Lompat ke isi kandungan

Majlis Graduasi SMKPT 2008

Ogos 29, 2012

Assalam mu alaikum wr wbt.

Pertama: Sebulan lebih aku tidak mengemaskini kiriman di blog ini, bukan sibuk, bukan tiada masa tetapi pemikiran tidak fokus. Oleh itu kesempatan yang ada di pertengahan Syawal ini aku berikan sedikit penumpuan.

Kedua: Semalam, dalam membelek-belek bahan-bahan simpanan terjumpa satu bahan sejarah yang sepatutnya aku dah kirimkan di blog ini lama dahulu tetapi bahan ini hilang dalam simpanan. Jadi bila dijumpai perlu segera dibuat kiriman.

Ketiga: Sebelum kiriman lain dimasukkan lebih baik aku masukkan dahulu kiriman yang bernilai sejarah ini.

Berikut adalah teks ucapan seorang tokoh guru. Beliau adalah Guru Besar Pertama bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku. Pada masa itu gelaran Guru Besar terpakai kepada semua sekolah sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah. Kini gelar Guru Besar untuk sekolah rendah dan Pengetua untuk sekolah menengah.

Ucapan ini telah disampaikan oleh Cikgu Abdul Wahab bin Sidek (Guru Besar Pertama SMK Padang Tengku) sempena anugerah Tokoh Guru SMK PT semasa Majlis Graduasi SMK PT pada 31 Oktober 2008. Saya salin semula teks ucapan beliau supaya menjadi tatapan murid-murid beliau di SMK PT atau semua warga SMK PT dari tahun 1965 hingga kini.

Berikut adalah teks ucapan Cikgu Abdul Wahab bin Sidek.

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalamualaikum warahmatulllah hiwabarokatuh

Yang Berusaha Tuan, Puan Pengerusi Majlis

Yang Hormat Dato’ Suhaimi bin Ibrahim, Setiausaha Politik, YAB Perdana Menteri.

Tuan YDP PIBG SMK Padang Tengku

Tuan Pengetua SMK Padang Tengku

Wakil PPD Lipis

Guru-guru, tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid sekelian.

Terlebih dahulu, saya menguca syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, saya berpeluang hadir dalam majlis yang indah ini.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, khususnya Pengetua Sekolah kerana telah sudi menjemput saya ke majlis ini. Bagi saya ini adalah merupakan satu penghormatan besar bagi seorang yang telah bersara selama 20 tahun dan saya amat-amat menghargai ingatan ini. Terima kasih sekali lagi.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak sekolah, Pengetua, guru-guru dan segala staf sokongan atas inisiatif mengadakan majlis ala konvokesyen ini. Saya yakin, ini akan memberi rangsangan kepada murid-murid untuk lebih gigih dalam mengejar kejayaan, apatah lagi dalam adanya tenaga pendidik yang berkelulusan tinggi dan penuh dedikasi serta komited dalam mendidik dan memajukan anak bangsa.

Hari ini SMK PT telah berusia 43 tahun 10 bulan. 43 tahun adalah satu jangka masa yang pendek dalam usia sebuah sekolah, tetapi kita sudah menempuh perkembangan yang begitu pesat. Dalam usia 43 tahun ini saya hanya terlibat selama dua tahun sahaja iaitu tshun 1965 dan 1966, tetapi bagi saya itulah dua tahun yang sangat-sangat nostalgic kerana itulah mulanya saya merasa pahit maungnya memulakan sebuah sekolah menengah dalam keadaan serba kekurangan – kurang guru, kurang kelengkapan dan serba serbi kekurangan.

Serba ringkas kewujudan SMK PT – Sekolah ini telah wujud pada 4 Januari 1965, dibawah Dasar Pelajaran Kebangsaan mengadakan sekolah menengah aliran Melayu, menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa penghantar. Elok juga saya sebutkan bahawa sebelum tahun 1965 tiada sekolah yang sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di Pahang – hanya ada kelas aliran melayu di bawah tadbiran sekolah Inggeris, dinamakan Darjah Menengah Melayu (DMK) – Malay Secondary Classes. Di SM Clifford, Kuala Lipis misalnya, kelas-kelas DMK ini dimulakan pada tahun 1959.

Seperti yang saya nyatakan tadi, permulaan SMK PT sangatlah dhaif – hanya sebuah bangunan lama mengandungi tiga bilik darjah. (Bangunan ini dipanggil bangunan Balik Angin bekas Sekolah Menengah Lanjutan) Guru Bsar dibantu oleh tiga orang guru sementara (tidak terlatih) dan seorang tukang kebun. Bilangan kelas hanya dua, lebih kurang 67 orang murid. Guru-guru yang tidak terlatih ini pergi berkursus hujung minggu di Regional Training Centre (RTC) Raub (PPD Raub kini). Beginilah keadaannya bagi tahun pertama, tahun 1965.

Pada tahun 1966, sekolah berkembang dengan pesat dari segi bilangan murid – bilangan kelas bertambah menjadi enam atau tujuh. Bilangan guru juga bertambah dengan kedatangan tiga orang guru terlatih dari Maktab Perguruan, Cikgu Jamal, Cikgu Zainal Abidin dan lain-lain, dan beberapa orang guru sementara yang juga mengikuti Kursus di RTC Raub.  Bangunan asrama murid lelaki telah siap dan boleh digunakan. Alat-alat kelengkapan seperti Industrial Arts dan Domestic Science juga diterima. Namun begitu kelengkaan belum sempurna misalnya belum ada bekalan air bersih, belum ada bekelan elektrik , tiada padang permainan yang sempurna, jauh sekali dewan sekolah, lab komputer dan lain-lain kemudahan seperti yang ada sekarang. Inilah senario kasar keadaan sekolah ini zaman permulaannya.

Namun demikian guru-guru ada masa itu terus berkhidmat dengan cemerlang tanpa menimbulkan apa-apa masalah walaupun keadaan begitu susah. Pada akhir tahun 1966 tamatlah perkhidmatan saya di SMKPT apabila saya diarah bertugas di sebuah sekolah lain di Kuala Lipis.

Bagi murid-murid pula ingin saya mengingatkan bahawa 51 tahun kita merdeka, kita berpeluang seluas-luasnya untuk mengejar kejayaan dalam bidang pelajaran. Masa saya bersekolah dahulu (60 tahun yang lepas) di Tanah Besar Malaysia (Malaya pada masa itu) belum ada Universiti. Masa itu hanya ada satu sahaja universiti, iaitu Universiti Malaya di Singapura. (masa itu Singapura masih lagi sebahagian daripada Malaysia). Bayangkanlah bagaimana hebatnya persaingan untuk mendapatkan tempat dihanya satu Universiti. Hanya pelajar-pelajar yang sekeliber dengan Tun Mahathir sahaja yang mampu mendapat tempat belajar. Sekarang kita ada berpuluh universiti di Malaysia – awam dan swasta. Saya rasa dengan peluang terbentang sebegini luas, jika kita tidak merebutnya, kita mestilah salahkan diri kita sendiri. Apatah lagi masa kini boleh dikatakan semua tenaga pengajar adalah terdiri daripada guru-guru yang berkelulusan tinggi dan arif dalam bidang pendidikan. Misalnya, sebagai perbandingan masa saya bersekolah di SM Clifford, selain daripada pengetuanya, seorang yang terdiri daripada Bangsa Inggeris, tiada seorang pun guru yang berkelulusan Ijazah – hanya berkelulusan Senior Cambridge School Certificate dan Normal Class Tarining. Normal Class Training ini adalah program belajar secara correspondence (PJJ), bahan-bahan bacaan dihantar kepada peserta melalui pos. Program ini telah lama terkubur dengan terbinanya maktab-maktab perguruan. Hanya selepas Perang Dunia ke 2 sekitar tahun 1953 barulah SM Clifford menerima dua orang guru graduate – seorang bernama Mr TY Yogaratnam dan seorang lagi bernama Mr Surender Singh. Yang lainnya adalah guru Latihan Normal. Inilah senario sekolah-sekolah sebelum merdeka. Sekarang tak payahlah cerita.

Saya penuh yakin murid-murid SMKPT akan berusaha bersungguh-sungguh melonjakkan nama baik sekolah, sama ada dalam bidang pencapian akademik mahu pun dibidang ko-kurikulum untuk menjadikan SMKPT sebuah institusi rebutan dikalangan penduduk tempatan.

Saya minta maaf ucapan ringkas saya ini bukanlah merupakan satu ucapan akademik tetapi bercorak cerita. Namun demikian adalah harapan saya bahawa saya telah dapat membayangkan keadaan pendidikan di negara kita 60 tahun dahulu berbanding dengan keadaan hari ini. Moga-moga kita semua akan menyedari betapa luasnya peluang bagi kita menyertai usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Sukar agaknya bagi kita mencari sebuah negara membangun yang menyediakan peluang belajar sebegini luas. Buat kata ungkapan Bahasa Inggeris – We never had it so good.

Akhir kata saya berasa amat bangga kerana ‘in a small way’ nama saya dikaitkan dengan sekolah ini. Selamat maju jaya SMKPT

Anak teruna mengarang sajak.  Sajak dibaca ditepi telaga. Dimana juga bumi dipijak. Nama sekolah tetap dijaga.

Sekian. Wabila hitaufik wal hidayah, Wassalam mu alaikum wr wbt. Terima kasih.   

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: