Lompat ke isi kandungan

KESERONOKAN BERKERJA

Jun 18, 2010

PENGENALAN

            Ungkapan keseronokan berkerja dapat diertikan sebagai perihal perasaan yang menyenangkan, menyedapkan hati apabila melaksanakan sesuatu tugas atau tanggungjawab yang diberikan. Perkhidmatan berkualiti pula mempunyai beberapa ciri antaranya; Memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan penuh budi bahasa dan sopan santun, cepat serta tepat masa; Menjalankan tugas dengan penuh amanah, adil serta peka kepada kehendak pelanggan.

            Keseronokan bekerja merupakan tonggak ketiga dari dua belas tonggak yang perlu diamalkan oleh semua kakitangan awam di semua peringkat organisasi. Keseronokan berkerja dihuraikan seperti berikut;

“Sejak zaman berzaman kerja ialah satu beban yang perlu dilakukan untuk hidup sama ada membanting tulang ataupun memeras otak. Kerja bukanlah sesuatu yang ringan, malah bagi kebanyakan mereka yang bekerja itu merupakan perlakuan yang tiada hujungnya. Namun begitu, jika kita mengambil pendirian yang optimistik kita boleh menjadikan kerja itu sesuatu yang mendatangkan keseronokan. Pertama, bekerja hendaklah dijadikan suatu ibadah kerana ibadah itu membawa ganjaran. Kedua, kerja itu hendaklah dijadikan cabaran yang memerlukan bukan saja daya usaha malah pemikiran dan kreativiti anda. Ia merupakan sumbangan yang hendaklah dikaitkan dengan kebajikan untuk masyarakat dan negara. Dengan sendirinya kita akan merasa puas kerana sumbangan kecil itu telah berjaya membangunkan negara. Ketiga, jika kerja itu kita anggap domain kita atau pengkhususan kita maka dengan sendirinya kita menjadi pakar yang diiktiraf.”

             Dari huraian di atas, dapat di senaraikan pula amalan-amalan positif yang dapat dilaksanakan bagi menggambarkan keseronokan berkerja.

AMALAN POSITIF

            Antara amalan positif yang membawa kepada keseronokan bekerja ialah menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, mendahului sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri, mempunyai komitmen terhadap kerja, sentiasa memberi kerjasama kepada usaha-usaha organisasi serta menghasilkan sesuatu yang berfaedah.

KERJA SEBAGAI IBADAT

               Tujuan manusia dicipta oleh Allah SWT dinyatakan oleh Al Quraan dalam Surah Az Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku semata.”  Manusia yang bertugas  sebagai guru menghabiskan sebahagian besar masa sehariannya melaksanakan tugas mengajar dan kerja-kerja pengurusan yang berkaitan.  Alangkah malang kehidupan sebagai guru kalau kerja yang dibuat seharian tidak dapat diiktiraf menjadi ibadah. Lagi malang bagi seseorang guru sekiranya ia menganggap kerja yang dibuat seharian sebagai beban.

            Syarat sesuatu kerja dapat dijadikan ibadah telah diterangkan oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi (1978).  Terdapat lima syarat sesuatu kerja atau amal itu boleh menjadi ibadat. Syarat-syarat itu ialah:-

Pertama: Amalan yang dikerjakan itu diakui Islam, sesuai dengan hukum-hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun kerja sebagai guru sangat diperlukan oleh Islam. Bersabda Rasulullah SAW, bermaksud, “Bahawasanya Allah SWT, malaikat-malaikatNya, isi langit dan bumiNya, sampai kepada semut di dalam lubang dan ikan di dalam laut, semuanya berdoa kebajikan kepada orang yang mengajarkan manusia (iaitu guru).” (Tarmizi dari Abi Amamah)

Kedua: Amalan-amalan itu dikerjakan dengan niat yang baik sebagai seorang muslim bagi memelihara kehormatan dirinya, bagi menyenangkan keluarganya, bagi manfaat umatnya dan bagi memakmurkan bumi Allah SWT sebagaimana yang dianjurkan olehNya. Saya sebagai guru perlu merasa seronok dan bersemangat dalam melaksanakan amanah yang menjadi tugas tanggungjawab saya. Kerja dan amal seorang guru sememangnya menenuhi syarat kedua ini.

Ketiga: Amalan-amalan itu hendaklah dibuat seelok-eloknya bagi menepati kehendak hadis Rasulullah SAW, “Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja memperelokkan kerjanya.” (Al Baihaqi). Apabila sesuatu kerja itu dibuat seelok-eloknya maka lahirlah sikap positif terhadap tugas dan dapat menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

Keempat: Ketika membuat kerja-kerja hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang. Syarat ini juga dapat menzahirkan seorang guru yang berbudi bahasa, sopan sanatun serta menjalankan tugas dengan adil dan amanah.

Kelima: Dalam mengerjakan amalan-amalan duniawi itu, seseorang tidak lalai dan tidak cuai dari melaksanakan ibadat khusus seperti sembahayang, puasa, zakat dan sebagainya. Seseorang yang mempunyai hubungan yang erat dengan Khalidnya akan menjadi insan yang mesra dengan pelanggannya dan dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

            Oleh itu apabila seorang guru yang dapat menyempurnakan kelima-lima syarat yang dinyatakan di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari, ia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah SWT meskipun dia tidak duduk di masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu. Kalau diperhatikan syarat ketiga memerlukan perbuatan seelok-eloknya dalam pelaksanaan kerja. Ini membawa maksud bahawa untuk memenuhi syarat menjadikan kerja itu ibadat, maka kerja itu (mengajar dan mengurus sekolah) hendaklah dibuat bersungguh-sungguh, penuh dedikasi, komited dan beriltizam. Kesimpulannya, dengan melaksanakan tugas-tugas guru yang memenuhi lima syarat di atas itu maka seseorang itu dikira telah berjaya melaksanakan amanah serta menghasilkan perkhidmatan berkualiti.

BUAT KERJA DENGAN INISIATIF SENDIRI

            Murid merupakan pelanggan utama di sekolah. Tanpa murid tidak wujud sekolah. Oleh yang demikian kemenjadian murid dari berbagai aspek perlu sentiasa dipantau. Kemenjadian murid dalam bidang akademik menjadi fokus utama dalam usaha dan kerja para guru.  Tugas utama guru ialah mengajar dalam bilik darjah. Kegagalan murid akan menjadi bahan templak kepada guru. Antara masalah murid yang sangat ketara dalam bidang akademik ialah malas. Untuk mengatasi sikap malas dikalangan sebilangan murid yang saya ajar saya cuba berbagai pendekatan dalam pengajaran.

            Sikap malas menyebabkan murid lemah dalam pembelajaran. Saya berusaha mencari cara mengatasinya. Saya seronok meneroka dan mencuba beberapa kaedah serta membantu murid dalam pembelajaran mereka. Saya kenalpasti kebanyakan murid malas membaca buku teks tetapi mereka mesti mendapatkan fakta, maklumat serta pengetahuan dari buku teks. Bagi mengatasi masalah ini saya menggunakan peta konsep dalam pengajaran saya. Setiap murid dibekalkan dengan peta konsep bagi tajuk-tajuk yang saya ajar. Pengajaran saya buat berdasarkan peta konsep yang dibekalkan itu. Hasilnya murid dapat belajar dengan baik dan dapat menguasai maklumat, fakta dan pengetahuan yang diperlukan.

              Menggunaan peta konsep dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mengatasi masalah yang saya hadapi. Untuk lebih memberikan kesan dalam pembelajaran murid, saya sentiasa menggunakan peta konsep yang sememang ada dalam buku teks, semasa pengajaran dan perbincangan. Kesannya sangat memberangsangkan.  Ini merupakan satu hasil kreativiti yang saya terokai bagi membantu murid saya dalam pembelajaran mereka. Saya seronok dalam melakasana serta menanti hasilnya.

              Melihat kepada kejayaan yang dicapai, saya rasa seronok, gembira dan puas dalam melakukan kerja yang berpunca dari inisiatif sendiri ketika menghadapi cabaran semasa mengajar. Untuk lebih memantapkan lagi kejayaan itu saya ajar murid saya satu doa untuk mengelakkan rasa malas seperti berikut;

”Ya Allah aku berlindung kepada Mu dari rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Mu dari sifat bacol (pengecut) dan kikir (bakhil). Aku berlindung kepada Mu dari beban hutang dan penindasan.”  

           Seterusnya bagi mengembangkan keseronokan meneroka kaedah pembelajaran menggunakan peta konsep ini saya menjalankan kajian tindakan. Dari kajian tindakan yang dibuat, saya dapat memantapkan lagi kaedah pengajaran saya menggunakan peta konsep.

           Oleh itu dapat dirumuskan bahawa inisiatif kendiri dapat mencetuskan keseronokan bekerja dan keseronokan bekerja menggalakkan saya meneroka kaedah pengajaran yang lebih baik. Semestinya kaedaan ini dapat mencapai matlamat pengajaran saya serta menyeronokkan pelanggan saya iaitu murid saya dalam melalui proses pembelajaran mereka. Dengan demikian aspek kemenjadian murid dari segi akademik dapat diperbaiki dan saya dapat menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

KOMITMEN TERHADAP KERJA

            Selain kerja mengajar ada masanya saya terlibat dalam kerja-kerja yang berbentuk keraian dan perayaan diperingkat sekolah. Untuk menjayakan perkara ini memerlukan kesungguhan.  Sebelum membuat persediaan bagi keraian atau perayaan perancangan yang teliti diperlukan. Sesudah perancangan dibuat usaha perlu digembeling bagai memastikan apa yang dirancang diwujudkan. Sekiranya ingin melihat apa yang dibuat mencapai piawai komitmen terhadap kerja perlu ada.

           Didalam hal ini biasanya saya akan terlibat dalam membuat hiasan dewan. Untuk memastikan dewan dihias mengikut piawai sekolah setiap anggota perlu memberikan komitmen yang tinggi. Sememangnya semasa melaksanakan kerja ia meletihkan. Tetapi dengan adanya rasa keseronokan berkerja dalam diri menjadikan kerja yang meletihkan itu dapat dibuat dengan jayanya. Apatah lagi kalau menerima pengiktirafan daripada mereka yang menghadiri majlis.

            Sudah menjadi resam pengetua apabila melihat hiasan dewan besar itu mencapai piawai yang dikehendaki, dia akan menyebutnya didalam mesyuarat serta memberikan penghargaan yang setimpal maka usaha yang dibuat rasa berbaloi. Bolehlah dikatakan bahawa keseronokan bekerja menimbulkan kepuasan dalam menjalankan tugas serta berjaya menghasilkan perkhidmatan berkualiti. Setelah beberapa kali tugas yang diberi menjadi serta mendapat pengiktirafan dan galakan dari orang atasan maka rasanya keseronokan berkerja itu ingin dikongsi dengan rakan-rakan yang lain dengan mengajar mereka cara dan kaedah. Akhirnya perkhidmatan yang berkualiti itu dapat pula dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejawat.

MEMBERI KERJASAMA

            Sebagai anggota satu organisasi, kerjasama adalah penting untuk menjayakan sesuatu aktiviti atau program. Kerja di sekolah bukan setakat mengajar tetapi juga melibatkan berbagai urusan yang dikategorikan sebagai Pengurusan Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.

            Satu orang tidak boleh menyelesaikan semua masalah tetapi semua orang boleh berkerjasama menyelesaikan banyak masalah. Menghadapi masalah adalah perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Prinsipnya kita tidak boleh lari dari masalah sebaliknya kita mesti menghadapi dan mencari jalan menyelesaikan masalah.

            Didalam pengurusan Hal Ehwal Murid saya suka memberi pertolongan kepada rakan guru yang menjalankan tugas berkaitan biasiswa, buku teks, pengurusan disiplin dan kebajikan.  Dengan memberikan kerjasama kepada para guru yang menjalankan tugas dalam bidang ini akan memudahkan kerja-kerja yang mereka buat diselesaikan dengan cepat.

            Disamping itu kerjasama yang saya berikan merupakan bimbingan kepada mereka yang baru dalam menjalankan tugas. Dengan berkongsi pendapat dan pengalaman menjadikan rakan-rakan guru yang muda dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa dan rasa tidak tertekan. Oleh yang demikian memberi kerjasama dalam satu organisasi dapat menghasikan perkhidmatan yang berkualiti disamping hubungan erat antara anggota dapat dicapai serta keseronokan bekerja diwujudkan dikalangan rakan setugas.

PENUTUP

            Antara nilai keseronokan bekerja yang saya amalkan dibincangkan berdasarkan empat fokus amalan positif, iaitu kerja sebagai ibadat, kerja dengan inisiatif sendiri, komitmen terhadap kerja dan memberi kerjasama. Memegang konsep kerja sebagai ibadat dapat menjadikan saya manusia yang berkerja bersungguh-sungguh, bekerja dengan penuh dedikasi serta penuh iltizam. Manusia yang menyedari bahawa apa yang dibuat adalah ibadat akan meletakkan amanah, konsep dosa dan pahala didalam perbuatannya setiap hari.

            Membuat kerja dengan inisiatif sendiri membolehkan saya menyelesaikan masalah pembelajaran anak murid saya disamping memberi peluang saya berkreatif dalam melaksanakan tugas saya sebagai pendidik. Usaha ini sekaligus dapat meningkatkan kemenjadian anak didik saya dalam bidang akademik.

           Komitmen terhadap kerja yang diberi, dapat memastikan usaha yang dibuat mencapaian piawai yang diperlukan terutama dalam kerja-kerja yang berkait dengan pengurusan keraian dan perayaan yang merupakan budaya sesebuah sekolah. Persediaan yang mencapai atau melepasi tahap piawai akan sentiasa diiktiraf oleh pengurus-pengurus atasan dan menimbulkan kepuasan dan keseronokan dalam berkerja.

            Memberi kerjasama adalah penting dalam pengurusan sesuatu organisasi. Sebagai seorang pengurus sekolah peringkat pertengahan kerjasama yang diberi akan cepat menyelesaikan tugas yang dilakasanakan serta dapat mengeratkan hubungan antara individu dalam organisasi. Pegangan nilai seperti yang dinyatakan di atas telah dapat memandu serta membantu saya melaksanakan tugas saya dengan berjaya serta menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua pelanggan saya serta pihak pengurusan atasan saya.

Satu Komen leave one →
  1. Siti Fatimah Ahmad permalink
    Jun 21, 2010 8:00 am

    Assalaamu’alaikum Cikgu

    Dengan hormat dan takzimnya, saya berharap Cikgu sudi menerima AWARD PERKASA – KAU ADALAH YANG TERBAIK, sempena sambutan HARI BAPA di Malaysia pada 20 Jun 2010. Ia sebagai menghargai persahabatan dalam perkongsian ilmu di ruang maya dan mengenangi jasa para bapa dalam memperjuangkan kehidupan yang harmoni untuk kebahagiaan keluarganya.

    http://websitifatimah.wordpress.com/2010/06/21/20-jun-2010-selamat-hari-bapa-untukmu-malaysia-dan-indonesia/

    Salam mesra dari saya.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: