Mac 2009


Ada empat soalan yang pernah aku dengar tentang makan. Pertama, apa yang kita nak makan? Kedua, bila kita nak makan? Ketiga, dimana kita nak makan? Keempat, siapa yang kita hendak makan?

Keempat-empat soalan ini berkait dengan sikap dan keadaan manusia masa kini. Mereka yang selalu bertanya soalan pertama adalah golongan yang susah dalam hidupnya. Mereka terpaksa bertanya kepada keluarga mereka berkaitan tentang apa yang ada bagi mereka untuk dimakan. Kadang kala mereka tiada apa-apa untuk dimakan.

Bagi golongan kedua yang agak senang sedikit mereka boleh bertanya tentang masa atau waktu yang sesuai bagi mereka untuk makan. Makanan sememang ada, tinggal lagi hanya masa yang sesuai dipilih untuk melakukan perbuatan makan itu. Berbanding dengan kumpulan pertama mereka belum pasti lagi ada makanan atau tidak.

Bagi golongan ketiga mereka punya wang untuk mengongkosi pembelian makanan, cuma mereka nak makan dimana. Ertinya mereka boleh memilih apa yang hendak dimakan dan mereka juga boleh memilaih lokasi tempat makanan itu dihasilkan, siapa jurumasaknya. Mereka ada kuasa memilih.

Bagi golongan keempat, mereka bukan mencari makanan tetapi mencari siapa menjadi mangsa mereka. Mungkin keadaan ini berlaku dikalangan ahli koperat, ahli politik atau mereka yang ada sedikit kuasa yang dipinjamkan oleh Allah SWT. Kalangan manusia begini sentiasa mencari mangsa atau lawan yang boleh mereka korbankan supaya mereka ini boleh menapak naik ditangga kuasa.

Makan-makan juga boleh menjadi mukadimmah kepada dakwah. Rasulullah SAW pernah menggunakan kaedah kenduri untuk permulaan seruan kepada saudara maranya. Oleh itu kita boleh menggunakan cara ini untuk memberi tazkirah kepada  saudara mara kita. Masyarakat kita masa kini selalu membuat kenduri-kendara. Malangnya semasa kenduri kesempatan tidak diambil untuk membuat tazkirah atau ceramah mengingatkan hadirin semua agar bertakwa atau menghampirkan diri kepada Allah SWT. Keadaan yang selalu kita jumpa ialah kita menjauhkan masyarakat daripada mengingat Allah SWT. Tuan rumah menjemput kumpulan muzik atau karioke sehingga menjadikan majlis itu majlis largho (sia-sia). Sepatutnya kenduri-kendara itu boleh mendatangkan pahala kepada tuan rumah dan penggunjung tetapi sebaliknya berlaku, tuan rumah dan para penggunjung mendapat dosa pula.

Makan-makan juga boleh menjadi pengerat silaturrahim antara kita yang hadir disatu majlis makan. Sudah pasti semasa kita sama-sama makan kita akan bertegur sapa, beramah mesra atau berkenal-kenalan. Makan bersama dirumah akan menghimpunkan seluruh ahli keluarga akan mengeratkan pertalian antara ibubapa dengan anak-anaknya. Kaedah ini wajar diambil perhatian dan dipraktikkan didalam sebuah rumah tangga untuk memperoleh bahagia. Kesempatan makan bersama membolehkan ibubapa mengajar anak-anak mereka beberapa adab dan memberikan peringatan yang bersesuaian.  Melalui makan-makan bersama dalam keluarga silaturrahim akan dieratkan jalinannya.

Seorang pemimpin boleh menggunakan kaedah makan-makan ini untuk memujuk hati anak buah yang dipimpin. Pengetua yang selalu belanja makan kepada anak buahnya lebih dihormati, lebih didengari cakap-cakapnya dan lebih diterima kepimpinannya berbanding dengan seorang pengetua yang kedekut. Perkara begini aku pernah lalui sendiri.

Ketika aku menjadi Pengerusi Kelab Guru dalam tahun 80an dahulu aku pernah didatangi oleh Jemaah Nazir Sekolah. Mereka bertanya aku, apakah seumber kekuatan yang ada pada Pengetua aku ketika itu. Memang pengetua aku ketika itu agak hebat. Aku menceritakan bahawa beliau sentiasa mengadakan makan-makan sama ada sewaktu bergotong royong atau selepas solat tarawikh dibulan Ramadhan atau mengadakan majlis makan bersama-sama. Selalunya makanan dimasak bersama-sama oleh guru-guru.

Pengetua aku yang baru bertukar pun menggunakan kaedah makan-makan bagi meneratkan kerjasama dikalangan para guru dan kakitangan sekolah. Semasa aku menjadi pengetua pun aku menggunakan kaedah yang sama untuk menjalin silaturrahim dikalangan para guru dan staf sokongan.

Makan-makan juga boleh digunakan untuk memungut dana. Masa kini kita biasa mendengar ada badan-badan tertentu dapat mengutip sumbangan yang banyak melalui majlis makan malam.  Umpamanya satu meja 10 orang boleh dijual RM 1000.  Sebenarnya belanja untuk mengongkosi makanan semeja itu mungkin RM 100 sahaja. Oleh kerana meja itu ditaja dengan RM1000 maka penganjur sudah mendapat untung sebanyak RM900.

Oleh itu bolehlah disimpulkan bahawa makan-makan itu merupakan satu kaedah untuk memudahkan pengurusan manusia, membuat pertemuan dakwah, mengeratkan silaturrahim diantara sesama kita dan mencari dana tertentu. Sekian entri kali ini. TK.

Pada 28 Mac 2008 aku menulis Anakdot Pengetua 14. Hari ini tepat setahun berlalu aku menulis pula Anakdot Pengetua 15. Pengetua ke 15 memulakan tugas di sekolah aku mengajar pada 16 November 2007 dan mengakhiri tugas pada 3 Mac 2009. Beliau memberi khidmat di sekolah tempat aku mengajar selama 1 tahun 3 bulan dan 15 hari. Dalam jangka waktu yang relatif singkat itu beliau telah membawa berbagai perubahan yang positif kepada sekolah.

Kedatangan beliau dihantar oleh serombongan guru dari sekolah di atas bukit, sekolah dimana beliau menjadi pengetua kali pertama dan beliau adalah pengetua kedua di sekolah itu. Dalam ucapan pertama beliau kepada warga sekolah tempat aku mengajar, beliau telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan tujuh perkara bagi meningkatkan pencapaian sekolah. Tujuh perkara itu ialah: Melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran berkesan yang bermula dibilik-bilik darjah; Melaksanakan kokurikulum dengan memberi fokus kepada aspek yang berpotensi bagi murid dan sekolah; Melaksanakan Bina Insan bagi mengubah sikap murid-murid kepada pembelajaran; Meningkatkan aspek Keceriaan dalam bilik darjah dan persekitaran sekolah; Memantapkan program pentadbiran dan pengurusan terutama di pejabat sekolah; Meningkatkan imej asrama sehingga layak mencapai Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) dan Mengeratkan Hubungan dengan Komuniti diluar sekolah. Itulah tujuh fokus beliau yang beliau telah bentangkan kepada kami para guru dan murid.

Untuk mencapai tujuh perkara tersebut beberapa program telah dirangka antaranya ialah; Perhimpunan pagi setiap hari berfokus, umpamanya pada hari Selasa program Drop everything and Read (DEAR) dijalankan,  Rabu adalah hari kokurikulum. Khamis program disiplin, sahsiah dan motivasi di selang seli dan hari Jumaat untuk tazkirah dan Bahasa Inggeris. Terdapat juga program Bakul Ilmu dimana setiap panitia menyediakan bahan bacaan yang diletak didalam bakul ditempat tertentu. Program Knowledge Corner, Program Semarak Nilam, Program Tutor Muda, Banner Aku Janji, Program 3 words a week, Program dengan DBP, Kempen Nota di tangan, Program Berbudi Bahasa Amalan Kita dimana kasih sayang dipupuk dan caring dibelai, Hadiah hari lahir bagai pelajar yang lahir pada hari Isnin setiap minggu dan hadiah hari lahir bagi para guru. Program Hari Kantin, Pengistiharan tokoh pelajar setiap bulan. Berusaha mencari Blazer kepada semua Pengawas Sekolah. Jamuan Asrama setiap Bulan dan Port Luck iaitu mengadakan jamuan untuk staf dan guru disediakan secara bergilir-gilir dikalangan guru. Semua program ini dibuat dan dilaksanakan ada yang berjaya dengan baik dan ada yang sekadar dibuat sahaja.

Di bawah pentadbiran beliau para guru tidak merasa tension, walau pun kerjanya banyak. Guru buat kerja dalam mood gembira, guru lebih rela dan ikhlas. Natijahnya ialah kejayaan berganda. Keputusan PMR dan SPM 2008 memperlihatkan bukti kejayaan pendekatan beliau.

Pendekatan pengurusan beliau yang mesra, loving and caring menyebabkan bercambahnya idea dan creativity dikalangan para guru. Para guru yang merasakan idea dan creativity boleh dilaksanakan meneruskan hasrat meraka dengan sokongan dari pengetua. Maka terlaksanalah aktiviti seperti lawatan guru dan staf ke Sabah menzaiarahi SMK SANZAC dan melawat sekitar Sabah sehingga ke kaki gunung Kinabalu. Program Hari Keluarga di Port Dickson dan berbagai lagi program untuk mengeratkan silaturrahim antara guru-guru dan staf sekolah.

Kepimpinan beliau yang bersifat situational menjadi pemangkin kepada perubahan. Ada masa beliau bersifat autokratik, ada masa beliau bersikap domokratik dan ada masa beliau bersikap laissez-faire. Ini mengikut keadaan atau situasi.

Beliau pandai mencari wang dan peruntukan. Dimasa beliaulah terbinanya garej kereta untuk guru, astaka di tempat perhimpunan, membaiki bilik seminar, membaik pulih asrama, dewan besar dan beberapa pembaikan terhadap infrastruktur sekolah. Beliau telah berjaya membawa peruntukan kesekolah lebih satu juta ringgit sepanjang 2008.

Banyak kejayaan tlah diperolehi sepanjang 1 tahun 3 bulan 15 hari beliau bersama kami. Para Pengetua patut melihat aspek positif yang beliau buat untuk membangkitkan semangat urus tadbir yang baik. Aku sebagai bekas pengetua tabik kepada kehebatan beliau. Tapi sayang beliau ditukarkan kejawatan yang memungkinkan beliau patah hati untuk berbuat sesuatu. Beliau merasakan beliau JEM ditempat kerja baru. Idea beliau tak dapat berkembang. Sekian enteri kali ini. TK

12 Mac 2009 yang lalu, keputusan SPM di keluarkan. Ketika itu aku berada jauh dari sekolah tempat aku mengajar. Aku menjalankan tugas rasmi diluar pejabat. Aku mendapat panggilan telefon dari rakan sejawat di sekolah mengatakan mata pelajaran yang aku ajar iaitu Biologi mendapat 100%. Inilah hadiah kepada aku sebagai guru.

Mengajar Biologi. Aku memang dilatih didalam disiplin Biologi sejak aku belajar peringkat Diploma Sains dengan Pendidikan di UPM lagi. Ketika aku membuat Ijazah Pertama (Bacelor Sains dengan Kepujian) pun aku menumpukan kepada Biologi sebagai mata pelajaran Major. Hanya aku jarang berkesempatan mengajar Biologi. Aku pernah mengajar Biologi di SMK Sulaiman, Bentong. Tetapi pengalaman aku mengajar Biologi di SMK Sungai Koyan dan SMK Padang Tengku tak dapat aku lupakan. Di kedua-dua sekolah ini muridnya tidak ramai dalam aliran Sains. Khabar gembira bagi aku ialah apabila setiap tahun aku mengajar kelas SPM dikedua-dua sekolah ini, keputusannya mencatatkan 100%. Itulah kegembiraan bagi aku. Aku juga pernah mengajar Biologi di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA). Bagi SEMESTA mendapat 100% dalam apa-apa mata pelajaran adalah perkara biasa. Bagi sekolah SBP yang dikejar ialah jumlah yang mendapat 1A yang lebih ramai.

Mengajar Sains: Sepanjang perkhidmatan aku sebagai guru, setiap tahun aku mengajar Sains untuk SPM.  Buat SPM tahun 2008, keputusannya meningkat dan jumlah yang mendapat 1A telah bertambah daripada tahun-tahun sebelumnya. Hanya aku tak boleh nak kata cara aku mengajar baik kerana yang mengajar Sains Tingkatan Lima tahun 2008 ialah tiga orang. Walaupun begitu jumlah murid yang mendapat 1A Sains teramai adalah dari kelas-kelas yang aku menjadi gurunya. Nampaknya aku dapat gembira berganda.

Dalam membicara tentang khabar gembira ini terdapat berita tak gembira pula berlaku. Ini berkaitan dengan pertukaran Pengetua. Beliau baru berkhidmat ditempat aku mengajar selama 1 tahun 3 bulan dan 15 hari. Bagi aku ini masa yang sangat singkat. Walau pun aku pernah menjadi pengetua di sebuah sekolah hanya selama 2 bulan. Dua bulan memang tak boleh buat apa-apa perubahan. Selama 1 tahun 3 bulan 15 hari bersama dengan Pengetua ini, sekolah mencapai banyak kejayaan. Apa yang membanggakan ialah beliau dapat menyelesaikan masalah disiplin yang sebelum ini sangat parah. Umum berpendapat bahawa sesebuah sekolah yang disiplin murid dan gurunya baik mampu meraih kejayaan. Itulah yang berlaku kepada sekolah tempat aku mengajar sepanjang tahun 2008. Kejayaan itu ditunjukkan oleh peningkatan pencapaian dalam PMR dan SPM bagi 2008. Selain itu terdapat juga kejayaan dalam berbagai perkara termasuklah keceriaan dan kokurikulum.

Majlis Perpisahan: Satu majlis khas dibuat untuk meraikan pertukaran Pengetua pada 24 Mac 2009, bermula 12.00 tengahhari. Antara acaranya ialah bacaan sajak khas, ucapan-ucapan dan penyampaian cenderahati. Selepas itu kami para guru menghantar beliau sehingga ke rumahnya. Di rumahnya, beliau menyediakan jamuan untuk para guru yang menghantar beliau ke rumahnya. Telah menjadi kebiasaan kepada beliau meraikah rakan sejawatnya dengan jamuan. Sebelah malam diadakan pula jamuan untuk matan Pengetua di asrama. Itulah penghormatan.

Pengganti: Pengetua baru telah datang dengan sambutan rasmi di Dewan Besar pada hari Rabu 25 Mac 2009. Selepas acara di Dewan Besar aku bertemu dengan beliau atas dua sebab. Pertama beliau ingin bersembang dengan aku. Kedua aku nak minta izin untuk ke Temerloh untuk menjalankan tugas rasmi diluar pejabat.  Beliau meminta pandangan aku tentang apa yang berlaku di sekolah. Ini adalah kerana aku merupakan guru yang paling tua dan paling lama berkhidmat di sekolah ini. Sebenar beliau adalah pengetua yang ke 16 sepanjang perkhidmatan aku dibeberapa buah sekolah di daerah Lipis, Raub dan Bentong.

Dalam perbincangan aku dengan Pengetua baru, aku masih menekankan tentang usaha menjaga dan mengawal disiplin murid. Aku tetap berpegang teguh kepada pendapat bahawa sekiranya disiplin murid sesebuah sekolah dapat dikawal, pencapaian akademik dan kurikulum tetap dapat ditingkatkan. Aku masih banyak idea yang hendak aku sampaikan tetapi biarlah beritahu dia sedikit-sedikit. Itu kaedah yang terbaik.

Aku berhasrat untuk menulis tentang Anakdot Pengetua ke 15 setelah Anakdot Pengetua ke 14 telah aku tulis hampir setahun lalu. Sekian enteri kali ini. TK.

Balik dari Langkawi, hari Jumaat. Esoknya aku menghadiri Kursus Haji bersiri minggu ke Dua. Aku bertugas sebagai Pengerusi Majlis kerana Pengerusi Tetap Kursus ada urusan keluarga. Penceramahnya adalah Imam Masjid kampung aku yang juga saudara aku.  Kali ini kehadiran tidak ramai kerana hujung minggu awal cuti sekolah ramai saudara mara peserta kursus buat kenduri kahwin. Kursus bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 11.45 pagi.

Dalam siri ini dibentangkan Sejarah dan Pengenalan Tanah Suci. Antara sub tajuknya ialah Tanah Haram Makkah, Kaabah dan Majidil Haram, Telaga Zam-zam dan Kawasan Masyai’er Haji.

Bagi aku kefahaman terhadap perkara-perkara di atas telah menjadi mudah kerana aku telah banyak membaca tentangnya. Keduanya aku sendiri telah menjejak kaki ke Tanah Suci ini 18 tahun yang lalu iaitu tahun 1990.

Apabila penceramah menerangkan tentang Kaabah dan sudut-sudutnya aku telah dapat membuat gambaran mental di mana sudut/rukun Iraqi, Yamani, Hajar Aswad dan Syami. Aku tahu dengan jelas kawasan Hijr Ismail dan salur emas.

Pengalaman aku meminta izin daripada pengawal yang menjaga Makam Ibrahim untuk melihat dengan lebih dekat binaan yang dinamakan Makam Ibrahim itu. Pengawal itu membenarkan aku melihat apa yang terdapat dalam kaca yang dinamakan Makam Ibrahim. Pengawal itu sempat mengingatkan aku agar jangan menjilat atau mencium kaca tempat Makam Ibrahim.

Aku juga masih ingat bagaimana sukarnya untuk dapat bersolat dalam kawasan Hijr Ismail. Selain itu aku ada pengalaman melihat tiga paip pengepam air zam-zam dibahagian bawah dan sempat berbual dengan tiga orang yang menjaga kawasan itu. Salah seorang daripadanya adalah jurutera. Buat masa ini kawasan itu telah ditutup. Tak ada peluang untuk melihatnya.

Apabila kawasan Masyi’er Haji ditunjukkan aku teringat peristiwa aku melawat Padang Arafah sebelum masa wukuf. Aku juga teringat bagaimana seorang jemaah haji yang tersilap masuk ke kemah kami pada hari wukuf ingin mencari jalan kembali ke kemahnya. Setelah aku bertanya dia, aku dapati kemahnya hanya sebelah kemah tempat aku duduk. Aku juga bersama rombongan telah ke Muzdalifah dan Mina sebelum musim haji. Sudah tentu keaadaannya jauh berbeza antara masa haji dan sebelumnya.

Didalam Masjidil Haram pula aku masih ingat tempat yang biasa aku solat fardhu, solat sunat dan duduk membaca Al Quraan. Aku masih dapat mengambarkan lokasi dimana selepas solat Maghrib aku dapat mendengar dan melihat beberapa orang Tok Guru mengajar didalam masjid itu. Aku juga masih dapat mengambarkan bagaimana anak-anak Arab belajar menghafaz Al Quraan dalam satu halaqah yang diselia oleh seorang guru yang memegang rotan ditangannya. 

Itulah gambaran yang masih segar dalam ingatan aku. Aku juga sedia maklum bahawa kawasan masjid itu sudah bertambah besar masa sekarang. Sesungguhnya aku juga berharap dan berdoa agar aku dapat ke Tanah Suci di musim haji tahun 1430H ini bersama-sama isteriku, dua orang kakak dan seorang adikku.

Selepas aku kembali dari Tugas Rasmi di Langkawi, sekolah bercuti seminggu. Semasa cuti seminggu aku diundang oleh Yayasan Sarawak bersama Dewan Bandaraya Kucing Utara untuk berkongsi pengalaman dengan murid-murid dalam Program Kembara Pendidikan anjuran bersama beberapa badan di Sarawak. Terima kasih kepada orang Kuching atas layanan yang diberikan. Aku juga sempat bertemu dan bertamu ke rumah dan pejabat sahabat lama aku yang menjadi pegawai besar di Sarawak. Kepada beliau sekeluarga aku ucapkan terima kasih atas hospitility yang diberikan. Sekian TK.

Orang Langkawi baik Hati; Jumaat yang lalu 13 Mac 2009, ada tiga peristiwa yang patut sangat aku kenang. Pertama, sewaktu aku hendak balik dari Hotel Langkawi Seaview ke Lapangan Terbang di Padang Mat Sirat. Aku tunggu teksi, rupanya teksi tak ada waktu itu. 12.00 tengah hari taksi dah tak nak jalan, Hari Jumaat. Nasib aku baik kerana seorang Pegawai yang jaga Bahagian Makanan dan Minuman di hotel itu bermurah hati hantar aku ke Lapangan Terbang. Aku bagilah juga duit minyak untuk dia. Kalau aku naik teksi kosnya lebih tinggi. 

Kedua; Selepas aku check in bagasi, aku nak solat Jumaat (1.35 petang). Aku berjalan kaki, tak sampai pun 100 meter di Round About dekat Lapangan Terbang itu sebuah motosikal berhenti sambil bertanya, adakah aku nak ke Masjid. Aku angguk dan dia ajak naik motornya sehingga ke Masjid. Aku ucap terima kasih banyak-banyak. Beliau adalah petugas di Lapangan Terbang, berdasarkan kepada warna baju yang dipakainya. Dapatlah aku bersolat Jumaat pada hari itu.

Ketiga; Selepas solat Jumaat aku berjalan kaki semula menghala ke Lapangan Terbang, tiba-tiba sebuah kereta berwarna hitam berhenti dan mempelawa aku naik. Pemandu atau tuan punya kereta bertanya adakah aku nak ke Lapangan Terbang? Aku kata ya! Dia hantar aku sehingga ke Terminal dan dia kembali semula keluar dari Terminal. Memang beliau semata-mata menghantar aku ke Terminal itu.

Hari Jumaat itu tiga insan telah menolong aku. Aku tak kenal mereka dan mereka tak kenal aku. Perkara yang menjadi pengikat pertolongan itu adalah takdir Allah SWT. Allah menentukan mereka menolong aku. Aku ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang meringankan masalah yang aku tempuhi.  Semoga pertolongan tuan-tuan dibarkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Semoga Allah memurahkan rezeki bagi saudara-saudara semua.

Mengikut kefahaman aku, pertolongan ini datang kerana semasa aku menempah tikit penerbangan pulang (Air Asia) aku mengambil waktu 3.30 petang (15.30) dengan harapan aku dapat melaksanakan solat Jumaat pada hari itu. Niat aku begitu. Memang aku boleh ambil penerbangan 12.05 atau 1.00 petang tetapi aku tak boleh hendak laksanakan solat Jumaat. Niat aku ialah tak mau lepaskan peluang bersolat Jumaat, jadi aku beli tiket penerbangan pukul 3.30 petang. Kalau kita buat sesuatu kerja dengan niat yang baik dan memenuhi kehendak Allah, Allah akan bantu kita. Rupanya kerana itu aku melihat dan mengalami pertolongan Allah SWT datang bertalu-talu. Syukur, syukur…….Al Hamdulillah..

Semasa nak beli tikit itu, aku juga ucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai-pegawai yang bertugas semasa kami menjalankan tugas rasmi di Langkawi kerana membantu aku membeli tikit penerbangan melalui akses intrnet.

Kepada rakan-rakan yang bersama-sama menjalankan tugas rasmi itu aku ucapkan juga terima kasih.  Semoga silaturrahim kita berkekalan. Aku tak tahu sama ada aku sempat lagi menjalankan Tugas Rasmi itu bersama-sama. Aku akan bersara pada awal bulan Julai. Kalau aku dipanggil sebelum tarikh persaraan itu maka sempatlah kita bertemu tapi kalau tak dipanggil lagi aku pohon ampun dan maaf. Semoga perkenalan, persahabatan dan perkongsian ilmu mengukuhkan silaturrahim sesama kita. Sekian TK.

Sudah dua kali aku mengikuti kursus Haji anjuran Tabung Haji Daerah. Kursus ini dibuat pada setiap Sabtu. Bermula Sabtu 7 Mac 2009 dan akan berakhir pada Sabtu 27 Jun 2009. Siri kursus ini belangsung sebanyak 17 kali.

Pengetahuan dan ilmu berkaitan dengan ibadat haji ini banyak ditulis oleh ulama’ dalam bahasa Arab. Perintah yang mewajibkan ibadat haji ini juga ditulis dalam Bahasa Arab iaitu terdapat dalam Al Quraan dan Al Hadis. Malah pelaksanaan ibadat haji itu nanti berlaku di tanah Arab dan bukannya dibumi lain. Persekitaran budaya, bahasa komunikasi semuanya dalam bahasa Arab. Ribuan buku rujukan juga dalam bahasa Arab.

Kalau mengikut logik dan hujah orang yang menyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) maka sepatutnya kursus Haji ini perlu dibuat dalam Bahasa Arab. Mungkin para pembaca budiman mengatakan idea kursus haji bersiri dibuat dalam bahasa Arab adalah idea yang bodoh, bangang dan sebagainya. Tetapi itulah kaedah dan hujah yang diberikan oleh pendokong dan penyokong PPSMI.

Antara hujah pendokong PPSMI ialah Sains dan Teknologi itu rujukannya banyak dalam bahasa Inggeris maka wajarlah PPSMI ini diteruskan. Kedua, demi globalisasi maka kita hendaklah utamakan BI kerana untuk memudahkan kita bekerja diperingkat global.  Ketiga, kita mesti teruskan PPSMI ini tak kiralah guru pandai mengajar atau tidak yang penting P&P untuk Sains dan Matematik mesti dalam BI.  Keempat, tak perlu ambil kira murid bandar atau luar bandar sama ada mereka faham atau tidak.  Kelima, keputusan UPSR, PMR dan SPM terbaharu menunjukkan keputusan Sains, Matematik dan BM meningkat. Tetapi mereka lupa keputusan BI merosot.

Berbalik kepada kursus Haji. Kalaulah kursus itu dibuat dalam Bahasa Arab, agaknya berapa orang yang faham. Walaupun ibadat haji itu hanya perlakuan fizikal tanpa ada apa-apa doa yang wajib tetapi kefahaman tentang ibadat haji itu penting. Oleh memikirkan pentingnya kefahaman setiap bakal haji diambil kira maka kursus itu dibuat dalam bahasa Melayu, bahasa pertuturan seharian mereka yang mengikut kursus itu. Supaya nanti mereka dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna dan betul dan mendapat haji mabrur.

Dari segi tenaga penceramah aku kira tak jadi masalah kalau mereka nak bercakap dalam bahasa Arab cuma peserta kursus akan melopong sepanjang kursus. Aku pun sama melopong.

Kepada pendokong dan penyokong PPSMI ambillah iktibar dari kursus ibadat haji ini kalau tak faham juga mengapa GMP menentang PPSMI.

Pada 9 Mac 2009 yang lalu aku mendengar ucapan seorang Menteri Besar ketika menyambut perayaan Maulidur Rasul. Beliau seolah-olah kurang faham isu PPSMI ini. Beliau amat marah kepada penentang PPSMI (GMP). Beliau kata biarlah orang Melayu ini tak pandai Berbahasa Inggeris, biar orang lain yang pandai BI ini. Jadi nampak sangatlah seorang MB tak faham isu PPSMI. Kalau MB pun tak faham isu PPSMI ini malang sekalilah pengikutnya yang jadi pak turut sepanjang zaman. Pak turut dulu, kini dan selamanya.

GMP bukan tak suka BI tetapi tak mahu Sains dan Matematik diajar dalam BI. Aku setuju dengan GMP, aku faham keperluan menentang PPSMI ini demi membekalkan anak-anak masa depan dengan fakta, konsep, prinsip, teori dan hukum sains dan kemahiran matematik yang tepat dan betul. Akibat kurang faham perkara yang berkait dengan sains dan kurang mahir dalam matematik kerana halangan bahasa maka setakat ini aku melihat ramai anak bangsa aku yang tidak beminat untuk belajar Sains dan Matematik.  Kelas aliran sains semakin menguncup jumlah muridnya. Keadaan sudah berbalik semula kepada tahun-tahun 70′an ketika aku mula-mula mengajar dahulu. Betapa sukarnya memujuk anak-anak murid ketika itu untuk meminati sains dan matematik.

Tentang meningkatkan keupayaan berkomunikasi dalam BI, itu bukan kerja guru Sains dan Matematik. Guru SM tidak akan memberi keutamaan semasa mengajar terhadap BI. Apa yang penting murid faham dan tahu fakta, konsep, prinsip, teori dan hukum sains yang diajar. Tak kiralah mereka berkomunikasi dalam bahasa apa. Kalau dalam matematik yang penting mereka boleh menyelesaikan masalah matematik yang dikomunikasikan menggunakan angka-angka dan menggunakan formula dan kaedah tertentu. BI tak diambilkira.

Kalaulah hujah pendokong PPSMI digunakan untuk memberi kursus haji, nantinya bakal haji Malaysia akan hanya menjadi pak turut sahaja ditanah suci kerana mereka tak faham apa yang mereka buat dan bagaimana nak buat dengan betul. Nanti akan ada yang membuat perkara-perkara yang menjadikan haji mereka batal atau terpaksa membayar dam. Ingat di Malaysia banyak pokok kayu, kita selalu mematahkan ranting-ranting kayu disini, tetapi perbuatan itu adalah salah semasa dalam ihram. Di Arafah memang ditanam banyak pokok kayu. Kalau tak faham hal haji kerana diberi ceramah dalam Bahasa Arab maka nantinya ramai para haji Malaysia terbatal ibadat hajinya. Kepada pendokong dan penyokong PPSMI diharap melihat hujah GMP dari sudut ini. Sekian. TK

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu satu tauladan yang baik, bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut, Allah (sebutan) yang banyak.” (al Ahzab:21)

Dalam hadis yang panjang, hadis ke 2 dalam matan Al arbain Imam Nawawi ada membincangkan tentang IHSAN. Rasulullah telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”  

Rasulullah SAW adalah qudwah yang baik bagi manusia. Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan direct dari Allah SWT. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Quraan (khuluqul Quraan) atau menzahirkan akhlak al Quraan. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam amalan kehidupannya (sunnah).

Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu MERASAKAN dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah SWT. Sejauhmana sampainya makna Maha Melihat dan Maha Mendengar itu ke dalam diri kita. Kalau sekadar ada pengetahuan dan faham akan konsep ihsan itu ia belum membawa apa-apa makna kepada diri kita. Ia sekadar tibanya maklumat dan pengetahuan kedalam benak otak kita tetapi konsep ihsan itu tidak merubah perangai atau tingkah laku kita. Selagi konsep ihsan itu tidak mampu merubah tingkahlaku zahir kita selagi itu kita belum ada ilmu tentang ihsan. Ilmu ditakrifkan sampainya makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Kalau makna sesuatu sampai ke dalam diri, maka ia akan dizahirkan sebagi perubahan tingkah laku. Oleh itu akhlak adalah bermaksud perlakuan atau perbuatan yang terhasil dari arahan ilmu.

Sebagai contoh mudah, ramai orang tahu bahawa solat itu wajib dilakukan lima kali setiap hari. Terdapat ramai orang yang tahu hal ini tetapi tidak melaksanakan perintah wajib itu. Mereka seperti ini sekadar ada maklumat dan pengetahuan tentang wajibnya solat itu tetapi tak sampai makna wajib solat itu kedalam dirinya. Ertinya orang ini tidak ada ilmu tentang solat. Pengetahuan solat yang dimiliki tidak menggerakkan ia untuk melaksanakan solat lima kali sehari semalam. Akhlaknya dizahirkan sebagai orang yang ponteng solat. Begitu juga ramai orang yang ada maklumat dan pengetahuan tentang puasa, zakat dan lain-lain kewajipan tetapi bila berkemampuan tidak melaksanakan kewajipan itu, ini ertinya tidak sampai makna kedalam dirinya tentang kewajipan itu. Dia tiada ilmu berkaitan dengan hal itu. Maklumat dan Pengetahuan tidak merobah tingkah lakunya.

Seterusnya ramai orang tahu rasuah itu haram bagi yang menerima dan memberi tetapi manusia mencari loop hole undang-undang agar mereka terlepas dari tangkapan maka orang yang seperti ini tidak ada ilmu tentang haramnya rasuah itu.

Oleh itu sempena maulidur Rasul ini wajarlah kita memberi perhatian tentang konsep IHSAN ini agar kita bukan sekadar ada maklumat, ada pengetahuan tentang sesuatu perkara tetapi juga kita ada ilmu tentang hal itu, kerana ilmulah yang dapat merubah tingkahlaku seseorang bagi membentuk akhlak yang mulia. Ilmu inilah yang mengangkat darjat manusia disisi Allah SWT. Kalau sekadar maklumat dan pengetahuan ia belum boleh mengangkat darjat manusia disisi Allah SWT. Contoh terbaik ialah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sekian enteri kali ini. TK.

Petang ini (7 Mac 2009), GMP akan membuat himpunan 100 ribu insan untuk memansuhkan PPSMI. Semoga usaha GMP akan berhasil. Kita lihat insan yang menyokongnya siapa? Ada yang menentang. Mereka siapa? Antara yang menentang ialah PAGE (Parent action group for education) dan sebahagian daripada pemimpin UMNO (United Malays National Organization). Kalau lihat nama organisasi pun dah tahu, mereka tidak mengakar dan merimbun dibumi Bahasa Melayu. Mereka adalah golongan minda tertawan. Inilah hasil didikan Inggeris yang  berjaya. Seperti yang diungkapkan di India oleh Lord Mc Cauley. “Kita hendak jadikan pemikiran mereka seperti Inggeris, darah yang mengalir seperti darah  Inggeris walaupun kulit mereka hitam.” Tidak dinafikan ramai yang ke England, belajar disana tetapi minda mereka tidak tertawan oleh kecintaan kepada Bahasa Inggeris yang melampau.

Berikut aku nukilkan sedikit lagi gambaran minda pemikiran yang cinta akan maruah Bahasa Melayu. Seorang anak muda perantau ke Negara Russia, belajar perubatan dirujuk namanya sebagai Umaralfateh menyatakan seperti berikut,

“Kalau belajar benda asas (termasuk belajar Sains dan Matmatik) dalam bahasa asing , tanpa menguasai bahasa sendiri, akan menghancurkan diri sendiri..  itulah yang pemimpin la ni nak buat kat anak-anak sekarang, biar depa tak jadi cerdik, bila tak cerdik, mudahlah depa dapat sokongan untuk pilihanraya akan datang.. mudah-mudahan pemimpim-pemimpin yang dungu sebegini, akan ditukar secepat mungkin sebelum makin rosak anak bangsa.”

Seorang matan guru (guru bersara) telah menyarankan agar PPSMI ini dimansuhkan kalau kita sayang kepada Bahasa Melayu dan baiki kaedah P&P Bahasa Inggeris agar selepas 11 tahun disekolah anak-anak kita sudah boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Seorang Doktor Perubatan di sebuah klinik Swasta berborak-borak dengan aku tentang PPSMI beberapa hari yang lalu.  Doktor ini berkata, Aku dahulu belajar dalam aliran Melayu sehingga ke Universiti. Tak ada masalah, aku boleh dapat Doktor Perubatan (MD), boleh berbakti kepada masyarakat dan negara. Aku bukan pandai sangat BI ni, tapi tak pe, aku masih boleh berkomunikasi dengan baik terhadap pesakit aku. Pelanggan aku bukan nak dengar priskripsi ubatan yang aku beri dalam BI.

Mereka yang hendak present apa-apa research kat luar negara memanglah kena pandai BI, tapi berapa orang yang hendak kesana. Tapi kalau nak present resarch di Jepun atau di Korea kena pandai Bahasa Jepun atau Korea dan tak perlu BI pun.”

Kemudian Tuan Doktor itu merumuskan bahawa PPSMI mengakibatkan, pertama, anak-anak Malaysia kurang minat (menguncup minatnya) untuk belajar Sains dan Matematik. Kedua, PPSMI ini menghancurkan perkembangan BM, Bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa ilmu untuk sains dan teknologi. Ketiga, PPSMI ini tidak akan menaikkan taraf ilmu sains dan teknologi rakyat Malaysia di mata dunia seperti yang berlaku di beberapa negara Afrika contohnya Zimbabwe. 

Itulah sekelumit pandangan beberapa orang yang terlibat dengan masyarakat dan tetap prihatin kepada perkembangan ilmu pengetahuan menggunakan Bahasa Melayu.

Cuba pembaca fikirkan, bagaimana pihak media baik elektronik atau media cetak hendak memaparkan katakan perkembangan perubatan moden kepada penduduk negara. Katakan masalah penyakit telesemia. Kalau ia ditulis dalam BI, berapa orang rakyat yang membaca artikel itu dalam akhbar . Tapi kalau ditulis dalam BM, aku kira ramai yang akan baca. Maka sampailah maklumat tentang penyakit itu kepada masyarakat. Itulah namanya memasyarakatkan maklumat atau pengetahuan.

Lihat sahaja akhbar utusan melayu yang bertulis jawi. Berapa orang yang baca. Akhbar itu sudah tak terbit lagi kerana tiada pembaca? Pembunuhannya bermula tahun 60′an semasa Khair Johari menjadi Menteri Pelajaran (diakan orang UMNO). Apa hasilnya kini? Begitu jugalah yang akan berlaku kepada perkembangan Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu, sekitar 40 tahun akan datang sekiranya PPSMI ini diteruskan.

Sekian entri ke 130 sempena perhimpunan 100 ribu memansuhkan PPSMI. TK.