Esok 1 Julai 2009 ialah hari akhir perkhidmatan.  Aku telah berkhidmat selama 32 tahun satu bulan. Aku mula berkhidmat pada 2 Jun 1977 di SMK Padang Tengku sebagai guru lepasan Diploma Sains dengan Pendidikan, didikan Universiti Pertanian Malaysia. Setelah berkhidmat selama enam tahun, aku menyambung pengajian peringkat Ijazah Pertama di Universiti yang sama (UPM).

Setelah menamatkan pengajian selama dua tahun setengah, aku telah berjaya membawa pulang Ijazah Bacelor Sains (Kepujian) pada tahun 1986. Pada 6 Januari 1986 aku kembali berkhidmat di SMKPT. Setelah berkhidmat di SMKPT selama enam tahun, pada tahun 1992, aku telah ditukarkan ke SMK Sulaiman, Bentung.  Sebenarnya aku tidak minta untuk bertukar tetapi aku ditukarkan dengan entah apa alasan. Ketika itu SMKPT tak cukup guru Sains dan tak cukup guru Bahasa Inggeris. Isteri aku guru BI tetapi dia juga ditukar bersama ke SMK Ketari Bentung. Itulah kesan dari fitnah dan dengki khianat.

Aku memohon agar aku dapat kembali mengajar di Lipis. Sementelahan ketika itu aku sedang membina rumah kediaman di kampung. Alhamdulillah dengan pertolongan seorang guru aku yang menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, aku dapat brtukar ke SMK Sungai Koyan pada 1 Disember 1993. Aku berharap dapat berkhidmat selama lima tahun di SMK Sungai Koyan tetapi Tuan PPD Lipis ketika itu (Dato’ Haji Abdullah Haji Abdul Kadir) menginginkan aku menjalankan tugas sebagai Pengetua di SMK Setia Wangsa, Kuala Lipis. Maka bertukarlah aku dari SMK Sungai Koyan ke SMK Setia Wangsa pada 16 November 1995 setelah berkhidmat selama dua tahun.  Di SMK Sungai Koyan aku bertugas sebagai Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran.  Semasa di SMK Sungai Koyan aku juga diarahkan untuk menangung kerja Pengetua selama sebelas bulan setengah.  

Berkhidmatlah aku di SMK Setia Wangsa selama lima tahun empat bulan sebagai Pengetua.  Di situ aku dapat membuka tingkatan empat (1997) dan lima (1998).  Aku dapat menambah bilangan murid dari 295 orang menjadi 555 orang murid.  Aku sempat melihat penambahan empat bangunan tambahan dan memohon penambahan tapak sekolah dari enam ekar menjadi 12 ekar.

Pada 12 Mac 2001 aku menerima dua pucuk surat penting. Pertama surat arahan pertukaran pengetua dari SMK Setia Wangsa ke SMK Orang Kaya Haji. Surat kedua ialah surat tawaran menjadi Guru Cemerlang DG2. Aku tak tamak tapi aku terima kedua-dua tawaran itu. Oleh itu pada 16 Mac 2001 aku bertukar ke SMK Orang Kaya Haji yang jaraknya hanya dua kilometer sahaja.

Pada 16 Mei 2001 aku menerima surat penempatan Guru Cemerlang.  Aku ditempatkan semula ke SMK Padang Tengku. Di SMKPT aku sempat membuka kelas aliran Sains pada tahun 2002. Dari SMKPT aku dihantar oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk berkursus di AQA England.  Belum sempat aku melihat hasil pengajaran aku dalam kelas Biologi, aku ditukarkan pula ke SBP.  Aku ditempatkan di SEMESTA, Raub.

Aku terpaksa berulang alik sejauh 65 km sehala setiap hari. Akibatnya aku pergi ke Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Plajaran Malaysia memohon agar aku ditempatkan kembali ke Sekolah Menengah Harian Biasa. Atas pertolongan seorang sahabat, aku dapat ditempatkan semula ke SMKPT bermula 16 Jun 2006.

Maka berkhidmatlah aku sehingga ke 1 Julai 2009 sebagai Guru  Cemerlang.  Esok adalah hari terakhir aku berkhidmat sebagai PPP Siswazah. Selepas ini aku menjadi YB atau Yang Bersara. Ramai rakan dan taulan bertanya, nak buat apa bila bersara. Aku menyatakan, banyak kerja yang boleh aku buat setelah bersara. Ada bebera perancangan dalam pertimbangan.  Insya Allah fokus aku kepada pendidikan dan pertanian. Dengan doa dan harapan aku memohon kejayaan dalam apa-apa kerja yang aku lakukan.  Sekian, TK