Ogos 2008


Ramadhan datang lagi. Insya Allah kedatangannya pasti membawa berkat dan rahmat. Baru sebentar tadi aku dapat SMS dari sahabat ku di Kuala Terengganu, seorang guru. Beliau memberikan ucapan Ramadhan kepada ku “Ya Allah, muliakan saudaraku ini, bahagiakan keluarganya, berkatilah rezekinya, kuatkan imannya, berikan kenikmatan ibadatnya dan jauhkan dari segala fitnah, Ya Rabbil alamin. Selamat menyambut bulan suci Ramadhan dan Selamat Berpuasa.” Terima kasih sahabat yang sentiasa ingat kepada sahabatnya.

Aku berhajat untuk menulis tentang sambutan Ramadhan di Kampung Relong. Insya Allah malam ini selepas Isyak, akan diadakan solat tarawikh. Ada empat lokasi solat tarawikh dilakukan di Kampong Relong. Lokasi pertama ialah di Masjid Kampong Relong, kedua di Surau Bukit Berangan, ketiga di Surau Sungai Batu dan keempat di Surau Kuning Relong Seberang. Dari empat lokasi ini Masjid Kampong Relong paling meriah.

Apa yang istimewa di Masjid ini ialah kita mendapat khidmat imam dan bilal tarawikh secara bergilir-gilir setiap malam. Ertinya ada tujuh imam (malah lebih lagi) dan tujuh bilal (juga lebih lagi) yang akan bertugas di masjid ini.  Jadual giliran telah siap dibuat oleh Imam Dua. Hanya yang belum terfikir lagi oleh penduduk kampong Relong ini ialah mengambil khidmat Imam yang Hafiz Quraan. Idea ini belum terlaksana kerana anak-anak Relong belum lagi ramai yang menjadi Al Hafiz. Walau pun begitu anak Relong ramai yang jadi ustaz dan ustazah.

Untuk mempastikan ada orang berjemaah setiap waktu di masjid ada program khas dibuat. Setiap waktu solat sepanjang masa memang ada jemaah solat di masjid ini. Jemaah memang ada. Tetapi dibulan Ramadhan ini waktu kritikal ialah waktu maghrib, sebab waktu itu ialah waktu orang berbuka puasa. Ramai orang suka berbuka puasa bersama-sama keluarga mereka dirumah. Oleh itu disusun jadual berbuka bagi isi rumah tertentu di Masjid secara brgilir-gilir.  Biasanya setiap petang akan digilirkan tujuh atau lapan keluarga berbuka di Masjid. Ini adalah bertujuan untuk mempastikan ada orang melakukan solat jemaah Maghrib di masjid bagi memenuhi fardhu kifayah kariah. Kumpulan berbuka ini juga akan mengadakan tahlil selepas solat Maghrib sementara menantikan fardhu Isyak. Hanya diharapkan semua yang terlibat akan datang berbuka di Masjid, agar Ramadhan kali ini lebih berkat.

Selepas Isyak, solat tarawikh dan dikuti dengan program tadarus Al Quraan. Tadarus Al Quraan juga dibuat oleh pihak kaum ibu pada petang-petang tertentu dan anak-anak sekolah pada hujung minggu. Bagi anak-anak sekolah mereka akan dibimbing oleh beberapa orang Ustaz atau ustazah anak kampong Relong.

Selain berbuka puasa ikut giliran keluarga, terdapat juga berbuka puasa kerana kenduri. Pada 16 Ramadhan akan diadakan kenduri sekampung. Kenduri yang disponser oleh Persatuan Belia, Felcra dan setiap petang Khamis ialah kenduri umum juga diadakan. Setiap surau juga akan mengadakan kenduri berbuka puasa. Surau Sungai Batu (6 Ramadhan), Surau Kuning Relong Seberang (13 Ramadhan) dan Surau Bukit Berangan (27 Ramadhan). Semua kenduri ini dibuat secara gotong royong.

Sementara itu program masjid seperti kuliah setiap malam ditangguhkan buat sementara waktu, tetapi insya Allah tazkirah subuh pendek akan diadakan setiap pagi. Penyebaran risalah tentang puasa akan diadakan dari masa ke masa sebagai ingatan kepada semua ahli kariah untuk meningkatkan amalan Ramadhan sebaik mungkin.

Catitan Tambahan:       

1. Hari ini 31 Ogos 2008. Pagi sambut Merdeka ke 51 (Perpaduan Teras Kejayaan), suasana hambar sahaja.  Nak tengok bendera dikibar pada kereta sangat kurang. Mengapa sebabnya? Bendera terlalu banyak berkibar di kawasan sekolah. Agaknya murid-murid sekolah sahaja yang merayakan merdeka. Kalau di Lipis lagi hambar. Sambutan dibuat di dalam Dewan Jublee, biasanya dibuat dipadang Majlis Perbandaran Lipis. Tak langsung menunjukkan kemegahan merdeka itu. Rakyat Malaysia hilang ghiarah nak sambut perayaan merdeka. Silapnya ialah parti yang memerintah mencanangkan bahawa merdeka itu hak UMNO sahaja. Kumpulan lain tak beri sumbangan dalam usaha merdeka. Akhirnya kumpulan yang faham sejarah semakin menyampah kepada pemerintah. Kini UMNO dah nak tempang, jadi perayaan merdeka juga tempang.

2. Sambutan kedatangan Ramadhan juga tidak hebat. TV di negara ini seolah-olah tidak meraikan kedatangan Ramadhan. Agaknya kerana Jemaah Menteri tidak hormat akan kedatangan Ramadhan dengan membenarkan kumpulan penyayi barat yang tak berapa bermoral membuat persembahan beberapa hari lalu walaupun pada mulanya KEKWA dan Badan Perlesenan Filem dan Hiburan dah tolak program persembahan itu tiba-tiba Jemaah Menteri Hadari benarkan. Kain rentang menyambut Ramadhan juga tak nampak pun, kalau ada pun satu di simpang Sg Koyan-Berchang yang direntang oleh Pemuda PAS. Nampaknya UMNO dah lupa Ramadhan datang. (UMNO sibuk dengan mesyuarat cawangan dan bahagian dan bertanding merebut jawatan dunia. Lupa mereka usaha menyemarakkan akhirat. Itulah UMNO.

3. Alhamdulillah, baru balik solat tarawikh di Masjid Relong. Imam malam ini Ustaz Veteren manakala Bilalnya anak muda. Lapan rakaat pertama penuh lima ke enam saf lepas itu tinggal dua saf sahaja. Tak tahan nak buat 20 rakaat. Nampaknya nak melabur untuk akhirat pun malas. Kalau melabur untuk dunia tak buat juga kerana tak ada duit. Melabur untuk akhirat tak perlu duit tapi perlu keinginan dan tenaga. Wahai orang Islam buatlah banyak pelaburan untuk akhirat di bulan Ramadhan ini kerana bonusnya banyak. Tak apalah Pak Lah beri bonus dunia sebulan gaji sahaja. Allah SWT menjanjikan bonus berlipat kali ganda dibulan Ramadhan ini.  jadi apa tunggu lagi rebutlah bonus dari Allah SWT ini untuk bekalan akhirat nanti.          

Semoga Ramadhan tahun ini membawa keberkatan kepada kita semua. Sekian, wassalam.

Kalau tanya anak murid, mengapa awak mesti bersekolah atau mengapa kamu ke sekolah? Rata-rata akan menjawab mereka ke sekolah adalah untuk belajar. Kalau ditanya apa belajar itu. Rata-rata akan menjawab belajarlah untuk mencari ilmu. Dari jawapan itu ada dua konsep yang mereka sebut. Konsep itu biasa sahaja tetapi tidak mudah difahami. Konsep pertama ialah konsep belajar dan konsep kedua ialah konsep ilmu.

Kedua-dua konsep ini bukan mudah hendak difahami oleh murid-murid, malah ramai juga para guru yang tidak faham konsep-konsep ini. Dikesempatan ini aku akan menjelaskan sedikit kedua-dua konsep ini secara mudah supaya kita semua akan memahaminya.

Postman dan Weingartner mengatakan bahawa: Knowledge is produced in response to questions. And  new knowledge results from asking of new questions, quite often new questions about old questions. So here is the point: Once you have learnt to ask questions – you have learnt how to learn and no one can keep you from learning whatever you want or need to know. The most important and intellectual ability man has yet developed – the art and sciences of asking questions is not taught in school. Oleh itu jika para guru ingin meningkatkan perkembangan intelek atau kualiti pendidikan dikalangan para murid, guru harus mengorganisasikan kelas serta rancangan pengajaran supaya murid-murid tertarik untuk mengemukakan soalan bukan sahaja kepada guru mereka malah juga sesama mereka. Oleh yang demikian pemerolehan pengetahuan memerlukan murid berkebolehan untuk bertanya. Setiap murid mesti mempunyai kemahiran bertanya. Belajar ertinya pandai bertanya.

Asas kemahiran bertanya ialah WH Question (5W1H). Setiap murid mesti tahu menggunakan perkataan tanya iaitu What (Apa), When (Bila), Why (Mengapa), Where (Di mana), Who (Siapa) dan How (Bagaimana). Setelah itu perkataan tanya itu mesti digunakan dengan betul dan penggunaannya diamalkan setiap hari. Apabila berlaku aktiviti tanya bertanya, sama ada bertanya guru atau bertanya rakan-rakan, maka berlakulah asas pembelajaran di dalam sesebuah kelas atau sekolah. Sebaliknya jika tidak berlaku aktiviti tanya bertanya maka tiadalah belajar mereka itu.

Pada masa ini, tidak ramai dikalangan murid-murid yang mengamalkan cara bertanya ini untuk belajar. Mereka lebih bersikap mengaga mulut menunggu untuk disuap (spoon feeding). Akibat budaya spoon feeding ini adalah lumrahnya kelas tambahan dilaksanakan disekolah dan kelas tution oleh mereka yang mencari kesempatan. Akhirnya murid tahu bahawa belajar ertinya menunggu guru menuang atau mencurahkan maklumat kepada mereka. Mereka nganga sahaja, tak berusaha sendiri untuk mendapat maklumat. Maklumat yang diproses oleh minda menjadi pengetahuan untuk diingat. Apabila sekadar menunggu apa yang guru beri itu bukan belajar. Belajar ertinya mendapatkan maklumat dari bertanya. Maklumat itu kemudian diproses untuk ingatan dan kefahaman yang dinamakan pengetahuan. Apabila pengetahuan itu mendatangkan makna kepada diri seseorang itu (sampainya makna sesuatu kedalam diri) maka itulah ilmu. Tentang konsep ilmu ini kita mesti merujuk pandangan Prof Syed Naquib Al Attas yang dihuraikan oleh beliau berdasarkan Al Quraan dan juga pendapat ulamak terdahulu. Dalam hal ini aku tak kesampaian untuk menghuraikannya, tak cukup ilmu aku. 

Konsep bertanya dalam budaya Melayu boleh didapati daripada perumpamaan “Malu makan perut lapar, malu bertanya sesat jalan”. “Bertanyalah kepada yang pandai, memintalah kepada yang ada.” Ertinya bertanya adalah sesuatu yang sangat penting sepanjang kehidupan. Sesat jalan boleh juga diertikan sesat jalan dalam erti kata sesat dalam perjalanan sebenar atau sesat dalam perjalanan hidup. Perjalanan hidup adalah apa yang dilakukan serta dialami sepanjang hayat di dunia fana ini. Kalau kita tak bertanya mungkin kita sesat aqidah, mungkin kita salah cara ibadat, mungkin sesat cara bermunkahat apatah lagi bermuamalat, maka bila kita mati nanti segala perbuatan kita tidak akan dikira berpahala. Di akhirat nanti kita dikira muflis dihadapan Allah SWT. Muflisnya kita kerana kita segan atau malu hendak bertanya perkara-perkara asas dalam ugama.

Tentang bertanya ini Imam Ghazali ra., menyebut satu hadis marfu’ dalam kitab Ehya Ulumiddin. “Ilmu itu ibarat gudang-gudang. Anak kuncinya pertanyaan. Dari itu, bertanyalah! Sesungguhnya diberi pahala pada bertanya itu empat orang, yaitu: penanya (orang yang bertanya), yang berilmu (orang yang ditanya), pendengar (orang yang mendengar pertanyaan dan jawapan) dan yang suka kepada mereka yang bertiga tadi”.   

Oleh yang demikian sebagai guru kita hendaklah mengajar, melatih dan mengutamakan kaedah belajar secara bertanya ini diamalkan oleh para murid kita. Sekian TQ.

Semalam aku ke bandar mencari keperluan dapur dan pagi tadi aku ke bandar sekali lagi untuk menghantar anak ke stesyen bas untuk kembali ke Universiti di Selatan Tanah Air.  Biasanya kalau petang Jumaat dan pagi Sabtu memang bandar kecil ini akan sesak dengan kereta. Aku agak terperanjat apabila mendapati tak banyak kereta di banadar kecil ini.

Mengapa tak ramai orang ke pekan minggu petang Jumaat dan pagi Sabtu ni? Jawapannya mudah sahaja. Gaji belum keluar lagi, agaknya hari Isnin baru gaji keluar. Ini juga sebagai indikator bahawa kuasa beli rakyat di kawasan ini adalah rendah.  Ini juga membayangkan bahawa ekonomi disini tidak memberangsangkan.  Kan harga minyak sudah turun 15 sen? Oooo itu satu manipulasi BN untuk menghadapi PR di Permatang Pauh. Naik dulu 78 sen turun 15 sen, rakyat Malaysia masih lagi berduka.  Turun harga minyak 15 sen tidak akan memberangsangkan perkembangan ekonomi rakyat Malaysia. Ini sekadar nak lepaskan batuk ditangga sahaja. Sedangkan harga minyak global dah turun dari $148.00 ke $115.00 dolar Amerika.  Sudah turun $0.33.  33 sen ikut dolar Amerika.  Mengapa tak turun 33 sen ikut ringgit Malaysia yang memang lebih tiga kali lebih rendah berbanding dolar Amerika.  Tak ikhlas sahaja nampaknya. Sekadar nak tunjuk-tunjuk.

Apakah penurunan 15 sen itu akan menyebabkan harga barangan dan tambang kereta akan turun. Itu kita kena lihat beberapa hari lagi. Mungkin selepas 26 Ogos 2008 harga minyak naik semula. Itu satu kemungkinan!!

Cuti sekolah dah nak tamat.  Lusa sekolah dibuka semula, Bahagian akhir untuk sessi 2008. Sudah tentu agenda utama bahagian ini ialah peperiksaan.  Kepada semua guru, terutama yang mengajar dikelas peperiksaan bersedialah anda semua. Pertama, kena sembelih oleh Pengetua / Guru Besar semasa post mortem peperiksaan percubaan. Kedua, kena leter apabila keputusan turun, yang meleter tu bukan pengetua sahaja, sudah pasti penolong kanan kurikulum tumpang sekaki. Lebih parah lagi datang mamat-mamat dari PPD dan JPN yang nak tunjuk hero pada guru-guru kononnya mewakili Pengarah. Mamat-mamat atau minah-minah dari PPD dan JPN tu kalau diselidik balik masa mereka mengajar dulu kebanyakannya (bukan semua) punya prestasi mengajar lebih teruk dari kita di sekolah.  Satu teori yang ramai bersetuju ialah, mereka yang membodek agar dapat kerja dekat JPN dan PPD itu selalunya yang banyak malas dekat sekolah dahulu. Ini dari pemerhatian aku. kalau dia rajin mengajar pasti dia akan stay di sekolah sebagai guru. Cukup dulu TQ.

Kepintaran berasal dari akar kata PINTAR. Kamus Dewan memberi makna pintar sebagai: cekap, pandai, mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan. Kepintaran pula adalah kepandaian, kecerdikan dan kemahiran. Ini membawa maksud bahawa kepintaran adalah merujuk kepada kepandaian seseorang membuat sesuatu, kecerdikan seseorang dalam memikirkan sesuatu dan kemahiran seseorang dalam mengendalikan sesuatu.

Hari ini kita melihat manusia dari sudut tiga kepintaran iaitu kepintaran mental, kepintaran emosi dan kepintaran spiritual.  Maka timbulah istilah Intelligence Quotient  (IQ) iaitu ukuran tentang kepintaran mental, Emosional Quotient (EQ) iaitu ukuran tentang kepintaran emosi dan Spiritual Quotient (SQ) iaitu ukuran tentang kepintaran spiritual.

Satu ketika dahulu ukuran tentang kepintaran mental atau IQ sangat dititik beratkan. Dikatakan orang yang mempunyai IQ melebihi 100 adalah orang yang cerdik. Kemudian pula didapati bahawa orang yang IQ tinggi sekalipun sekiranya Emosional Quotient (EQ) rendah juga tidak akan berjaya dalam kehidupannya.  Orang yang IQ tinggi pandai dalam perkara berkaitan dengan bercakap tetapi kalau pandai bercakap sahaja tanpa mempunyai EQ yang tinggi, orang itu boleh bercakap dengan sesuka hatinya tanpa memahami emosi dirinya dan emosi orang lain. Orang yang pandai bercakap tanpa ambil kira perasaan orang lain mungkin akan mengumpat, berkata-kata dengan sinis dan mengguris perasaan orang lain. Orang yang ber IQ tinggi tapi EQ rendah mudah membuat kacau dan memusnahkan hubungan antara dirinya dengan orang lain. Hablum minan nas adalah rendah.  

Hidup manusia tidak berakhir di dunia ini sahaja. Manusia akan mati dan dibangkitkan di alam akhirat. Itulah sebabnya manusia muslim sentiasa berdoa untuk kesejahteraan di dunia dan akhirat. Berbicara tentang akhirat sesorang manusia itu tidaklari dari keyakinan (iman) kepada Allah SWT sebagai Maha Pencipta.  Sekadar mempunyai IQ yang tinggi belum tentu seseorang itu boleh hampir dengan Allah SWT.  Oleh itu IQ hendaklah disertai dengan Spiritual Quotient (SQ).  Orang yang hendakkan hasanan fil akhirah hendaklah mempunyai IQ dan SQ yang tinggi. Orang yang pandai bercakap tetapi tidak mengotakan apa yang dikata adalah orang yang mempunyai IQ yang tinggi tetapi SQ yang rendah.  Seorang yang pandai dalam sesuatu bidang tetapi menipu, orang yang cerdik dalam sesuatu disiplin ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmu itu atau menggunakan ilmu untuk habuan dunia, orang yang mahir dalam sesuatu  perkara tetapi menggunakan kemahiran untuk menipu manusia adalah contoh orang yang tinggi IQ tetapi rendah SQ nya. Orang yang rendah SQ adalah orang yang mencacatkan hubungannya dengan Allah SWT.  Hablum minal Lah adalah rendah.

Akan ditimpa kehinaan dimana sahaja mereka berada kecuali mereka membuat hablum minal Lah dan Hablum minan nas. Oleh yang demikian sekiranya seseorang ingin berjaya didunia dan akhirat maka hendaklah dimantapkan kedua-dua hubungan yang dinyatakan diatas dengan mempunyai IQ, EQ dan SQ yang tinggi. Mengikut kajian ketiga-tiga quotient di atas boleh diperingkatkan melalui pembelajaran dan amalan. 

Sebenarnya mengikut kefahaman ulama’ bahawa manusia ini wajib mensyukuri enam nikmat yang dikurniai oleh Allah SWT. Enam nikmat itu ialah, pertama: nikqmatul halqi, nikmat dari tiada kepada ada. Kedua, niqmatul insan, nikmat kita ini menjadi manusia. Kita tidak dijadikan yamadan, nabatan, haiwan atau insanat. Ketiga, niqmatul bayan nikmat kepintaran dan kecerdikan. Keempat, niqmatul roh, aqli dan nafs. Kelima, niqmatul rizqi dan keenam, niqmatul Islam, nikmat menjadi atau dilahirkan sebagai orang Islam.

Kalau melihat kepada nikmat yang ketiga dan keempat di atas kita sepatutnya membicarakan dengan lebih mendalam tentang nikmat yang wajib disyukuri itu berkaitan dengan konsep IQ, EQ dan SQ itu. Mungkin dikesempatan lain kita boleh mencari literature review tentang IQ, EQ dan SQ serta mengaitkan dengan niqmatul roh, aqli dan nafs. Roh itu  berkait dengan spiritual, aqli itu berkait dengan mental dan nafs itu berkait dengan emosi.

Mungkin setelah dijumpai keselarasan antara istilah para ulama’ dan istilah para cerdik pandai, maka nantinya kita akan lebih mendapat manfaat daripada ilmu pengetahuan itu. Sekian TQ