Januari 2009


Melihat sambutan para penziarah laman sesawang ini kepada tajuk Mengaplikasi Pembelajaran Masteri maka aku rasa terpanggil untuk menunjukkan contoh pengaplikasian kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang lain. Oleh itu kali ini aku pilih tajuk Mengaplikasi Pembelajaran Kontekstual pula. Aku berharap para guru semua mendapat manfaat dari pendedahan ini.

Pembelajaran Kontekstual menggabungkan konsep yang diperolehi dalam kajian Sains Kognitif (the science of the mind) dengan teori-teori tingkah laku (behavioral theories). Pendekatan secara kontekstual mendapati bahawa pembelajaran adalah proses kompleks yang melangkaui latih tubi dan stimulus gerakbalas. Pembelajaran Kontekstual adalah termasuk dalam pendekatan Pembelajaran Berfikrah  yang dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dilaksanakan semasa P&P.

Mengikut teori Pembelajaran Kontekstual, pembelajaran hanya akan berlaku apabila pelajar memperoleh pengetahuan baharu yang bermakna kepada mereka. Oleh itu proses pembelajaran akan berlaku lebih cepat apabila minda pelajar melihat perkaitan yang bermakna dan kelihatan berguna terhadap apa yang dipelajari. Pembelajaran Kontekstual adalah pembelajaran yang dikaitkan dengan kehidupan harian murid-murid. Pelajar belajar secara menyiasat dan kaitan antara bahan yang diajar dengan pengalaman kehidupan seharian dizahirkan. Murid tidak belajar secara teori sahaja tetapi dapat menghayati relevennya apa yang dipelajari dengan kehidupan mereka.

Pembelajaran Kontekstual (PK)  berlaku dalam lima konteks, seperti berikut:-

Relating (menghubungkait) Belajar secara konteks dengan pengalaman hidup. Experiencing (mengalami) Belajar secara konteks melalui penerokaan, penemuan dan merikacipta. Applying (menggunakan) Belajar secara konteks bagimana pengetahuan atau maklumat sedia ada boleh diguna untuk masa depan. Cooperating (berkerjasama) Belajar secara konteks perkongsian, memberi respons dan berkomunikasi. Transfering (memindahkan) Belajar secara konteks dengan membina dan menggunakan pengetahuan sedia ada dalam diri pelajar. Kelima-lima konteks ini boleh di acronim menjadi REACT. Untuk memudahkan amalan dalam kelas kita tumpukan P&P kita kepada perkara yang berkait dengan Hands On dan juga kaitan dengan kehidupan harian.

Contoh-contoh P&P Sains yang releven dengan PK.

Mengajar perubahan fasa jirim. Jirim berubah dari satu fasa ke fasa lain melalui perubahan haba dalam jirim itu. Jrim berubah dari pepejal ke cecair pada takat lebur dan cecair ke gas pada takat didih. Konsep ini mudah diajar kalau guru mengaitkan pengalaman murid di dapur rumah mereka. Pengalaman murid menggunakan peti ais dan juga menjerang air. Air terkondensasi dibawah tudung periuk nasi.

Mengajar ciri imej cermin satah. Pengalaman seharian murid menghadap cermin muka. Sambil mengingatkan ciri-ciri imej yang mereka lihat dalam cermin satah itu. Antara ciri imej yang ada ialah sama saiz, maya, tegak, songsang sisi dan jarak objek dan imej adalah sama. Sambil bergaya didepan cermin sambil murid mengingatkan ciri imej itu.

Dalam pendidikan Islam labih mudah terutama dalam mengajar perkara yang berkait dengan wuduk, solat, puasa dan lain-lain lagi.

Dalam Sains Pertanian, Tanaman Makanan dan ERT murid-murid sememangnya di ajar berkaitan dengan pengalaman, menggunakan, berkerjasama dan memindahkan segala yang dipelajari secara Hands On. Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diambil dan difikirkan.

Pentingnya berkait dengan Peperiksaan Sains SPM.

Terdapat beberapa soalan dalam kertas dua Sains (1511/2) 2008, yang menggunakan pengalaman kehidupan seharian sebagai asas soalan. Contohnya, Soalan B5(d) aktiviti yang melibatkan reseptor regang. Soalan B7 yang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar. Soalan B8 yang berkait dengan kebijakan pengguna dalam membeli. Soalan C11(b) menyelesaikan masalah kawasan perumahan yang diserang demam denggi dan Soalan C12(b) membuat keputusan dalam memilih kenderaan paling selamat digunakan.  

Saranan Pakar Rujuk AQA Guildford, England. Semasa aku berkursus selama 10 hari di AQA Guildford tentang membina soalan peperiksaan, kami peserta kursus diingatkan agar membanyakkan soalan yang berbentuk kontekstual dalam hubungan kehidupan harian yang bertujuan supaya soalan menjadi lebih hidup dan mudah difahami oleh calon-calon peperiksaan. Beliau juga menyarankan agar mengurangkan soalan berbentuk pengalaman dimakmal.

Berdasarkan kepada teori dan pelaksanaan dalam P&P, contoh dalam soalan peperiksaan dan saranan pakar rujuk maka tidak syak lagi perkara yang berkaiat dengan hands on dan pengalaman hidup seharian pelajar menjadi dasar asas dalam membina soalan peperiksaan. Oleh yang demikian para guru disarankan agar membiasa diri memberikan latihan yang banyak berkait dengan soalan yang berkait dengan kehidupan dan pengalaman murid-murid.

Aku kira cukup setakat ini entri akhir Januari 2009 ini. TK

Pada entri ini aku ingin menukilkan saranan untuk sahabat-sahabat guru sains yang mengajar mata pelajaran sains SPM. Aku nukilkan saranan ini diawal tahun agar dapat digunakan begi menpersiapkan anak murid menjelang peperiksaan SPM akhir tahun nanti.

Sepanjang pengalaman aku dengan guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini aku dapati banyak kelemahan dalam penyediaan mereka untuk mebekalkan anak murid mereka dengan persiapan yang betul.

SARANAN KEPADA GURU

                             

1.         Guru mesti mengetahui dan memahami format soalan peperiksaan Sains SPM sebenar supaya kefahaman itu boleh memandu dan membantu guru untuk membuat soalan ujian dan peperiksaan peringkat sekolah mengikut format sebenar.

2.         Membimbing pelajar dalam menjalankan kerja amali sains dan membuat pelaporan kerja amali sains yang betul agar anak murid mudah menjawab soalan C10 dengan baik.

3.         Mendedahkan teknik menjawab soalan yang betul kepada pelajar mereka supaya dapat membantu pelajar menjawab soalan dalam peperiksaan SPM sebenar.

4.         Sentiasa mengadakan perbincangan profesional sesama guru untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

5.         Membimbing calon untuk memahami konsep dan prinsip asas sains serta kemahiran proses sains terutamanya membina hipotesis, mendefinisi secara operasi, membuat inferens, membuat pemerhatian dan lain-lain.

6.         Membimbing calon supaya menjawab soalan mengikut arahan yang ada dalam soalan bagi soalan-soalan Bahagian C.

7..        Sebelum dan semasa menjalankan eksperimen :

• Menyoal pelajar apakah tujuan eksperimen yang akan dijalankan.

• Pelajar hendaklah menyebut dan memahami setiap  pembolehubah dengan betul.

• Pastikan pelajar boleh membezakan antara pembolehubah.

Membuat latihan untuk mengeksperimen.

• Melatih pelajar membuat laporan PeKA.

8.         Guru mesti meningkatkan kemahiran mereka dalam subjek yang diajar supaya pelajar tidak tertinggal terutamanya tentang konsep baru. Guru mesti faham konsep asas sains dengan jelas sebelum mengajar.

9.         Guru mesti peka dan memahirkan diri dengan bentuk soalan yang terbaru dan format soalan SPM terbaru.

10.       Guru masih perlu menggunakan kaedah lama iaitu latih tubi   menjawab soalan  SPM tahun-tahun lepas dan membincangkan jawapan dengan terperinci sambil menekankan penggunaan istilah-istilah dan takrifan yang betul.

11.      Jangan lupa melatih anak murid menjawab soalan tahun-tahun yang lalu terutama soalan dari tahun 2003 hingga 2008. Ini memberi peluang kepada mereka untuk menjawab soalan sebenar.

Aku harap posting kali ini dapat membantu sahabat semua dalam penyediaan calon-calon SPM tahun ini. Sekian TK

Semalam 24 Januari aku dan isteri ke Kuala Pegang, Baling, Kedah untuk menziarahi ibu mertuaku. Kami pergi berdua sahaja, memandu Proton Saga CCH 6754. Ada dua tujuan utama, pertama menziarahi ibu mertua, kedua mencuba memandu kereta baru. Ada beberapa perkara yang aku alami untuk dikongsi bersama.

Pertama, pengalaman bertemu trafic jam sepanjang lebuhraya PLUS. Sepanjang perjalanan dari simpang Slim River hingga ke simpang Kuala Kangsar aku perhatikan jika ada jam disatu-satu ketika selepas itu perjalanan menjadi lancar beberapa ketika kemudian kejadian jam berulang kemudian reda semula. Sepanjang pemerhatian didapati tiada pula kemalangan berlaku tetapi mengapa jam. Aku pastikan bahawa setiap ada pendakian mesti ada jam. Ini bererti ada kereta perlahan ketika mendaki bukit. Kesimpulannya, jika ada bukit, ada pendakian dan adalah jam.

Kedua aku lihat beberapa kereta dari Singapura, melihat kepada nombor pendaftarannya, ada sedikit sifat kurang sopan. Sentiasa mencelah ketengah dan ketepi. Memintas dan dipintas. Nampaknya mereka dari Singapura ini tidak pandai ikut peraturan jalan raya. Agaknya mereka tak faham arahan dan tanda jalanraya di Malaysia. Mereka sengaja nak tunjuk hebat memandu dinegara orang. Kurang asam perangai mereka ini.

Ketiga, setiap kali menghampiri tol atau R&R mesti ada jam. Ini kerana ada kereta yang masuk dan keluar dari R&R. Ini mungkin menggangu kelancaran perjalanan kereta-kereta lain.

Keempat, perjalanan akan menjadi perlahan jika ada lori atau kenderaan berat. Memang patutlah waktu musim perayaan lori berat tak dibenarkan beroperasi beberapa hari.

Kelima, pihak polis tampal gambar Polis Trafik pada tiang jambatan dilaluan Lebuhraya PLUS. Gambar yang menunjukkan polis sedang menghala kamera kearah kenderaan yang mendatang. Aku nampak dua tiga gambar itu.

Aku dan isteri ke Kuala Pegang untuk menemuai ibu mertuaku sambil melawat ipar dan anak-anak saudara isteriku yang semuanya berkumpul musim cuti ini. Anak-anak aku tinggal dirumah. Aku akan jumpa anak-anakku sekembalinya dari Kedah. Isnin aku akan balik ke Lipis. Semua anak ada dirumah sebab Universiti cuti hingga hujung minggu.

Untuk perjalanan kali ini aku menggunakan laluan yang tidak sibuk. Dari rumah aku mengikuti jalan Kuala Lipis ke Bentung. Perjalanan adalah melawan arus sehingga ke Genting Sempah. Kemudian aku mengikuti jalan dari Genting Sempah ke Batang Kali terus ke Slim River. Laluan ini tidak banyak kereta. Aku boleh memandu dengan selesa. Hanya bila memasuki Lebuhraya PLUS sahaja aku bertemu dengan masalah jam yang diceritakan di atas tadi.

Kemudian aku keluar di persimpangan Kuala Kangsar dan meneruskan perjalanan ke Gerik. Memang tak banyak kereta. Perjalanan selesa, melalui Jambatan Raja Nazrin merentasi Tasik Raban. Dari Gerik mengambil laluan baru menuju Baling tanpa melalui Pengkalan Hulu dan Kalian Intan. Walaupu begitu perjalanan yang bermula 7.40 pagi di Lipis hanya sampai ke Kuala Pegang pada jam 3.15 petang. Perjalanan yang lama ini aku menggunakan minyak lebih kurang RM 50.00 sahaja.

Esok aku akan balik semula ke Lipis. Dalam perjalanan akan singgah dahulu di Kuala Kubu Bahru untuk bertemu cucu. Nur Syifaq Imani. Cucu pertama. Insya Allah cucu kedua akan menyusul beberapa minggu lagi. Semoga cucu kedua akan lahir dengan mudah dan selesa. Maka jadilah berjalan-jalan ini untuk ketemu ibu mertua, ipar duai, anak saudara dan cucunda sendiri. Jalan-jalan untuk merapatkan silaturrahim demi mencari keridhaan Allah SWT. Bahagianya kita dinegara ini.  Bagaimana dengan saudara kita di Gaza dan Tebing Barat. Umat Palastine yang diganyang Israel, Yahudi laknatul Llah. Sekian posting kali ini. TK.

Aku tulis tajuk Sama Bersama ini untuk mebawa kisah hari-hari awal persekolahan sessi 2009. Sekolah dibuka dengan keputusan PMR keluar. Sekolah aku mengatasi sekolah-sekolah yang selama ini dirangking hebat di daerah Lipis. Rahsianya ialah Sama Bersama itu ialah semua kerja yang dibuat untuk murid atau kalau boleh kita jadi “Hamba Murid”.

Tidak pernah berlaku ramai dapat 8A dalam PMR. Seronoknya guru-guru. Terbayar jerih payah sepanjang tahun 2008 dahulu. Jerih payah dalam mengajar dalam kelas (Utama). Jerih payah buat kelas tambahan (sokongan). Jerih payah buat motivasi, marah-marah murid, kita kena marah dalam mesyuarat, orang PPD dan JPN mengugut, jerkah dan buli kita(sampingan). Program Utama, Program Sokongan dan Program Sampingan adalah trade mark bagi kami di Pahang. Program dikategori begini sudah lama dibuat di Pahang, sejak tahun 1994 lagi. Program ini kemudian ditiru oleh beberapa negeri yang lain.

Untuk meneruskan momentum kejayaan ini kami Sama Bersama lagi. Awal bicara kita ke padang buat sukan awal tahun. Februari nanti tamat citra sukan ini. Selepas itu kita fokus ke kelas pula. Jumaat yang lalu kita adakan merentas desa. Tamat satu acara. Akan menyusul sukan tara selepas cuti tahun baru cina. Tamat sukan selepas Hari Olahraga tahunan. Tutup bica sukan yang dibuat Sama Bersama.

Selang seli itu kita buat aktiviti lain. Khamis malam Jumaat lalu kita Sama Bersama lagi. Buat tiga kawah bubur asyura dan dua kawah dodol. Mesyuarat awal bica asyura dan dodol hari selasa. Petang Khamis semua kakitangan berkumpul di kantin sekolah merewang. Aku menjala ikan untuk buat gulai masam tempoyak bagi makan malam. Beberapa guru lelaki menyediakan kemah di belakang blok C, tempat biasa. 11 malam mula turunkan bahan. Beras dibuburkan dalam tiga kawah dan tepung bersantan dikacau dalam dua kawah untuk buat dodol. Pengetua ada, GPK semua ada, guru-guru ramai yang dah datang. Pekerja sekolah semua ada. Ramai murid pun ada. Semua Sama Bersama tunjuk kehadiran pun cukup, tanda bersama dalam program. Bukan buat untuk sesiapa, bukan untuk gah pengetua tetapi untuk dimakan bersama. Sedikit sama sedikit, banyak kongsi bersama. Sepanjang malam mengacau dodol dan asyura. Waktu kemuncak yang tinggal beberapa orang sahaja. Aku balik rumah pukul 2.00 pagi menyusul selepas pengetua. Pukul 7.30 pagi masih dikacau lagi dodol dan asyura. Perhimpunan pagi aku tak pergi sebab asyura dan dodol masih dikawah sedang dikacau. Apa yang ada ialah kemeriahan, seronok, murid yang bersama termotivasi. Inilah acara yang menjadi nostalgia nanti ketika mereka melepasi zaman sekolah.

Kita buat dodol dan asyura untuk dimakan oleh semua warga sekolah. Kita buat sambil mengajar dan belajar. Mengajar murid-murid dan rakan sejawat erti kerjasama dan bagaimana nak buat asyura dan dodol. Belajar, memang pun kita belajar banyak hal. Inilah P&P diluar bilik darjah. Pembelajaran yang bukan formal tetapi sangat berkesan kepada yang beri perhatian.

Selepas Tahun Baru Cina ini kita terus sama bersama untuk merintis kejayaan anak murid. Maju akademik untuk murid. Ceria dan cantik sekolah untuk murid. Belanja wang sekolah untuk kepentingan murid.  Selesa sekolah untuk murid dan pastinya Sama Bersama untuk murid. Bila murid berjaya sekolah tersohor, yang penting bukan untuk bangga tetapi mendapat keredaan Ilahi. Menuju keredhaan Allah SWT.

Bila murid berjaya dalam peperiksaan (akademik) sekolah dapat nama. Bila berjaya dalam sukan, permainan dan kokurikulum sekolah tersohor. Bila sahsiah murid menjadi sebuatan kalau baik jadi sebutan kalau buruk lagi menjadi perbualkan. Sekolah dapat nama. Tetapi sudah tentu kita dambakan nama yang tersohor baiknya. Baik disisi manusia dan yang penting di sisi Allah SWT.

Kemuncak dari semua dari Sama Bersama itu ialah nama Pengetuanya terlonjak sama. Falsafahnya ialah Pengetua tak perlu lonjak nama untuk megah tetapi apabila sekolah menjadi gah nama Pengetua terangkat sama. Inilah yang dibuat oleh pengetua aku kini. Pengetua yang ke 15.  

Sekian posting kali ini. TQ

Sekali lagi saya membawa isu PPSMI yang dipetik dari blok Prof Abdullah iaitu http://profabdullah1.wordpress.com.  Dulu buku TIMSS ini dicetak oleh KPM setiap empat tahun diedarkan kepada semua sekolah, tetapi nampaknya kini dah tak dibuat lagi. Ada benda yang nak disembunyikan.

Kepada pembaca budiman  bacalah. fikirkanlah!! Sebagai guru sains dan matematik jangan sekali-kali kita bersama merobohkan bahasa kita. Nanti anak cucu cicit kita menyumpah kita. Biarlah orang politik yang tak terdidik dan menjiwai bahasa sahaja disumpah seranah. Lihat apa jadi dengan tulisan jawi. Siapa punya angkara.  

Apabila Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, seorang ahli sains yang terdidik dalam bahasa Melayu menghantarkan kepada saya keratan blog Lim Kit Siang mengenai kemerosotan kedudukan Malaysia dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study), maka tindakan selanjutnya pada saya adalah menggoogle TIMSS.

Betullah, kedudukan Malaysia itu merosot. Prestasi pelajar gred 8 kita (Tingkatan 2) dalam matematik dan sains adalah seperti berikut.

Matematik
1999 = skor 519, tangga 16
2003 = skor 508, tangga 10
2007 = skor 474, tangga 20

Perhatikan, skor pelajar kita dalam sains menurun walaupun ‘tidak terlalu jatuh tangganya.’

Sains
1999 = skor 492, tangga 22
2003 = skor 510, tangga 20
2007 = skor 471, tangga 21

Yang dikritik oleh pemerhati adalah hakikat bahawa Menteri Pelajaran kita membisukan isu ini. Beliau tidaklah berbega-bega mengumumkannya seperti halnya dengan keputusan TIMSS pada tahun 2003 dan 1999. Penilaian ini diadakan empat tahun sekali.

Dan juga, Menteri Pelajaran kita tidaklah seriang mengumumkan keputusan UPSR dan PMR sebagai bukti kemantapan PPSMI.

Perkara yang menarik dalam laporan TIMSS itu adalah negara yang tidak mengamalkan PPSMI menunjukkan prestasi cemerlang. Lihat prestasi 35 negara berikut:

1. Singapura 567 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa komunikasi keluarga)
2. Taiwan 561
3. Jepun 554
4. Korea Selatan 553
5. England 542 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
6. Hungary 539
7. Republik Czech 539
8. Slovenia 538
9. Hong Kong 530
10. Persekutuan Rusia 530
11. Amerika Syarikat 520 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
12. Lithuania 519
13. Australia 515 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
14. Sweden 511
15. Scotland 496 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
16. Italy 495
17. Armenia 488
18. Norway 487
19. Ukrain 485
20. Jordan 482
21. Malaysia 471 (PPSMI + BM, Inggeris bukan bahasa ibunda)
22. Thailand 471
23. Serbia 470
24. Bulgaria 470
25. Regim Israel 468
26. Bahrain 467
27. Bosnia & Herzegovina 466
28. Romania 462
29. Iran 459
30. Malta 457 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa rasmi)
31. Turki 454
32. Syria 452
33. Cyprus 452
34. Tunisia 445
35. Indonesia 427

Kecuali Singapura dan England yang bahasa di rumah pelajarnya adalah Inggeris, 10 negara yang teratas tidak datang daripada negera yang tidak mengamalkan PPSMI.

Harap maklum, bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda England, Amerika Syarikat, Australia dan Scotland.

Kajian sosiolinguistik menunjukkan bahawa bahasa dalam kalangan keluarga di Singapura adalah Inggeris (Tajuddin Jaafar, 2005).

Hanya Malta yang mengamalkan dasar PPSMI di samping bahasanya sendiri. Namun bahasa mereka itu adalah bekeluarga dengan bahasa Inggeris.

Data ini membuktikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda itu lebih berkesan

Kepada pengkagum Bahasa Inggeris untuk semua hal insaflah!! Kalau kamu orang Malaysia, Bahasa Melayulah bahasa yang perlu diguna untuk tujuan P&P.  Kalau kata orang yang memperjuangkan bahasa Melayu dan menolak PPSMI tu orang bahasa sahaja itu salah!!.  Sebenarnya sangat ramai guru sains dan matematik dinegara ini menolak PPSMI tetapi kerana ada kata  “saya menurut perintah” maka ramai yang diam aje. Sekian TK

Pagi Jumaat (9 Januari) yang lalu aku menjenguk stor makmal. Tekejut beruk aku dibuatnya!!  Mengapa tidak? Aku dapati banyak alat-alat elektronik dilabelkan “ROSAK”.  Antaranya termasuklah voltmter, ameter, jam randik, beberapa buah laptop dan juga projektornya. Nampak gayanya alat-alat ini tidak akan diperbaiki lagi sebabnya tidak ekonomik atau sudah tamat tarikh luputnya.

Aku juga pergi lihat alat-alat yang sama yang dikategori sebagai masih baik.  Rupanya tak banyak yang ada.  Oleh itu kalau nak buat eksperimen tak cukup.  Untuk buat demonstarsi (tunjukcara) kepada murid-murid bolehlah tetapi untuk murid-murid buat amali sendiri tentu tak cukup.  Akhirnya P&P Sains menjadi pengajaran berbentuk syarahan sahaja.  Alat tak ada.

