November 2009


Dua hari yang lalu seluruh umat Islam di Malaysia dan negara serantau merayakan Hari Raya Edul Adha. Posting kali ini nak ceritakan sedikit bagaimana kami orang kampung merayakan Edul Adha. Oleh kerana Edul Adha kali ini jatuh pada hari Jumaat maka kami sekampung tidak dapat melakukan penyembelihan korban pada hari berkenaan sebaliknya kami buat pada hari 11 Zulhijjah iaitu  hari Sabtu.

Walau bagaimana pun takbir raya tetap dikumandangkan semenjak maghrib 10 Zulhijjah sehingga asar 13 Zulhujjah (esok). Itulah yang disyariatkan kepada orang Islam. Semoga semua yang membanyakkan takbir dan tahmid sentiasa dirahmati Allah SWT. Itu menandakan kita menjadikan Hari Raya sebagi hari ibadah.

Tahun lepas 1429H warga Kampung Relong dapat menyembelih 15 ekor lembu tetapi tahun ini warga Relong dapat mengorbankan 13 ekor sahaja. Ini bukan menunjukkan kemerosotan tetapi sebenarnya ada peningkatan. Hari ini Ahad (12 Zulhijjah) ada dua ekor lagi lembu disembelih untuk korban dan digulai bagi kenduri oleh yang empunya binatang korban. Oleh itu jumlah yang dikorbankan masih lagi 15 ekor. Perlu dingatkan semua lembu yang dikorban ini adalah hasil pembelian oleh peserta korban tidak seekor pun yang di sumbang oleh mana-mana koperat atau YB.  Jangan pula ada yang menganggap kami mendapat sumbang dari orang kaya atau berada dari tempat lain.

Terdapat beberapa segi peningkatan yang sepatutnya dijadikan panduan untuk pengurusan dan penilaian masa depan. Pertama ialah peningkatan dari segi saiz binatang korban. Oleh kerana saiz beberapa ekor lembu adalah lebih besar maka harganya juga menjadi lebih besar. Kedua ialah dari segi pengurusan pada sebelum penyembelihan dan pada hari penymbelihan semakin baik. Ketiga ialah pengelibatan penduduk kampung semakin bertambah. Boleh dikatakan semua rumah kediaman di Relong mempunyai wakil semasa melakukan kerja-kerja penyembelihan, pengagihan dan seterusnya kerja-kerja lain. Keempat ialah penglibatan anak-anak muda dalam kerja-kerja penyembelihan korban sangat menggembirakan.

Alhamdulillah semua kerja yang bermula 8.30 pagi siap dilaksanakan pada pukul 12.30 petang. Kerja dimulakan dengan merempong lembu, menyembelih, menanggalkan kulit, mengasingkan daging, menimbang, membungkus dan disudahi dengan mengagih ikut kawasan perumahan. Hanya kerja-kerja membersih kawasan dan menanggalkan kemah dibuat selepas solat asar. Sebelum balik semua yang hadir dijemput makan tengahhari di dapur Masjid Kampung Relong. Sudah tentu menu utama ialah gulai masam tempoyak daging korban. Menu lain ialah sambal organ dalam disamping ada goreng kobis dan acar timun. Tahniah kepada kaum ibu yang menyumbang tenaga memasak. Itulah tanda kerjasama. Itulah perpaduan.

Sepanjang bekerja disediakan hidangan hari raya yang terdiri dari lemang, satay, nasi himpek, roti jala, berbagai kueh raya serta buah dokong dan langsat. Semua hadirin dijemput makan apabila sudah penat bekerja. Makan secara bergilir-gilir. Makanan ini dibawa sedikit seorang dari juadah hari raya dari rumah. Kepada semua penduduk Relong tahniah!!!

Kepada anak-anak Relong diperantauan yang balik kampung ketika raya juga diucapkan terima kasih dan syabas kerana menyumbang tenaga dan wang ringgit. Sesungguhnya kehadiran saudara saudari menjadikan silaturrahim semakin erat terikat dan terjalin kukuh. Kepada anak perantauan dari Relong yang tidak balik pada tahun ini, harap memasang niat untuk balik berhari raya Edul Adha tahun hadapan dengan menyertai korban atau kalau tidak boleh menyertai ibadat korban cukuplah menghadirkan diri untuk bersilaturrrahim. Sesungguhnya Kampung Relong mengalu-alukan kepulangan anda. Saudara mara mesra menanti.

Hari ini (Ahad) saya sudah menjalankan semula sumbangan sebagai pesara guru. Esok  sebahagian calon SPM akan menghadapi kertas Biologi 1, Biologi 2 dan Biologi 3.  Oleh itu saya telah meluangkan sedikit masa dari jam 9.00 pagi sampai 12.30 petang berbincang dengan calon-calon berkenaan. Perbincangan dibuat di SM Agama Padang Tengku.  Saya doakan semoga semua calon yang terlibat dapat menjawab Kertas Biologi dengan baik. Usaha telah dibuat, bimbingan telah disumbang, doa telah dikirim, motivasi telah diberi, semoga semuanya dibarkati.  Sekian TK.

Sabtu 21 November 2009, aku berkesempatan bertemu dengan seorang sahabat lama. Kami belajar sekelas dari Remove Class hingga tingkatan lima. Enam tahun bersama. Masa tingkatan enam dia menjadi murid perintis tingkatan enam di SMK Sulaiman Bentong, aku dan beberapa orang lagi meneruskan pengajian ke SM Sultan Abu Bakar (SABS) Kuantan. Aku pernah menyebut namanya dalam kiriman Kawanku 1 dan Kawanku 2. Dia bergelar Dato’ tapi alhamdulillah walaupun bergelar Dato’ dia tak keberatan untuk bertandang ke rumah aku apabila aku mempelawa dia ke rumah ku.

Aku jumpa dia disatu majlis kenduri kawin di kampung aku. Anak saudara dia lelaki, berkawin dengan anak orang kampung aku. Aku dimaklumkan oleh iparnya bahawa dia akan datang ke majlis kenduri itu. Jadi aku tunggu dia dan alhamdulillah dapat berjumpa. Tapi nak berborak panjang dimajlis kenduri itu tak sesuai. Aku pun pelawa dia kerumah aku dan dia bersetuju.

Antara perkara yang kami bincang ialah tentang rakan-rakan kami semasa di sekolah menengah dahulu. Dia pula amat bersetuju apabila aku katakan bahawa aku lebih selesa tinggal kampung selepas bersara. Dia belum bersara sebab dia menyambung perkhidmatannya sehingga umur 58 tahun. Aku setakat umur 56 tahun sahaja. Walau bagaimana pun perkhidmatannya hanya tinggal satu tahun dua bulan sahaja lagi, kerana dia lahir diawal tahun 1953. Dia memang berhasrat untuk membuat rumah di kampungnya apabila bersara nanti. Dia kini tinggal di Putrajaya. Dia mengatakan bahawa orang kampung yang berkerja diluar khususnya dibandar perlu kembali ke kampung masing-masing terutama jika ada harta pusaka seperti tanah. Kalau mereka tak balik kampung akhirnya kampung itu akan jadi hutan semula. Setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya kembali ke belakang kerbau juga.

Walau bagaimana pun ada juga yang tidak mahu balik ke kampung kerana berbagai sebab. Antaranya ialah tiada tanah untuk tapak rumah, anak-anak tak mahu balik duduk di kampung atau isteri tak mahu jadi orang kampung takut pacat dan lintah. Kami bersetuju pendapat sekiranya sesebuah kampung itu ada beberapa infrastruktur ini maka duduk di kampung adalah lebih selesa. Kalau dikampung itu sudah ada bekalan elektrik 24 jam, ada bekalan air bersih serta ada perkhidmatan telefon maka kampung itu sudah dikira lebih daripada cukup keperluannya. Sekiranya perkhidmatan internet juga ada maka ini ada bonus.

Tinggal dikampung tidak perlu bayar cukai pintu. Jadi tak ada masalah nak besarkan rumah. Tak perlu buat plan rumah tambahan untuk diluluskan oleh Majlis Perbandaran. Buatlah plan rumah dalam kepala sahaja. Ini boleh terjadi kalau kampung itu tidak termasuk dalam kawasan operasi Kerajaan Tempatan. Cukai yang perlu dibayar setiap tahun ialah cukai tanah sahaja. Halaman rumah sudah pasti luas, boleh tanam pokok buah-buahan dan buat kolam ikan sebagai kaedah rekreasi. Apa yang penting lagi ialah pengalaman merantau, berkerja dan sebagainya boleh disumbangkan untuk memajukan saudara mara di kampung. Sudah pastilah bekas pegawai besar ada banyak pengalaman. Orang kampung tak perlu bimbang kerana golongan yang pencen ini tak akan berebut jawatan. Perkara yang hendak dibuat ialah memberi sumbangan demi kemajuan saudara mara dikampung.

Dia juga mengharapkan pihak berwajib khususnya kerajaan negeri dapat membuat perancangan agar dapat mengatur penempatan dikampung tradisional. Mesti ada usaha yang bersungguh-sungguh dipihak pentadbiran daerah (Pegawai Daerah) untuk memajukan setiap kampung yang berpotensi dengan menyusun semula penempatan atau susun atur perumahan. Lot-lot tapak rumah seluas setengah ekar boleh dibuat dengan berbincang dengan tuan tanah dan memudahkan proses pecah gran. Tanah-tanah lot itu boleh ditawarkan kepada anak-anak kampung supaya mereka mudah untuk balik kampung selepas berhenti kerja. Dengan cara ini sesuatu kampung dapat dimajukan. Idea ini sebaiknya dijadikan dasar oleh kerajaan negeri dan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah. Kalau dilihat di kampung tradisional kini kita akan dapati banyak tanah terbiar kerana ramai orang kampung tak nak balik kampung.

Sahabat yang saya maksudkan ialah Dato’ Badaruddin Abdul Rahman yang kini bekerja di Kementerian Pelajaran Malaysia. Selamat menjalankan tugas Dato’.  Sekian TK.

Jumaat, 20 November 2009 adalah hari akhir persekolahan bagi sesi 2009. Kepada semua guru di seluruh negara, aku ucapkan selamat bercuti. Kepada semua rakan-rakan aku yang bergelar Pengetua selamat membuat perancangan untuk tahun 2010. Kepada rakan-rakan yang bertugas sebagai pemeriksa kertas SPM tunggulah giliran masing-masing untuk menjalankan tugas. Aku sudah terlepas dari semua itu kerana aku sudah bersara.

Rakan-rakan guru yang aku kasih dan sayangi, masa orang beri cuti ni, bercutilah. Baliklah ke kampung halaman atau ke bandar kediaman. Jumpalah ibubapa atau saudara mara anda. Eratkanlah silaturrahim dengan saudara mara terutama dimusim hari raya Edul Adha nanti. Kepada yang muda mungkin merancang untuk berkenduri kawin. Kepada yang tua mungkin nak membuat kenduri kawin untuk adik atau untuk menerima menantu. Apa-apa hal tinggalkan kerja-kerja sekolah buat sementara. Usah fikirkan derita dan sukarnya hari-hari yang dilalui sebagai guru di sekolah yang terpaksa menghadapi berbagai kerenah. Kerenah dari murid, kerenah dari Pengetua, kerenah dari PPD, kerenah darai JPN, kerenah dari KPM dan Menterinya dan tidak kurang kerenah dari ibubapa. Aku sudah selesai melalui keributan hidup sebagai guru selama 32 tahun. Selamat bercuti..

Kepada rakan-rakan Pengetua atau Guru Besar serta para pembantu pengurusan sekolah (GPK) buatlah perancangan semasa cuti ini. Nanti mudahlah nak berbicara ketika mesyuarat pertama sebelum sekolah dibuka semula. Buatlah perancangan sebaik mungkin. Orang yang gagal merancang ialah orang yang merancang untuk kegagalan. Walau bagaimana pun saudara Pengetua semua jangan serahkan perancangan itu kepada GPK sahaja nanti malu muka kerana sentiasa bertanya kepada anak buah bila ada orang-orang atas bertanya. Atau ketika mesyuarat guru pertama awal tahun 2010 nanti dok asyik tanya GPK tentang perkara itu dan ini. Sepatutnya semua hal perancangan itu “at the finger tips” sahaja. Pengetua kena tahu semua walaupun yang melaksanakannya nanti ialah orang lain. Aku pernah jadi Pengetua dan GPK.

Kepada rakan-rakan yang akan menanda kertas masa cuti ini, ingatlah bertugas sebagai pemeriksa itu adalah satu tugas yang sangat memerlukan kesedaran serta kesabaran. Jangan sekali-kali buat kerja sambil lewa. Ingat disebalik setiap skrip yang diperiksa itu ada seorang insan yang perlu diadili masa depannya. Kesilapan mengadili skrip jawapan calon menyebabkan seseorang pemeriksa melakukan kezaliman. Oleh itu sentiasa sematkan sikap bertanggungjawab dan amanah semasa menjalankan tugas. Bukan bayaran yang diutamakan tetapi amanah yang diingati. Ingat moto Lembaga Peperiksaan [Adil, Sahih dan Amanah]. Sebagai seseorang yang berkerja dibawah naungan LPM peganglah moto itu sebaiknya. Aku pun dah selesai buat kerja-kerja seperti itu. Aku pernah jadi pemeriksa, pernah jadi ketua pasukan, pernah jadi ketua pemeriksa bersama dan juga pernah jadi ketua pemeriksa.

Bagi guru cuti ertinya tamat menjaga anak orang. Bagi ibubapa pula, ambillah balik anak masing-masing dan jagalah sendiri. Cukup-cukuplah suruh guru yang jaga anak-anak tuan dan puan.  Aku timbulkan hal ini kerana aku pernah dapati ramai ibubapa yang sentiasa menyalahkan pihak guru atau sekolah, kalau anak mereka buat salah atau dipanggil oleh pihak sekolah kerana kesalahan disiplin anak mereka.

Semasa aku menjadi warden asrama sekitar tahun 1987 hingga 1991 dahulu, aku pernah menghadapi beberapa peristiwa berkaitan dengan penjaga. Peristiwa pertama seorang penjaga datang ke sekolah sambil marah-marah kepada aku kerana membuang anaknya dari asrama akibat ponteng solat subuh berjemaah.  Peristiwa kedua seorang penjaga menggunakan YB meminta anaknya dimasukkan semula ke asrama setelah dibuang asrama. Peristiwa ketiga seorang penjaga memohon anaknya masuk asrama kerana dia tak sanggup jaga anaknya dirumah. Peristiwa keempat seorang penjaga yang baik dengan Pengetua meminta Pengetua menggunakan kuasanya memasukkan semula anaknya yang dibuang asrama.

Aku akan cerita secara terperinci empat pengalaman ini nanti supaya pengalaman ini dapat dikongsi bersama dengan para warden asrama. Aku nak cerita begaimana aku selesaikan masalah yang aku hadapi itu, agar kesilapan yang aku buat tidak diulangi atau apa yang aku buat betul boleh dijadikan contoh serta ikutan. Aku hendak kongsi pengalaman.

Nasihat kepada murid-murid yang masih dibangku sekolah ialah, jangan malukan ibubapa anda. Kadang-kadang ada ibubapa yang berjenama besar (orang berpangkat besar) terpaksa menjadi orang bodoh dan pandir dihadapan Pengetua atau Guru Besar akibat kerenah anak-anak yang tidak berdisiplin. Masa itu kedudukan ibubapa sudah tidak bermakna lagi yang ada ialah segan dan malu sahaja. Sekian entri kali ini. TK

Pukul 7.20 pagi hari ini 18 November 2009, sekali lagi aku dan isteriku ke sekolah. Ye lah walau pun dah pencen kami ke sekolah juga. Hari ini kami ke sekolah kerana memberi motivasi kepada anak lelaki bongsu yang mengambil SPM tahun ini. Kami ke SM Agama Al Maidah Addiniah Padang Tengku dimana anak kami mengambil peperiksaan SPM.

SMA Padang Tengku, bukanlah sekolah yang asing bagi aku. Semasa aku mula-mula mengajar (1977) dahulu aku pernah diajak oleh pengasas sekolah ini (Al Marhum Ustaz Hussin Ibrahim)untuk membantu mengajar sains bagi murid tingkatan tiga yang ambil SRP ketika itu. Sejak dari itu hubungan aku dengan sekolah itu sentiasa ada. Disamping mengajar untuk kelas tambahan bagi mata pelajaran sains, aku pernah menjadi AJK Penaja PIBG yang baru bagi sekolah ini setelah PIBG yang lama dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Aku pernah dua kali menjadi Naib YDP PIBG. Aku pernah mencadangkan dan mengusahakan pembukaan kelas aliran sains tulen di sekolah ini. Setiap tahun bermula dari tahun 1990 aku dijemput untuk memberi ceramah motivasi atau ceramah teknik menjawab soalan SPM.  Apabila aku bersara, aku diminta mengajar Biologi dan Sains SPM kerana guru mereka cuti bersalin. Jadi kedatangan aku ke sekolah SMA Padang Tengku pagi tadi tidak menjadi sesuatu yang luar biasa. 

Isteri aku pula memang pernah berkhidmat di sekolah ini semenjak 1994 sehingga 2005. Sebelas tahun dia menabur bakti mengajar Bahasa Inggeris bagi tingkatan tiga, empat dan lima. Alhamdulillah, keputusan BI bagi sekolah ini sepanjang sebelas tahun itu sentiasa diperingkat cemerlang. Dia dipaksa bertukar ke sekolah rendah oleh sesuatu sebab yang disengajakan oleh pihak atasan. Walau bagaimana pun dia sentiasa meneruskan sumbangan baktinya kepada murid tingkatan tiga yang mengambil PMR sehingga ketahun ini. Wajahnya bukanlah asing di sekolah ini.  Masih ramai rakan-rakannya yang masih berkhidmat disekolah ini.  Anak muridnya ramai yang berjaya.

Tiga dari lapan orang anak kami bersekolah ini sini. Abang Long, Kak Tam dan Abang Anjang. Ketiga-tiganya belajar sehingga ke tingkatan lima. Setelah menamatkan pengajian tingkatan lima Abang Long meneruskan pengajian ke Kolej Islam Pahang seterusnya ke KUTPM membuat ijazah pertama dan ijazah kedua. Bagi Kak Tam pula, setelah menamatkan tingkatan lima di sekolah ini, dia meneruskan pengajiannya ke Kolej Islam Antarabangsa, Gombak dan kini membuat ijazah pertama di UM.  Bagi Abang Anjang dia akan meneruskan pengajiannya di SMA Padang Tengku ini tahun hadapan kerana sekolah ini akan mula menawarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Persediaan untuk memulakan pengajian STAM untuk sekolah ini sedang pesat dilaksanakan. Terima kasih para guru di SMA Padang Tengku..

Setelah bertemu dengan anak lelaki bongsu (Anjang), kami ke bilik guru perempuan untuk membincangkan dua perkara dengan guru sainsnya. Pertama jadual mengajar untuk minggu hadapan. Mengajar Biologi bagi tingkatan empat, untuk menyiapkan sukatan yang tercicir kerana mereka hanya belajar biologi seminggu dua waktu sahaja. Murid-murid terpaksa menumpukan pembelajaran kepada mata pelajaran sukatan Bu’uth untuk mengambil pepriksaan Sijil Menengah Agama (SMA). Selepas itu kami menyusun waktu untuk membuat ulangkaji akhir bagi biologi dan sains kepada murid SPM.  Ditetapkan pada hari Ahad, 29 November 2009 aku akan bertemu murid yang akan mengambil biologi esoknya. Aku sudah merancang apa yang hendak dibuat. Manakala pada 1 Disember 2009 aku akan bertemu pula dengan murid yang akan mengambil sains SPM kerana esoknya mereka akan mengambil peperiksaan mata pelajaran berkenaan.  Semoga kehadiran aku nanti akan sedikit sebanyak membantu pencapaian anak-anak yang akan mengambil SPM di sekolah berkenaan.

Kepada murid-murid tingkatan lima seluruh negara, diucapkan “SELAMAT MENGHADAPI SPM” dan kepada semua umat Islam “SELAMAT MENYAMBUT EDUL ADHA DAN MENJALANI  IBADAH KORBAN”

Menyembelih korban termasuk amal salih yang paling utama. ‘Aisyah radhiyallahu’anha menceritakan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidaklah anak Adam melakukan suatu amalan pada hari Nahr (Edul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah melebihi mengalirkan darah (korban), maka hendaknya kalian merasa senang kerananya.” (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al Hakim dengan sanad sahih, lihat Taudhihul Ahkam, IV/450)

Sekian, TK

Coretan kali ini berkaitan dengan kenangan kami dalam Remove Class (RC) tahun 1966 di SMRJK Kuala Lipis. Ada kalanya ke sekolah seronok ada kalanya ke sekolah mengecutkan perut. Waktu belajar Bahasa Inggeris adalah waktu yang sangat menakutkan. Dahlah setiap hari ada sekurang-kurangnya empat waktu atau kadang-kadang ada enam waktu sehari. Juru ajar utama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris ialah Mr. VPN Prasad.

Kalau dia masuk kelas sambil senyum, kita rasa selamat. Tak ada apa yang nak dirisaukan. Satu waktu tu dia tanya dimana ada orang boleh buat lesung untuk menumbuk beras bagi buat tepung. Isteri dia (dia baru kawin dengan isteri yang diimport dari India) nak tumbuk beras nak buat tepung sendiri. Badaruddin dari Penjom kata dia boleh cari tukang buat lesung. Bila lesung dah siap dan diserah kepada dia, dua hari kemudian dalam kelas dia kata lesung pecah dua bila dihentak dengan alu. Terfikir juga kami kuat sungguh isteri dia ni.. Tapi tengok muka dia.. dia bercakap sambil senyum (body language). Walau bagaimana pun Badaruddin sesak atau panik  juga.. Kemudian Mr Prasad ketawa. Tanda dia bergurau sahaja. Mungkin Dato’ Badaruddin TKSU KPM boleh verify cerita ini kerana dia aktor utama dalam episod ini.  Aku sekadar perakam kisah sahaja. 

Kalau dia masuk kelas, tanggal jam dari tangannya, pasti ada mangsa yang kena debuk dibelakang, yang pasti kami murid lelaki sahaja yang akan kena. Murid perempuan kira selamatlah. Kesilapan yang kami buat mungkin salah grammer dalam latihan, ayat BI mempunyai struktur ayat BM atau silap ejaan atau tersilap adjective, noun, verb atau particles dan lain-lain lagi. Kena debuk satu yang lumrah dikalangan murid masa itu. Bila Mr Prasad keluar kelas, ketawa kami akan berderai sebab dah hilang seksa hari itu.

Reciting poem with action was one of an important approach in learning English language for RC students like us. Every body had to remember the selected poem by heart and after that we should create the action releven to the meaning of the poem.  Poem like “Twinkle, twinkle little star” was one of the poem every body should remember. When Mr Prasad came into the class he will call us by name. The student called, should come infront of the class and recite the poem without looking at any texts and with appropriate action.

Tu yang jadi berbagai aksi. Ada yang bila berdiri dihadapan kelas boleh beraksi sambil medeklemasi poem itu dengan betul.  Semua orang kena deklemasi semua poem ikut giliran, satu poem sekali keluar ke hadapan kelas. Ada 10 poem yang mesti dihafal.  Akan gegak satu kelas kalau yang keluar ke hadapan kelas membuat deklemasi tak betul atau sebutan perkataan agak janggal. Selalunya Marzuki jadi mangsa bab sebutan. Tajaruddin kalau kedepan mesti ketawa terutama bila terpandang muka Saedan. Akibatnya pernah Tajaruddin membuat deklemasi poem dengan kepala kebawah dan kaki keatas (hand stand). Saedan yang memegang kakinya. Kalau Kamar Manja keluar dia akan keluar dengan muka selamba sahaja. Kalau Zainal Abidin keluar muka dia akan merah dahulu sebelum perkataan keluar. Sekiranya yang dipanggil kehadapan adalah rakan perempuan semua mesti senyap sebab suara mereka perlahan seperti berbisik kecuali Nur Bashariah suara dia kuat. Murid-murid lain kira OK, sebab semua takut Mr Prasad, takut kena debuk.

Ada satu peristiwa yang saya tetap ingat. Ini berlaku pada hari kedua kami masuk RC, kira dalam bulan Januari 1966. Seorang rakan sekelas apabila dia ditanya oleh Mr Prasad maklumat tentang dirinya dia tak menjawab dengan betul. Tiba-tiba Mr Prasad pegang belakang seluarnya dan menangkat murid ini keluar tingkap. Oleh kerana badan murid kecil maka mudah sahaja dia diangkat. Dua minggu awal persekolahan SMRJK Kuala Lipis masih menumpang di bangunan bekas asrama SM Clifford. Minggu ketiga baru kami pindah ke SMRK Bandar Lipis di Batu Satu seberang Jalan Wortington, Kuala Lipis.

Homework mesti siap. Semua akan berwaspada kalau ada homework. Oleh kerana ramai tinggal di asrama maka kerja rumah akan dibuat bersama. Masa itu sekumpulan murid lelaki tinggal di asrama SM Clifford dan beberapa orang tinggal di asrama SMRK Bandar Lipis. Murid perempuan yang tinggal di asrama semuanya tinggal di asrama putri SMRK Bandar Lipis.

Oleh kerana ketika itu SMRJK Kuala Lipis tiada bangunan sendiri dan menumpang di SMRK Bandar Lipis maka yang tinggal di asrama putera SM Clifford terpaksa berjalan kaki lebih kurang satu setengah kilometer setiap hari. Masa itu mana ada duit nak naik bas. Saya termasuk dalam kumpulan ini, setiap hari berulang alik dari SM Clifford ke SMRK Bandar Lipis dan selepas sekolah kembali semula berjalan kaki ke asrama putera SM Clifford.

Ada dua waktu seminggu BI diajar oleh Mr Yeap Khoi Po, tetapi kebanyakkan waktu itu digunakan untuk mengajar BI melalui Matematik. Mr Yeap adalah guru matematik kami juga guru kelas kami. Beliau orang Kelantan dari Pasir Mas. Beliau guru yang mesra alam. Kami tak tension di kelas beliau, baik waktu matematik atau waktu BI. Walau bagaimana pun di suka mencubit perut kalau kerja rumah tak siap.

Kepada rakan yang menjadi murid RC 1966 di SMRJK Kuala Lipis, kalau terbaca artikel ini bolehlah tambah. Kalau anak-anak kami terbaca bahan ini sila beri tahu Mak atau Ayah bahawa terdapat artikel sedang dalam pembinaan bagi mencoretkan nostalgia 43 tahun yang lalu. Sekian TK

Ini bukan kiriman tentang ATM di Maybank. Kiriman ini saja nak mengingat semua rakan yang belajar sekelas tahun 1966 dulu. Ada yang sudah meninggal dunia.. (Al Fatihan buat mereka), ada yang jadi orang besar bergelar datuk dan ada yang jadi orang kecik dah pencen macam Nik Razali dan saya.

Kelas yang nak diceritakan ini satu kelas sahaja. Remove Class (RC) di SMRJK Kuala Lipis. Kami lebih dari 20 orang dari sekolah-sekolah rendah seluruh Daerah Lipis, bertukar dari sekolah aliran melayu masuk ke sekolah aliran inggeris. Untuk bertukar medium pengajaran itu kami terpaksa melambatkan pengajian selama satu tahun. Kepada rakan-rakan yang sekelas minta maaf kerana nak sebut nama. Kalau ada yang teringgal atau nama tak lengkap saya minta maaf.

Dari SK Jerangsang, Osman Hamid dan Saedan Karim. Osman Hamid kini jadi usahawan jual parang dan pisau, selalu saya berjumpa di Pekan Sahari Padang Tengku. Saedan Karim kini seorang guru siswazah yang mengajar di Kuala Lumpur. Saya hanya bertemu dengan dia melalui laman sesawang sahaja. Dah lama tak jumpa…

Dari SK Tanjung Besar, tak lupa kepada Tajaruddin Jasi, Mohd Yusof dan Mohd Nor. Tajaruddin Jasi dulu berlajar bersama-sama di UPM kini dia terlibat dalam sektor penternakan. Mohd Yusof  ialah seorang pegawai polis. Selalu juga jumpa di Lipis. Mohd Nor ni dia tak lama belajar di RC sebab tak tahan, balik semula belajar di SM Budu dalam aliran Melayu. Ada seorang lagi rakan perempuan, tetapi dia meninggal semasa kami belajar di RC, namanya saya dah lupa. Mohd Nor rasanya berkerja dengan RISDA.

Dari SK Kemahang, tak lupa Kamar Manja. Kini menjadi pesara tentera. Dah lama tak jumpa. Katanya selalu balik Kg Kemahang ke rumah abangnya Mohd Natar Manja.

Dari SK Budu, dua anak gadis. Salbiah Abd Razak dan Rogayah Ibrahim. Kedua-dua jadi guru. Salbiah masih berkhidmat sebagai Guru Besar di Kampung Baru, Jerantut. Manakala Rogayah telah bersara selepas menjadi Guru Besar, Tanjung Besar.

Dari SK Chat, Mokhtar Long dan Mustafa Ibrahim. Mokhtar dulu berkhidmat dengan Telekom Malaysia, tapi kini dah bersara. Mustafa seperti Mohd Nor tak lama bersama kami dalam RC. Dia juga balik ke SM Budu. Dia menjadi orang besar kini. 

Dari SK Benta, ada tiga kawan. Zainal Abidin Osman, Halimi Shamsuddin dan Anuar Mahasan. Zainal Abidin Osman, anak cikgu. Kini dia juga seorang guru bertugas di Sarawak. Menjadi pegawai di Pejabat Pelajaran Bahagian, berpangkat besar. Aku dah lama tak tengok muka dia, hanya tahun lalu sempat bercakap melalui telefon. Halimi tinggal di Seremban berkerja dengan syarikat swasta. Masa saya buat kenduri kawin anak sulung saya, dia ada datang. Anuar Mahasan adalah antara rakan saya yang awal kembali kerahmatullah… Al Fatihah.

Dari SK Penjom, Badaruddin Abdul Rahman. Seorang yang berjaya dalam kerjaya. Kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia bergelar Datuk. Selalu balik Lipis tapi tak pernah jumpa.. Tak pe bila dia pencen nanti baliklah dia ke Penjom.

Dari SK Wan Ibrahim, Nor Bashariah Basir dan Zaherah Hamzah. Nor Bashariah bekerja dengan badan kewangan swasta. Dulu-dulu rasanya dengan Eu Finance, kini aku tak tau. Zaherah ialah anak pegawai polis. Bila ibu pejabat polis kontigen Pahang berpindah ke Kuantan dia pun berpindah ke sana semasa kami tingkatan dua.

Dari Mela teringatlah dua kawan, Nik Razali Nik Man dan Muhammad Yusof. Nik Razali murid terkecil dalam kelas selalu kena demam malaria. Dulu ialah ketua kedai telekom Kuala Lipis. Bersara awal kini tinggal di Kuala Lipis, selalu juga jumpa. Semasa dia berkerja dulu, kalau nak jumpa dia pergi aje ke kedai telekom mesti jumpa.  Muhammad katanya tinggal di Australia, bekerja sebagai promoter pelancungan dan berkawin dengan orang putih Australia.

Dari Relong, Abdul Hamid Akob dan saya.  Abdul Hamid kini menjawat jawatan sebagai Pengarah JPJ Negeri Sarawak. Sahabat saya semenjak kecil lagi. Selalu berjumpa bila dia balik kampung. Saya berkerja sebagai guru. Sudah bersara dengan jawatan akhir sebagai Guru Cemerlang Sains.

Dari SK Berchang, Roslaini Mk Othman. Meninggalkan RC seperti Mohd Nor dan Mustafa. Dia kembali belajar di SM Padang Tngku. Dia menjadi pegawai tentera laut, bersara dan membuat perniagaan di Kampung Selindang tetapi sudah kembali ke rahmatullah.. (Al Fatihah…)

Dari SK Padang Tengku, Johari Abdul Rahman dan Zainuddin. Johari kira yang paling cerdiklah. Melanjut pelajaran di pusat latihan Qantas Airways. Jawatan akhir sebagai jurutera MAS. Sudah bersara. Zainuddin ialah anak polis Padang Tengku. Dia bertukar selepas tamat RC, jadi kisahnya tidak diketahui.

Dari Kuala Telang, Rahimah Ibrahim. Selepas tingkatan tiga belajar di SMK Sultanah Asmah, Alor Star. Masuk UM buat Geografi, jadi cikgu di Clifford dan bertukar tempat kerja ikut suami. Kini menjadi Pengetua di Negeri Sembilan. Baru ni dia balik Kuala Telang, tak sempat jumpa.

Dari Kuala Kenong, Marzuki Amran. Kini tinggal di Kuantan dulu kerja di Wisma Seri Pahang. Dua tahun lepas jumpa dekat CIMB Bank Kuala Lipis.

Dari Kuala Tembeling, Kamariah Chu. Belajar bersama sehingga ke tingkatan lima. Jadi jururawat, berkahwin dengan orang Kelantan dan tinggal di KB

Itulah kawanku masa RC dulu. Setahun dua lagi yang berkerja dengan kerajaan akan bersara. Saya sangat berharap dapat bertemu untuk mengcoretkan nostalgia semasa RC dulu. Insya Allah, Kawanku 2 akan cerita kisah kami dalam kelas, belajar bersama terutama sekali belajar poem dengan Mr VPN Prasad. Belajar Matematik dengan Mr Yeap Khoi Po (dari Pasir Mas) dia juga guru kelas kami, BM dengan Puan Ithniah Thani. Sekian TK

Seminggu dua minggu ini ramai rakan-rakan guru DG 44 dan DG 48 sibuk menyiapkan esei PTK yang perlu dihantar sebelum 16 November 2009.  Ada kertas penilaian fungsional dan ada kertas projek generik. Kertas penilaian fungsional memerlukan setiap guru yang terlibat membuat dua esei. Manakala kertas projek generik pula perlu membuat satu esei 20 muka surat.

Buat masa ini beberapa orang rakan guru datang berjumpa aku untuk mendapat idea bagi menulis esei itu. Sebab itu aku tahu perkara ini berlaku. Entah mengapa mereka memilih aku untuk membantu mereka. Aku bukan guru bahasa Melayu, aku guru Sains. Kemungkinan ramai dikalangan sahabat-sahabat guru ini biasa dengan pertolongan dari aku tentang membuat esei PTK ini semasa aku belum bersara dahulu. Aku pula bukan jenis pandai berdalih untuk tidak membantu. Kalau aku mampu aku tidak sampai hati menghampakan harapan rakan-rakan.

Bagi memudahkan aku memberi pertolongan, biasanya aku akan adakan sesi perbincangan atau brain storming tentang sesuatu tajuk. Dua tiga orang guru yang terlibat dengan PTK akan duduk bersama-sama dengan aku membincangkan soalan demi soalan serta mencari kaedah dan pendekatan untuk membuat huraian dan pengembangan isi dalam esei. Dalam sesi brain storming ini guru yang terlibat akan mencatat apa yang dibincangkan dan aku bertindak menjadi moderator kepada perbincangan itu. Aku cuba dengan kaedah menyoal atau memberikan soalan probing dan provokasi kepada mereka. Kadang-kadang aku menyebut nama-nama buku rujukan atau menunjukkan dimana sesuatu rujukan boleh diperolehi.

Lazimnya, guru yang sudah mempunyai idea, isi dan bahan rujukan boleh membuat esei dengan baik dan memenuhi kehendak soalan. Aku juga biasa diminta membaca esei mereka yang sudah siap serta memberi komenter untuk penambahbaikan. Inilah sumbangan aku kepada rakan-rakan guru.  Aku tahu sebahagian besar daripada yang terlibat dengan PTK waktu ini merupakan guru yang sibuk.  Sibuk mengajar, sibuk merancang untuk tahun hadapan, sibuk memeriksa kertas peperiksaan akhir tahun, sibuk menyediakan murid menghadapi SPM dan juga sibuk sebagai kerani sekolah menyiapkan berbagai dokumen, mengisi puluhan borang, menaip berbagai surat dan lain-lain lagi.  Oleh itu sumbangan orang pencen ini akan dapat mengendurkan tension yang sedang dialami oleh rakan-rakan guru.

PTK ini secara tak langsung memerlukan para guru banyak membaca perkara yang berkaitan dengan profesion keguruan.  Dengan usaha membaca ini dapatlah mereka meningkatkan pengetahuan, menambah kefahaman, menajamkan kemahiran dan sedikit sebanyak dapat menghayati keperluan-keperluan asas sebagai seorang guru.  Antara perkara asas yang perlu ditajamkan kemahiran ialah kemahiran pedagogi, kefahaman kurikulum serta pengaplikasian ilmu pentaksiran. Perkara-perkara yang disebutkan ini memang dipelajari di Maktab atau Universiti dahulu tetapi itu peringkat pengenalan sahaja. Peringkat penggunaannya ialah apabila seseorang guru bergelumang dengan kerja-kerja mengajar dan mendidik. Oleh itu perkara ini perlu dilihat melalui persepktif seorang guru yang menjalankan kerja sebagai pengajar atau pendidik dan bukannya sebagai seorang guru yang sedang belajar untuk lulus peperiksaan bagi mendapat diploma atau ijazah.

Semoga rakan-rakan guru yang sedang bertekun menyiapkan esei mereka dapat memperolehi idea serta kebolehan mengolah dan menjelaskan sesuatu perkara yang penting sehingga esei mereka memenuhi kehendak pemeriksa. Selamat berjaya… Sekian TK.

Pada 3 November 2007, Blog Wadah Orang Kampung lahir. Blog ini lahir waktu malam. Kelahirannya dibidankan oleh anak sulung aku. Ini adalah kiriman ke 181. Wajahnya baru sekali berubah. Kandungannya meliputi berbagai perkara. Banyak yang berkait tentang pendidikan. Ada yang berkait tentang agama atau sekadar coretan bebas, ikut suka penulisnya untuk mengkategori hasil pemikirannya. Setakat ini sudah dilawati oleh lebih 24,600 pengujung. Kabanyakan tulisan adalah hasil kreativiti sendiri dan ada beberapa kiriman yang dipetik dari sumber-sumber yang lain.

Wadah Orang Kampung juga dapat menjalin hubungan silaturrahim antara penulis dengan rakan-rakan lama yang sudah terpisah puluhan tahun. Disamping itu blog ini juga dapat memberikan sumbangan kepada rakan-rakan guru muda dalam melayari bahtera kerjaya terutama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Adalah disedari bahawa ramai penziarah blog ini sangat ingin mendapatkan maklumat tentang berbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Wadah Orang Kampung juga turut memberikan sumbangan berupa pengetahuan kepada para guru yang ingin mendalami tentang proses pentaksiran terutama dalam mata pelajaran Sains SPM. Ini kerana penulis merupakan mantan guru yang terlibat secara langsung dengan pembinaan format pentaksiran mata pelajaran berkenaan dan menyumbang secara aktif dalam pembinaan instrumen pentaksiran serta pernah menjadi Ketua Pentaksir mata pelajaran berkenaan sebelum bersara.

Enteri ini merupakan satu rumusan ringkas selepas blog ini berada di persada maya selama dua tahun. Insya Allah penulis akan lebih giat menyumbang terutama dalam perkara yang berkaitan dengan pentaksiran dimana ilmunya telah diperolehi melalui latihan yang diberikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia melalui dasar tingkap terbuka.  Terima kasih diucapkan kepada mereka yang bertanggung jawab melatih kami dan kini giliran aku untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang sangat berguna itu.

Sekian, TK