September 2008


Hari ini ialah hari ke 27 puasa. Bererti tiga hari lagi kita puasa sebelum kita menyembut Edul Fitri. Semalam ialah hari akhir persekolahan sebelum cuti raya. Tak belajarlah murid-murid tu sebab ada program Diambang Takbir.  Program Diambang Takbir dimulai dengan majlis khatam Al Quraan diikuti dengan ceramah khas Edul fitri oleh Tuan Haji Mohd Faizul Ishak, Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis. Kemudian ketibaan Tuan PPD Lepeh untuk merasmikan majlis Diambang Takbir.

Selepas ketibaan Tuan PPD Lepeh, Tuan Pengetua menyampaikan ucapan aluannya. Tuan Pengetua menerangkan tentang program ihya Ramadhan yang dilaksanakan di sekolah sepanjang bulan Ramadhan. Antara agenda yang dibuat sepanjang Ramadhan ialah mengadakan majlis tadarus diwaktu rehat setiap hari, solat tarawikh setiap malam bagi penghuni asrama, majlis berbuka puasa bersama staf dan guru-guru serta keluarga, mendaftar dan membuka akaun tabung haji bagi semua murid yang belum mempunyai akaun tabung haji dan memungut sumbangan wang untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. 

Dalam majlis ini anak-anak yatim dan fakir miskin menerima sumbangan. Terdapat juga sumbangan diberikan kepada mereka yang layak menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Malaysia (KWAPM) dan semua murid menerima duit raya. Di akhir majlis semua murid bersalaman dengan Tuan PPD Lepeh, Tuan Pengetua serta semua guru. Murid lelaki bersalaman dengan guru lelaki manakala murid perempuan bersalaman dengan guru prempuan.

Apa yang menarik ialah tentang ucapan peresmian oleh Tuan PPD Lepeh. Dalam ucapan beliau hampir setengah jam itu beliau menjelaskan tentang kepentingan amalan puasa sebagai proses mensucikan jiwa. Amalan puasa boleh menghapuskan dosa kaum muslim kecuali dosa besar. Ertinya dosa kita dengan Allah SWT terhapus dengan puasa yang betul. Jiwa yang suci itu seperti sucinya anak yang baru lahir kedunia. Tinggal lagi dosa kita sesama manusia. Dosa ini setiap dari kita perlu memohon kemaafan dari pada orang yang kita buat salah. Itulah sebabnya kita dituntut memohon kemaafan kepada setiap muslim terutama yang kita ada membuat salah terhadap mereka.  Dengan berakhirnya Ramadhan maka kita bersih dari dosa dan dengan itu kita mendapat keampunan dari Allah SWT dan bebas dari api neraka.

Tuan PPD Lepeh juga mengingatkan semua hadirin untuk menjaga tujuh perkara iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga jasad, menjaga maruah kehormatan, menjaga keturunan, menjaga harta dan menjaga tanah air atau negara. Beliau menerangkan secara detail tiga perkara. Dalam membicarakan menjaga agama beliau mengharapkan para hadirin mempunyai kefahaman yang jelas tentang perkara fardhu ain dan fardhu kifayah, menjaga nafsu termasuk nafsu dunia, nafsu perut dan nafsu syahwat. Termasuk dalam menjaga agama ialah menjaga solat, menjaga puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu.

Ketika membicara tentang menjaga akal, Tuan PPD Lepeh memberikan penekanan agar hadirin tidak terlibat dengan aktiviti yang akan membunuh akal seperti aktiviti merokok, mengambil dadah atau menghidu gam serta meminum arak. Selain menjauhkan diri dari perkara yang melemah dan merosakkan akan para hadirin juga digalakkan untuk mengembangkan akal dengan banyak membaca, mendengar pengajaran dan ceramah.

Ketika membicara tentang menjaga jasad, Tuan PPD Lepeh meingatkan agar anak-anak tidak melakukan apa-apa aktiviti yang boleh mengakibatkan kesakitan atau kerosakkan kepada jasad seperti perbuatan merempit atau bermain mercun. Perbuatan yang menybabkan kerosakan seksual juga disentuh kerana perbuatan hubungan seksual yang rambang dan haram akan merosakkan jasad dan juga menjatuhkan maruah.  Bagi aku peringatan Tuan PPD itu merupakan sesuatu yang sangat penting diambil ingatan oleh semua para hadirin.       

Selamat meneruskan puasa dan Seamat Hari Raya Edul Fitri. Sekian TQ

Surat ini aku COPY dari satu blok kepunyaan blogger yang sangat aku kenali sejak dari dalam perut ibunya lagi. Semoga mereka yang membacanya dapat memahami beberapa keadaan politik, sosial dan ekonomi negara

Kamarudin Zainal Bin Karim Ismail
No. 665, Jalan Guli Gasing
Taman Mainan Kanak-Kanak
Kuala Nerang
Kedah Darul Aman

25 September 2008

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Pejabat Pentadbiran Malaysia
Putrajaya

Assalamualaikum Datuk Seri,

PER: TAKKAN 10 SEN SAHAJA MINYAK TURUN

Sebelum cheq memulakan bicara, biaq cheq memperkenalkan diri cheq dahulu. Cheq ni anak jati Kedah. Berumoq genap 72 tahun kelmarin. Cheq ada anak lapan orang, semuanya lelaki dan semuanya sudah berumahtangga dan bekerjaya. Cheq adalah seorang pesara askaq. Orang kampung panggil cheq dengan gelaran Che Din Soljar sebab cheq bekas askaq dan penyokong kuat UMNO.

Untuk pengetahuan Datuk Seri, cheq ni bukanlah pandai sangat dalam hal-hal ekonomi nih. Tapi cheq paham benaq la pasai duit. Bukan la cheq ni mata duitan, dan duit itu bukan segalanya, tetapi segalanya memerlukan duit. Kelmarin Datuk Seri umum minyak turun 1 kupang. Cheq ingatkan dapatlah hangpa kat kerajaan boleh turunkan rega minyak sampai 2 atau 3 kupang ka tahun ni. Bukan apa, raya dah nak dekat. Habaq nak bagi hadiah kat rakyat, tapi lain la pulak yang rakyat dapat.

Mana la cheq nak letak muka cheq kat anak-anak cheq masa depa balik kampung raya nanti ni. Cheq dok la bising-bising habaq kerajaan ni adil dan baik sebab kelapan-lapan anak cheq semuanya penyokong Pakatan Rakyat. Isteri cheq pun dah jadi muslimat PAS dah, tinggal cheq aja yang biru. Malu la cheq macam ni. Kelmarin masa pilihanraya umum, cheq sorang-sorang aja yang hayun bendera dacing, depa semua balik kampung mengundi PAS dan PKR. Cheq siap kutuk depa habaq “Tenung la bulan tu sampai mata lebam, Kedah ni tak jatuh ketangan hangpa la!“. Tapi depa balas balik, “Pak sokong dacing tu nanti kena kencing“. Marah tu memang marah la, tapi kalau nak ligan, depa semua dah besaq panjang.

Tapi memang la cheq rasa macam kena kencing dengan hangpa semua. Lebih 50 tahun cheq sokong hangpa, apa pun tak dak. Nak harapkan harga barang turun kalau minyak turun sekupang ni tak payah haraplah. Sejak Datuk Seri naikkan minyak 7 kupang lepas pilihanraya hari tu, cheq sah rasa cheq ni kena tipu dengan hagpa. Sungguh-sungguh kena kencing!! Lepas tu turun sikit aja. Hangpa hantaq orang KEMAS bagi penerangan kat kami semua, depa habaq kerajaan kena tanggung subsidi banyak sebab nak bayaq pada SHELL, tapi cheq terpikir yang SHELL tu beli minyak kat Malaysia ni pun banyak juga. Jadinya bila beli harga mahal, untung pun besaq juga la, setakat nak bayaq subsidi sikit untuk kami takkan la kedekut kut.

Cheq ni bukan la penyokong Anwar, tapi bila Anwar habaq minyak boleh turun sampai 5 kupang, cheq rasa baik suruh dia aja yang jadi PM ganti Datuk Seri kan lagi baguih. Lagi pun hangpa semua setiap hari dok berkeloi nak dapat jawatan dalam UMNO. Mana hangpa ingat kami yang dibawah ni. Harapnya bila Anwar jadi PM, harga minyak turun samapai 5 kupang, senang la kami nanti. Boleh pi jalan-jalan cuti-cuti Malaysia.

Oleh yang demikian, cheq harap Datuk Seri tak kecil hati dengan apa yang cheq habaqkan ni. Bukan apa, kita ni elok menyampaikan hal yang benaq . Betul tak?. Oleh itu cheq harap Datuk Seri pikir la apa yang cheq habaqkan ni. Cheq dahului dengan ucapan ribuan terima kasih dan Selamat Menyambut Idulfitri.

Sekian, yang benaq,

Kamarudin Zainal Bin Karim Ismail

*Surat ini adalah cetakan komputer, tidak memerlukan tandatangan.

Selamat menyambut Edul Fitri diucapkan kepada pelayar laman sesawang ini. Jangan lupa bayar fitrah kalau tidak pahala puasa akan tergantung-gantung antara bumi dengan langit. Sekian. TQ

 

Masalah yang hendak dibincang berkait dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat iaitu masalah hedonisma yang dianuti oleh sebilangan besar anak remaja negara kita masa kini. Penjelasan masalahnya pula ialah Hedonisma ini adalah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau ksenangan hidup.

Bagaimana hendak mengelakkan hedonisma dikalangan remaja kita terutama anak melayu berugama Islam? Disinilah peranan puasa patut diaplikasi. Ramadhan menjadi bulan latihan untuk mendapatkan takwa. Takwa ialah melaksanakan perintah Allah SWT secara zahir dan batin dan meninggalkan larangan Allah secara zahir dan batin. Itulah sebabnya Rasulullah SAW memerintahkan para anak muda yang tak mampu berkahwin supaya berpuasa. Kerana puasa itu dapat mendidik kita semua mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Oleh itu berapa langkah operasi perlu dibuat. Pertama memberikan kefahaman yang menyeluruh tentang Ramadhan.  Kedua menggunakan seluruh media yang ada untuk menyebarkan konsep takwa kepada seluruh rakyat negara ini.  Ketiga menggunakan semua institusi pendidikan yang ada (universiti, kolej, sekolah dan masjid) untuk mendidik tentang puasa dan latihan takwa. Keempat melaksanakan peraturan dan penguat kuasaan terhadap peraturan yang ada. Kelima memastikan setiap lapisan pemimpin menjadi contoh dan teladan kepada semua rakyat jelata.

Peringatan: Operasi ini memerlukan kesungguhan yang betul mantap. Tiada berlaku “ketam mengajar anak berjalan betul“. Operasi mesti berupa top-bottom. Ikan akan menjadi buruk bermula dari kepala. Kalau kepala (pemimpin) cakap tak serupa bikin, operasi tak akan berjaya. Kegagalan akan mendapat natijah yang lebih parah. Masalah tidak akan selesai malah akan berkembang menjadi lebih ganas lagi.  

Ini satu masalah yang sangat serious. Saya tak nak hurai dengan panjang lebar. Yang penting amalan puasa yang berul, jujur, ikhlas dan ihsan akan melahirkan insan yang bertakwa. Kalau insan muslim di Malaysia dapat memperolehi takwa sudah tentu tiada akan timbul lagi kecenderongan hedonisma dikalangan remaja kita.

Saya rasa cukup dahulu huraian yang tak lengkap ini. Sekian TQ

Hari ini adalah hari ke 24 kita berpuasa. Alhamdulillah setakat ini rasanya aku sihat dan tiada yang memberatkan keadaan. Aku menulis ini ketika aku dalam bilik ku di sekolah. Diluar bilik aku ni adalah terdapat bilik-bilik Ketua Bidang. Ketua Bidang Kemanusiaan dan Ketua Bidang Bahasa sedang sibuk berbincang pasal kuih raya. Cerita tentang almond London, kerepek pedas, kuih loyang, semperit, rempeyet dan berbagai jenis kuih yang lain. Kalau di bilik guru agaknya lagilah riuh rendah tentang persiapan raya. Biasalah tu. Kalau ketika ni belum nak cerita bab raya something wrong happened in the environment. Orang besar-besar pelajaran jangan marahlah kalau suasana seperti ini berlaku di sekolah. Ini adalah kerana guru-guru tu adalah manusia yang ada perasaan nak suka dan bergembira seadanya.  

Sambil-sambil bincang bab kuih tu sempat juga mereka bincang hal anak murid mereka yang malas datang sekolah. Punyalah prihatinnya mereka kepada kejayaan anak-anak murid mereka. Itulah cik gu namanya. Sekejap lagi akan ada pula sekumpulan guru yang akan berkumpul di bilik ketua bidang ni untuk membuat persiapan Majlis di Ambang Takbir pada hari Jumaat nanti (hari akhir persekolahan sebelum cuti raya). Atur caranya mudah sahaja, dimulakan dengan majlis khatam quraan, penyampaian duit raya kepada semua murid, penyampaian sumbangan zakat kepada yang layak dan beberapa hadiah yang lain. Mengikut risikan yang aku dengar Tuan PPD Lepeh akan datang. Sekolah nak raikan persaraan beliau. Beliau akan bersara wajib pada 21 Oktober 2008. Tuan PPD Lepeh ni mula berkerja di sekolah ini, melapur diri bersama-sama dengan aku iaitu pada 1 Jun 1977.

Tinggalkan dulu cerita sekolah ni. Aku ingin membuat perbincangan tentang strategi berfikir yang ketiga dan terakhir yang aku ajar di sekolah melalui mata pelajaran aku (Sains SPM). Dua strategi berfikir telah aku bincang iaitu Membuat Keputusan (Mac 2008 dahulu) dan Mengkonsepsi (beberapa hari yang lepas).

Penyelesaian Masalah ialah mencari penyelesaian yang tepat secara terancang terhadap situasi yang tidak pasti atau mencabar atau kesulitan yang tidak dijangkakan. Manakala langkah penggunaan kaedah Penyelesaian Masalah ialah; 1. Mengenal pasti masalah.  2. Menjelaskan masalah. 3. Mencari alternatif-alternatif kaedah penyelesaian masalah. 4. Menjelaskan operasi penyelesaian masalah dan 5. Menilai kaedah penyelesaian masalah.

Masalah adalah perkara yang sentiasa ditemui oleh kita setiap hari dan setiap masa. Terpulang kepada kita sama ada nak selesaikan atau tidak. Tetapi biasanya manusia tidak tahu kaedah atau cara menyelesaikan masalah. Akibatnya masalah baru akan timbul. Jadi masalah akan timpa bertimpa pada diri individu itu. Oleh itu kurikulum sains di sekolah menengah di negara kita menghendaki perkara ini diajar ajar. Diharapkan setelah diajar, anak-anak murid ini tahu cara menyelesaikan masalah apabila mereka berhadapan dengan apa-apa masalah nanti. Kita mesti berhadapan dengan masalah dan jangan lari dari masalah.

Contoh: Seorang petani mempunyai ladang buah-buahan yang terletak di cerun bukit. Selepas beberapa tahun hakisan tanah berlaku di ladang itu. Terangkan bagaimana petani itu dapat mengatasi masalah tanah di ladangnya. Jawapan anda hendaklah mengandungi perkara berikut; Mengenal pasti masalah; Penjelasan masalah; Kaedah-kaedah penyelesaian dan penjelasannya; Menilai kaedah yang diterangkan.

Jawapan. Masalah: Hakisan tanah berlaku di ladang buah-buahan. Penjelasan Masalah: Ladang terletak di cerun atau lereng bukit. Kaedah-kaedah dan penjelasan: (i) Menutup bahagian yang mengalami hakisan dengan plastik agar tidak berlaku hakisan diwaktu hujan. (ii) Membina parit saliran agar air hujan tidak menambahkan lagi hakisan. (iii) Membina benteng simen untuk menyekat gelonsoran tanah untuk mengelakkan hakisan. (iv) Menanam tanaman penutup bumi untuk menyekat aliran air yang boleh menyebabkan hakisan (v) Menanam pokok-pokok buah-buahan pada teres atau kuntur yang memperlahankan aliran air bagi menyekat hakisan. Penilaian: Menggunakan satu atau beberapa kaedah yang diterangkan akan dapat mengatasi masalah hakisan tanah yang dihadapi.

Kaedah penyelesaian masalah yang diajar dalam mata pelajaran sains ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian seseorang. Masalah yang menjadi contoh ini adalah masalah yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran sains. Insya Allah dalam posting akan datang akan ditunjukkan bagaimana masalah dalam kehidupan cuba diselesaikan mengikut kaedah yang ditunjukkan. Selamat menjalani akhir Ramadhan, Selamat membuat persediaan Edul Fitri. Sekian TQ.

Hari ini adalah hari ke 23 kita puasa. Aku masih lagi memikirkan tentang persiapan untuk anak-anak murid yang bakal menghadapi SPM tahun ini. Tarikh peperiksaan mata pelajaran yang aku ajar iaitu Sains SPM adalah pada 17 November 2008 (dua-dua kertas pada hari yang sama). Masa ini anak-anak murid aku masih menghadapi peperiksaan percubaan. Aku berhajat untuk membincangkan beberapa perkara yang aku rasa akan ditanya dalam peperiksaan itu nanti. Begitulah setiap tahun sejak tahun 1977 dahulu aku berusaha menyediakan anak-anak murid aku untuk menghadapi peperiksaan SPM dan PMR/SRP. Tahun ini adalah tahun terakhir aku berkesempatan membantu mereka ketika anak-anak murid bersedia untuk mengambil peperiksaan. Sebab tahun depan 2009 aku akan bersara wajib pada bulan Julai.

Pada pandangan aku usaha aku setiap tahun adalah hampir sama. Cuma pengalaman aku membezakan antara usaha aku sebelum tahun 1989 dengan usaha aku selepas tahun itu. Malah tahun-tahun 90′an usaha aku lebih sistematik kerana pengalaman aku dengan Lembaga Peperiksaan, Pusat Perkembangan Kurikulum, EPRD dan juga Bahagian Buku Teks. Sudah pastilah bila aku terlibat dengan bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran ini pengetahuan dan kemahiran aku lebih banyak dan lebih boleh diguna pakai bagi membantu anak-anak murid menghadapi SPM dan PMR. Jabatan Pelajaran Negeri banyak mengguna pakai kebolehan aku untuk manfaat semua. Sedihnya kadang-kadang daerah sendiri (Lepeh) tak nampak kelebihan aku. Oleh itu tumpuan aku banyak di bilik darjah, mengajar dan mentaksir anak murid aku. Setiap tahun anak murid yang berbeza aku didik. Setiap kohot ada kelebihan dan ada kekurangannya. Itulah yang menyebabkan keputusan peperiksaan akan flactuate (naik turun) antara tahun. Masalah inilah yang tidak difahami oleh ramai pentadbir sekolah. Bila keputusan turun mereka kata guru tak buat kerja. Bila keputusan meningkat mereka diam, pana, tiada komen dan tiada puji dan sanjung. Itulah hakikat guru dari penilian guru yang sudah berpangkat sedikit tinggi. Tak sedar diri.

Meninggalkan perbincangan ini untuk sementara waktu, aku ingin berpindah kepada bicara Ramadhan. Sepatutnya di sepuluh akhir Ramadhan manusia muslim akan lebih ramai mendatangi masjid. Tetapi realitinya muslim lebih menumpukan kepada perkara lain. Ramadhan menawarkan kehebatan dan kelebihan bagi mereka yang ingin bekalan untuk akhirat. Nampaknya manusia muslim tidak mahu menerima tawaran hebat dari Allah SWT. Maka terjadilah masjid semakin merosot kedatangan jemaahnya. Solat tarawikh menjadi tidak semeriah seperti di awal Ramadhan. Apa agak penyebabnya?

Penyebab utama ialah kurang kefahaman dan penghayatan terhadap Ramadhan. Tak ramai anak kariah yang faham maksud tawaran Allah SWT dibulan Ramadhan. Ini berpunca dari kurang mempunyai ilmu baik dari Quraan dan Hadith tentang Ramadhan dan kelebihannya. Oleh itu perlu ada usaha yang bersungguh untuk memberikan kefahaman tentang Ramadhan ini kepada semua anak kariah. Bila ada kefahaman diharapkan dengan taufik dan hidayah Allah SWT mereka akan menghayati kehadiran Ramadhan untuk keuntungan anak-anak kariah itu sendiri. Kajian tentang sikap anak kariah perlu dibuat. Analisis kajian wajar dibuat untuk menyusun plan tindakan bagi memakmurkan masjid dibulan Ramadhan. Bukan sekat memberi makan secara kenduri kendara sahaja (walau pun perkara ini memang digalakkan). Pemberian makanan rohani perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh. Semoga dengan sedikit usaha itu Allah akan membantu dengan melembutkan hati-hati anak kariah yang tak mudah faham dan semoga Allah SWT mematikan rasa malas dihati semua anak kariah. Agaknya inilah antara bidang yang akan aku buat dan tumpukan selepas aku bersara nanti. Semoga harapan ini dapat menjadi realiti.

Tarikan lain adalah program-program TV yang semakin hampir dengan Syawal semakin menjadi-jadi. Hendonisma memang meraja lela dikalangan masyarakat kita. Kita takut satu hari nanti hendonisma ini menjadi satu anutan baru mungkin cara hidup yang baru dikalangan insan muslim. Bibit-bibit ke arah itu sudah kelihatan. Tanda awalnya ialah ramai anak-anak muda kita gila glamour. Ramai nak jadi artis, ramai nak jadi penyayi. Apatah lagi TV amat mempromosikan kehebatan berseronok yang berlebihan ini. Mungkin hendonisma ini akan menjadi akidah baru!!!

Disini nampaknya ada satu masalah. Setiap masalah mesti ada penyelesaiannya. Penyelesaian Masalah adalah merupakan satu lagi strategi berfikir yang aku ajar dalam mata pelajaran aku. Insya Allah tajuk ini akan aku bincang diposting akan datang. TQ

Hari ini adalah hari ke 21 kita berpuasa. Berdasarkan hadith yang diriwayat oleh Abul-Laits dengan sanad dari Salman Alfarisi ra. berkata Rasulullah SAW berkhutbah pada akhir Syaaban dan sabda Baginda……. dan ini bulan permulaannya rahmat dan pertengahannya pengampunan dan akhirnya kebebasan dari api neraka, dan siapa yang meringankan terhadap budaknya (buruhnya) maka Allah akan memerdekakan dari api neraka. Alhamdulillah, kita telah tamat berpuasa selama 20 hari, semoga kita mendapat rahmat dan pengampunan dari Allah SWT. Kita akan menjalani 10 hari terakhir di bulan Ramadhan tahun ini dengan harapan Allah SWT membebaskan kita dari api neraka. Kepada mereka yang ada buruh yang bekerja dengan mereka, maka hendaklah meringankan beban mereka sebagai syarat untuk mendapatkan kebebasan dari api neraka.  Di sepuluh terakhir ini kita digalakkan mencari lailatul Qadar, satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

Dalam posting kali ini aku ingin mengkonsepsi perkara yang diharapkan untuk diperolehi apabila kita berpuasa. Perkara utama yang diperolehi oleh manusia muslim yang menunaikan puasa ialah TAKWA. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah: 183 (bermaksud). “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana yang diwajibkan ke atas orang yang sebelum daripada kamu berpuasa semoga kamu bertakwa.”   

Takwa ini adalah satu konsep yang abstrak. Tetapi sebagai muslim kita mesti memahami konsepnya sebagai tanda kehidupan kita di dunia ini diredhai Allah SWT. Kita mula mengkonsepsi TAKWA dari maklumat-maklumat yang kita perolehi. Takwa menjadi rukun khutbah. Para khatib mesti menyeru ahli jemaah pada hari Jumaat agar bertakwa dan kita juga difahamkan bahawa takwa itu ialah melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Kalau kita rajin membaca atau mendengar pengajian kita dapati ulamak silam pasti memberikan pengertian takwa ini. Imam Hassan Basri menyatakan takwa adalah memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas kitaIbn Abbas menghuraikan takwa adalah orang beriman yang memelihara diri mereka daripada mensyirikkan Allah dan beramal serta taat kepada perintahNya.  Menurut Imam Muslim, Rasulullah bersabda, “Takwa itu di sini (dan baginda terus menunjukkan kepada dada baginda).”  

Di atas diterakan beberapa maklumat tentang takwa. Takwa itu adalah kerja hati yang kehendak-kehendaknya terlaksana secara zahir dan batin. Zahir merujuk kepada perlakuan anggota badan manakala batin ialah nafsu syahwat dan marah disamping ilmu, hikmat dan kebijaksanaan. Semua kerja zahir dan batin ini hendaklah menjunjung segala perintah Allah dengan penuh rasa perhambaan kepada Allah tanpa sedikit keraguan terhadap apa yang diperintah oleh Nya dan juga menjauhi segala apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Takwa ini boleh dikelaskan kepada ciri-ciri zahir dan ciri-ciri batin. Ciri zahir adalah ciri yang nampak seperti perbuatan taat contohnya melaksanakan solat sebaik mungkin, membayar zakat, membaca Quraan, memberi sedekah, membantu orang fakir miskin, menghubungkan silaturrahim, menbanyakkan zikr dan lain-lain perbuatan yang melibatkan anggota badan. Contoh perbuatan zahir meninggalkan perkara yang terlarang adalah, tidak mengumpat, tidak menghampiri zina, tidak menipu, meninggalkan judi dan minum arak, tidak menerima rasuah, tidak merompak harta orang lain dengan apa cara sekali pun dan lain-lain perbuatan maksiat dan tidak mensyirikkan Allah.

Manakala ciri batin pula ialah sentiasa meningati Allah ketika duduk, berdiri dan berbaring, sentiasa ihsan (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu dapat melihat Allah tetapi ingatlah bahawa kamu tidak dapat melihat Allah tetapi Allah melihat kamu) kepada Allah. Ciri-ciri menjauhi keburukan batin adalah seperti berburuk sangka kepada orang lain dan berburuk sangka kepada Allah dan sebagainya.

Sebagai orang awam konsep takwa yang paling mudah ialah melaksanakan perintah Allah SWT secara zahir dan batin dan meninggalkan larangan Allah secara zahir dan batin.   

Kita mesti ingat bahawa semasa kita puasa kita dididik agar, 1. Sentiasa takut kepada Allah SWT, baik ketika keseorangan mahupun dihadapan orang lain.  2. Semasa puasa kita mengekang gejolak syahwat untuk mengurangkan pengaruh runtunannya. 3. Puasa juga mendidik sifat kasihan belas terhadap golongan kurang bernasib baik untuk membiasakan kita menolong orang terutama fakir dan miskin dan tidak menghina orang lain. 4. Puasa mendidik manusia rasa kesamaan di sisi Allah tidak kira ia kaya atau miskin, golongan atasan atau bawahan, ia raja atau rakyat dan dia orang besar atau orang kecil. 5. Puasa mengajar manusia berdisiplin terutama disiplin ketika berbuka atau bersahur serta melatih berjimat cermat dan berpada dengan apa yang terupaya. 6. Puasa dapat menyihatkan tubuh badan, membebaskan jasad dari zat-zat yang memudharatkan, merehatkan anggota badan dan menguatkan ingatan.

Maka dengan latihan-latihan itu akan terdidiklah seorang insan muslim memperolehi takwa dalam dirinya. Semoga kita dapat melaksanakan amalan puasa dengan baik dan mencapai hasrat puasa iaitu menjadikan kita orang bertakwa.  Bulan Ramadhan adalah bulan latihan. Kita dilatih untuk mencapai takwa selama sebulan dengan penuh disiplin. Beruntunglah mereka yang mengikut latihan dengan bersungguh-sungguh dan rugilah mereka yang culas ketika mengikuti latihan. Diharapkan sekolah Ramadhan dapat menyinarkan takwa dalam diri setiap muslim. Diposting akan datang aku ingin berbicara tentang pentingnya takwa dalam kehidupan kita di dunia sebagai persiapan untuk menuju alam akhirat. Sekian TQ.

Dalam posting ini aku ingin mulakan sesuatu yang agak berlainan. Aku ingin membincangkan tentang strategi berfikir yang menjadi satu perkara yang ditanya dalam SPM khususnya mata pelajaran yang berdisiplin sains. Pertama aku ingin mengutip bahan dari buku Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran sains keluaran Pusat Perkembangan Kurikulum mukasurat 38 hingga 40.

Mengkonsepsikan didefinisikan sebagai Membuat pengitlakan (generalisation) ke arah membina pengertian, konsep atau model berdasarkan ciri spesifik sepunya yang saling berhubung kait. Strategi ini digunakan untuk membina konsep atau model yang diaplikasikan untuk; Menjelaskan sesuatu fenomena; Menyelesaikan  masalah atau Membuat keputusan.

Langkah penggunaan, 1. Kenal pasti maklumat atau contoh yang berkaitan. 2. Kenal pasti ciri sepunya pada maklumat atau conroh. 3. Kelaskan ciri. 4. Hubung kaitkan kelas ciri untuk membina konsep awal. 5. Kenal pasti maklumat atau contoh lain dan bukan contoh untuk menguji atau mengubah suai konsep awal. 6. Bina konsep sebenar.

Oleh kerana Sains adalah ilmu pengetahuan yang berkait dengan kajian benda yang maujud maka mengkonsepsi dalam sains adalah berkaitan dengan alam benda. Dalam mata pelajaran sains menengah atas dibincangkan tentang mengkonsepsi kelenjar endokrin, jirim, plastik, tindakan terkawal dan sebagainaya.  Dari sini murid sekolah dilatih agar sentiasa membina kemahiran mengkonsepsi perkara yang berkaitan dengan pembelajarannya. Kemahiran mengkonsepsi ini disoal dalam peperiksaan SPM. Kemahiran mengkonsepsi ini diharapkan dapat diaplikasikan dalam kehidupan murid itu selepas alam persekolahan terutama mengkonsepsi perkara-perkara yang abstrak.  Malangnya tidak ramai guru yang mampu mengajar cara mengkonsepsi ini.

Contoh perkara yang hendak dikonsepsi.

Anda diberikan gangsa, loyang dan duralumin. Menggunakan maklumat dari ciri-ciri bahan ini binakan konsep aloi.

Maklumat yang diberi: Gangsa, Loyang dan duralumin adalah merupakan aloi.

Ciri sepunya dari contoh: 1. Ketiga-tiga bahan ini dibina oleh dua atau lebih unsur.  2. Ketiga-tiga bahan ini adalah lebih keras berbanding dengan logam atau unsur tulennya.  3. Ketiga-tiga bahan ini lebih tahan kakis berbanding dengan logam atau unsur tulennya. 

Pengelasan ciri: 1. Ciri yang membina bahan.  2. Sifat keras bahan.  3 Sifat tahan kakis bahan

Hubung kait untuk membina konsep awal:  Gangsa, loyang dan duralumin adalah dibina oleh dua atau lebih unsur, lebih keras daripada unsur tulennya dan mempunyai sifat tahan kakisan yang lebih baik dari unsur tulennya adalah merupakan aloi.

Contoh lain:  Steel atau piuter.    Bukan contoh:  Besi atau timah

Konsep aloi:  Aloi adalah bahan yang dibina oleh dua atau lebih unsur atau logam, bersifat lebih keras dan lebih tahan kakis berbanding logam tulennya.

Contoh di atas merupakan satu urutan operasi mengikut tertib bagi membina satu konsep. Apabila kita mampu membina konsep maka kita mudah faham sesutu perkara. Untuk memahami konsep kita perlu membina definisi sesuatu perkara dan mencari contoh-contoh yang lebih menjelaskan kefahaman kita berdasarkan langkah-langkah yang diterangkan di atas. Dengan memahami konsep kita tidak akan tercari-cari makna sesuatu perkara. Kalau makna sesuatu perkara sampai ke dalam diri kita maka itulah ilmu

Perlu diingatkan bahawa contoh di atas adalah mengkonsepsi benda yang maujud. Bagaimana pula mengkonsepsi perkara yang abstrak? Mengkonsepsi benda yang abstrak adalah lebih penting dalam hidup kita selepas alam persekolahan. Contohnya dibulan Ramadhan ini kita bersua dengan konsep seperti takwa, rahmat, keampunan dan barakah. Untuk kelangsungan hidup kita dimaya pada ini  kita perlulah mengkonsepsi perkara-perkara ini agar perkataan-perkataan ini memberi makna dalam diri kita. Bagi kita banyak lagi yang perlu kita konsepsikan seperti cinta, kasih, sayang, bahagia dan sebagainya. Tanpa kita boleh mengkonsepsi perkara ini kita hanya handal menyebutnya tetapi kita akan sesat dalam pencarian maknanya. Dalam posting berikutnya aku akan cuba menunjukkan cara mengkonsepsi benda yang abstrak pula. Sekian TQ

Hari ini kita memasuki hari ke 17 puasa. Nampaknya posting aku tertinggal 7 hari. Kira-kira aku tak boleh capai target 75 % posting sepanjang Ramadhan. Itulah kelemahan aku. Kadang-kadang idea datang tapi tak sempat nak tulis. Kadang-kadang duduk depan komputer nak tulis idea pulak tak datang. Lemah sungguh aku ini sebagai manusia.  Semoga Allah memberikan kekuatan kepada aku untuk menulis.

Dua malam berturut-turut Jemaah Tabligh duduk memakmurkan Masjid Kg Relong dan malam ini nanti malam ketiga. Mereka datang beramai-ramai dari Seri Petaling dan Jerantut. Mereka bawa bersama anak muda yang hafaz Quraan. Oleh itu dapatlah berkesempatan anak kariah Masjid Relong berimamkan orang hafiz Quraan. Pagi tadi selepas solat fardhu Subuh salah seorang Ustaz yang bersama rombongan Jemaah Tabligh itu menyampaikan kuliah subuh. Aku memang tertarik cara ustaz ini mengupas tajuk Nuzul Quraan dari segi isi dan cara penyampaiannya.

Setelah lebih tiga puluh tahun aku mengenali Jemaah Tabligh, aku dapati bahawa Jemaah Tabligh di Malaysia ini telah banyak berubah dari segi penyampaian dakwahnya. Semasa mula-mula berkenalan dengan Jemaah Tabligh tahun-tahun 70′an dulu aku dapati mereka lebih banyak membawa sifat-sifat ke Indiaan. Bercakap ala orang India, baca buku-buku dari India, ada program keluar mereka pergi India, pakaian ala India, seolah-olah kiblat mereka adalah di India. Malah aku masih ingat lagi bila mereka beri salam pun ala India. Perlu dingat bahawa mereka ahli Jemaah Tabligh itu adalah orang Melayu. Lidah Melayu dah hilag yang timbul ialah lidah India.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa Jemaah Tabligh ini berasal usul dari India tetapi mengapa apabila menyebut  kalimah-kalimah Arab dari Quraan mesti ikut cara India. Lidah orang Melayu adalah sangat flexible. Oleh itu kalau perkataan itu asalnya perkataan India tak mengapalah disebut ikut kaedah sebutan Hindi atau Tamil tetapi kalau perkataan itu adalah dari Quraan atau Hadith hendaklah disebut mengikut mahraj Arab yang betul. Itu cerita Jemaah Tabligh tahun 70′an dan 80′an dahulu.

Sebenarnya Jemaah Tabligh ini sangat banyak memberikan kesedaran kepada masyarakat Islam di Malaysia. Malah ada bidang yang tidak diceburi oleh Jemaah-jemaah dakwah yang lain tetapi dapat digembeling oleh Jemaah Tabligh. Menjemput manusia Islam ke Masjid dengan berjalan dari rumah ke rumah hanya boleh dibuat oleh Jemaah tabligh. Jemaah lain tak sanggup. Bab ini aku memang tabik kepada anggota Jemaah Tabligh.

Dahulu kalau ahli Jemaah tabligh ini bercakap di surau atau masjid mereka hanya merujuk kitab fazilat sahaja. Kitab itu diulang tutur dari masa ke semasa. Malah ada dikalangan anggota Jemaah Tabligh tidak membenarkan ahli-ahlinya merujuk kepada kitab yang lain. Mungkin itu kelemahan mereka yang berada di Malaysia ketika itu.

Setelah bergaul dengan mereka ini, masa kini aku dapati kaedaan yang aku cerita di atas sudah berubah. Ahli-ahli Jemaah Tabligh sudah membuat anjakan paradigma dari segi sumber bahan rujukan mereka. Kini mereka sudah berbincang akademik sesuatu isu. Bacaan mereka sudah melampaui fazilat-fazilat amal sahaja. Mereka kini sudah ada centre of learning sendiri. Membincangkan hadith secara bersanad. Malah mereka merupakan kumpulan pertama di Malaysia membuat pengajian hadith secara bersanad ini.  Kini sudah kurang bentuk-bentuk keIndiaan pada mereka.  Kepergian mereka dari masjid ke masjid adalah merupakan latihan untuk hidup dalam environment yang mukmin. Masjid merupakan tempat manusia menjadi tetamu Allah. Disamping hidup dalam bi’ah hasanah atau environment yang baik mereka juga menghidupkan suasana peningkatan ilmu. Maka dalam kepergian mereka (keluar kejalan Allah) itu tercerna tiga perkara yang penting iaitu melakukan dakwah, peningkatan ilmu dan pensucian nafs. Ketiga-tiga perkara ini merupakan kerja yang dibuat oleh Rasulullah SAW dalam misinya sebagi nabi dan rasul. Tahniah diucapkan kepada Jemaah Tabligh. Semoga usaha mereka mendapat keredhaan Allah SWT dan dapat mencelikkan mata manusia untuk tertarik kepada Islam dan amalan Islam. Sekian TQ.

Posting kali ini aku hendak menulis tentang etika berpuasa. Bahan ini aku ambil dari buku Bersama Rasulullah di bulan Ramadhan.  Kita maklum setiap ibadah itu ada etikanya dan etika inilah merupakan rahsia diterimanya ibadah tersebut oleh Allah. Sebagai contoh; Etika tauhid ialah, ikhlas dan cocoknya suara hati dengan ucapan mulut. Etika solat ialah, khusyu’ dan tawadu’. Etika zakat ialah, rendah hati dan tidak mengungkit-ungkit pemberian, juga tidak menyakiti orang lain. Etika haji ialah tidak berbuat main-main, tidak berbuat kefasikan dan tidak boleh berbantah-bantah.

Bagaimana pula etika puasa? Etika puasa ada dua. Pertama ialah berlaku dermawan dan ringan tangan dalam menolong orang lain. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) Barang siapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia beroleh pahala seperti orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun. 

Kedua ialah sikap pemaaf dan penuh tolerensi. Baginda sangat suka kepada sifat tersebut. Kerana itulah Baginda pernah bersabda (bermaksud) Seseorang yang mahu memaafkan kezaliman saudaranya, maka kerananya Allah akan mengangkatnya satu darjat

Begitu pula firman Allah SWT dalam surrah Ali Imran, ayat 134, bermaksud …. dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, Allah akan menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Sekiranya orang yang sedang berpuasa Ramadhan mahu konsisten mengamalkan semua itu, nescaya etika tersebut akan mendarah daging, menjadi perangai yang biasa dilakukan setelah selesai menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan.

Sekian, TQ

Hari ini adalah hari ke 10 kita berpuasa. Berdasarkan hadith yang diriwayat oleh Abul-Laits dengan sanad dari Salman Alfarisi ra. berkata Rasulullah SAW berkhutbah pada akhir Syaaban dan sabda Baginda……. dan ini bulan permulaannya rahmat dan pertengahannya pengampunan dan akhirnya kebebasan dari api neraka, dan siapa yang meringankan terhadap budaknya (buruhnya) maka Allah akan memerdekakan dari api neraka.

Kita telah meninggalkan bahagian rahmat dari bulan Ramadhan (10 hari pertama bulan Ramadhan) ini dan kita memasuki bahagian pengampunan (10 hari kedua bulan Ramadhan). Semoga kita berusaha untuk mendapatkan pengampunan dari Allah SWT terhadap dosa-dosa yang kita pernah lalukan. Oleh itu banyakkanlah permohonan taubat di bahagian kedua atau pertengahan Ramadhan ini.

Dalam posting ini aku ingin menyebut sedikit tentang persiapan keluarga aku dahulu (masa aku kecil) sehari sebelum menjelma Ramadhan. Penduduk kampung akan bertanya ayah aku, samada esoknya puasa atau tidak? Ayah aku ada mempunyai sedikit pengetahuan tentang falak. Ilmu ini dia pelajari semasa belajar agama dipondok di negeri Kelantan. Biasanya perkiraannya tepat. Inilah yang dimaksudkan dengan ilmu fardhu kifayah. Pengetahuan seperti ini perlu ada dalam sesuatu masyarakat.

Bagi keluarga aku masa itu, persediaan menyambut Ramadhan (memegang puasa) adalah dengan menyediakan masakan gulai daging kerbau atau ayam. Malam pertama Ramadhan orang kampung akan berkumpul di balaisah sambil menunggu pengumuman dari Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu melalui radio. Selepas diketahui bahawa esok puasa, keketuk akan dibunyikan menandakan Ramadhan telah bermula. Keketuk adalah alat yang dibuat dari batang kayu yang berlubang dan dipukul agar bunyi nyaring kedengaran keseluruh kampung. Pada malam  mula Ramadhan itu balaisah akan penuh dan selepas solat isyak akan dilakukan solat tarawikh 20 rakaat. Pukul 10.15 malam akan usailah solat tarawikh dengan diiringi morei.  Bagi yang pandai mengaji Quraan khususnya anak muda mereka akan meneruskan lagi tinggal dibalaisah untuk bertadarus Quraan. Biasanya mereka akan habiskan satu dua juz satu malam. Yang pastinya mereka akan buat setiap malam dan mempastikan tamat sebelum malam ke 25, kerana selepas itu akan diadakan majlis khatam Al Quraan dengan sedikit kenduri berbuka puasa beramai-ramai dengan membawa makanan dari rumah masing-masing.

Persediaan untuk berbuka pula akan dibuat bermula tengah hari. Menumbuk beras untuk dibuat tepung. Tepung akan dibuat penganan sama ada berinti gula kabung atau kelapa yang dimasak dengan gula merah. Selain buat kuih masakan lain juga disediakan seperti gulai masam ikan dengan tempoyak, gulai ayam atau gulai daging. Nasi mesti nasi ulam. Untuk minum biasanya selasih dikembangkan sejak pagi. Selasih akan dicampur dengan sirap. Satu lagi minuman istimewa bulan puasa ialah air leminik dicampur dengan air kelapa muda.

Untuk menandakan masuk waktu maghrib (berbuka puasa) keketuk akan dibunyikan dengan diiringi dengan azan. Gambaran diatas menunjukkan bahawa penduduk kampung aku memang baik dalam amalan berpuasanya. Walau pun ada juga seorang dua yang culas dan cuai dalam mengerjakan puasa Ramadhan ini. Bulan Ramadhan juga sebagai bulan mempertautkan kasih mesra penduduk kampung dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Semangat berkerja sama bergotong royong jelas diamalkan dikalangan penduduk kampung aku ini. Suasana ini telah mendidik aku dan adik beradik aku untuk menjadi seorang muslim yang baik. Semoga mereka yang menganjurkan perkara baik ini dibalasi Allah SWT dengan sebaik-baik pembalasan dan di berikan ganjaran pahala yang setimpal dengan usaha-usaha mereka. Selamat menyambut kedatangan 10 malam kedua bulan Ramadhan dengan mendapat pengampunan dari Allah SWT. Sekian posting hari ke 10 Ramadhan 1429H. TQ.

Laman Berikutnya »