Menguasai Kurikulum
Menguasai kurikulum bermaksud; menguasai maklumat yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, menguasai sukatan pelajaran, menguasai matlamat mata pelajaran, menguasai huraian sukatan pelajaran dan peka dengan perubahan kurikulum yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar.
Menguasai maklumat dari Pusat Perekmbangan Kurikulum (PPK) bererti seseorang guru hendaklah sentiasa mendapat maklumat yang dikeluarkan oleh PPK berkaitan dengan kurikulum mata pelajaran yang diajar. Maklumat itu mungkin berbentuk majalah, jurnal, makalah dan lain-lain yang selalunya di hantar ke pusat sumber sekolah atau melalui pengetua. Maklumat ini biasanya sangat membantu dalam meningkatkan pengajaran seseorang guru.
Menguasai Sukatan Pelajaran bermaksud seseorang guru perlu memiliki dan memahami sukatan pelajaran mata pelajarannya. Oleh yang demikian guru berkenaan akan tahu skop dan ruang lingkup mata pelajaran dari segi tema dan tajuk dalam mata pelajarannya. Melalui sukatan pelajaran guru akan mendapat tahu taburan tajuk mengikut tingkatan yang diajar.
Menguasai matlamat mata pelajaran bermaksud, seseorang guru perlu memahami apakah demensi manusia yang hendak dibangunkan dalam diri anak didik dan dicapai melalui mata pelajaran yang diajar. Antara demensi yang mungkin tertera ialah pengetahuan, pemahaman, kemahiran mata pelajaran dan lain-lain.
Menguasai Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) bermaksud, guru perlu mengetahui, memahami dan mempunyai kemahiran yang perlu dididik dalam mata pelajaran berkenaan. Guru juga mesti tahu menggunakan HSP untuk merancang pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun atau membuat perancangan tahunan bagi mata plajarannya.
Dari masa ke semasa PPK akan sentiasa membuat perubahan kecil atau besar dalam sukatan pelajaran atau HSP. Oleh itu seseorang guru perlulah mengambil cakna atau tahu tentang perubahan itu atau sentiasa mempunyai hubungan dengan rakan-rakan setugas dari sekolah atau daerah yang lain. Keadaan ini sangat membantu dalam memudahkan guru dalam pengajarannya. Sekian, akan bersambung dengan Menguasai Pedagogi – esok, InsyaAllah