Skip to content

Maulidur Rasul di Kampung ku

Mac 22, 2008

Sekitar 12 Rabbi ul Awwal setiap tahun Hijrah kampung ku pasti mengadakan sambutan Maulidur Rasul (Unjuk rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW, semacam satu bentuk demonstrasai, satu budaya kita yang dibuat setiap tahun). Penghuni kampung ku majoritinya adalah cucu cicit Tok Linggi. Kami mendiami satu lembah yang dilingkungi oleh bukit bukau, membentuk seperti mangkuk yang merelong. Di tengah-tengah lembah yang merelong itu tertegak secara semula jadi satu bukit batu kapur diberi nama Gua Bama.

Dulu-dulu sambutan Maulidur Rasul biasanya dibuat di Surau Bukit Berangan. Surau itu dikelilingi oleh pondok-pondok kediaman orang-orang tua dan muda yang belajar ugama dari Tok Guru Bukit Berangan dan menantunya. Kini Tok Guru Bukit Berangan sudah tiada tapi suraunya masih ada sedang diperbaiki . Surau Bukit Berangan masih lagi makmur. Di makmurkan oleh anak-anak dan cucu Tok Guru Bukit Berangan.

Cara sambutan zaman Bukit Berangan dulu berlainan sedikit dari sekarang. Biasanya ada kenduri sekampung. Masak ketupat pulut. Ada berdikir maulud dan berzanji. Anak-anak muda ketika itu pandai bawa lagu yang menghiburkan sambil memuji Rasulullah. Aku pun ada belajar berdikir maulud dan membaca rawi. Masa itu aku baru keluar universiti. Aku dapat pujian dari menantu Tok Guru kerana lepas belajar universiti pun masih sanggup belajar berdikir maulud. Aku mencabar kedegilan anak-anak muda sekampung yang dah lesu dari belajar sesuatu yang berguna untuk budaya beragama. Selain berdikir maulud ada yang pandai berdikir rebana (kata sahabat ku Ustaz Hussin Ibrahim perkataan berdikir rebana datang dari perkataan zikru Rabbana). Generasi yang pandai berdikir rebana di kampung ku dah nak pupus dan tiada penerus.

Zaman ini sambutan Maulidur Rasul agak lebih ringkas, dibuat di masjid. Penduduk kampung berarak dari empat penjuru, dari Bukit Berangan, dari Kuala Sawa, dari Surau Kuning dan dari Carok Perian. Setiap kumpulan bawa sepanduk, sambil membaca selawat menuju ke masjid dengan perjalanan 10 minit. Di masjid diadakan pertandingan mewarna untuk murid tadika, menulis tulisan jawi untuk murid tahap satu dan murid tahap dua akan menjawikan tulisan rumi. Orang tua pula membaca rawi dan berselawat di dalam masjid sementara menunggu penceramah tiba.

Kalau acara sambutan hendak dipanjangkan mungkin pihak belia adakan pertandingan melaungkan azan. Kalau ada anak kampung yang lebih duit mereka akan sponser beli lembu atau kerbau untuk buat kenduri besar-besaran.

Memang kesepakatan dikampungku ini hebat, hingga tersohor keseluruh daerah dan negeri. Perayaan setahun sekali ini sebagai mekanisme menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah, meneruskan budaya yang positif serta melatih generasi muda untuk meneruskan budaya yang menaikkan syiar Islam. Hanya sentiasa diharapkan agar sambutan ini menjadi ibadat kepada yang melaksanakan dan bukan sekadar menjadi adat kebiasaan. Semoga sambutan ini mengikat terus silaturrahim dikalangan cucu cicit Tok Linggi, meningkatkan amal dan ilmu agar menjadi ibadat yang diredhai oleh Allah SWT serta membekalkan iktibar kepada semua.

Mengapa buat sambutan Maulidur Rasul?

Sambutan dibuat atas dasar kecintaan cucu cicit Tok Linggi kepada Rasulullah SAW. Wahai Rasulullah kami zahirkan kecintaan kami kepada mu, kerana dikaulah wahai Rasulullah, yang menyelamatkan kami dari kejahilan didunia, dikau juga yang menyelamatkan kami dari siksa barzah, dikau juga yang memberikan syafaat kepada kami di mahsyar dan dikau juga yang akan memimpin kami ke syorga.

Mengapa mesti cinta kepada Rasulullah?

Pertama, perintah dari Allah yang disebut dalam Quraan. Kalau kamu cinta Allah kamu mesti ikut Nabi, nak ikut Nabi mesti cinta kepada Nabi.  Kedua, Nabi sangat cinta kepada umatnya. Ketiga, cinta kepada Nabi adalah teras kepada pendidikan akhlak atau adab. “Berikan didikan kepada anak-anak mu dalam tiga perkara, iaitu cintakan Nabi, cinta kepada ahli keluarga dan belajar Al Quraan. Keempat, Cinta Nabi sebagai syarat kepada mendapat kesempurnaan iman. “Tidak sempurna iman seseorang sehingga Allah dan Rasulnya lebih dicintai berbanding dengan yang lain.” Kelima, Cinta kepada Nabi adalah syarat untuk mendapat kemanisan iman. Iaitu seronok dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, gembira mendirikan solat dan memberi sedekah. Keenam, Cinta kepada Nabi adalah jalan utama untuk ke syorga.

Oleh itu kalau cinta kepada Nabi, usahakanlah menghidupkan sunnah Nabi. Sunah utama yang ditinggalkan ialah berusaha mencari ilmu dan konsisten mendirikan solat berjemaah di masjid. Sekian untuk kali ini.

Advertisements
No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: