Skip to content

PPSMI Lagi

Oktober 30, 2008

Mesyuarat lagi, boring betul” Itulah yang terbetik dihati diwaktu pagi setibanya aku di depan mesen punch card  pagi tadi.  Aku cepat membuat keputusan, malas hadir mesyuarat. Mesyuarat setiap minggu hari Khamis 3.00 petang. Kalau pengetua jadi pengerusi mesyuarat adalah harapan balik cepat tapi kalau ‘dia’ jadi pengerusi tentu pukul 5.00 petang belum tentu siap. Tak mesyuarat tak boleh nanti ada yang demam.

Dalam mesyuarat minggu lepas telah dinyatakan bahawa itu mesyuarat akhir sebelum upacara besar Hari Graduasi (pakai jubah, hanya yang tiada motar bord).  Inilah contoh sesuatu yang tak sibuk dijadikan sibuk. Sewajarnya petang ini (Khamis) pengurus sekolah hanya perlu tumpu pada persiapan di Dewan Besar bukan buat mesyuarat. Semua guru sibuk buat persiapan, tiba-tiba buat mesyuarat. Kan itu cara tadbir yang gila. Gila nak bercakap. Guru sibuk nak buat persiapan dia sibuk nak mesyuarat.  Inilah gambaran perancangan yang tempang

Sebenarnya aku nak bincang tentang penyediaan Modal Insan masa depan negara tercinta. Kita hendak menjadi global players dalam bidang sains dan teknologi bagi saentero dunia. Mari kita susur sedikit strategi hebat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam menangani isu dan tanggung jawab ini. Kumpulan sasarnya ialah anak-anak sekolah masa kini. Nak jadikan mereka Modal Insan yang ada kemahiran sains dan teknologi. Modal Insan yang sekadar berbekal kemahiran sains dan teknologi adalah modal insan yang kosong budi pekerti.  Modal Insan yang kosong budi pekerti ini bukan membawa kepada jayanya masa depan negara tetapi akan menambah bencana yang ada. Oleh itu kita ingin Modal Insan yang penuh budi pekerti dengan kemahiran sains dan teknologi.

Modal Insan yang berbudi pekerti ini ertinya mereka mempunyai pengisian rohani dan emosi yang mantap. Tidak tergugat dengan kerosakan persekitaran rohani dan emosi. Mereka ini penuh dengan iman dan takwa. Dengan berbekalkan iman dan takwa insan-insan soleh inilah nanti akan dianugerahkan oleh Allah kebahagian didunia dan kebahagian diakhirat serta dijauhkan dari api neraka. Aku tidak berhasrat untuk berbicara tentang tajuk ini diposting kali ini sebaliknya aku akan memperkatakan tentang proses yang disedikan oleh KPM untuk menghasilkan Modal Insan yang ada kemahiran sains dan teknologi.

Hendak mendidik kemahiran sains dan teknologi di sekolah memerlukan dua pihak sama-sama berkeinginan kepada perkara yang hendak dicapai. Senario kini, anak didik kita menggunakan Bahasa Inggeris (BI) dan ICT.  Mengajar sains dalam BI dan guna ICT adalah pakej yang disedikan oleh KPM dibawah konsep PPSMI. Disatu pihak lagi para guru yang sebahagian besar terkial-kial mngajar sains dan matematik dalam BI. 

Tadi waktu aku menjaga murid tingkatan empat menjawab soalan kertas dua sains, aku lihat anak murid terkial-kial nak faham soalan sains dalan BI itu. Itu baru nak fahamkan soalan belum lagi nak menjawab soalan. Sepanjang pemerhatian yang aku buat didapati ruang jawapan itu kosong sahaja. Ini kerana soalan sains akhir tahun yang dibuat diperingkat negeri adalah semuanya dalam BI.

Aku pernah belajar dari Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa pentaksiran ini ada lima rukun. Rukun Pentaksiran itu ialah, Instrumen (Kertas soalan), Kumpulan yang ditaksir (Calon peperiksaan), Respons (Jawapan), Kumpulan yang mentaksir (Pemeriksa) dan Skor (markah). Soalan dah ada, murid dah ada sebagai calon, tapi jawapan tak ada walaupun pemeriksa kertas ada tapi pasti skornya tiada. Dua rukun pentaksiran dah hilang. Kalau dalam ibadat tak cukup rukun dilaksanakan maka ibadat itu tak sah.  Nampaknya pengajaran Sains dalam BI menjadikan usaha penyampaian pengetahuan, kefahaman, kemahiran sains menjadi tak sah. Sesungguhnya guru hari ini bukan sekadar cukup dengan membuat pengajaran dan pembelajaran tetapi mesti juga melibatkan aspek pentaksiran. Kini guru-guru mesti faham P&P&P (Pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran).

Disamping P&P&P dalam BI, pakej PPSMI juga membawa bersama ICT. Kalau mengajar sains mesti guna ICT. Guna CD yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Aku guru lama, pada mula PPSMI aku tak guna CD dari PPK itu masa mengajar. Dalam buku rekod aku tak sebut guna CD dari PPK itu. Bila pemantau datang, aku banyak dibebel tentang itu. Tapi aku konsisten dengan hujah aku. Tapi masa ini nak senang kerja aku, setiap hari aku guna CD dari PPK dan peralatan ICT ketika mengajar. Gembira benar pemantau melihatnya.  Rupanya para pemantau ini tak faham tentang P&P&P sains, walau pun mereka guru sains.

Hujah aku!! Kalau guna CD dan peralatan ICT kita mengajar guna anamasi. Kemahiran yang ada ialah ketuk key board aje. Kemahiran manipulatif dan mengeksperimen tidak dilatih.  Murid kaku bila disuruh memegang tabung uji. Kalau minta nyalakan penunu bunsen lagi takut. Kalau ajar sains, kemahiran manipulatif dan kemahiran mengeksperimen adalah penting. Untuk kedua-dua perkara ini KPM nampaknya tak beri perhatian. Budget untuk ICT berbilion ringgit. Budget untuk latih pembantu makmal tak tahu dimana nak minta.

Dalam kes latihan kepada pembantu makmal ini aku pernah bertanya diperingkat KPM dan juga Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Semua menyatakan peruntukan latihan dibawah Bahagian Sumber Manusia.  Bukan dibawah Kurikulum. Mereka tahu tetapi mereka tak usaha. Kalau hendakkan Modal Insan yang ada kemahiran sains dan teknologi para guru dan pembantu makmal hendaklah diberikan latihan secukupnya dalam menyediakan peralatan radas dan bahan untuk eksperimen. Tapi dah bertahun perkara ini tidak diberikan perhatian. Setakat ini latihan bagi pembantu makmal hanya dianjurkan oleh Persatuan Pembantu Makmal. KPM nampaknya tak serious dalam melatih mereka. Tiada peruntukan khusus untuk mereka. Tapi budget untuk ICT berbilion!!.

Kalau dilihat PPSMI ini mematikan dua perkara. Pertama, penekanan yang berlebihan kepada penggunaan ICT mematikan atau membunuh secara perlahan-lahan kemahiran saintifik. Kedua penggunaan BI dalam P&P&P pula membunuh secara perlahan-lahan Bahasa Melayu. Satu lagi projek Barisan Nasional.

Kesimpulannya: PPSMI membunuh pembinaan Modal Insan dalam kemahiran saintifik dan memadamkan perkembangan Bahasa Melayu. Dua puluh tahun akan datang anak Malaysia tidak akan pandai berbahasa Melayu yang standard. Mereka bolehlah bercakap Bahasa Melayu ala pasar. Ini terbukti benar kepada tulisan jawi. It will follow through. Bahasa Melayu tidak akan berkembang. Lambat laun ia akan menjadi bahasa sanskrit atau bahasa Latin.  Megah satu ketika dahulu kini entah kemana.

Ini salah siapa?  Salah para pembuat dasar, penggubal dasar.  Semuanya orang Melayu.  Orang Melayulah yang membunuh Bahasa Melayu.  Mahukah anda termasuk sama sebagai pembunuh kemahiran saintifik dan Bahasa Melayu?  Sokonglah pakej PPSMI. Sekian posting kali ini TK.

One Comment leave one →
  1. semutar kata permalink
    November 1, 2008 8:05 am

    PPSMI mendidik anak bangsa ke arah tidak lagi memandang tinggi dan hebatnya bahasa dan budaya bangsa Melayu. Makin ke belakanglah nilai bahasa Melayu dilihat anak bangsa.

    Sedangkan selama ini sekian teruk nilai bahasa Melayu di mata bangsa, dan ditambah teruk lagi dengan PPSMI. Sayu sungguh.

    Beginikah cara kita mengangkat tinggi martabat bahasa bangsa kita, tak terbukakah mata hati melihat bagaimana negara Chini memartabattinggikan bahasa mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: