September 2009


Early birds catch the most worm“. Ini peribahasa Inggeris yang bermaksud burung yang awal akan mendapat paling banyak cacing. Maksudnya mereka yang awal itu akan dapat paling banyak rezeki. Aku tak pasti sama ada peribahasa ini masih tepat waktu ini. Aku melihat orang kampung yang bergerak pagi, pergi kerja masih begitu juga keadaannya. Mungkin dikalangan ahli koperat yang datang lewat ke pejabat yang paling beruntung berbanding dengan mereka yang berkerja buruh dibandar. Apa pun keadaannya aku sebenarnya nak ceritakan tentang betapa sukarnya mereka yang bergelar buruh bekerja.

Sewaktu aku kecil dahulu aku masih ingat lagi tentang anak muda kampung aku pergi menoreh getah seawal empat pagi. Memakai pelita minyak tanah khas yang diikat didahi untuk menoreh getah. Mereka akan kembali ke rumah untuk sarapan sebentar dan terus menoreh sehingga pukul 10.00 pagi. Selepas itu pergi memungut susu getah yang ditoreh untuk dibawa ke rumah mesen bagi dijadikan getah keping. Petangnya mereka bekerja lagi mencari atap daun pedor atau meraut rotan. Itu rutin anak muda zaman itu. Suasana sebegitu sudah tiada lagi kini. Anak muda kampung aku sudah tak ramai menoreh getah. Penoreh getah diimport dari Indonesia. Ramai anak muda yang lebih suka menjadi “pilot helikopter“. Bukan helikopter yang boleh terbang tu, tetapi membawa mesin dukung untuk menebas rumput ditepi jalan. Mereka lebih suka makan gaji dari kontraktor yang membersihkan jalan atau ROADCARE.

Aku selama tiga tahun terpaksa meredah pagi. Aku mula perjalanan seawal 6.00 pagi atau selepas solat subuh. Ada masanya aku solat subuh setelah berpakaian lengkap bertalileher. Selepas memberi salam aku mula memandu kereta ke sekolah yang jauhnya 65 km. Ketika itu aku bertugas di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA). Berkhidmat di SEMESTA memang seronok. Seronok mengajar murid pandai. Walau pun begitu keadaan dan suasana tidak menjadikan aku bahagia mengajar. Aku guru cemerlang Sains Menengah Atas di hantar ke sekolah yang tidak menawarkan mata pelajaran Sains SPM. Itu yang mengeciwakan.

Kini setelah bersara aku masih meredah pagi tetapi kali ini hanya ke masjid untuk solat subuh sahaja. Semasa aku jadi warden asrama dahulu, aku menyampaikan tazkirah seusai solat subuh setiap pagi.  Dalam salah satu tazkirah itu aku tanya penghuni asrama tentang dimanakah ibubapa mereka waktu itu. Aku berhasrat untuk menyedarkan anak-anak murid aku tentang betapa sukarnya ibubapa mereka mencari ongkos untuk menyara persekolahan dan kehidupan mereka. Aku tahu tazkirah itu mengena kerana ramai yang berlinangan air mata ketika aku berbicara tentang usaha ibubapa mereka. Aku kira ramai yang sedar siapa mereka. Apa yang aku harapkan ialah atas kesedaran itu mereka berusaha dalam menekuni pelajaran sekurang-kurangnya untuk lulus peperiksaan.

Aku menulis hal ini dengan harapan agar sekiranya “Meredah Pagi” dibaca oleh anak-anak yang sedang belajar ketika ini beroleh kesedaran dan menginsafi diri untuk belajar bersungguh-sungguh. Aku tujukan enteri ini kepada mereka yang terdiri dari golongan yang ibubapanya sentiasa meredah pagi untuk mendapat sedikit wang bagi menyara pembelajaran anak-anak mereka.

Tidak ketinggalan juga kepada murid-murid dan para pelajar yang sentiasa meredah pagi ke sekolah untuk menuntut ilmu pengetahuan. Kepada kelian semua berusahalah dengan sepenuh keinsafan untuk memperbaiki diri bagi keuntungan masa depan. Semoga kelian beroleh kejayaan dalam menghadapi peperiksaan. Sekian TK.

Hari ini sudah 8 Syawal, hari Ahad. Rumah di kampung sudah mula lengang. Anak-anak perantau sudah mula kembali merantau semula. Aktiviti harian orang kampung kembali semula seperti biasa. Mana yang menoreh getah sudah ke kebun getah, mana yang bekerja di pejabat sudah bekerja tetapi kini bercuti dihujung minggu, hanya yang menjadi guru belum lagi mula mengajar sebab sekolah masih bercuti hingga Isnin nanti. Bagi aku yang sudah bersara akan mula mengatur langkah memenuhi kerja-kerja yang tak rutin sperti dahulu. Pagi Ahad ini aku akan ke Pekan Sahari di Padang Tengku untuk membeli keperluan untuk seminggu dan kemudiannya akan kerumah orang kenduri di Relong. Petang nanti akan menghantar anak ke asrama. Pagi esok dua orang anak akan kembali ke UM dan peagi semalam (sabtu) seorang telah kembali Ke UTM, Skudai Johor. Akhirnya tinggallah kami berdua di rumah. Itulah nasib ibu bapa seperti aku dan aku pasti ramai seperti itu. Kalau sayangkan anak biarkan mereka pergi belajar dan mencari kerja bukan duduk dibawah ketiak ayah bonda.

Raya kali ini aku tak kemana-mana. Ini kerana anak-anak semuanya balik berhari raya ke rumah di kampung.  Anak-anak yang belum berkahwin semua ada dirumah sepanjang hari raya tetapi bagi yang sudah berkahwin aku minta mereka berhari raya dahulu di rumah mertua mereka, kerana pada hari raya ketiga aku kumpulkan semua adik beradik dan anak saudara aku di rumahku. Aku mengadakan perjumpaan khas dengan anak, cucu dan cicit Ibrahim dan Timah di rumah aku. Aku sebagai hostnya.

Tujuan aku mengadakan pertemuan ini ialah:

  • Mengeratkan silaturrahim antara anak cucu dan cicit Ibrahim dan Timah
  • Mengenalkan Ibrahim dan Timah kepada cucu cicitnya
  • Memanfaatkan pusaka Ibrahim dan Timah
  • Mengatur langkah permulaan untuk mengurusan pusaka
  • Mendapatkan kesepakatan terhadap urusan pusaka
  • Mengadakan tahlil arwah. 

Majlis yang diadakan bermula pada pukul 10.00 pagi itu dihadiri oleh semua anak Ibrahim dan Timah yang masih hidup serta sebahagian besar cucu dan cicitnya. Melalui majlis ini satu jawatan kuasa perintis untuk membentuk organisasi tersusun telah dibentuk. Semoga organisasi ini dapat mentadbir beberapa perkara yang berkaitan dengan pusaka dan persaudaraan dikalangan keturunan Ibrahim dan Timah.

Sekian entri kali ini. TK

Selamat menyambut Hari Raya Edul Fitri kepada kaum muslimin dan muslimat. Hari Raya ini adalah merupakan satu bentuk Ibadah dalam Islam. Oleh itu merayakannya mengikut syariat Islam akan mendapat pahala dan merayakannya dengan cara tidak mengikut kaedah Islam akan mengundang dosa.

Ramai manusia Islam masa kini tidak suka bercakap tentang dosa dan pahala. Mereka menganggap perbincangan tentang hal ini merupakan perkara remeh temeh. Tetepi perlu diingat bahawa pahala dan dosa inilah yang akan dikira sebagai bekalan yang dibawa dari alam fana ini ke alam akhirat. Inilah merupakan akaun yang akan dinilai sebagai bekalan dihari mahsyar nanti. Perlu diingat bahawa manusia ini adalah warga akhirat. Alam dunia ini adalah ruang untuk manusia diuji untuk mendapat pahala atau memungut dosa. 

Allah SWT Maha Adil. Setiap manusia yang akil baligh mempunyai peluang untuk mendapat pahala dan juga mengaut dosa. Perkiraan pahala dan dosa diberikan berdasarkan perbuatan seseorang terhadap kepatuhannya kepada perintah Allah SWT. Mereka yang patuh kepada suruhan Allah SWT akan mendapat pahala. Mereka yang engkar perintah Allah SWT akan memungut dosa. Allah SWT mencipta manusia untuk menjadi hambaNya. Walau bagaimana pun jika manusia tidak ikut kehendak Allah SWT, Allah SWT tidak rugi sedikit pun sebaliknya yang rugi ialah manusia itu sendiri. Sebaliknya jika manusia patuh kepada perintah Allah SWT, tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kekuasaan Allah SWT.

Allah yang Maha Penyayang telah mengurniakan satu malam bonus setiap tahun dalam bulan Ramadhan.  Sekiranya insan muslim berusaha mencarinya Allah SWT tetap akan mengurnikan kelebihan yang dijanjikan itu. Sesungguhnya Allah SWT itu tidak memungkiri janji-janjinya.  Malam lailatul Qadar bagi tahun 1430 H telah berlalu dan bonus dari Allah akan hanya menjelang pada Ramadhan 1431 H nanti. Elok juga menjadi matlamat kita untuk berusaha dan bersedia untuk menemui lalitul Qadar bagi Ramadhan 1431 H nanti.

Latihan sepanjang Ramadhan yang berlalu sepatutnya dimanfaatkan sepanjang sebelas bulan akan datang sebelum kita masuk ke Ramadhan berikutnya nanti. Ibarat gelombang, bulan Ramadhan merupakan puncak latihan amalan kepatuhan kepada Allah SWT dan selepas ini ia akan mengalami penurunan. Hanya diharapkan kalau berlaku penurunan janganlah ia turun secara mendadak kerana datangnya Syawal. Biarlah penurunannya melandai sehingga ke bulan Syaaban tahun hadapan. Semoga Ramadhan akan datang puncak amalan akan lebih tinggi dari Ramadhan tahun ini. Disamping itu diharapkan amalan Ramadhan tahun ini di terima oleh Allah SWT sebagai tanda patuhnya insan ciptaanNya kepada segala perintah.

Selamat menyambut Edul Fitri dan bersegera melaksanakan puasa enam hari dibulan Syawal. Sekian Maaf Zahir Batin kepada para pengunjung laman sesawang ini. TK

Semasa aku kecil dahulu, mercun sukar didapati bukan kerana tiada dalam pasaran tetapi tiada duit untuk membelinya. Duit yang ada hanya untuk keperluan asas dan sedikit persiapan Hari Raya. Bagi memeriahkan hari raya ikut adat budaya bukan ikut keperluan ibadat maka lentuman mercun dan meriam buluh diperlukan. Agaknya kerana melihat anaknya tidak dapat bermain mercun maka ayah telah menyediakan meriam buluh untuk anaknya. Walau pun begitu keselamatan anak juga diutamakan.

Ayah mendapatkan buluh betong dari pada rumpunnya. Empat ruas buluh betong yang agak tua dan tebal digunakan. Ayah menebuk ruas-ruas buluh betong mengunakan besi. Tiga ruas ditebuk dan ruas keempat ditinggalkan. Empat inci dari ruas keempat dibuat satu lubang setengah inci. Ayah membakar besi, apabila besi itu sudah merah, ayah menekan besi panas itu ke atas batang buluh betong itu. Dengan cara ini terbentuklah lubang pada batang buluh  betong yang tebal itu. Lubang sebesar jari telunjuk.

Pada waktu malam selepas solat maghrib aku diarah memasukan ketul karbaid sebesar jari kelingking kedalam lubang dan memasukkan sedikit air. Menggunakan daun kelapa yang dibakar api disuakan kepada lubang dan berbunyilah… boooommmmm… Itulah meriam buluh.

Satu lagi alternatif membuat mercun ialah dengan membuat satu alat yang boleh mengeluarkan bunyi tetapi tidak sekuat meriam buluh. Rantai jala atau ketul timah dimasak sehingga lebur. Tanah digali untuk buat lubang sebesar ibu jari sedalam satu inci. Timah cair dituang kedalam lubang tanah itu dan satu kayu mancis dicucuk ditengah-tengah cecair timah yang mula membeku. Apabila timah itu beku maka terbentuklah satu lubang kecil. Bila bongkah timah sudah sejuk serbuk belerang kepala mancis api dimasukkan kedalam lubang berkenaan. Besi paku yang dipotong bahagian tajamnya dimasukkan kedalam lubang yang terdapat           serbuk belerang mancis api itu. Kepala paku diketuk kuat dan bunyi sekuat mercun akan boleh kedengaran. Ini adalah kaedah membuat mercun sendirian.

Inilah kenangan semasa menyambut hari raya zaman aku masih keci dahulu. Perkara ini tidak pernah aku ceritakan kepada anak-anak aku kerana dua perkara diatas ini bolh mengundang bahaya kepada anak-anak zaman ini. Hanya aku harapkan anak-anak zaman ini termasuk anak-anak ku dapat menghayati cerita ini. Kalau perlu aku buat demonstrasi membina alat-alat ini aku masih lagi ingat cara membuatnya.

Kepada semua aku mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Edul Fitri, semoga kita berjaya melalui latihan Ramadhan 1430 H ini dengan sebaiknya. Aku pohon maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung laman sesawang ini. Mana-mana yang sempat datanglah kerumah aku untuk ziarah hari raya.    

kad_raya

Beberapa hari lagi kita akan menyambut Edul Fitri, perayaan menandakan kita kembali kepada kadaan fitrah atau kembali bersih seperti kita baru lahir kerana kita telah melalui latihan Ramadhan. Diawal Ramadhan kita dikurniakan rahmat, pertengahan Ramadhan kita dikurniakan keampunan dan diakhir Ramadhan kita dibebaskan dari api neraka. Oleh itu bagi kita yang berpuasa, kita telah bersih dari dosa dan kita kembali kepada keadaan fitrah. Itulah yang diharapkan bagi yang menjalani ibadat puasa dengan penuh ikhlas kerana perintah Allah SWT. Tetapi malangnya sebahagian saudara mara kita disepuluh malam terakhir ini tak ramai yang meneruskan solat tarawikh. Makin akhir Ramadhan kehadiran ke masjid makin menyusut.

Bercakap tentang Edul Fitri ini, maka teringatlah waktu raya masa dulu-dulu. Beberapa hari sebelum raya kita akan sibuk membuat dodol. Pagi-pagi lagi dah mula kerja. Selepas sahur, mula megopek kelapa. Kemudian mengukur kelapa menggunakan kukur duduk bukan kukur elektrik seperti masa kini. Biasanya kami adik beradik akan berlumba siapa banyak kukur kelapa. Kelapa kemudiannya diperah untuk dapat santan. Ketika yang sama emak didapur memasak santan pekat untuk buat tahi minyak.  Gula merah pula dimasak untuk ditapis bagi digunakan sebagai air gula semasa membuat dodol. Sehari sebelum itu beras pulut ditumbuk menggunakan lesung tangan dan diayak untuk membuat tepung pulut.  

Apabila semua ramuan sudah sedia, api akan dihidupkan dalam lubang genur satu tempat khusus dibuat untuk tujuan membuat dodol. Gerengseng atau kawah diletak diatas lubang genur. Tepung pulut yang dicampur dengan santan cair dimasukkan kedalam kawah dan dikacau sehingga ia menjadi pekat. Kemudian cairan gula merah akan dimasukkan dan campuran terus dikacau sehingga pekat. Ketika ini api dikecilkan sehingga tinggal bara sahaja. Apabila dodol sudah pekat (boleh digolek dalam kawah) tahi minyak akan diletakkan ditepi-tepi golekkan dodol agar dodol tidak berkerak. Apabila dodol sudah tidak putus apabila ditarik itu tandanya sudah elok untuk diangkat. Dodol yang sudah diangkat bolehlah disimpan dalam bekas-bekas yang dianyam menggunakan daun mengkuang. Hari ini kalau malas kacau dodol beli aje dodol yang dijual.

Sehari sebelum raya adalah waktu yang sangat sibuk. Pada hari inilah hari membuat lemang, memotong daging, memasak rendang dan sebagainya. Biasanya ayah akan membawa kembali daging dan tulang kerbau. Kerja utama aku ialah mempastikan tulang-tulang yang dibawa balik itu aku cincang kecil untuk dimasak sup. Ayah memang suka makan sup. Keadaan ini aku warisi dan memang ada dikalangan anak-anak aku yang juga suka makan sup tulang. Kerja kedua aku ialah menyiang daging untuk dimasak rendang. Pada waktu ini ayah sibuk pula menebang buluh lemang dibelakang rumah (memang ayah ada tanam dua rumpun buluh lemang dibelakang rumah). Kakak akan memasukkan daun lirik kedalam buluh yang telah dipotong mengikut saiz dan ketinggian yang hampir sama. Ketika yang sama emak akan memasak beras pulut dengan santan kelapa dan setelah tiga suku masak campuran itu akan disejukkan dan kemudiannya akan dimasukkan kedalam buluh lemang (ini kaedah buat lemang keluarga aku). Setelah itu lemang akan dibakar. Aku akan membantu mengawal api. Ayah selalunya mengarahkan aku memusing-musing batang buluh agar ia mendapat haba secara sekata. Oleh itu pembakaran lemang itu menjadi seimbang.

Sudah tentu juga ada dikalangan kakak-kakak aku yang sibuk menjahit baju raya atau membuat tulang belut pada baju kurung mereka. Kadang-kadang aku juga sibuk membantu menjahit baju kurung mereka menggunakan mesen jahit singer yang dah tua itu. Untuk baju raya aku ayah yang buat dan dia yang jahitkan. Sememangnya ayah mempunyai kemahiran membuat baju melayu. Aku tak pandai nak potong kain tetapi menjahitnya aku bolehlah setelah bahagian lehernya siap dijahit oleh ayah. Kerja aku hanya menangkupkan bahagian depan dan belakang setelah bahagian leher dijahit. Bagi menangkup lengan itu akan dibuat oleh ayah.

Untuk enteri ini aku berhenti setakat ini dahulu sebab enteri yang berikutnya aku nak cerita tentang membuat meriam karbaid dan juga alternatif kepada penggunaan mercun. Sekian TK.

Ikan akan mengawan apabila terdapat air baru. Itulah fakta yang aku pelajari ketika mengambil kursus Aquaculture 2 anjuran Fakulti Perikanan UPM (1985) dahulu.  Aku mengambil mata pelajaran ini sebagai mata pelajaran pilihan ketika membuat Bacelor Sains Kepujian (pengkhususan Biologi) di UPM. Pensyarahnya ialah Prof. Dr. Ang Kok Ji. Maka dengan fakta ini terjawablah satu persoalan yang sentiasa bermain dikepala aku mengapa ikan akan naik lek (mengawan) selepas hujan. Apabila air “besar” akibat hujan, akan ada ikan naik lek di dalam gedong di hadapan rumah aku. Hujan menghasilkan air baru di sesuatu tekungan air atau sungai. Air baru merangsang hormon ikan untuk mengawan dihasilkan. Masa itu aku akan guna jeramak untuk memedap ikan yang naik lek itu. Diketika yang sama lukah dan temilo akan ditahan dimana-mana yang sesuai untuk menangkap ikan-ikan yang sedang syok mengawan itu. Apabila ikan itu dibelah akan terdapat ikan yang ada telur (betina) dan ikan yang ada susu (jantan). Aku masih ingat Prof. Dr. Ang kata kalau nak kenal ikan jantan atau betina raba pipi ikan itu. Jika pipinya licin ikan itu betina, jika pipi ikan itu kesat atau kasar ikan itu jantan. Satu lagi fakta yang mulanya kami satu kelas gelak ketawa tetapi benar apabila dibuktikan.

Tulisan aku kali ini nak ceritakan bagaimana orang kampung aku mengambil kesempatan ketika ikan naik lek untuk mendapatkan banyak tangkapan ikan. Beberapa batu ke dalam hutan tak jauh dari rumah aku terdapat satu sungai namanya Sungai Ular. Sungai ini muaranya ialah di Empang Jalih. Bila hari hujan air Sungai Ular ini akan naik dan ikan dari Empang Jalih akan mudik kehulu sambil mengawan.

Ayah aku bersama-sama Abang Long (abang ipar aku) serta orang-orang yang lain membuat belat merentangi Sungai Ular. Pertama, tunggul penyokong belat (pangga) dibuat merentasi sungai yang lebarnya antara lapan ke sepuluh depa. Kedua, sebelum itu belat mesti dibuat. Belat dibuat dengan menggunakan buluh yang diraut serta disirat menggunakan rotan. Tinggi belat mesti melepasi tunggul penyokong (pangga) sekurang-kurangnya dua kaki dan dibahagian bawah belat mesti tertanam didasar atau perut sungai. Kita boleh meniti di atas pangga itu. Ketiga, belat hanya akan dipasang apabila air sungai mula surut. Keempat, tidak jauh dari belat itu dibina sapa (pondok) tempat rehat, tidur dan memasak. Kelima, tepat ini hanya dikunjungi apabila ada hujan turun dan air sungai naik.

Bagaimana ayah tahu air Sungai Ular naik? Apabila hujan turun di kampung aku, ayah akan memerhati pokok hujan diarah Sungai Ular. Kalau pokok hujan banyak kelihatan di arah Sungai Ular, ayah akan melihat pula air dalam gedong di hadapan rumah kami. Kalau air dalam gedong melimpahi batas ini bererti air Sungai Ular juga akan naik. Oleh itu ayah membuat inferens tentang air Sungai Ular ini naik atau tidak berdasarkan pengalaman beliau. Biasanya ayah akan bersiap dengan bekalan nasi yang dibungkus dengan daun pisang, sedikit ikan kering goreng, garam, kunyit serta sayur kangkong dan ada kalanya ayah membawa beras satu atau dua pot.

Kalau kena hujung minggu aku akan ikut sama pergi ke belat di Sungai Ular. Aku pernah pergi beberapa kali mengikut ayah. Antara pengalaman yang aku tak akan lupa ialah melihat ikan sebarau yang panjangnya lebih sekaki (lebih kurang 40 cm) melompat melepasi belat ke belah hilir dan mendengar bunyi ikan lambak mudik dalam kumpulan serta membantu ayah memungut ikan dari jalanya di Lubuk Batu Geragau.

Dari pengalaman melihat ikan sebarau melompat belat, ayah menyuruh aku membawa jala buruk yang tiada rantai ketika aku mengikut beliau kali berikutnya. Jala buruk itu dibentang di sebelah hilir belat. Beberapa jala buruk dan jaring dibentang di bahagian hilir belat sepanjang pangga belat itu. Apabila ikan sebarau melompat belat, tersadailah dia di atas jala dan jaring yang dibentang tadi. Aku ditugaskan oleh ayah menjaga tempat ini. Aku masih ingat lagi pada satu kali aku dapat menggumpulkan sembilan ekor ikan sebarau yang besar.

Ada satu pengalaman yang aku masih ingat. Apabila ikan lambak (sejenis ikan yang banyak tulang dan banyak darah tetapi sedap kalau dimasak lemak atau dibuat perkasam) mudik ke hulu, dia bergerak dalam kumpulan dan mengeluarkan bunyi seperti bunyi tayar kereta diberek. Keadaan ini berlaku ketika air sungai sedang naik. Apabila air mula surut ikan-ikan ini akan menghilir semula. Masa inilah belat akan dijatuhkan. Ayah dan rakan-rakannya akan mempastikan seluruh sungai itu akan dipagar oleh belat. Ikan-ikan ini tidak boleh menghilir balik ke Empang Jalih. Apabila air Sungai Ular surut ikan akan tersekat dibeberapa belat sepanjang sungai itu. Belat ayah dan rakan-rakannya ialah yang paling hilir sekali.

Di antara belat ayah dan belat disebelah hulunya terdapat beberapa lubuk. Salah satu dinamakan Lubuk Batu Geragau (kerana didasar lubuk ini ada batu-batu tajam). Hanya ayah sahaja yang berani menjala di lubuk ini. Biasanya ikan banyak disini. Selain menjaga jaring dan jala dibelat tugas aku ialah membantu ayah mengumpulkan ikan yang dia jala. Aku membantu ayah mengeluarkan ikan dari jala dan memasukkan kedalam bekas yang diletakkan semula kedalam air. Ikan tidak akan mati cepat.       

Kalau didapati banyak ikan tersekat dibelat, ayah akan menghantar utusan ke kampung untuk mengajak orang kampung mencari ikan. Maka orang kampung akan datang dengan perkakasan menangkap ikan.  Ada yang membawa jala, jeramak, candik, sesauk, sibam, lukah, temilo dan lain-lain lagi. Berlakulah pesta menangkap ikan disungai yang sudah cetek airnya.  Selain ikan lambak dan ikan sebarau, ikan lampam, ikan kemperas dan lain-lain ikan bertulang bersisik juga banyak didapati semasa mencari ikan dalam belat ini.

Suasana seperti ini aku rasa sudah tiada lagi kerana hutan sekitar Empang Jalih sudah tiada lagi. Hutan ditebang untuk membina padang golf. Orang-orang yang pandai membuat belat juga sudah tiada. Penduduk kampong Relong, Berang, Bapong dan Ulu Teris yang ada sekarang sudah tiada lagi yang pandai membuat belat dan hutan sekitar Sungai Ular juga sudah tiada. Mungkin inilah kesan pembangunan. Oleh itu tulisan ini betul-betul mengimbau kenangan kepada anak muda generasi masa ini.

Selamat berusaha mencari malam lailatul Qadar dan menjalani puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Sekian TK.