Skip to content

Mengapa Laki-laki DiLarang Memakai Emas

Mac 9, 2016
Saya mematik satu artikel dari mutiarakasihku.wordpress.com untuk tatapan kaum muslim yang lelaki, semoga ada kefahaman dalam diri. Inilah Alasan Ilmiah, Mengapa Laki-laki Dilarang Memakai Emas.

emas

Dalam Islam, kaum lelaki diharamkan memakai apa sahaja barangan yang berunsurkan emas termasuk gigi emas. Larangan ini jelas dalam sebuah hadis sahih dari Abu Musa r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

“Telah diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki dari umatku dan dihalalkan bagi wanitanya”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi. A-Nasai dan Ahmad)

Daripada hadis ini, emas dalam bentuk apa pun, sama ada emas putih, emas suasa atau apa sahaja logam pelbagai warna yang mengandungi unsur emas hukumnya adalah haram.

Sementara itu, benda yang dicat dengan warna emas tidak boleh dikatakan sebagai emas. Ulama sependapat bahawa hukumnya tidak haram kerana ia bukannya emas. Hanya rupa dan warna saja kelihatan sama. Yang haram adalah emas dan bukan kemiripannya.

Hikmah di sebalik larangan itu, umat Islam sebenarnya diajar supaya senantiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul. Di samping mengajar kita supaya hidup secara sederhana dan tidak bermegah-megah dalam berhias.

alasan-ilmiah-kenapa-pria-tak-boleh-memakai-emas

Wanita memakai emas

Perhiasan emas hanya diberikan kelonggaran kepada wanita untuk memakainya sebagai alat mencantikkan diri dan menarik perhatian suami. Manakala lelaki pula tidak ada keperluan untuk menambah hiasan pada diri mereka kerana perhiasan sebegitu tidak sesuai dengan sifat dan kejantanan seorang lelaki.

Kebelakangan ini, perintah Allah yang diturunkan melalui Rasul sejak 1,400 tahun dahulu mula tersingkap hikmah dan kebenarannya terutama dari sudut perubatan.

Ahli sains menyimpulkan bahawa partikel emas mampu menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah manusia yang mampu memberi kesan buruk kepada ketahanan badan seterusnya menjejaskan kesihatan kepada pemakai.

Dari sudut sains menjelaskan bahawa kondisi dan tekstur kulit lelaki sangat berbeza dengan seorang wanita.

Melalui satu perkongsian sumber yang dimuatnaik di sebuah blog, perhiasan emas yang kita pakai juga bukanlah seratus peratus emas tulen. Emas tulen adalah 24 karat tetapi kebanyakan barang kemas adalah dalam bentuk 18 dan 22 karat. Ini bermakna, jika emas itu 18 karat atau 22 karat, 75 peratus kandungannya ialah emas tulen, manakala 25 peratus lagi terdiri daripada logam lain yang mungkin boleh jadi dibentuk daripada perak, tembaga, zink atau paladium.

Tujuan utama menambahkan logam lain adalah untuk menguatkan produk tersebut dan emas campuran yang tahan lasak ini dipanggil aloi emas.

Kesan penggunaan emas terhadap kulit sebenarnya sudah dikaji oleh seorang pakar perunding dari International Gold Corporation di Johannesburg, Afrika Selatan bernama william S. Rapson.

Daripada penyelidikannya mendapati bahawa kulit manusia boleh menghasilkan asid amino dan natrium klorida.

Apabila kita berpeluh, kedua-dua bahan kimia tersebut akan bertindak balas dengan aloi emas yang dipakai. Kesan reaksi kimia dan geseran kulit, aloi emas dikesan boleh menyerap masuk ke dalam kulit manusia.

Partikel-partikel aloi emas yang kurang daripada 40 nanometer memang terbukti boleh memasuki liang-liang roma kulit. Kajian dermatologi turut menunjukkan penyerapan partikel emas boleh dipercepatkan oleh keadaan pH (ukuran keasidan) kulit yang tinggi alkalinya. Dan terbukti, pH kulit lelaki adalah beralkali lebih tinggi daripada perempuan.

Tambahan pula, lelaki lebih cenderung memiliki kulit dan bulu roma yang tebal serta kasar berbanding wanita. Sebab itulah kenapa sains mendapati lelaki mampu menyerap partikel emas lebih tinggi berbanding wanita.

Apa pula yang akan berlaku selepas penyerapan logam ke dalam kulit?

Apabila partikel emas sudah masuk ke dalam epidermis dan sistem peredaran darah, ia boleh menyebabkan clumping protein atau protein terkumpul.

Keadaan itu menjadikannya tidak berfungsi lalu memberikan impak kepada sistem kardiovaskular lelaki.

Malah, penemuan baru oleh pasukan penyelidik di University of California, San Francisco (UCSF), begitu mengejutkan apabila mendapati pengumpulan protein ini boleh mempercepatkan proses penuaan. Kecenderungan protein melekat bersama-sama akan mengakibatkan saluran darah tersumbat dan tidak berfungsi, seterusnya menjadi toksik.

Apa yang mengejutkan, rupanya kehadiran protein tidak larut ini banyak dikesan di dalam otak pesakit-pesakit yang menghidap penyakit neurodegenerative, termasuklah Alzheimer, Parkinson dan Amyotrophic sklerosis lateral (ALS).

Bagaimana pula dengan wanita? Adakah pemakaian emas juga berbahaya kepada golongan ini?

Wanita tidak menderita masalah tersebut kerana mereka memiliki keistimewaan yang tidak ada pada lelaki iaitu hormon estrogen.

Dari segi kesihatan, hormon ini membantu hal-hal mobiliti dalam peredaran darah. Apabila kepekatan estrogen tinggi terutamanya semasa haid, saluran darah akan mengembang dan membesar untuk keselesaan perjalanan serta pengeluaran darah.

Walaupun lelaki juga memiliki hormon estrogen, tapi ia sangat sedikit malah fungsinya juga tidak diketahui. Malah, estrogen lelaki cuma berkeadaan statik dan saluran darah mereka tidak mengalami pengembangan seperti wanita.

Jadi, jika sekiranya ada partikel emas memasuki badan lelaki, partikel berbahaya itu akan menyumbat saluran darah dan sebab itulah kenapa lelaki cenderung mengalami masalah kesihatan seperti kardiovaskular.

Alzheimer adalah suatu penyakit di mana orang tersebut kehilangan semua kemampuan mental dan fisik serta menyebabkan kembali seperti anak kecil. Zheimer bukan penuaan normal, tetapi merupakan penuaan paksaan atau terpaksa. Dan mengapa Islam membolehkan wanita untuk mengenakan emas? Kerana perlu dicatat bahawa wanita tidak menderita masalah ini kerana setiap bulan, partikel berbahaya tersebut keluar dari tubuh wanita melalui haid (datang bulan).

Gejala penyakit Alzheimer mengutip situs http://penyakitalzheimer.com/ antara lain;

  • Terjadinya gangguan keterampilan dari suatu pekerjaan misalnya lupa meletakkan kunci kereta.
  • Kesulitan dalam membaca dan berkomunikasi.
  • Disorientasi pada tempat, waktu, serta orang dan tidak mampu mengenali teman kerja atau lupa alamat rumah.
  • Kesulitan dalam melakukan pekerjaan yang biasanya dilakukan seperti tidak mampu untuk melakukan kebiasaan sehari-hari.
  • Perubahan mood yang terjadi dengan tiba-tiba dan cepat marah, minat yang mulai menurun pada hobi.
  • Perubahan pada keperibadian.
  • Kesulitan untuk mengambil suatu keputusan

Dan inilah sebabnya kenapa Islam melarang lelaki daripada memakai emas.

Semoga apa yang dibincang ini mendatangkan manfaat kepada kita semua. Sekian TK

Pak Andak di Relong

Februari 21, 2016

Andak adalah gelaran kepada anak yang ke enam dalam susunan adik beradik mengikut resam yang digunakan di Kampung Relong. Bagi keluarga yang anak-anaknaya mencapai bilangan enam atau lebih maka adalah gelaran Pak Andak atau Mak Andak. Kalau bilangan kurang daripada enam maka tiadalah gelaran itu ditemui dalam keluarga itu. Oleh kerana penduduk di Relong ini biasanya mempunyai anak lebih dari enam orang maka gelaran itu akan ditemui dan digunakan dalam panggilan seharian dalam masyarakat atau keluarga,

Susunan gelaran dalam keluarga di sesebuah kampung atau tempat mungkin  berbeza. Bagi kami di Kampung Relong dan sekitarnya gelaran dalam adik beradik adalah seperti berikut:

Anak Sulong dipanggil Long atau We’ atau Embong.  Anak Kedua dipanggil Ngah atau Encik. Anak ketiga dipanggil De’ atau Uda. Anak keempat dipanggil Teh atau Uteh. Ke Lima dipanggil Tam atau Itam. Ke Enam dipanggil Andak, Ke Tujuh Anjang, Ke Lapan Cu atau Busu. Ke Sembilan Beh. Kalau ada lebih dari sembilan panggilan itu di ulang semula. Perlu diingat gelaran ini betul bagi kampung Relong dan sekitarnya sahaja. Kalau seseorang pergi ke Kampung Gua, susunan itu sudah berbeza apatah lagi kalau kita menjengah ke daerah atau negeri lain.

Fokus perbincangan ini adalah memperkenalkan beberapa orang Pak Andak yang ada di Kampung Relong masakini serta menyorot peranan mereka dalam masyarakat Kampung Relong dan mungkin selepas ini ada juga cubaan untuk merakam peranan Pak Andak yang sudah pergi meninggalkan kita tetapi peranannya agak tersohor.

Pak Andak Dahan, Nama  sebenarnya ialah Haji Mohd Dahan bin Haji Husin. Ibunya Tekah binti Imam Musa. Umur masa kini sudah melangkaui 86 tahun. Beliau adalah pesara guru yang masih sihat, sering dapat dilihat di Masjid, ditempat kenduri kendara. Sebagai guru beliau pernah berkhidmat dibeberapa buah sekolah rendah di sekitar daerah lipis. Beliau aktif di kampung sebelum dan selepas bersara. Peranannya agak besar dalam peningkatan kesedaran pertanian di Relong iaitu ketika beliau menganggotai JKKK Rekong semasa Ketua Kampungnya ialah Haji Abdul Samad Ismail. Rakan-rakan seangkatan dengan beliau dah ramai pergi menemui Ilahi malah ramai muridnya mendahului beliau.

Pak Andak Din. Nama sebenarnya ialah Haji Sirajuddin bin Haji Uda. Berasal dari keluarga Bukit Berangan dimana ayahnya adalah Haji Uda bin Itam dan Ibunya Mah binti Mahudin. Beliau adalah lepasan Diploma Kolej Islam Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam UKM. Pernah berkhidmat di SMA Padang Tengku, SM Tinggi Agama Sultan Abu Bakar, Pekan, menjadi Pengetua SMA Rompin dan SMA padang Tengku. Setelah bersara bertugas sebagai Penyelia Masjid di PAID Lipis. Beliau terlibat sebagai Bendahari JKK Kg Relong untuk beberapa tahun dan merupakan Pengerusi Masjid Kg Relong. Beliau adalah Pengerusi Pertama Maahad Tahfiz Al Quran  Kg Relong.

Pak Andak Ning (Haji Mat Yatim @ Abd Ghani bin Said). Beliau merupakan pelajar awal SM Agama Al Madrasah Al Tarbiyah Al Diniyah, Kampung Relong (Sebuah Sekolah Agama Rakyat) Dari sekolah ini beliau melanjutkan pengajian ke SM Tinggi Agama Sultan Abu Bakar, Pekan. Seterusnya beliau menjadi guru di Rompin, SMK Orang Kaya Haji Kuala Lipis.

Pak Andak Usop (Haji Yusof bin Ibrahim) Selepas tamat SK Relong, melanjutkan pelajaran ke SM Rendah Jenis Kebangsaan Kuala Lipis (SMK Setia Wangsa) dan belajar di tingkatan tiga di SMK Clifford sehingga tamat tingkatan Lima dan mengambil MCE (1971) Melanjutkan pelajaran ke SABS Kuantan di tingkatan Enam (Sains) seterusnya ke UPM, Serdang mengambil Diploma Seins dangan Pendidikan. Mula bertugas pada Jun 1977 di SMK Padang Tengku dan bersara pada 1 Julai 2009. Terlibat sama mendirikan Maahad Tahfiz di Kampung Relong pada mulanya sebagai Setiausaha (Mudir) [2011 – 2015]. Kini menjadi Pengerusi Lembaga Eksekutif Tahfiz, selepas Haji Zahari meninggal dunia.

Pak Andak Hamed (Abdul Haned bin HajiAkob) Selepas tamat SK Relong, melanjutkan pelajaran ke SM Rendah Jenis Kebangsaan Kuala Lipis (SMK Setia Wangsa) dan belajar di tingkatan tiga di SMK Clifford sehingga tamat tingkatan Lima dan mengambil MCE (1971) Melanjutkan pelajaran ke SABS Kuantan di tingkatan Enam (Sastera) seterusnya ke USM, Pulau Pinang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial. Bertugas sebagi Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Strategik di Universiti Aberdeen, Scotland. Pernah bertugas sebagai ADO Bentong, Pegawai di KDN, Pendaftar Pertubuhan di Sabah, Pengarah Jabatan Merin Sarawak dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan di Sarawak. Bersara pada 10 Februari 2011. Terlibat sama mendirikan Maahad Tahfiz di Relong semenjak dari mula [2011] hingga kini sebagai Bendahari.

Pak Andak Usop (Yusof bin Mohamad). Selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah, beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Parit dan Saliran. Beliau mengalami strok dan kini menumpukan usha kepada pertanian dan juga mengimarahkan masjid.

Kepada saudara dan saudari dari Kampung Relong yang ada dalam pengetahuannya Pak Andak yang lain dari yang dinyatakan di atas harap dapat menulis pada ruang komenter, agar saya dapat mamasukkan kedalam tulisan ini. Tulisan ini sebagai rakaman tentang beberapa insan yang mendiami Kampung Relong yang bergelar Pak Andak. Sekian TK

Terima Kasih kepada Ustaz Haji Zulquarnain Ali  di atas kiriman tambahan tentang Mak Andak. Berikut adalah tulisan beliau:

Mak Andak Mai (Maizatulakmam Binti Ali). Belajar di SRJK Clifford, Kuala Lipis daripada darjah 1 hingga 3, Menyambung pelajaran di SK. Relong daripada darjah 4 hingga 6. Pelajar Relong Pertama memasuki SM. Sains Tengku Abdullah, Raub. (Kumpulan Pelajar Pertama SEMESTA). Menyambung pelajaran di SM. Clifford (Tingkatan 6 Sains). Seterusnya memasuki UKM dengan memperolehi Ijazah Sarjanamuda (Kep) Teknologi Maklumat. Bertugas di MIMOS sehingga meletak jawatan kerana masalah yang wujud dalam pengurusan MIMOS. Sekarang suri rumah sepenuh masa.

TAKUT LALU MENAKUTKAN

Ogos 26, 2015

Tuliasan ini saya ambil dari fB sahabat saya Taun Haji Sobirin bin Haji Duli, sebagai rakaman satu pandangan tentang apa yang berlaku di negara tercinta dan bagi peluang kepada peminat blog ini membaca dan menganalisa perjalanan sejarah silam.

Merenung kembali peristiwa sebelum merdeka. British hanya merestui UMNO menjadi pengusaha ke arah kemerdekaan Malaya, lalu diharamkan parti dan pertubuhan lain yang turut berjuang menuntut kemerdekaan. UMNO lebih serasi dengan British kerana kenbanyakan para pemimpinnya mendapat pendidikan dibawah sistem pendidikan ciptaan mereka.

Dominan orang Melayu perlu dipecahkan sejak awal lagi. Raja dan pembesar Melayu menguasai politik longgar berasas istana dan menguasai ekonomi berasas cukai. Ekonomi berasaskan hasil bumi – emas & bijih timah menjadi pemacu kepada cengkaman ke atas negara yang dijajah. British juga mempunyai matlamat agama, iaitu memecahkan dominan Islam sebagai anutan orang Melayu.

British sebenarnya TAKUT kepada dominan Melayu dan dominan Islam dalam usaha mereka menguasai tanah jajahan ini. Mereka tidak dapat mengelak perjuangan menuntut kerdekaan yang sedang berleluasa di rantau ini di abad ke 19. Maka mereka memastikan jika tanah jajahan ini merdeka, pastikan ia mengikut acuan yang mereka sediakan.

Dominan Melayu dan Islam diganggu dengan membawa masuk imigran dari India dan Cina secara mencurah-curah. Tahun 1941, kaum imigaran sudah menjadi dominan (58% dpd jumlah penduduk). Inilah alasan yg digunakan British mendesak pimpinan umno menerima mereka sebagai rakyat secara jus-soli. Ini memudahkan British mensekular negara ini melalui perlembagaan yang mereka cipta.

British bernasib baik kerana di Malaya ada parti Komunis Malaya yang perjuangannya berbeza dengan golongan lain. Mereka berjuang dengan senjata, yang dilihat penjajah sebagai ganas. Mereka TAKUT kepada perjuangan bentuk ini lalu mereka MENAKUTKAN orang Melayu dengan kalimah PENGGANAS. Ternyata strategi yang sangat berkesan. Orang Melayu lebih takutkan komunis sebagai pengganas daripada takutkan British sebagai penjajah. British selamat daripada penentangan bersenjata orang Melayu, malah orang Melayu mengangkat sejata sebagai anggota AP menentang komunis.

Kita merdeka! Hasil perjuangan rakyat yang berbagai wadah, walaupun kerajaan mengiktiraf jasa dari segelintir sahaja. Itu kesah sebelum merdeka dalam sejarah.

Kini lepas merdeka peristiwa sejarah berulang lagi dalam konsep “Takut lalu Menakutkan”. Apabila berlaku krisis politik, UMNO TAKUT hilang kuasa lalu MENAKUTKAN dengan kalimah “BANGSAT”. Soalnya adakah orang Melayu kini benar-benar takut menjadi bangsat jika umno hilang kuasa? Sedikit kurang islamik kerana kita patut kembali kepada ketentuan Allah. Selepas merdeka hendaklah jangan terpengaruh lagi dengan agenda sekular penjajah. Kalaupun tiada UMNO kita bertuah kerana masih ada Allah SWT.

Bersikap jujurlah kepada Allah SWT dan diri sendiri seperti yang Allah tunjuk dalam QS3:167 – “Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya”. Jika dalam hati kita sesuatu itu tidak benar, zahirkanlah ia sebagai tidak benar. Jangan katakan benar sekalipun hati kita berkata ia tidak benar.

Kata-kata Hang Tuah diselewengkan penjajah: “Tak kan Melayu hilang di dunia…(dihilangkan pelengkapnya) ..SELAGI MELAYU BERPEGANG KEPADA ISLAM!

Jujurlah pada diri untuk membuktikan jiwa kita MERDEKA!

Terima Kasih Tuan Haji Sobirin Haji Duli,

Petunjuk yang ku nantikan

Jun 24, 2015

Assalam mu alaikum wr wbt,

Hari ini, Rabu 7 Ramadhan 1436H. Aku masih berpusing-pusing mencari idea untuk ditulis, apatah lagi memang lama aku tak menulis. Bila datang bulan Ramadhan nampaknya keadaan lama akan berulang. Walau pun ada riwayat hadis yang memaklumkan kepada semua umat Islam bahawa awal Ramadhan itu Rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya ialah kebebasan dari api neraka, tetapi sikap orang Islam mengambil maksud hadis ini sambil lewa sahaja kalau dilihat pada apa yang berlaku tahun-tahun yang berlalu.

Ada satu harapan yang boleh disandarkan kepada satu bentuk perubahan yang mungkin berlaku dalam kaitan dengan perihal diatas. Pada tahun ini nampaknya banyak rancangan agama di TV membincangkan hal ini. Semoga apa yang disampaikan oleh para asatizah di TV dan Radio akan dapat memberi kesedaran kepada saudara saudariku yang muslim. Aku mengharapkan petunjuk atau indikatornya dapat dizahirkan sepanjang Ramadhan ini.

Antara petunjuk yang aku harapkan akan muncul ialah jumlah yang bersolat tarawikh tidak akan berkurangan apabila Ramadhan semakin lama. Tetapi sesuatu yang masih sama ialah berkurangan jumlah jemaah selepas menamatkan lapan rakaat. Hanya sedikit sahaja yang meneruskan ke 20 rakaat.  Kes ini perlu dibincangkan dalam tajuk yang lain.

Petunjuk kedua ialah ramainya yang menyertai tadarus al Quran, atau yang menggagahkan dirinya membaca al Quran agar dapat khatam di Ramadhan ini. Tak perlulah hendak mengatasi Imam Syafie dalam jumlah khatam al Quran sepanjang Ramadhan kerana beliau mampu khatam dua kali sehari sepanjang Ramadhan. Kalau kita mampu khatam sekali sepanjang Ramadhan, ini sudah dikira sangat baik.

Satu lagi indikator yang aku ingin lihat ialah ramainya penyertaan anak muda dalam majlis tadarus dan solat tarawikh. Ramainya anak muda terlibat dengan tadarus al Quran dan bersolat tarawikh menjadi bukti bahawa masa depan Islam akan gemilang kerana ramai yang akan menjadi pendukung atau pembela Islam. Cerahlah masa depan perkembangan Islam di kampung aku ini.

Satu perkara yang amat menggembirakan aku ialah terzahirnya impian aku beberapa tahun yang lalu. Beberapa tahun yang lalu aku cuba mengajak anak-anak muda untuk menjadi bilal solat tarawikh. Bebagai cara aku rangka dan buat untuk mencari dan memberi peluang kepada anak muda untuk menjadi bilal ketika solat tarawikh. Usaha aku sia-sia sahaja kerana tiada yang menyahut cabaran. Alhamdulillah dengan terdirinya Maahad Tahfiz di kampung aku ini, maka hasrat aku telah terzahir. Buat masa ini bilal untuk solat tarawikh di masjid adalah anak-anak pelajar dari Maahad Tahfiz dan yang menjdi Imam solat tarawikh ialah guru-guru maahad tahfiz. Hanya aku menunggu satu atau dua kali Ramadhan lagi sebelum aku akan melihat pelajar tahfiz yang akan menjadi imam solat tarawikh. Semoga Allah SWT memperkekankan. Sekian TK.

TABUNG HAJI –WANG ‘KERINGAT’ DAN ‘AIR MATA’

Mei 9, 2015

Tulisan ini saya petik dari blog Abu Hassan Adam. Satu tulisan yang menundang kesedaran bagi mereka yang mahu sedar tentang kerakusan pihak tertentu mengguna wang tabungan orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.

            Semalam 7 Mei 2015, aku terbaca berita bersumberkan Astro Awani menayatakan, ‘Baru-baru ini, laman blog The Benchmark serta beberapa blog lain telah memuat naik beberapa dokumen yang memaparkan Tabung Haji telah membeli dua plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan. Blog itu juga mendakwa ‘orang dalam’ Tabung Haji mengesahkan bahawa satu perjanjian ‘fast track’ telah dibuat di mana ia mendapat kelulusan menteri dalam masa kurang dua minggu dan wang pembelian perlu dibayar kepada 1MDB secara penuh”Astro Awani 7 Mei 2015

            Dalam sumber berita yang sama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Azeez Rahim telah menafikan penjualan tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh Astro Awani,semalam, Azeez menerusi akaun Twitternya telah pun menafikan dakwaan tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan mereka secepat mungkin’

            Dan ekoran daripada itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di TRX.
Namun, Johan dalam kenyataannya menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam beberapa blog. (Astro Awani 7 Mei 2015)

            Dan akhirnya Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terpaksa meminta maaf di atas penafian beliau terhadap pendedahan berhubung pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur itu.”Ya, maaf di atas kesilapan komunikasi. Tidak benar mengenai RM722 juta untuk membeli dua bidang… itu yang saya nafikan,” kata Abdul Azeez menerusi laman mikro Twitternya. (Astro Awani 7 Mei 2015)

            Salah seorang menteri kabinet DS Najib mengatakan pula bahawa pembelian sebidang tanah IMDB oleh Tabung Haji bukannya ‘bailout’ tetapai sebenarnya ‘investment’. Aku tak faham kedua-dua konsep ini. “Bailout’ pun aku tak faham dan ‘investment’ juga aku tak faham. Dan tidak pun aku berhasrat untuk membincangkan kedua-dua konsep ini.

            Rata-rata orang Melayu menyimpan di Tabung Haji, terutama orang Melayu di kampung-kampung. Yang aku musykilkan ialah mengapa diambil duit Tabung Haji untuk ‘tanaman modal’ membeli tanah milik IMDB. Aku tidaklah sejahil mana sehingga menentang tanaman modal yang dibuat oleh Tabung Haji. Aku tahu juga yang Tabung Haji menjalankan perniagaan untuk memberikan pulangan kepada penyimpan-penyimpannya. Aku difahamkan bahawa Tabung Haji terpaksa membayar harga yang berpuluh kali  ganda untuk mendapatka tanah IMDB itu. Difahamkan bahawa harga asal tanah berkenaan adalah disekitar RM 70 tiap-tiap satu kaki persegi dan dijualkan kepada Tabung Haji dengan harga RM 2779.(Maaf, sekiranya aku tersilap menyatakan angka-angka berkenaan).

            Aku mungkin setuju dengan pandangan rakyat miskin di Malaysia kini yang rata-rata mempersoalkan tentang kewajaran Tabung Haji membeli lot tanah IMDB yang begitu mahal sekali. Amat menyedihkan apabila melihatkan perbandingan angka ini. Nampak sangat pihak pemerintah mementingkan IMDB berbanding dengan Tabung Haji yang ‘dihidupkan’ oleh orang kampung yang miskin, yang bercita-cita menggunakan Tabung Haji sebagai tempat menabung dengan penuh harapan akan dapat menunaikan Haji pada suatu ketika nanti. Sepatutnya Tabung Hajilah yang diberikan keutamaan membeli hartanah dengan harga yang diberikan kepada IMDB itu. Mengapakah pihak-pihak tertentu yang menguruskan urusan jual beli ini langsung tidak ‘berhati perut’ sehingga sanggup membutakan hati dan langsung tidak memandang akan kesusahan yang dideritai oleh orang kampung yang menabung dalam Tabung Haji ini.

Dan tentunya Prof Diraja Ungku Aziz menitiskan air mata mengenangkan hal bagaimana pengurusan Tabung Haji kini sudah tidak ada langsung perasaan belas terhadap derita orang kampung yang merupakan penyimpan taat dalam Tabung Haji. Bukan salah Tabung Haji terlibat dalam perniagaan bersesuaian denga perkembangan masa dan zaman yang kita lalui, tetapi keterlibatan dalam perniagaan yang meragukan (seperti IMDB ) tentulah merunsingkan juga ramai penyimpan Tabung Haji kini sebagaimana yang sentiasa dipersoalkan oleh Tun Mahathir.

            Masih terbayang dimataku bagaimana ibu bapa di kampung berjimat dan sentiasa berusaha menambahkan pendapatan demi untuk menyimpan di Tabung Haji yang matlamat akhirnya untuk menunaikan Haji ke Makkah. Kebanyakan ibu bapa miskin di kampung tidak membelanjakan wang bulanan yang diberikan oleh anak-anak mereka yang makan gaji di bandar, tetapi sebaliknya mereka menyimpan dan terus menyimpan di Tabung Haji sehingga berjaya mereka menunaikan haji ke Makkah.

Kini masih ramai lagi orang kampung aku yang menyimpan secara berdiikit-dikit di Tabung Haji. Dengan lebihan yang tidak seberapa hasil daripada penjualan buah-buahan, mereka simpan wang mereka di Tabung Haji. Hasil daripada penjualan hasil ternakan seperti ayam, kambing atau kerbau, mereka simpan wang mereka di Tabung Haji.

Apakah pihak pengurusan Tabung Haji tidak langsung terkenangkan nasib dan derita orang kampung yang mengalirkan keringat dan air mata untuk menyimpan di Tabung Haji yang matlamat akhirnya ia itu menunaikan haji. Apakah pihak kerajaan juga sama bersekongkol dan ‘mengiakan’ tindakan pihak pengurusan Tabung Haji yang bersikap sedemikian. Apakah pada pandangan pihak kerajaan bahawa rakyat luar bandar yang menyimpan dalam Tabung Haji itu hanya berguna apabila waktu datangnya pilihan raya sahaja.

Apakah begitu?…..

abuhassanadam

8 Mei 2015

PERANG SALIB ABAD KE-20?

April 24, 2015

Kiriman ini saya ambil dari fb seorang rakan. Perbincangannya menarik untuk difikirkan. Kalau anda orang Islam fahamilah apa yang ditulis..

Mereka mengisytiharkannya sebagai perang salib sedang pihak lawan tidak menyedarinya, maka jadilah perang itu dari sebelah pihak sahaja dan lihatlah kesannya ke atas umat Islam di mana-mana saja di dunia ini kini.

1. (You dare to call yourself a muslim) Tergamak kamu memanggil diri kamu muslim tetapi kamu gagal melaksanakan amanah yang Allah berikan. Apa ada pada semangat kemelayuan jika kita gagal memertabatkan Islam dahulu dari segalanya. Hanya setelah memertabatkan Islam maka lahirlah satu bangsa yang dirahmati Allah. Agenda menegakkan Islam adalah agenda Allah.

2. Penjajahan adalah agenda Barat (kristian) selepas mereka tewas kepada tentera Sallehuddin al-Ayubi dalam perang salib terakhir. Seorang Penjajah pernah berkata “The colonialist were modern crusaders – Christian warriors goin out of ther way to uproot Islam”. – Penjajah adalah tentera salib modern – pahlawan kristian yang keluar untuk menumbangkan Islam. Bezanya tentera kristian kali ini tidak lagi dengan tentera berkuda menghunus pedang, tapi mereka datang dengan mubaligh, membuka sekolah mubaligh, memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis, sistem pendidikan, perundangan dan pentadbir yang hingga sekarang masih diamalkan. Apabila kita dijajah kemudian kita diberi kemerdekaan tapi kita masih mengamalkan sistem yang mereka tinggalkan, maka itu bermakna kita telah berada dalam perang salib abad ke-20.

3. Penjajahan sebelum abad ke-20 tidak memberi kesan besar kepada agama Islam yang telah bertapak kukuh sejak abad ke-12, malah ada bukti Islam telah bertapak lebih awal dari itu. Penduduk Islam di seluruh Alam Melayu masih tebal anutan Islamnya. Pemerintah yang warak, berdamping dengan ulamak dan menjadikan ulama sebagai penasihat. Undang-undang syariah dilaksanakan di semua negeri Alam Melayu. Jangan lupa dengan Hukum Kanun Melaka, Pahang, Acheh, Johor, Terengganu dan lain-lain yang semuanya hari tersimpan dimuzium. Hukum Hudud yang kita perjuangkan hari ini adalah untuk mengembalikan kegemilangan Alam Melayu sebelum kita tewas perang salib abad 20 ini. Selain kita patut malu dengan Allah malulah kepada nenek moyang kita yang telah mengamalkan undang syariah dulu.

4. Tahun 1824 sangat signifikan dalam era penjajahan. Perjanjian Pangkor ini adalah permulaan secara rasmi negeri-negeri Melayu disekularkan. Kuasa Sultan dihadkan kepada hal agama dan adat resam sahaja. Pemisahan kuasa ini menjadikan Islam terpinggir dari pentadbiran negeri. Ini ada satu formaliti sahaja kerana British telah memperkenalkan sistem perundangan mereka sejak 1937 lagi. Undang-undang syariah tercabar pertama kalinya apabila mahkamah sivil membatalkan keputusan mahkamah syariah dalam satu kes pertikaian keluarga. Apakah ini tidak cukup membuka mata pemerintah apabila mereka menerima cadangan perlembagaan yang dicadangkan Suruhanjaya Reid?

5. Reid menerima cadanagan dari anggota suruhanjaya iaitu Hakim Abd Hamid dari Pakistan mengenai agama Islam dalam perlembagaan Malaya. “Islam sebagai agama persekutuan” tetapi nyata itu tidak bermakna hilang taraf sekularnya. Tiada siapa yang faham pada ketika itu, tetapi apabila Hukum Hudud hendak dilaksanakan baharu jelas bahawa perlembagaan Malaysia tidak memihak kepada Islam, malah kes Mahkamah Rayuan mengisytihar keputusan mahkamah syariah Negeri Sembilan mengenai lelaki memakai pakaian perempuan, maka benarlah apa yang dikatan Reid itu. Selepas Perlembagaan Tanah Melayu dipersetujui Reid berkata lagi “Bahawasanya selepas ini tiada sebarang undang-undang, akta ataupun peraturan baharu yang boleh mengatasi segala undang-undang yang telah termaktub dalm perlembagaan negara baru Persekutuan Tanah Melayu merdeka lagi berdaulat”. Kes yang dinyata di atas telah membuktikan hukum yang dibuat oleh manusia telah mengatasi Hukum Allah. Kalau kita tidak sama berjuang menegakkan Hukum Allah SWT maka berdosalah kita.

6. Bill Persendirian mengenai hudud bukan lagi menguji Perlembagaan, tetapi menguji semua orang Islam. Apakah kita relakan hukum manusia mengatasi Hukum Allah??? Inilah perjuangan orang Islam..Allah beri kita kesempatan untuk membetulkannya…maka betulkanlah!

Haji Sobirin Haji Duli
Kuala Lipis.

Remaja di Kampung Al Quran

Disember 31, 2014

Kiriman ini merupakan kiriman terakhir bagi tahun 2014, juga merupakan kiriman yang membicarakan tentang kampung Al Quran yang sedang diusahakan di Kampung Relong. Insya Allah konsep Kampung Al Quran sedang dirangka bagi memudahkan penduduk kampung mengusahakannya.

Secara umumnya remaja ialah mereka yang berada dalam tempoh usia selepas akil baligh hingga sebelum dewasa. Jangkaan umur antara 13 tahun sehingga 20 tahun. Menurut Islam, di peringkat inilah mereka diberikan tanggungjawab sebagai seorang yang melaksanakan suruhan agama dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Islam. Ini juga bererti remaja itu ialah mereka yang sedang belajar dari tingkatan satu sehingga ke tahun ke dua IPT.

Remaja hari ini adalah pewaris umat yang akan melaksanakan ajaran agama yang sempurna. Para remaja perlu sedar bahawa mereka wajib menyediakan diri bagi manggalas tanggungjawab sebagai pemimpin umat. Persediaan yang diperlukan adalah dalam memahami arahan al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Asas untuk bersedia ialah mendalami aqidah, ibadah dan akhlak. Untuk mendalami tiga bidang utama ini adalah melalui pembelajaran dan penghayatan ilmu. Oleh itu carilah ilmu.

Menghadiri sesuatu majlis ilmu itu adalah ibarat kita berada di taman syurga. Ada dua taman syurga di dunia ini seperti yang disahkan oleh hadis-hadis berikut:

“Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyakkanlah berzikir” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan taman-taman syurga itu?’ Baginda menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu).” (Riwayat Tarmizi)
“Diantara rumah dan mimbar ku adalah taman dari taman-taman syurga” (Riwayat Tirmizi)

Oleh itu Remaja di Kampung Al Quran wajarlah berusaha untuk datang ke salah satu dari dua taman syurga ini, sama ada menghadiri mana-mana majlis ilmu di merata tempat di atas muka bumi ini yang bernama masjid dan surau atau berziarah ke Raudah di Masjid Nabawi di Madinah. Tetapi yang termudah untuk ke syurga ialah menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan surau di kampung kita.

Kita berhasrat untuk melahirkan generasi yang mencontohi Generasi Qur’ani zaman Rasulullah SAW. Mereka para remaja Generasi Qur’ani bukanlah orang terbelakang yang hanya bergelemut dengan Al Quran dan keagamaan serta mengabaikan pencapaian pengetahuan umum. Namun sesungguhnya mereka bukan saja diagungkan berdasarkan keutamaan yang telah Allah tetapkan malah Allah memberikan beberapa kelebihan lainnya yang begitu banyak dalam hal kemampuan berfikir, bersosial, berkarya dalam kepelbagaian bidang ilmu pengetahuan, yang sesuai dengan bakat dan kemampuannya.

Untuk menjadi seperti remaja zaman Generasi Qurani, remaja kini hendaklah terbiasa membaca Al Quran dan mengisi setiap hari-harinya dengan perkara kebaikan. Mereka hendaklah membiasakan diri untuk menjadikan Al Quran sebagai sahabat akrab dalam kehidupan hariannya dengan membaca, memahami serta mengamalkan segara saranan dan tegahan yang terkandung dalam Al Quran itu.

Kualiti seseorang sangat ditentukan oleh dua hal, iaitu siapa temannya dan apa bahan bacaannya. Kalau pergaulannya dengan orang biasa-biasa saja, maka cara berfikirnya biasa-biasa. Tapi kalau pergaulannya adalah lingkungan yang hebat, maka dia menjadi hebat. Oleh itu, persoalannya adalah bagaimana agar kita menjadi remaja yang hebat? Maka sejak kecil sudah dilatih untuk bergaul dengan zat yang Maha Hebat iaitu Allah SWT melalui interaksi dengan kalam Nya iaitu Al Quran.

Lalu bagaimana dengan pengaruh bacaan? Jika bacaannya bahan-bahan tingkat bawah, maka orang itu tidak akan boleh melebihi dari bacaan itu. Begitu juga kalau bacaannya berkualiti tinggi maka orang itu juga akan berfikiran dengan kualiti itu. Oleh itu remaja di Kampung Al Quran disaran untuk membaca huraian dari kalam Allah (membaca tafsir Al Quran), hadis-hadis Rasulullah SAW bersama huraiannya dan juga buku-buku karangan para Ulamak yang muktabar.

Menjadi remaja digital di era Generasi Teknologi Maklumat yang berakhlak Qur’ani adalah satu kemestian! Sebagai remaja berakhlak Qur’ani yang cerdas tidak mungkin untuk menghindari dunia digital bahkan sangat perlu menguasainya dengan tujuan-tujuan yang jelas, bermanfaat seperti ia akan meluaskan sayap dakwah, membangkitkan kesedaran terhadap Al Quran dan agama melalui media-media massa terkini serta menguasai cara penyebaran media Islamik untuk perkembangan akhlak remaja generasi penerus peradaban zaman ini dengan mencetak umat berakhlak dan menghayati ajaran Al Qur’an. Ternyata generasi yang diredhai Allah itu, adalah mereka yang giat dan bersemangat membaca Al Quran bahkan mereka mempunyai jadual tersendiri serta meluangkan waktu khusus untuk membaca dan memahami Al Quran. Kampung Al Quran memerlukan remaja seumpama ini.

Bagi mereka yang buta huruf dalam mengenal Al Quran, anda tidak perlu berasa malu sekiranya baru hendak mula belajar. Gelaran lidah keras sememangnya berlaku. Ini diakui, bahawa mereka yang berada di tahap ini amat sukar untuk diajar berbanding kanak-kanak. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna pintu untuk mempelajari Al Quran sudah ditutup. Cukuplah mengajar mereka berdasarkan kemampuan mereka tanpa dipaksa dan perbanyakkan latihan belajar membaca Al Quran. Lagi pun mereka dalam kumpulan ini dijanjikan oleh Rasulullah SAW mendapat dua pahala seperti yang dinyatakan dalam Hadis berikut:

Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W.: “Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mempelajari lagu ketika membaca Al Quran bukanlah satu kewajipan. Tetapi ianya tetap merupakan salah satu alternatif yang boleh dipilih oleh kita. Lagu ini merupakan pelengkap kepada proses pembelajaran membaca Al Quran secara bertajwid. Jika anak-anak mencapai umur sembilan tahun, lihatlah bakat yang ada pada mereka. Jika ada yang bersuara merdu bolehlah mengasah bakat dan pertajamkan kemahiran membaca Al Quran secara bertajwid dan berlagu. Semoga dengan kesungguhan kita membentuk remaja yang mencintai Al Quran maka akan terzahirlah sebuah Kampung Al Quran yang disinari sakinah dan simbahan rahmah Allah SWT dalam jangka waktu terdekat. Wallah wa’lam.