Skip to content

Surau Bukit Berangan

Mei 8, 2008

Semalam cuti Hari Hol bagi Negeri Pahang. Aku pergi ke SMKA TAHAP Jerantut. Memenuhi undangan Hajah Pengetua, sahabat lama aku. Pergi cahap-cakap tentang Sains dengan murid-murid tingkatan lima dari SMKA TAHAP dan juga sekolah-sekolah lain di Daerah Jerantut.  Waktu Asar aku bersolat di Surau Bukit Berangan.(di Kampung Relong, Kuala Lipis).  Selepas solat ada tahlil kesyukuran. Selepas tahlil Abang Haji Awang Idris buat sedikit ucapan.

Surau Bukit Berangan, asalnya adalah surau yang dibina oleh Ayah Haji Tuan, Tok Guru Bukit Berangan. Abang Haji Awang Idris adalah anak sulung Ayah Haji Tuan.  Surau Bukit Berangan adalah pusat penyebaran dan mempertahankan Islam di Kampung Relong dan sekitarnya. Kampung Relong adalah kampung yang diteroka oleh Tok Linggi. Dahulu di sekeliling surau itu terdapat pondok. Penghuni pondok-pondok itu dari kanak-kanak, orang dewasa sehingga orang tua, adalah merupakan pelajar yang mengaji agama di surau itu.  Pondok itu sudah wujud semenjak sebelum Jepun sehingga ke zaman kominis. Mengikut sumber yang dipercayai surau itu sudah ada semenjak tahun 1933. Nenek aku pun ada pondok disitu. Kata emak aku pondok itu adalah tempat kami sekeluarga tinggal dimasa kominis mengamuk dulu.  Ayah aku adalah orang yang dikehendaki oleh kominis. Bapa saudara aku mati ditembak kominis, seorang lagi bapa saudara aku tempang akibat ditembak kominis. Kini pondok-pondok dah tiada lagi, yang ada hanya rumah anak cucu Ayah Haji Tuan sahaja.

Bermula dari Surau Bukit Berangan, tertubuhnya Sekolah Rakyat (1937), tempatnya ditapak rumah Abang Mokti kini, yang kemudiannya menjadi Sekolah UMUM Kg Relong (1939) dan kini menjadi SK Relong. Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Relong pula dibina awal tahun 60’an dahulu bertempat di tapak rumah Ustaz Cikgu Sir Nasran di hadapan surau. Kemudian SAR ini berpindah tapak ke Ceruk Membebek. Tapi SAR Kampung Relong mati akhir tahun 60’an. Bekas muridnya yang berjaya kini sudah pencen. Kini SAR Kampung Relong tinggal dalam kenangan sejarah. Sejarahnya belum tertulis.

Surau Bukit Berangan dibina secara gotong royong oleh penduduk Kampung Relong. Surau itu sebagai tempat orang kampung belajar agama dari anak kampung yang balik dari mengaji agama. Ayah Haji Tuan, Tok Guru Bukit Berangan dulu belajar secara memondok di pondok Tuan Guru Haji Ismail Akil, Pasir Mas Kuala Lipis. Dia pergi belajar bersama-sama beberapa orang anak Kampung Relong termasuk ayah aku, Cu Him, Pak Embong Mat dan lain-lain.  Kemudian mereka belajar lagi memondok di Kelantan. Sekembali dari perantauan mereka membuka surau di kampung Relong.

Antara tugas mereka ialah memurnikan akidah dan meningkatkan kefahaman Islam dikalangan penduduk kampung. Pusat aktivitinya ialah Surau Bukit Berangan. Ayah Haji Tuan berbakti sejak tahun 30’an, zaman sebelum Jepun menjajah Malaya, zaman kominis, zaman merdeka dan sehingga ke akhir hayatnya tahun 70’an.  Semasa hayat Ayah Haji Tuan surau Bukit Berangan sentiasa meriah.  Perayaan agama tetap diadakan di surau itu.

Tahun 1962 Surau Bukit Berangan dibina semula. Kali ini Kerajaan Negeri Pahang memberi peruntukan. Terbinalah surau kayu beratap asbestos. Perasmiannya dibuat oleh Tuan DO Daerah Lipis. Tuan DO datang merasmikan Surau Bukit Berangan bersama-sama isterinya. Aku masih ingat lagi dalam majlis perasmian itu isteri DO merokok depan orang ramai (tak senonohnya perempuan merokok depan public) Tahun 90’an, atas inisiatif anak bongsu Ayah Haji Tuan, Beh Ri suaru itu di sambung 10 kaki lebar.  Tahun ini atas inisiatif anak cucu Ayah Haji Tuan, Surau Bukit Berangan dibuat renovasi. Kali ini wang peruntukan tidak diminta dari kerajaan, sebaliknya wang didapati dari derma. Derma atau sedekah jariah itu diperolehi dari anak cucu Ayah Haji Tuan dan penderma setempat.  Kutipan melebihi RM 36,000.00.  Tedapat lebih daripada 15 orang yang menderma lebih dari RM 1000.00.  Hebat orang Relong ni!! Insya Allah dengan keikhlasan mereka, Islam tetap akan teguh di Kampong Relong.  Diharapkan Surau Bukit Berangan akan tetap berperanan sebagai tempat tersebarnya Islam yang syumul (bukan Islam Hadari)

Majlis tahlil dibuat kerana tanda bersyukur atas kejayaan membuat renovasi terhadap Surau Bukit Berangan. Di Surau itu masih diadakan majlis menadah kitab. Masih ada anak Ayah Haji Tuan yang boleh baca kitab kuning. Ada anak Ayah Haji Tuan yang mengajar hadith dan tafsir, fardhu ain dan mengaji quraan.  Aku pernah belajar tajuwid semasa mula-mula jadi guru akhir tahun 1977 dahulu. Masa itu Ayah Haji Tuan sudah tiada, aku bersama-sama Beh Ri anak bungsu Ayah Haji Tuan belajar tajuwid pada menentunya, Abang Muhamad Ustaz.  Semoga anak-anak Ayah Haji Tuan dan penduduk berdekatan terus mengimarahkan Surau Bukit Berangan.  Mungkin kalau boleh mulakan program tahfiz al Quraan secara serious.

Di surau ini masih terdapat keketuk (alat isyarat masuk waktu solat) yang berusia lebih 90 tahun. Keketuk itu dibuat daripada pokok leban yang dicari oleh Pak Andak Tanjung Kulur (Besan Ayah Haji Tuan, Tok Guru Bukit Berangan). Bunyi keketuk itu masih nyaring lagi.  Semalam Beh Ri (orang besar pendidikan Daerah Lipis kini) menceritakan nostalgia beliau mengetuk keketuk batang leban itu dibulan Ramadhan.

Insya Allah dalam masa beberapa bulan lagi (dijangkan bulan November 2012) akan terbinalah sebuah bangunan dua tingkat sebagai asrama bagi murid Maahad Tahfiz Al Quran Wa Al Tarbiyah Al Diniah, Kampung Relong. Maahad Tahfiz ini sudah mula beroperasi semenjak Januari 2012 yang lalu di Masjid Kampung Relong.

Penceritaan ini berdasarkan kepada cerita, nama dan keadaan sebenar. TQ

5 Komen leave one →
  1. Oktober 5, 2008 10:58 pm

    assalamualaikum…
    tahniah2
    semoga ALLAH merahmati saudara

  2. MOKHTAR BIN ABDULLAH permalink
    Julai 24, 2011 5:45 pm

    Assalamualaikum tuan…Surau Bukit Berangan saya mengenali/mengingatinya sejak tahun 1964. Memang benar catatan saudara.. siapa saudara ‘alberangque’ sebenarnya…? sejak tarikh 8 Mei 2008 baru hari ini saya menjumpai blog ni…. mohon kongsi catatan untuk generasi warga relong masa kini yag tidak mengenali siapa tokoh agama Relong yang kami panggil aki Aji Bukit Berangan….

  3. MOKHTAR BIN ABDULLAH permalink
    Julai 24, 2011 5:51 pm

    oo…cikgu Yusof Ibrahim rupanya alberangque ni… tahniah cikgu..saya percaya ramai generasi kini tidak mengetahuinya….

  4. hafiz mansor permalink
    Mac 17, 2012 7:04 pm

    salam, bukit berangan di di daerah mana?

    Salam Tuan Hafiz Mansor,
    Kalau tuan baca betul-betul, dalam paragraf pertama – Bukit Berangan tu dalam negeri Pahang, dalam paragraf kedua – di Kampung Relong dan dalam paragraf ke enam, menyebut surau itu di rasmikan oleh DO Lipis.
    Ini bererti bahawa surau Bukit Berangan tu adalah salah satu surau di Kampung Relong, Daerah Lipis dan dalam Negeri Pahang. Surau ini telah didirikan oleh Ayah Haji Tuan (Haji Uda bin Itam), seorang tok guru di Kampung Relong.. Sekian TK

  5. Mei 15, 2014 7:09 pm

    Hola! I’ve been reading your website for some time now and
    finally got the bravery to go ahead and give you a shout out from Dallas Tx!
    Just wanted to tell you keep up the fantastic work!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: