Buat masa ini aku rasakan sukar sungguh untuk memujuk anak-anak murid agar belajar. Pada masa aku mula-mula mengajar dahulu (1977) murid yang aku ajar mudah menerima nasihat. Pada masa itu kalau aku menyebut kesusahan yang dihadapi oleh ibubapa mereka untuk menyara kehidupan, ramai yang tersedar dari lamunan dan seterusnya akan mula berusaha untuk membaiki kehidupan masa depan mereka. Mereka mula sedar untuk berusaha.

Kesukaran memujuk anak murid untuk belajar boleh aku gambarkan dengan sikap mereka yang tidak bersegera dalam bertindak setelah diingatkan bahawa masa sudah tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk mereka menghapi SPM. Seingat aku, aku telah mengingatkan setiap kelas Tingkatan Lima agar mereka menyiapkan nota bagi setiap mata pelajaran yang diambil untuk peperiksaan. Peringatan itu aku buat setiap awal bulan bermula Januari tahun ini sehingga bulan Mei. Tetapi bila diminta nota untuk ditengok tak sampai sesuku yang ada nota. Itu pun tak berapa siap. Aku juga tak lupa ingatkan setiap murid untuk membuat jadual waktu belajar dan mengikuti jadual itu setiap hari dan seboleh-bolehnya mendisiplinkan diri dalam pengurusan masa. Perkara yang ketiga ialah berusaha membuat kumpulan perbincangan bagi berusaha untuk bersama-sama mengulangkaji. Perkara keempat pula ialah cuba memahami kehendak-kehendak soalan bagi setiap mata pelajaran atau mengetahui konstruk soalan yang terlibat dalam peperiksaan.

Apa yang lebih parah lagi ialah ramai yang berlumba-lumba untuk tidur diwaktu peperiksaan. Kalau yang tidur itu murid-murid yang nakal, itu mungkin boleh difahami, tetapi yang tidur itu ada dikalangan pengawas sekolah. Apa yang melucukan ialah mereka tidur itu sehingga meleleh air liur basi. Memang aku akui sangat sukar untuk memujuk anak-anak murid aku zaman ini untuk belajar. Anak murid zaman ini lambat atau kurang sedar pada masa depan mereka.

Perkara ini terjadi mungkin disebabkan aku tak pandai mengajar.  Tetapi kalau ini hujahnya mengapa guru lain menghadapi masalah yang hampir sama.  Aku pula bukan sebarangan guru kerana aku telah diiktiraf oleh Jemaah Nazir Sekolah sebagai Guru Cemerlang semenjak tahun 2001. Oleh itu bolehlah dirumuskan bahawa keadaan ini berlaku akibat dari murid itu sendiri. 

Membawa hujah kelemahan murid dalam hal ini merupakan sesuatu yang taboo kepada setengah pentadbir sekolah. Para pentadbir tetap menyalahkan guru dalam hal seperti ini. Macamlah para pentadbir itu hebat sangat sewaktu mengajar.  Apabila para pentadbir mengambil sikap tidak mahu melihat kelemahan murid dan sentiasa menunding kelemahan kepada guru maka masalah yang dihadapi tidak cuba untuk selesaikan. Masalah ada pada murid sebaliknya guru yang disalahkan.

Sewajarnya apabila kelemahan itu ada pada murid maka usaha untuk menyelesaikan masalah hendaklah ditumpukan kepada murid, jalan penyelesaian dibuat keatas murid. Bukan menunding guru diatas kelemahan itu.  Ini menunjukkan para pentadbir sendiri menghadapi masalah tak sedar atau kurang sedar kepada masalah yang dihadapi.

Aku juga ingin nukilkan pengalaman menyedarkan murid-muridku dua puluh tahun dahulu. Disuatu awal pagi aku meminta murid-muridku mengingatkan dimanakah ibubapa mereka berada pada waktu itu. Aku memerhatikan setiap orang murid dihadapan aku. Sambil itu aku cuba gambarkan dimana ibubapa mereka berada. “Ada yang kini sedang terbongkok-bongkok menarik pisau toreh, ada yang sedang merempuh semak samun dalam kebun getah, ada yang sedang menghayun parang sedang menebas, ada yang menanam anak-anak padi atau mencabut benih padi dari tapak semaian, ada yang sedang bermain lumpur sembil mencangkul bendang, ada yang sedang mengayam tikar diserambi rumah, ada pula sedang menyusu anak atau ada yang sedang memasang taut.”

Ketika itu aku nampak ada anak murid yang sedang mengesat air mata, ada juga mata mereka tergenang dengan air dan ramai yang tunduk tersedar. Aku pula mula menyusun nasihat untuk mereka ambil manfaat. Memang tak sukar untuk menydarkan anak murid ketika itu. Apabila ada kesedaran dalam diri anak murid maka mudahlah diatur dan disusun usaha untuk mengheret mereka kearah jaya.

Bagi murid waktu ini, disinilah benteng kukuh yang perlu ditembusi agar anak murid dapat sedar untuk memula usaha bengi menempuh jaya. Tapi aku tak berjaya untuk menyedarkan mereka. Mungkin ada orang yang lebih hebat atau ada cara tertentu untuk sedarkan siapakah mereka. Sekian enteri. TK.