Lompat ke isi kandungan

Program Latihan Di Sekolah

April 5, 2010

PENGENALAN

            Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dialah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi. Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknati Allah SWT.

          Oleh itu program latihan yang dibuat di sekolah terhadap guru-guru dan kakitangan sekolah adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap profesionalisme anggota organisasi samada guru atau kakitangan sokongan sekolah agar amalan mereka lebih baik dari hari semalam. Program latihan ini berbentuk ceramah, bengkel atau perbincangan yang dikendalikan oleh penceramah atau fasilitator dalaman atau luaran.  Semoga dengan latihan ini membolehkan setiap anggota organisasi dapat menambahkan pengetahuan, kefahaman serta kemahiran bagi meningkatkan perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

          Antara program latihan yang telah dilakukan diperingkat sekolah adalah program Latihan Dalam Perkhidmatan, Program Pementoran, Program Pemantauan dan Pencerapan, Kajian Tindakan dan Pemantapan ICT. Organisasi yang dirujuk ialah sekolah yang saya urus ketika saya menjadi Pengtua di sekolah berkenaan.

            Meningkatkan profesionalisme warga organisasi membawa maksud, ahli organisasi iaitu guru dan kakitangan sokongan dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan dan sentiasa dapat memenuhi kehendak pelanggan. Sistem penyampaian di sekolah beroperasi dengan berkesan. Oleh itu amalan yang dibuat oleh anggota organisasi akan bertambah baik dari hari ke hari dan tidak menjadi orang yang rugi dan orang yang mendapat laknat dari Allah SWT.

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN (LADAP)

            Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) adalah merupakan satu kaedah meningkatkan pengetahuan, kefahaman tentang amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilakukan dibilik darajah. Rata-rata kalangan guru hanya menerima latihan tentang P&P ketika mereka menjalani latihan perguruan sama ada di Maktab Perguruan atau Universiti. Bagi menjadikan amalan P&P sentiasa bertambah baik dari masa ke masa maka para guru perlulah didedahkan dengan amalan pengajaran yang baik.

          Latihan Dalam Perkhidmatan dibuat bertujuan menambah pengetahuan dan meningkatkan kefahaman oleh itu cara yang sesuai ialah melalui ceramah dan bengkel. Antara ceramah yang telah dibuat sepanjang tahun ini ialah Kemahiran Asas P&P bagi seorang guru, Pengurusan Stress dan Tiga Belas Pendekatan P&P yang berkesan. Manakala bengkel yang dilaksanakan ialah Pengurusan Panitia Mata Pelajaran, Pengucapan Awam dan juga Pembinaan Item Pentaksiran yang mencapai piawai Lembaga Peperiksaan Malaysia.  Ceramah disampaikan oleh penceramah jemputan manakala bengkel menggunakan khidmat fasilitator jemputan dan dalaman.

          Secara umumnya ceramah yang disampaikan dapat meningkatkan pengetahuan para guru. Ceramah pertama, membentangkan tiga perkara asas yang sangat perlu dikuasai oleh setiap guru iaitu kemahiran kurikulum, kemahiran pedagogi dan kemahiran pentaksiran.  Tiga kemahiran ini menjadikan seseorang guru itu mudah melaksanakan tugasnya. Walau bagimana pun seseorang guru itu tidak cukup sekadar memahami sahaja, sebaliknya dia perlu menambah kefahamannya terhadap tiga kemahiran asas ini dan perlu menambahnya sepanjang masa. Kemahiran ini bersifat dinamik dan sentiasa memerlukan proses kemaskini.

          Pengetahuan tentang Pengurusan Stress adalah penting untuk membantu seseorang guru menggunakannya sepanjang ia berkerjaya. Sekurang-kurangnya setiap guru dapat mengenalpasti punca stress dan cara mengatasinya. Oleh itu mereka dapat mengurangkan stress yang dialami dan dapat meningkatkan amalan pekerjaan yang baik atau bertindak secara profesional.

          Bagi menghasilkan P&P yang pelbagai setiap guru perlu mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang pendekatan P&P. Penceramah telah mendedahkan tiga belas pendekatan bagi P&P yang berkesan. Adalah diharapkan setiap guru dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman yang diperolehi dalam pelaksanaan P&P mereka.

          Manakala bengkel Pengurusan Panitia Mata Pelajaran adalah merupakan sesi bagi ketua-ketua Panitia Mata Pelajaran mengalami latihan agar dapat menjalankan tugas mereka dengan berkesan. Bengkel membina item yang mencapai tahap piawai bertujuan untuk membantu para guru dapat menyediakan soalan-soalan yang mengikut piawai LPM. Seterusnya bengkel pengucapan awam memberi peluang kepada setiap guru berlatih untuk bercakap dihadapan umum berkaitan sesuatu tajuk yang diberikan.

          Sesungguhnya semua aktiviti LADAP yang telah dilaksanakan seperti yang dinyatakan di atas dapat meningkatkan keupayaan seseorang guru dari segi pengetahuan, kefahaman dan kemahiran bagi melaksanakan tugas mereka sebagai seorang guru dalam bilik darjah dan juga sebagai seorang insan yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat.  Oleh yang demikian LADAP akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme warga pendidik di sekolah saya.

PEMENTORAN

            Mentor ialah pembimbing atau penasihat oleh orang yang berpengalaman atau arif kepada seseorang yang perlu mendapat bimbingan. Program ini dibuat bertujuan meningkatkan kemahiran dan mewujudkan kesamaan pandangan dalam amalan pengajaran. Program ini sebagai pelengkap kepada Program Latihan Dalam Perkhidmatan dan ia berjalan sepanjang masa dengan penilaian dilakukan dari masa ke masa.

            Beberapa orang guru yang berpangalaman dipilih untuk menjadi mentor. Mereka termasuklah guru-guru Penolong Kanan, Ketua Bidang, Ketua Panitia serta Guru Cemerlang. Manakala mentee pula terdiri daripada guru-guru yang baru ditempatkan selepas menjalani latihan Diploma atau Ijazah. Pertemuan antara mentor dan mentee boleh dibuat secara formal atau tidak formal. Walau bagaimana pun apa yang dibincang perlulah dicatatkan dalam Buku Rekod Mengajar sebagai bukti seseorang mentee telah bertemu dengan mentornya.

            Perkara yang dibincang termasuklah kefahaman terhadapt ceramah Keperluan Asas dalam P&P, Tiga Belas Pendekatan bagi P&P yang berkesan serta bagaimana membina item pentaksiran yang memenuhi kehendak piawai dari Lembaga Peperiksaan Malaysia. Selain itu mentor adalah merupakan tempat mentee bertanya atau mendapat penjelasan tentang sesuatu polisi sekolah terhadap amalan seseorang guru. Guru yang bertindak sebagai mentor perlu juga menasihatkan menteenya sekiranya didapati menteenya membuat sesuatu yang tidak sesuai dengan budaya dan keperluan sekolah.

            Selain dari Program Mentor dan Mentee antara guru-guru lama dan guru baru terdapat satu lagi program pementoran yang dibuat di sekolah berdasarkan arahan dari Kementerian Pelajaran agar mengadakan Sistem Bimbingan Taulan antara guru-guru Bahasa Inggeris dengan guru-guru Sains dan Matematik.  Program ini lebih menekankan tentang kemahiran berbahasa Inggeris bagi guru-guru sains dan matematik supaya mereka dapat menyampaikan pelajaran dengan menggunakan bahasa yang betul.

            Beberapa orang guru berpotensi menjadi guru cemerlang dikenalpasti. Bagi menjayakan hasrat sekolah agar dapat mempunyai guru cemerlang yang ramai dan berwibawa maka satu Program Pementoran antara Guru Cemerlang yang ada dengan guru-guru berpotensi juga diadakan. Guru Cemerlang dikehendaki membimbing guru-guru yang terlibat dalam aspek P&P, juga penyediaan modul pengajaran dan Kajian Tindakan.  

            Bimbingan dari guru cemerlang dalam tiga aspek ini adalah sangat diperlukan kerana guru cemerlang mempunyai kemahiran yang dikehendaki dan kemahiran itu perlu diajarkan kepada orang lain. Guru-guru yang dilatih perlu memahirkan diri bagi mengaplikasi pendekatan pengajaran yang sesuai bagi setiap kelas dengan menggunakan modul yang telah mereka disediakan. Bagi memantapkan lagi kandungan modul pengajaran ini mereka perlulah menggunakan kajian tindakan semasa modul pengajaran itu digunakan.  Oleh yang demikian modul pengajaran itu dapat diperbaiki kandungan dan kesesuaiannya dalam pengajaran.  

            Melalui tiga program pementoran yang disebutkan di atas diharapkan guru-guru yang dibimbing akan dapat mencapai piawai yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Setiap guru baru diharapkan akan dapat memahami aspek-aspek P&P yang berkesan serta memahami budaya kerja sekolah agar mereka dapat memahami kaedaan sebenar dipersekitaran sekolah. Oleh yang demikian kerja yang mereka buat akan mendatangkan hasil yang baik kepada diri mereka dan juga sekolah. Bagi guru yang mengajar sains dan matematik diharapkan program sistem bimbingan taulan akan dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka dan dapat menyampaikan pengajaran mereka dengan lebih berkesan. Kepada guru-guru yang dibimbing oleh guru cemerlang akan dapat memperbaiki proses pengajarannya dan dapat menghasilkan modul pengajaran yang sesuai. Sudah tentulah melalui tiga program yang dinyatakan di atas akan dapat meningkatkan profesionalisme setiap guru yang mendapat latihan itu.  

PEMANTAUAN DAN PENCERAPAN

            Bagi memastikan berbagai program yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual, satu jawatan kuasa dibentuk untuk memantau pelaksanaan dan membuat pelapuran. Jawatankuasa in namakan Jawatan Kuasa Pemantauan. Ahli Jawatan Kuasa ini terdiri daripada Pengetua, semua guru penolong kanan, semua ketua bidang mata pelajaran dan guru cemerlang. Tugas mereka ialah memastikan pelaksanaan sesuatu program mengikut piawai yang ditetapkan. Para guru yang menjalankan tugas boleh mendapatkan khidmat nasihat dari kumpulan ini. Oleh yang demikian pelaksanaan sesuatu program sekolah akan dapat dijalankan dengan berkesan disamping pelaksana akan dapat memperbaiki apa yang mereka buat. Oleh itu tahap profesional yang didapati oleh setiap guru dan kakitangan sekolah akan meningkat dan bertambah baik.

            Satu lagi aspek dalam program ini ialah pencerapan P&P yang dibuat oleh mereka yang ditugaskan oleh Pengetua. Mereka terdiri daripada semua guru penolong kanan, semua ketua bidang dan guru cemerlang. Mereka dikehendaki mencerap P&P yang dilaksanakan oleh guru-guru. Selain membentangkan hasil pencerapan kepada Jawatankuasa Latihan dan Penyelidikan Sekolah, guru-guru akan mendapat nasihat dan bimbingan berguna dalam melaksanakan tugas utama mereka di sekolah. Pencerapan ini disebut sebagai pencerapan klinikal.

            Program pencerapan juga boleh dilakukan dikalangan rakan-rakan guru yang mengajar mata pelajaran yang sama. Melalui usaha ini seseorang boleh mengambil manfaat bagi memperbaiki amalan P&P dengan melihat kekuatan sebagai contoh teladan dan melihat kelemahan rakan sebagai perkara yang perlu ditegur. Disini satu perkara wajar ada iaitu sikap berlapang dada terhadap teguran adalah sangat perlu. Ini dikenali sebagai pencerapan rakan sekerja.

            Dengan melaksanakan kedua-dua program pencerapan ini adalah jangka bahawa setiap guru sama ada yang dicerap atau yang mencerap akan dapat mempelajari sesuatu yang berguna serta boleh meningkatkan amalan kerjaya agar dapat menjadi seorang guru yang baik dan berkesan. Oleh itu melalui program ini profesion perguruan akan dapat ditingkatkan.

PEMANTAPAN I.C.T

          Penggunaan “Information and Communication Technology” (ICT) dalam P&P di bilik darjah adalah sangat sesuai masa ini kerana alat-alat elektronik yang berkaitan dibekalkan oleh pihak kerajaan. Disamping adanya bekalan ‘hardware’ terdapat juga bekalan ‘software’. Sekiranya pihak guru tidak pandai menggunakannya secara berkesan maka pembekalan akan menjadi sia-sia sahaja.  Oleh itu perlulah diadakan latihan khas dalam menggunakan ICT ini.

          Dalam hal ini Jawatankuasa Penyelidikan dan Latihan sekolah telah berjaya menyusun jadual latihan penggunaan komputer kepada semua guru. Mereka juga telah berjaya membina empat modul latihan pengajaran iaitu; ICT sebagai medium penyampai pengajaran, ICT sebagai sumber maklumat untuk isi pengajaran, Penerokaan ICT dan Teknologi ICT sebagai pembantu pembinaan bahan bantu mengajar atau bahan bantu belajar.

          Setiap guru dikehendaki menghadiri kursus pengunaan komputer dan melaksana modul latihan pengajaran secara kendiri. Jika mereka menghadapi masalah mereka boleh merujuk kepada guru ICT yang ada di sekolah atau mana-mana guru yang sudah menamatkan modul latihan pengajaran itu. Sesungguhnya melalui pelaksanaan empat modul latihan pengajaran ini, kebanyakan guru dapat mengaplikasi ICT dalam P&P mereka. Ini menjadikan program ini sebagai nilai tambah dalam kemahiran P&P mereka.

          Satu lagi kesan dari kursus komputer ialah setiap guru dan juga kakitangan sekolah boleh menggunakan ICT dalam melaksana urusan pentadbiran mata pelajaran dan juga pentaksiran urusan pejabat. Dengan adanya kebolehan yang berbagai dikalangan kakitangan sekolah dan para guru maka tahap profesionalisme mereka meningkat dan kesannya menguntungkan organisasi.

PENUTUP

            Program latihan yang telah dijalankan di sekolah saya banyak memberi kesan positif kepada peningkatan profesionalisme anggota organisasi. Empat program latihan yang dibincang di atas mempunyai keistimewaan tersendiri. Program Latihan Dalam Perkhidmatan, meningkatkan pengetahuan, kefahaman serta kemahiran bagi guru-guru menjalankan tanggungjawab mereka dalam P&P. Latihan Pementoran pula memantapkan lagi kemahiran seseorang guru baru dalam melaksanakan pengajarannya, seseorang seseorang guru sains atau matematik dalam penguasaan bahasa Inggeris dan juga menambahkan keyakinan seseorang guru yang dicalonkan sebagai guru cemerlang. Melalui program pemantauan seseorang guru atau kakitangan sekolah boleh meningkatkan kemampuan mengurus sesuatu tugas dan membetulkan halatuju kerjanya supaya mencapai piawai yang ditetapkan. Program pencerapan pula dapat meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam melaksanakan P&P. Program pemantapan ICT pula dapat memberi nilai tambah kepada pelaksanaan P&P disamping meningkatkan kaedah pengurusan sekolah. Sesungguhnya program latihan yang dilaksanakan di sekolah saya telah meningkatkan tahap profesionalisme anggota organisasi yang saya pimpin.

2 Komen leave one →
  1. ustazzahar permalink
    April 5, 2010 11:30 pm

    Salam. Perkongsian ilmu dan pengalaman yang menarik. Amat indah sekali apabila generasi awal menurunkan pengalaman mereka yang telah terbukti keberkesanannya. Syukran ya muallim…

    Insya Allah saya akan sentiasa sangup untuk berkongsi pengalaman yang pernah dilalui. Terima kasih atas kunjungan….

  2. iela_za permalink
    Mac 1, 2013 8:21 pm

    terima kasih atas perkongsian anda.. izin saya jadikan rencana anda sebagai bahan pembelajaran dan rujukan saya…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: