Oktober 2008


Mesyuarat lagi, boring betul” Itulah yang terbetik dihati diwaktu pagi setibanya aku di depan mesen punch card  pagi tadi.  Aku cepat membuat keputusan, malas hadir mesyuarat. Mesyuarat setiap minggu hari Khamis 3.00 petang. Kalau pengetua jadi pengerusi mesyuarat adalah harapan balik cepat tapi kalau ‘dia’ jadi pengerusi tentu pukul 5.00 petang belum tentu siap. Tak mesyuarat tak boleh nanti ada yang demam.

Dalam mesyuarat minggu lepas telah dinyatakan bahawa itu mesyuarat akhir sebelum upacara besar Hari Graduasi (pakai jubah, hanya yang tiada motar bord).  Inilah contoh sesuatu yang tak sibuk dijadikan sibuk. Sewajarnya petang ini (Khamis) pengurus sekolah hanya perlu tumpu pada persiapan di Dewan Besar bukan buat mesyuarat. Semua guru sibuk buat persiapan, tiba-tiba buat mesyuarat. Kan itu cara tadbir yang gila. Gila nak bercakap. Guru sibuk nak buat persiapan dia sibuk nak mesyuarat.  Inilah gambaran perancangan yang tempang

Sebenarnya aku nak bincang tentang penyediaan Modal Insan masa depan negara tercinta. Kita hendak menjadi global players dalam bidang sains dan teknologi bagi saentero dunia. Mari kita susur sedikit strategi hebat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam menangani isu dan tanggung jawab ini. Kumpulan sasarnya ialah anak-anak sekolah masa kini. Nak jadikan mereka Modal Insan yang ada kemahiran sains dan teknologi. Modal Insan yang sekadar berbekal kemahiran sains dan teknologi adalah modal insan yang kosong budi pekerti.  Modal Insan yang kosong budi pekerti ini bukan membawa kepada jayanya masa depan negara tetapi akan menambah bencana yang ada. Oleh itu kita ingin Modal Insan yang penuh budi pekerti dengan kemahiran sains dan teknologi.

Modal Insan yang berbudi pekerti ini ertinya mereka mempunyai pengisian rohani dan emosi yang mantap. Tidak tergugat dengan kerosakan persekitaran rohani dan emosi. Mereka ini penuh dengan iman dan takwa. Dengan berbekalkan iman dan takwa insan-insan soleh inilah nanti akan dianugerahkan oleh Allah kebahagian didunia dan kebahagian diakhirat serta dijauhkan dari api neraka. Aku tidak berhasrat untuk berbicara tentang tajuk ini diposting kali ini sebaliknya aku akan memperkatakan tentang proses yang disedikan oleh KPM untuk menghasilkan Modal Insan yang ada kemahiran sains dan teknologi.

Hendak mendidik kemahiran sains dan teknologi di sekolah memerlukan dua pihak sama-sama berkeinginan kepada perkara yang hendak dicapai. Senario kini, anak didik kita menggunakan Bahasa Inggeris (BI) dan ICT.  Mengajar sains dalam BI dan guna ICT adalah pakej yang disedikan oleh KPM dibawah konsep PPSMI. Disatu pihak lagi para guru yang sebahagian besar terkial-kial mngajar sains dan matematik dalam BI. 

Tadi waktu aku menjaga murid tingkatan empat menjawab soalan kertas dua sains, aku lihat anak murid terkial-kial nak faham soalan sains dalan BI itu. Itu baru nak fahamkan soalan belum lagi nak menjawab soalan. Sepanjang pemerhatian yang aku buat didapati ruang jawapan itu kosong sahaja. Ini kerana soalan sains akhir tahun yang dibuat diperingkat negeri adalah semuanya dalam BI.

Aku pernah belajar dari Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa pentaksiran ini ada lima rukun. Rukun Pentaksiran itu ialah, Instrumen (Kertas soalan), Kumpulan yang ditaksir (Calon peperiksaan), Respons (Jawapan), Kumpulan yang mentaksir (Pemeriksa) dan Skor (markah). Soalan dah ada, murid dah ada sebagai calon, tapi jawapan tak ada walaupun pemeriksa kertas ada tapi pasti skornya tiada. Dua rukun pentaksiran dah hilang. Kalau dalam ibadat tak cukup rukun dilaksanakan maka ibadat itu tak sah.  Nampaknya pengajaran Sains dalam BI menjadikan usaha penyampaian pengetahuan, kefahaman, kemahiran sains menjadi tak sah. Sesungguhnya guru hari ini bukan sekadar cukup dengan membuat pengajaran dan pembelajaran tetapi mesti juga melibatkan aspek pentaksiran. Kini guru-guru mesti faham P&P&P (Pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran).

Disamping P&P&P dalam BI, pakej PPSMI juga membawa bersama ICT. Kalau mengajar sains mesti guna ICT. Guna CD yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Aku guru lama, pada mula PPSMI aku tak guna CD dari PPK itu masa mengajar. Dalam buku rekod aku tak sebut guna CD dari PPK itu. Bila pemantau datang, aku banyak dibebel tentang itu. Tapi aku konsisten dengan hujah aku. Tapi masa ini nak senang kerja aku, setiap hari aku guna CD dari PPK dan peralatan ICT ketika mengajar. Gembira benar pemantau melihatnya.  Rupanya para pemantau ini tak faham tentang P&P&P sains, walau pun mereka guru sains.

Hujah aku!! Kalau guna CD dan peralatan ICT kita mengajar guna anamasi. Kemahiran yang ada ialah ketuk key board aje. Kemahiran manipulatif dan mengeksperimen tidak dilatih.  Murid kaku bila disuruh memegang tabung uji. Kalau minta nyalakan penunu bunsen lagi takut. Kalau ajar sains, kemahiran manipulatif dan kemahiran mengeksperimen adalah penting. Untuk kedua-dua perkara ini KPM nampaknya tak beri perhatian. Budget untuk ICT berbilion ringgit. Budget untuk latih pembantu makmal tak tahu dimana nak minta.

Dalam kes latihan kepada pembantu makmal ini aku pernah bertanya diperingkat KPM dan juga Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Semua menyatakan peruntukan latihan dibawah Bahagian Sumber Manusia.  Bukan dibawah Kurikulum. Mereka tahu tetapi mereka tak usaha. Kalau hendakkan Modal Insan yang ada kemahiran sains dan teknologi para guru dan pembantu makmal hendaklah diberikan latihan secukupnya dalam menyediakan peralatan radas dan bahan untuk eksperimen. Tapi dah bertahun perkara ini tidak diberikan perhatian. Setakat ini latihan bagi pembantu makmal hanya dianjurkan oleh Persatuan Pembantu Makmal. KPM nampaknya tak serious dalam melatih mereka. Tiada peruntukan khusus untuk mereka. Tapi budget untuk ICT berbilion!!.

Kalau dilihat PPSMI ini mematikan dua perkara. Pertama, penekanan yang berlebihan kepada penggunaan ICT mematikan atau membunuh secara perlahan-lahan kemahiran saintifik. Kedua penggunaan BI dalam P&P&P pula membunuh secara perlahan-lahan Bahasa Melayu. Satu lagi projek Barisan Nasional.

Kesimpulannya: PPSMI membunuh pembinaan Modal Insan dalam kemahiran saintifik dan memadamkan perkembangan Bahasa Melayu. Dua puluh tahun akan datang anak Malaysia tidak akan pandai berbahasa Melayu yang standard. Mereka bolehlah bercakap Bahasa Melayu ala pasar. Ini terbukti benar kepada tulisan jawi. It will follow through. Bahasa Melayu tidak akan berkembang. Lambat laun ia akan menjadi bahasa sanskrit atau bahasa Latin.  Megah satu ketika dahulu kini entah kemana.

Ini salah siapa?  Salah para pembuat dasar, penggubal dasar.  Semuanya orang Melayu.  Orang Melayulah yang membunuh Bahasa Melayu.  Mahukah anda termasuk sama sebagai pembunuh kemahiran saintifik dan Bahasa Melayu?  Sokonglah pakej PPSMI. Sekian posting kali ini TK.

Bila sampai hujung tahun seperti waktu ini setiap sekolah akan menjadi sibuk dengan kerja-kerja rutin.  Akan banyaklah sambutan, akan banyaklah mesyuarat, akan banyaklah program, akan banyaklah jamuan, akan banyklah kem dan banyaklah sibuk-sibuk lain.  Sepatutnya benda-benda seperti ini tidak ada.  Tumpuan sewajarnya diberikan kepada menyediakan murid-murid untuk peperiksaan akahir tahun dan sudah tentu juga untuk calon-calon SPM.  Mengapa jadi begini?

Kalau awal tahun bertimbun perancangan dibuat, buku perancangan sekolah sampai tiga empat buah. Buku perancangan kurikulumlah, buku perancangan kokurikulumlah, buku perancangan hal ehwal muridlah dan berbagai-bagai buku perancanagan.  Selalunya buku perancangan itu tidak dibuka pun sepanjang tahun.  Nampaknya mereka hanya pandai merancang, pelaksanaannya belum tentu. Kadang-kadang ada pihak bangga dengan cantiknya binding buku perancangan itu dengan kulitnya berwarna warni walau pun isinya sekadar tangkap muat sahaja. Bila tak mampu nak buat atau bila terlepas dari tarikhnya timbullah kata-kata yang klasik “Kita hanya mampu merancang yang menetapkan hanya Allah jua“.  Bukanlah kita tidak setuju dengan kata-kata ini tetapi bagaimana perancangan itu nak berjalan kalau kandungan buku itu tidak disebut pun dalam mesyuarat mingguan.  Perihal mesyuarat memang hebat.  Ada orang besar sekolah kalau tak mesyuarat guru seminggu demam dia.  Oleh itu nak elakkan demam kenalah mesyuarat guru setiap minggu.  Anehnya buku perancangan tahunan tidak juga dibuka.

Itu gambaran perancangan diperingkat sekolah.  Diperingkat PPD pun sibuk juga.  Ada mesyuarat itu, ada mesyuarat ini.  Mesyuarat pengetua, mesyuarat penolong kanan kurikulum, mesyuarat penolong kanan HEM, mesyuarat penolong kanan kokurikulum.  Akibatnya orang-orang besar sekolah keluar. Pengajaran dan pembelajaran tak berjalan. Sepatutnya senior teacher ini duduk disekolah bimbing anak murid untuk hadapi SPM.  Lebih teruk lagi ialah mesyuarat peringkat JPN dan Kementerian juga berjalan.  JPN dan Kementerian akan panggil para guru cemerlang dan guru senior ke mesyuarat-mesyuarat untuk tiga empat hari.  Macam mereka ini tiada perancangan.  Sedihnya bila para pegawai PPD, JPN dan KPM datang melawat sekolah mereka akan melihat dan bertanyakan buku perancanagan sekolah. Kalau tak ada pengetua kena marah atau kena leter.  Tapi pihak atasan itu sendiri tak merancang.  Aku selalu tempelak balik pegawai-pegawai ini. Suruh orang merancang tetapi pihak atasan akan sibuk jemput orang mesyuarat, berseminar, berbengkel diakhir tahun diwaktu para guru nak membelai semangat anak didik yang nak ambil SPM.

Kalau kita tempelak balik kepada orang atasan ini tentang program akhir tahun seperti di atas jawapan mereka ialah budget baru sampai. Budget itu mesti dihabiskan semelum 15 Disember tahun ini.  Oleh itu nak habiskan duit budget itu pakai panggil ajelah mesyuarat. Ini adalah contoh betapa tak effisyennya pentadbiran di Kementerian Pelajaran Malaysia, bermula dari atas (di KPM), ke JPN, ke PPD dan seterusnya hingga ke sekolah. Semasa pegawai di PPD, JPN dan KPM tak ramai, perkara begini tak berlaku, tetapi bila pegawai di PPD, JPN dan KPM dah ramai maka perkara seperti ini selalu berlaku.  Semakin ramai pegawai semakin tak berkesan gerak kerjanya. 

Aku tulis seperti ini kerana aku memang jadi mangsa.  Kononnya aku ini guru cemerlang maka idea dan pengalaman kenalah dikongsi dengan orang lain. Tak salah nak kongsi pengalaman, idea dan pengetahuan tetapi mengapa tak buat awal tahun atau pertengahan tahun. Janganlah jemput akhir tahun.  Buatlah peranacangan dengan penyediaan budgetnya dengan betul.  Jangalah siksa calon-calon SPM yang dah kesempitan masa.  Kalau orang seperti aku ini tak pergi, puak atasan ini akan membebel pula malah kadang-kadang ada ugutan juga. Nasib, nasib…

Kertas perancangan disemua peringkat memang hebat. Biasanya ia hanya hebat dikertas sahaja. Memang kalau nak cemerlang kita perlu merancang tetapi juga ada yang merancang tetapi tak cemerlang atau ada yang hebat merancang tetapi terbuntang. Sekian posting kali ini TQ.

Pada 21 Oktober 2008 (Selasa), sahabat karib aku, yang juga Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, Tuan Haji Zahari Haji Uda, SMP., menamatkan perkhidmatannya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP)  Siswazah selepas berkhidmat selama 31 tahun 4 bulan 21 hari. Kami datang dari kampung yang sama. Kami orang kampung. Bersekolah di sekolah rendah yang sama, Sekolah Kebangsaan Relong hanya dia lebih tua beberapa bulan dari aku.

Kami memulakan perkhidmatan pada hari yang sama iaitu pada 1 Jun 1977 di sekolah yang sama SMK Padang Tengku. Dia mula berkhidmat selepas mendapat Ijazah dari UKM aku mula berkhidmat sebagai guru selepas mendapat Diploma Sains dengan Pendidikan dari UPM. Oleh itu aku terpaksa meninggalkan SMK Padang Tengku tahun 1983 hingga 1985 untuk membuat Ijazah Bacelor Sains (Kepujian) dari UPM. Dia yang tinggal meneruskan perkhidmatannya selama 15 tahun di SMK Padang Tengku sehingga mendapat jawatan Tingkatan Kanan dan ditukarkan ke SMK Padang Saujana, Jerantut menjadi Pengetua disana. Dari satu padang tukar ke padang yang lain. Kemudian bertukar pula ke SMK Kota Gelangi, Jerantut. Dari padang tukar ke kota. Seterusnya mendapat DG2, beliau bertukar pula ke SM Teknik Temerloh, Simpang Sanggang. Dari kota tukar ke simpang. Dari SMK Teknik Temerloh balik ke SMK Teknik Kuala Lipis. Dari simpang balik ke lubuk sendiri. Dari SMK Teknik Lipis diangkat menjadi PPD Cameron Highland dan kemudian menjadi PPD Lipis.

Selama 15 tahun berkhidmat di SMK Padang Tengku, kami berkongsi murid. Murid dia muridku juga. Kini murid yang berjaya ada jadi guru berkhidmat bersama-sama di daerah Lipis ini. Ada yang tak berjaya dalam akademik berjaya dalam bidang lain seperti kontraktor yang boleh pakai kereta besar. Mereka tetap murid kami juga. Ada yang menjadi ibu bapa murid-murid aku masa ini. Dulu ajar mereka kini ajar anak-anak mereka.

Haji Zahari pernah aktif dalam politik. Pernah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Mohd Najib Tun Razak dan Adnan Yaakob sebagai Ketua Pemuda UMNO. Mohd Najib (Pekan), Adnan (Bentong) dan Zahari (Lipis). Najib dan Adnan cerah bintang politiknya. Datuk Seri Mohd Najib setangga lagi ke PM. Dato’ Adnan dah lama jadi MB Pahang. Hanya Zahari, bintang politiknya tak cerah. Carrrier politiknya tercantas akibat peraturan dalam Perkhidmatan Awam yang tidak membenarkan penjawat awam aktif dalam politik. Zahari orang kampung tak ada sumber pendapatan lain selain jadi PPP Siswazah (guru). Adnan anak orang kaya, walaupun dia juga guru (Guru Sejarah) beliau ada back up dari segi sumber pendapatan dan kerana itu bintang politiknya boleh dicerahkan. Najib lagilah dia anak PM dan anak Orang Kaya Indera Syahbandar, orang besar berempat Negeri Pahang, memanglah dia boleh menyinarkan bintang politiknya. Walau bagaimana pun bintang Zahari dalam Pendidikan tetap cerah. Bersara ia sebagai PPD. Ada orang yang berhajat sangat nak jadi PPD sebelum bersara tak dapat. Haji Zahari dapat jadi PPD walau pun orang tak nak dia jadi Ketua Sektor di JPN Pahang.      

Pengalaman sebagai guru di sekolah yang sama banyak mengingatkan aku berberapa perkara. Haji Zahari semasa menjadi guru disiplin sekolah memang ditakuti oleh murid-murid, dia garang dan dia tak takut sesiapa. Memang masa itu sekolah aman. Murid-murid yang main-main dan suka langgar disiplin akan kena jadi tak ramai yang berani mencuba buat-buat tak tentu pasal.  Beliau jadi ketua rumah sukan, rumah sukannya Laksamana tetap jadi Johan.

Sebagai guru dia mampu menjadi motivator yang baik. Pernah ditahun 1987 dan 1988 beliau mencabar murid-murid Geografi tingkatan lima. Sesiapa yang dapat A1 Geografi dalam SPM akan diberi hadiah. Hadiahnya ialah sebiji proton saga. Malangnya tiada seorang pun yang berjaya dapat A1 dalam geografi SPM mereka. Aku tak berani sebab ramai yang dapat A1 dalam Rampaian Sains ketika itu.

Agenda sesudah bersara aku tak tahu. Tetapi yang pasti dia akan tinggal di Kampung Relong. Aku pasti kami akan merancang sesuatu yang baik untuk kampung kami. Semoga Haji Zahari Haji Uda dan seluruh keluarganya bahagia. Terus berbakti kepada bangsa dan nusa. Sekian posting kali ini, TQ.

Ini adalah kiriman aku ke 100 di Wadah Orang Kampung. Sejak memulakan laman sesawang ini pada 3 November 2007 dahulu. Sedikit sebanyak aku dapat juga menyumbang kepada keperluan guru-guru, murid-murid dan orang awam. Dapat jugalah aku memberi sedikit sumbangan kepada orang lain.

Hari Isnin 20 Oktober 2008, anak aku yang ke 7 mengambil peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang. Ini adalah anak lelaki aku yang ke 4 juga anak lelaki bongsu. Dari lapan anak aku (4 lelaki dan 4 perempuan) tiga darinya belajar di SMA Al Maidah Ad Diniah Padang Tengku. Mendahuluinya ialah abang long, selepas SPM menyambung pelajaran peringkat Diploma di KIPSAS. Dapat Diploma Pengajian Islam kemudian menyambung pengajian dibidang Perniagaan Antarabangsa di KUTPM (MSU). Abang Long kini buat MBA di MSU. Diikuti kedua ialah anak kelima, perempuan (Kak Tam), selepas SPM buat Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di IIC, Gombak dan kini membuat Ijazah di UM. Setakat ini tiadalah anak-anak aku ni yang meneruskan pengajian tinggi dalam bidang Pendidikan Islam. Tiga lagi anak aku buat Kejuruteraan. Oleh itu aku mengharapkan sangat anak lelaki aku ini dapat menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam. Itu sekadar harapan ayah bonda, terpulanglah kepada yang ampunya diri sama ada boleh atau tidak.

Masa ini aku lihat di sekolah ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian. Fokus aku ialah kepada murid bukan kepada ehwal lain. Murid masa ini kurang motivasi dalaman (Internal motiavtion) dan juga lemah kemahiran belajar. Sewajarnya diawal tahun perkara ini perlu diberikan penekanan agar apabila sampai akhir tahun seperti sekarang tak timbul masalah ini terutama kepada mereka yang hendak mengambil peperiksaan.

Antara tanda murid kurang motivasi dalaman ialah murid-murid kurang membuat ulang kaji sendiri, tiada cita-cita yang jelas, kalau tiada guru mereka akan buat kerja yang tidak berkaitan dengan pembelajaran, berborak semasa guru mengajar, tidur semasa guru mengajar, tidak menyalin apa yang dicatatakan diskrin atau papan putih/hitam.

Antara tanda murid tidak pandai atau tahu kemahiran belajar ialah tidak membaca buku teks sebelum atau selepas kelas (pengajaran), tidak membuat nota sendiri, malas menulis, sebahagian besar tidak hafal sifir, tak pandai membuat perbincangan. Masalah ini ditambah lagi bagi mata pelajaran yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium of instruction seperti Sains dan Matematik dan mata pelajaran teknikal yang lain.

Dengan menggunakan English as the medium of Instruction for certain subject, pengajaran mata-mata pelajaran yang terlibat menghadapai masalah besar. Ini ditambah lagi dengan kelemahan berbahasa Inggeris banyak terjadi di kalangan murid-murid dari luar bandar dan lower income group (SES rendah).  Akhirnya orang kampung (luar bandar) dan anak orang miskin akan terus ketinggalan dalam arus perdana pendidikan negara.  Inilah agaknya hasrat pemimpin yang hendak sangat PPSMI itu diteruskan. Hujah globalisasi hanya sekadar hujah sahaja untuk mengaburi mata mereka diluar arena pendidikan. Kita bukan anti Bahasa Inggeris tetapi kalau p & p Bahasa Inggeris yang bermasalah biarlah guru BI yang selesaikan.

Kita tanya Kementerian Pelajaran, adakah guru terlatih BI cukup? (Jawabnya tak cukup) yang ada mengajar di kebanyakan sekolah terutama di luar bandar ialah mereka yang dilatih dalam disiplin pengajaran bahasa Melayu tetapi diminta mengajar BI. Malah ada guru pendidikan Islam yang mengajar BI. Itulah senario P & P BI di sekolah terutama di Luar Bandar.

Cadangan 1: Kita pernah kekurangan guru sains dan metematik tahun 70′an dahulu terutama di Sekolah Menengah di luar bandar (kampung). Bagaimana penyelesaian dibuat? UPM dan ITK (UTM kini) telah merekrut anak-anak kampung yang pandai sedikit sains dan metematik, dilatih selama tiga tahun di berikan diploma Sains dengan Pendidikan dan dihantar balik ke kampung mereka untuk mengajar. Hasilnya tahun 80′an problem ini selesai malah tahun 1985 guru sains matematik dah berlebih. Apa salahnya Kementerian Pelajaran rekrut anak kampung yang dapat 4B, 3B, 2A atau 1A Bahasa Inggeris dalam SPMnya terima mereka ke IPG, latih lima tahun, beri Ijazah dan hantar balik ke kampung mereka. Jangan ambil mereka dari bandar. Nanti susah bila nak posting.

Cadangan 2: Naikkan kota guru BI disekolah. Sehingga satu kelas dua orang guru. Biar mereka guna kaedah Team Teaching atau apa-apa kaedah P & P Bahasa Inggeris yang terkini dan paling sesuai. Aku rasa kalau guru terlatih dalam bidang BI yang mengajar BI pasti masalah komunikasi BI dikalangan rakyat malaysia akan dapat di atasi. Jadi tak perulah kacau subjek lain. Aku sebagai guru sains tak dapat elaun PPSMI pun tak apa!!. Lagi pun aku nak bersara tak lama lagi (next year).

Sekian posting ke 100. TQ

Bermula hari ini, semua sekolah menengah yang ada tingkatan tiga mula menghadapi pepriksaan awam, iaitu (Penilaian Menengah Rendah (PMR). SPM ada lebih kurang 28 hari lagi. Masyarakat Malaysia memang tersangat peka dengan peperiksaan. Masyarakat Malaysia ialah masyarakat yang berorientasikan peperiksaan. Kalau tak percaya datang ke sekolah dan buat pemerhatian. Selepas peperiksaan percubaan baik SPM atau PMR akan datanglah pegawai dari PPD atau JPN melawat sekolah nak buat post mortem kepada keputusan yang diperolehi. Ada yang datang memang nak bantu tapi ada juga yang datang dengan marah-marah. Yang datang dengan kemahiran, memberi khidmat nasihat memang dialu-alukan, tetapi kalau datang dengan kepala kosong dan kemudian nak tunjuk lagak pandai, tak payah datang. Pelawat-pelawat itu mesti ingat disekolah yang mereka pergi itu mungkin ada guru yang lebih tahu perihal murid mereka. Jangan datang pakai terjah sahaja. Kalau nak datang nasihat, baik jumpa murid, jangan jumpa guru. Kalau silap terjah nanati kena balik ke batang hidung sendiri. Itu ingatan kepada pegawai-pegawai yang nak datang ke sekolah buat last minute comment kepada guru yang mengajar.

Dikalangan ibu bapa pula mereka sangat peka kepada peperiksaan ketika anak mereka disekolah rendah tetapi kurang peka apabila mereka naik ke peringkat menengah. Tak tahu agaknya mereka ini bahawa UPSR itu tiada nilai commersial. Yang bernilai dengan diiringi dengan sijil ialah peperiksaan SPM. Pelik tetapi benar, bahawa ramai ibu bapa tak berapa peka dengan anak mereka apabila anak mereka ambil SPM. 

Melalui laman sesawang ini aku ingin memberi sedikit sumbangan kepada anak anak yang hendak ambil SPM. Iaitu kepada mereka yang ambil mata pelajaran Sains. Sains SPM ada dua kertas, kertas 1 dan kertas 2. Kertas 1 berbentuk objektif 50 soalan. Kertas 2 berbentuk subjektif terdiri daripada tiga bahagian. Bahagian A, soalan berdasarkan Kemahiran Proses Sains. Bahagian B, soalan pengetahuan dan kefahaman.  Bahagian C, soalan mengeksperimen (Soalan 10) makala soalan 11 dan 12 merupakan soalan pilihan yang menguji kefahaman dan kemahiran berfikir yang meliputi mengkonsepsi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Bagi kertas 2, Bahagian A. Calon mesti tahu dan faham kemahiran proses sains. Jawapan kepada empat soalan dalam bahagian ini ada dalam soalan dan gambarajah yang diberi.  Jawapan itu wujud mungkin secara tersurat atau tersirat. Terpulanglah kepada calon untuk mengutip dan menjana jawapan yang memang ada dalam kertas soalan. Markah bagi Bahagian A ialah 20.

Bahagian B. Calon mesti membawa bekalan yang cukup. Bekalan dapat dirujuk dari buku teks. Bekalan dibawa dalam bentuk pengetahuan (perlu ingat) dan kefahaman (menggunakan maklumat yang dibri seperti gambarajah, atau ayat-ayat keterangan yang ada dalam soalan.

Bahagian C. Soalan no 10 (mengeksperimen). Calon mesti tahu cara mendapatkan pmboleh ubah dimanipulasi dan bergerakbalas dari pada pernyataan soalan dalam kotak yang diberikan. Apabila pemboleh ubah dimanipulasi dan bergerakbalas diperolehi, maka lima markah sudah ada dalam tangan. Antara sumber markah yang boleh didapati ialah; membuat hipotesis, menulis tujuan eksperimen, menulis semua pemboleh ubah dan melukis jadual data. Agak sukar bagi calon melengkapkan senarai radas dan bahan. (Biasanya calon perlu memberikan satu atau dua radas sahaja, yang lain telah diberikan.  Untuk mendapatkan empat markah bagi prosedur/kaedah, panduan berikut wajar digunakan iaitu; 1. menerangkan bagaimana radas dipasang, 2. menerangkan bagai mana pemboleh ubah bergerak balas diuruskan atau didapatkan, 3. bagaimana pemboleh ubah bergerakbalas diukur, diperhati dan direkod, 4. Bagaimana pemboleh ubah dimanipulasi diuruskan. Sekiranya calon mengikut tips ini dengan menggunakan sedikit pengetahuan dan fikiran, calon berkenaan boleh dapat markah penuh.

Cukup dahulu posting kali ini. TQ

Hajat hendak tamatkan segera puasa enam tidak kesampaian. Aku hanya dapat memulakan puasa enam pada hari Isnin lepas (6 Syawal) dan aku sempat melaksanakannya sehingga Jumaat (10 Syawal). Baru siap lima hari. Hari Sabtu aku tak dapat hendak berpuasa kerana sekolah tempat aku mengajar mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya bagi ibubapa, bekas murid dan juga bekas guru disamping meraikan semua ahli keluarga besar sekolah yang terdiri daripada murid-murid, semua guru dan kakitangan sekolah.

Sesungguhnya program ini banyak maknanya kepada ahli keluarga besar sekolah. Dari masa merancang, membuat persediaan dan hari berlakunya peristiwa banyak menyemai beberbagai nilai yang positif. Antara nilai positif yang dapat dipupuk ialah berkerjasama antara semua ahli keluarga besar sekolah. Kalau pihak pengurusan hendak melihat kakitangan atau orang bawahannya berkerja dengan ikhlas lihatlah sewaktu melangsungkan persediaan.

Betapa para guru dan kakitangan sekolah berganding bahu menyediakan lemang hampir 100 batang dari mencari buluh dan daun pisang, memasukkan daun pisang kedalam buluh, menyediakan tempat membakar lemang, memasukkan beras dan santan dan akhirnya membakar lemang. Semua kerja ini bukan mudah bagi mereka yang tidak pernah melakukannya. Selain lemang yang dihidang bersama dengan rendang yang dibuat sendiri oleh sekumpulan guru dan kakitangan sekolah terdapat lagi makanan lain. Antara makanan yang disediakan ialah soto, ketupat, pecal, nasi dagang, nasi goreng, mee goreng, roti jala, roti canai panas, air minuman serta air batu campur.

Untuk membuat semua sajian ini memerlukan masa, tenaga, wang ringgit serta kerjasama yang erat antara semua ahli keluarga besar sekolah. Setelah selesai persediaan sudah tentulah tiba waktu acara. Selepas solat asar berjemaah di surau sekolah para tetamu diminta ke Dataran Bakti sekolah untuk menjamu selera.  Ketika yang sama beberapa persembahan dibuat. Sambil menikmati juadah sajian Hari Raya para tetamu disajikan juga dengan halwa mata dan telinga yang berupa persembahan nasyid dari sekolah menengah agama yang berjiran dengan sekolah kami. Persembahan tarian melayu dan india dari sekolah kami serta tarian cina dari sekolah cina di daerah lepeh. Sebenarnya program hari itu juga merupakan program dari Rancangan Integrasi Untuk Perpaduan (RIMUP). Duit RIMUP digunakan untuk program ini.

Program ini juga merupakan satu cara melatih para guru dan kakitangan sekolah membuat persediaan bagi merayakan jublee emas sekolah yang dijangka akan dibuat beberapa tahun akan datang. Untuk tujuan itu pendaftaran ALMUNI sekolah dimulakan. Termasuk dalam almuni sekolah ialah semua bekas muridnya dan juga semua bekas gurunya. Oleh itu melalui laman web ini disiarkan kepada semua bekas murid SMK Padang Tengku juga bekas guru-gurunya agar dapat mendaftarkan diri serta memberi alamat mereka kepada pihak sekolah dengan menghubungi SMK Padang Tengku, 27100 Padang Tengku, Pahang atau telefon sekolah 09-3293111 dan fax 09-3293112.  Diharapkan semua bekas murid SMK Padang Tengku dapat menyahut seruan ini.

Insya Allah puasa enam aku akan dapat ditamatkan hari esok. Sebab selasa aku terpaksa bercakap panjang dalam menyediakan murid tingkatan lima aku yang akan menghadapi SPM bermula 11 November nanti. Sekian posting kali ini TQ

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana selesai sudah kita menjalankan latihan Ramadhan untuk menggapai takwa walau pun kalau boleh aku mengharapkan Ramadahan berterusan kerana peluang kita mendapat limpah rahmat, keampunan serta pembebasan dari api neraka terbuka luas dalam bulan Ramadhan.  Eid Mubarak juga sudah berlalu kerana ia beredar mengikut berlalunya masa. Semoga Ramadhan yang pergi tahun ini membawa bersama amal bakti kita. Semoga amal bakti kita diterima oleh Allah SWT. Semoga kita juga dapat bertemu dengan Ramadahan tahun akan datang.

Walau bagaimana pun penulisan aku diblog ini tidak dapat mencapai hasrat aku untuk menulis posting setiap hari. Aku hanya mampu menulis sebanyak 17 enteri sahaja. Itu adalah kelmahan aku. Sebab aku tidak dilatih sebagai penulis, aku hanya dilatih sebagai guru yang mengajar di dalam bilik darjah. Kerja aku mengajar setiap hari. Itu pun kalau ada murid yang hendak belajar. Kalau murid tiada dalam kelas taklah pula aku kena pergi cari murid diceruk rantau dalam kawasan sekolah atau diluar kawasan sekolah.

Aku timbulkan perkara ini kerana ini merupakan masalah utama yang aku hadapi selepas peperiksaan percubaan SPM. Sepatutnya kita membuat ulangkaji, membuat persediaan bagi murid-murid menghadapi SPM. Biasanya guru-guru akan membincangkan berbagai strategi menjawab soalan, memilih soalan tertentu yang berkemungkinan disoal dalam peperiksaan SPM untuk diteliti dan diulas cara menjawabnya. Semestinya soalan percubaan juga akan dijawab atau ditunjukkan cara menjawabnya. Aku selalu mengingatkan murid-murid aku agar hadir kesekolah setiap hari kerana kita buat program yang terancang untuk menyediakan mereka menghadapi SPM sebenar. Empat lima tahun yang lalu sambutan dari murid memang menggalakkan terhadap persediaan ini. Begitu jugalah sepanjang aku mengajar sebelum dari tahun-tahun itu. Tetapi entah salah dimana aku pun tak tahu, dua tiga tahun kebelakangan ini aku dapati respons murid-murid aku terhadap program ini mendukacitakan. Tahun lalu aku amat terasa. Respons mereka kepada program akhir sebelum peperiksaan tersangat minima.

Apakah keadaan ini bersangkut paut dengan medium pembelajaran iaitu penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI)? Aku rasa ianya ada korelasi yang sangat besar. Keadaan murid hilang dari sekolah selepas peperiksaan percubaan, kadar ponteng sekolah yang tinggi diakhir tahun, ramai murid belajar ala pembelajaran jarak jauh yang semuanya kian meningkat ada berkait rapat dengan PPSMI. Kalau tak percaya buatlah kajian yang bebas dari unsur-unsur arahan dari atas.

Kalau kajian berdasarkan arahan dari atas seperti ujian diagnostik, dipstik atau laporan Guru Besar/ Pengetua memanglah PPSMI sifatnya berjaya. Sebabnya mudah sahaja Pengetua biasanya melaporkan apa yang baik-baik sahaja. Jadi laporan Pengetua / Guru Besar, PPSMI baik. Laporan sampai ke PPD, pegawai PPD membuat laporan seterusnya kepada Pengarah JPN, PPSMI baik. Pengarah JPN melaporkan kepada KPPM, PPSMI baik. KPPM melaporkan kepada menteri, PPSMI baik. Menteri melaporkan kepada kabinet dan seluruh negara PPSMI baik.

Aku bukan nak temberang, tetapi pengalaman sebagai orang yang membuat laporan diperingkat sekolah, melaporkan kepada pengetua bahawa aku merumuskan PPSMI ini akan menjadikan apa “yang dikendong berciciran dan yang dikejar tak dapat”.  Yang dikendong ialah semangat pembelajaran sains dan matematik yang sudah baik. Yang dikejar ialah penguasaan Bahasa Inggeris. Akibat laporan aku dimarahi oleh GPK Kurikulum sekolah aku. Aku tetap tak mahu menukar rumusan itu. Setelah empat tahun apa yang aku tulis tahun 2004 dahulu adalah betul.

Pada pagi Jumaat lalu sekitar jam 2.15 pagi (3 Syawal) aku dikejutkan oleh satu peristiwa pulangnya adik aku buat selamanya menghadap Allah SWT. Adik aku ini adalah seorang Ustazah yang menjadi GPK HEM di Sekolah Kebangsaan. Dia baru berumur 52 tahun 10 bulan. Kembalilah lagi seorang adik beradik aku menghadap Allah SWT. Kini tinggal aku berlima. Tiga orang kakak dan seorang adik perempuan. Oleh kerana ia meninggal dipagi Jumaat disahkan kematiannya oleh Pembantu Perubatan dari kelinik berhampiran jam 2.30 pagi maka aku dan adik iparku membuat keputusan untuk membuat pengkebumian sebelum solat Jumaat. Pada awal pagi itu saudara mara aku sudah datang. Selepas solat subuh semua persediaan berjalan dengan lancar.

Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu dalam pengurusan jenazah adik aku. Inilah adik yang tinggal berjiran dengan aku. Jarak antara rumah aku dan rumahnya sekitar 300 meter sahaja. Adik beradik yang lain jauh belaka. Maka hilang sudah Mak Andak anak-anak aku. Hilang sudah tempat bermanja sebahagian anak-anak saudaranya termasuk anak-anak aku. Pemergiannya aku iringi dengan al Fatihah. Sekian TQ