Malas bermaksud tidak mahu berbuat apa-apa kerja. Malas merupakan satu sikap yang ada pada semua orang. Hanya tarafnya yang berbeza. Sama ada kehadiran sikap ini didalam diri seseorang itu banyak atau sedikit. Kalau taraf malasnya tinggi, maka sifat atau sikap malas itu berumahtangga dalam diri seseorang. Kalau taraf malasnya rendah, maka sikap rajin mengambil tempat.

Orang yang malas berbuat sesuatu, menjadikan dirinya orang yang rugi. Contohnya malas makan perut lapar. Malas bertanya sesat jalan, Malas belajar atau mengulang kaji pasti gagal. Oleh itu sikap malas menjerumuskan seseorang ke arah kerugian.

Sikap malas sukar diubati. Sepanjang kerjaya aku menjadi guru, berbagai aksi malas aku temui. Ada sikap malas yang sentiasa menemani anak-anak murid. Ada sikap malas bertahta pada diri guru malah ada juga perangai malas melingkari kehidupan pentadbir sekolah. Pendek kata MALAS menjadi teman kehidupan berbagai lapisan insan. Ini membawa akibat porak peranda kepada pemilik sikap malas itu.

Kiranya anak murid malas, maka pembelajaran menjadi culas. Tiada kaedah dan ubat boleh diguna untuk menghapuskannya. Sikap ini sukar disingkir dari kehidupannya. Untuk mengubah sikap, sekurang-kurang memerlukan empat unsur lain yang perlu berubah atau diubah. Pertama; Perubahan kesedaran pada diri seseorang atau peningkatan pengetahuan dalam diri seseorang berkenaan sikap yang dipunyai. Kedua; Perubahan keyakinan atau kepercayaan terhadap kelebihan dan kebolehan diri sendiri. Ketiga; Pengwujudan suasana persekitaran yang sesuai atau kondusif dan keempat; memerlukan usaha motivasi. Sekiranya empat perkara ini dapat diusahakan maka sesuatu sikap itu dapat diperbaiki. Oleh kerana MALAS ialah sejenis sikap maka empat unsur di atas perlu berlaku terlebih dahulu.

Sikap malas ini juga dapat diubah kalau yang ampunya sikap malas ini sedar diri. Pemilik sikap malas ini boleh mengamalkan doa berikut:

oc10^001

Maksudnya: “Ya Allah aku berlindung kepada Mu dari rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Mu dari sifat pengecut dan bakhil. Aku berlindung kepada Mu dari beban hutang dan penindasan orang.

Bagi aku, doa inilah yang boleh menjadi penawar kepada orang yang malas dengan syarat orang itu sedar akan kemalasannya dan dia berhajat untuk keluar dari keadaan malas itu. Insya Allah doanya akan dimakbulkan.

Masalah timbul pula bagaimana sekiranya yang malas itu tidak sedar yang dia malas? Orang yang mempunyai tabiat begini perlulah melalui empat unsur pengubahan sikap seperti dinyatakan di atas. Sekian TK