P&P Sains.  Bagi seorang guru Sains mereka perlu mengajar teori, konsep, prinsip dan hukum sains manakala untuk mengukuhkan pengetahuan pelajar, para pelajar perlu melakukan amali.  Amali itu sama ada membuat aktiviti menjustifikasi sesuatu fakta atau membuat eksperimen bagi membuktikan sesuatu hipotesis.  Aktiviti makmal termasuklah membuktikan suhu air mendidih ialah 100 darjah celcius atau setiap logam boleh ditempa atau boleh mengalirkan arus elektrik.  Eksperimen pula seperti mencari hubungan anatara ketebalan kanta cembung (pemboleh ubah dimanipulasi)  dengan jarak fokusnya (pemboleh ubah bergerakbalas) untuk  membuat hipotesis  “Semakin tebal kanta cembung semakin pendek jarak fokusnya”.  Semua kerja amali ini perlukan alat radas dan bahan kimia.

Masalah masa kini ialah peruntukkan untuk mata pelajaran sains sudah dikurangkan tidak seperti tahun 90′an dahulu.  Alat-alat ini perlu dibeli baru. Guru-guru juga telah diarahkan menggunakan CD yang dihantar oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.  Kalau mengajar sepenuhnya menggunakan CD dari PPK ini, masa tidak cukup untuk buat amali. Oleh itu nak buat PEKA tak ada masa.

Pembantu Makmal.  Ada jawatan Pembantu Makmal dan ada penjawatnya. Malangnya mereka ini tidak melalui latihan formal sebelum mereka bekerja. Pembantu Pertanian ada latihan formal sebelum menjawat jawatan, Pembantu Hospital ada latihan formal sebelum menjawat jawatan tetapi Pembantu Makmal Sekolah tiada latihan formal sebelum mereka berkhidmat.  Akhirnya kerja mereka ialah memasang dan menyimpan laptop dan projektornya sahaja.  Bagaimanakah Science Process Skills nak diterapkan dikalangan murid-murid dapat dilaksanakan secara berkesan? Duit berbilliun ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran hanya untuk tujuan hardware tetapi bukan untuk soft skills.

BISP. Ini satu isu yang sangat sensitif bagi aku.  Acap kali bila ada mesyuarat selalu disebut bahawa duit BISP itu untuk digunakan oleh penerimanya belajar Bahasa Inggeris.  Aku masih ingat lagi sekitar tahun 2003 ketika mula PPSMI nak dijalankan, KPM merayu agar guru-guru sains dapat mengajar Sains dan Matematik dalam BI. Sebagai insentif, BISP diberi kepada guru sains dan matematik.  Aku masih cari pekeliling iktisas KPM tentang BISP itu untuk guna buat belajar BI.  Sebenarnya aku dah naik jelek dengan seruan itu.  Kemudian ada pula ugutan dari pihak tertentu tentang PPSMI dan BISP ini. Macamlah guru-guru sains dan matematik ini lapar sangat duit BISP itu. Lebih malang lagi yang mengungkit dan mengugut itu tak pandai pun cakap Inggeris.

Baca Buku.  Aku berseru kepada guru-guru Sains dan Matematik seluruh Malaysia agar membaca buku “Mengapa Kami Bantah! Penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar sains dan matematik” yang disusun oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Buku setebal 155 muka surat ini banyak memberi hujjah ilmiah mengapa PPSMI perlu ditolak. Aku berharap para guru sains dan matematik terus mengajar ikut apa yang mudah difahami oleh murid-murid.  Bagi aku tak salah mengajar dalam bahasa Melayu, apa yang penting ialah anak murid dapat ilmu pengetahuan. Ingatlah “Kita belajar bahasa asing untuk menggali ilmu yang ternukil dalam bahasa itu bukan menggunakan sesuatu ilmu pengetahuan untuk belajar bahasa asing.”

Sekian enteri kali ini TK.

Tanggal 6 Januari 2009 bertemu kembali di Federal Hotel, Kuala Lumpur dengan rakan-rakan sahabat hebat. Kami datang membawa harapan bagi seluruh calon yang menunggu keputusan peperiksaan SPM 2008.

Federal Hotel adalah hotel bagi VIP semasa sambutan kemerdekaan 1957 dahulu. Hotel yang berusia lebih 50 tahun ini mengamit nostalgia bagi kami kerana disinilah beberapa peristiwa yang berkait rapat dengan pentaksiran mata-mata pelajaran sains berlaku. Antara peristiwa penting yang berkait dengan pentaksiran itu ialah;

1. Pembinaan Format Pentaksiran mata-mata pelajaran Sains. Format Pentaksiran Sains SPM yang diguna pakai sekarang dimantapkan di hotel ini. Aku masih ingat lagi peristiwa kumpulan Sains Teras dibelasah oleh kumpulan Biologi dan Kimia kerana dikatakan format Sains Teras yang kami buat sangat simple. Aku masih ingat lagi seorang sahabat dalam kumpulan Sains Teras menangis ketika aku menjawab beberapa belasahan dari kumpulan lain. Akhirnya apa yang dikatakan simple tahun 2000 dahulu akan menjadi ikutan beberapa tahun lagi. Aku masih ingat Wak Haris Wagiman.

2. Format PEKA edisi kedua. Pemantapan PEKA edisi kedua juga dibuat di hotel ini. Tetapi pada masa itu aku sibuk dengan mesyuarat di Hotel Blue Wave Shah Alam membincangkan tentang Buku Amali Sains yang kemudiannya apabila Menteri Pendidikan berhenti Buku Amali Sains dah tak gah lagi. Aku hanya sempat hadir diwaktu terakhir itu pun ada taklimat rombongan para pentaksir Sains dan Matematik ke England dan New Zealand.

3. Di hotel ini juga telah diadakan beberapa kali mesyuarat yang berkait dengan pentaksiran dan aku sentiasa bersua dengan rakan-rakan seperjuangan. Sepanjang bertemu itu aku banyak belajar dan mengajar. Aku banyak berkongsi pengalaman dan menimba pengetahuan serta meningkatkan kefahaman. Aku ingat sumbangan sahabat dari Sabah, Saudara Al Mukmin Al Kanta. Banyak bahan aku ambil daripada beliau.

Itulah Federal Hotel ditengah-tengah kesibukan Kota Raya Kuala Lumpur. Pertemuan dengan Sahabat Hebat merupakan pertemuan terakhir dalam penghantaran SKMS. Selepas ini aku tidak bersama lagi kerana aku akan bersara wajib pertengahan tahun ini.

Tinggalkan dulu cerita Federal Hotel, kerana aku ingin respon kepada satu komen dari Mr Ji tentang Bertuahnya Relong.

Aku kira Mr Ji ni tak baca apa yang aku tulis. Aku sebut 105 orang terlibat dengan korban. Ini bererti satu ekor dikongsi 7 peserta jadi kalau 15 ekor melibatkan 105 peserta. Simple mathematics. Jadi tak adalah YB yang bagi. Ada setengah YAB tu korban banyak tetapi yang beri lembu ialah sayarikat telekomunikasi. Kami orang Relong tak mainlah macam tu!!! Maaf ye Mr Ji. Ini merupakan mind set setengah manusia Melayu Malaysia masa ni. Yang hebat tu ialah YB, yang dahsyat tu YB juga. Kita harap orang Melayu jangan ada mind set tunggu orang beri. Kalau kita berada apa salahnya memberi. Kan tangan yang di atas itu lebih mulia dari tangan di bawah. 

Cukup dahulu enteri kali ini TK