Skip to content

Sesi Sekolah 2009

Disember 25, 2008

Esok atau lusa keputusan PMR akan keluar. Bermula dari tarikh itu persekitaran sekolah akan mula sibuk kembali. Sibuk dengan murid-murid ambil keputusan. Sibuk dengan ibubapa hantar anak ke sekolah untuk membuat pendaftaran atau urusan masuk asrama. Sibuk dengan para guru yang terpaksa hadir mesyuarat awal tahun. Sibuk juga dengan penerimaan warga baru sekolah baik dikalangan Pengetua, Penolong Kanan atau guru baru dan pasti juga menerima murid baru. Juga tidak ketinggalan sibuknya koperasi sekolah menjual peralatan yang akan digunakan di sessi baru 2009.

Bagi aku insya Allah ini adalah kali terakhir menghadapi awal sesi persekolahan. Tahun 2009 menjadi tahun penamat perkhidmatan aku sebagai guru sekolah. Bulan Julai nanti aku bersara wajib. Aku kira aku tidaklah menjadi manusia yang sebuk awal 2009 ini. Sudah pasti tidak banyak jawatan yang diperuntukan kepada aku. Walau bagaimana pun aku masih bersedia menabur bakti untuk mendidik para guru dan murid menggunakan pengalaman mengajar lebih 30 tahun. Aku tak tahu, masih adakah yang ingin menimba pengalaman daripada aku. Biasanya tak ada.

Tidak ramai para guru yang ingin mendapatkan pengalaman dari orang yang sudah lama mengajar. Ini jelas kelihatan apabila diadakan kursus dalaman peringkat sekolah. Kursus dalaman dihadiri oleh para guru dari segi jasadnya tetapi dari segi mentalnya ramai yang ponteng. Indikator lain ialah ketika menyampaikan ceramah tentang teknik menjawab soalan, pernah didapati beberapa orang guru yang beredar dari bilik ceramah sebaik sahaja penceramah menyampaikan ceramah kepada murid-murid mereka. Seolah-olah ceramah itu untuk anak murid mereka sahaja dan bahan yang disampaikan tidak berguna dalam pengajaran dan pembelajaran dimasa hadapan. Petunjuk yang lain ialah, berapa ramai guru-guru baru yang datang berbincang dengan guru senior dalam membincangkan P&P. Kalau bincang pasal beli itu dan beli ini ramailah.

Aku masih ingat pesan Allahyarham Prof Atan Long kepada aku semasa aku meninggalkan UPM untuk penempatan kali pertama selepas tamat Diploma Sains dulu. “Bila sampai di sekolah jangan pandang guru-guru disekolah itu lekeh. Awak belajarlah dengan guru-guru lama yang ada walaupun mereka lulusan Maktab sahaja. Mereka ada banyak pengalaman. Ceduklah pengalaman mengajar dari mereka.”  Aku amalkan pesan itu, barkat rupanya. Pengalaman mereka aku olah menjadi bahan berguna sepanjang perkhidmatan aku sehingga kini.

Sebagai guru apa yang perlu di sedikan? Pertama: Setelah mengetahui mata pelajaran dan tingkatan yang akan diajar, guru hendaklah cuba mencari dokumen yang diperlukan sebagai persiapan awal. Jangan lupa cari sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang hendak diajar. Kedua: Cuba mendapatkan buku format peperiksaan yang berkaitan dan koleksi soalan tahun-tahun yang lalu. Ketiga: Membuat atau mencari Rancangan Tahunan bagi mata pelajaran yang diajar. Keempat: Cuba fahami pendekatan, strategi dan aktiviti yang akan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ( P&P). Kelima: Rangka cara mentaksir murid-murid anda sama ada secara formatif atau summatif.

Sebagai murid apa pula persediaannya? Murid perlu kenal gurunya sacara mendalam. Tindak tanduk guru mempengaruhi pembelajaran anda. Setiap guru ada stail mengajar masing-masing. Oleh itu murid mesti cuba belajar mengikut stail pengajaran guru anda. Murid perlu membaca buku teks terutama sebelum kelas akan membincangkan sesuatu tajuk. Murid perlu ada motivasi yang tinggi. Murid mesti berusaha untuk kejayaan diri.  Seorang murid mesti membuat persediaan mental, fizikal, emosi dan juga kerohanian.  Murid hendaklah menerima setiap guru seadanya. Ingatlah sepandai mana sekalipun guru kamu, kalau kamu tidak berusaha, kejayaan tidak akan datang menyapa. Murid jangan ponteng sekolah.

Sebagai ibubapa apa pula perananya? Ibu bapa perlu ingat yang hendak belajar, yang hendak menduduki peperiksaan dan yang hendak berjaya adalah anak-anak kita. Oleh itu jangan minta lebih dari kemampuan anak. Jangan paksa anak-anak kita. Apa yang penting ialah para ibubapa mesti sentiasa memberi bantuan dan motivasi kepada anak-anak mereka. Ibu bapa jangan sekali-kali memperkecilkan kemampuan anak-anak anda. Bagi murid muslim jangan lupa solat lima waktu.

Ada satu kecenderungan dikalangan ramai ibubapa masa kini yang membantutkan potensi anak mereka. Anak-anak adalah anak-anak. Mereka perlu kepada masa bermain, beriadhah dan memenuhi zaman kanak-kanak mereka. Ada kalangan ibubapa yang mematikan langsung peluang ini bagi anak-anak mereka. Sejak dari darjah dua atau tiga sudah dipaksa anak-anak itu ke kelas tuisyen. Akhirnya anak-anak itu terbantut potensi bersosial mereka. Bila sampai anak itu meningkat ke IPT, mereka jadi tak tentu hala. Akhirnya pengajian mereka terabai sebab anak itu menjadi terlalu bergantung kepada tuisyen. Siapa yang rugi akhirnya?

Sehari dua ini aku juga akan sibuk dengan kerja dan keluarga aku. Sibuk membuat persediaan kewangan kerana tiga anak perempuan akan balik belajar ke IPT setelah bercuti sebulan. Disamping itu dua anak aku akan kembali bersekolah. Seorang akan bersedia untuk SPM dan seorang lagi bersedia untuk PMR. Kerja aku pun masih ada yang belum siap. Insya Allah akan siap kerja-kerja berat itu pada 6 Januari nanti.

Sekian bicara persediaan awal tahun sesi 2009. Terima Kasih.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: