Skip to content

Ramadhan 6

September 8, 2008

Hari ini adalah hari ke 8 puasa. Dalam posting kali ini aku hendak menceritakan tentang persiapan Ramadhan masa aku kecil-kecil dahulu. Kisah ini adalah berlatar belakangkan suasana kampung tahun-tahun 50’an dan 60’an dahulu. Memang seronok menunggu kedatangan Ramadhan masa itu. Dalam masa seminggu dua sebelum Ramadhan datang kami anak-anak kampung sibuk mencari kayu api. Biasanya kayu api dikumpulkan sepangas dua.  Kayu-kayu api itu disusun cantik dibawah rumah. Rumah kami masa itu tinggi, boleh belari dibawahnya. Kira-kira kayu api itu cukup untuk kegunaan sebulan lebih. Digunakan sepanjang Ramadhan dan Syawal.

Persediaan kedua ialah menyediakan bekalan beras untuk digunakan sepanjang Ramadhan. Dua jenis beras disedikan iaitu beras gansar (beras jawi) dan beras pulut.  Seminggu dua setiap keluarga sibuk menjmur padi dan kemudian berlangsunglah proses menumbuk padi menggunakan lesung indik. Padi yang sudah ditumbuk itu akan ditampi dan diindang untuk mendapatkan beras.  Beras yang sudah dibersih itu disimpan dalam tempayan. Beras dalam tempayan itu sedia untuk dimasak atau dijadikan tepung.  Proses mmbuat tepung bagi membuat kuih untuk berbuka puasa akan diceritakan di posting akan datang. 

Persediaan ketiga ialah mencari daun-daun untuk dibuat nasi ulam. Antara daun yang mesti dicari ialah daun kesimbuk (Paderia foetida), daun limau purut hutan, daun badak dan beberapa jenis daun lagi yang aku dah lupa namanya. Nama lain bagi daun kesimbuk ialah daun sekentut. Daun-daun itu akan digulung bersama-sama dan kemudian dihiris nipis-nipis. Hirisan dedaun ini akan digaul dengan ikan talam dan lada hitam yang ditumbuk. Campuran ini bolehlah digunakan atau digaul dengan nasi panas untuk digunakan semasa berbuka puasa.

Persediaan keempat ialah bagi anak remaja lelaki, kami akan masuk hutan seminggu dua sebelum Ramadhan tiba. Kami akan membuat dan memasang jerat atau perangkap. Target kami ialah burung hutan seperti punai tanah, kuang jinak dan mungkin kancil. Biasanya perangkap dan jerat ini dipasang sewar (satu pagar rendah yang menggunakan kayu kecil atau ranting dan batang pedor (bertam) yang dibina di atas permatang bukit.) Selepas jerat dan perangkap dipasang kami perlu pergi melihatnya setiap hari. Kalau tak pergi tengok nanti ada unggas atau kancil yang kena perangkap dan jerat ini akan mati sia-sia sahaja. Kami akan pergi melawat jerat dan perangkap ini setiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Kalau tak buat jerat di hutan kami juga boleh buat jerat di sawah untuk menangkap burung wak-wak (kua).

Persediaan kelima ialah membuat taut dan tuar untuk mnangkap ikan. Taut akan dipasang untuk menangkap ikan haruan menggunakan umpan anak ikan (anak puyu, anak sepat atau ikan karing). Taut juga mesti ditengok setiap hari. Tapi kerjanya tidak ada masalah kerana taut dipasang ditepi gedung tak jauh dari rumah. Ikan-ikan yang ditangkap akan disimpan dalam tempayan. Ikan haruan itu akan ditangkap dan disiang ikut keperluan. Tuar juga dipasang diantara petak-petak sawah dimana air mengalir. Ikan merupakan sumber protein kami dahulu.  Kalau tak pasang taut atau tuar kami juga boleh memancing (mengail) ikan yang sememangnya banyak dalam gedung depan rumah. Gedung ialah satu kawasan air lebah besar daripada kolam, hasil daripada sungai yang diempang. 

Aku kira inilah antara persediaan asas yang kami orang kampung buat sebelum kedatangan Ramadhan. Menyambut kedatangan bulan barkat bulan puasa. Sekian enteri kali ini. TQ

Advertisements
2 Komen leave one →
  1. Ummu Aniq permalink
    September 9, 2008 12:23 am

    Salam.

    Indah sungguh bila dikenang kembali detik menyambut Ramadhan dalam suasana kampung masa kecil-kecil dulu… Inilah pengalaman yang tak mungkin anak-anak kita hari ini akan tempuhi kerana zaman dah berubah.

    Selamat menyambut Ramadhan yang penuh berkat.

  2. MumyRyan permalink
    Januari 19, 2011 8:59 pm

    Salam..terhimbau kenangan masa kecik-kecik dahulu…..suka jadi penyibuk bila aktivti cari daun2 nak buat nasi ulam……

    MumyRyan… anak-anak masa kini dah tak ada peluang nak kenal daun-daun yang menjadi ingredient nasi ulam… malah mereka tak ada peluang nak bermain pun… Inilah akibat bila masyarakat memandang penting pencarian banyak ‘A’ dalam hidup, tetapi tidak mementingkan pembangunan keinsanan peringkat kanak-kanak, remaja dan awal dewasa… Kesian anak-anak hari ini mereka tidak dibangunkan kemahiran meneroka alam dan persekitaran mereka…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: