November 2008


Bermula 19 Nov 2008 hingga 29 Nov 2008 aku menjadi penghuni Tiara Beach Resort di Port Dickson. Aku dan para sahabat aku yang hebat-hebat melaksanakan tugas negara. Tugas ini kami sentiasa lakukan setiap hujung tahun, setiap tahun. Hanya tempat bermukimnya sahaja berubah-ubah. Bagi aku permukiman ini merupakan permukiman yang terakhir sebelum aku bersara tahun depan. Untuk sesi permukiman tahun hadapan aku sudah tidak dapat lagi bersama para sahabat hebat itu.

Aku tidak mahu mengulas tentang tugas negara yang dijalankan. Aku hanya ingin mencoretkan beberapa kenangan ketika bermukim sebelas hari di Tiara Beach Resort itu. Aku dijadikan ketua permukiman ini kerana ketua sebenarnya pergi menunaikan fardhu haji bersama seorang lagi sahabat kanan. Maka tinggallah kami berlapan menjadi kepala bersama dipermukiman ini. Mengapa aku mengatakan semua sahabat ini sahabat hebat. Sesungguhnya kata sepakat dan bulat fikiran adalah penting dalam melaksanakan tugas. Bukan mudah mencari kata sepakat ketika menjalankan tugas kritikal. Setiap pertembungan kefahaman diulas dan difahami serta diputuskan bersama. Cepatnya memberi response kepada apa-apa perbezaan pendapat menjadikan kerja sepasukan menjadi mudah dan cepat. Oleh itu kesepakatan, kesefahaman dan sikap bertolak ansur menjadikan halangan pemikiran dapat diroboh dan akhirnya persetujuan tercapai dan kerja selesai. Itulah mentaliti sahabat hebatku.

Sesuatu yang tidak mengembirakan ialah hadirnya lalat yang banyak di resort ini. Waktu makan lalat berlegar di atas kepala dan singgah diatas kepala, tangan, hidung dan telinga. Sangat merisaukan. Diikuti dengan beberapa sahabat mengalami sakit perut. Inilah kelemahan resort ini. Lalat sudah menjadi sinonim dengan resort ini. Tapi pengunjung tetap ramai. Hujung minggu bilik semua penuh ditempah.

Kehebatan resort ini adalah kerana ia ada kolam mandian ditengah-tengah kawasan resort. Kawasan air ini dibuat seperti pantai. Pantai tiruan. Rupanya manusia ini kalau jumpa air seronoknya tidak terkata. Berhimpun manusia dikawasan air ini. Tua dengan perangai tuanya, muda dengan gelagat mudanya, kanak-kanak tak usah ceritalah kalau bertemu air. Kehadiran badut tinggi hampir 10 kaki dan badut gempal menambah gembira kanak-kanak yang ada. Setiap malam ada pertunjukan pentas terbuka dengan pasukan akrobatik dari negara China. Menghiburkan bagi mereka yang hendak berhibur. Tapi kami tetap buat kerja sepanjang siang dan separuh malam.

Hari akhir kami berkumpul untuk taklimat dan majlis penutup. Aku diberikan penghargaan untuk berucap sebagai orang yang akan bersara. Dalam doa pembukaan majlis, satu tazkirah kematian disampaikan dan hal ini diulas oleh pengerusi. Pengerusi Majlis dari utara ini memang hebat mengulas kata bicara. Pengrusi mengungkapkan bahawa pernah berlaku dimajlis persaraan Pengetua sekolahnya, YDP PIBG memberi tazkirah kematian kepada hadirin khususnya kepada pengetua yang akan bersara. Tapi tak lama selepas itu YDP PIBG itu yang pergi dahulu menyahut pangilan ilahi.

Hari esok 1 Disember 2008 semua sahabat hebat yang datang dari seluruh pelusuk negara dari Perlis hingga ke Sabah akan menjalankan tugas mereka untuk negara di tempat masing-masing bersama anak buah mereka. Kami berlapan akan memantau dari jauh dan dekat. Semoga semua sahabat hebat dapat menjalankan amanah dengan adil dan mentaksir dengan menghasilkan skor yang sahih. Peganglah moto Adil, Sahih dan Amanah dalam menggalas tugas dan melaksanakan tanggungjawab untuk negara. Sekian TQ.

11 Nov 2008 adalah hari pertama anak-anak muridku menghadapi SPM bertulis. Aku bercadang untuk hadir didepan dewan peperiksaan setiap pagi bagi semangat kepada mereka, tapi takdir mengatasi segala-galanaya.  Aku berasa sakit perut yang agak berbeza pada tengah hari itu. Lantaran itu aku pulang ke rumah lebih awal dari biasa. Aku ajak isteriku ke klinik swasta di Kuala Lipis sebelah petang. Doktor mengdiagnos bahawa aku sakit gastrik. Kembali kerumah aku rasa sakit aku semakin menjadi walaupun telah mengambil ubat yang diberi. Selepas solat maghrib aku ajak isteri dan anak sekali lagi ke Lipis tetapi kali ini ke Hospital Kuala Lipis.

Setelah pemeriksaan dibuat aku ditahan di wad. Itulah kali pertama aku tinggal di wad. Dua hari kemudian Doktor Pakar berbangsa Myanmar memeriksa aku dengan membuat imbasan pada bahagian abdomen. Antara yang di imbas ialah bahagian gingal dan kantung hempedu. Doktor memanggil aku untuk melihat gambar imbasan yang dirakam. Dia mengatakan sah gingal aku sihat tetapi kantung hempedu aku bengkak. Pada mulanya dia hendak membuat penjelasan dalam Bahasa Melayu tetapi aku lihat penerangannya tidak kesampaian. Aku minta dia membuat penjelasan dalam Bahasa Inggeris dan aku memang fasih bercakap Inggeris. Aku bertanya sesuatu berkait anatomi badan mengikut kemampuan  ilmu biologi aku. Impress juga dia bila mengetahui yang aku guru biologi. Esoknya bila doktor pakar ini melawat wad tempat aku tinggal dia terus berbincang dengan gembira tentang apa yang dia tahu tentang imbasan yang dibuat pada abdomen aku.

Duduklah aku di wad dua itu semenjak 11 Nov hingga 17 Nov 2008. Apa yang aku hargai ialah kesungguhan kaki tangan hospital menjaga pesakit. Ramai juga yang kenal kepada aku dan sambil mereka bekerja akan sembang-sembang dengan para pesakit. Terima kasih juga kepada saudara mara, sahabat handai yang datang melawat aku ketika aku terlantar di wad. Walaupun aku layak duduk wad kelas satu tapi aku saja duduk wad kelas dua. Bila aku keluar tadi aku kena bayar RM 18.00 sahaja.

Apa yang pelik ialah pekerja Redicare (Swasta yang mencuci hospital) mejoriti adalah orang luar. Orang Malaysia ada beberapa orang sahaja. Itulah negaraku Malaysia. Kera dihutan disusui anak dirumah mati tak makan. Tak tahulah bila dasar tentang pekerja asing ini nak tamat.

Aku juga rasa sedih tak dapat tunaikan janji dengan anak-anak muridku kerana tak dapat jumpa mereka dipagi hari peperiksaan atau petang seblum paper Sains mereka. Inilah takdir sebenarnya. Sekian posting kali ini TQ.

Esok, 11 Nov 2008, bermulalah peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008. Pagi tadi di sekolah, kami para guru masih mengambil kesempatan untuk berusaha memberikan bekalan kepada murid-murid kami calon SPM 2008. Hari ini tiga mata pelajaran teras dihidangkan kepada calon-calon SPM. Sains Teras/Fizik, Sejarah dan Bahasa Melayu. Itulah guru yang tak kering dengan usaha dan sanggup menyediakan pertolongan sehingga kehari terakhir.

Saya gunakan perkataan hidang berdasarkan kesungguhan guru membantu murid. Ramai murid yang hadir tetapi malang juga masih ada murid yang tidak datang. Mereka ini tidak prihatin kepada para guru yang sangat prihatin kepada mereka. Sedih dan pilu rasanya. Orang nak bantu tapi mereka tak sudi. Kita aje yang hidung tak mancung dan pipi tersorong-sorong. Itulah nasib cikgu. Dikalangan yang hadir pula ada yang betul-betul ingin dibantu. Bersungguh mereka mengikuti program yang dilaksanakan oleh guru mereka. Alhamdulillah sejuk hati guru. Bersemangat pula rasanya nak bantu lagi. Ada juga yang hadir itu sekadar hadir badan sahaja. Mindanya entah kemana. Kadang-kadang ada juga rasa sedih dan keciwa tetapi kerana ada yang nak belajar biarlah mereka yang mindanya merayau itu seperti luncai. Terjunlah dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan!! Sebenarnya itulah gambaran anak-anak kita disekolah masa kini.

Satu perkara yang ingin saya sebut disini adalah berkaitan dengan perasaan saya sendiri sebagai guru. Ketika saya mula-mula mengajar di SMKPT ini tahun 1977 dahulu saya sangat gembira. Apatah lagi ditahun-tahun berikutnya usaha saya berhasil. Saya berjaya sebagai guru memujuk anak-anak murid masa itu untuk meminati mata pelajaran Sains walau pun rata-rata ketika itu mengatakan Sains itu susah. Lama kelamaan kepercayaan bahawa sains itu susah telah hilang. Saya berjaya meramaikan anak-anak mengikuti aliran sains. Pendekatan saya betul, motivasi saya tepat. Mudah menyedarkan murid-murid itu siapa mereka. Yang lebih penting ialah perasaan ingin belajar dan terus belajar itu dapat dipupuk dan terserlah dengan jelas terutama diakhir tahun 80′an dan awal 90′an. Saya rasa kaedah dan pendekatan saya betul dan benar kerana saya berasal dari tempat ini. Saya dibesarkan dikawasan ini. Saya tahu keadaan penduduk disini. Saya prihatin kesusahan mereka.

Sekarang, saya yang bertugas di sekolah yang sama merasakan kegagalan dalam membuat kerja-kerja seperti yang saya lakukan di masa saya mula mengajar dahulu. Motivasi saya kurang mengena. Berbagai kaedah dah dibuat tapi tak berkesan. Anak murid tambah buat masalah. Perkara ini banyak berlaku terutama empat lima tahun kebelakangan ini. Agaknya aku tak sesuai mengajar lagi, dah nak kena berhenti. Nasib baiklah aku nak bersara tahun hadapan (2009).

Jumaat lepas kami mengadakan majlis penitisan ilmu. Aku diberikan kesempatan mewakili semua guru sekolah aku untuk menyampaikan ucapan bagi meredhakan ilmu pengetahuan yang telah kami titiskan sepanjang murid-murid ini belajar. Aku telah menyebut beberapa perkara, antaranya:

Indahnya kejayaan: Mengikut pengalaman, masa persekolahan merupakan zaman yang manis ketika melalui lorong kehidupan. Kemanisan itu akan lebih bertambah sekiranya zaman persekolahan itu diiringi dengan kejayaan dalam SPM. Zaman yang indah dan manis inilah menjadi nostalgia yang bakal diceritakan kepada anak, cucu dan generasi mendatang. Untuk bukti para murid bolehlah bertanya kepada guru-guru mereka. Pastinya banyak cerita gembira yang tersua dalam bicara. Yang sedih ada juga tapi dicerita dalam nada bahagia. Nostalgia itu lebih indah dari seronoknya bercinta. 

Persekolahan hasilkan orang berilmu: Orang berilmu akan dinaikkan darjatnya disisi Allah. Itu mafhum dari Al Quraan. Orang yang melalui jalan-jalan mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan kesyurga. Itu maksud dari al Hadith. Sesiapa yang ingin bahagia di dunia hendaklah dia berilmu, sesiapa yang hendakkan bahagia di akhirat hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang hendak bahagia di kedua-duanya (dunia dan akhirat) hendaklah dia berilmu. Itu maksud al Hadith. Peluang bagi calon-calon SPM masih ada walau pun beberapa hari sahaja lagi. Oleh itu mereka wajarlah berusaha bersungguh-sungguh. Ambillah contoh Imam Shafie dalam pencarian ilmu (Perlu baca buku Imam Shafie dalam pencarian Ilmu). Menuntut ilmu bermula dari buaian hingga keliang lahat. (Life long education). Mencari ilmu adalah ibadat.

Ke IPT: Kalau hendak ke IPT mesti usaha dapatkan sekurang-kurangnya lima kepujian dalam SPM. Kalau tak dapat lima kepujian agak sukar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik. Walau pun begitu kehidupan perlu diteruskan. Kalau tak mampu mengembangkan potensi dalam bidang akademik (head skills) boleh tukar kepada hand skills. Oleh itu cuba ceburi pula perkara yang berkaitan dengan kemahiran tangan. Seperti kemahiran menjahit pakaian. Ingat selagi ada manusia mereka perlu pakaian. Kalau mereka pandai menjahit pakaian pendapatan mereka boleh lumayan. Bidang lain berkaitan dengan perusahaan makanan. Selagi ada manusia mereka perlu makan. Apatah lagi trend manusia malaysia yang suka makan dikedai kini sudah bermula. Tak sempat nak masak, leceh nak basuh pinggan mangkuk, dan sebagainya. Itulah sebabnya mengapa orang masakini suka makan dikedai.

Wawasan: Mantapkanlah wawasan insan seperti yang sentiasa disebut dalam doa kita. Ya Allah kurniakan aku kebahagiaan di dunia dan kurniakan aku kebahagiaan di akhirat dan jauhkan aku dari pada api neraka. Oleh itu berbuatlah apa-apa perkara selepas SPM nanti dalam semangat dan wawasan yang sentiasa diikrar dan diaminkan setiap kali kita berdoa.

Sekian dulu posting ini TQ.

Isnin hingga Rabu yang lalu (3 Nov – 5 Nov) aku ke Kota Bharu. Ada urusan dengan Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Aku diminta menyumbang buah fikiran untuk dikongsi dengan BPK.  Sebenarnya aku yang dapat maklumat dan pengetahuan baru dalam pendidikan. Itulah baiknya kalau menghadiri mesyuarat dengan bahagian-bahagian dalam KPM. Hanya kadang-kadang masa tidak mengizinkan aku untuk pergi kerana kewajipan di sekolah adalah lebih penting.

Sesungguhnya aku banyak mengumpul maklumat dan pengetahuan sepanjang kerjaya aku sebagai guru apabila aku terlibat dengan program KPM, baik dengan BPK (nama dulu ialah Pusat Perkembangan Kurikulum – PPK) atau dengan Lembaga Peperiksaan (LPM) atau dengan EPRD. Maklumat dan pengetahuan itulah yang kemudiannya aku olah dan bugar sehingga aku layak menjadi Guru Cemerlang.  Oleh itu kepada adik-adik dan anak-anak yang baru menjadi guru atau cikgu harap jangan lepas peluang untuk menghadirkan diri apabila dijemput oleh pihak-pihak tertentu dalam KPM untuk berkursus, berbengkel atau bermesyuarat. 

Dalam perjumpaan di Kota Bharu yang dihadiri, aku dapat maklum bahawa BPK akan mengenalkan perkara baru dalam konsep kurikulum khususnya disekolah rendah. Kalau dahulu tanda aras bagi pencapaian murid sekolah rendah ialah menguasai 3M (Menulis, Mengira dan Membaca) tetapi dimasa depan tanda aras kemenjadian murid di sekolah rendah akan bertambah menjadi 4M (Menulis, Mengira, Membaca dan Menakkul). Ini bermaksud murid di sekolah rendah akan dilihat kemenjadiannya dalam kurikulum berdasarkan kebolehannya menulis, membaca, mengira dan menakkul. 

Menulis ertinya anak lepasan sekolah rendah sudah boleh menulis dengan baik. Tulisannya boleh dibaca oleh orang lain. Apa yang ditulis membawa makna. Sudah boleh menulis ayat-ayat mudah mengikut struktur ayat dalam bahasa yang ditulis. Kalau tulis dalam Bahasa Melayu, ayat-ayatnya mengikut struktur ayat BM yang betul, menggunakan kosa kata yang betul dan tidak bercampur aduk dengan bahasa lain seperti ayat BM yang ditutur oleh sebahagian Pak Menteri kita. (Nampaknya Pak Menteri pun tak lulus BM secara lisannya sebab itu mereka tak minat nak perjuangkan BM).  Kalau mereka tulis dalam BI biarlah ayat yang mereka tulis hendaklah ikut BI. Tidak bercampur aduk dengan BM. Contoh Pak Menteri kita cakap bercampur BI dan BM pun ramai.

Membaca ertinya anak-anak yang tamat belajar di sekolah rendah boleh membaca dengan lancar dalam bahasa yang mereka pelajari. Baik membaca bahan dalam BI atau BM. Selain membaca dengan lancar mereka sewajarnya faham apa yang mereka baca. Di sekolah menengah rendah selalunya terdapat ramai anak murid yang boleh membaca tetapi tak faham apa yang dibaca. Kepastian kepada isu ini boleh didapati dari para guru BM yang mengajar di menengah rendah. Malah ramai juga yang tak boleh membaca yang mengakibatkan perlu diwujudkan kelas intervensi di sekolah menengah.

Mengira bagi saya ertinya murid lepasan sekolah rendah mesti boleh melaksanakan operasi tambah, tolak, dharab dan bahagi. Operasi dharab dan bahagi tidak akan lancar sekiranya murid tidak hafal sifir. Oleh itu pastikan anak-anak kita hafal sifir 1 hingga 12 sebelum memasuki tingkatan satu. Walaupun ada mazhab dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang tidak suka aktiviti menghafal ini. Mazahab ini sebenarnya tak faham Islam.  Kalau dilihat tradisi pembelajaran dalam Islam kita akan dapati bahawa menghafal ini penting. Anak-anak diminta menghafal Al Quraan, Hadith dan syair-syair Arab. Asas pembelajaran adalah menghafal. Lihat sejarah pembelajaran yang dilalui oleh Ulama’ besar seperti Imam Shafie’, Imam Ghazali malah Rasulullah SAW sendiri menghafal Al Quraan selepas diwahyukan sesuatu ayat melalui malaikat Jibrail a.s. Sesudah menghafal ayat yang diwahyukan, Rasulullah akan menentukan letak sesuatu ayat dalam sesuatu surah dan kemudiannya baginda akan menerangkan maksudnya dalam bahasa yang mudah diahami oleh para sahabat ra.  Apabila sudah hafal barulah kefahaman akan datang. Bila kefahaman dah ada barulah penakkulan akan dapat dijalankan. 

Menakkul ertinya kebolehan memberikan pendapat berdasarkan pengetahuan dan kefahaman. Kita hendak melahirkan rakyat Malaysia yang tidak menjadi pak turut sebaliknya kita mahu mendidik anak-anak yang boleh berfikir atau anak yang boleh menggunakan aqal secara sihat. Bagaimanakah kebolehan penakkulan ini boleh dinilai (taksir)?  Dalam kurikulum itu akan disediakan ruang untuk murid-murid ini bercakap mengenai tajuk yang baru dipelajari, ada sessi talk about.  Oleh itu para guru masa depan akan bertemu dengan sesi talk about dalam kurikulum yang baru dan ini sesuai dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan diperkenalkan bermula 2011 nanti. Sesi talk about diadakan bukan untuk mengatakan anak-anak kita masa kini tak boleh bercakap. Mereka boleh bercakap, tetapi mereka bercakap hanya sekadar berborak bukan bercakap mengikut tajuk tertentu. Kalau berborak mereka pandai tetapi bercakap ikut tajuk tertentu mereka akan kaku. Lihat sahaja debat antara DS Anwar Ibrahim dengan Datok Sabri Cheek di TV dahulu. Datok Sabri Cheek tak boleh menakkul dengan baik, dia kaku bila dihujah dengan fakta (pengetahuan) dan huraian kefahaman situasi yang menghimpit rakyat oleh DSAI, akhirnya Datok Sabri Cheek serang peribadi DSAI. Inilah contoh orang tak pandai menakkul dengan baik walaupun bertaraf menteri!!!

Sekian dahulu posting kali ini TQ.

Sempena Peperiksaan SPM yang akan bermula pada 11 November 2008 nanti, suka juga saya menurunkan beberapa panduan bagi guru-guru, ibu bapa dan calon yang terlibat dengan mata pelajaran Sains SPM (1511). Sebenarnya saya telah menuliskan panduan ini dalam satu enteri beberapa minggu yang lalu dibawah tajuk MUSIM PEPERIKSAAN, tetapi nampaknya tak ramai pengunjung yang membacanya.  Oleh itu saya tulis sekali lagi perkara yang sama.

Kertas Sains 1511 (SPM) mempunyai dua kertas. Kertas 1 adalah merupakan kertas objektif. Kertas ini menguji tiga konstruk iaitu pengetahuan, kefahaman dan applikasi. Jumlah soalan ialah 50. 25 soalan adalah soalan yang menguji pengetahuan (recall items), 15 soalan menguji kefahaman (thinking items) dan 10 soalan menguji applikasi (thinking items). Oleh itu kalau tanya mana soalan kemahiran berfikir dalam soalan sains, jawabnya lihatlah soalan-soalan kefahaman dan soalan apliksai. Dari segi taburan soalan pula, soalan sains ini diambil dari semua tajuk dalam kurikulum sains menengah atas. Terdapat 15 tajuk yang diuji. Mana-mana tajuk yang panjang lima soalan diperuntukkan, manakala tajuk yang pendek hanya dua atau tiga soalan diperuntukkan. Ini berterti semua tajuk mesti diulangkaji. Tajuk yang tidak diuji bagi soalan objektif (kertas 1) ialah tajuk pertama dari tingkatan empat. (Investigating Science). Tidak ada soalan objektif dari tajuk ini.

Manakala bagi Kertas 2, terdapat tiga bahagian.  Bahagian A, soalan berdasarkan Kemahiran Proses Sains. Bahagian B, soalan pengetahuan dan kefahaman.  Bahagian C, soalan mengeksperimen (Soalan 10) makala soalan 11 dan 12 merupakan soalan pilihan yang menguji kefahaman dan kemahiran berfikir yang meliputi mengkonsepsi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Bagi kertas 2 ini, Bahagian A.  Calon mesti tahu dan faham kemahiran proses sains. Jawapan kepada empat soalan dalam bahagian ini ada dalam soalan dan gambarajah yang diberi.  Jawapan itu boleh diperolehi secara tersurat atau tersirat dalam stem soalan atau gambarajah. Terpulanglah kepada calon untuk mengutip dan menjana jawapan yang memang ada dalam kertas soalan. Markah bagi Bahagian A ialah 20.

Bahagian B. Calon mesti membawa bekalan yang cukup. Bekalan dapat dirujuk dari buku teks. Bekalan dibawa dalam bentuk pengetahuan (perlu ingat) dan kefahaman (menggunakan maklumat yang diberi seperti gambarajah, atau ayat-ayat keterangan yang ada dalam soalan. Terdapat lima soalan dari bahagian ini. Markah yang diperuntukkan ialah 30. 20 markah untuk pengetahuan dan 10 markah untuk kefahaman.

Bahagian C. Soalan No. 10 (mengeksperimen). Calon mesti tahu cara mendapatkan pemboleh ubah dimanipulasi dan bergerakbalas dari pada pernyataan soalan dalam kotak yang diberikan. Apabila pemboleh ubah dimanipulasi dan bergerakbalas diperolehi, maka lima markah sudah ada dalam tangan.  Antara sumber markah yang boleh didapati ialah; membuat hipotesis, menulis tujuan eksperimen, menulis semua pemboleh ubah dan melukis jadual data. Agak sukar bagi calon melengkapkan senarai radas dan bahan. (Biasanya calon perlu memberikan satu atau dua radas sahaja, yang lain telah diberikan.  Untuk mendapatkan empat markah bagi prosedur/kaedah, panduan berikut wajar digunakan iaitu; 1. menerangkan bagaimana radas dipasang, 2. menerangkan bagai mana pemboleh ubah bergerak balas diuruskan atau didapatkan, 3. bagaimana pemboleh ubah bergerakbalas diukur, diperhati dan direkod, 4. Bagaimana pemboleh ubah dimanipulasi diuruskan. Sekiranya calon mengikut tips ini dengan menggunakan sedikit pengetahuan dan fikiran, calon berkenaan boleh dapat markah penuh.

Bagi soalan No 11 dan 12, terdapat dua ceraian. Cerian (a) adalah merupakan soalan yang menguji kefahaman. Oleh itu calon terpaksa mempunyai pengetahuan asas yang kuat untuk menjawab soalan cerian (a) ini yang membawa empat markah. Antara perkara yang ditanya ialah menerangkan atau menjelaskan proses atau membanding antara dua perkara. Kata tugas soalan yang biasa digunakan ialah: Terangkan; Jelaskan; Bandingkan atau Bezakan.

Cerian (b) pula akan menguji kemahiran calon dalam mengkonsepsi, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Cerian ini membawa enam markah. Untuk mendapat markah penuh calon hanya perlu menulis jawapan bagi apa yang diminta dalam soalan. Ada masanya jawapan untuk satu dan dua markah sudah ada dalam soalan. Apa yang perlu ialah calon kenalah berfikir untuk mendapatkan jawapan. Calon yang cepat hendak tidur tidak akan dapat menjawab dengan baik.

Selalu calon bertanya saya, tajuk manakah atau sub tajuk yang mana akan ditanya. Jawapan mudah ialah dalam kertas 2 ini terdapat 12 soalan. Manakala tajuk yang dipelajari ialah 15 tajuk. Oleh itu bacalah semua tajuk untuk membolehkan anda mendapat keselesaan waktu menjawab soalan.

Ya Allah berilah aku kekuatan untuk memahami kehendak soalan dan Ya Allah berilah aku ilham dan ingatan serta kefahaman untuk menulis jawapan yang tepat dan betul.” Inilah doa yang aku selalu ajarkan kepada murid-muridku agar mendapat pertolongan dari Allah SWT

Ini adalah posting yang ke 104 dan posting merupakan posting yang menandakan saya sudah berada diblok ini selama satu tahun. Posting yang pertama dahulu ialah pada 3 November 2007. Semoga saya dapat lagi menyumbang kepada semua orang yang ingin mencari pengetahuan dan kefahaman. Sekian TQ.