Semasa orang sibuk-sibuk memperkatakan tentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ingin aku catatkan beberapa pernyataan dan kisah.
Pertama: Mengingati anak-anak muda masa kini yang mengambil SPM bermula 1980 sehingga ke tahun 2004 (24 tahun) adalah menggunakan bahasa penghantar bagi pengajaran dan pembelajarannya dalam Bahasa Melayu (BM). Mereka yang mengambil SPM tahun 1980 kini rata-rata berumur 41 tahun. Ramai yang berjaya melalui aliran sains sehingga ke Universiti. Tetapi kena ingat juga lebih ramai yang juga ke Universiti bukan melalui aliran sains. Kepada mereka yang belajar sehingga ke Universiti tetapi tidak melalui aliran sains kita nak tanya satu soalan. Mengapa mereka tak dapat belajar dalam aliran sains?? Adakah kerana sains dan matematik tidak diajar dalam Bahasa Inggeris atau memang mereka tak mampu nak belajar dalam aliran sains, tak mampu nak belajar fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan walau pun belajar menggunakan bahasa penghantarnya BM. Aku timbulkan soalan ini kerana terdapat ramai Pemuda UMNO yang menyokong PPSMI ini. Majoriti Pemuda UMNO adalah murid sekolah selepas 1980 dan belajar didalam Negara Malaysia. Sudah tentu bahasa penghantarnya BM. Mungkin Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda yang tak belajar Sains dan Matematik dalam BM. Mereka belajar diluar negara memanglah mereka selesa berbahasa Inggeris. Itupun bukan dalam aliran sains. Mengapa mereka tidak melanjutkan pelajaran di Universiti dalam aliran sains. Tiba-tiba suruh pula anak zaman ini belajar Sains dan memasuki aliran sains belajar menggunakan BI sebagai bahasa penghantarnya. Itu dah pelik bin ajaib. Tetapi Datuk Khair Toyo belajar sains dan matematik ditingkatan empat dan lima guna BM. Lepas pun dia jadi doktor gigi walaupun tak ikut PPSMI. Kalau ikut PPSMI mungkin dia tak dapat jadi doktor gigi. (Guru fizik dia rakan karib aku)
Kedua: Bermula tahun 1959 kita tahu BM telah dijadikan bahasa penghantar bagi Darjah Menengah Melayu (DMM). Kelas DMM ini diwujudkan di sekolah-sekolah Menengah aliran Inggeris. Kalau di Pahang SM Ahmad Pekan, SM Clifford Lipis, SM Mahmud Raub dan SM Abu Bakar Temerloh. Wujud juga sekolah yang dari mula lagi mengadakan P&P dalam BM seperti SMART Kuantan. Ramailah yang telah berjaya sehingga ke Universiti. Ramai juga yang membuat laluan sehingga ke Universiti melalui aliran sains menggunakan BM semasa SPM dan STP. Mereka yang belajar di sekolah menengah semenjak 1959 ini walaupun melalui aliran melayu (DMM) ini setengahnya telah menjadi pemain global dan mereka tak memerlukan PPSMI untuk menjadi pemain global. Oleh itu hujah PPSMI untuk membolehkan kita keperingkat global itu adalah hujah orang gila sahaja.
Ketiga: Ada orang berjenama, bergelar Datuk bercakap-cakap dengan aku sekitar tahun 2003 dahulu. Beliau sangat menyokong PPSMI ini. Aku tanya dia mengapa dia menyokong PPSMI. Biasalah jawapan orang macam dia. Dia kata negara kita akan menjadi pemain global, kita nak menjadikan Universiti di negara kita Universiti yang didatangi oleh masyarakat antarabangsa dan bla.. bla…bla. Aku kata kat dia, budak kita belajar jurutera ke Jerman belajar dalam bahasa Jerman, mengapa? Budak kita ke Jepun belajar bidang teknologi belajar dalam bahasa Jepun, mengapa? Budak kita ke Korea belajar dalam bahasa Korea, mengapa? Budak kita buat medik ke Russia, belajar medik dalam bahasa Russia, mengapa? Apa salahnya kalau orang datang belajar apa-apa ilmu pengetahuan ke Malaysia mereka mendalaminya dalam BM, tak salah kan? Datuk itu pun senyap aje. Aku tanya dia, dulu belajar sekolah menengah dalam aliran sains ke? Dia kata tidak. Aku tanya lagi, mengapa tak belajar dalam aliran sians? Dia kata “Susahlah!!” Aku pun bersyarahlah kepada dia. Kalau orang cerdik macam Datuk ini pun kata belajar sains dalam BM susah, sudah tentu bagi bebudak sekarang nak lalui PPSMI lagi susah. Dah itu mengapa Datuk sokong PPSMI? Datuk itu pun senyap sekali lagi.
Inilah masalah, orang sokong sesuatu bukan kerana kefahaman atau ilmu tetapi sokong kerana pak turut, kerana kepentingan tertentu atau kerana ingin kebersamaan dengan orang berkuasa. Datuk ini orang kuat UMNO. Jadi nampak sangatlah ramai orang UMNO sokong sesuatu sekadar sokong aje sehingga tak sedar bahawa yang mereka sokong itu bawa padah kepada bahasa mereka. Akhirnya apa yang dilaksanakan oleh UMNO menyebabkan kepunyaan bangsa terus hilang lenyap begitu sahaja. Kalau dulu tahun 60′an UMNO sokong membunuh tulisan JAWI. Tulisan JAWI dah hampir pupus. Nasib baik ada Sekolah Ugama Rakyat, bernafaslah tulisan JAWI melalui sekolah Ugama Rakyat itu, tetapi bantuan ke Sekolah Ugama Rakyat telah ditarik oleh PM dulu dan disokong oleh Datuk Najib, dia kata Sekolah Agama Rakyat tempat melatih militan. UMNO sokong juga. Kini suara majoriti UMNO sedang berusaha membunuh Bahasa Melayu melalui PPSMI. Walau pun PPSMI dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tetapi peneraju KPM ialah Ketua Pemuda UMNO. Nak jadi pegawai kanan KPM mesti berbaik dengan UMNO, dia mesti orang UMNO. Ingat Bahasa Jiwa Bangsa. Hilang Bahasa hilanglah Bangsa. Kalau Bahasa dan Bangsa Melayu lemah, UMNOlah yang melemahkanya. So it is the product of the works campioned by United Malays National Organization (UMNO). Sekian entri kali ini. TK