Skip to content

Cerapan P & P

Februari 19, 2009

Pengajaran dan pembelajaran (P&P)  masakini sepatutnya canggih dan pelbagai.  Canggih kerana kita ada peralatan yang hebat dibekalkan ke sekolah.  Laptop, LCD, CD yang beranamasi dan berbagai lagi. Pada ketika yang sama ramai guru mendapat pendedahan tentang berbagai pendekatan untuk P&P. Menamakan berbagai pendekatan itu sebagai Pembelajaran Inkuiri, Pembelajaran Konstruktivisme, Pembelajaran Kontekstual, Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kooperatif, Pendekatan ATLAS, Pendekatan Deduktif dan lain-lain lagi.

Antara kecanggihan dan kepelbagaian itu, para guru dalam bilik darjah memilih keselesaan untuk diamalkan. Betapa tidak, menggunakan alatan yang canggih-mangih itu akan menghadapi resiko anak didik cepat berdengkur. Kalau menggunakan CD yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), masalah mengawal masa mengajar akan timbul atau kefahaman murid akan menghadapi masalah. CD itu dalam Bahasa Inggeris, oleh itu satu kerja pula nak terjemah ke bahasa yang anak murid faham.

Menggunakan pendekatan yang pelbagai,  sememangnya baik tetapi bahan dalam CD dari PPK tak ada itu semua tidak pelbagai dari segi pendekatan P&P.  Oleh yang demikian kalau hendak buat kepelbagaian pendekatan P&P kenalah reka sendiri. Bagi meneruskan usaha mengajar (core business seorang guru) para guru mengajarlah ikut keselesaannya atau keselesaan muridnya. Dari pencerapan yang aku lakukan di kelas-kelas sains aku dapati satu cara mengajar yang menarik telah tercipta dibilik darjah PPSMI.

Buku teks Sains dalam Bahasa Inggeris, CD beranamasi dari PPK juga dalam BI, hasrat guru sains bukan nak mengajar bahasa tetapi nak mengajar sains. Apa yang dipentingkan ialah penyampaian maklumat, pengetahuan dan kefahaman bukan pembaikan aspek bahasa. Dalam kelas P&P sains aspek bahasa menjadi perkara yang terakhir diberi pertimbangan.  Oleh itu apa yang terjadi? Guru baca teks dalam BI dan membuat terjemahan ke Bahasa Melayu dan membuat penerangan serta penjelasan dalam BM. Oleh itu kini atas dasar keselesaan, P&P sains menjadi seperti Tok Guru membaca kitab di Masjid. Tok guru baca teks dalam Bahasa Arab atau teks dalam kitab kuning, kemudiannya membuat ulasan atau syarah kepada kitab itu dalam bahasa yang mudah difahami oleh anak kariah atau pendengarnya. Begitulah sebenarnya apa yang berlaku dibilik darjah P&P sains.

Keadaan membaca teks dalam BI dan menterjemah serta membuat penerangan dan penjelasan dalam BM ini sangat perlu kerana murid tak faham banyak perkara kalau mereka membaca buku teks. Oleh itu atas dasar hendak memberi maklumat, pengetahuan serta kefahaman, para guru sains terpaksa berbuat demikian. P&P Sains tidak lagi seperti dahulu. Dulu murid seronok berbincang semasa P&P kerana mereka sudah membaca bahan dari buku teks, mereka boleh menyampaikan pendapat dan berhujah, mereka seronok bertanya dan berinteraksi dengan guru. Kini P&P sains menjadi sehala sahaja, dari guru ke murid. Mengapa P&P sains menjadi lembab dan pudar? Itulah hasil kegilaan pengkagum Bahasa Inggeris. Itulah natijah daripada PPSMI. 

Cuma yang berbeza antara Tok Guru yang membaca kitab di Masjid dengan guru sains PPSMI ialah guru sains PPSMI ada sedikit keluwesan untuk menggunakan alat berteknologi canggih semasa mengajar. Guru sains PPSMI boleh juga menggunakan alat bantu mengajar, atau papan putih. Tetapi wajar diingat juga ada Tok Guru yang sudah membawa LCD dan Laptop ketika mengajar di masjid. Oleh itu P&P sains PPSMI sudah tidak hebat mana berbanding Tok Guru yang mengajar di masjid walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah berbelanja berbeliun ringgit. Oleh itu janganlah berdalih bahawa KPM dah berbelanja berbeliun ringgit menjadi sebab utama KPM tidak mahu membatalkan PPSMI. Malulah KPM kepada Tok-tok guru di masjid itu.

Kepada yang bukan terlibat dengan P&P sains, perlu diingatkan bahawa guru-guru Sains mengajar tidak sangat mementingkan unsur bahasa. Apa yang disampaikan dalam kelas ialah maklumat, pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan applikasi terhadap fakta, konsep, prinsip, teori dan hukum disamping melatih kemahiran berfikir dan kemahiran mengaplikasi strategi berfikir seperti membina konsep, menyelesai masalah dan membuat keputusan.

Dalam kelas sains juga dijalankan eksperimen. Oleh kerana arahan eksperimen dalam BI, maka timbul kerja baru bagi guru untuk membuat penjelasan. Sekiranya prosedur eksperimen tidak jelas dan tidak difahami oleh murid, hasil yang diharap tidak akan tercapai dan aktiviti akan membahayakan murid. Untuk peringkat itu tak mengapa lagi kerana eksperimen dibuat dengan pengawasan dan bimbingan guru. Masalah besar akan timbul apabila laporan makmal hendak ditulis. Ingat guru sains bukan guru bahasa!!! Dengan yang demikian selalunya guru terpaksa membuat bantuan ketika proses penulisan laporan eksperimen yang hendak dinilai dalam PEKA sains. 

Kepada pengkagum PPSMI, dimana pun anda berada, masalah kita bukan benci BI tetapi tetap benci PPSMI. Masalah BI selesaikanlah melalui P&P Bahasa Inggeris jangan menambah masalah kepada guru Sains dan Matematik, serta jangan mengungkit elaun BISP kerana pada tahun 2003 guru-guru sains tak minta pun elaun itu. Sekian enteri kali ini. TK

2 Komen leave one →
  1. Cikgu Wen permalink
    Februari 20, 2009 11:41 am

    Salam Cikgu Sop,
    Kawan dah bersara lame juga dah, tapi kawan ikuti juga perkembangan pendidikan dari jauh je. Kawan guna istilah ‘pendidikan’ sebab zaman kawan dulu guna istilah tu aje. Ikut betul Akta Pendidikan 96. Kawan tak pasti pulok akta tu dah berubah ke? Deme dah sebut pelajaran ye?

    Kawan setuju benor dengan deme tentang cerap-cerap ni, Kawan dulu cerap hujan, cerap suhu sebab kawan cikgu ilmu alam.
    Tapi kawan nak kongsi sikit pengalaman cerap p&p pada awal pelaksanaan PPSMI ni dulu. Kawan kesian kepada guru dan kesian kepada budak-budak dalam kelas.
    Kesian kpd guru sebab terkial-kial cakap omputih, kawan nak tergelak tapi tahan je, tapi budak-budak tu ketawakan cikgunya cakap omputih merapu, kawan sendiri tak faham. Bayangkan murid-murid tertawakan cikgu dia! Tapi agaknya leni cikgu dah fasih kok?
    Tapi kalu masih macam dulu, maknanya gagallah dasar tu. Apa nak tunggu lagi?
    Kesian ke budak-budak sebab macam cikgu kata tugas cikgu nak sampaikan ilmu & kemahiran tapi benda tu sebenarnya tak sampai. Soalnya boleh ke mereka jadi pandai matematik dan sains tu? Yang banya diceritakan result yang bagus tapi yang tak bagus tak siapa nak citer.
    Lagi satu sian orang kampung yang duduk nun jauh tersorok. Pandai ke anak mereka belajar dalam bahasa omputih tu. Macam kena tipu je.. deme tu tak rasa bedosa ke? Bukan semua orang nak wakili Malaysia ke persidangan UN atau antara bangsa. Yang pandai berbahasa omputih lah pegi wakil. Kawan dulu pun dari aliran melayu tapi boleh juga gi seminar dan kursus kat obersi cakap omputih lebih baik dari orang thai dan indon.
    Saya sokong PPSMI ni tapi utk orang Putrajaya, petaling jaya, subang jaya je dah lah. Tapi janganlah paksa orang titom, telanok dan lemoi; menyeksakan!
    Heran ye napa tok menteri tak buat keputusan lagi nak terus ke atau tidak. Banyak keja tu kalau nak balik asal. Awok cikgu cakaplah pada dia orang tu.. asyik nak ad hoc sokmo. Kesian kat deme cikgu-cikgu semua.
    Masa jepun dulu sapa pandai bebahasa jepun diberi elaun kalau dalam kerajaan. Banyak lagi cara nak galakkan orang jadi pandai omputih. Dalam Quran pun ada cakap Allah meninggikan darjat orang yg berilmu. Macam cikgu lah.. yang ilmunya lebih daripada cikgu yang samawaktu. soalnya bukan dipaksa tapi optional. Kan gitu? Mudah-mudahan anak-anak kita tidak termangsa dasar yang celaru..
    Salam & TQ.

    • Februari 26, 2009 1:44 pm

      Cikgu Wen, yang guna istilah pelajaran tu Menteri Pelajaran la ni. Kome ikut aje walau pun kome tau maknanya berbeza. Jadi masa ni kome mengajar ajelah tidak mendidik. Menteri Pelajaran pun tak faham tugas dia. Asyik-asyik nak pertahankan PPSMI tu aje.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: