Ogos 2009


Dalam menceritakan tentang Kenangan 3 dahulu aku telah menyebut bahawa dihadapan rumah aku ada gedung.  Biasanya selepas musim menuai padi selain sibuk memikat burung pipit dan burung merbah atau lain-lain burung satu lagi aktiviti yang aku buat iaitu menaut ikan haruan. Ikan haruan memang banyak dalam gedung terutama selepas musim menuai kerana telah berlaku proses pembiakan ketika awal musim menanam padi..

Sebenarnya ada beberapa cara untuk menangkap ikan haruan. Ayah biasanya menggunakan cara pertama iaitu menggunakan kaedah mengenjut. Untuk menggunakan kaedah mengenjut ini seseorang mesti menggunakan pancing yang khusus. Jorannya panjang hampir tiga depa atau 16 kaki. Batang joran dibuat dari pelepah pedor atau buluh padi. Tali pancing yang dibuat dari tangsi tentu sepanjang itu juga. Umpan yang digunakan ialah katak.  Katak diletakkan pada mata pancing dengan kaedah tertentu. Mata pancing yang dilekatkan umpan (katak) akan dibaling sejauh mungkin dan ditarik secara menghenjut-henjut seolah-olah katak itu sedang bergerak diatas air. Ini akan merangsang ikan haruan untuk menyambarnya. Bila haruan menyambar katak, ia akan terlekat pada mata pancing. Memancing cara ini aku tak berapa pandai.

Cara kedua ialah dengan menggunakan taut. Joran taut dibuat menggunakan pelepah bertam (pedor) atau cucuh atau buluh kecil. Panjangnya satu depa (4 kaki) sahaja.  Tali yang juga dibuat dari tangsi sepanjang dua ke tiga kaki. Umpannya pula digunakan anak ikan puyu, ikan karing atau anak sepat. Umpan disangkut pada mata pancing dibahagian belakangnya (kesian umpan ini dicucuk belakangnya hidup-hidup). Setelah umpan dilekatkan pada mata pancing, joran akan dicucuk ketebing petak sawah dengan memastikan umpan dapat bergerak-gerak didalam air. Gerakan umpan akan merangsang haruan untuk menangkapnya. Bila umpan disambar haruan akan terlekat pada mata pancing. Biasanya aku akan pasang 10 taut pada sesuatu masa di 10 lokasi tertentu ditebing gedung dekat rumah aku itu.

Ada satu kerja lain yang mesti dibuat sebelum boleh menaut, iaitu mendapatkan umpan. Anak puyu, ikan karing serta anak sepat mudah didapati dalam petak-petak sawah. Tangkapan dibuat menggunakan sibam (sejenis alat yang dibuat dari bilah-bilah bertam yang dianyam). Umpan yang dikumpul disimpan dalam tempayan kecil. Oleh itu mudah untuk memasang taut bila umpan dimata pancing habis. Haruan yang terlekat dekat mata pancing akan diambil dan disimpan dalam tempayan besar yang ada air. Ikan ini akan dikorbankan apabila perlu. Biasanya terdapat lima atau enam ekor haruan berbagai saiz pada sesuatu masa dalam tempayan. Oleh itu bekalan protein sentiasa ada dirumah ketika itu. Kalau haruan banyak dalam tempayan, aku akan beri pada jiran tetangga seekor dua. Itu cara hidup dikampung, yang banyak akan memberi walau pun tidak diminta.

Ada masanya yang terlekat pada mata taut bukannya haruan tetapi ular atau resin (sejenis kura-kura). Untuk membuangnya ada kaedah tertentu. Menaut merupakan aktiviti yang aku buat sepanjang masa dari musim selepas menuai padi sehingga ke musim membersih sawah.

Satu lagi kaedah menangkap haruan ialah dengan menahan tuar. Sejenis alat yang dibuat dari bilah pedor dianyam dengan mulutnya besar dan bahagian belakang diikat. Tuar dipasang pada air mengalir di batas-batas petak sawah. Biasanya tuar untuk haruan dipasang melawan arus air kerana haruan boleh memanjat batas petak melalui air. Kalau nak ikan lain tuar dipasang menghadap air mengalir ini kerana ikan lain akan bergerak mengikut aliran air.

Kenangan sebegini hanya tinggal kenangan sahaja kerana kawasan kampung aku sudah tidak mengusahakan sawah padi lagi. Satu keadaan yang bahaya kepada keselamatan makanan negara. Menurut cerita ayah dan emak aku, mereka boleh mandiri (survive) semasa Jepun memerintah Malaya (3 tahun 8 bulan) kerana mereka mengusaha padi. Kini kalau apa-apa berlaku kepada bekalan beras negara, penduduk kampung aku akan kebulurlah nampaknya. Kawasan sawah masih ada, sumber air masih ada yang tiada ialah anak muda yang mengusahakannya. Ini satu perkara yang perlu diberi perhatian demi keselamatan bekalan makanan negara.

Sekian, selamat menyambut hari merdeka ke 52 dan selamat menjalani latihan Ramadhan semoga Ramadhan kali ini yang terbaik dalam pengalaman hidup setakat ini. TK

Dalam lakaran ini aku ingin berkisah tentang salah satu hobi aku semasa sekolah rendah dulu. Sebagai anak penanam padi, aktiviti kehidupan sampingan kami juga berubah ikut musim padi. Masa itu padi ditanam semusim sahaja. Rutin menanam padi setiap tahun adalah sama. Bermula dengan menydiakan petak-petak sawah, menebas tapak semaian, mencangkul sawah, mencabut anak benih, menanam anak padi, membaja, merumput, menuai dengan didahului dengan membuat emping kekalu, mengirik dan menampi padi sebelum padi dijemur untuk ditumbuk atau dimesin bagi mendapatkan beras baru.

Aktiviti sampingan itu adalah menangkap burung pipit serta memeliharanya sepanjang musim padi. Padi disemai diatas tanah yang ditebas dan dibakar. Selepas itu tapak semaian dicuci bersih daripada akar dan sampah daun-daun. Padi ditabur diatas tapak semaian. Biasanya ia dibuat dimusim hujan mula turun oleh itu tidak perlulah tapak semaian itu disiram. Selepas padi ditabur dan ditutup dengan tanah, burung pipit akan datang makan butir-butir padi yang tidak ditutup oleh tanah. Pada masa inilah kaedah menangkap pipit dibuat. Biasanya kaedah menggunakan getah burung adalah lebih baik.  Burung kena getah tidak boleh terbang, oleh itu mudah ditangkap.

Burung pipit yang kena getah akan dijadikan denak. Cara lain nak dapat denak ialah dengan mengambil anak burung pipit yang selalunya buat sarang atas pokok pinang. Sebelum itu sangkar burung telah siap dibuat. Sangkar burung pipit dibuat menggunakan pelepah pokok cucuh sebagai rangkanya. Bilah-bilah dinding pula dibuat menggunakan buluh atau kulit pelepah pedor (bertam). Aku memang pandai membuat sangkar burung pipit ini. Sangkar atau jebak pipit ini akan dibuat tiga bilik. Bilik tengah adalah tempat denak manakala kiri dan kanannya adalah tempat yang menjadi perangkap kepada pipit lain yang datang. Dalam bilik tengah akan ada tempat bekalan makanan (padi) dan air.

Jebak berisi denak ini akan digantung dianjung rumah. Biasanya pada masa musim padi belum dituai pipit sukar datang ke jebak yang ada denak ini kerana ketika itu padi banyak disawah. Bekalan makanan banyak. Ketika ini juga burung pipit ini sibuk membuat sarang di atas pokok pinang yang memang banyak sekitar rumah. Apa yang perlu ialah mempastikan denak ini jenis yang berbunyi atau jenis garang.

Selepas waktu menuai, anak-anak pipit banyak tetapi makanan kurang. Pada masa inilah aktiviti kami akan bermula. Pipit yang menjadi denak dalam sangkar akan berbunyi, memanggil rakan-rakan yang lain. Sebelum ke sekolah aku akan memasang perangkap di kiri dan kanan jebak. Biasanya bila balik nanti akan adalah burung pipit yang masuk perangkap. Burung pipit yang baru masuk perangkap akan dipindahkan kesatu sangkar yang besar.

Bagi mereka yang pandai membuat jebak pipit ini mereka buat empat perangkap di empat penampang jebak. Sudah tentu hasilnya akan lebih banyak. Aku pernah memelihara sekitar lima puluh ekor burung pipit. Mana-mana yang aku dapati agak garang akan aku beri kepada rakan-rakan yang lain.

Ketika aku nak masuk ke sekolah menengah aku telah sembelih semua burung pipit itu untuk digoreng. Ini disebabkan tiada orang yang akan menjaga burung pipit dalam sangkar ini apabila aku tinggal di asrama.    

Terdapat beberapa jenis burung pipit di kampung aku. Antaranya ialah pipit hitam atau pipit trit (bunyinya trit…trit), pipit merah (seluruh bulunya kemerahan) dan pipit uban (ada bulu putih di kepalanya).  Burung pipit yang aku pelihara ialah pipit trit yang makan padi. Pipit uban tidak dipelihara kerana ia bersifat gelojoh sedikit.  Selamat menjalani puasa Ramadhan. Semoga dapat kesempatan mendapat lailatul Qadar. Sekian TK.

Dulu aku cerita tentang harimau, kerbau dan ular. Kali ini aku cerita tentang kambing pula. Semasa aku darjah empat, keluarga aku memelihara kambing. Ketika itu kami sudah tidak memelihara kerbau. Ayah mengemukakan pendapatnya tentang pemeliharaan kambing kepada abang ipar aku. Abang ipar aku ini seorang guru. Dia mengajar di SK Kechor Tui sebagai Guru Besar. Guru Besar sekolah kurang murid.

Suatu hari abang ipar dan kakak aku balik dari Kechor Tui membawa bersama sepasang kambing. Seekor jantan dan seekor betina. Sebelum itu ayah sudah menyediakan reban kambing bertiang tinggi. Reban kambing itu bersaiz 12 kaki X 15 kaki. Beratap pedur (bertam) yang dianyam serta dindingnya dibuat daripada buluh yang dianyam siku keluang.  Reban itu dibuat dibelakang rumah kami. Ayah tarah kayu bulat untuk buat tangga kambing. Kiri dan kanan tangga itu ada pagar untuk menggelakkan kambing jatuh.

Bermula dari hari itu aku sudah ada kerja baru, iaitu menjadi gembala kambing. Hujung minggu aku akan melepaskan kambing pukul 10.00 pagi dan merebankan kambing (memasukkan kambing kedalam reban) pada pukul 6.00 petang. Hari sekolah kerja aku hanya merebankan kambing sahaja. Kambing akan dilepas dari kandangnya oleh ayah atau emak aku.

Selang beberapa minggu, abang ipar aku membawa balik seekor lagi kambing betina. Oleh itu kami ada dua ekor kambing betina dan seekor kambing jantan. Tak sampai lima bulan kedua-dua kambing betina itu sudah beranak. Apa yang menggembirakan ialah setiap ibu kambing beranak dua ekor. Oleh itu sudah ada tujuh ekor kambing semuanya.

Beberapa pengalaman memelihara kambing ini wajar saya kongsi dengan pembaca budiman. Pertama, bukan mudah hendak mengiring gerombolan kambing ini dari rebannya dibelakang rumah ke tempat ragutannya iaitu diseberang rumah, dalam kebun getah. Kalau kepala jalan ialah kambing betina (ibu kambing) perjalanan akan mudah tetapi perlahan kerana ibu kambing nak ambil kisah tentang anak-anaknya dibelakang dan akibatnya kambing jantan yang gatal akan mendeket ibu kambing dari belakang. Kecoh jadinya. Sekiranya kepala jalan ialah kambing jantan maka perjalanan selalunya melencong-lencong. Sijantan akan menunggu mangsanya sepanjang jalan.

Kedua, sangat sukar untuk membolehkan kambing-kambing ini keluar reban secara seekor demi seekor. Biasanya kalau pintu reban dibuka pukul 10.00 pagi, semua kambing ini akan cuba berterak-terak (berasak-asak) keluar. Kalau murid sekolah nak keluar kelas tidak berbaris atau orang keluar bas tidak berbaris maka bolehlah dikatakan mereka itu mempunyai perangai seperti kambing keluar reban. Maksudnya kumpulan manusia yang tiada disiplin ketika memasuki atau keluar dari sesuatu tempat.

Ketiga,  kalau kambing itu tak balik ke rebannya pukul 5.30 petang, alamatlah aku terpaksa pergi mencarinya. Keadaan ini jarang berlaku kecuali kalau hari hujan. Waktu hujan kambing akan berteduh dimana-mana ada pokok besar. Oleh itu perjalanan pulang akan tergendala. Seperti kambing takutkan hujan. Itu peribahasa yang bermaksud orang beramai-ramai berteduh dibawah sesuatu tempat kerana hujan seperti dibawah jejatas di lebuhraya waktu hujan.

Keempat, setelah kambing direban, setelah pintu reban ditutup, satu kerja yang mesti dilakukan ialah membuat unggu api di bawah reban, untuk mengelakkan kambing kembung terutama musim hujan. Pengalaman yang tak akan aku lupa ialah kena siram dengan air kencing kambing waktu menghidupkan unggun api. Selepas kena siram aku akan terjun dengan segala pakaian dibadan kedalam gedung. Mandi cepat-cepat kalau tidak bau kambing akan dibawa sampai malam. Tidur pun bau kambing, esok ke sekolah juga bau kambing.

Kelima, bermain dengan anak-anak kambing memang mengasyikkan. Anak-anak kambing ini suka melompat-lompat dari tempat tinggi.  Selalunya aku akan cari lesung yang tertelungkup. Letak lesung itu disuatu tempat dan iring anak-anak kambing itu agar bermain lompat lesung. Selepas itu anak-anak kambing yang comel itu aku dukung seekor atau dua ekor sekali. Itulah satu bentuk hiburan yang mungkin tak dapat dinikmati oleh anak-anak  masa kini. 

Sememangnya menggembala kambing melatih kesabaran.  Para nabi seperti Rasulullah SAW, dididik kesabaran dirinya menjadi gembala kambing.  Begitu juga Nabi Musa as dan beberapa nabi yang lain, mereka dilatih oleh Allah SWT untuk menjadi insan yang sabar dengan menjadi penggebala kambing.  Oleh itu memelihara kambing adalah satu sunnah Rasulullah SAW. Disamping itu produk dari kambing ini sangat banyak khasiat, seperti susu dan dagingnya.

Semoga kenangan ini dapat menambahkan kesabaran kepada penulis dan juga pembaca. Selamat menyambut kedatangan Ramadhan al Mubarak. Sekian TK

Aku dapat satu artikel dari Ustaz Rushdan, untuk manfaat ramai aku salin dan buat sedikit editing kepada tulisan beliau seperti berikut;

Seperti yang pernah saya coretkan di sini bahawa hakikat kehidupan ini adalah sebuah perjalanan menuju Allah Yang Menghidupkan dan Yang  Mematikan sesuatu,Yang menjadikan muka bumi dan alam semesta ini  sebagai tempat ujian untuk makhluk bernama Jin dan Manusia. Perjalanan itu pula pada hakikatnya adalah  perjalanan Hati yang sentiasa dipengaruhi oleh dua perunding utama dalam diri manusia iaitu akal dan nafsu…

“Malah perjalanan menuju Allah adalah sebenarnya perjalanan hati…Dan anggota lain sebagai kenderaan… dan kehidupan adalah jalan-jalan yang terpaksa dilalui…” (mengenal diri dan hakikat kehidupan…NasihatKu)

Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja melalui perjalanan ini tanpa sebarang pedoman. Sifat Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya menyebabkan bersama kejadian manusia itu diturunkan bersamanya al Kitab (al Quraan) dan diutuskan para Rasul alaihi solatu was salam bagi membimbing serta menunjukkan jalan yang betul menujuNya.

Firman Allah:

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan. (Ujian)
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi apa yang ada di dalam dada kamu (Hati Kamu), dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.

(Yunus 55-58)

Kelebihan…Disertai Kemuliaan

Allah s.w.t. menjadikan makhlukNya tidak sama antara satu sama lain. Allah melebihkan sesuatu dan mengurangkan sesuatu yang lain. Itulah keindahan ciptaanNya. Antara hikmatnya ialah supaya makhluk ini saling bergantung serta memerlukan antara satu sama lain dan kesemuanya itu berhajat dan bergantung kepada Yang Maha Pencipta. Allah melebihkan dan memuliakan Manusia daripada makhlukNya yang lain, begitu juga Allah telah memuliakan Nabi Muhammad s.a.w. melebihi Nabi-nabi yang lain, Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada hari-hari yang lain. Begitulah Allah telah memuliakan Bulan Ramadhan mengatasi kemuliaan bulan-bulan yang lain.

Setiap yang Allah lebihkan dan muliakan itu memang pada hakikatnya ada kelebihan dan ada kemuliaannya, sama ada pada zat kejadiannya atau pada sebab ia dijadikan. Contohnya manusia, selain daripada kejadiannya yang unik yang menghimpunkan antara sifat Haiwan (sifat yang ada pada binatang yang memerlukan makan, minum seks dan sebagainya, serta fizikal daripada jenis Mamalia sepeti sebahagian haiwan lain.) dan sifat Malaikat yang boleh tunduk dan patuh serta mendekatkan diri kepada Allah (sepeti sifat patuh para malaikat) manusia juga dimuliakan kerana sebab ia dijadikan iaitu untuk menjadi Khalifah bagi memakmurkan muka bumi ini dengan apa yang diredhai Penciptanya.

Ramadhan…Kelebihannya Pada al Quraan

Begitu juga Bulan Ramadhan, Allah memuliakannya kerana padanyalah diturunkan al Quraan. Sebagai Petunjuk  yang telah memberi panduan kepada manusia bagaimana untuk hidup dengan cara yang betul, atau dengan kata lain bagaimana untuk memakmurkan muka bumi ini dengan cara yang betul. Iaitu bagaimana untuk melaksanakan tugas Khalifah di muka bumi ini yang dengan sebabnya manusia dimuliakan dan dilebihkan daripada makhluk yang lain.

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; (al baqarah: 185)

Malah pada malam pertama diturunkan al Quraan daripda Luh Mahfuz diberi fadhilat lebih daripada seribu bulan, dan diulangi setiap tahun sehingga hari Qiamat iaitu malam lailatul Qadar:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Ini semua menunjukkan betapa besarnya erti al Quraan kepada kehidupan ini. Oleh itu bagi seorang Mukmin yang memahami tujuan dan erti hidup ini, tiada tulisan  yang paling suka untuk ditatapinya berbanding al Quraan, tiada kalimah yang sentiasa menarik hati dan mindanya untuk  memahaminya melainkan kalima-kalimah al Quraan dan tiada alunan yang paling suka untuk didengarinya saban hari malah setiap ketika (yang sesuai) melainkan alunan daripada bacaan al Quraan, sehingga terpancar daripada hati kepada lidahnya sebuah doa yang diulang-ulang kepada Tuhannya;

اللهم اجعل القرآن ربيع قلوبنا ونور ابصارنا وجلا ءهمناوطريقنا الذى نمشى عليه

Itulah hakikat mukmin dengan al Quraan dan itulah keadaan dirinya di bulan Ramadhan…

Ramadhan Perhentian Untuk Mencari Bekalan…

Allah telah menyusun kehidupan ini sedemikian rupa yang mana hari silih berganti bulan berlalu menjangkau tahun dan Allah telah juga mengolah agama yang diredhaiNya untuk manusia yang sesuai dengan peredaran masa supaya manusia tidak lupa bahawa dunia ini ada Pencipta dan Penentu perjalanannya dan pada akhirnya semua manusia akan dikembalikan KepadaNya. Bagi mereka yang lupa dan lalai akan menerima balasan sewajarnya, sebaliknya bagi mereka yang peka dan sentiasa mencari bekal yang disediakan akan mendapat habuan yang dijanjikan.

Allah menentukan pada setiap hari itu waqafat (perhentian) supaya mukmin mentajdidkan hubungannya dengan Penciptanya melalui solatnya yang telah ditentukan waktunya, begitu juga pada setiap minggu ada waqfah untuk mukmin berhubung serta menginsafi hal ehwal masyaraktnya melalui solat Jumaat dan seterusnyalah Allah menjadikan sebulan suntuk Bulan Ramadhan pada setiap tahun sebagai suatu waqfah besar kepada hambaNya yang mukmin untuk dia mencari sebanyak mungkin bekalan untuk perjalanan seterusnya.

Bekalan, persediaan latihan melawan nafsu mengekang kemahuan perut daripada makan dan minum serta mengekang kemahuan faraj daripda seks yang biasanya dihalalkan disiang hari untuk menguatkan hatinya bahawa Syariat Tuhan mesti didahulukan mengatasi kemahuan syahwat. Bekalan, menguatkan hubungan dengan Penciptanya dengan Qiam di malam dan dini hari serta berdoa dan bertaubat kepada yang Maha Pengampun lagi Mengasihani. Bekalan, menajamkan minda dan matahatinya dengan tilawah dan tadarrus al Quraan sebagai perisai diperjalanan dan untuk pertarungan yang akan datang. Bekalan, menginsafi bahawa perjalanannya yang sebenarnya adalah menuju Akhirat dan di sanalah kehidupan hakiki dan abadinya dengan memutuskan buat seketika kesibukan dunia fatamorgana ini dengan beriktikaf sepuluh hari terakhir Ramadahan. Bekalan, membentuk akhlak jiwa pemurah dan sifat rahmatnya kepada makhluk Allah serta melawan sifat ananiyyah (individulistik) dan bakhilnya dengan bersedekah dan Zakat.

Inilah satu WAQFAH BESAR untuk mencari bekalan yang Allah sediakan bagi mereka, bagi yang mengerti tentang hakikat kehidupan ini dan ke mana penghabisannya…

Dan itulah hakikat dan keadaan seorang Mukmin di bulan Ramadhan yang tentunya  berbeza dari yang lainnya dan daripada masa-masa yang lain…

“Dan carilah bekalan oleh kamu, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah Taqwa…”

Itulah bekalan yang perlu dipungut sepanjang bulan Ramadhan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, InsyaAllah… Sekian TK

 

Malam ini adalah Malam Nisfu Sya’ban dan aku terjumpa dalam laman orang lain perbincangan dan nama-nama Malam Nisfu Sya’ban ini. Oleh itu aku paste ajelah untuk bacaan bersama.

Pertama adalah perbincangan tentang amalan di malam Nisfu Sya’ban

Membaca Yasin 3 Kali Di Malam Nisfu Sya’ban
Dimasukkan oleh IbnuNafis
Label: Soal Jawab Perkara Khilafiyyah

Jawapan dari Ustaz Abdul Kadir Al Jofree :

Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut. Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya’ban ini dilakukan oleh para ULAMA’ zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.

Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya’ban dengan jelas dan adil ya…

Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya’baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :

“Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya’baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”  (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nishfu Sya’baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya’baan.”

Malam Nishfu Sya’baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya’baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma’dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya’baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:

* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya’baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya’baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya’baan atau pada malam-malam yang lain.

Sedikit tambahan lagi:

Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara’. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.

Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal seadanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara’.  Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.

Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya’ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na’udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.

Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya’ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.

Wallahu A’lam
/jomfaham

Kedua dari Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Nama-nama Malam Nisfu Sya’ban

Sebagian ulama menyebutkan bahwa malam nishfu sya’ban memiliki banyak nama, dan sudah menjadi maklum bahwa banyaknya nama menunjukkan kemulyaan yang mempunyai nama itu. Bahkan al Imam Abul Khoir Ath Thaliqani menyebutkan tidak kurang 22 nama nishfu sya’ban, diantaranya :

Lailatul Mubaarokah (Malam keberkahan)

Artinya malam itu sendiri memiliki keberkahan, atau karena makna dan rahasia yang terdapat didalamnya atau karena dekatnya malaikat kepada manusia pada malam itu.

Lailatul qismah (Malam pembagian)

Yaitu pembagian rizqi dan penentuan takdir yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT, sebagaimana yang diriwayatkan dari ‘Atho’ bin Yasar, beliau berkata:

“Jika tiba malam nishfu sya’ban malaikat maut menghapus setiap nama orang yang ditakdir akan mati pada sya’ban itu sampai sya’ban yang akan datang, dan sesungguhnya seseorang berbuat kedholiman dan kekejian atau menikahi wanita atau menanam pepohonan padahal namanya telah dipindah dari (catatan) golongan orang-orang yang hidup ke dalam (catatan) golongan orang-orang mati dan tidak ada malam yang lebih mulia setelah malam Lailatul Qadr daripada malam nishfu sya’ban”

Lailatut Takfiir (Malam pengguguran dosa)

Al Imam Taqiyuddin As Subki RA menyebutkan dalam tafsirnya bahwasanya malam nishfu sya’ban menggugurkan dosa selama setahun dan malam jum’at menggugurkan dosa sepekan dan malam lailatul qadr menggugurkan dosa seumur hidup.

Lailatul Ijaabah (Malam pengabulan doa)

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA, beliau berkata :

“Terdapat lima malam yang tidak akan tertolak doa ( si hamba ), yaitu malam jum’at, awal malam bulan rajab, malam nishfu sya’ban, malam lailatul qadr dan dua malam hari raya (Idul Fitri dan Idul Adha).

Lailatu ‘iidil malaaikah (malam hari raya malaikat)

Al Imam Abu Abdillah Thohir bin Kuhammad bin Ahmad al Haddadi ra menyebutkan dalam kitabnya ‘Uyuunul Majaalis :

“ Sesungguhnya para malaikat di langit mempunyai dua hari raya sebagaimana kaum muslimin, adapun hari raya malaikat adalah malam nishfu sya’ban dan malam lailatul qadr sedangkan hari raya muslimin adalah idul fitri dan idul adha. Hari raya malaikat malam hari karena mereka tidak tidur, jadi siang dan malam sama di hadapan mereka, sedang hari raya muslimin pada siang hari karena malam adalah waktu mereka tidur dan beristirahat “.

Lailatusy Syafa’ah (Malam pemberian syafa’at)

Nama ini diberikan oleh al Imam Abu Manshur Muhammad bin Abdillah al Hakim an Naisaaburi dan ulama lainnya.

Lailatul Baraa ah (malam pembebasan)

Yang dimaksud adalah dibebaskan dari neraka Allah, yang demikian ini diberikan kepada mereka yang melaksanakan hak-hak Allah dan melaksanakan kewajibannya sebagai hamba Allah.

Lailatut Ta’dziim (malam kemulian)

Nama ini diberikan oleh Taqiyuddin as Subki ra dalam tafsirnya.

Lailatul ghufraan wal ‘itq minan niiraan (malam pengampunan dan pembebasan dari neraka)

Keterangan ini disebutkan dalam kitab Tuhfatul Ikhwan yang ditulis oleh as Syeikh Syihabuddin Ahmad bin Hijazi Rahimahullah.

 Dengan keterangan diatas kita dapat mengetahui betapa agung malam nishfu sya’ban itu. Sehingga ketika kita sudah mengetahui kemuliaannya maka hendaknya kita mempergunakan kesempatan umur dengan banyak beribadah pada malam ini, entah dengan sholat, dzikir, sholawat atau doa-doa yang biasa dibaca oleh kaum muslimin. Doa-doa itu ditulis oleh ulama pendahulu kita agar dibaca guna memulyakan dan menyemarakkan malam nishfu sya’ban sehingga umur dan waktu kita tidak berlalu begitu saja. Dan di dalam semua itu terdapat fadhilah dan pahala yang besar. Wallahu A’lam.

Sekian, untuk perkongsian bersama. TK

Terdapat beberapa masalah yang sering dihadapi oleh para guru didalam kelas. Antaranya ialah: Murid tidak bersedia dari segi minda, murid tidak membuat bacaan tentang tajuk yang hendak dipelajari sebelum memasuki kelas. Kebanyakan murid malas membaca dan terdapat juga dikalangan murid yang fobia apabila melihat buku tebal. Diperhatikan juga terdapat kelemahan yang ketara dikalangan calon peperiksaan yang tidak mampu membuat penjelasan yang betul tentang sesuatu perkara. Ramai murid yang tidak jelas cara untuk membuat nota, oleh itu mereka biasanya menghasilkan buku nota yang lebih tebal berbanding buku teks. 

Penulisan ini cuba membincangkan satu pendekatan mengajar yang boleh mengatasi masalah yang dinyatakan diatas serta menggunakan bahan yang ada didalam buku teks masa kini. Pertama; Guru perlu membuat salinan foto (fotocopy) Peta Konsep yang terdapat diakhir setiap bab dalam buku teks. Kedua; Edarkan salinan Peta Konsep tajuk yang hendak diajar pada hari itu, kepada setiap murid. Ketiga; Fokuskan kepada mana-mana cabang daripada Peta Konsep yang hendak diajar dengan meminta setiap murid mengkaji bahagian Peta Konsep itu secara sepintas lalu (Menggantikan bacaan sebelum kelas bermula – untuk set minda murid ketika kelas hendak dimulakan). Keempat; Guru memberikan beberapa soalan tentang maklumat yang boleh didapati dari Peta Konsep yang telah diedarkan (menjuruskan minda murid sebagai set induksi pengajaran – Soalan-soalan ini bolehlah didasarkan kepada learning outcome yang hendak dicapai dalam pengajaran pada hari itu). Kelima; Guru membuat penerangan tentang sub-tajuk yang hendak diajar (penerangan konsep). Pada masa ini guru bolehlah juga merujuk kepada apa yang ditulis dalam buku teks.  Keenam; Soalan-soalan untuk membantu interaksi diedarkan atau dipaparkan (interaksi Guru -> Murid -> Bahan) untuk menjelaskan lagi konsep yang diajar. Dalam langkah ini Eksperimen atau aktiviti yang berkaitan boleh dijalankan.

Kesimpulan dari aktiviti atau eksperimen atau penerangan dapat dibina (membina konsep kendiri). Murid boleh menambah cabang Peta Konsep mereka sebagai nota tambahan. Murid boleh memurnikan Peta Konsep yang telah diubah suai sebagi nota yang terdapat pada sehelai kertas sahaja. Murid bolehlah berkreatif untuk menjadikan Peta Konsep mereka berwarna warni serta memasukkan gambarajah yang berkaitan.  Galakkan murid membina soalan dari apa yang telah dipelajari. Sebagai kerja lanjutan (kerja rumah) murid dikehendaki membina soalan sendiri dan mencari jawapan kepada soalan mereka itu.

Dalam menggunakan pendekatan ini, terdapat dua perkara yang perlu disiapkan atau diajar sebelum kaedah ini dapat digunakan iaitu; Penyediaan Peta Konsep yang mencukupi dan murid telah diajar dan dibiasakan membina soalan. Oleh yang demikian diawal tahun murid hendaklah diajar cara membina soalan menggunakan 5W1H (What, When, Where, Who, Why dan How).

Berdasarkan pengalaman, terdapat beberapa kelebihan apabila  menggunakan pendekatan ini.  Pendekatan ini dapat melatih kreativiti dan inovasi murid secara ekstransik. Peta Konsep dapat digunakan sebagai alat bantu sebelum mengajar (pre-teaching aids), alat bantu semasa mengajar ( instructional teaching aids) dan juga alat bantu selepas mengajar (post-teaching aids). Ada masanya Peta Konsep ini dapat menjadi pengganti kepada teks (text subtitusion). Peta Konsep yang sudah diubah suai oleh setiap murid boleh digunakan untuk proses ulangkaji pelajaran dengan mudah kerana merupakan nota yang ringan dan ringkas.

Sekiranya murid kreatif meraka boleh mewarnakan Peta Konsep yang telah diubah suai untuk menjadikannya lebih menarik untuk digunakan. Menggunakan warna dalam nota akan lebih menarik minat murid untuk mengulangkaji pelajaran. (satu hipotesis yang boleh dibuat kajian). Secara tidak langsung berbagai kemahiran disepadukan dalam membina peta konsep kendiri oleh setiap murid. Melalui pendekatan ini penguasaan pembelajaran dan ingatan dapat ditingkatkan.

Secara tak langsung setiap murid mempunyai nota yang berbeza dan berwarna warni. Setiap satu tajuk mungkin memerlukan dua atau satu Peta Konsep sahaja. Oleh itu nota sudah menjadi sangat ringan dan tidak membebankan. Untuk memahami peta konsep itu murid perlu berfikir sambil boleh membina penerangan kepada setiap cabang peta konsepnya. Oleh itu murid mengukuhkan kemahiran berfikir dan mengingat serta boleh membuat penerangan kepada sesuatu konsep atau idea.  Sekiranya setiap murid boleh melaksanakan perkara ini dengan baik maka akan wujud budaya menggunakan peta konsep dalam sekolah.

Satu langkah kehadapan selepas membiasakan murid menggunakan peta konsep ialah mengajar murid membuat Peta Minda. Para guru wajar meneroka kaedah membina dan mengguna Peta Minda dan melatih murid dalam menggunakannya. Sekian TK