April 2009


Aku tulis perkataan IDEA sebagai tajuk kali ini kerana ada tiga peristiwa yang berkaitan dengan idea. Ye lah kadang-kadang ada idea nak ditulis tetapi tak kesampian, kadang-kadang nak sangat menulis tetapi idea tak datang. Boleh juga aku tulis tentang hal-hal yang sangat popular masa kini, iaitu politik tetapi aku rasa aku tak ada autoriti dalam hal ini. Nak tulis tentang ekonomi lagi aku tak pandai. Nak tulis tentang Biologi nanti yang membacanya tak faham sebab ramai dah belajar Biologi dalam BI. Jadi aku pun tulislah apa-apa yang terhenti sementara dalam minda aku untuk dikongsikan dengan orang lain.

Semasa aku bersama-sama beberapa orang Sahabat ERAT bermesyuarat di Jalan Duta minggu lalu, terdapat sahabat yang menyatakan tentang penyampaian idea dan fikirannya kepada orang lain. Sahabat ini menyatakan bahawa adalah sukar bagi kita menyampaikan idea kita. Pertama, takut orang tidak mahu mendengar penyampaian dan pengungkapan idea kita itu. Dalam kata lain takut orang tak nak dengar idea kita. Masalah terima atau tidak idea kita, itu persoalan kedua. Pertama, ada tidak orang nak dengar!! Walau pun sebagai guru dalam bilik darjah (classroom teacher). Waktu mengajar ada anak murid kita yang tak sudi mendengar apa yang kita ajar. Kadang-kadang mereka terus tidur. When they close their eyes, they will also close their ears. Therefore nothing will enter their brain. No learning happen!! Apatah lagi P&P bagi Sains dibuat dalam Bahasa Inggeris.  Oleh itu jika ini keadaannya, orang tak nak dengar kita mengajar lebih baik kita tulis aje dalam BLOG apa yang hendak kita sampaikan. So, the students can get the note from teacher’s blog. Ini idea pertama.

 Hari Sabtu lalu aku dijemput oleh SMK Merapoh (sekolah menengah dalam Daerah Lipis tetapi dekat Gua Musang, Kelantan) untuk menyampaikan ceramah bagi Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) guru-guru.  Aku bagi ceramah tentang Pedagogi (the science of teaching) dan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). Aku bukan pakar dalam kedua-dua hal ini tetapi aku mahir dan banyak pengalaman tentangnya. Dalam hal ini aku banyak menerima latihan dari Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dan juga Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). 

Semasa sembang-sembang waktu makan ada guru yang mengutarakan idea untuk aku tulis dalam blok aku ini. Kalau aku tulis idea itu sudah tentu idea yang asal (original) dari guru itu tak dapat aku sampaikan dengan tepat kerana yang menulis idea itu ialah aku. Sedangkan ideanya dari pemikiran orang lain. Oleh itu aku cadangkan supaya guru itu membuat blognya sendiri. Dari segi teknikal membina blog bolehlah dipelajari dari rakan-rakan guru yang memang mahir dalam ICT.

Persoalan kedua pula ialah, selalu timbul masalah kita cuba nak kongsi pendapat dan idea dengan orang lain, tetapi tiada yang sudi mendengar dan menerima oleh itu aku harapkan rakan-rakan pendidik bergiatlah dalam penulisan melalui blog agar alam siber ini penuh dengan idea-idea original yang mungkin satu hari nanti menjadi idea yang dominan kepada masyarakat serta kegunaan dan manfaatnya dapat dimasyarakatkan.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh para pendidik ialah tentang kurangnya bahan bacaan yang berkait dengan peristiwa dan pengalaman dalam  bilik darjah atau dalam sekolah. Bukan kita perlukan satu kajian tetapi memadai menulis pengalaman yang berlaku di dalam bilik darjah. Penceritaan tentang kerenah anak murid yang berbagai ragam dan bagaimana cara penyelesaian masalah tentang sesuatu peristiwa atau masalah. Ceritakan juga kerenah ibubapa yang sopan datang bertemu para guru, ceritakan juga sikap ibubapa yang menyerang guru dan seribu satu peristiwa serta pengalaman yang dilalui. Nanti akan mekarlah literature tentang persekolahan di Malaysia ini. 

