Disember 2008


Malam esok, bila azan maghrib dikumandangkan, berlalulah tahun Hijrah 1429. Bermulalah tahun Hijrah 1430. Ramai insan biasanya akan membuat azam tahun baru. Takdirnya pula tiga hari selepas itu masuk pula tahun baru Masihi 2009. Bagi muslim hari ini khususnya di Malaysia ramai yang keliru antara kelender Hijriah dan kelender Masihi. Ramai insan muslim tua atau muda yang kadang-kadang tak dapat nak bezakan antara kelender Hijrah dan kelender Masihi ini. Kalau tak percaya cuba buat soal selidik kepada orang Islam Malaysia tentang hal kelender ini.

Enteri ini aku hanya nak kongsi tulisan dari seorang siswa negara Malaysia yang berdagang ke Russia mencari ilmu perubatan, bernama Mohammad Syazwan bin Maamin melalui laman sesawang beliau http://umaralfateh.wordpress.com yang aku salin terus dari enterinya yang terbaru.

Perkongsian ringkas bersempena tahun baru Hijrah yang akan menjelma. Mudah-mudahan tahun mendatang menjadi tahun yang terbaik berbanding yang lalu. Hari ini lebih baik dari semalam. Dan yang paling baik, sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Optimumkan jiwa dan rasa dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai cara hidup, Iman sebagai akar, dan ihsan sebagai pemandu arah kehidupan.

1. Betulkan sikap , Indahkan akhlak

2. Ingat nama Manusia

3. Ceria selalu dan tidak lupa untuk indahkan senyuman

4. Mengamalkan penghargaan walau kebaikan yang dilalkukan terlalu kecil

5. Tunjukkan perhatian yang diberikan dengan penuh keikhlasan

6. Menjadi pendengar yang setia

7. Bersabar , toleransi dan memahami

8. Murah hati dan Memberi faedah pada manusia

9. Tidak membantah dan menyerang (perbicaraan)

10. Berhati-hati dalam menuturkan ( banyakkan mendengar dari bercakap, dua telinga satu mulut = mendengar dua kali sekali bercakap )

11. Mengurangkan kritikan dan memberi solusi

12. Mengelakkan (mengurangkan) berbicara isu kontroversi atau isu yang sensitif (yang menjadikan ianya medan berperang mulut)

13. Tidak bercakap besar , merendah diri (bersopan)

14. Sentiasa menepati waktu

15.  Berpegang pada janji

16. Berhubung dengan manusia dengan perasan hormat

17. Melihat yang baik-baik sahaja pada manusia

18. Mengakui (jujur) pada kesilapan

19. Memelihara hubungan yang sedia ada

20. Melakukan sesuatu pada orang lain sebagaimana mahu diri diperlakukan sedemikian

21. Berusaha secara optimum menjadi yang terbaik

** Jika tidak boleh mengambil semua, ambillah yang mana boleh diamalkan dahulu, sedikit demi sedikit. Sedikit dan berterusan.  Selamat tahun Baru Hijrah. 

Inilah tulisan anak muda Malaysia yang merantau mencari ilmu yang ditemui bukan sekadar ilmu perubatan tetapi juga ilmu ugama yang menjadi bekalan di dunia dan juga di akhirat nanti. Bagi anak-anak muda ini merupakan contoh yang baik dalam pencarian ilmu bukan nak kejar darjat dunia sahaja tetapi jangan lupa darjat diri di sisi Allah SWT. Sekian TK

Esok atau lusa keputusan PMR akan keluar. Bermula dari tarikh itu persekitaran sekolah akan mula sibuk kembali. Sibuk dengan murid-murid ambil keputusan. Sibuk dengan ibubapa hantar anak ke sekolah untuk membuat pendaftaran atau urusan masuk asrama. Sibuk dengan para guru yang terpaksa hadir mesyuarat awal tahun. Sibuk juga dengan penerimaan warga baru sekolah baik dikalangan Pengetua, Penolong Kanan atau guru baru dan pasti juga menerima murid baru. Juga tidak ketinggalan sibuknya koperasi sekolah menjual peralatan yang akan digunakan di sessi baru 2009.

Bagi aku insya Allah ini adalah kali terakhir menghadapi awal sesi persekolahan. Tahun 2009 menjadi tahun penamat perkhidmatan aku sebagai guru sekolah. Bulan Julai nanti aku bersara wajib. Aku kira aku tidaklah menjadi manusia yang sebuk awal 2009 ini. Sudah pasti tidak banyak jawatan yang diperuntukan kepada aku. Walau bagaimana pun aku masih bersedia menabur bakti untuk mendidik para guru dan murid menggunakan pengalaman mengajar lebih 30 tahun. Aku tak tahu, masih adakah yang ingin menimba pengalaman daripada aku. Biasanya tak ada.

Tidak ramai para guru yang ingin mendapatkan pengalaman dari orang yang sudah lama mengajar. Ini jelas kelihatan apabila diadakan kursus dalaman peringkat sekolah. Kursus dalaman dihadiri oleh para guru dari segi jasadnya tetapi dari segi mentalnya ramai yang ponteng. Indikator lain ialah ketika menyampaikan ceramah tentang teknik menjawab soalan, pernah didapati beberapa orang guru yang beredar dari bilik ceramah sebaik sahaja penceramah menyampaikan ceramah kepada murid-murid mereka. Seolah-olah ceramah itu untuk anak murid mereka sahaja dan bahan yang disampaikan tidak berguna dalam pengajaran dan pembelajaran dimasa hadapan. Petunjuk yang lain ialah, berapa ramai guru-guru baru yang datang berbincang dengan guru senior dalam membincangkan P&P. Kalau bincang pasal beli itu dan beli ini ramailah.

Aku masih ingat pesan Allahyarham Prof Atan Long kepada aku semasa aku meninggalkan UPM untuk penempatan kali pertama selepas tamat Diploma Sains dulu. “Bila sampai di sekolah jangan pandang guru-guru disekolah itu lekeh. Awak belajarlah dengan guru-guru lama yang ada walaupun mereka lulusan Maktab sahaja. Mereka ada banyak pengalaman. Ceduklah pengalaman mengajar dari mereka.”  Aku amalkan pesan itu, barkat rupanya. Pengalaman mereka aku olah menjadi bahan berguna sepanjang perkhidmatan aku sehingga kini.

Sebagai guru apa yang perlu di sedikan? Pertama: Setelah mengetahui mata pelajaran dan tingkatan yang akan diajar, guru hendaklah cuba mencari dokumen yang diperlukan sebagai persiapan awal. Jangan lupa cari sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang hendak diajar. Kedua: Cuba mendapatkan buku format peperiksaan yang berkaitan dan koleksi soalan tahun-tahun yang lalu. Ketiga: Membuat atau mencari Rancangan Tahunan bagi mata pelajaran yang diajar. Keempat: Cuba fahami pendekatan, strategi dan aktiviti yang akan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ( P&P). Kelima: Rangka cara mentaksir murid-murid anda sama ada secara formatif atau summatif.

Sebagai murid apa pula persediaannya? Murid perlu kenal gurunya sacara mendalam. Tindak tanduk guru mempengaruhi pembelajaran anda. Setiap guru ada stail mengajar masing-masing. Oleh itu murid mesti cuba belajar mengikut stail pengajaran guru anda. Murid perlu membaca buku teks terutama sebelum kelas akan membincangkan sesuatu tajuk. Murid perlu ada motivasi yang tinggi. Murid mesti berusaha untuk kejayaan diri.  Seorang murid mesti membuat persediaan mental, fizikal, emosi dan juga kerohanian.  Murid hendaklah menerima setiap guru seadanya. Ingatlah sepandai mana sekalipun guru kamu, kalau kamu tidak berusaha, kejayaan tidak akan datang menyapa. Murid jangan ponteng sekolah.

Sebagai ibubapa apa pula perananya? Ibu bapa perlu ingat yang hendak belajar, yang hendak menduduki peperiksaan dan yang hendak berjaya adalah anak-anak kita. Oleh itu jangan minta lebih dari kemampuan anak. Jangan paksa anak-anak kita. Apa yang penting ialah para ibubapa mesti sentiasa memberi bantuan dan motivasi kepada anak-anak mereka. Ibu bapa jangan sekali-kali memperkecilkan kemampuan anak-anak anda. Bagi murid muslim jangan lupa solat lima waktu.

Ada satu kecenderungan dikalangan ramai ibubapa masa kini yang membantutkan potensi anak mereka. Anak-anak adalah anak-anak. Mereka perlu kepada masa bermain, beriadhah dan memenuhi zaman kanak-kanak mereka. Ada kalangan ibubapa yang mematikan langsung peluang ini bagi anak-anak mereka. Sejak dari darjah dua atau tiga sudah dipaksa anak-anak itu ke kelas tuisyen. Akhirnya anak-anak itu terbantut potensi bersosial mereka. Bila sampai anak itu meningkat ke IPT, mereka jadi tak tentu hala. Akhirnya pengajian mereka terabai sebab anak itu menjadi terlalu bergantung kepada tuisyen. Siapa yang rugi akhirnya?

Sehari dua ini aku juga akan sibuk dengan kerja dan keluarga aku. Sibuk membuat persediaan kewangan kerana tiga anak perempuan akan balik belajar ke IPT setelah bercuti sebulan. Disamping itu dua anak aku akan kembali bersekolah. Seorang akan bersedia untuk SPM dan seorang lagi bersedia untuk PMR. Kerja aku pun masih ada yang belum siap. Insya Allah akan siap kerja-kerja berat itu pada 6 Januari nanti.

Sekian bicara persediaan awal tahun sesi 2009. Terima Kasih.

Artikel ini aku salin dari laman http://profabdullah1.wordpress.com tentang pengalaman Bangsa Jerman yang dijajah bahasanya. Cuba baca dan bandingkan dengan pengalaman kita dalam PPSMI. Sekiranya ingin memahami lebih mendalam lawatlah laman di atas.

Bangsa Jerman juga pernah diperbodohkan oleh bahasa Latin dan Perancis

Pada abad ke-17 Zaman Pertengahan di Eropah berakhir. Negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris mula menjadi maju apabila industrinya berkembang, tetapi Jerman masih kekal mundur.

Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai dan orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu, negara Jerman mempunyai banyak sumber.

Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti. Bahasa Perancis pula menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa ketika itu. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara dan bangsa Jerman?

Kesedaran Prof. Gottfriend Wilhelm Leibniz

Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716), adalah seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman. Beliau sendiri terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis. Beliau menyedari bahawa situasi ini timbul akibat menggunakan bahasa Latin bagi menyampaikan ilmu di sekolah dan universiti. Ilmu yang terkepung dalam bahasa Latin. Oleh sebab itu ia tidak sampai kepada rakyat yang hanya memahami bahasa Jerman. Bahasa Perancis pula digunakan dalam komunikasi perdagangan antarabangsa. Bahkan bahasa Perancis itu juga menjadi bahasa komunikasi golongan masyarakat atasan.

Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi bahawa golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman.

Bahasa Perancis dan Latin itu menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Latin dan Perancis, dan rakyat menggunakan bahasa Jerman. Oleh sebab itu golongan atasan dan intelektual yang menguasai bahasa Latin dan Perancis dapat menerima pendidikan, manakala rakyat Jerman yang hanya memahami bahasa Jerman tidak menerima sebarang pendidikan. Rakyat biasa Jerman berada dalam kebodohan.

Tentangan Golongan Atasan Jerman

Apabila Leibniz memulakan kempen menggunakan bahasa Jerman dalam sistem untuk pendidikan, golongan atasan dan intelektual Jerman menentang. Pada mereka bahasa Perancis adalah segala-galanya. Bahasa Perancis itu bahasa dunia, bahasa intelektual, bahasa diplomat, bahasa perniagaan, bahasa kesusasteraan dan kebudayaan, sedangkan bahasa Jerman adalah bahasa yang rendah, tidak dikenal oleh orang luar, tidak intelektual dan tidak dapat digunakan untuk bersaing dengan dunia luar.

Para intelektual Jerman mengatakan bahawa perpustakaan hanya berisi buku-buku dan jurnal-jurnal dalam bahasa Latin dan Perancis. Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup, dan tatabahasanya pun tidak ada.

Mereka juga percaya bahawa Jerman akan hanya dapat maju dan bersaing dengan negara-bangsa-bangsa lain melalui bahasa Perancis. Orang Jerman harus dapat membentangkan kertas kerja dalam bahasa Perancis dalam seminar-seminar antarabangsa. Pelajar-pelajar Jerman tidak akan diterima melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Paris dan negara maju jikalau mereka hanya dapat menggunakan bahasa Jerman.

Hairankah kita golongan elit Melayu mati-matian mempertahankan bahasa Inggeris!

Strategi Leibniz

Leibniz berusaha keras dan menggunakan strategi sendiri bagi meyakinkan golongan atasan dan intelektual supaya menerima bahasa Jerman sebagai bahasa pendidikan. Leibniz mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa nasional di beberapa negara, termasuk Cina, dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman. Dia melihat Perancis dan Itali menjadi negara maju kerana kedua-dua negara itu meninggalkan bahasa Latin dan Yunani dan menggunakan bahasa peribumi sendiri.

Bangsa Inggeris juga telah mula maju dengan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah dan universiti menggantikan bahasa Perancis. Bahkan, beliau mendapati kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan negara Cina pada masa itu berkembang pesat dengan menggunakan bahasa dan tulisan sendiri.

Beliau berusaha lagi meyakinkan golongan atasan dan intelek supaya menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran negara. Rasionalnya adalah bahasa Jerman akan dapat difahami oleh semua rakyat. Oleh sebab itu lebih ramai rakyat Jerman menjadi terdidik. Seterusnya apabila lebih ramai rakyat Jerman mendapat pendidikan, maka negara Jerman akan bertambah maju, dan lebih makmurlah kehidupan mereka semua.

Leibniz mengusulkan kepada kerajaan Jerman supaya:

1. Membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya,
2. Menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman,
3. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti,
4. Menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara,
5. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan
6. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.

Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya pada falsafah beliau.

Bermula dari tarikh itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam pendidikan dan pentadbiran. Itulah saat permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia. Sedihnya, Leibniz meninggal pada tahun 1716 dan tidak sempat menyaksikan kejayaan perjuangannya.

Kita dapat belajar daripada peristiwa ini, bahawa perjuangan seorang tokoh pun boleh membawa perubahan kepada negara.

Bagaimana pula kalau seorang pemimpin membunuh bahasa sendiri? Ia akan tetap dikenang sebagai pengkhianat bangsa. Apa jadi kepada tulisan jawi. Siapa yang membuat dasar membunuhnya dalam tahun 60′an dahulu? Apakah kita akan ikut serta memasyarakatkan kehancuran bahasa kita ini?

Sessi persekolahan 2009 akan bermula pada 5 Januari atau 6 Januari 2009 mengikut negeri. Isu awal ialah sekali lagi tentang duit. Ada arahan tak bertulis, arahan yang diberi secara bisik-bisik aje, bahawa sekolah tak boleh pungut duit dari penjaga atau ibu bapa sehingga bulan Mac 2009 nanti. Termasuk yang tidak boleh dipungut ialah derma PIBG dan yuran makan di asrama.  Cuba kita teliti arahan ini.

Mengapa bulan Mac 2009. Ini ada berkait rapat dengan pemilihan dalam UMNO. Kan ke menteri pelajaran nak bertanding naib presiden UMNO. Takut nanti yuran sekolah jadi isu pulak. Kalau ye pun tak kanlah yuran asrama tak boleh kutip? Bagaimana nak mengongkosi pembelian makanan. Nanti kontarktor tak hantar bahan makanan ke asrama lagi besar isu jadinya.

Untuk pengetahuan semua wang penting untuk pengurusan sekolah diawal tahun. Oleh itu kalau kantung sekolah kering bagaimana nak urus sekolah. Nanti lambatlah proses pengajaran dan pembelajaran  (P&P)  akan berlaku kerana keperluan P&P tiada atau tak cukup. Akan timbul juga isu nanti. Biasanya kalau pengurusan sekolah tak cukup duit, pengurus sekolah minta bantuan daripada PIBG. Kalau PIBG pun tak ada pungutan maka semua akan sengsara. Jadi isu lagi. Sekarang ini kalau nak timbulkan isu dalam kementeraian pelajaran memang banyak. Oleh itu usahlah create banyak masalah lagi. Itulah kalau sesuatu bidang itu sudah dipolitikkan semuanya akan hancur. Pendidikan telah dipolitikkan, nampaknya pendidikan akan menghala kearah kehancuran!!

Ada isu besar di KPM yang disembunyikan oleh akhbar. Isu ape ye? Isu bahasa. Isu orang yang tiada jati diri nak belajar ilmu guna bahasa orang lain. Oleh itu ilmu yang dicari tidak akan dapat sepenuhnya. Ini tak lain  tak bukan isu PPSMI. Isu ini sebenarnya menampakkan bahawa golongan elitis dikalangan orang melayu ini masih tak sedar diri. Mereka pentingkan diri sendiri dan mereka tak nak tolong bangsa sendiri. Boleh baca isu ini dari beberapa tulisan yang lain seperti tulisan Prof Abdullah Hassan di UPSI.

Isu ini kalau digarap mungkin akan menyebabkan orang melayu bangkit tetapi ramai orang melayu dah jadi lembu kenyang dan tiada jati diri terutama dikalangan orang UMNO. Jati diri mereka ialah pulus sahaja tak kira dah bangsa sendiri, ugama dah lama tolak tepi mereka buat Islam yang lain, iaitu Islam Hadari.

Kalau UMNO betul-betul nak bela Melayu, bulan Mac nanti jatuhkan pemimpin yang memperlekehkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu pernah berjaya sebagai lingua franca tiba-tiba kini pemimpin melayu sendiri yang cuba membunuhnya sedikit demi sedikit. 20 tahun akan datang bahasa melayu jadi bahasa pasar sahaja. Ketika itu surat khabar melayu terus layu. Contoh terdekat lihat nasib tulisan jawi yang dibunuh oleh UMNO tahun 60′an dahulu. Kini UMNO nak buat sejarah baru, nak bunuh bahasa melayu pula.

Sekian entri kali ini. TK

Bumi Relong yang bertuah ini menyaksikan empat peristiwa besar berlaku dan bakal berlangsung sepangjang bulah Zulhujjah/Disember ini. Peristiwa ini membawa banyak implikasi dan petanda masa depan penduduk setempat yang mengorak langkah menjadi kampung contoh atau model sekurang-kurangnya bagi Daerah Lipis. Empat peristiwa ini boleh menjadi petunjuk kepada peningkatan kesedaran jatidiri insan disudut ibadat dan peningkatan ilmu pengetahuan.

Peristiwa 1:  Berlangsungnya majlis korban pada 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Raya Edul Adha. 15 ekor lembu disembelih diperkarangan Masjid Relong yang melibatkan 105 orang peserta.  Sesungguhnya pada hari itu aku melihat sesuatu perkara yang amat membanggakan. Mereka yang berkerja, dari menurunkan lembu dari lori (hari sebelumnya), menumbangkan lembu, melapah, memotong, menimbang serta mengagihkan daging dan tulang adalah terdiri dari anak-anak muda belaka.  Ini adalah petunjuk bahawa penduduk kampung ini tidak akan kering dari tenaga kerja untuk bergotong royong bagi satu atau dua generasi akan datang. Syabas anak muda kampung Relong. Mereka yang hadir dikalangan yang senior menjadi penunjuk ajar, yang muda belajar dan yang kecil memerhati. Insya Allah semangat kerjasama akan berkekalan. Sudah ada pelapis dalam kerja-kerja seperti ini. Malah dari enam tukang sembelih dua daripadanya adalah anak muda. Apa yang membanggakan ialah kerja dapat ditamatkan sebelum pukul 1.00 petang. Diharapkan kefahaman dan amalan berkerjasama untuk kebaikan akan bertunjang teguh dihati sanubari anak kariah yang muda di Relong ini.

Peristiwa 2: Pada tanggal 14 – 16 Zulhijjah, hujung minggu berlangsung Kem Remaja anak soleh dan solehah anjuran sebuah NGO (unit Amal) Lipis.  Kem ini dilaksanakan di Surau Sungai Batu. Peserta terdiri daripada murid darjah 5 hingga sekolah menengah. Peserta datang dari seluruh kampung dalam Daerah Lipis. Kem ini menggunakan modul latihan yang dibina oleh fasilitator Remaja Unit Amal. Dijangkakan lebih 50 orang peserta akan terlibat dalam kem latihan ini. Kem ini sudah pasti mendidik jatidiri islamik dikalangan remaja supaya mereka dapat mengamalkan kehidupan dan pemikiran yang islamik. Diharapkan mereka menjadi benih yang akan subur menghayati Islam yang syumul dan kamil sejak dari masa muda lagi.  Sabda Rasulullah saw (bermaksud) ” Sesungguhnya Allah SAW kagum terhadap anak muda yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak sejak dari mudanya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)

Peristiwa 3:  Pada tanggal 17 hingga 20 Zulhijjah, Masjid Kampung Relong pula akan mengadakan Kem Remaja ke Masjid. Mngumpulkan remaja dari tingkatan satu hingga ke tingkatan enam. Mereka akan tinggal di Masjid sepanjang program itu. Tema program anjuran AJK Masjid Relong ini ialah Mengajak Remaja untuk mengimarahkan Masjid. AJK Pengelola berpendapat bahawa “melentur aur biarlah dari rebungnya. Kalau dah jadi buluh sukar untuk dilentur.” Kita hendak mendidik setu generasi yang hatinya sentiasa terpaut kepada Masjid, agar nanti generasi ini menjadi salah satu golongan dari tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT ketika di Padang Mahsyar nanti.

Peristiwa 4: Pada tanggal 22 hingga 23 Zulhijjah 1429H nanti akan ada satu lagi program “Mari Membaca” peringkat Negeri Pahang. Program ini anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Sudah pasti yang datang ialah Menterinya. Para peserta program ini terdiri dari orang dewasa. Kain rentang sudah direntang disimpang ke Dewan Orang Ramai Kempung Relong. JKKKK sudah pasti akan sibuk.

Kalau dilihat dari empat peristiwa ini, dapat disimpulkan bahawa program-program ini menumpukan kepada pengorbanan dan peningkatan ilmu pengetahuan. Semoga dengan peningkatan kesedaran tentang pengorbanan dan diiringi dengan landasan ilmu diharapkan amal soleh penduduk kampung mendapat keredhaan Allah SWT. Dengan itu barakah sentiasa melimpah ruah dikampung tercinta dimana penduduk akan aman bahagia dan kesannya akan dapat dinikmati beberapa generasi akan datang dan juga dapat dikongsi dengan kampung yang berjiranan. Sekian TK.

Esok adalah 10 Dzul Hijjah 1429 H.  Hari Raya Edul Adha atau Hari Raya Kurban. Acara penting bagi hari raya ini ialah bertakbir bermula dari selepas solat Maghrib malam ini hingga Asar hari 13 Dzul Hijjah 1429 H nanti.  Dari segi masa amalan takbir ini lebih lama dari Edul Fitri. Selain itu ialah solat sunat hari raya Edul Adha. Sudah pastilah acara utama ialah menyembelih kurban (udh hiyah). Tidak ketinggalan juga menziarah saudara mara, sahabat handai dan kenalan taulan untuk mengeratkan silaturrahim.

Untuk masyarakat Kampung Relong, sudah pastilah akan diadakan majlis takbir selepas setiap solat fardhu di Masjid  dan surau-suaru yang ada di Relong. Tahun ini masyarakat Relong dan anak-anak perantauannya akan menyembelih kurban di perkarangan Masjid Relong. Sebanyak 15 ekor lembu akan disembelih. Kalau tahun 1428 H dulu hanya 9 ekor sahaja tapi jumlah sembelihan kurban meningkat menjadi 15 ekor.

Terdapat beberapa petunjuk kepada keadaan ini. Pertama: Masyarakat Kg Relong dan anak-anak perantauannya sudah ramai yang mempunyai kemampuan untuk berkongsi lembu untuk menjalankan ibadat kurban. Ini tanda bahawa masyarakat setempat sudah berkemampuan untuk melaksanakan ibadat ini. Syukur kepada Allah SWT kerana melimpahkan rezeki dan juga mencetuskan kesedaran kepada penduduk setempat.

Kedua: Kalau tahun lalu proses menguruskan daging kurban dari menyembelih sehingga selesai mengagihkan daging kurban ialah pukul 1.00 petang maka tahun ini dianggarkan ia akan tamat pada pukul 3.00 atau 4.00 petang.  Oleh itu AJK pengelola kurban merancang agar penduduk Kampung Relong akan berhariraya di Masjid sahaja. Pihak masjid akan menyediakan makanan tengah hari dan juga juadah hari raya. Sedikit dari daging kurban akan masak sebagai gulai kawah untuk dijamu kepada semua yang berkerja menuruskan daging kurban, bagi makan tengah hari.

Ketiga: Diharapkan semua penduduk Kampung Relong akan keluar beramai-ramai untuk berkerja sama bagi menyelsaikan urusan daging kurban sebanyak 15 ekor lembu itu. Aku kira inilah jumlah kurban yang paling banyak yang dikendalikan oleh Masjid Relong setakat ini. Alhamdulillah.   

Keempat: Persiapan awal perlu dibuat. Pagi tadi urusan memasang kemah untuk tempat kerja telah diselesaikan. Peralatan seperti tali, tempat penyangkut kaki lembu, menggali lubang besar dan lain-lain urusan telah selesai dibuat. Sungguh membanggakan yang datang berkerja pagi tadi ramainya terdiri dari kalangan anak-anak muda. Melihat keadaan ini, rasanya keakraban dan kerja sama anak-anak Kampung Relong akan berterusan, Insya Allah. Walau pun tak dinafikan ramai juga warga senior yang datang dan kebanyakannya adalah sepupu aku. 

Di bawah ini diturunkan dua hadith yang berkaitan dengan amalan kurban: Salim bin Abil-Ja’di berkata  “Nabi SAW bersabda kepada Fatimah, Bangunlah! Selesaikan udh hiyahmu (kurban mu), maka sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa mu pada titisan darah pertama dari udh hiyahmu itu.” Imran bin Al Husain r.a. bertanya: Ya Rasulullah, apakah khusus untukmu dan keluargamu atau umum untuk kaum muslimin? Jawab Nabi SAW,: Bahkan umum untuk semua orang Muslimin.

A’isyah r.a. berkata: Rasulullah SAW. berkata:  “Berkurbanlah kamu dan senangkan hatimu dengan kurban itu, sebab siapa yang membawa kurbannya pada saat akan disembelihnya lalu dihadapkan ke qiblat maka tanduk, kotoran, darah, rambut dan bulunya telah disiapkan untuknya pada hari qiamat, sesungguhnya darah itu jika telah jatuh ke tanah, maka jatuh di dalam lindungan Allah SWT. Kerana itu berbelanjalah kamu sedikit supaya mendapat pahala sebanyak-banyaknya.” 

Kedua-dua hadith ini disalin dari buku Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa) muka surat 497 dan 498.  Sekian entri ini. TQ

Kepada semua kekawan diseluruh negara dan juga saentero dunia.

Pertama: Aku ingin mengucapkan terima kasih atas lawatan sahabat kelaman sesawang aku ni. Aku suka berbicara tentang bahan fikiran aku. Aku juga suka berbicara tentang pandangan aku. Fikiran dan pandangan aku sudah pasti ada yang sama dan ada yang berbeza dengan sahabat pembaca budiman. Panduannya kita boleh menerima atau menolak pandangan manusia tetapi awas jika pandangan itu berlandaskan Al Quraan dan al Hadith jangan sesekali celupar mulut dan tangan untuk menolaknya. Kerana penolakan kepada Al Quraan hadith boleh mengakibatkan kita tersesat, atau mungkin tergelincir akidah. Jangan pakai tulis atau cakap ikut sedap otak sahaja. Selain itu sahabat boleh menggunakan bahan fikiran dan pendapat yang ditulis untuk tujuan-tujuan yang dibolehkan atau digunakan untuk berwacana bagi meningkatkan ketinggian pendapat dan fikiran.

Kedua: Apa yang aku tulis ini bukan dalam satu bidang sahaja. Kekadang tulisan ini sekadar nak tulis sahaja. Ada enteri yang bersifat pengalaman yang pernah dilalui. Terdapat enteri yang berupa pengetahuan yang diperolehi daripada pembacaan, dengar ceramah dan juga perbincangan yang ingin dikongsi bersama. Oleh itu bahan seperti ini boleh dikongsi bersama untuk menambahkan koleksi tulisan bagi memperkayakan sumber maklumat dalam berbagai bidang yang boleh dimanfaatkan oleh golongan yang muda.

Ketiga: Maklumat dan pengetahuan adalah adunan yang digaul dan diuli diminda penulis sebagai satu persepsi olahan yang ingin dikongsi sebagai satu manfaat pengetahuan dan ilmu khususnya dalam bidang pendidikan dan perguruan. Aku kira yang datang bertandang kelaman ini kebanyakkan adalah kalangan para pendidik dan mereka yang berminat kepada pendidikan. Golongan lain aku kira kurang berminat kepada laman sesawang ini.

Keempat: Aku juga ingin berterima kasih kepada rakan-rakan bloggers yang memuatkan alamat laman ini dalam laman mereka. Mungkin melalui kaitan ini ramai pelawat blog sampai keblok aku ini. Aku juga kadang-kadang mengiklankan laman aku ini kepada sahabat yang aku sempat berjumpa umpamannya semua sahabat hebat ketika bertemu di Port Dickson tempoh hari atau kumpulan yang aku lawati di Jerantut, Temerloh, Jitra, Kayang Perlis dan Beseri Perlis.  Kepada kenalan yang mungkin sukar nak bersua muka selepas ini aku nukilkan pantuan lama: “Tuai padi antara masak. Esok jangan layu-layuan. Intai kami antara nampak. Harap jangan rindu-rinduan”.  Tak apa, kalau rindu intailah laman sesawang ini.

Kelima: Ada dua komen dari pelawat yang mencuit rasa aku. Aku nak kongsi pandangan aku terhadap komen mereka: Komen dari Dr Aminuddin bin Abdul Karim yang berbunyi “Cadangan Hj Zahari menulis sejarah hidup keluarganya di Bukit Berangan adalah memanafatkannya bila pencen, begitu juga sdr agaknya yang berjuang dalam politik tidak Kesampaian ?” Aku tak pernah berjuang dalam politik kepartian setakat hari ini, jadi tak timbullah masalah hajat aku tak kesampaian. Untuk pengetahuan Dr Aminuddin, aku berjuang untuk mengangkat martabat anak desa (kampung) agar mereka sedar dunia dan akhirat supaya anak pewaris desa ini akan sejahtera didunia, bahagia diakhirat dan tidak tercelup dalam api neraka. Itulah wawasan aku!! Nak berjuang untuk orang kampung mestilah duduk bersama mereka di kampung bukan lari jauh dari kampung. Satu lagi komen datang dari:  SHARIZAM yang bertanya tentang “Apa keutamaan pendidik hakiki, siapa pula guru murshid, siapa guru kamil mukamil”. Tentang soalan ini aku tak pandai nak jawab atau aku tak sampai taraf nak menjawabnya. Tuan Sharizam tanyalah pada orang yang arif dalam bidang ini. Aku hanya guru sains aje. Jawapan mudah kepada soalan ini adalah Rasulullah SAW. Sesungguhnya padi diri Rasulullah itu ada suri tauladan kepada semua manusia. Jadi belajarlah dari Al Quraan dan al Hadith dengan mendalami bidang itu. Walau pun umur dah tua.

Kali ini aku tak boleh tulis panjang-panjang kerana ada kerja yang belum siap. Ada kerja yang perlu disegerakan. Kerja ini kena letak dikeutamaan yang pertama sebab kerja ini bersifat Urgent dan Important. Menulis entri dilaman ini pada masa ini bersifat Not Urgent but important, jadi bolehlah dijadikan keutamaan kedua. Ini satu panduan pengurusan dalam kehidupan. Utamakan yang utama. Sekian TQ.

Semalam 30 Nov 2008 pukul 3.00 petang aku hadir ke bilik mesyuarat Masjid Relong untuk membincangkan satu program masa cuti untuk anak-anak remaja (Dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Enam). Anak remaja yang menjadi sasaran program ini ialah anak remaja dari Kampung Relong. Program tersebut akan bermula pada 15 hingga 18 Disember 2008. Program ini akan dibuat di Masjid Kampung Relong, akan dikelolakan oleh satu jawatan kuasa khas yang dipengerusikan oleh Imam Dua Masjid Kampung Relong. Aku sebagai jawatan kuasa yang mengelolakan ceramah.

Matlamat program ini adalah untuk mengisi sebahagian masa cuti sekolah disamping mengajak atau menjinakkan remaja kampung aku agar mendekati masjid dan seterusnya menjadi remaja masjid. Manakala objektif pertama ialah untuk menarik minat para remaja kampung aku ini mendekati dan meminati aktiviti masjid. Kedua menarik minat para remaja mendalami ilmu agama dan ketiga mengurangkan masalah sosial dikalangan remaja.

Antara aktiviti yang akan dilakukan ialah bersolat jemaah sepanjang mereka tinggal di masjid bermula Asar 15 Disember hingga Zohor 18 Disember 2008. Sepanjang berada dalam program ini para remaja akan diberikan latihan amali berkaitan solat fardhu dan solat sunat termasuklah solat sunat tasbih, tahajud dan witr. Semua peserta akan tinggal di masjid sepanjang program. Semua penceramah terdiri dari anak tempatan kelulusan universiti dalam dan luar negara dan Ustaz dan Ustazah dikalangan penduduk kampung Relong, manakala fasilitator adalah siswa siswi universiti dikalangan anak tempatan yang sedang bercuti masa kini. Peruntukan kewangan hampir RM 2000.00 akan ditanggung oleh Tabung Masjid sepenuhnya. Tetapi kalau ada orang yang hendak menyumbang dialu-alukan. 

Sebenarnya melalui program ini bukan sahaja kita menarik minat remaja tetapi juga kita manfaatkan kebolehan siswa siswi anak tempatan dan mengajak mereka berbakti kepada saudara mara sekampung agar mereka tidak merasa terasing di bumi sendiri. Program ini dikelolakan oleh AJK Masjid, AJK Belia dan Golongan orang bersara dikampung ini yang menganggotai AJK Khas Program Remaja Ke Masjid. Inilah sebahagian sumbangan aku dan rakan-rakan untuk memajukan kampung ku yang tercinta. 

Program ini dirasakan sangat perlu dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun. Hasilnya memang agak lambat disedari. Sebenarnya aku pernah membuat program yang hampir sama tahun 70,an dahulu dimasjid ini. Kesannya baru aku tahu dari pengakuan mereka yang pernah mengikuti program itu dahulu. Pernah beberapa bekas peserta menyatakan bahawa program dua tiga hari tinggal di masjid itu memberi kesan yang berpanjangan hingga ke hari ini. Pengakuan itu cukup memberikan kekuatan kepada aku dan rakan-rakan untuk meneruskan program sebegini bagi mendidik anak remaja kampung aku agar menjadi insan yang berguna. Ini adalah anatara kaedah membina modal insan yang akan memperoleh kebahagian di dunia dan kebahagian di akhirat serta tidak dicelup dalam api nereka seperti yang didoakan setiap hari. Semoga program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jaya dan bermanfaat kepada para remaja. Sekian TQ.