Jun 2009


Esok 1 Julai 2009 ialah hari akhir perkhidmatan.  Aku telah berkhidmat selama 32 tahun satu bulan. Aku mula berkhidmat pada 2 Jun 1977 di SMK Padang Tengku sebagai guru lepasan Diploma Sains dengan Pendidikan, didikan Universiti Pertanian Malaysia. Setelah berkhidmat selama enam tahun, aku menyambung pengajian peringkat Ijazah Pertama di Universiti yang sama (UPM).

Setelah menamatkan pengajian selama dua tahun setengah, aku telah berjaya membawa pulang Ijazah Bacelor Sains (Kepujian) pada tahun 1986. Pada 6 Januari 1986 aku kembali berkhidmat di SMKPT. Setelah berkhidmat di SMKPT selama enam tahun, pada tahun 1992, aku telah ditukarkan ke SMK Sulaiman, Bentung.  Sebenarnya aku tidak minta untuk bertukar tetapi aku ditukarkan dengan entah apa alasan. Ketika itu SMKPT tak cukup guru Sains dan tak cukup guru Bahasa Inggeris. Isteri aku guru BI tetapi dia juga ditukar bersama ke SMK Ketari Bentung. Itulah kesan dari fitnah dan dengki khianat.

Aku memohon agar aku dapat kembali mengajar di Lipis. Sementelahan ketika itu aku sedang membina rumah kediaman di kampung. Alhamdulillah dengan pertolongan seorang guru aku yang menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, aku dapat brtukar ke SMK Sungai Koyan pada 1 Disember 1993. Aku berharap dapat berkhidmat selama lima tahun di SMK Sungai Koyan tetapi Tuan PPD Lipis ketika itu (Dato’ Haji Abdullah Haji Abdul Kadir) menginginkan aku menjalankan tugas sebagai Pengetua di SMK Setia Wangsa, Kuala Lipis. Maka bertukarlah aku dari SMK Sungai Koyan ke SMK Setia Wangsa pada 16 November 1995 setelah berkhidmat selama dua tahun.  Di SMK Sungai Koyan aku bertugas sebagai Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran.  Semasa di SMK Sungai Koyan aku juga diarahkan untuk menangung kerja Pengetua selama sebelas bulan setengah.  

Berkhidmatlah aku di SMK Setia Wangsa selama lima tahun empat bulan sebagai Pengetua.  Di situ aku dapat membuka tingkatan empat (1997) dan lima (1998).  Aku dapat menambah bilangan murid dari 295 orang menjadi 555 orang murid.  Aku sempat melihat penambahan empat bangunan tambahan dan memohon penambahan tapak sekolah dari enam ekar menjadi 12 ekar.

Pada 12 Mac 2001 aku menerima dua pucuk surat penting. Pertama surat arahan pertukaran pengetua dari SMK Setia Wangsa ke SMK Orang Kaya Haji. Surat kedua ialah surat tawaran menjadi Guru Cemerlang DG2. Aku tak tamak tapi aku terima kedua-dua tawaran itu. Oleh itu pada 16 Mac 2001 aku bertukar ke SMK Orang Kaya Haji yang jaraknya hanya dua kilometer sahaja.

Pada 16 Mei 2001 aku menerima surat penempatan Guru Cemerlang.  Aku ditempatkan semula ke SMK Padang Tengku. Di SMKPT aku sempat membuka kelas aliran Sains pada tahun 2002. Dari SMKPT aku dihantar oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk berkursus di AQA England.  Belum sempat aku melihat hasil pengajaran aku dalam kelas Biologi, aku ditukarkan pula ke SBP.  Aku ditempatkan di SEMESTA, Raub.

Aku terpaksa berulang alik sejauh 65 km sehala setiap hari. Akibatnya aku pergi ke Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Plajaran Malaysia memohon agar aku ditempatkan kembali ke Sekolah Menengah Harian Biasa. Atas pertolongan seorang sahabat, aku dapat ditempatkan semula ke SMKPT bermula 16 Jun 2006.

Maka berkhidmatlah aku sehingga ke 1 Julai 2009 sebagai Guru  Cemerlang.  Esok adalah hari terakhir aku berkhidmat sebagai PPP Siswazah. Selepas ini aku menjadi YB atau Yang Bersara. Ramai rakan dan taulan bertanya, nak buat apa bila bersara. Aku menyatakan, banyak kerja yang boleh aku buat setelah bersara. Ada bebera perancangan dalam pertimbangan.  Insya Allah fokus aku kepada pendidikan dan pertanian. Dengan doa dan harapan aku memohon kejayaan dalam apa-apa kerja yang aku lakukan.  Sekian, TK

Hari ini Jumaat (26 Jun 2009). Esok hari Sabtu, sekolah ganti untuk cuti hari Raya Puasa. Sejak sekolah dibuka bagi penggal ke dua  bermula 15 Jun 2009 murid dan terutamanya guru-guru sekolah aku belum bercuti lagi, hata cuti hujung minggu pun tiada cuti. Hujung minggu lepas (20 dan 21 Jun 2009) sebahagian besar murid dan semua guru terlibat dengan perkemahan bersepadu sekolah, manakala sebahagian guru lagi terlibat dengan perayaan hari guru peringkat daerah.  Memang kasihan kepada para guru ini. Tapi pengorbanan seperti ini tidak ramai yang nampak terutama bagi mereka yang tidak bekerja disekolah.

Kadang kala yang menjadikan guru-guru ini tidak ada cuti hujung minggu adalah kerana tabiat pembesar sekolah dan pendidikan daerah yang suka menggunakan waktu hujung minggu untuk menjalankan program-program membesarkan nama atau mencari nama. Makin banyak program untuk gahkan nama semakin hebatlah sekolah tersebut.  Itu satu andaian yang belum dibuktikan betul. Para guru sengaja dikerah dan sifat mereka berbagai. Akibat kerahan itu ada guru yang menentang secara terbuka, ada yang menentang secara senyap tetapi ada juga yang sangat setuju.  Penentang secara terbuka mungkin akan menerima padah sesuatu masa dan ketika nanti.

Apatah lagi kerahan itu semakin selalu dibuat apabila ia disertai dengan ugutan daripada yang berkuasa.  Peliknya yang suka mengerah guru itu seakan-akan terlupa bahawa guru-guru dibawah kelolaan mereka ada anak kecil, ada suami yang baru dinikahi atau ada isteri yang baru sahaja diijab kabulkan. Bagilah peluang untuk mereka bermesra. Bagilah kebebasan untuk mereka membina istana bahagia. Galakkan dan izinkanlah terbinanya baiti jannati

Program yang dibuat bukan sahaja terbatas pada hujung-hujung minggu tetapi juga diwaktu petang hari persekolahan. Waktu kerja sepatutnya lapan jam sehari, tetapi dengan acara-acara petang seperti kelas tambahan, perjumpaan dengan murid, mesyuarat guru, membuatkan masa kerja seorang guru sehingga ketengah malam.  Bukan lapan jam, bukan dua belas jam malah mungkin mencecah sehingga enam belas jam.  Mana masa hendak bermesra dengan seisi keluarga. Kononnya kita menggalakkan konteks masa yang banyak dengan keluarga tetapi rupanya masa kita untuk keluarga dipendekkan oleh kerja yang entah apa-apa.

Sewajarnya kerja utama (core business) ialah mengajar dalam kelas. Kalau diperhitungkan kerja mengajar dalam kelas sudah kurang dari separuh waktu konteks yang dibuat beradasarkan keberadaan seseorang guru yang terlibat dengan kerja-kerja sekolah.  Kemudian bercakaplah tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P).  Bagaimana mungkin dalam keadaan keletehan seseorang guru mampu menyediakan P&P yang berkesan. Kalau sudah dua atau tiga minggu tiada cuti hujung minggu adakah masa bagi guru itu berfikir untuk berkreatif semasa mengajar. Akhirnya core business akan jadi ala kadar sahaja, asalkan masuk kekelas cukuplah sekadar itu. Selepas itu marahkan guru P&P tiada kualiti.

Keadaan lucu mungkin akan berlaku seperti yang terjadi kepada sekumpulan guru satu mata pelajaran di Daerah Lipis akibat tak sempat nak melihat bahan yang pernah diedarkan. Mungkin ini berlaku kerana guru-guru terlalu sibuk dengan kerja yang tidak berkaitan dengan mata pelajarannya. Selang dua atau tiga tahun JPN Pahang akan mengumpulkan guru-guru kanan mata pelajaran Sains dan Matematik serta Guru Cemerlang untuk membina modul P&P atau bahan-bahan P&P.  Sewajarnya guru kaji modul dan bahan itu serta guna dalam masa mengajar.  Ini kerana yang membuat modul dan bahan itu terdiri dari mereka yang berpengalaman, sudah menjadi guru kanan mata pelajaran peringkat negeri serta setengahnya sudah diktiraf sebagai Guru Cemerlang.  Malangnya tiba-tiba dalam satu mesyuarat panitia mata pelajaran daerah timbul satu idea dan idea itu disokong oleh yang hadir untuk membina modul mata pelajaran sains SPM. Timbullah rasa nak tergelak dan rasa nak marah kepada kumpulan guru-guru ini.  Apakah usaha JPN Pahang itu tak dihargai atau bahan dan mudul yang dibuat oleh JPN Pahang itu tak sampai ke tahap standard.  Atau guru memang tak pernah lihat modul yang diedar dalam bentuk soft copy itu.  Ini adalah akibat daripada core business tidak diberikan perhatian yang betul atau sistem penyampian yang tidak effisen.

Lalu hari Rabu yang lalu aku kumpulkan semua guru Sains SPM daerah Lipis. Aku berikan sedikit ceramah dan buat sedikit penataran tentang modul mata-mata pelajaran sains dan matematik yang dah disiapkan oleh JPN Pahang.  Aku juga bekalkan modul sains daripada Kelantan dan modul sains yang digunakan oleh Felda.  Dah dengan tiga modul sains ini aku rasa lebih daripada mencukupi untuk digunakan oleh guru-guru dalam P&P Sains SPM. 

Teringat saya kepada kata-kata bekas Pengarah Pendidikan Negeri yang amat digeruni oleh majoriti guru di Pahang satu ketika dahulu. Beliau berkata setengah-setengah pegawai dan Pengetua serta penolong-penolong mereka suka buat program yang FORM (bentuknya) hebat-hebat tetapi “substance” nya tiada.  Rasanya kaedaan yang dihadapi oleh beliau itu berulang kembali masa kini.  Guru-guru disibukkan dengan keramaian dan acara yang mementingkan bentuk tetapi bukan memberi fokus kepada substancenya. Kerana itu jadilah kerja-kerja disekolah itu dirasakan sebagai hari-hari persekolahan yang panjang kerana letihnya badan selepas meraikan bentuk,  bukan menghasilakan kerja-kerja yang berkitan peningkatan amal dan ibadat. Sekian, TK.

Sepuluh hari berlalu, aku tak kemaskini laman ini. Bukan tak ada apa yang hendak ditulis tetapi suasana agak sibuk sedikit. Pertama, aku perlu siapkan penandaan kertas peperiksaan setengah tahun sebelum Khamis. Kedua, terdapat beberapa program sedang berlangsung dan akan berlangsung di sekolah. Ketiga, banyak juga urusan sendiri yang memerlukan perhatian.

Semalam aku diminta memberikan sumbangan kepada program Perkemahan Bersepadu SMKPT.  Seramai 206 orang murid menjadi peserta perkemahan. Aku diminta memberi tazkirah selepas maghrib dan juga ceramah motivasi selepas solat Isyak.  Pada petang Khamis aku diminta menyampaikan sedikit ilmu Pedagogi sebagai mengulangkaji pengetahuan dalam pengajaran kepada rakan-rakan guru di SMKPT.

Antara perkara yang aku sebutkan ialah tentang Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang menggunakan Masteri Learning, Konstruktivisma, Pembelajaran Kontekstual, Inkuiri-Penemuan, Active Learning Strategy, Pembelajaran Akses Kendiri, Pembelajaran Kooperatif, Memotivasikan Murid, Belajar cara Belajar, Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir dan lain-lain lagi. Terdapat 15 pendekatan yang dapat disenaraikan tetapi hanya beberapa sahaja yang sempat diterangkan. Lain masa boleh jelaskan lagi pendekatan-pendekatan yang lain. Kepada rakan-rakan guru yang inginkan bahan-bahan ceramah dan ulangkaji berkaitan tajuk-tajuk yang disebutkan diatas boleh hubungi saya. Insya Allah saya boleh bantu. Terutama zaman LADAP tengah menggila buat masa ini dan tahun-tahun mendatang.

Dalam tazkirah lepas solat Maghrib semalam aku sempat membincangkan visi hidup seorang insan berdasarkan ayat Al Quraan yang sentiasa dijadikan doa harian, yang bermaksud, “Wahai Tuhan ku kurniakanlah aku kebahagian di dunia dan kebahagian di akhirat dan jauhkanlah aku dari api neraka.”  Itulah tiga perkara yang menjadi visi kehidupan kita sebagai insan.

Sekiranya kita hendakkan bahagia di dunia, maka misinya ialah menghayati ajaran Al Quraan dan Sunnah Rasulullah SAW. Insan contoh tauladan ialah Rasulullah SAW. Sebagai remaja sewajarnya, pertama memiliki Al Quraan terjemahan untuk ditelaah dengan bimbingan Ustaz dan Ustazah di sekolah. Kedua, memiliki buku sirah Rasulullah SAW untuk mendapat contoh tauladan dari akhlak Rasulullah SAW serta akhlak para sahabat r.a.

Sekiranya mengikut apa yang disaran oleh Al Quraan sebagai panduan kehidupan dengan bimbingan ajaran-ajaran sunnah sudah pastilah insan itu juga mendapat kebahagiaan di akhirat sekali gus dapat menghindarkan diri daripada bakaran api neraka. Semoga apa yang disampaikan dapat menjadi panduan murid-murid ku sepanjang kehidupan mereka.

Semasa memberikan motivasi umum kepada semua peserta perkemahan bersepadu, saya telah menyebut tujuh perkara yang sewajarnya disedari semasa menjalani perkemahan. Pertama, menjadikan aktiviti berkemah ini sebagai kerja ibadah. Bagi membolehkan sesuatu aktiviti atau gerak kerja menjadi ibadah, orang yang menjalani aktiviti itu perlulah memenuhi lima syarat tertentu. Antara syarat menjadikan sesuatu kerja itu ibadah ialah, (1) Hendaklah dilakukan dengan niat mendapat keredhaan Allah SWT .  (2) Kerja yang dibuat adalah sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum yang berkaitan. (3) Kerja itu hndaklah dibuat seelok-eloknya.  (4) Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa menurut hukum dan batas-batas syariat.  (5) Ketika mengerjakan amalan-amalan duniawi itu, tidak lalai dan tidak cuai mengerjakan kerja-kerja ibadat khusus seperti solat lima waktu dan berpuasa Ramadhan.

Kedua, jadikan aktiviti perkemahan bersepadu ini sebagai proses pembelajaran melalui pengalaman (experiencal learning).  Pengalaman ini tiada dalam kurikulum dan dia dipelajari secara naturalsahaja. Pengalaman mengendali aktiviti diri. Pengalaman makan ala kadar. Pengalaman memasak makanan. Pengalaman keluar dari suasana selesa.

Ketiga, jadikan peluang berkemah ini untuk meneroka dan mengembangkan kreativiti, seperti membuat persediaan untuk persembahan kebudayaan, membuat gadget.

Keempat, jadikan peluang berkemah itu untuk berlatih menghadapi kesukaran. Manusia yang sering ditimpa kesukaran biasanya boleh menghadapi kehidupan dengan jaya. Manusia yang sentiasa dalam zon selesa akan kecundang apabila cabaran datang menyapa.

Kelima, ambillah peluang menyelesaikan berbagai masalah yang dihadapi ketika berkemah. Untuk boleh menyelesaikan masalah seseorang itu perlu tahu langkah-langkah penyelesaian masalah. 

Keenam, peserta perkemahan perlulah berlatih membuat keputusan sepanjang aktiviti sedang berjalan. Dalam membuat keputusan juga seseorang wajar tahu langkah-langkah membuat keputusan.

Ketujuh, kukuhkan silaturahim sesama peserta perkemahan.  Ini merupakan sesuatu yang sangat penting.  Ketika inilah kita mengenal “true colour seseorang”.  Sewaktu perkemahan inilah kita akan dapat mengetahui perangai baik dan buruk sseorang ahli perkemahan itu. Dengan itu mungkin kita akan kenal jenis teman yang ada. Teman ketawa banyak bersua, teman menangis sukar dicari.

Semoga para peserta perkemahan dapat memahami dan mengaplikasi apa yang disampaikan. Cukup sampai disini entri kali ini, TK.

Musim cuti sekolah adalah juga musim orang buat kenduri kawin. Oleh kerana ramai orang yang hendak kawin kini, tak kiralah sama ada cuti sekolah ke atau tidak majlis kenduri kawin atau kenduri kesyukuran tetap dibuat juga.  Walau pun ekonomi sedang meleset tetapi majlis kenduri tetap diadakan. Biasanya antara hidangan lauk utama yang disediakan ialah daging kerbau atau lembu. Sama ada dimasak sebagai gulai kawah atau rendang. Selain daging mungkin juga ayam. 

Kerap kali daging yang dimasak itu liat. Oleh itu dibawah ini saya cuba untuk menulis pengalaman yang pernah saya lihat bagaimana usaha untuk melembutkan daging atau ayam yang liat itu.

  • Menggunakan betik. Mana-mana bahagian betik, sama ada akar, bahagian kulit, daun atau buah betik boleh digunakan untuk melembutkan daging atau ayam yang liat. Cara menggunakannya ialah dengan memasukkan bahagian betik yang dipilih ketika memasak gulai. Adalah dipercayai bahawa betik mempunyai enzim proteolitik yang mampu untuk mengurai protein yang menyebabkan daging menjadi liat. Walau bagaimana pun penggunaan bahagian betik boleh menyebabkan masakan terasa pahit. Oleh itu pengguna hendaklah mengetahui sebanyak mana bahagian betik perlu digunakan.
  • Tempurung kelapa. Tempurung kelapa juga boleh digunakan sebagai ejen pelembut daging dan ayam. Tempurung kelapa hendaklah dibersih terlebih dahulu dan saiznya hendaklah lebih besar dari hirisan daging. Oleh kerana warna tempurung kelapa adalah juga hitam seperti warna daging yang dimasak, maka jika saiznya kecil nanti ditakuti akan diambil oleh mereka yang sedang makan. Penggunaan tempurung kelapa dalam gulai biasa digunakan semasa membuat gulai kawah untuk majlis kenduri kawin.
  • Daun nangka. Daun nangka juga pernah dicuba untuk melembutkan daging. Hasilnya tidak mengeciwakan. Saya pernah melihat penggunaannya ketika saya mengadakan majlis kenduri kawin anak saya. Semasa menyiang daging saya dapati daging agak liat sedikit. Oleh itu saya meminta tukang masak untuk berusaha menjadikan daging itu lembut. Seseorang mengcadangkan agar menggunakan daun nangka yang memang terdapat tidak jauh dari tempat memasak.
  • Daun manggis. Semalam jiran saya mengadakan majlis kenduri kesyukuran. Hidangan gulai ialah gulai ayam kampung. Semasa memasak didapati daging ayam tidak lembut. Anak tuan rumah pergi mengambil dua helai daun manggis dan meletakkan kedalam gulai yang sedang mendidih. Tidak lama selepas itu daging ayam yang liat itu sudah menjadi lembut. 
  • Ada juga orang yang mencadangkan penggunaan daun pokok koko. Bagi penggunaan daun koko saya belum lagi melihat kesannya. Saudara saudari pembaca boleh mencubanya sama ada ia berkesan atau tidak.

Pengalaman ini boleh dikukuhkan lagi menjadi sesuatu yang diyakini keadaannya dengan membuat penyelidikan secara saintifik. Sebenarnya banyak ubatan dan barangan yang ada dalam pasaran kini bermula dengan mengutip pengalaman orang-orang dahulu dan kemudiannya dilakukan penyelidikan secara saintifik. Apabila sesuatu produk dari penyelidikan itu diketahui kesannya dan telah melalui beberapa kali ujian maka bahan sama ada berbentuk ubat atau barangan bolehlah didaftarkan hak ciptanya. Bahagian inilah rakyat Malaysia selalu ketinggalan.

Pengetahuan begini tidak sampai kepengetahuan orang ramai. Biasanya isu dan kefahaman sebegini tidak dimasyarakatkan. Jadilah perkara hak cipta itu milik orang tertentu sahaja dan adakalanya orang lain dan orang luar merampas peluang hak cipta yang dimiliki oleh rakyat biasa. Perkara ini akan menjadi lebih teruk lagi apabila semua maklumat tentang proses pendaftaran hak cipta hanya terdapat dalam bahasa tertentu sahaja. Usaha untuk mempelajari teknologi dalam BI boleh menyebabkan perkara ini menjadi lebih parah. Rakyat terbayak tidak akan faham proses sains dan teknologi. Oleh itu yang akan untung hanya segelintir rakyat sahaja.

Kepada para pembaca budiman, sekiranya terdapat lagi maklumat tentang usaha melembutkan daging melalui pengalaman atau petua-petua orang lama, harap tambah dalam enteri saya ini. Sekian dahulu buat kali ini. TK

Bermula 30 Mei hingga 14 Jun 2009, sekolah bercuti. Cuti bagi seorang guru masa kini bukanlah cuti dalam erti kata rehat dari kerja-kerja sekolah.  Banyak sekolah membuat program untuk meningkatkan prestasi pencapaian akademik murid-murid mereka. Semasa cuti ini aku pun sibuk juga memberikan sumbangan kemampuan dan kebolehan akademik aku kepada berbagai golongan sasaran yang berbeza. Disamping itu aku juga sebuk menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun yang sudah berakhir sebelum cuti sekolah bermula.

Aku menghadiri Seminar Pendagogy – Rejuvenating the passion for teaching di Hotel de Palma Ampang, anjuran JPN Pahang. Fokus seminar ialah tentang rencangan strategik Sektor Pengurusan Akademik (SPA) JPN Pahang untuk masa akan datang dan penghebahan SPA tentang adanya Modul Pembelajaran yang diusahakan oleh pihak JPN Pahang. Terdapat tujuh modul pembelajaran yang telah dihasilkan oleh JPN Pahang untuk digunakan oleh para guru Sains dan Matematik di Pahang. Modul-modul itu ialah, Modul Biologi, Modul Fizik, Modul Kimia, Modul Matematik SPM, Modul Sains SPM, Modul Matematik Tambahan dan Modul Sains PMR. Peserta seminar terdiri dari semua pembina modul, Ketua Bidang Sains dan Matematik semua sekolah menengah di Pahang, Semua PPD dan Pagawai Sains dan Matematik PPD serta semua pegawai dari SPA  JPN Pahang. Aku adalah salah seorang pembina modul yang terlibat menghasilkan modul Sains SPM. 

Ada satu rasional yang tidak tertulis kepada seminar ini. Aku faham bahawa modul seperti ini pernah kami usahakan pada tahun 2007 dahulu. Malangnya banyak sekolah tidak tahu wujudnya modul seperti ini. Oleh itu usaha yang kami buat terasa sia-sia sahaja. Menyedari perkara ini berlaku, maka pihak SPA JPN Pahang telah memikirkan satu kaedah pemberi tahu kepada sasaran pengguna di setiap sekolah menengah di Pahang. Diharapkan selepas ini tiada lagi suara-suara dikalangan para guru yang nak buat modul Sains dan Matematik di peringkat PPD. Itulah sebabnya mengapa seorang wakil guru Sains dan seorang wakil guru Matematik diminta menyampaikan ucapan tentang cara menggunakan modul masing-masing.

Disamping pembentangan penggunaan modul-modul sains dan matematik terdapat juga ceramah dari badan luar atau individu luar seperti ceramah oleh Datuk Dr Abdul Aziz SA Kadir, Prof Dr Khalijah Mohd Salleh (UKM), En Kamaruddin Kasim dari Petrosains dan En Abdul Farid Abdul Aziz juga dari Petrosains.  Rabu malam Khamis (27 Mei 2009) jam 8.30 malam diadakan sambutan Hari Guru peringkat SPA JPN Pahang. Pada malam itu aku bersama dua orang yang lain menjadi tetamu khas majlis. Aku diraikan kerana aku akan bersara wajib tak lama lagi. Sebenarnya aku banyak terlibat dengan program SPA JPN Pahang, semenjak tahun 1988 lagi. En Zaharuddin diraikan kerana beliau akan meninggalkan JPN Pahang untuk berkhidmat sebagai pegawai MSD di Australia dan beliau pernah menjadi pegawai khas di SPA JPN Pahang. Seorang lagi ialah Cik Hajjah Saemah yang bertukar dari PPD Maran (Pegawai Sains dan Matematik) menjadi Pengetua di SMK Jengka 18, Maran.

Aku kembali dari seminar pada 28 Mei 2009, hari Khamis. Hari Jumaat aku ke sekolah, sempatlah mengajar di dua kelas iaitu di tingkatan empat – Biologi dan tingkatan lima – Sains. Waktu malamnya aku menunaikan undangan dari SMK Seri Lipis untuk menyampaikan Ceramah Motivasi kepada murid tingkan tiga, lima dan enam atas yang menjalani program kelas tambahan masa cuti. Antara peserta kursus ialah anak bongsu aku yang akan mengambil PMR. Sesungguhnya aku menyahut undangan itu kerana aku ingin mengambil kesempatan menyampaikan hasrat seorang ayah kepada anaknya juga kepada anak-anak orang lain. Sebagai guru aku sentiasa mengambil sikap bahawa aku ingin melihat anak orang lain berjaya seperti anak-anak aku atau kejayaan anak orang lain akan juga dicapai oleh anak-anak aku.

Pada pagi Isnin aku terlibat menyampaikan ceramah SPM Sains kepada murid  tingkatan lima SM Agama Padang Tengku. Dikalangan murid tingkatan lima SMA Padang Tengku itu terdapat saudara mara aku dan juga anak lelaki aku. Sambil memberi kefahaman kepada anak orang lain aku juga menyampaikan kefahaman itu kepada anak aku. Aku mahu anak orang lain berjaya dan semestinya juga aku mahu melihat anak aku berjaya. Kepada anak-anak aku, aku mengakui bahawa aku tak mampu mengajar mereka secara sendirian atau secara individu. Itulah kelemahan aku. Oleh itu peluang mengajar anak aku dan bersekali dengan rakan-rakanya sentiasa aku nantikan. Waktu malamnya bermula 8.00 hingga 10.00 malam aku terlibat mengajar di IPGM Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis. Aku mengajar matapelajaran Pendidikan Alam Sekitar kepada kumpulan guru dari sekolah Cina dan Tamil yang mengambil Kursus Dalam Cuti (KDC) bagi Kursus Diploma Pendidikan Malaysia.

Hari Selasa aku juga terlibat di IPGM TAA Kuala Lipis dan mengajar Biologi di SMA Padang Tengku. Aku diminta mengajar tajuk Reproduction and Growth kepada murid tingkatan lima yang nak ambil SPM tahun ini. Hari Rabu aku masih terlibat di IPGM TAA dan SMA Padang Tengku. Hari Khamis aku hanya terlibat empat jam di IPGM TAA. Alhamdulillah Hari Jumaat aku rehat dari mengajar. Pada Pagi Jumaat sempatlah aku menebas rumput sekitar rumah aku.

Cuti-cuti ini sudah pastilah satu lagi aktiviti yang mesti aku lakukan ialah menghadirkan diri di majlis kenduri kahwin yang diadakan oleh saudara mara aku disekitar kampung tempat aku tinggal. Ini aktiviti yang mesti aku melibatkan diri sebagai orang kampung. Bukan sekadar menghadirkan diri tetapi bersama-sama bekerja. Menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung bergotong royong dalam melaksanakan majlis kenduri kahwin. Ghalibnya bermula 7.00 pagi, menyiang daging, memasak nasi dan gulai dan 11.30 pagi mula makan. Walau bagaimana pun kerja-kerja awal telah dibuat bermula seminggu sebelum majlis kenduri itu. Aku sendiri telah dua kali mengadakan majlis kenduri kahwin anak aku. Insya Allah aku dan keluarga sudah ada pengalaman dalam melaksanakan majlis kenduri ini.

Aku kira selepas aku bersara nanti kerja dimajlis kenduri kahwin merupakan aktiviti penting dalam kelender perjalanan hidup aku. Tambahan pula aku sudah dikira termasuk dalam golongan orang tua di kampung. Aku kena bersedia untuk menghulurkan tenaga dan upaya menjadi anggota masyarakat kampung yang sentiasa berkerja sama untuk kebaikan semua anggota masyarakat. Insya Allah aku sudah bersedia untuk tujuan itu. Sekian enteri kali ini. TK.