Idea ketiga aku temui ketika melayari laman sesawang anak-anak ku, ku temui satu laman bertaglinekan ILMU DARI PENA. Bila aku baca, aku dapati bahawa pengurus blog itu ialah menantu aku. Aku confirm hal ini dengannya bila aku dapat panggilan jauh dari Belfast sebentar tadi. Rupanya menantuku ini terangsang dengan satu ceramah yang didengarnya agar kita ambil kesempatan dengan teknologi masakini untuk menyampaikan sesuatu yang baik. Agaknya dia faham dari maksud Hadis Rasulullah SAW “Sampaikan dari aku walau pun sepotong ayat”. Maka bertambah lagi seorang kerabat aku memblog di alam maya.

Sebenarnya banyak lagi idea yang boleh ditulis. Kalau tulis panjang-panjang nanti orang tak syok baca. Cukup dulu sekadar itu. Sekian. TK

Bermula semalam, Ahad 19 April 2009, aku keluar station lagi. Kali ini aku ke K.L.  Buat kerja yang disuruh oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Semasa aku keluar station inilah aku sempat bertemu rakan-rakan yang berjauhan, yang sama profesion dan ditugaskan membuat kerja yang sama. Murid  serta rakan sejawat yang tinggal buatlah kerja  masing-masing di sekolah.

Aku pun sedih juga kerana tak dapat membuat update entery aku. Sudah lamalah kiranya, sebab last entry ialah pada 13 April yang lalu. Jadi aku ambil kesempatan untuk mengemaskini laman ini sejak semalam, tapi ia tergendala. Buat masa ini aku tinggal dirumah anakandaku di Flat Fiona dekat Giant Batu Caves. Setiap hari aku memandu ke tempat mesyuarat di Jalan Duta. Maklumlah aku orang kampung mana biasa dengan keadaan jalan yang jem setiap pagi. Aku kalau nak ke sekolah keluar rumah pada pukul 7.10 pagi sampai sekolah pukul 7.20 pagi, perjalanan sejauh tujuh kilometer. Aku tak mengalami masalah jem sepanjang perjalanan dari rumahku ke sekolah. Kini aku keluar jam 6.50 pagi dari rumah anakandaku dan sampai ke tempat mesyuarat pada jam 7.40 pagi. Memanglah aku jenis yang tak sesuai bekerja di bandar. Aku tak suka keadaan jalan jem.  Aku orang kampung. Tinggal di kampung memang aman dan damai.

Pagi tadi hujan, seorang sahabat dari Klang bertolak pukul 6.30 pagi hanya samapai ke tempat mesyuarat pada jam 8.30 pagi. Masalah yang dia hadapi ialah jem sepanjang perjalanan. Seorang lagi rakan dari Seremban juga sampai lewat kerana tersalah jalan dan menghadapi masalah jem. Inilah asam garam bagi mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Setiap hari menghadapi masalah jem.

Di kampung aku masalah jem ini berlaku dua tiga kali sahaja setahun. Walau pun begitu sesekali ia berlaku keadaannya memang hebat. Aku masih ingat tahun lepas ia berlaku waktu orang ramai pulang untuk berhari raya dan waktu pilihan raya. Dikedua-dua musim raya ini memang akan berlaku keadaan jem dikampung aku. Orang kampung sempat mengalami keadaan jem seperti di Kuala Lumpur. Mengapa berlaku jem dikampung aku? Sebenarnya sebelum Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji ramai orang Kelantan yang bermusafir sama ada di Kuala Lumpur atau di Lembah Kelang akan kembali ke Kelantan. Betapa banyaknya kereta yang mereka naiki menandakan para muhajirin dari Kelantan ini sangat ramai bilangannya. Jenama kereta yang mereka naiki adalah berbagai ada yang kecil ada yang besar. Pergerakan mereka dari luar menuju ke Kelantan atau sebaliknya menyebabkan jalan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu atau sebaliknya akan menjadi jem. Oleh kerana perjalanan itu melalui kampung aku maka penduduk kampungku sempatlah mengalami keadaan jem itu.

Satu keadaan jem yang tidak kurang hebatnya berlaku pada 7 Mac 2008. Rupanya anak Kelantan diperantauan tetap balik ke Kelantan untuk mengundi dalam PRU12 pada 8 Mac 2008 dahulu. Aku masih ingat lagi pergerakkan mereka kembali ke Kelantan melalui kampung aku bermula selepas Subuh hingga ke tengah malam. Memang orang Kelantan hebat dalam kesedaran politik mereka. Mereka tahu hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Mereka menjalankan tugas sebagai rakyat yang setia kepada negara tercinta.

Semasa musafir selama beberapa hari ini aku sempat bermesra dengan cucu yang kedua aku. Baru berumur 70 hari. Cucuku ini masih belum boleh membezakan sesiapa. Mungkin dia tetap kenal ibunya atau bapanya tetapi orang lain dia belum kenal. Harap mak saudaranya yang mengambil kursus Early Chlidhood Education di UM akan dapat membuat penjelasan tentang hal ini kepada kami semua tentang psikologi kanak-kanak. Nantilah mungkin satu hari dia akan buat penjelasan. Itupun kalau dia tak sebuk. Dia memang sebuk sentiasa!!!

Hari Jumaat nanti aku akan baliklah ke kampung. Mesyuarat di Jalan Duta tamat pada hari itu. Aku kira inilah mesyuarat aku terakhir dengan warga Jalan Duta. Aku mula bermesyuarat dengan warga Jalan Duta semenjak tahun 1992  lagi. Tentang pengalaman berinteraksi dengan warga Jalan Duta ini akan aku buat entri khas selepas 1 Julai nanti. Selepas ini tiada lagi kesempatan bagi aku  untuk bersama rakan-rakan membantu sahabat di Jalan Duta. All my friends, I will miss all of you. Hari Sabtu aku akan ke SMK Merapoh kerana membantu rakan-rakan disana bagi berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman tentang pengajaran dan pendidikan. Hingga jumpa lagi, sekian TK.

Back to basic atau Kembali Kepada Asas, itulah pesanan daripada Puan PPD yang baru bagi daerah aku. Seingat aku itu merupakan pesanan yang pernah diketengahkan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Dato’ Dr Abdul Shukor Abdullah satu waktu dahulu. Sememangnya pesanan Dato’ KPPM itu terlekat dan ambil iktibar oleh Puan PPD kerana ketika itu aku pasti Puan PPD adalah seorang Pengetua. Aku ingat sangat hal ini kerana masa itu aku pun Pengetua juga.

Tidak kiralah siapa yang mengungkapkan perkara itu, yang pentingnya semua guru yang menjadi nadi pendidikan negara faham dan hadam maksud kembali kepada asas itu.  Kalau para guru sebagai jantung penggerak aktiviti P&P tak terkesan dengan asas ini, selagi itulah kerja-kerja pendidikan sentiasa celaru. Bila bertukar ketua maka bertukarlah mood kerja. Walau pun keadaan kerja sebelum itu sedang meningkat momentum menuju jaya dan belum memasuki zon selesa. Bila dah masuk zon selesa anjakan baru kena dicipta dan direka. Kalau tidak dibuat anjakan yang seeloknya akan jadilah “more of the same” seperti kata Dato’ Dr Wan Zahid yang juga bekas KPPM.

Semenjak dari zaman Dato’ Dr. Shukor menjadi KPPM, aku sentiasa dengar kata-kata Back to Basic ini. Biasanya ungkapan ini dihurai sedikit lagi tentang maknanya kepada para guru. Para guru dikehendaki mengajar dan para murid dikehendaki belajar. Guru Mengajar, Murid Belajar. Malangnya yang tukang sampai kepada para guru masa kini hanya sekadar jadi posman sahaja atau jadi kakak tua sahaja tak lebih daripada itu. Sama ada posman atau burung kakak tua, kedua-duanya sama sahaja iaitu mengulangi sahaja apa orang besar sebuat tanpa membuat tindakan bagi mengzahirkan perkara itu dalam bentuk program di sekolah.

Masa aku jadi pengetua dulu aku terjemahkan guru mengajar dan murid belajar kepada indikator yang aku nak lihat berlaku disekolah sewaktu P&P. Aku cuba beri definisi operasi yang boleh aku lihat dan orang boleh buat tentang GURU MENGAJAR.

Bagi aku indikator atau penunjuk bahawa seseorang guru itu mengajar mudah sahaja iaitu, guru masuk ke kelas mengajar ikut jadual waktu (boleh dicerap), buku rekod mengajar diurus dengan baik dan betul (boleh dilihat masa penghantaran buku rekod setiap hujung minggu), guru mempunyai maklumat lengkap untuk P&P mata pelajarannya seperti ada Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), guru buat soalan ikut format sebenar, guru tahu apa matlamat mata pelajarannya (boleh dilihat dalam fail P&P guru berkenaan) dan kerja murid diperiksa dan diteliti oleh guru berkenaan. Semua ini menunjukkan proses yang dilaksanakan oleh para guru, insan barisan hadapan dalam struktur Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang telah menjalankan tugasnya mengajar. Proses guru mengajar ini dapat dikesan melalui indikator pelaksanaannya dengan mudah dan jelas.

Manakala MURID BELAJAR pula saya beri indikator berikut untuk memudahkan guru atau sesiapa sahaja melihat pelaksanaannya. Semua murid mempunyai buku teks yang sepatutnya dia ada. Setiap murid ada buku catitan dan latihan yang diperlukan. Semua murid mesti tahu format peperiksaan yang akan mereka lalui dan tahu bagaimana hendak membuat nota. Setiap murid dari hari kehari dilengkapkan dengan kemahiran belajar yang diperlukan. Selain dari itu murid mesti sedar siapa dia disekolah itu, bukan datang sekolah dengan lenggang kangkung sahaja. Dalam kata lain murid kesekolah hendaklah dengan keadaan bersedia, bukan datang dengan kepala kosong sahaja. Sebaiknya murid ini datang dengan motivasi kendiri yang tinggi untuk membolehkan mereka belajar secara sukarela, buka kesekolah dengan perasaan terpaksa.

Satu perkara yang selalu dilupai oleh semua (guru atau murid) ialah tentang persediaan murid datang kekelas. Biasanya para guru memang sentiasa bersedia untuk mengajar terutama guru yang lama, mereka dah tahu apa yang hendak diajar pada hari berkeaan. Kalau ada yang tidak bersedia atau tak tahu apa yang hendak diajar itu satu keadaan yang malang bagi guru berkenaan. Satu indikator tentang guru tak tahu tugasnya, GURU MENGAJAR.

Para murid wajar membahagikan pembelajarannya mengikut tiga tahap waktu. Pertama, pembelajaran sebelum kelas (pra pembelajaran). Kedua, pembelajaran semasa dikelas dan Ketiga, pembelajaran selepas kelas (pasca pembelajaran).

Apa yang perlu dibuat oleh seorang murid sebelum kelas. Perkara ini dibuat malam sebelum ke kelas. Murid perlu baca bahan yang bakal dipelajari sambil membuat catatan perkara-perkara yang akan ditemui. Murid boleh mengetahui kehendak Hasil Pembelajaran atau Learning Outcome dalam buku teks. Mereka sewajarnya cuba mencari kehendak learning outcome ini dan catat dalam buku catatan untuk dibawa kekelas.

Semasa pembelajaran di dalam kelas, bolehlah murid itu merujuk apa yang telah ditulis dan mengikuti pengajaran oleh guru. Sekiranya timbul keadaan kurang faham atau tak faham, murid bolehlah bertanya akan guru yang mengajar. Oleh yang demikian P&P akan dapat berjalan dengan lancar dimana guru mengajar dan murid tahu apa yang dipelajarinya.

Selepas pembelajaran dalam tempoh 24 jam dari waktu kelas, murid perlu membuat ulangkaji perkara yang baru dipelajarinya. Murid boleh membandingkan apa yang diharap dipelajari melalui learning outcome dengan apa yang diajar oleh gurunya di dalam kelas.

Sekiranya murid mengambil langkah-langkah begini maka pembelajaran akan menjadi lebih senang dan bermakna. Malangnya tidak ramai murid mengetahui kaedah belajar ini akibat tidak diberikan penerangan oleh para guru mereka. Kaedah begini boleh dikembangkan disetiap sekolah andainya ada pihak pengurusan sekolah menekankan proses di atas dilaksanakan setiap masa dan waktu sepanjang P&P terlaksana.

Oleh itu back to basic ialah guru mengajar dan murid belajar. Bukan susah nak sebut dan gembar gemburkan kepada semua orang tetapi sebenarnya bagi melaksanakan ungkapan itu dalam realiti ia memerlukan perancangan yang rapi dan difahami oleh semua anggota organisasi. Sekian TK.

Antara dua Tun mantan PM. Ingat atau tidak Tun Mahathir letak jawatan PM. Ia bermula dengan pemecatan DS Anwar Ibrahim dan peristiwa mata lebam. Diikuti dengan beberapa siri demonstrasi disetiap hujung minggu dan riuhnya laungan REFOMASI. Kemudian dalam PRU ke 10 (1999) BN banyak hilang kerusi. Dari peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan bahawa rakyat banyak yang tolak Tun Mahathir dari persada kuasa PM.  Berbeza dengan Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) yang meninggalkan kerusi PM kerana didesak oleh kepimpinan UMNO. Orang ramai tidak menolak Pak Lah sebab orang ramai tak buat demonstrasi suruh dia turun tahta. Mereka yang bertempik sorak agar Pak Lah turun tahta ialah Majlis Tertinggi UMNO serta kata-kata nista dari Tun Mahathir.

Dari dua keadaan ini memang Tun Mahathir tak sepatutnya pergi berkempen untuk BN kerana orang ramai dah benci dia sejak zaman Refomasi lagi. Oleh itu Tun Mahathir adalah libiliti kepada UMNO dan BN. Kata setengah sahibul hikayat apabila Tun Mahathir pergi berkempen di dua bukit baru-baru ini ramai pengundi tak mahu mengundi BN. Akibat dari itu BN kalah. Malangnya waktu kempen PRK yang baru berlalu Pak Lah tak turun padang. Sampai sekarang berita Pak Lah tidak kedengaran langsung. Jangan jadi zaman Tun Mahathir turun tahta sudahlah, sampai dia bercakap apa pun akhbar tak beri ruang kepadanya. kesian dia…

Orang cerdik lari. Bila UMNO tutup pintu kepada orang kumpulan A berpolitik maka UMNO kehilangan sumber kekuatan intelektual dalam partinya. Aku jumpa ramai orang kumpulan A terutama guru-guru yang bergraduat dari Universiti nak join UMNO tetapi mereka tak boleh aktif memimpin. Oleh itu UMNO terutama di peringkat Cawangan dan Bahagian dipimpin oleh mereka yang bukan lepasan Universiti. Itu sebabnya ramai Ketua Cawangan atau AJK Bahagian UMNO mempunyai kelulusan sekadar SPM atau tiada kelulusan langsung. Jadi diperingkat grass root UMNO dipimpin oleh mereka yang tidak cerdik.  Kadang-kadang Ketua Cawangan ialah Tukang Kebun Sekolah manakala pemeriksa kira-kiranya ialah Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah di kampung itu. Ini suasana yang memeningkan. Di sekolah Penolong kanan berkuasa di Cawangan UMNO Tukang Kebun bertahta. Guru Penolong Kanan takut nak buat apa-apa kalau si Tukang Kebun ponteng kerja. 

Sebagai lepasan Universiti biasanya mereka hendak memberi sumbangan kepada kemajuan ditempat tinggal mereka. Kalau masuk UMNO mereka tak boleh beri sumbangan. malah mereka tak boleh memimpin. Kalau cuba-cuba nak bertanding peringkat Cawangan atau Bahagian UMNO, awal-awal lagi mereka kena cantas atau cas keting. Walau bagaimana pun mereka yang cerdik itu tetap nak beri sumbangan. Sumbangan berbentuk idea atau material. Dimana tempat mudah bagi mereka berperanan? Sudah tentulah di NGO atau parti selain daripada anggota BN. Melayu akan ramai ke PAS atau PKR atau mereka duduk senyap sahaja buat kerja yang boleh menjatuhkan UMNO. Akhirnya berlaku brain drain dari UMNO dan ramai yang benci UMNO terutama anak-anak muda yang cerdik serta ingin berbakti kepada masyarakatnya. 

Baiki UMNO. Kalau UMNO betul-betul nak berubah UMNO kena ubah paradigma lama. Bukalah pintu seluas-luasnya kepada orang cerdik untuk memimpin mereka. Tidak kiralah di Cawangan ke atau Bahagian. Orang-orang yang tak cerdik berpadan-padanlah diri atau sedarlah diri itu tak cerdik tak payahlah berlagak pandai nak memimpin. Kalau di kampung tu serahkanlah kepimpinan Cawangan kepada guru-guru kerana buat masa depan semua guru adalah graduate. Baikilah prestasi UMNO agar ia menjadi parti yang betul memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

Kalau pemimpin UMNO nanti cerdik, mudahlah mereka sedar apabila dihujah secara ilmiah bahawa UMNO kini memperjuangkan perkara yang salah. UMNO tidak mengikut acuan perjuangan yang dikehendaki oleh Islam. UMNO kini memperjuangkan benda dan ikut suka sahaja. Pemimpin UMNO kini tidak suka kalau UMNO dibawa kepada kesedaran menghayati Al Quraan dan Hadis. Sebab itulah pemimpinnya masih nak teruskan perjuangan Islam Hadari. Perjuangan yang masih mengambil kira dunia sebagai tujuan utama bukan berjuang mencari keridhaan Allah SWT.

Derhaka. Bila DS Nizar dituduh derhaka oleh orang-orang BN, baru aku tahu rupanya UMNO lebih dahulu melakukan derhaka kepada Raja Melayu. Tulisan tentang derhaka UMNO terhadap Raja Melayu tidak pernah keluar sebelum peristiwa DS Nizar “Sembah Derhaka”. Apabila BN mengembar-gemburkan tentang DS Nizar derhaka maka banyaklah tulisan dalam blok-blok yang menghuraikan tentang peristiwa derhakanya UMNO terhadap Raja Melayu. Rupanya UMNO adalah juara derhaka sebelum ini. Datuk Ghazali Jawi ayah kepada Tajul Rosli pernah derhaka kepada Sultan Idris. Muhamad Mohd Taib (mantan MB Selangor) pernah derhaka kepada Sultan Selangor. Tun Mahathir adalah insan yang mengajak seluruh UMNO derhaka kepada Raja-Raja Melayu melalui peristiwa (1983 dan 1993) iaitu krisis perlembagaan untuk mengurangkan imuniti Raja. Bila Mahathir buat derhaka dia ajak semua ahli UMNO untuk derhaka bersama-sama.

Melalui peristiwa sembah derhaka DS Nizar itu juga membuktikan ramai orang UMNO tak faham bahasa Istana. Bahasa istana dengan bahasa harian adalah berbeza. Itu waktu masih ramai orang faham Bahasa Melayu. Kalau BM dah pupus kerana PPSMI tentu lebih ramai orang tak faham bahasa Istana. Penjelasan oleh mereka yang mahir tentang Sejarah Melayu juga menceritakan bahawa Tun Perak pernah membuat sembah derhaka ketika peristiwa Hang Tuah disembunyikan oleh Tun Perak di satu tempat apabila Sultan memerintahkan agar Hang Tuah dihukum bunuh. Ada rupanya sembah derhaka. Siapa cerdi, DS Nizar atau Datok Zambry?  Akhirnya UMNO menyerlahkan keadaan yang tidak cerdik pada batang tubuhnya. Sekian TK

Sekali air bah, sekali pasir berubah. Satu peribahasa yang menerangkan tentang perangai manusia apabila menghadapi perubahan pemimpin atau perubahan kaedaan. Perubahan pemimpin dari sebesar-besar pemimpin kepada sekecil-kecil pemimpin atau dari satu keadaan persekitaran kesatu keadaan persekitaran yang lain.

Contoh paling jelas ialah berubah Perdana Menteri. Zaman Tun Mahathir dulu berbagai pendekatan dibuat sebab dia memerintah selama 23 tahun. Antara dasar yang dia laungkan ialah: Bersih Cekap dan Amanah; Dasar Pandang Ke Timur, Penerapan Nilai-nilai Islam, Wawasan 2020 serta lain-lain lagi. Maka pegawai-pegawai yang berkhidmat masa itu pun bersengkang matalah untuk menjadikan dasar-dasar itu dapat dizahir kepada rakyat.

Masa Tun Abdullah Badawi jadi PM dia memperkenalkan Dasar Islam Hadari yang banyak dipersoalkan konsepnya. Apa yang menyedihkan ialah apa yang dibuat oleh orang yang dahulu dipendamkan oleh penggantinya. Contoh terdekat ialah Dasar Penerapan Nilai Islam yang dikemukakan dizaman Tun Mahatir sudah tidak dipedulikan dizaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi (Pak Lah). Sebaliknya Pak Lah mengemukakan pula dasar baru iaitu Islam Hadari. Masa ini DS Najib jadi PM, dia telah mengemukakan pula dasar One Malaysia. Maka lenyaplah Islam Hadari. Sekali air bah sekali pantai berubah.

Masa Tun Mahathir berkuasa diwujudkan Institut Pemikiran Mahathir. Masa ini sudah tidak kedengaran lagi tentang Institut itu. Masa sibuk Islam Hadari terbinalah Institut Islam Hadari di UKM. Prof Mohd Yusof Othman jadi Pengarah. Bila Pak Lah pemuka Islam Hadari dah bawa diri atau menyepi diri maka Institut Islam Hadari juga akan pergi. Pengarahnya juga kena bawa diri. Aku cadangkan agar Prof Yusof join Prof Shahrir Mod Zain di GMP.

Kalau ada orang di menara gading nak jadi pengarah institut terutama yang kaki bodek, masa nilah nak buat usaha. Buatlah kertas kerja untuk bina Institut Pemikiran One Malaysia dan cepat-cepat bawa jumpa DS Najib. Mesti lulus punya tapi bak jadi pengarah itu belum tentu lagi dapat. Dia mesti beri pada kroni dia dahulu.

Itu cerita di peringkat PM. Kecilkan sedikit skop perbincangan, kita bawa ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Setiap kali Menteri KPM berubah akan berubahlah beberapa dasar. DS Najib dengan sekolah bestarinya, sekolah wawasannya tapi sampai hari ini tak nampak pun hasilnya. Datang DS Hishamuddin pula bawa konsep sekolah klaster. Kalau tanya konsep-konsep ini pada guru, ramailah guru yang garu kepala, tak tau… Kalau perubahan itu kepada yang lebih baik tak mengapa. Malangnya banyak perubahan yang diarahkan supaya buat merupakan sesuatu yang undur kebelakang. Contoh yang terdekat ialah dasar PPSMI. Sebelum itu ada dasar Sains:Sastera 60:40 tetapi kini dasar itu tak dibincang dan tak diusahakan lagi. Jadi PPSMI telah melenyapkan 60:40.

Kalau kita rajin bertanya tentang PPSMI ini kepada sesetengah pegawai di Jabatan Pelajaran, PPD, kalangan Pengetua atau guru-guru PPSMI kita akan dapati ramai yang tidak bersetuju dengan PPSMI ini. Hanya mereka yang disebut di atas ini tak berani bercakap perkara ini dikhalayak ramai. Apatah lagi apabila keputusan peperiksaan awam dikeluarkan didapati setiap tahun keputusan Sains dan Matematik sentiasa meningkat. Nak tunjukkan bahawa PPSMI merupakan kaedah mengajar yang dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Inilah salah satu cara KPM nak tunjukkan bahawa PPSMI ini satu program yang berjaya. Sedangkan ia merupakan sesuatu yang gagal.

Masa mula-mula DS Hishamuddin jadi Menteri KPM dia telah perkenalkan semula mata pelajaran SIVIK bermula dengan Tingkatan Satu. Masa mata pelajaran ini dilaksana di menengah rendah kesannya tidak berapa terasa. Bila SIVIK dilaksana di menengah atas barulah sangat terasa. Akibat pertambahan 2 waktu SIVIK, para guru terpaksa balik sekolah pukul 3.30 petang. Jika dilihat waktu berkerja seorang guru sekolah menengah kita akan dapati mereka sudah bekerja cukup 8.00 jam sehari.

Masyarakat kena faham, kalau orang kerja pejabat, selepas kerja 8 jam mereka tak akan buat kerja tambahan lagi. Kalau mereka buat kerja tambahan mereka dibayar dengan elaun lebih masa. Berbeza dengan para guru, walau pun sudah cukup 8 jam bekerja kami terpaksa pula hadir kesekolah untuk program kokurikulum, kelas tambahan, latihan dalaman, persiapan hari sukan, persiapan majlis Hari Anugerah Cemerlang dan seribu satu program yang merenggangkan hubungan anak dan ibubapa, merenggangkan hubungan suami dan isteri dan guru sememangnya tidak ada elaun lebih masa. Akibat Menteri KPM buat mata pelajaran baru maka yang tersiksa ialah para guru dibarisan hadapan.

Bila bertukar Menteri KPM bukan tak boleh buat perubahan tetapi kalau buat perubahan itu jangan menyiksa atau mendera para guru. Kita harap perkara ini tak akan berlaku lagi masa hadapan.

Kalau bertukar Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) atau Pengarah JPN perkara yang sama akan berlaku. Ini disebabkan oleh perbezaan interpretasi terhadap dasar KPM oleh penjawat-penjawat yang berkenaan. Siapa yang akan menjadi mangsa terakhir kepada perubahan itu? Jawapan yang tiada lainnya ialah CIK GU.

Kalau berlaku pertukaran pengetua sekolah, perkara yang sama akan berlaku. Contoh mudah ialah masalah mesyuarat. Ada pengetua yang sangat suka bermesyuarat tetapi ada juga pengetua yang tak berapa suka bermesyuarat. Kalau pengetua baru jenis yang sangat suka mesyuarat maka alamatlah guru balik rumah setiap hari pukul 6.00 petang.

Ada juga pengetua yang gila keceriaan. Dia datang kerjanya tanam pokok dan kalau penggantinya jenis suka tebang pokok maka parahlah pekerja sekolah dan para guru. Mangsa terakhir perubahan ialah guru.

Ini antara contoh-contoh benar bagaimana betulnya peribahasa Sekali air bah sekali pantai berubah. Tetapi bukan tak boleh buat perubahan. Apa yang menjadi rungutan ialah bila berlaku perubahan maka guru dimangsakan. Akhirnya guru-guru tak boleh hidup sebagai manusia biasa, dah jadi robot. Guru-guru mungkin jadi insan yang tak berjiwa lagi. Sekian entri ini. TK

Kalau ada orang berjaya, kita yang bersama dengan orang itu tumpang gembira. Kita akan meraikan kejayaannya. Begitulah adat kita berkawan, bersahabat atau berkumpulan. Itu perkara lumrah dalam sosial manusia yang bertamadun. Waktu entri ini ditaip PAS sedang mendahului BN di Bukit Gantang dan Keadilan mendahului BN di Bukit Selambau. Jadi dua bukit telah ditawan semula oleh Pakatan Rakyat. Hanya batang sahaja di menangai oleh BN (Sarawak) yang bukan UMNO. Kemenangan mereka bolehlah kita raikan.

Sebenarnya bukan keputusan PRK yang hendak dibincang disini tetapi cerita kami meraikan kejayaan anak didik kami dan juga meraikan rakan sahabat kami yang baru berumah tangga dan naik pangkat.

Pada 5 April 2009 (Ahad), satu sambutan yang sangat bermakna dan meriah telah dibuat di sekolah tempat aku mengajar. Atas mufakat antara semua kakitangan sekolah melalui Kelab Silaturrahim kami meraikan kejayaan enam orang murid kami yang mendapat 8A dalam PMR 2008 dan dua orang murid kami yang mendapat lebih daripada 5A dalam SPM 2008. Disamping itu kami juga meraikan tiga pasang pengantin baru yang terdiri dari guru-guru sekolah kami yang telah melangsung perkahwinan semasa cuti sekolah yang lalu. Tambahan daripada itu kami juga meraikan tiga orang guru kami yang dinaikkan pangkat ke DG44 baru-baru ini.

Semua kejayaan di atas diraikan melalui satu majlis yang dibuat secara besar-besaran. Seekor lembu telah disembelih pada petang 4 April 2008. Urusan melapah, menyiang dan memasak dibuat sendiri oleh semua ahli keluarga besar sekolah kami. Hiasan Dewan Besar sekolah dibuat sendiri oleh para guru. Semua urusan untuk menjayakan Program Meraikan Kejayaan ini dikelokan sendiri oleh para guru dan kakitangan sekolah.

Apa yang hendak diperolehi dari program ini ialah semangat kerjasama yang padu dikalangan semua pihak di sekolah ini. Berasaskan kerjasama inilah kita boleh menempah kejayaan demi kejayaan dari semasa ke semasa. Program yang dirancang dan dilaksanakan begini melatih kepimpinan dan kebersamaan antara ahli keluarga besar sekolah. Melahirkan kepimpinan yang punya ketrampilan sangat penting bagi masa depan sesebuah institusi pendidikan. Kebersamaan semasa melaksanakan program adalah penting untuk mempastikan penerusan kejayaan.

Idea asal adalah dikongsi bersama dikalangan beberapa orang guru untuk meraikan sahabat kami yang ingin berkahwin. Diakhir tahun 2008 kami mentapkan bahawa sekiranya ada dikalangan rakan sejawat yang berkahwin sebelum bulan April 2009, pihak Kelab Silaturrahim akan mengadakan kenduri meraikan mereka di Dewan Besar Sekolah. Idea itu disokong kuat oleh Pengetua ketika itu. Alhamdulillah memang ada empat orang guru yang akan melangsungkan perkahwinan mereka semasa cuti sekolah yang lalu. Sepasang dari sekolah kami. Bagi dua pasang lagi, salah seorang dari pengantin itu adalah dari sekolah kami.

Idea membuat kenduri itu lebih semarak lagi apabila keputusan PMR 2008 sangat memberangsangkan. Satu sejarah telah tercipta bagi Sekolah Harian di Luar Bandar mencapai bilangan 8A yang agak ramai. Tidak pernah ternukil kejayaan sebegini hebat sebelum ini. Apabila keputusan SPM diumumkan sekali lagi pihak sekolah memperoleh kejayaan cemerlang. Oleh kejayaan itu wajarlah keraian dibuat. Kegembiraan dikongsi bersama.

Di majlis ini kita mengundang ibubapa murid yang berjaya. Kita juga mengundang keluarga pengantin yang terlibat dan juga beberapa orang mantan Pengetua sekolah ini turut hadir. Memang meriah sambutan dengan paluan kompang dan bunga manggar, hiasan pelamin yang indah. Dalam hal ini pujian wajar diberikan kepada semua petugas dan pekerja termasuk bapa kepada salah seorang pengantin yang membantu memasak gulai kawah untuk jamuan ini. Inilah indahnya kerjasama. Sekian enteri kali ini. TK