Skip to content

Amalan Nilai Bersih

April 12, 2010

PENGENALAN

Kamus Dewan (2005) menyenaraikan enam maksud bersih. Pertama; bermaksud tidak kotor, kedua; bebas daripada pencemaran udara dan lain-lain serta tidak mengandungi unsur yang menganggu kesihatan, ketiga; jujur dan ikhlas, keempat; bebas dari amalan yang tidak baik seperti rasuah, kelima; bebas dari anasir yang tidak baik dan keenam; pendapatan yang berbaki.           

Salah satu nilai utama yang tersenarai dari enam belas nilai murni yang diperakukan oleh Kementerian Pelajaran untuk diajar ialah nilai bersih. Dalam Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam bagi nilai-nilai peribadi asas terdapat nilai bersih.  Malah dalam dasar kerajaan yang menyebut tentang bersih, cekap dan amanah nilai bersih juga dijadikan sandaran.

Melalui perbincangan ini nilai bersih akan dilihat dari sudut bersih dari segi  fizikal bagi badan, pakaian serta makanan. Nilai bersih kedua dilihat dari sudut mental melibatkan kebersihan tindakan, pemikiran serta emosi. Manakala nilai bersih dari segi hubungan rohani pula merujuk bersih dari segi amalan dan akidah serta keyakinan seseorang.

Meningkatkan mutu kerja merujuk kepada pertambahan kualiti dan kuantiti kerja yang dihasilkan oleh seseorang yang mengamalkan nilai bersih dalam kehidupannya. Pertambahan kualiti dan kuantiti yang hasilkan menandakan seseorang itu berkerja secara profesional sambil mendokong amanah dan tanggungjawab sepenjang perkhidmatannya.

NILAI BERSIH DARI SUDUT JASMANI

            Amalan menjaga kebersihan badan adalah amalan yang sangat penting. Persekitaran kita dipenuhi oleh berbagai mikroorganisme yang boleh menyebab penyakit. Sekiranya badan kita tidak bersih maka mikroorganisme ini boleh hidup pada badan, menjangkati sistem pemakanan dan pernafasan.

Sekiranya badan tidak bersih akibat malas mandi kulat seperti panau dan kurap serta penyakit gatal boleh menghingapi kita. Keadaan sentiasa hendak bergaru akibat gatal dibahagian kulit mengganggu kelancaran kerja. Untuk menambah keadaan bersih pada fizikal ada bahan yang digunakan untuk membantu. Penggunaan sabun diperlukan bagi membunuh serta menghilangkan aktiviti mikroorganisma yang berbahaya.

Beberapa bakteria dan virus boleh memasuki sistem pencernaan melalui air yang diminum serta makanan. Sekiranya air yang tidak dirawat sebelum digunakan maka ditakuti air itu mengandungi patogen (mikroorganisme yang menyebabkan penyakit). Begitu juga berkaitan dengan makanan. Apa yang hendak dimakan mestilah bebas dari kandungan patogen. Oleh itu makanan hendak dimasak terlebih dahulu. Minuman dan makanan yang tidak bersih dari segi zahirnya berkemungkinan ia mengandungi mikroorganisma patogen yang boleh menyebabkan penyakit. Oleh itu mengamalkan nilai bersih ketika menyedia dan membeli makanan adalah penting untuk mengelakkan kita daripada diserang oleh sakit akibat pengambilan minuman dan makanan.

Saya sentiasa ingat bahawa usaha mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Mengamal nilai bersih dalam pengambilan minuman dan makanan adalah merupakan satu langkah pencegahan.

Bersih persekitaran juga adalah merupakan aspek penting bagi mecegah serangan penyakit yang merebak melalui titisan cecair atau udara. Penyakit seperti batuk kering atau H1N1 akan dapat dielak sekiranya kita tinggal dalam persekitaran yang bersih atau mengamalkan cara-cara menjaga kebersihan pada diri dan persekitaran.  Sebagai langkah pencegahan kita perlu mengambil imunisasi kepada sesuatu penyakit. Bersedianya kita untuk mengambil imunisasi adalah juga merupakan satu kaedah menjaga nilai kebersihan diri bagi peringkat dalam badan agar badan kita sentiasa kebal dari serangan mikroorganisma.

Oleh yang demikian mengamalkan nilai bersih dalam penjagaan badan sendiri, semasa mengambil minuman dan makanan serta membuat cegahan terhadap serangan beberapa patogen seperti mengambil imunisasi adalah sangat perlu agar kita tidak diserang penyakit. Dengan kita sentiasa berada dalam keadaan sihat maka kita akan boleh meningkatkan kuantiti dan kualiti kerja yang kita laksanakan.

NILAI BERSIH DARI SUDUT PEMIKIRAN

            Otak yang cergas dibadan yang sihat. Otak yang cergas dipandu oleh ihsan akan menjadikan seseorang mengamalkan kaedah berfikir secara bersih ertinya tidak mengamalkan penipuan, tidak memikirkan perkara lucah, tidak berfikir untuk menzalimi orang lain sebaliknya sentiasa berfikiran untuk membantu orang lain dan menjalankan amanah. Salah satu cara mengamalkan nilai bersih dari sudut berfikir ialah dengan bersifat ihsan dan mengamalkan puasa.

            Mengambil makanan yang halal dan bersih akan dapat menjadikan badan seseorang itu menjadi sihat. Badan yang sihat mempunyai otak yang sihat. Otak dibahagian serebrum adalah merupakan pusat kepada aktiviti berfikir. Aktiviti berfikir yang dilakukan oleh otak yang sihat akan dapat menghasilkan pemikiran yang sihat atau baik.  Orang yang berfikir secara sihat atau baik disebut sebagai orang yang mengamalkan cara berfikir yang bersih.

            Orang yang berfikir secara bersih atau baik tidak akan menyusahkan orang lain. Dia akan menjaga kebaikan dirinya sebagaimana dia menjaga kebaikan diri orang lain.  Oleh itu dia tidak sanggup menyusahkan orang lain sebagaimana dia tidak mahu menyusahkan dirinya sendiri. Maka tidak timbullah penipuan, penganayaan dan kezaliman terhadap orang lain.

            Mengamalkan berfikir secara bersih juga bererti tidak bercakap perkara yang diluar norma masyarakat seperti bertutur secara lucah, mengumpat keji orang lain dan menghina serta mengnista orang lain. Saya hendak menjadi orang mukmin yang orang lain selamat dari lidah saya atau tutur kata saya.

            Orang lain akan mengenali perangai kita melalui kata-kata yang kita tuturkan. Sekiranya tutur kata kita bersih maka orang akan mengatakan kita mengamalkan nilai bersih sebaliknya jika kita menuturkan perkara-perkara yang tidak elok maka kita akan dikenali sebagai orang yang tidak elok. Tutur kata itu mencerminkan cara berfikir seseorang kerana “Kamu adalah apa yang kamu fikir tentang dirimu.”

            Ada orang yang dianugerahkan oleh Allah SWT kehebatan kebolehan berfikir. Kehebatan itu diguna untuk membantu manusia lain. Maka nilai bantuan itu sangat bernilai disisi Allah SWT dan akan disanjung oleh manusia di dunia serta didoakan kesejahteraan baginya oleh para malaikat dan makhluk yang lain. Sebaliknya jika ia menggunakan kehebatan kurniaan Allah untuk menyusahkan orang lain maka orang ini tidak mengamalkan nilai bersih dalam tindakannya. Saya berusaha akan sentiasa mengamalkan nilai bersih dalam menggunakan kebolehan berfikir untuk apa-apa tindakan yang saya ambil dan saya bertekad tidak akan menyusahkan orang lain melalui tindakan saya.

Terdapat dua cara bagi melatih diri supaya dapat mengamalkan  nilai bersih dalam berfikir iaitu berpuasa dan bersifat ihsan. Mengamalkan puasa pada tingkat orang istimewa dan tingkat puasa orang istimewa dari yang istimewa seperti pandangan Imam Ghazali. Berusaha mengamalkan tingkat puasa yang tinggi ini sebagai cara untuk mendapatkan bantuan Allah SWT agar dapat membantu dan memandu diri supaya sentisa berfikiran secara bersih.

Ihsan bermaksud “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau dapat melaihat Allah tetapi ingatlah engkau tidak dapat melihat Allah sebaliknya Allah sentiasa melihat kamu.”  Saya berusaha untuk mencapai keadaan ini supaya saya sentiasa mengingat dalam diri saya hakikat bahawa Allah SWT sentiasa mengentahui apa yang saya fikir dan Allah SWT sentiasa melihat apa yang saya buat. Semoga dengan keinsafan ini dapat memandu saya mengamalkan cara berfikir yang bersih.

Oleh itu boleh dirumuskan bahawa mengamalkan nilai bersih dari sudut berfikir akan dapat memandu saya menghasilkan pemikiran yang bersih serta baik, saya tidak menzalimi orang lain. Orang melihat saya sebagai orang yang baik serta tindakan saya mudah difahami oleh orang lain. Amalan berfikiran bersih ini boleh dilatih melalui amalan puasa dan mendalami konsep ihsan dalam kehidupan. Orang yang mengamalkan nilai bersih akan dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti kerjanya kerana ramai orang yang senang berkerja dengannya, ramai orang yang suka membantu kerjanya serta ramai orang yang sayang kepadanya.

            NILAI BERSIH DARI SUDUT EMOSI

Mengamalkan nilai bersih dari sudut emosi boleh dilihat berdasarkan lima domin bagi Kepintaran Emosi seperti dinyatakan Goleman iaitu; Mengetahui emosi sendiri atau kesedaran diri; Mengurus emosi sendiri; Memotivasi diri; Mengenal emosi orang lain atau empati dan Menjaga hubungan atau kemahiran interpersonal. Seseorang yang dapat melaksanakan lima domin yang disebutkan ini boleh dikira sebagai orang yang bertindak secara bersih dari segi emosinya.

Mengetahui emosi sendiri atau mempunyai kesedaran diri adalah orang yang boleh menyedari dan memahami emosi dan pendorong diri sendiri serta kesannya terhadap individu yang lain. Orang ini mempunyai keyakinan yang besar terhadap perasaannya akan berjaya melayari kehidupan dan mempunyai deria rasa yang tepat terhadap keputusannya terutama ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya.

Pengurusan Emosi ialah mengurus perasaan sendiri supaya betul dengan keadaan adalah merupakan satu kebolehan yang terbina dari kesedaran kendiri.  Ia juga merupakan kebolehan, mengurus perasaan dengan berkesan serta menyedari kesan sebaliknya, mampu mengatasi kebimbangan, kemarahan dan kesedihan, kebolehan untuk bertindak setelah berfikir atau mempunyai elemen sabar dalam bertindak.  Orang yang lemah dalam kebolehan ini akan sentiasa berhadapan dengan perasaan sedih dan duka, sebaliknya orang yang cemerlang berhadapan dengan keadaan ini berupaya untuk bangkit kembali dengan lebih cepat apabila menghadapi halangan dan gangguan.

Memotivasi Diri adalah kebolehan mengatur emosi bagi mencapai kebolehan memberi tumpuan, memotivasi diri, penguasaan dan kretiviti.  Orang yang bermotivasi adalah orang yang mempunyai kawalan emosi kendiri serta mempunyai kemahiran menambahkan penghasilan dan keberkesanan kerja dalam apa juga bidang dan tanggungjawab.  Motivasi diri juga bermaksud keinginan yang keras atau semangat yang kuat pada diri sendiri bagi mendorong untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan serta dilakukan dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh.

Mengenal Emosi Orang Lain atau Empati adalah merupakan kebolehan untuk menyelami, memahami perasaan atau emosi orang lain dan kemahiran untuk bertindak bersesuaian dengan reaksi emosi orang lain. “Honesty, humility, acceptance, tolerance, gratitude, faith, hope and forgiveness” sebagai tindakan yang bersifat empati.

Menjaga hubungan atau Kemahiran Interpersonal merupakan kemahiran yang merujuk kepada kemahiran seseorang individu dalam menguruskan perhubungan dan membina rangkaian kenalan. Manusia yang ingin berjaya perlu memiliki kemahiran ini. Kemahiran ini penting kerana hubungan dan interaksi sesama manusia tidak dapat dielakkan. Pergeseran, pertengkaran dan salah faham sering berlaku semasa berinteraksi disebabkan oleh tindak tanduk yang menyalahi adab pergaulan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad SAW berpesan ‘Dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik…’ Tanpa akhlak, kacau bilau akan berlaku.”

            Dengan mengamalkan lima domin kepintaran emosi ini saya mampu menjalankan tugas dan amanah secara bersih. Sebagai seorang pentadbir dan pengurus sekolah kepintaran emosi ini sangat penting untuk menwujudkan keharmonian di sekolah. Apabila wujud keharmonian hubungan antara anggota organisasi maka mutu kerja dapat ditingkatkan.

NILAI BERSIH DARI SUDUT ROHANI

            Dari surah an Nahl ayat 114 bermaksud “Makanlah rezeki Allah secara halal dan baik. Bersyukurlah terhadap nikmat Allah seandainya kalian benar-benar menyembah (mematuhi)-Nya.”  Insan yang bersyukar ialah insan yang memakan makanan yang halal lagi baik. Makanan yang halal lagi baik ialah makanan yang disediakan secara bersih.

            Mengambil makanan yang tidak bersih dari segi sumbernya, tidak bersih dari segi zahir dan zatnya akan menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit zahir (dibincangkan di atas) dan juga penyakit batin atau penyakit rohani. Ini bertepatan dengan penegasan Rasulullah SAW bahawa, “Setiap ‘LAHM’ (mana-mana daging anggota badan manusia) yang membesar kerana memakan ‘al-saht’ (memakan benda haram) maka neraka adalah tempat wajar baginya.”

            Oleh itu dari sudut kerohanian sumber makanan untuk diri kita dan ahli keluarga hendaklah bersih dari sudut zahir dan batin. Mengamalkan nilai bersih dalam hal seperti ini akan menenangkan jiwa seseorang. Jiwa yang tenang akan meningkatkan mutu kerja seseorang.

            Bagi menambah ketenangan jiwa, harta kepunyaan kita hendaklah dikeluarkan zakat apabila cukup nisab dan haulnya. Didalam harta dan pendapatan kita terdapat hak orang lain seperti hak fakir miskin dan juga hak kerajaan. Oleh itu zakat dan sedekah hendaklah dikeluarkan bagi membersihkan harta kepunyaan kita. Pembersihan ini adalah pembersihan disisi Allah SWT yang akan menanugerahkan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita. Sebagai warga negara yang taat setia kepada negara kita juga hendaklah membayar cukai pendapatan.  Sekiranya tidak dibayar cukai pendapatan bererti kita tidak menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara. Kita mungkin merasa keluh kesah akibat dikejar oleh Lembaga Hasil dalam Negeri. Mengeluarkan zakat, memberi sedekah serta membayar cukai merupakan amalan bersih dalam urusan harta benda. Dengan menunaikan perkara-perkara ini hati dan jiwa akan tenteram maka produktiviti yang kita usahakan akan meningkat.

Amalan bersih yang merupakan kemuncak dalam kehidupan muslim ialah bertaubat serta berzikir. Bertaubat adalah usaha membersihkan jiwa, roh agar tidak bergelumang dengan dosa. Mengakui akan keterlanjuran dihadapan Allah SWT. Pensucian roh adalah penting. Kaedah yang disarankan adalah melalui proses taubat dan juga zikir.

Oleh itu bolehlah disimpulkan bahawa dengan menjaga makanan dari segi sumber yang halal, mengeluarkan sedekah, zakat serta membayar cukai pendapatan, bertaubat dan membanyakkan zikir akan menjadikan manusia itu mencapai kemuncak kebahagiaan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Hatinya tidak gusar sebaliknya bahagia dan tenang. Dengan itu mutu kerja bagai orang yang mempunyai keadaan begini akan meningkat.

PENUTUP

            Perbincangan tajuk ini memfokuskan tentang empat amalan nilai bersih dalam kehidupan iaitu, bersih dari sudut jasmani, bersih dari sudut berfikir, bersih dari sudut emosi serta bersih dari sudut rohani. Bersih dari sudut jasmani membincangkan kebersihan fizikal badan, persekitaran dan makanan. Bersih dari sudut berfikir pula membincangkan tentang penggunaan kebolehan berfikir bagi tujuan kebaikan dan bagaimana untuk menambahkan lagi amalan membersihkan pemikiran. Bersih dari sudut emosi dibincang berkaitan dengan kesedaran diri, memotivasi diri, mengawal diri, empati serta perhubungan interprsonal manakala kebersihan dari sudut rohani pula dibincang dari segi bersih sumber makanan, bersih harta benda dan cara menambah kebersihan melalui pebayaran zakat, sedekah serta taubat dan zikir. Apa yang dibentangkan merupakan amalan nilai bersih sekitar seorang insan. Sudah pasti sesiapa yang mengamalkan nilai bersih begini dalam dirinya akan memproleh jasmani yang sihat, pemikiran yang baik, emosi yang tenang serta rohani yang barkat. Sesiapa yang memperolehi anugerah ini sudah pasti dapat meningkatkan mutu kerjanya baik dari segi kuantiti atau kualitinya.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: