Julai 2009


Dalam Kenangan 1 dan Kenangan 2, aku kisahkan keterlibatan tiga jenis makhluk mamalia, iaitu harimau, babi serta kerbau. Dalam kiriman ini aku mahu mengisahkan hubungan masyarakat kampung aku dengan ular iaitu makhluk reptilia.

Peristiwa ini berlaku diwaktu pagi musim cuti sekolah selepas padi dituai. Gedung (satu kawasan air yang terhasil kerana anak sungai diempang) yang terdapat dihadapan rumah aku masih lagi ada tunggul-tunggul padi yang sudah dituai.  Disamping itu kumbuh, menerong dan kelayar mula tumbuh menghijau dicelah-celah jerami padi.  Lebih kurang 100 meter dari pelantar dapur rumah aku terdapat pokok pulai dan dipangkal pokok pulai itu terdapat lubang memanjang (darang).  Biasanya kalau memedap ikan di dalam darang itu banyak ikan. Pokok pulai itu duduknya ditepi gedung.

Pagi itu, riak air di pangkal pokok pulai itu agak kuat. Sekali sekala kelihatan seperti benda panjang timbul dari dalam darang itu. Benda panjang itu berkilau apabila tersimbah cahaya mata hari pagi. Aku memanggil ayah aku yang baru siap sarapan pagi. Aku tunjuk kepada ayah benda yang timbul tenggelam di pangkal pokok pulai besar itu.  Ayah memberi tahu aku bahawa itu adalah ular besar. Mengikut pengalamannya, ular besar itu jenis Ular Alir. Ular ini adalah jenis ular berbisa dan panjang. Kata ayah, kalau ular biasa boleh ketuk dengan buluh sahaja, tetapi Ular Alir mesti diketuk dengan alu. Aku tanya ayah, ”Siapa yang nak pergi ketuk ular sebesar itu?”  Ayah kata “Awaklah!!”

Ketika itu ada seorang bidan kampung, ibu saudara sepupu aku, bertandang kerumah aku sejak semalam. Dia bermalam dirumah aku. Ini perkara biasa dalam masyarakat kampung. Aku panggil dia Mak Uda Yam, atau kadang-kadang aku panggil dia Mak Uda Lang. Aku panggil dia Mak Uda Lang kerana dia selalu tangkap ular sewaktu kami mencari ikan dalam petak-petak sawah atau gedung.  Helang makan ular. Mak Uda Lang selalu tangkap ular.

Teringatkan kehebatan Mak Uda Lang dengan ular, aku pun memanggil Mak Uda ke pelantar dapur. Aku beritahu Mak Uda bahawa dipangkal pokok pulai besar ada ular. Dia pun keluar dan memandang kearah pokok pulai yang aku maksudkan. Tindakan pertama yang dibuat oleh Mak Uda ialah memanggil ular itu. Dia kata, “Oii.. ular kalau awak handai sangat marilah kemari.”  Tiba-tiba pokok kumbuh kelihatan bergegar dan pokok-pokok kumbuh dan jerami padi yang bergegar itu semakin mendekati rumah aku. Tiba-tiba Mak Uda pun berkata, “Oii.. ular berhenti dulu!!.”  Tiada lagi riak dan gegar daun kumbuh atau jerami padi.  Ertinya ular itu sudah berhenti. Macam faham pulak ular itu dengan percakapan orang.

Semasa aku memanggil Mak Uda Yam tadi rupa-rupanya ayah aku pergi ke rumah jiran kami, Pak Teh Musa. Pak Teh Musa ada senapang patah.  Ketika ular itu berhenti Pak Teh Musa, Pak Itam Sidek dan ayah sampai ke rumah kami dengan membawa senapang patah. Sesampai sahaja mereka bertiga, kelihatan pokok kumbuh, kelayar dan jerami padi bergerak, menunjukkan ular itu mudik kehulu menghala ke pokok pulai besar.  Mereka memintas pergerakan ular itu dan sempat menembak ular itu beberapa meter ke sebelah hulu kawasan pangkal pokok pulai besar itu. Dua das tembakan itu kena kepada ular besar itu menyebabkan ular besar itu melempas dan memukul air gedung.  Percikan air itu sangat tinggi, hampir menyamai ketinggian pokok pulai besar itu.   Hempasan air itu makin lama makin rendah sehinggalah tiada lagi gerakan.

Pak Itam Sidek membawa tali dan kayu menghala ke ular yang sudah tidak bergerak lagi. Setelah dijerut leher ular itu, dia menarik badan ular ketebing gedung. Perkara pertama yang dibuat ialah mengetuk kepala ular itu sehingga pecah menggunakan kayu yang dia bawa. Pada ketika itu sudah ramai orang kampung berkumpul dibawah pokok rambai dekat rumah Pak Teh Musa. Dua tiga orang pergi menolong Pak Itam Sidek menarik ular ke bawah pokok rambai. Aku ketika itu hanya memerhati dari jauh sahaja sebab aku pun penakut juga.

Ayah aku mengambil tali dan mengukur panjang ular itu. Mengikut mereka yang hadir, ular itu memang Ular Alir. Panjangnya lebih tiga depa orang tua (Lebih daripada 20 kaki) dan saiznya sebesar peha orang muda (45 cm  lilit). Dileher ular itu terdapat dua lubang kesan tembakan. Ini bererti Pak Teh Musa merupakan antara penembak tepat. Aku mengambil kayu dari tangan Pak Itam Sidek dan meminta izin dari ayah untuk mengetuk kepala ular. Aku ketuk kepala ular yang sudah mati itu kerana menyambut cabaran ayah terhadap aku pagi tadi.

Bebera orang tua berpendapat bahawa mereka hendak mengambil lemak ular untuk dibuat ubat. Dalam hal ini ayah aku tidak masuk campur. Hanya ayah meminta mereka membawa bangkai ular itu jauh dari rumah orang dan selepas dapat apa yang dikehendaki mereka perlu menguburkan bangkai ular itu.  

Sebenarnya banyak kali peristiwa ular memasuki kawasan rumah kami di kampung,  Kedudukan rumah berhampiran dengan paya dan hutan menjadikan mudah dan selesa haiwan liar berjalan dan merayau. Bagi penduduk kampung hal-hal begini telah menjadi kebiasaan dalam hidup mereka.  Sekian TK

Kisah ini aku rakamkan berdasarkan pengalaman sebenar semasa aku masih disekolah rendah. Satu pagi hari cuti hujung minggu, seperti hujung minggu biasa tiada aktiviti disekolah.  Oleh itu aku akan bermain-main dengan rakan sekampung.  Ketika dalam perjalanan aku ke rumah Medan yang hanya lebih kurang 600 meter dari rumah aku, aku ternampak ibu kerbau yang bunting resah, seolah-olah mencari tempat selesa.  Aku melupakan hajat aku nak bermain di rumah Medan.  Sebaliknya aku memanjat pokok jambu bol untuk melihat apa yang akan berlaku kepada kerbau betina yang bunting itu.

Sebagai anak kampung, anak kepada penoreh getah dan pesawah padi, aku tak mampu berpakaian mewah.  Aku memakai seluar pendek dan baju kemeja yang koyak duduk di atas sebatang dahan pokok jambu bol, dengan pemandangan yang jelas melihat aktiviti seekor kerbau betina yang bunting yang aku kira nak beranak.  Terdapat juga beberapa ekor kerbau lain berhampiran.  Aku pasti kerbau betina yang bunting itu adalah kepunyaan keluarga ku. Keluarga aku mempunyai lima ekor kerbau. Tiga betina dan dua jantan. Kesemua kerbau yang ada disitu adalah kerbau keluarga aku.

Dari atas pokok jambu bol itu aku melihat proses kerbau beranak.  Mula-mula aku melihat benda putih muncul dibahagian belakang kerbau betina itu.  Aku pasti itu bukan tempat keluar tahi kerbau (dubur) tetapi tempat air kencing kerbau keluar (faraj).  Agak lama juga benda putih yang pada mula  kecil itu menjadi besar dan panjang. Kemudian benda itu jatuh ke tanah.  Apabila benda itu jatuh ke tanah, ibu kerbau menjilat selaput putih yang membungkus jasad yang berwarna hitam.  Beberapa ketika kemudian jasad hitam itu bergerak-gerak dan mula berdiri jatuh. Berdiri lagi dan jatuh.  Setelah beberapa kali keadaan yang sama berlaku, anak kerbau yang baru lahir itu boleh berdiri tetapi belum stabil.

Sementara itu satu jasad putih kelabu keluar daripada tempat anak kerbau itu keluar.  Ketika peristiwa itu berlaku, ketika anak kerbau belum boleh berdiri betul, aku turun perlahan-lahan dari atas pokok jambu bol dan kembali ke rumah yang jaraknya lebih kurang dua ratus meter sahaja.  Sampai di rumah aku ceritakan peristiwa itu kepada ayah aku yang baru balik dari sawah padi.  Kemudian ayah mengajak aku ke tempat kerbau beranak itu.  Ayah mendapatkan kerbau itu dan mengikat tali yang dibawanya kepada kelikir di hidung kerbau itu. Ayah menarik ibu kerbau menggunakan tali.

Aku cuba memegang anak kerbau yang baru lahir dan mengiring ibu kerbau yang ditarik oleh ayah ku menuju ke halaman rumah kami.  Sesungguhnya ibu kerbau itu sebenarnya kerbau yang jinak dan dia kenal ahli keluarga kami.  Jadi tidak menjadi masalah kepada aku dan ayah untuk membawa kerbau itu balik berhampiran dengan rumah ku.

Selepas itu aku mengikut ayah menyabit rumput bagi ibu kerbau itu dan pada petangnya selepas solat zohor ayah mengajak aku menyiapkan kandang khas bagi kerbau yang baru beranak kecil itu.  Anak kerbau yang baru lahir itu jantan.  Jadi kami mempunyai enam ekor kerbau, tiga betina dan tiga jantan.  Ayah terpaksa membuat kandang khas untuk kerbau yang baru beranak kerana kalau semua kerbau disendung dalam satu kandang takut peristiwa beberapa bulan sebelum ini berulang.  Sebenarnya seekor anak kerbau telah lahir tetapi mati dipijak oleh kerbau lain hanya beberapa jam selepas ia lahir kerana disendung dalam kandang yang sama. 

Anak kerbau jantan itu membesar dalam jagaan keluarga kami.  Apabila dia cukup besar aku berkesempatan menjadikannya kenderaan aku untuk kesawah berhampiran dengan rumah aku. Apabila anak kerbau jantan itu besar dan matang ia dijadikan sembelihan dihari perkahwinan Kakak De aku.

Sekadar rakaman peristiwa yang sempat aku lihat semasa aku masih kecil. Sekian TK

Kali ini aku nak bernostalgia.  Bukan nostalgia percintaan tetapi saja nak cerita tentang bagaimana aku ke sekolah semasa sekolah rendah dahulu.  Aku mula sekolah tahun 1960 dalam darjah satu. Dari rumah aku, di Kampung Berang aku terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer ke Sekolah Umum Kampung Relong.  Biasanya aku berjalan kaki dalam kumpulan 10 ke 12 orang. Ikut jalan denai melalui Bukit Batu Lada, Bukit Meraga dan Caruk Membebek. Setiap pagi kami terpaksa merdah besit (basahan embun pagi yang melekat pada daun lalang). Ada bahaya melalui besit ini, kadang kala ada rakan-rakan yang nakal akan mengikat daun lalang disepanjang perjalanan itu. Sekiranya tersalah langkah mungkin kita akan tersungkur. Ada yang lagi nakal pula akan kencing pada daun lalang yang diikat merentagi denai. Kalau terkena ini alamat hancinglah pakaian terutama seluar.

Berkaki ayam adalah lumrah disepanjang perjalanan, bukan tiada kasut.  Kasut hanya akan dipakai apabila sampai ke sekolah. Ada telaga dekat sekolah.  Basuh kaki menggunakan air telaga dan pakai kasut.  Kaki memang sudah kematu. Apabila nak balik dari sekolah, kasut disimpan dalam beg sekolah dan berjalan balik ke rumah berkaki ayam semula.

Ada satu peristiwa yang tak mungkin aku lupakan dalam perjalanan balik sekolah ini. Apabila hampir sampai ke Caruk Membebek grombolan kami yang kambali dari sekolah diaum oleh harimau yang sedang memamah tulang babi hutan.  Maka bertempiaranlah kami lari.  Kumpulan yang dihadapan terus lari merentasi Caruk Membebek, Bukit Meraga dan Bukit Batu Lada.  Manakala kumpulan di belakang terpaksa balik ikut jalan yang jauh. Ikut jalan raya, ke Bapong dan balik ke Berang yang jaraknya lebih lima kilometer. Aku dalam kumpulan kedua ini.  Nasib baik tiada yang mati atau jadi mangsa diterkam harimau.  Itulah sukarnya nak ke sekolah ketika itu.  Melihat kesan tapak harimau pada tanah lembik adalah perkara biasa. Setiap bulan kami boleh berkesempatan melihat kesan tapak harimau terutama selepas hujan. Kesan tapak kaki babi hutan biasa kami lihat setiap hari. Agak-agaknya anak zaman ini rajin tak ke sekolah sekiranya menghadapi keadaan seperti diceritakan diatas.

Semasa darjah satu, Cikgu kelas aku ialah Cikgu Jamaluddin Imam Uda (Ayah kepada Dr Rohaiza Jamaluddin) tetapi dalam bulan April 1960 Cikgu Jamaluddin bertukar.  Guru Kelas aku yang baru ialah Cikgu Zainab Ismail. Darjah Dua guru kelas ialah Cikgu Siti Hawa. Darjah Tiga Cikgu Dasimah Dasir. Darjah Empat Cikgu Zainab. Darjah lima Cikgu Ismail Jamaluddin dan darjah Enam, Cikgu Abdul Rahman (Deraman) dan Cikgu Abdullah Idin. Sepanjang aku bersekolah rendah, Guru Besar ialah Cikgu Mohd Noor Abdul Karim. Ada dua orang guru agama yang mengajar aku semasa sekolah rendah iaitu Ustaz Muhammad Mandak dan Ustaz Muhammad Mat Aji. Guru Bahasa Inggeris pula ialah Cikgu Zainal dari Bandar Hilir Melaka.

Dikalangan guru-guru ini ada yang garang dan ada yang penyayang. Aku sebagai guru tak nak cerita tentang mereka yang ku sebut sebagai guru ini. Hanya aku berdoa semoga mereka sentiasa mendapat rahmat dari Ilahi atas tunjuk ajar yang mereka berikan kepada aku dan rakan-rakan. Aku tak pernah ke tadika.  masa itu mana ada tadika.  Ada diantara guru-guru ku ini masih hidup dan ada juga yang telah kembali menemui Ilahi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Aku masih ingat lagi…. Sehari sebelum aku mendaftar diri sebagai murid sekolah setelah ayah aku membeli baju dan seluar sekolah.. Abu dan Rasid (Kawan sepermainan aku yang lebih tua dari aku) bertanya aku, apa yang aku boleh tulis ketika disekolah esok. Aku pun tulis di atas pasir tempat kami bermain huruf  ‘A’ dan ‘a’ . Itu sahaja yang aku kenal. Baca mukadam memang aku dah tamat. Itulah gambaran penguasaaan aku sebelum sekolah. Tetapi seronok nak ke sekolah itu tetap ada. (Abu ada di Berang, manakala Rasid adalah Imam dan pesara ustaz di Merapoh)

Dalam enteri kali ini, fokus nukilan aku adalah berkaitan kesukaran aku kesekolah dan menyebut nama-nama guru yang mengajar aku secara langsung.  Ini sebenarnya nak beritahu kepada anak-anak bahawa memang nak kesekolah sangat sukar tetapi kami anak kampung tetap gigih untuk belajar. Dalam entri berikutnya aku nak cerita lagi kenangan ketika sekolah rendah dahulu iaitu dari tahun q960 hingga 1965. Sekian TK.

Pada 9 Julai 2009 (Khamis) yang lalu aku masih lagi terlibat dengan program pendidikan, walau pun tidak mengajar di dalam kelas seperti biasa.  Pada hari itu aku menerima undangan dari PPD Temerloh untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sudah tentulah fokus aku kepada P&P mata pelajaran sains.

Aku memperkatakan tentang strategi, pendekatan, kaedah, aktiviti, kemahiran dan alat yang diperlukan oleh seorang guru ketika dia mengajar.  Seramai 20 orang guru-guru yang merupakan pelapis dalam P&P sains dijemput hadir oleh penganjur.  Program bermula 8.30 pagi dan berakhir pada 4.30 petang.

Semasa sedang seronok berkongsi pengalaman menggunakan power point tiba-tiba bekalan elektik terputus.  Semua alat yang menggunakan kuasa elektrik tak boleh berfungsi.  Takkanlah aku nak berhenti berceramah.  Atas persetujuan semua aku bercakap satu topik yang tidak kurang penting dalam P&P iaitu bagaimana mengajar anak murid cara mendapatkan markah yang tinggi dalam kertas 2 Sains SPM terutama bagi soalan dari Bahagian A dan soalan no.10 Bahagian C.  Aku terpaksa menggunakan kaedah Chalk and Talk.  Alhamdulillah sebaik aku selesai menerangkan perkara yang hendak disampaikan, elektrik kembali berfungsi.  Oleh itu aku kembali menggunakan peralatan seperti komputer dan LCD.

Dizaman canggih ini selalu pihak tertentu memperlekeh para guru yang menggunakan kaedah chalk and talk dalam P&P nya.  Sebenarnya kaedah ini perlu juga diperkasakan penggunaannya dalam kelas atas beberapa sebab. Pertama, sekiranya tiada bekalan elektrik.  Kedua sewaktu persembahan multimedia sudah tidak boleh menarik minat murid belajar. Ketiga sewaktu guru tidak sempat membuat persediaan atau bahan yang disediakan hilang didalam simpanan. Oleh itu para guru mesti sentiasa memperkasakan kebolehan dalam Chalk and Talk dan kepada para pemantau (JNS, Pegawai JPN dan PPD) jangan perlekeh kaedah ini.

Antara kebaikan Chalk and Talk ialah murid akan dapat menyalin nota yang sesuai jika penulisan guru adalah baik atau guru boleh menggunakan ruang papan putih/hitam dengan baik.  Murid dapat melihat cara yang betul melukis rajah.  Oleh itu guru mesti ada kemahiran melukis rajah yang baik. Sekali sekala guru boleh juga meminta murid menunjukkan kebolehan mereka dalam menggunakan papan putih/hitam.

Diharapkan para guru dapat menguasai kemahiran menggunakan kaedah ini dalam P&P dan harapan juga kepada semua jangan memperlekeh orang yang mengguanakan kaedah ini dalam P&Pnya. Sekian TK.

Tulisan kali ini memuatkan kisah bagaimana Imam Shafie r.a. belajar hadith daripada Imam Malik r.a.  Saya petik kisah ini dari buku IMAM SHAFI’I, In Quest of Knowledge.  Di bawah sub tajuk, A Feat of Memory, Imam Shafie menyebut, “I picked up a straw and whenever Imam Malik narrated any Hadith, I would wet it with my lips and write out the words on the palm of my left hand.”

Dari kisah ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa Imam Shafie menulis atau membuat gerakan otot semasa ia belajar.  Perlu diingatkan ketika hal ini berlaku Imam Shafie baru sampai dari Makkah. Beliau sampai sebelum Maghrib. Beliau tidak mempunyai alat tulis, tetapi dia tetap menulis di atas tapak tangan kirinya menggunakan jerami. Dalam penjelasan kepada Imam Malik tentang perbuatan itu Imam Shafie mengatakan, “I had been using the straw to write on my hand in order that I should remember what had been said, and since I had nothing else to write with, this was the only thing I could have done.”  Jelas sekali bahawa kalau kita nak ingat apa yang dipelajari kita hendaklah menulis apa yang kita dengar.

Semasa pembelajaran Imam Shafie telah menggunakan ketiga-tiga kaedah belajar, iaitu belajar menggunakan visual, audiotori dan kinestatik (Kaedah VAK). Imam Shafie memberikan fokus kepada apa yang diperkatakan oleh Imam Malik, pergerakan tangan Imam Malik dan juga beliau sendiri menggerakkan ototnya semasa belajar hadith itu. Koordinasi antara mata, telinga dan otot akan menjadikan pembentukan sambungan saraf diotak bagai ingatan menjadi lebih cepat dan hebat. Oleh itu ingatan dan kefahaman akan lebih meningkat.

Cuba kita, para guru bandingkan hal ini dengan murid zaman sekarang. Dalam kelas, kita menggunakan alat bantu mengajar. Cuba buat kajian berapa orang yang memberi perhatian ke atas alat bantu mengajar yang diguna.  Berapa orang pula yang mendengar, berapa orang yang melihat dan berapa orang pula yang menulis apa yang diajar.

Perlu juga dingatkan bahawa Imam Shafie memang berniat untuk mempelajari ilmu hadith dari kitab Al Mu’atta sejak beliau berada di Makkah lagi. Oleh itu beliau telah membaca kitab hadith itu terlebih dahulu, malah beliau telah menghafaz kandungan hadith itu. Bandingkan anak murid kita berapa orang yang ada niat nak belajar bersungguh-sungguh sebelum memasuki kelas, berapa orang pula yang telah membaca buku teks sebelum memasuki kelas? Itulah antara punca mengapa anak murid sekarang bebal dalam belajar.

Di bawah sub tajuk “The Fajr Prayers and another Teaching Session” Imam Shafie menceritakan bagaimana Imam Malik mengarahkan Imam Shafie mengajar. “But this time, instead of giving them himself, he handed over his book, the Mu’atta to me, and on his instructions I began to read it to the class, reverentially and the pupils began to take notes. And this then become the daily routine, which went on for eight month, during which period I myself managed to learn the Mu’atta by heart.”

Peristiwa ini menunjukkan bahawa kalau kita mengajar sesuatu (tak kiralah sama ada guru atau murid) kepada orang lain kita akan lebih ingat dan lebih faham. Ini juga merupakan kaedah belajar yang jarang digunakan oleh murid-murid. Kepada murid-murid diharapkan dapat menyediakan peluang untuk mengajar rakan-rakan semoga ingatan terhadap apa yang dipelajari akan lebih mantap lagi. Kepada para guru diharapkan dapat menekankan konsep perbincangan dalam kumpulan kecil begi melatih murid-murid berpeluang mengajar rakan-rakan mereka.

Sepanjang penulisan kali ini saya menekankan tentang pentingnya niat dalam belajar, persediaan awal sebelum kekelas, menggunakan kaedah belajar VAK (Visual, audiotori dan kinestatik) semasa mendengar pengajaran guru. Setelah itu cubalah membentuk kumpulan perbincangan untuk memantapkan lagi apa yang dipelajari.

Sesungguhnya pengalaman ulamak silam dalam menghadapi dan menjalani pengalaman pembelajaran wajarlah digali untuk kegunaan para pelajar dan murid masa kini. Sekian, TK.

Sudah empat hari aku menjadi pesara. Setakat ini aku belum sempat lagi menikmati erti persaraan.  Hari Khamis, hari aku mula menjadi pesara aku terpaksa ke SEMESTA Raub untuk menghantar Sijil Penghargaan Persaraan kerana masalah teknikal semasa dalam perkhidmatan. Hari Jumaat aku sibuk di program kampung sendiri dan semalam Sabtu aku terpaksa ke SMK Merapoh menjadi penceramah Jawab Untuk Jaya bagai mata pelajaran Sains SPM.

Hari ini Ahad, biasalah pagi-pagi aku akan ke Pekan Sahari Padang Tengku, membeli bekalan barang basah untuk seminggu. Jumaat ini isteri aku pula akan menamatkan perkhidmatannya sebagai PPP Bukan Siswazah DG 32.  Dia telah berkhidmat selama 33 tahun 6 bulan dibeberapa buah sekolah. Antara sekolah tempat beliau pernah berkhidmat ialah,  Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Bandar Lipis atau SEMERAK yang kini dikenali sebagai SMK Orang Kaya Haji, SMK Padang Tengku, SMK Batu Anam, Segamat Johor, SMK Padang Tengku, SMK Ketari Bentung, SM Agama Padang Tengku dan kini Sekolah Kebangsaan Padang Tengku.

Selepas tarikh 11 Julai 2009, kami suami isteri akan menjalani hidup sebagai orang awam yang bebas dari ikatan Peraturan Am Kerajaan.  Tak perlu lagi ingatkan General Order yang kadang-kadang sukar difahami. Tak perlu lagi isi borang Laporan Nilaian Prestasi Tahunan, Tak perlu ambil PTK, tak perlu lagi ambil Cuti Rehat Khas kalau nak hantar anak kemana-mana dan tiada lagi perbincangan tentang Head Count. Hidup ini akan ditumpukan membuat persediaan ke hari akhirat sebab semakin tua umur (dah bersara tu ertinya semakin tua lah) semakin dekat kepintu kubur.

Semua peringatan dari Allah telah ada.  Apabila kulit mula kendur, mata mula kabur, gigi mula gugur, uban mula bertabur maka ingatlah semakin hampir ke pintu kubur.  Mungkin akan ada orang yang marah apabila aku menulis begini.  Kata mereka ini contoh manusia tak produktif, berfikiran tak ekonomik, manusia tak prograsif dan sebagainya. Itu hanyalah andaian manusia yang menyangka bahawa hidup ini akan berpanjangan.  Purata hidup etnik Melayu di Malaysia hanya 70 tahun sahaja. Itu pun kalau sampai.  Ayah aku meninggal waktu berumur 69 tahun, ibu aku meninggal waktu berumur 71 tahun, abang aku meninggal ketika berumur 63 tahun dan adik aku meninggal waktu berumur 52 tahun.  Kalau kira purata mereka berempat ini adalah 64 tahun. Rasulullah wafat pada umur 63 tahun. Jangan jadi sesetengah pemimpin negara yang marah ketika mendengar lagu “Selimut Putih” di dendangkan di corong-corong radio. Isu lagu “Selimut Putih” ini heboh diperkatakan tahun 70′an dahulu, sehingga memerlukan beberap orang cendiakawan memberi pandangan akibat kebodohan satu golongan orang politik yang tak faham erti kehidupan. Kan itu ingatan kepada yang lalai dan lupa.

Bukanlah pula aku akan tumpukan semua kehidupan aku kepada ibadat khusus sahaja. Aku juga ada perancangan untuk memajukan harta pusaka keluarga aku, aku juga ada perancangan untuk membantu anak buah aku.  Insya Allah aku tetap berusaha untuk kemajuan hidup di dunia ini tetapi persediaan untuk akhirat tetap lebih diutamakan. Itukan juga ibadat jika mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat.

Laman sesawang ini akan aku gunakan menyampaikan maklumat dan pengetahuan tentang pengalaman menjadi guru untuk aku kongsi bersama para guru yang sedang lemas dalam usaha memajukan anak bangsa. Laman ini juga akan aku coretkan berbagai pandangan tentang kehidupan untuk tatapan generasi muda, remaja dan belia. Laman ini juga akan aku gunakan untuk menyorot masalah sosial, pendidikan, ekonomi serta politik semasa

Enteri kali ini merupakan enteri permulaan sebagai menandakan visi baru kepada seorang pesara yang sudah bebas dan merdeka dari ikatan General Order. Sekian TK

Hari ini (3 Julai 2009) adalah hari kedua aku menjalani alam pesaraan. Semalam hari pertama aku ke Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA), Raub. Aku ke sana kerana ada perkara penting perlu aku selesaikan. Perkara penting itu adalah aku terpaksa melayan keanehan yang berlaku dalam sistem data Kementerian Pelajaran Malaysia. Perkara ini pelik tetapi benar.

Sebelum bersara aku dinaikkan pangkat dari DG 48 ke DG 52.  Tiga tahun dahulu aku memang mengajar di SEMESTA, Raub sebagai Guru Cemerlang (GC) dimana sebelumnya aku mengajar di SMK Padang Tengku juga sebagai GC bermula 2001. Apabila aku menerima tawaran kenaikan pangkat tiba-tiba aku diminta kembali ke SEMESTA walau pun pada 2006 aku telah bertukar kembali ke SMK Padang Tengku. Kronologi perkhidmatan aku ialah 2001 – 2003 GC di SMK Padang Tengku.  2003 – 2006 GC di SEMESTA dan 2006 – 2009 kembali semula ke SMK Padang Tengku. Tetapi surat tawaran kenaikan pangkat yang diterima pada 26 Mei 2009 meminta aku kembali ke SEMESTA.

Apa yang pelik ialah:  Pertukaran saya dari SEMESTA ke SMK Padang Tengku dibuat oleh Bahagian Sumber Manusia KPM. Sepatutnya data perkhidmatan saya menunjukkan saya berkerja di SMK Padang Tengku.  Kedua setiap enam bulan data EMIS akan dihantar ke KPM. Apa dah jadi dengan data ini. Ini menunjukkan orang di KPM tak peka dengan maklumat di Bahagian Sumber Manusia KPM dan juga data EMIS. Sia-sia sahaja kerja guru data di sekolah yang selalu bersengkang mata untuk siapkan data dalam masa yang singkat dan genting.

Oleh kerana akur dengan perintah maka saya terpaksa melapor diri ke SEMESTA pada 25 Jun 2009 dan selepas seminggu dari tarikh itu saya bersara. Sebenarnya pada 14 Mei saya sudah menerima Sijil Penghargaan dari KPM tentang persaraan.

Lagi aneh ialah surat kenaikan pangkat saya dan sijil penghargaan persaraan ditanda tangani oleh pegawai yang sama iaitu KPPM sendiri. Nampak sangatlah bahawa urusan di KPM ini tidak merajuk kepada data yang terkini. Itulah yang boleh aku simpulkan dengan apa yang aku alami masa kini. Hari semalam 2 Julai 2009 aku ke SEMESTA kerana menghantar salinan Sijil Penghargaan Persaraan yang aku terima dari pihak SMKPT secara rasmi.

Diruang siber ini aku ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana pihak SMKPT telah membuat sambutan secara besar kerana persaraan aku. Hebat sambutannya tidak dapat aku kesahkan. Diakhir sambutan aku diarak dengan konvoi kereta dari sekolah ke rumah aku. Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua dan juga cendaramata atau cendrahati yang diberi tanda kenangan abadi. Orang memberi kita menerima.

Dengan acara “Majlis Sanjungan Budi” yang dibuat khusus untuk aku serta iringan konvoi itu maka berakhirlah perkhidmatan rasmi aku sebagai guru. Walau bagaimana pun sekali guru selamanya guru.

Untuk hari ini Jumaat, 3 Julai 2009 aku terlibat secara langsung menjalankan Program Kecemerlangan Pendidikan Relong – Rafulin Holdings Sdn Bhd. Sesungguhnya Rafulin Holding Sdn Bhd telah memilih Kampung Relong untuk dijadikan anak angkatnya. Oleh itu kami berasa bertanggung jawab untuk menjalankan amanah. Program bermula dengan sessi motivasi kepada para peserta yang terdiri daripada murid Tingkatan Lima – anak Relong dari beberapa sekolah di Daerah Lipis. Awal pagi jam 8.30 pagi aku menyampaikan ceramah motivasi dan kemahiran belajar kepada peserta.

Petang ini akan diadakan majlis perasmian Program oleh Pengerusi Rafulin Holdings. Majlis bermula jam tiga petang selepas solat Jumaat. Pada pukul lima petang, peserta akan dibawa ke UKM untuk menjalankan program bersama MAWAR (Mahasiswa Anak Relong) dan juga Seminar Skor A.

Diharapkan program ini dapat menjana kecemerlangan dikalangan anak Relong terutama diperingkat SPM. Ini program pertama. Sudah pasti akan disusuli dengan program lain. Insya Allah. We can bring the horse to the water but we cannot make sure the horse drink the water. Kita boleh memberikan motivasi tetapi sama ada anak-anak itu nak belajar atau tidak, itu terpulang kepada mereka. 

Setakat ini aku belum lagi dapat merasai erti persaraan. Aku masih sibuk dengan program pendidikan.  Esok pun aku masih perlu ke SMK Merapoh menjalankan program Yayasan Pahang. Hingga jumpa lagi. Sekian entri kali ini. TK.