunakan peruntukan yang besar untuk pertahanan negara, membeli kapalselam, kapal terbang dan peralatan perang, mengapa tidak peruntukan yang besar juga diperuntukan kepada keperluan makanan. Terutama usaha untuk negara mendapat bekalan makanan yang cukup dari dalam negeri sendiri tanpa mengimpot dari negara luar.

Dari maklumat yang diketahui, Bernas dikuasai oleh kuasa asing. Oleh itu kuasa luar boleh memanipulasi keselamatan makanan negara. Peruntukan untuk bidang pertanian dikurangkan. Malah Universiti Pertanian Malaysia sudah menjadi nama yang pupus dalam kamus nama universiti di negara ini. Anak-anak muda tidak dimotivasikan untuk menjadi usahawan pertanian.  Bekalan makanan utama iaitu beras terpaksa diimpot sebanyak 30% daripada keperluan negara.

Apa yang lebih menyedihkan ialah kerja bersawah bendang sudah tidak meriah lagi dikampung-kampung tradisional yang ada kawasan sawah bendang.  Kalau dahulu semasa aku masih kecil, masih jelas diingatan ini usaha menanam padi untuk tujuan self sufficient bagi bekalan beras untuk satu keluarga.  Tak perlu beli beras dikedai. Malang sekali bagi kawasan bendang di kampung anak cucu tok linggi, kini tiada lagi usaha bersawah bendang untuk mendapat beras, yang ada hanyalah semak dan belukar tenpat babi hutan bertemasya. Dulunya semak dan belukar itu adalah kawasan sawah, akibat daripada tiada tenaga muda untukmengusahakannya makan tinggallah tanah itu terbiar ditambah pula dengan program PAROI dimana tanah sawah dikeringkan untuk ditanam limau manis.  Kini limau manis sudah tak berbuah lagi.  Sawah tidak diusahakan. Semak belukar terus merimbun.  Nampaknya Jabatan Pertanian tidak lagi datang membawa idea baru.

Zaman Jepun memerintah dahulu anak cucu tok linggi tidak resah gelisah, kerana mereka tidak putus bekalan beras kerana mereka tanam padi. Bekalan protein tidak jadi masalah sebab ikan sungai, ikan sawah, kijang dan kancil masih banyak.  Kalau pun menjadi masalah hanyalah bekalan garam. Tetapi kalau berlaku peperangan atau musibah yang lain aku kira ramai anak cucu tok linggi akan kebulur. Ini kerana tiada lagi bekalan beras yang sedia ada.  Ikan sungai sudah kurang, kalau ada pun ikan kolam.  Oleh itu diharapkan pihak yang berwajib seperti Jabatan Pertanian, Penghulu, Ketua Kampung dan JKK Kampung perlulah membuat pemikiran yang baru, perancangan yang strategik demi keselamatan anak buah terutama berkaitan dengan food security ini.  Jangan nanti sudah terantuk barulah tengadah.  Ingatlah sebelum kena, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Sekian dahulu untuk kali ini.  TQ

Pelik rasanya masyarakat di negara tercinta ini. Perkara yang berkait dengan hukum syariat dipermainkan atau dibuat modal untuk permainan politik. Implikasi permainan itu besar kepada penuduh, yang dituduh dan masyarakat seluruhnya.  UMNO kucar kacir masa kini selepas kepimpinannya menuduh liwat tahun 1998 dahulu. Kini tuduhan skrip yang sama dibuat lagi. UMNO belum kebah dari sakit akibat peristiwa 1998 dahulu, kini laluan dan skrip yang sama hendak diulangi. Tetapi peristiwa ini berkaitan dengan dosa besar. Digembar-gembur oleh media arus perdana. Akibatnya ramai rakyat jelata yang jahil ikut sama menuduh. Kalau menuduh ikut sedap rasa atau hanya merujuk kepada berita akhbar dan TV maka dosa besar akan merata kepada seluruh rakyat jelata. Maka semua yang terlibat menuduh dari wartawan, hinggalah kepada pembaca yang terpengaruh akan menanggung dosa tak terhingga. Kalau penuduh itu pemimpin negara, atau negeri, daerah atau kampung implikasinya ialah kerahmatan kepada kawasan jagaan mereka akan diterik oleh Allah SWT. Oleh itu berhati-hatilah semua dalam hal ini jangan kita terlibat sama dalam menuduh selagi kita tidak boleh membawa 4 saksi yang adil.

Dibawah ini aku turunkan tulisan dan kupasan dari sudut syariat berkait dengan perkara ini. Aku petik dari laman sesawang Ustaz Idris Hj Ahmad, PAS Pusat.

Dikirim pada oleh idrisahmad

Masyarakat Malaysia dan dunia dikejutkan dengan berita tuduhan liwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan 23 tahun. Laporan polis telah dibuat oleh Mohd Saiful Azlan pada 26hhb Julai 2008. Apakah ini satu lagi konspirasi yang melibatkan plot yang sama pada tahun 1998. Wallahua’lam.

Apa yang berlaku ini adalah satau tuduhan yang berat yang dikenakan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan melibatkan maruah peribadi beliau dan juga keluarga. Rakyat Malaysia tidak sanggup lagi untuk melihat peristiwa tilam diusung pula ke dalam mahkamah. Anak kita yang masih kecil bertanya apa dah jadi dengan Malaysia, ketika tilam diusung ke mahkamah. Kesemua ini menuntut kepada kita untuk terus merenung bahawa inilah masanya untuk kita memikirkan bahawa Syariat Islam adalah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang ada pada hari ini.

Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa terutama terhadap musuh politik , tetapi dengan syariat Islam perkara ini dapat dibendung dan disekat, kerana ada satu hukuman “qazaf” yang akan dikenakan sebanyak 80 rotan jika tidak ada 4 orang saksi. Tidak ada manusia yang waras boleh menerima perbuatan yang terkutuk yang menjadi amalan kaum Nabi Lut sehingga Allah mendatangkan balasan terhadap kerja buat mereka dengan diterbalikkan bumi.

Tuduhan liwat sama seperti tuduhan zina, kerana ia perlu kepada 4 orang saksi yang adil. Kesemua ini menunjukan bahawa Islam menitik berat soal maruah seseorang supaya tidak tercemar dan mudah orang lain lain membuat tuduhan palsu

Amaran Allah ayat 4, Surah An-Nur yang bermaksud, “dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”,

Apabila adanya hukum kepada pelaku zina dan liwat maka disana ada juga hukum “qazaf” iaitu menuduh orang melakukan zina atau liwat tanpa 4 saksi. Dengan ini semua orang takut untuk membuat tuduhan kerana memerlukan kepada 4 orang saksi. Mungkin orang berhujah kalau begitu bebaslah orang hendak melakukan zina dan liwat kerana sukar untuk mendapat 4 orang saksi yang adil. Kita jangan memandang apabila hukuman dikena baru kita anggap adil.

Sedangkan dalam Islam ia lebih suka untuk mendidik hambanya bukan untuk menghukum. Syariat Islam akan menimbulkan kegerunan kepada mereka daripada melakukan jenayah tersebut dengan ini amruah akan terpelihara. Syariat Islam ada ruh dan jasad, sedangkan hukuman manusia hanya ada jasad. Sebab itu undang-undang manusia tidak pernah mengurangkan jenayah malahan bertambah dari semasa kesemasa.

Imam Malik berkata :

*Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes Al-Mughirah Bin Syu’bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi, maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)*

Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menuduh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majoriti ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.

Tetapi kesemua ini menunjukkan bahawa indahnya syariat Islam dan gerunnya untuk mereka hendak membuat satu tuduhan yang melibatkan aib dan maruah orang yang dituduh. Apa yang berlaku terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan keinsafan kepada kita untuk membuat penerokaan baru dan berfikir sedara rasional dan buangkan tabiat fobia dengan syariat Islam akibat daripada kejahilan kita mengenai agama sehingga kita takut dengan agama sendiri dan orang bukan Islam pula bertambah takut dan keliru kerana dihijab oleh orang islam sendiri.

Dalam suasana sekarang kita hanya boleh becakap supaya membawa 4 orang saksi dan kalau gagal dikanakan hukuman qazaf (kerana membuat tuduhan tanpa saksi). Semuanya itu kita hanya boleh bercakap dan bersyarah dalam surau dan di masjid kerana keindahan Syariat Islam hanya dalam lipatan Quran dan Hadis dan kitab-kitab sahaja. Kerana negara kita tidak mengamalkan Syariat Islam dalam hukuman hatta dalam mahkamah syariah sekalipun.

Maka kesannya sekarang berlaku di hadapan mata kita. InsyaAllah apa yang berlaku memberi kesedaran kepada kita dan ini lah masanya untuk kita menerangkan bahawa indahnya Syariat Islam kalau dilaksanakan dan perkara ini tidak ada siapapun yang boleh menuduh sebarangan. InsyaAllah fajar Islam semakin terang, kerana masyarakat makin melihat bahawa selain daripada Syariat Islam semuanya tempang dan cacat dan boleh membuat tuduhan kepada siapa yang mereka mahu. Mereka tahu hukuman yang berat seperti yang dikenakan oleh Islam tidak dikenakan kepada orang yang menuduh. Syariat dimartabat maruah terpelihara.

Difailkan dalam: Politik, Tarbiyyah 

 

Insya Allah genap setahun Masehi dari tarikh hari ini aku akan bersara dari perkhidmatan kerajaan. Pada masa itu aku telah berkhidmat selama 32 tahun satu bulan. Kalau tentera, mereka akan dihantar untuk mengikuti kursus pra persaraan selama satu tahun setengah sebelum bersara. Para guru hanya perlu menunggu tarikh satu hari sebelum merayakan hari lahir ke 56 mengikut tahun Masehi. Kalau ikut tahun Islam perkhidmatan itu sudah melebihi hampir satu setengah tahun. Atau umur kita ketika bersara sudah lebih 57 tahun mengikut tahun Islam.  Sebab itu tak payah tunggu bersara 58 tahun kerana hakikat perkiraan umur kita dikira ikut kelendar Islam. Oleh kerana negara kita tidak ambil peduli kiraan kelendar Islam maka bila kita bersara umur 56 tahun Masehi, umur kita sudah melebihi 57 tahun ikut kiraan kelendar Islam.

Ramai orang tanya aku apa nak buat apabila bersara nanti. Aku sebenarnya ada rancangan yang aku kira baik untuk keluarga aku. Walau pun ada tawaran untuk bersara pada umur 58, tetapi aku kira cukuplah perkhidmatan aku setakat 56 ini. Aku ada memegang amanah dari adik beradik aku, untuk menjayakan tanah pusaka tinggalan ibu dan bapa aku. Aku tahu betapa susahnya ayah aku mengusahakan tanah kebun getah dan tanah dusun yang ada itu. Setelah 30 tahun ayah aku kembali kerahmatullah aku tidak nampak ada adik beradik aku atau anak-anak mereka yang hendak jayakan tanah bergeran itu. Jadi aku rasa bertanggungjawab atau terpanggil untuk memajukannya kerana akulah satu-satunya anak lelaki yang tinggal. Abang aku telah juga kembali kerahmatullah pada tahun 2004 yang lalu.

Dalam hal ini aku telah bercakap dengan anak-anak saudara aku dan semua mereka nampaknya bersetuju dengan hasrat aku itu. Aku hendak tanam semula tanah getah yang ada melebihi 10 ekar dan tanah dusun yang hampir 8 ekar, juga tanah sawah lebih kurang 2 ekar.  Harta tanah ini kalau tak diusaha akan jadi hutan belantara sahaja. Aku berdoa aku mampu menguruskannya. Memang aku tak mampu nak bawa cangkul dan parang untuk bekerja tetapi aku boleh mengupah orang-oarang yang boleh aku upah. Aku hendak jadi orang kampung, sebab memang aku orang kampung.

Masa ini kita menghadapi masalah kekurangan bekalan padi dan beras. Aku pun pelik, dahulu kampung aku memang mashor dengan usaha tanaman padi, tetapi dalam tahun 90′an datang idea daripada agensi pertanian agar sawah dikeringkan dan tapak sawah itu ditanam dengan limau manis. Aku masih ingat lagi dalam satu kuliah subuh yang aku sampaikan di Masjid ketika itu bahawa orang kampung aku ini akan tercirit kerana banyak makan limau. Tak sampai pun 10 tahun, semua pokok limau dah tak mengluarkan buah lagi.  Akibat dikorek untuk mengeringkan sawah itu aras air dalam tanah telah turun. Ini menjadikan bekas tanah sawah itu tak boleh ditanam lagi dengan padi, kerana bekalan air sudah tiada. Bagaimana kalau krisis bekalan beras berterusan? Alamatnya rakyat kampung aku akan kebulur. Zaman Jepun memerintah dahulu penduduk kampung aku tidak susah sangat sebab mereka ada padi. Walau pun Jepun cuba nak rampas padi tetapi penduduk kampung aku cerdik juga, taulah mereka dimana hendak sembunyikan padi itu.

Kini bekalan beras padi dah tiada, anak-anak kampung dah tak tahu mengusaha sawah untuk bertanam padi bagi kegunaan sendiri. Kalau apa-apa musibah melanda negara, bekalan beras tak cukup atau menjadi mahal (memang akan bertambah mahal) maka orang kampung akan melara dan merana. 

Beberapa minggu yang lalu aku kemajlis kenduri kahwin anak orang kampung asalku. Ketua kampung atau Tok Empat kampung asalku itu mengajak aku bersama-sama membuat projek menanam serai untuk dibeli oleh pengusaha dari negara Arab. Kata Tok Empat tu nanti pendapatannya lumayan. Aku tak hendak bersama dalam projek itu atas beberapa sebab. Pertama, aku dah kenal kehebatan kelentongan Tok Empat ini.  Dia kaki putar alam apabila bertemu dengan benda bernama duit. Dia memang jenis manusia yang tak boleh dipercayai dalam hal duit ini.  Kedua, aku tak tahu siapa Tok Arab yang hendak membeli pokok-pokok serai ini dan berapa harganya. Ketiga, aku lebih suka kalau Tok Empat menyedarkan anak buahnya tentang  krisis makanan dan mengajak mereka menanam padi untuk persediaan dari segi pengetahuan dan kemahiran menanam padi itu. Keempat, Tok Empat ini orang politik, ada udang sebalik mee dalam pngendalian projek ini.

Sebenarnya aku dah berpakat dengan beberapa orang yang ada tanah di kampung asalku tetapi tinggal di kampung lain untuk memajukan tanah-tanah mereka di kampung asalku itu. Semoga hasrat ini akan dapat direalisasikan apabila aku dapat mengusahakan tanah pusaka itu nanti. Rakan-rakan aku itu hanya menanti kepulangan aku sahaja walau pun aku kini tinggal sekadar 4 kilometer sahaja dari kampung asalku. Sekian untuk posting kali ini. TQ