Skip to content

Pengalaman Jerman

Disember 24, 2008

Artikel ini aku salin dari laman http://profabdullah1.wordpress.com tentang pengalaman Bangsa Jerman yang dijajah bahasanya. Cuba baca dan bandingkan dengan pengalaman kita dalam PPSMI. Sekiranya ingin memahami lebih mendalam lawatlah laman di atas.

Bangsa Jerman juga pernah diperbodohkan oleh bahasa Latin dan Perancis

Pada abad ke-17 Zaman Pertengahan di Eropah berakhir. Negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris mula menjadi maju apabila industrinya berkembang, tetapi Jerman masih kekal mundur.

Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai dan orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu, negara Jerman mempunyai banyak sumber.

Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti. Bahasa Perancis pula menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa ketika itu. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara dan bangsa Jerman?

Kesedaran Prof. Gottfriend Wilhelm Leibniz

Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716), adalah seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman. Beliau sendiri terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis. Beliau menyedari bahawa situasi ini timbul akibat menggunakan bahasa Latin bagi menyampaikan ilmu di sekolah dan universiti. Ilmu yang terkepung dalam bahasa Latin. Oleh sebab itu ia tidak sampai kepada rakyat yang hanya memahami bahasa Jerman. Bahasa Perancis pula digunakan dalam komunikasi perdagangan antarabangsa. Bahkan bahasa Perancis itu juga menjadi bahasa komunikasi golongan masyarakat atasan.

Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi bahawa golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman.

Bahasa Perancis dan Latin itu menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Latin dan Perancis, dan rakyat menggunakan bahasa Jerman. Oleh sebab itu golongan atasan dan intelektual yang menguasai bahasa Latin dan Perancis dapat menerima pendidikan, manakala rakyat Jerman yang hanya memahami bahasa Jerman tidak menerima sebarang pendidikan. Rakyat biasa Jerman berada dalam kebodohan.

Tentangan Golongan Atasan Jerman

Apabila Leibniz memulakan kempen menggunakan bahasa Jerman dalam sistem untuk pendidikan, golongan atasan dan intelektual Jerman menentang. Pada mereka bahasa Perancis adalah segala-galanya. Bahasa Perancis itu bahasa dunia, bahasa intelektual, bahasa diplomat, bahasa perniagaan, bahasa kesusasteraan dan kebudayaan, sedangkan bahasa Jerman adalah bahasa yang rendah, tidak dikenal oleh orang luar, tidak intelektual dan tidak dapat digunakan untuk bersaing dengan dunia luar.

Para intelektual Jerman mengatakan bahawa perpustakaan hanya berisi buku-buku dan jurnal-jurnal dalam bahasa Latin dan Perancis. Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup, dan tatabahasanya pun tidak ada.

Mereka juga percaya bahawa Jerman akan hanya dapat maju dan bersaing dengan negara-bangsa-bangsa lain melalui bahasa Perancis. Orang Jerman harus dapat membentangkan kertas kerja dalam bahasa Perancis dalam seminar-seminar antarabangsa. Pelajar-pelajar Jerman tidak akan diterima melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Paris dan negara maju jikalau mereka hanya dapat menggunakan bahasa Jerman.

Hairankah kita golongan elit Melayu mati-matian mempertahankan bahasa Inggeris!

Strategi Leibniz

Leibniz berusaha keras dan menggunakan strategi sendiri bagi meyakinkan golongan atasan dan intelektual supaya menerima bahasa Jerman sebagai bahasa pendidikan. Leibniz mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa nasional di beberapa negara, termasuk Cina, dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman. Dia melihat Perancis dan Itali menjadi negara maju kerana kedua-dua negara itu meninggalkan bahasa Latin dan Yunani dan menggunakan bahasa peribumi sendiri.

Bangsa Inggeris juga telah mula maju dengan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah dan universiti menggantikan bahasa Perancis. Bahkan, beliau mendapati kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan negara Cina pada masa itu berkembang pesat dengan menggunakan bahasa dan tulisan sendiri.

Beliau berusaha lagi meyakinkan golongan atasan dan intelek supaya menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran negara. Rasionalnya adalah bahasa Jerman akan dapat difahami oleh semua rakyat. Oleh sebab itu lebih ramai rakyat Jerman menjadi terdidik. Seterusnya apabila lebih ramai rakyat Jerman mendapat pendidikan, maka negara Jerman akan bertambah maju, dan lebih makmurlah kehidupan mereka semua.

Leibniz mengusulkan kepada kerajaan Jerman supaya:

1. Membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya,
2. Menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman,
3. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti,
4. Menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara,
5. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan
6. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.

Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya pada falsafah beliau.

Bermula dari tarikh itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam pendidikan dan pentadbiran. Itulah saat permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia. Sedihnya, Leibniz meninggal pada tahun 1716 dan tidak sempat menyaksikan kejayaan perjuangannya.

Kita dapat belajar daripada peristiwa ini, bahawa perjuangan seorang tokoh pun boleh membawa perubahan kepada negara.

Bagaimana pula kalau seorang pemimpin membunuh bahasa sendiri? Ia akan tetap dikenang sebagai pengkhianat bangsa. Apa jadi kepada tulisan jawi. Siapa yang membuat dasar membunuhnya dalam tahun 60’an dahulu? Apakah kita akan ikut serta memasyarakatkan kehancuran bahasa kita ini?

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: