Skip to content

Kelas 5KM2

Mei 16, 2009

Kelas 5KM2 ialah salah satu nama kelas tingkatan lima yang terdapat di sekolah aku. Pada tahun 2008  salah seorang dari murid kelas itu telah menjadi antara murid terbaik dalam SPM. Kelas ini adalah kelas aliran kemanusiaan atau kalau dibandingkan dengan zaman aku belajar dahulu ia samalah dengan kelas aliran sastera.

Tahun ini kelas ini dihuni oleh 24 orang murid. 13 lelaki dan 11 prempuan.  Daripada 13 lelaki itu lapan orang murid India dari Ladang Selborne dan lima lagi adalah murid Melayu. 11 murid perempuan semuanya Melayu.

Perangai: Lima hero Melayu ini ada mempunyai perangai yang agak pelik. Jarang aku jumpa perangai murid sebegini sepanjang 32 tahun aku mengajar. Waktu aku mengajar atau guru lain mengajar mereka tak pandang ke cikgu, tak salin nota, buku teks pun tak ada, kertas nak ditulis kalau ada pun akan lusuh hasil usapan sepanjang waktu belajar. Pen atau pensil tak ada. Datang ke sekolah bawa badan sahaja. Bila di soal sudah pasti jawapannya sekadar sengih atau dia bertanya kawan-kawan yang seangkatan dengannya untuk bantu tetapi akhirnya senyum sahaja. Kadang-kadang kalau mereka beri jawapan, jawapannya menyakitkan hati pendengar sahaja.

Dari lapan murid India, hanya seorang yang minat belajar. Murid ini ada harapan untuk berjaya. Malangnya dia kuat dipengaruhi oleh tujuh lagi murid India yang punyai berbagai kegilaan. Ada yang sedikit kegilaannya ada yang banyak kegilaan. Perangai yang paling gila ialah suka buka buku teks di mana-mana muka surat dan bertanya guru berdasarkan gambar atau rajah yang ada semasa guru mengajar. Kalau diberitahu bahawa perkara itu akan dipelajari lambat lagi dia akan buka pula muka surat lain yang semangnya akan dipelajari dalam bulan Jun atau Julai akan datang. Begitulah setiap waktu belajar. Kegilaan lain ialah suka menyanyi lagi Tamil semasa guru sedang mengajar, menghentak-hentakkan kaki, memulas-mulaskan jari jemari, menggeleng-gelengkann atau anguk-angukkan kepala,  dan berbagai aksi yang kadang-kadang menyebabkan aku rasa lucu atau rimas.

11 orang puteri Melayu juga ada berbagai perangai yang biasa-biasa.  Ada yang suka berleter, ada yang suka berhias, ada yang lambat guru mengajar sahaja dia terus tidur, ada yang sangat pendiam, ada bermulut becuk, ada yang sangat sibuk terutama kalau ada apa-apa program dibuat disekolah dan ada yang bercakap ikut suka dia, macam tak sayang mulut. Walau bagaimana pun ada juga yang sangat memberikan perhatian waktu guru mengajar. Murid kumpulan ini insya Allah ada harapan untuk berjaya. 

Sekarang, bermula 14 Mei hingga 29 Mei ialah peperiksaan setengah tahun. Kedatangan akan penuh waktu periksa. Waktu P&P selalunya ramai yang tidak hadir. Sememangnya keadaan di sekolah aku ini waktu tak periksa kedatangan hanya 85% sahaja, waktu peperiksaan kedatangan akan mencapai 99%. Lima hero Melayu di atas antara yang jarang ada dalam kelas waktu P&P. Daripada lima itu kalau ada tiga pada sesuatu waktu sudah kira sangat baik.

Saja aku rekodkan dibawah ini aksi kelas 5KM2 waktu ujian Matematik Kertas 1. Dari jam 10.55 hingga 12.10, hari Jumaat (15 Mei 2009). Jam 10.50 aku masuk kelas. Hanya ada beberapa orang murid. Aku menyusun kertas soalan dan kertas jawapan untuk diedarkan kepada murid yang ada. Aku agih-agihkan kertas jawapan objektif kepada mereka yang ada dalam kelas sambil mengarahkan agar mereka duduk ditempat masing-masing. Kemudian aku edarkan pula kertas soalan. Tepat jam 10.55 pagi, aku minta mereka mula menjawab. Bagi yang hadir ketika itu tiada yang menunjukkan rasa kesegeraan untuk menjawab. Wajah sambil lewa dipertontonkan.

Selang bebera minit masuklah segrombolan puteri-puteri Melayu dengan lengang lengok masuk ke kelas. Mulut masih mengunyah makanan dan ditangan ada air kotak. Tak sempat agaknya masa 30 minit rihat untuk menyudahkan makanan. Betullah saranan Nik Nur Madihah (Murid yang mendapat 20A, SPM 2009), bahawa kalau puasa banyak masa untuk belajar akan dapat diselamatkan. Mereka terpaksa mengadap aku seorang demi seorang untuk mengambil soalan dan kertas jawapan. Ada yang takut-takut, ada yang tersengih, ada yang terkonjong mulut takut makanan tersembur dan ada yang minta maaf kerana lewat masuk kelas.

Selepas itu masuk pula seorang demi seorang hero India. Ada berjalan terjungkit-jungkit. Ada yang terhiling-hiling. Ada yang masuk terhenjut-henjut. Mereka seorang demi seorang mengadap aku untuk mendapatkan kertas jawapan objektif serta kertas soalan. Sampai di meja masing-masing berlaku pula berbagai aksi. Tertelek dan tertenung, terhiling dan terhangguk mencari dan mencari pen, pensil serta pemadam. Ada yang bertanya rakan dalam bahasa Tamil (aku pun tak faham). Setelah pencarian selesai mereka duduk diam dan memulakan kerja menjawab kertas 1, Matematik. Sebenarnya seorang murid India sudah ada dalam kelas sejak awal lagi.

Setelah 10 minit berlalu barulah kelibat lima hero Melayu masuk kekelas. Dua orang bawa air botol. Seperti yang lain, seorang demi seorang mengadap aku untuk mendapatkan kertas jawapan objektif dan kertas soalan. Masa nak duduk di meja masing-masing, mulalah mencari pen dan pensil. Meminta pensil dari rakan perempuan. Bahasa kasar dan tak sopan digunakan sewaktu meminta pensil. Agaknya inilah adap yang tertanam dalam diri mereka. Sebenarnya aku dah lama tegur perkara ini, tetapi aku dah hilang gaya dan bahasa untuk membetulkan keadaan. Aku pun dah naik malas.

Setelah 20 minit berlalu (11.15 pagi), aku perhatikan seorang demi seorang, melihat-lihat aksi dan perangai anak-anak muridku yang sedang menghadapi Matematik Kertas 1. Semasa ujian kertas objektif, keadaan tidak kritikal kerana murid boleh menjawab semua soalan. Tanda ajelah A, B, C atau D di setiap soalan. Tak perlu tengok soalan pun mereka boleh jawab.

Dikalangan murid-murid aku ini ada yang sudah tidur. Tujuh murid India sudah melabuhkan kepala mereka ke atas meja. Ada yang berdengkur sikit-sikit. Nyenyak sungguh tidurnya waktu Matematik. Aku pergi lihat pada kertas jawapan, belum bersentuh lagi. Tak pe ada masa lagi.  Ada yang tatap kertas soalan dari muka hadapan ke muka belakang dan kembali ke hadapan semula, jawapan tak jumpa lagi, mungkin selepas ini akan terbitlah jawapan di atas kertas objektif. Ada yang panjang-panjangkan leher, jenguk-jenguk jawapan kawan sebelah. Buat apa meniru, yang ditiru pun buat jawapan salah.

Satu aksi lagi ialah memicit-micit kalkulator, jawapan tak jumpa juga. Entah apa yang dipicit. Ada yang bongkok-bongkok dan pusing-pusing, entah apa yang dicari dan diintai. Ada yang kepit-kepit jari dan dicelah jari ada pensil sambil pensil dihentak-hentak bontotnya.

Hero Melayu yang seorang, mengedik-gedik kaki sambil mulut terkumak-kamik seolah-olah sedang menyanyi. Ramai yang garu-garu kepala sambil berpusing-pusing ke kanan dan ke kiri. Nasib baik waktu itu tiada yang buat bising.

Aku bangun dari kerusi guru dan berjalan ke belakang kelas, melintasi beberapa orang murid perempuan, ada yang sudah nyenyak tidur. Ada yang serious cuba menjawab. jawapan yang di tandakan aku kira betul. Syabas!! Bila aku lalu berhampiran mereka ada yang sengaja tutup-tutupkan kertas jawapan, macamlah aku nak tiru mereka. Perjalanan balik ke meja guru aku lalu dekat hero Melayu. Seorang jejaka mengusap-usap kertas, kertas itu dah lusuh dan sudah koyak akibat basah, kesan dari tumpahan air botol. Ada aksi yang tak boleh aku ungkap dengan kata-kata. Itu kelemahan aku dalam berbahasa.

Pukul 11.35 pagi. Tiba-tiba seorang hero Melayu minta nak ke tandas. Tak tahan dah, nak terkencing. Baru 40 minit masa ujian berlalu dah tak tahan menangung kandungan kantung kencing. Oh, rupanya dia salah seorang yang bawa masuk air botol. Aku beritahu dia, peraturan sekolah menyatakan bahawa murid tak boleh keluar 1 waktu selepas rihat dan 1 waktu sebelum akhir persekolahan. Hari ini hari Jumaat. Ada dua waktu sahaja selepas rihat. Satu waktu selepas rihat dan 1 waktu sebelum balik. Jadi kalau ikut peraturan itu dia tak boleh keluar. Dia minta sangat-sangat nak keluar juga, dah tak tahan katanya. Siap ugut lagi, kalau tak bagi keluar ke tandas dia nak kencing dalam kelas. Saya kata SILAKAN. Akhirnya dia minta juga dan saya benarkan tetapi dalam masa lima minit mesti sampai balik ke kelas. Dia keluar dan dia boleh buat dalam masa yang diberikan. Murid Melayu ni kalau keadaan tersepit seperti ini boleh juga dibentuk perangainya.

11.50 pagi. Hero India mengedarkan chewing gum sesama dia setelah terjaga dari tidur apabila aku memaklumkan bahawa masa tinggal 20 minit sahaja lagi.  Selepas mendapat bekalan chewing gum, empat hero India mula meletakkan kepala ke meja, sambil mengunyah. Saling tak tumpah seperti kambing sedang mengunyah rumput waktu santai (menggugu). Empat yang lain sebuklah menanda jawapan dikertas objektif. Sebenarnya seorang murid India memang konsisten dari awal lagi menjawab soalan. Murid ini berpotensi untuk berjaya dalam SPM.

12.05 tengah hari. Majoriti sudah resah nak keluar. Aku minta mereka tunggu lima minit sahaja lagi. Apabila aku minta murid dibelakang sekali bangun untuk pungut kertas jawapan dan soalan, kelas mula bising. Aku minta yang lain duduk sehingga semua kertas diserah kepada aku. Setelah selesai aku lepaskan mereka balik. Sekali lagi perangai kambing keluar reban dipertontonkan kepada aku. Itulah murid aku 24 orang dari kelas 5KM2.

Aku buat enteri ini sebenarnya untuk meminta para pembaca yang pernah menjadi MURID agar dapat membandingkan gambaran ini dengan zaman pembaca menjadi murid dahulu. Enteri ini juga dibuat sempena menyambut Hari Guru. Enteri ini merupakan enteri terpanjang yang pernah aku buat. (1418 perkataan)

Kepada semua yang bergelar guru atau cikgu aku ucapkan SELAMAT HARI GURU.

13 Komen leave one →
  1. Mei 16, 2009 8:02 am

    ada satu kelas di sekolah saya hari itu siap main air kencing yg diletakkan dlm botol..dasyatkan..Selamat Hari Guru

  2. ashley permalink
    Mei 16, 2009 11:24 am

    Seteruk teruk kelas saya dulu, rasanya tak PERNAH ADA yang MONTENG waktu periksa!!!

    oh ye..

    teruk???

    Tak masuk SEKOLAH ASRAMA PENUH le kalau KAtegori TERUK!
    Alhamdulillah..

    Saya bersekolah menengah di Sek Men Sains Tuanku Syed Putra dari 1980-1984..
    terima kasih pada semua cikgu yang mengajar di sana walaupun ada incident incident yang tak mungkin dilupakan hingga hari ini.
    SELAMAT HARI GURU!!
    16 mei 2009

  3. GPI SKSV permalink
    Mei 16, 2009 3:05 pm

    Selamat Hari Guru! pastinya yg terakhir untuk anda… sbb slps ini… ada Selamat Hari Pesara Guru.. hehe

    Gitulah nampaknya. Tapi tak ada halangan nak ucapkan Selamat Hari Guru ini sebab SEKALI GURU SELAMANYA GURU.

  4. Mei 16, 2009 3:34 pm

    Selamat Hari Guru yang terakhir sebagai guru bertugas. Selepas ni jadi Guru Pencen pulak.ERTI CIKGU
    C – cantik budi pekerti.
    I – Inovasi praktisnya.
    K – kreatif mindanya.
    G – Garang dalam semangatnya
    U – Unggul ilmunya

  5. Mei 16, 2009 9:48 pm

    salam kenal..selamat hari guru moga dirahmati ALLAH selalu

  6. Mei 18, 2009 6:35 pm

    sabar betul ayah dgn perangai dorg ek!

    papehal pun, selamat hari guru untuk mak n ayah…hehehe

  7. Mei 20, 2009 10:35 am

    Salam.

    Karenah murid2 ni mmg mcm2.
    Pernah terjadi pada saya walaupon saya bukan guru. Jiran minta tolong ajarkan anak dia.
    Ada ka patut budak tu boleh tidor masa saya mengajar.Terus saya soh balik umah.

    Waktu sekolah dulu, saya ada 2 org anak murid. (Cikgu fizik la kata). Sebab 2 org kawan saya tu asyik tanyakan saya jek..hehe

    Regards

  8. Mei 22, 2009 11:35 pm

    kalau saya jadi cikgu tak tau la apa akan jadi budak budak ni.
    tahniah cikgu kerana tahan sabar.

    apa pun saya diantara murid cg yang bertuah dapat cg macam cg.
    terima kasih cg,
    selamat hari guru dari saya dan kawan kawan seangkatan. spm 1989

    Terima Kasih atas ingatan.
    Kalau nak marah tu memang rasa nak marah, tetapi dah tua ni tak sampai hati pulak. Terasa sedih bila melihat anak-anak sebangsa tu yang malas belajar. Mereka bukan anak orang kaya pulak tu, kalau anak orang kaya tak pe lah sebab mereka ada harta.

  9. sumie permalink
    Mei 23, 2009 11:50 am

    salam aki.. sronok baca story ni.. ingat blik zaman2 skolah dulu..hehehehe nk kata nakal sgt cm diorg tu tk laa tp skit2 tu sama gak kot..hehehe neway slmt hari guru and also slmat bersara.. nnt blh laa kome panggil aki wat prgm kt kg kan… (“,)..

  10. Mei 30, 2009 12:07 pm

    assalamualaikum cikgu…rindulah kat cikgu,saya skrg ni kat matrikulasi kedah…tq bnyk2 kat cikgu krn sudi mengajar saya…dan banyak membri panduan untk membt nota…tak lame lg dah nk bersara,daptlah cikgu spend ms dngan kluarga yer…akhir kte,terima ksih bnyk2 ckg krn tlah bnyk mmbuat teguran dan mnyedarkan sy…msih tak yerlmbt rasenye untuk sy ucpkan SELAMAT HARI GURU,SMG HIDUP CIKGU SENTIASA DIRHMATI ALLAH S.W.T DAN BAHAGIA DISMPING KELUARGA…AMIN

    from-bdk 5 sains 2008

  11. Mohd Ashadi b Mohd Noor permalink
    Ogos 24, 2009 3:45 am

    Di sekolah saya ramai pelajar macam cikgu sebutkan. Di kelas sastera tak usah cakap mesti ada pelajar yang peragai yang sukar difahami. Tetapi penyakit pelik dan gila macam ni dah mula merebak kepada pelajar kelas sains , dah enam tahun saya mengajar saya dapat rasa perbezaan sikap pelajar dulu dan kini. Cikgu sekarang berdepan cabaran yang hebat. 10 tahun lagi mungkin lebih teruk.

    Pelajar terutamanya MELAYU perlulah ada kesedaran untuk berusaha demi masa depan. Sikap dan peragai yang pelik dan menyakitkan hati cikgu rasanya ada kaitannya dengan pemakanan, pegangan agama , didikan ibu bapa dan sistem pendidikan.

    Saudara, Majoriti murid Melayu terutamanya di Luar Bandar masih tak sedar siapa mereka. Mereka ingat mereka orang kaya raya, berlagak kaya dengan segala gadget modern mereka tunjukkan kepada masyarakat. Sebenarnya inilah antara sebab mengapa saya tak nak sambung mengajar lagi. Tak larat nak beri tahu masalah ini kepada murid-murid yang tek sedar diri ini.

  12. roshidah mohamad permalink
    Februari 19, 2010 11:35 pm

    cikgu…..saya baru ader kesempatan nak baca wadah cikgu ni,,,,,,,ruginyer lah saya….walau pun dah terlambat, saya nak ucapkan selamat bersara…moga hidup cikgu tenang sentiasa……

    Sidah.. Bacalah jangan tak baca. Coretan 5KM2 itu adalah satu yang bersifat nostalgia kepada saya ketika berhadapan dengan murid dikelas hujung. Kalau mengajar di kelas yang baik lain pula suasananya….

  13. roshidah mohamad permalink
    Februari 21, 2010 10:13 pm

    salam….cikgu….thn ni saya ngajar form1, sains, satu kelas hujung satu lagi kelas baik, tiap kali saya msuk kelas saya pening, dr segi persediaan, terutama lepas masuk kelas baik, pastu msuk kelas hujung, utk makluman cikgu kelas hujung ni, ader beberapa pelajar yg x boleh membaca, cikgu ader tips tak camana nak atasi masalah ni…….

    Bagi yang tak tau membaca tu ajar mereka membaca dan menulis dulu…. Selagi tak pandai tulis dan baca selagi itu yang diajar tak akan berkesan… Macam mana dia nak jawab soalan kalau tak pandai baca…?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: