Mei 2009


Pada 15 Mei 2009, aku menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) mengarahkan aku agar menghadiri satu seminar bertajuk “Seminar Pedagogy – Rejuvenating The Passion for Teaching” yang diadakan bermula hari ini (26 Mei hingga 28 Mei) bertempat di Hotel De Palma Ampang, Selangor.

Mengenangkan tarikh aku akan bersara sudah hampir, sepatutnya aku perlu duduk di sekolah sahaja menantikan tarikh itu tiba. Walau pun begitu, aku tetap patuh kepada arahan seperti yang selalu tertera diakhir surat “Saya yang menurut perintah”. Aku akan pergi juga menghadiri seminar tersebut. Sudah tentulah tujuan aku ke seminar itu akan menjadi berbagai. Aku mengambil kesempatan dari kehadiran aku untuk berjumpa rakan-rakan yang selalu bersama untuk melaksanakan aktiviti JPNP terutama dalam bidang Sains dan Matematik. Aku pasti ramai daripada rakan-rakan aku ini akan hadir berdasarkan nama-nama mereka yang tertera dalam senarai yang dikirim bersama dengan surat arahan daripada JPNP itu. Ramai rakan pasti akan datang kerana tiga hari yang ditetapkan itu termasuk dalam musim peperiksaan pertengahan tahun. Buat masa ini P&P tidak dilaksanakan kerana murid sedang menghadapi peperiksaan pertengahan tahun.

Aku juga pasti bahawa aku akan mendapat tambahan ilmu pengetahuan daripada seminar ini walaupun aku pasti hasil seminar ini tidak dapat aku applikasikan didalam bilik darjah semasa P&P. Aku masih boleh manfaatkan hasil seminar ini dengan membuat penataran atau berkongsi dengan rakan-rakan guru yang tidak dipelawa keseminar itu. Dalam hal perkongsian ilmu ini aku pasti masih ada kesempatan. 

Insya Allah memang banyak kesempatan bagi aku untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan guru. Ruang dan peluang sentiasa terbuka luas. Selepas bersara pun aku masih ada kesempatan. Pertama, kalau ada yang meminta aku menyampaikan ceramah untuk para guru aku boleh sampaikan bahan-bahan yang aku dapat. Kedua, aku boleh tulis bahan-bahan seminar itu dalam blog ini bagi dikongsi dengan lebih ramai pembaca dan audience.

Sebenarnya aku selalu juga dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada rakan-rakan guru terutama berkaitan dengan pedagogi dan juga pentaksiran. Dalam hal menyampaikan ceramah ini aku lebih suka menyampaikan ceramah kepada para guru berbanding menyampaikan ceramah kepada murid-murid. Sekiranya aku sampaikan ceramah kepada guru, guru yang mendapat sedikit pengetahuan itu boleh kembangkan pengetahuan itu kepada ramai murid-muridnya tetapi kalau aku sampaikan ceramah kepada murid, pengetahuan itu sekadar digunakan oleh murid itu sahaja.  Oleh itu menyampaikan ceramah atau berkongsi pengetahuan dengan rakan guru lebih besar kesannya atau berpotensi untuk mendapat kesan berganda. Untuk murid kesempatan yang ada hanya kepada mereka yang aku ajar dalam kelas sahaja. Walaupun adakalanya sekolah lain menjemput aku untuk berceramah kepada murid-murid sekolah mereka.

Sekian entri kali ini, TK

Buat masa ini aku rasakan sukar sungguh untuk memujuk anak-anak murid agar belajar. Pada masa aku mula-mula mengajar dahulu (1977) murid yang aku ajar mudah menerima nasihat. Pada masa itu kalau aku menyebut kesusahan yang dihadapi oleh ibubapa mereka untuk menyara kehidupan, ramai yang tersedar dari lamunan dan seterusnya akan mula berusaha untuk membaiki kehidupan masa depan mereka. Mereka mula sedar untuk berusaha.

Kesukaran memujuk anak murid untuk belajar boleh aku gambarkan dengan sikap mereka yang tidak bersegera dalam bertindak setelah diingatkan bahawa masa sudah tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk mereka menghapi SPM. Seingat aku, aku telah mengingatkan setiap kelas Tingkatan Lima agar mereka menyiapkan nota bagi setiap mata pelajaran yang diambil untuk peperiksaan. Peringatan itu aku buat setiap awal bulan bermula Januari tahun ini sehingga bulan Mei. Tetapi bila diminta nota untuk ditengok tak sampai sesuku yang ada nota. Itu pun tak berapa siap. Aku juga tak lupa ingatkan setiap murid untuk membuat jadual waktu belajar dan mengikuti jadual itu setiap hari dan seboleh-bolehnya mendisiplinkan diri dalam pengurusan masa. Perkara yang ketiga ialah berusaha membuat kumpulan perbincangan bagi berusaha untuk bersama-sama mengulangkaji. Perkara keempat pula ialah cuba memahami kehendak-kehendak soalan bagi setiap mata pelajaran atau mengetahui konstruk soalan yang terlibat dalam peperiksaan.

Apa yang lebih parah lagi ialah ramai yang berlumba-lumba untuk tidur diwaktu peperiksaan. Kalau yang tidur itu murid-murid yang nakal, itu mungkin boleh difahami, tetapi yang tidur itu ada dikalangan pengawas sekolah. Apa yang melucukan ialah mereka tidur itu sehingga meleleh air liur basi. Memang aku akui sangat sukar untuk memujuk anak-anak murid aku zaman ini untuk belajar. Anak murid zaman ini lambat atau kurang sedar pada masa depan mereka.

Perkara ini terjadi mungkin disebabkan aku tak pandai mengajar.  Tetapi kalau ini hujahnya mengapa guru lain menghadapi masalah yang hampir sama.  Aku pula bukan sebarangan guru kerana aku telah diiktiraf oleh Jemaah Nazir Sekolah sebagai Guru Cemerlang semenjak tahun 2001. Oleh itu bolehlah dirumuskan bahawa keadaan ini berlaku akibat dari murid itu sendiri. 

Membawa hujah kelemahan murid dalam hal ini merupakan sesuatu yang taboo kepada setengah pentadbir sekolah. Para pentadbir tetap menyalahkan guru dalam hal seperti ini. Macamlah para pentadbir itu hebat sangat sewaktu mengajar.  Apabila para pentadbir mengambil sikap tidak mahu melihat kelemahan murid dan sentiasa menunding kelemahan kepada guru maka masalah yang dihadapi tidak cuba untuk selesaikan. Masalah ada pada murid sebaliknya guru yang disalahkan.

Sewajarnya apabila kelemahan itu ada pada murid maka usaha untuk menyelesaikan masalah hendaklah ditumpukan kepada murid, jalan penyelesaian dibuat keatas murid. Bukan menunding guru diatas kelemahan itu.  Ini menunjukkan para pentadbir sendiri menghadapi masalah tak sedar atau kurang sedar kepada masalah yang dihadapi.

Aku juga ingin nukilkan pengalaman menyedarkan murid-muridku dua puluh tahun dahulu. Disuatu awal pagi aku meminta murid-muridku mengingatkan dimanakah ibubapa mereka berada pada waktu itu. Aku memerhatikan setiap orang murid dihadapan aku. Sambil itu aku cuba gambarkan dimana ibubapa mereka berada. “Ada yang kini sedang terbongkok-bongkok menarik pisau toreh, ada yang sedang merempuh semak samun dalam kebun getah, ada yang sedang menghayun parang sedang menebas, ada yang menanam anak-anak padi atau mencabut benih padi dari tapak semaian, ada yang sedang bermain lumpur sembil mencangkul bendang, ada yang sedang mengayam tikar diserambi rumah, ada pula sedang menyusu anak atau ada yang sedang memasang taut.”

Ketika itu aku nampak ada anak murid yang sedang mengesat air mata, ada juga mata mereka tergenang dengan air dan ramai yang tunduk tersedar. Aku pula mula menyusun nasihat untuk mereka ambil manfaat. Memang tak sukar untuk menydarkan anak murid ketika itu. Apabila ada kesedaran dalam diri anak murid maka mudahlah diatur dan disusun usaha untuk mengheret mereka kearah jaya.

Bagi murid waktu ini, disinilah benteng kukuh yang perlu ditembusi agar anak murid dapat sedar untuk memula usaha bengi menempuh jaya. Tapi aku tak berjaya untuk menyedarkan mereka. Mungkin ada orang yang lebih hebat atau ada cara tertentu untuk sedarkan siapakah mereka. Sekian enteri. TK.

Keceriaan yang perlu diwujudkan dipersekitaran sekolah bertujuan untuk menghasilkan persekitaran yang kondusif kepada pembelajaran. Suasana persekitaran yang kondusif di sekitar sekolah diharapkan dapat menggamit kesungguhan dikalangan murid-murid untuk membantu mereka mengutamakan pembelajaran. Peruntukan kewangan untuk membentuk keceriaan kadang kala sangat besar. Peruntukan masa dan tenaga juga besar. Adakah cerianya sekolah boleh menggerakkan murid untuk bersungguh-sungguh belajar?

Persoalannya, adakah benar apabila wujud keceriaan yang hebat di sekolah akan menggerakkan masyarakat murid disekolah bersungguh-sungguh untuk belajar? Mungkinkan meningkatkan keceriaan sekolah secara berlebihan itu merupakan satu metos sahaja dalam peningkatan pencapaian akademik dikalangan murid-murid disesebuah sekolah?

Enteri kali ini akan cuba membincangkan kesan mengusahakan keadaan kondusif dipersekitaran sekolah dari sudut perubahan sikap murid-murid untuk mengutamakan pembelajaran. Apakah sebenarnya yang patut diwujudkan supaya keadaan kondusif kepada pembelajaran terzahir dipersekitaran sekolah?

Aku lebih suka menumpukan kepada perubahan sikap murid dalam mengwujudkan suasana kondusif kepada pembelajaran. Bagi aku mengadakan keceriaan belum tentu dapat terzahirnya susana kondusif bagi meningkatkan pembelajaran.

Sekiranya kita sedar bahawa sikap murid yang menjadi tumpuan, maka kita wajar memberikan fokus kepada empat perkara, pertama: peningkatan pengetahuan bagi menyedarkan murid. Kedua, mengwujudkan keyakinan yang betul kepada potensi diri setiap murid. Ketiga, menggerakkan motivasi diri murid secara berterusan dan keempat, mengwujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembelajaran.

Peningkatan pengetahuan untuk kesedaran. Maklumat dan pengetahuan hendaklah sentiasa disampaikan oleh pengurus sekolah dan para guru kepada murid-murid. Maklumat yang sewajarnya diwar-warkan ialah tentang bagaimana seseorang murid boleh berjaya dengan membawa contoh-contoh terkini. Umpamanya guru-guru perlu membaca bagaimana Siti Fatimah Mokhtar (18 A – SPM 2006, anak orang kaya boleh berjaya) atau bagaimana Nik Nur Madihah (20 A – SPM 2008, anak orang miskin boleh berjaya). Orang kaya boleh berjaya, orang miskin boleh berjaya. Guru-guru perlu membuat environmental scanning tentang keadaan murid-murid mereka bagai menyesuaikan contoh yang dipilih dengan keadaan mereka.

Pengetahuan tentang pencapaian rakan-rakan senior yang berjaya disekolah itu perlu dimaklumkan kepada semua murid. Kaunselor boleh menjemput murid yang berjaya dari sekolah untuk berbicara dengan adik-adik yang akan menghadapi peperiksaan. Peluang yang tersedia disekolah seperti kelas tambahan, kumpulan guru yang sedia membantu dan lain-lain keadaan yang merangsang perubahan sikap perlu dimaklumkan juga kepada setiap murid.

Setiap murid perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam aspek kemahiran belajar. Setiap murid perlu dilatih dengan cara membuat jadual untuk mengurus masa, membuat nota sebagai persediaan kepada pentaksiran, mempunyai kemahiran sosial yang perlu digunakan dalam pembelajaran dan beberapa kemahiran yang berkait dengan pembelajaran. 

Keyakinan kepada potensi diri. Kaunselor dan para guru prihatin hendaklah sentiasa mencungkil potensi murid, baik yang agak pandai atau tak berapa pandai. Setiap murid ada kelebihan masing-masing.  Lakukan ujian-ujian mengenal potensi bagi setiap murid agar mereka dapat dibantu seoptimum mungkin. Salah satu potensi besar yang ada pada setiap murid ialah kemampuan berkata-kata (bercakap). Potensi ini hendaklah dikembangkan agar dapat digunakan bagi membangun kebolehan belajar yang berkesan dengan menggalakkan terbentuknya kumpulan perbincangan. Jadikan polisi sekolah bahawa setiap murid hendaklah menganggotai satu kumpulan perbincangan. Pihak pengurusan sekolah hendaklah mempastikan polisi ini terbina dipersekitaran sekolah secara bersungguh-sungguh, terarah, dan konsisten serta  sentiasa dipantau secara sistematik. Setiap murid perlu dibimbing untuk mengetahui potensi dirinya secara eksplisit dan bagaimana potensi itu dapat dibangunkan.

Menggerakkan motivasi berterusan. Kesedaran murid serta kesungguhan murid sentiasa ada pasang dan surut. Oleh itu motivasi perlu dilakukan sepanjang masa.  Dalam perkara ini setiap guru wajar berkemahiran dalam usaha memotivasi murid. Idea menjemput pakar motivasi yang berbayar mahal dari luar sekolah merupakan idea yang tidak berapa tepat. Para gurulah manusia yang paling sesuai untuk menyampaikan motivasi kepada muridnya. Sayangnya idea ini selalunya dipandang sinis oleh ramai orang. Dalih yang biasa ialah “Bomoh tempatan tidak mujarab berbanding bomoh luar” atau “Orang luar lebih berkesan daripada orang setempat”. Pandangan-pandangan ini merupakan metos yang tidak ada bukti emprikal, ianya sekadar agak-agak atau ikut-ikut cakap orang sahaja. Tiada bukti secara penyelidikan. Bukankah guru adalah insan yang tahu kekuatan dan kelemahan muridnya sendiri. Hanya yang kurang ialah guru tidak diberi peluang dan digilap kehebatan mereka dalam memberi motivasi. Lebihnya ialah guru sentiasa mendampingi muridnya sepanjang masa. Pakar motivasi datang sekali sekala dan hanya membawa stail umum. Untuk tambahan, para ibubapa boleh juga dibawa bersama dalam program motivasi ini. Mana-mana ibubapa yang berkebolehan dalam perkara ini boleh dijemput menyumbang.

Mengwujudkan persekitaran kondusif untuk pembelajaran. Disinilah peranan kondusif beroperasi. Sewajarnya suasana pembelajaran wujud dimana-mana dalam kawasan sekolah. Kumpulan perbincangan sentiasa beroperasi disetiap waktu senggang. Bentuk-bentuk halaqah, usrah dan perbincangan difahami kaedah dan perjalanannya oleh semua pihak baik para guru apatah lagi murid-murid. Kemahiran berbincang menjadi budaya sekolah dan dihayati pelaksanaannya.  Latihan berbincang dengan segala tekniknya boleh dibuat dalam P&P. Dalam hal ini semua guru mata pelajaran perlu mempunyai kemahiran untuk melatih murid dalam aktiviti berbincang.  Wakaf, pondok sumber, teduhan pokok  merupakan medan tempat berlakunya gerakan yang dinyatakan seperti diatas.

Pembelajaran akses kendiri (self access learning) merupakan satu budaya yang dominan dalam persekitaran sekolah.  Perpustakaan berperanan menyediakan tempat dan bahan untuk murid-murid mencari bahan dan memperkayakan pengetahuan mereka. Guru menjadi tempat rujukan. Murid sentiasa mencari guru untuk ditanya dan mendapat bantuan dalam memantapkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran. Peranan guru bukan sekadar menjadi orang yang mengajar tetapi sebagai sember yang luas pengetahuan dan pengalaman. Guru adalah buku teks yang berjalan atau mungkin kamus yang sentiasa membantu semua murid. Suasana kondusif menggerakkan para guru sentiasa mengemaskini pengetahuan, kefahaman dan kemahiran.

Nilai peningkatan keilmuan dikalangan semua warga sekolah sentiasa ditingkatkan. Tiada insan di dalam kawasan sekolah yang ketinggalan dalam peningkatan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran. Suasana persekitaran betul-betul merangsang peningkatan ilmu. Kalau peringkat ini tercapai barulah kewujudan keindahan persekitaran dapat membantu merangsang kesungguhan usaha dikalangan murid-murid. Kalau tidak keceriaan sekadar usaha yang meletihkan. Sekian entri ini. TK

Kelas 5KM2 ialah salah satu nama kelas tingkatan lima yang terdapat di sekolah aku. Pada tahun 2008  salah seorang dari murid kelas itu telah menjadi antara murid terbaik dalam SPM. Kelas ini adalah kelas aliran kemanusiaan atau kalau dibandingkan dengan zaman aku belajar dahulu ia samalah dengan kelas aliran sastera.

Tahun ini kelas ini dihuni oleh 24 orang murid. 13 lelaki dan 11 prempuan.  Daripada 13 lelaki itu lapan orang murid India dari Ladang Selborne dan lima lagi adalah murid Melayu. 11 murid perempuan semuanya Melayu.

Perangai: Lima hero Melayu ini ada mempunyai perangai yang agak pelik. Jarang aku jumpa perangai murid sebegini sepanjang 32 tahun aku mengajar. Waktu aku mengajar atau guru lain mengajar mereka tak pandang ke cikgu, tak salin nota, buku teks pun tak ada, kertas nak ditulis kalau ada pun akan lusuh hasil usapan sepanjang waktu belajar. Pen atau pensil tak ada. Datang ke sekolah bawa badan sahaja. Bila di soal sudah pasti jawapannya sekadar sengih atau dia bertanya kawan-kawan yang seangkatan dengannya untuk bantu tetapi akhirnya senyum sahaja. Kadang-kadang kalau mereka beri jawapan, jawapannya menyakitkan hati pendengar sahaja.

Dari lapan murid India, hanya seorang yang minat belajar. Murid ini ada harapan untuk berjaya. Malangnya dia kuat dipengaruhi oleh tujuh lagi murid India yang punyai berbagai kegilaan. Ada yang sedikit kegilaannya ada yang banyak kegilaan. Perangai yang paling gila ialah suka buka buku teks di mana-mana muka surat dan bertanya guru berdasarkan gambar atau rajah yang ada semasa guru mengajar. Kalau diberitahu bahawa perkara itu akan dipelajari lambat lagi dia akan buka pula muka surat lain yang semangnya akan dipelajari dalam bulan Jun atau Julai akan datang. Begitulah setiap waktu belajar. Kegilaan lain ialah suka menyanyi lagi Tamil semasa guru sedang mengajar, menghentak-hentakkan kaki, memulas-mulaskan jari jemari, menggeleng-gelengkann atau anguk-angukkan kepala,  dan berbagai aksi yang kadang-kadang menyebabkan aku rasa lucu atau rimas.

11 orang puteri Melayu juga ada berbagai perangai yang biasa-biasa.  Ada yang suka berleter, ada yang suka berhias, ada yang lambat guru mengajar sahaja dia terus tidur, ada yang sangat pendiam, ada bermulut becuk, ada yang sangat sibuk terutama kalau ada apa-apa program dibuat disekolah dan ada yang bercakap ikut suka dia, macam tak sayang mulut. Walau bagaimana pun ada juga yang sangat memberikan perhatian waktu guru mengajar. Murid kumpulan ini insya Allah ada harapan untuk berjaya. 

Sekarang, bermula 14 Mei hingga 29 Mei ialah peperiksaan setengah tahun. Kedatangan akan penuh waktu periksa. Waktu P&P selalunya ramai yang tidak hadir. Sememangnya keadaan di sekolah aku ini waktu tak periksa kedatangan hanya 85% sahaja, waktu peperiksaan kedatangan akan mencapai 99%. Lima hero Melayu di atas antara yang jarang ada dalam kelas waktu P&P. Daripada lima itu kalau ada tiga pada sesuatu waktu sudah kira sangat baik.

Saja aku rekodkan dibawah ini aksi kelas 5KM2 waktu ujian Matematik Kertas 1. Dari jam 10.55 hingga 12.10, hari Jumaat (15 Mei 2009). Jam 10.50 aku masuk kelas. Hanya ada beberapa orang murid. Aku menyusun kertas soalan dan kertas jawapan untuk diedarkan kepada murid yang ada. Aku agih-agihkan kertas jawapan objektif kepada mereka yang ada dalam kelas sambil mengarahkan agar mereka duduk ditempat masing-masing. Kemudian aku edarkan pula kertas soalan. Tepat jam 10.55 pagi, aku minta mereka mula menjawab. Bagi yang hadir ketika itu tiada yang menunjukkan rasa kesegeraan untuk menjawab. Wajah sambil lewa dipertontonkan.

Selang bebera minit masuklah segrombolan puteri-puteri Melayu dengan lengang lengok masuk ke kelas. Mulut masih mengunyah makanan dan ditangan ada air kotak. Tak sempat agaknya masa 30 minit rihat untuk menyudahkan makanan. Betullah saranan Nik Nur Madihah (Murid yang mendapat 20A, SPM 2009), bahawa kalau puasa banyak masa untuk belajar akan dapat diselamatkan. Mereka terpaksa mengadap aku seorang demi seorang untuk mengambil soalan dan kertas jawapan. Ada yang takut-takut, ada yang tersengih, ada yang terkonjong mulut takut makanan tersembur dan ada yang minta maaf kerana lewat masuk kelas.

Selepas itu masuk pula seorang demi seorang hero India. Ada berjalan terjungkit-jungkit. Ada yang terhiling-hiling. Ada yang masuk terhenjut-henjut. Mereka seorang demi seorang mengadap aku untuk mendapatkan kertas jawapan objektif serta kertas soalan. Sampai di meja masing-masing berlaku pula berbagai aksi. Tertelek dan tertenung, terhiling dan terhangguk mencari dan mencari pen, pensil serta pemadam. Ada yang bertanya rakan dalam bahasa Tamil (aku pun tak faham). Setelah pencarian selesai mereka duduk diam dan memulakan kerja menjawab kertas 1, Matematik. Sebenarnya seorang murid India sudah ada dalam kelas sejak awal lagi.

Setelah 10 minit berlalu barulah kelibat lima hero Melayu masuk kekelas. Dua orang bawa air botol. Seperti yang lain, seorang demi seorang mengadap aku untuk mendapatkan kertas jawapan objektif dan kertas soalan. Masa nak duduk di meja masing-masing, mulalah mencari pen dan pensil. Meminta pensil dari rakan perempuan. Bahasa kasar dan tak sopan digunakan sewaktu meminta pensil. Agaknya inilah adap yang tertanam dalam diri mereka. Sebenarnya aku dah lama tegur perkara ini, tetapi aku dah hilang gaya dan bahasa untuk membetulkan keadaan. Aku pun dah naik malas.

Setelah 20 minit berlalu (11.15 pagi), aku perhatikan seorang demi seorang, melihat-lihat aksi dan perangai anak-anak muridku yang sedang menghadapi Matematik Kertas 1. Semasa ujian kertas objektif, keadaan tidak kritikal kerana murid boleh menjawab semua soalan. Tanda ajelah A, B, C atau D di setiap soalan. Tak perlu tengok soalan pun mereka boleh jawab.

Dikalangan murid-murid aku ini ada yang sudah tidur. Tujuh murid India sudah melabuhkan kepala mereka ke atas meja. Ada yang berdengkur sikit-sikit. Nyenyak sungguh tidurnya waktu Matematik. Aku pergi lihat pada kertas jawapan, belum bersentuh lagi. Tak pe ada masa lagi.  Ada yang tatap kertas soalan dari muka hadapan ke muka belakang dan kembali ke hadapan semula, jawapan tak jumpa lagi, mungkin selepas ini akan terbitlah jawapan di atas kertas objektif. Ada yang panjang-panjangkan leher, jenguk-jenguk jawapan kawan sebelah. Buat apa meniru, yang ditiru pun buat jawapan salah.

Satu aksi lagi ialah memicit-micit kalkulator, jawapan tak jumpa juga. Entah apa yang dipicit. Ada yang bongkok-bongkok dan pusing-pusing, entah apa yang dicari dan diintai. Ada yang kepit-kepit jari dan dicelah jari ada pensil sambil pensil dihentak-hentak bontotnya.

Hero Melayu yang seorang, mengedik-gedik kaki sambil mulut terkumak-kamik seolah-olah sedang menyanyi. Ramai yang garu-garu kepala sambil berpusing-pusing ke kanan dan ke kiri. Nasib baik waktu itu tiada yang buat bising.

Aku bangun dari kerusi guru dan berjalan ke belakang kelas, melintasi beberapa orang murid perempuan, ada yang sudah nyenyak tidur. Ada yang serious cuba menjawab. jawapan yang di tandakan aku kira betul. Syabas!! Bila aku lalu berhampiran mereka ada yang sengaja tutup-tutupkan kertas jawapan, macamlah aku nak tiru mereka. Perjalanan balik ke meja guru aku lalu dekat hero Melayu. Seorang jejaka mengusap-usap kertas, kertas itu dah lusuh dan sudah koyak akibat basah, kesan dari tumpahan air botol. Ada aksi yang tak boleh aku ungkap dengan kata-kata. Itu kelemahan aku dalam berbahasa.

Pukul 11.35 pagi. Tiba-tiba seorang hero Melayu minta nak ke tandas. Tak tahan dah, nak terkencing. Baru 40 minit masa ujian berlalu dah tak tahan menangung kandungan kantung kencing. Oh, rupanya dia salah seorang yang bawa masuk air botol. Aku beritahu dia, peraturan sekolah menyatakan bahawa murid tak boleh keluar 1 waktu selepas rihat dan 1 waktu sebelum akhir persekolahan. Hari ini hari Jumaat. Ada dua waktu sahaja selepas rihat. Satu waktu selepas rihat dan 1 waktu sebelum balik. Jadi kalau ikut peraturan itu dia tak boleh keluar. Dia minta sangat-sangat nak keluar juga, dah tak tahan katanya. Siap ugut lagi, kalau tak bagi keluar ke tandas dia nak kencing dalam kelas. Saya kata SILAKAN. Akhirnya dia minta juga dan saya benarkan tetapi dalam masa lima minit mesti sampai balik ke kelas. Dia keluar dan dia boleh buat dalam masa yang diberikan. Murid Melayu ni kalau keadaan tersepit seperti ini boleh juga dibentuk perangainya.

11.50 pagi. Hero India mengedarkan chewing gum sesama dia setelah terjaga dari tidur apabila aku memaklumkan bahawa masa tinggal 20 minit sahaja lagi.  Selepas mendapat bekalan chewing gum, empat hero India mula meletakkan kepala ke meja, sambil mengunyah. Saling tak tumpah seperti kambing sedang mengunyah rumput waktu santai (menggugu). Empat yang lain sebuklah menanda jawapan dikertas objektif. Sebenarnya seorang murid India memang konsisten dari awal lagi menjawab soalan. Murid ini berpotensi untuk berjaya dalam SPM.

12.05 tengah hari. Majoriti sudah resah nak keluar. Aku minta mereka tunggu lima minit sahaja lagi. Apabila aku minta murid dibelakang sekali bangun untuk pungut kertas jawapan dan soalan, kelas mula bising. Aku minta yang lain duduk sehingga semua kertas diserah kepada aku. Setelah selesai aku lepaskan mereka balik. Sekali lagi perangai kambing keluar reban dipertontonkan kepada aku. Itulah murid aku 24 orang dari kelas 5KM2.

Aku buat enteri ini sebenarnya untuk meminta para pembaca yang pernah menjadi MURID agar dapat membandingkan gambaran ini dengan zaman pembaca menjadi murid dahulu. Enteri ini juga dibuat sempena menyambut Hari Guru. Enteri ini merupakan enteri terpanjang yang pernah aku buat. (1418 perkataan)

Kepada semua yang bergelar guru atau cikgu aku ucapkan SELAMAT HARI GURU.

Aku membilang minggu, menantikan saat untuk bersara wajib. Hari Isnin (11/5/2009) pukul 8.30 pagi aku naik ke Pejabat Sekolah. Ketua Kerani panggil aku ke biliknya. Aku diberikan satu dokumen dalam sebuah folder seperti album berwarna merah hati. Aku baca dokumen itu. Rupanya surat Penghargaan Perkhidmatan. Dokumen ini menandakan aku akan bersara wajib tak lama lagi. Ketua Kerani menyimpan semula dokumen itu selepas aku tandatangan akuan menerima. Dokumen itu ditandatangani oleh KPPM, Dato Alimuddin Mohd Dom. Ketua Kerani beri tahu aku bahawa dokumen itu akan diserah secara rasmi pada hari persaraan nanti. Aku tunggu ajelah.. 

Itulah yang akan aku hadapi beberapa minggu akan datang. Apabila sekolah dibuka selepas cuti pertengahan tahun nanti aku akan hanya membilang hari bagi menanti tarikh persaraan. Bila aku membilang bulan, minggu dan hari sebelum bersara ini, rupanya ramai rakan sejawat agak keciwa kerana mereka ditinggalkan ditempat kerja. Tapi masa bagi mereka akan sampai juga. Aku kira cukup dahulu aku bercerita tentang persaraan aku ini. Lain kali cerita lagi.

Walau pun hanya tinggal beberapa minggu bagi aku untuk berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), aku tetap merasakan bahawa tanggungjawab mengajar tetap aku pikul. Setiap hari Isnin dan Selasa aku tetap balik pukul 3.30 petang mengajar mengikut jadual waktu yang ditetapkan. Hari Isnin 2.10 hingga 3.30 petang aku mengajar Sains. Manakala Hari Selasa 2.10 hingga 3.30 petang aku mengajar Biologi. Tidak mengapalah aku balik selewat itu, bukannya lama lagi. Aku kira aku kini tak mampu mendidik lagi, aku hanya mengajar sahaja. Ini adalah kerana nama Kementerian bukan lagi Kementerian Pendidikan tetapi Kementerian Pelajaran. Sebab lain ialah slogan masa kini Guru Mengajar dan Murid Belajar. Konsep didik sudah hilang sedikit demi sedikit dari sekolah. Begitu juga kesan DIDIK, beransur-ansur hilang.

Antara Ajar dan Didik terdapat perbezaan yang besar. Bagi aku AJAR hanyalah pemindahan pengetahuan, kefahaman dan mungkin sikap dari buku dan guru kepada murid. Kalau didik pula ialah pemindahan pengetahuan, kefahaman, sikap dan nilai sehingga membentuk seseorang itu insan yang berilmu. Insan yang berilmu ialah insan yang menunjukkan perubahan tingkahlaku yang menjadikannya bertambah baik setelah mendapat didikan. Memang terdapat perbezaan yang besar antara konsep ajar dan konsep didik. Makhluk seperti anjing, kucing, burung kakak tua, monyek, kera dan beruk boleh diajar. Binatang ini akan mengikut dan meniru apa yang diajar secara berulang-ulang tetapi apa yang ditiru dan diikut itu tidak membentuk nilai dalam dirinya. Malah makhluk-makhluk ini tak faham pun apa yang dituturkan olehnya. Ini adalah kerana makhluk ini tak boleh berfikir. Makhluk yang disebutkan ini tidak boleh dididik. Pendidikan ertinya membina pengetahuan, kefahaman, sikap dan nilai didalam diri anak didik. Setelah perkara ini dicapai barulah terdapat perubahan tingkahlaku kerana sampainya makna sesuatu dalam diri anak didik. Makhluk yang layak dididik ialah makhluk yang boleh berfikir. Makhluk itu hanya manusia sahaja.

Oleh kerana sekolah sekadar mengajar sahaja maka produk yang terhasil adalah sekadar ada pengetahun, ada kefahaman tetapi tidak membina sikap dan nilai dalam diri pelajar atau murid. Hasilnya ialah ketidak tentuan nilai diamalkan dalam diri produk. Lihatlah apa yang berlaku kini dalam masyarakat. Ada murid yang melawan guru. Ada ibubapa yang tak mengharapkan guru malah mereka memperlekeh para guru. Lepasan sekolah yang sekadar diajar mendatangkan masalah besar kepada masyarakat seperti masalah kerosakan akhlak, rempit, bohsia, meragut dan berbagai masalah sosial yang kita lihat dalam masyarakat masakini. Ilmu sudah tidak lagi dititiskan diinstitusi yang bernama sekolah. Buktinya banyak. Oleh kerana masyarakat mengiakan kewujudan Kementerian Pelajaran maka tak cukup belajar disekolah ibubapa menghantar anak mereka ke Pusat Tusyen. Pusat Tusyen bukan nak mendidik tetapi sekadar mencurahkan pengetahuan dan fakta untuk diguna pakai pada hari peperiksaan. Selepas tamat peperiksaan, pengetahuan itu akan dilupakan. Kewujudan pengetahuan dalam diri murid tidak mengubah sikap dan tidak mendatangkan makna, maka keadaan ini tidak akan membina sikap dan nilai.

Maka kerana keadaan ini, setiap hari berlaku pergaduhan, bertumbuk, gangguan seksual, perlakuan songsang dan berbagai fasad dan maksiat, baik di sekolah atau pun di luar sekolah. Itulah padahnya kalau niat dah tak betul. Apabila namanya Kementerian Pelajaran maka niatnya hanya mementingkan proses AJAR tetapi kalau namanya Kementerian Pendidikan maka niatnya mementingkan proses DIDIK.

Walau pun terdapat ramai rakan-rakan guru yang ingin mendidik di zaman tonggaknya nama KEMENTERIAN PELAJARAN tetapi hasilnya tetap AJAR sahaja. Aku kira ini bertepatan dengan maksud hadis “Sesungguhnya setiap amal itu berdasarkan kepada NIAT”. Oleh kerana Kerajaan Hari ini hendakkan setakat ajar sahaja, maka produknya hanya setakat itu sahaja.  

Sebenarnya tedapat sedikit rasa keciwa dihati ini kerana anak-anak sekolah hari ini sangat berbeza dengan anak sekolah tahun 80′an dan 90′an dahulu. Sikap tak dengar kata dikalangan murid masa kini sangat jelas. Guru sudah tidak menjadi insan yang dihormati dan dihargai. Semakin banyak  program dibuat untuk menghormati guru dan ibubapa semakin kerap sikap kurang ajar dipamirkan oleh murid-murid. Akhirnya aku sendiri dah tak pandai nak buat apa-apa selain daripada masuk kelas dan mengajar. Mengajar pula dalam Bahasa Inggeris, semakin bertambah lagi beberapa masalah dalam pengajaran. Itulah perkara yang sukar ditanggung oleh dhamir insan bernama guru. Sekian TK.

Apakah keutamaan Kerajaan Malaysia terhadap rakyat Malaysia sejak merdeka hingga sekarang? Oleh kerana dasar Kerajaan Malaysia dari dahulu hingga kini adalah kebendaan maka saya membuat rujukan hal keutamaan ini kepada isu-isu yang berkaitan dengan kebendaan.

Modal utama para pemimpin Kerajaan Malaysia (Perikatan dan BN) ialah pembangunan kebendaan. Itulah yang mereka canang kehulu dan kehilir terutama masa kempen pilihanraya. Macam pemangunan itu mereka yang membayar ongkosnya. Malah ada pemimpin menuduh rakyat tidak bersyukur kepada kepimpinan mereka yang telah banyak membuat pembangunan kebendaan kepada rakyat.

Pertama: Wajarlah kita memahami tentang konsep syukur. Sebenarnya tiada syukur kepada manusia. Syukur adalah hanya untuk Allah SWT yang Maha Pencipta. Kepada sesama manusia cukup mengucapkan terima kasih sahaja.

Kedua: Sepatutnya bukan rakyat yang mengucapkan terima kasih kepada pemimpin tetapi pemimpinlah yang septutnya berterima kasih kepada rakyat pengundi. Pengundilah yang mengangkat mereka menjadi pemimpin. Kalau rakyat tak bagi undi kepada mereka tak merasalah mereka menjadi pemimpin.

Dakwaan para pemimpin yang mengatakan bahawa mereka yang membawa pembangunan sebenarnya mereka itu sekadar menjalankan tanggung jawab sebagai pemimpin yang diberi kesempatan menjadi pemimpin melalui undi rakyat. Kalau pun ada peruntukan wang ribuan dan jutaan ringgit bagi pembangunan kebendaan itu, wang itu bukan datang dari kocek pempimpin tetapi wang itu ialah wang rakyat. Mereka pemimpin hanya sekadar menguruskan tanggung jawab sahaja.

Para pemimpin yang dipilih sememangnya kena berkhidmat untuk rakyat bukan menagih hormat dari rakyat. Konsep ini sukar difahami oleh mereka yang tidak memahami realiti politik secara demokrasi yang sebenarnya. Oleh itu keutamaan adalah pemimpin, khususnya pemimpin politik pemerintah hendaklah berkhidmat kepada rakyat dan bukannya menagih hormat dan ucap syukur dari rakyat.

Berikutan dengan itu, mari kita lihat bagaimana agihan pembangunan dibuat di Negara ini. Kalau sesuatu itu untuk keselesaan orang besar, orang kaya, orang berada dan orang ternama maka itu diberikan keutamaan tetapi kalau hal itu untuk rakyat terbanyak, golongan miskin dan mustadhafin maka ia tidak menjadi keutamaan bagi pemimpin Kerajaan Malaysia masa kini.

Contoh 1: Melihat urusan pengangkutan atau perjalanan. Bagi menyediakan keselesaan golongan atasan, berada, kaya dan orang pangkat besar kerajaan sanggup memberi peruntukan berbellion ringgit. Peruntukannya sentiasa ada. Projek itu siap pada waktu yang ditetapkan. Lihatlah cepatnya siap KLIA berbanding Plaza Rakyat dan Puduraya. Puduraya merupakan stesen yang digunakan oleh rakyat terbanyak, kurang berada dan hidup makan gaji. Bagimanakah perkembangan pembangunan Puduraya dan Plaza Rakyat. Peruntukan untuk Puduraya jauh lebih kecil berbanding KLIA. Plaza Rakyat disebelah Puduraya sudah 12 tahun terbengkalai. Dalam hal ini keselesaan rakyat tidak diberikan keutamaan. Keutamaan adalah untuk orang kaya, orang besar dan orang berada. Dalam mencari jawapan kepada isu keutamaan ini kita boleh bandingkan LCCT dengan KLIA. LCCT sentiasa sibuk dan banyak digunakan oleh rakyat terbanyak sebaliknya KLIA digunakan oleh orang-orang yang kemampuan kewangannya tinggi. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah keutamaan adalah  untuk segelintir orang kaya dan bukan untuk keselesaan orang miskin dan tidak berdaya.

Contoh 2: Pembiayaan Pengajian. Kalau hendak belajar keperingkat Ijazah Pertama, anak orang miskin dan kurang berada akan pasti mengambil pinjaman PTPTN. Anak orang kaya tak perlu buat pinjaman PTPTN kerana mereka mampu membiayai yuran pengajian kerana mereka anak orang kaya. Bagi anak orang miskin sudah tentu terpaksa berhutang dengan PTPTN.

PTPTN pula adalah satu badan yang mempraktikkan RIBA kepada peminjang. Dalam hal ini pemimpin negara masakini mahu jadikan rakyat miskin menjadi pemiutang (orang berhutang) sepanjang hayatnya. Oleh kerana semua pemiutang ini melibatkan RIBA makan jelaslah bahawasanya pemimpin masa kini berkhendakkan rakyatnya masuk NERAKA kerana berdosa melalui amalan RIBA.  Inilah jenis pemimpin yang sanggup memimpin setakat keselesaan didunia sahaja dan tidak membantu untuk membolehkan rakyat selesa diakhirat nanti. Dalam hal ini mereka menggalakkan rakyat miskin berkeadaan terus miskin di dunia ini dan sama-sama terjun  kedalam neraka mengikut mereka. Aduhai! Nak cari ilmu (perkara yang digalakkan oleh Islam) pun terpaksa diajak masuk neraka oleh dasar kerajaan masa kini.

Contoh 3: Keselesaan Pembelajaran. Kerajaan masa kini hanya memberi keutamaan kepada kejayaan anak-anak yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa basahan di rumah. Biasanya mereka yang menggunakan BI dirumah adalah anak golongan bangsawan atau orang berada. Maka anak mereka inilah yang akan berjaya dalam pembelajaran Sains dan Matematik yang menggunakan BI sebagai bahasa pengantarnya.  Keutamaan tidak difokuskan kepada anak orang kampung, anak orang miskin dan anak orang stinggan. Untuk kesenimbungan penguasaan Sains dan Teknologi bagi anak-anak orang besar dan berada maka PPSMI dilaksanakan. Maka anak-anak orang miskin akan sukar untuk menapak kejayaan melalui pembelajaran Sains dan Teknologi oleh halangan bahasa perantaraanya, BI. Kedegilan para pemimpin masakini dari memansuhkan PPSMI merupakan indikator bahawa golongan ini membuli rakyat miskin, membuli orang kampung yang memilih mereka sebagai pemimpin. Rakyat bagi bunga, pemimpin jenis ini pula balas rakyat dengan taik.

Kesimpulannya: Sesungguhnya kerajaan masa kini adalah pembuli rakyat. Keutamaan mereka adalah keselesaan untuk mereka sahaja dan bukan untuk rakyat. Pemimpin ini suka rakyat bodoh agar mudah diperkotak-katikkan secara berluas-luasa melalui media massa yang mereka juga kawal selia. Sekian TK.

Hasrat aku kali ini adalah untuk membincangkan tentang bagaimana memasyarakatkan pengetahuan dan kefahaman tentang sesuatu perkara kepada semua manusia tak kira lapisan dan kedudukannya dalam masyarakat. Dalam istilah pendidikan disebut sebagai Pendemokrasian Pendidikan. Jadi aku nak bincang hal ini ikut kefahaman aku. Bukan ikut kefahaman orang lain.

Pendidikan berkait dengan bahasa. Pendidikan juga berkait dengan kuasa. Pertembungan antara kuasa dan bahasa dalam urusan pendidikan menyebabkan kita hura hara. Ini yang sedang berlaku buat masa kini di bumi tercinta, negaraku Malaysia. Sebelum aku membuat huraian panjang lebar baik aku sorot pengalaman orang lain tentang hal bahasa ini.

Hasrat Orang Maori di NZ. Di New Zealand orang Maori dikira sebagai peribumi negara itu. Jumlah mereka tidak ramai. Tak sampai pun satu juta. Hanya 10% dari penduduk New Zealand yang berjumlah 4 juta. Mereka berhasrat untuk memasyarakatkan ilmu pengetahuan moden kepada seluruh penduduk New Zealand yang berbangsa Maori.  

Dalam mengusahakan cita-cita ini orang Maori memastikan ilmu Sains dan Teknologi dipelajari dalam bahasa Maori. Hujah mereka sangat simple atau mudah, mungkin hujah begini dianggap remeh oleh pemimpin Melayu di Malaysia ini. Mereka berpendapat, kalau seorang Doktor perubatan merawat pesakit biarlah Doktor tersebut dapat menerangkan hal penyakit itu dalam bahasa Maori tanpa menggunakan bahasa Inggeris. Begitu juga kalau menerangkan tentang hal-hal yang berkaitan dengan kejuruteraan atau ICT, orang Maori tetap inginkan penerangan itu dibuat dalam bahasa Maori.

Oleh itu ilmu pengetahuan hendaklah diajar dalam bahasa Maori agar semua yang pandai berbahasa Maori dapat memahami ilmu pengetahuan itu. Dalam bahasa mudah semua lapisan masyarakat Maori akan dapat menguasai ilmu itu. Ketika yang sama sudah tentu mereka boleh berbahasa Inggeris. Itulah sebabnya mengapa kertas peperiksaan di New Zealand dicetak dalam dwi bahasa, Bahasa Inggeris dan Maori.  

Dwi Bahasa di United Kingdom. Sudah pastilah orang UK menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka. Ketika yang sama jangan lupa di UK ini terdapat bahasa lain digunakan iaitu Bahasa Wales, Bahasa Irish dan Bahasa Scots. Penutur-penutur Bahasa Wales, Irish dan Scots ingin juga menggunakan bahasa mereka dalam pencarian ilmu pengetahuan moden. Agar bangsa mereka tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan semasa. Oleh yang demikian mereka mengajar Sains dan Teknologi dalam bahasa mereka diperingkat persekolahan. Hasartnya adalah sama dengan orang Maori di NZ , iaitu ilmu pengetahuan dapat dinikmati oleh semua penduduk negara mereka. Itulah sebabnya mengapa soalan ‘A level’ di UK juga dibuat dalam dwi bahasa di negeri Wales, Scotland dan Ireland.

Anihnya kita di Malaysia tiba-tiba nak ajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, sedangkan di negara yang Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi menggunakan bahasa tempatan dalam pengajaran sains dan matematik. Kemudian para penyokong PPSMI ini berhujah dengan hujah-hujah bebal. Seperti ”kita sudah guna banyak wang, maka kita perlu teruskan juga”.  Hujah begini menjadikan bahan ketawa sahaja. Siapa suruh guna wang banyak-banyak itu? Kalau tidak untuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan kepada orang-orang tertentu.

Kalau betul nak menjadikan pemikiran rakyat Malaysia hebat dan sentiasa meningkatkan ilmu, maka ilmu pengetahuan hendaklah disebar luas kepada seluruh rakyat. Merakyatkan ilmu. Bila ilmu dipelajari dalam bahasa pertuturan seharian sudah pastilah ia mudah diterima oleh mereka yang belajar.

Rakyat terbanyak menggunakan Bahasa Melayu bagi pertuturan harian. Oleh itu apa-apa ilmu hendaklah diajar dalam Bahasa Melayu. Sememangnya ada rakyat Malaysia menggunakan BI sebagai bahasa pertuturan dirumah mereka, tetapi jumlahnya tak ramai. Mereka terdiri dari golongan elit dan bangsawan semasa. Mereka berkuasa dalam membuat polisi. Oleh itu mereka membuat polisi yang menguntungkan kaum kerabat dan sahabat handainya. Itulah keadilan bagi mereka, tetapi kezaliman bagi rakyat terbanyak. Akhirnya nanti dalam jangka waktu satu generasi anak-anak merekalah yang akan menjadi cerdik pandai. Anak orang yang bukan penutur harian BI atau yang menggunakan Bahasa Melayu akan ketinggalan. Apakah ini satu grand design kaum penguasa untuk mempastikan penguasaan ilmu adalah untuk lingkungan mereka sahaja. Biarlah anak-anak orang miskin, anak orang kampung terus ketinggalan seperti dizaman penjajah dahulu. Mereka kaum penguasa ingin mengambilalih kuasa penjajahan dibumi sendiri. Itulah hasrat pemuka, penyokong dan pendokong PPSMI.  

Belajar Bahasa Inggeris 11 tahun. Dalam senario persekolahan di Malaysia sepatutnya selepas 11 tahun persekolahan, setiap lepasan tingkatan lima boleh bertutur dalam BI. Kalau PPSMI bertujuan untuk rakyat boleh berkomunikasi dalam BI, maka hasrat ini sangat melencong. Hendak belajar bahasa mesti ikut kaedah bahasa. Kita guna bahasa untuk kuasai ilmu bukan belajar ilmu untuk kuasai bahasa.

Sekiranya selepas 11 tahun belajar masih ramai tak boleh berkomunikasi dalam BI, silapnya ialah pengajaran BI. Oleh itu pihak Kementerian Pelajaran perlu mengubat tempat yang sakit. Apa yang berlaku tempat lain yang sakit diubat ditempat lain. Sakitnya ditelinga, ubat diberikan diperut. Sampai bila sakit telinga tak akan baik. Sakitnya dalam P&P Bahasa Inggeris tetapi pengubatannya dibuat di mata pelajaran Sains dan Matematik. Tuanglah berbilion wang untuk mengubat penyakit BI ini melalui PPSMI sudah pasti wang hanya lebur begitu sahaja. Bahasa Inggeris akan merudum pencapaiannya dan Sains dan Matematik juga akan menggelonsor turun. Yang dikendong berciciran dan yang dikejar tak dapat. Itulah hasil PPSMI

Mereka tiada jati diri Bangsa Sendiri. Kalaulah orang yang berkuasa masa kini hendak menjadikan masyarakat Malaysia menguasai BI, ubatilah P&P Bahasa Inggeris. Kembalikanlah P&P sains dan matematik kedalam bahasa rasmi negara. Kalau anak penguasa tak pandai sains dan matematik hantarlah mereka ke kelas tution sebab golongan elit dan bangsawan semasa banyak duit atau hantarlah mereka ke Sekolah Antarabangsa (International school). Luaskan Sebaran ilmu kepada rakyat terbanyak agar lebih ramai yang berjaya dalam pencarian ilmu pengetahuan. Itulah pendemokrasian pendidikan.

Ingatlah rakyat Malaysia bukan sekadar anak-anak Menteri, atau anak-anak pegawai-pegawai kanan kerajaan tetapi ramainya terdiri daripada anak-anak orang miskin, marhen atau mustadafin. Semua yang berstatus Warganegara layak mendapat pedidikan dan pembelajaran dibumi bertuah ini. Aku kira cukup dahulu sekadar ini. Sekian TK.