Skip to content

Kondusif

Mei 18, 2009

Keceriaan yang perlu diwujudkan dipersekitaran sekolah bertujuan untuk menghasilkan persekitaran yang kondusif kepada pembelajaran. Suasana persekitaran yang kondusif di sekitar sekolah diharapkan dapat menggamit kesungguhan dikalangan murid-murid untuk membantu mereka mengutamakan pembelajaran. Peruntukan kewangan untuk membentuk keceriaan kadang kala sangat besar. Peruntukan masa dan tenaga juga besar. Adakah cerianya sekolah boleh menggerakkan murid untuk bersungguh-sungguh belajar?

Persoalannya, adakah benar apabila wujud keceriaan yang hebat di sekolah akan menggerakkan masyarakat murid disekolah bersungguh-sungguh untuk belajar? Mungkinkan meningkatkan keceriaan sekolah secara berlebihan itu merupakan satu metos sahaja dalam peningkatan pencapaian akademik dikalangan murid-murid disesebuah sekolah?

Enteri kali ini akan cuba membincangkan kesan mengusahakan keadaan kondusif dipersekitaran sekolah dari sudut perubahan sikap murid-murid untuk mengutamakan pembelajaran. Apakah sebenarnya yang patut diwujudkan supaya keadaan kondusif kepada pembelajaran terzahir dipersekitaran sekolah?

Aku lebih suka menumpukan kepada perubahan sikap murid dalam mengwujudkan suasana kondusif kepada pembelajaran. Bagi aku mengadakan keceriaan belum tentu dapat terzahirnya susana kondusif bagi meningkatkan pembelajaran.

Sekiranya kita sedar bahawa sikap murid yang menjadi tumpuan, maka kita wajar memberikan fokus kepada empat perkara, pertama: peningkatan pengetahuan bagi menyedarkan murid. Kedua, mengwujudkan keyakinan yang betul kepada potensi diri setiap murid. Ketiga, menggerakkan motivasi diri murid secara berterusan dan keempat, mengwujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembelajaran.

Peningkatan pengetahuan untuk kesedaran. Maklumat dan pengetahuan hendaklah sentiasa disampaikan oleh pengurus sekolah dan para guru kepada murid-murid. Maklumat yang sewajarnya diwar-warkan ialah tentang bagaimana seseorang murid boleh berjaya dengan membawa contoh-contoh terkini. Umpamanya guru-guru perlu membaca bagaimana Siti Fatimah Mokhtar (18 A – SPM 2006, anak orang kaya boleh berjaya) atau bagaimana Nik Nur Madihah (20 A – SPM 2008, anak orang miskin boleh berjaya). Orang kaya boleh berjaya, orang miskin boleh berjaya. Guru-guru perlu membuat environmental scanning tentang keadaan murid-murid mereka bagai menyesuaikan contoh yang dipilih dengan keadaan mereka.

Pengetahuan tentang pencapaian rakan-rakan senior yang berjaya disekolah itu perlu dimaklumkan kepada semua murid. Kaunselor boleh menjemput murid yang berjaya dari sekolah untuk berbicara dengan adik-adik yang akan menghadapi peperiksaan. Peluang yang tersedia disekolah seperti kelas tambahan, kumpulan guru yang sedia membantu dan lain-lain keadaan yang merangsang perubahan sikap perlu dimaklumkan juga kepada setiap murid.

Setiap murid perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam aspek kemahiran belajar. Setiap murid perlu dilatih dengan cara membuat jadual untuk mengurus masa, membuat nota sebagai persediaan kepada pentaksiran, mempunyai kemahiran sosial yang perlu digunakan dalam pembelajaran dan beberapa kemahiran yang berkait dengan pembelajaran. 

Keyakinan kepada potensi diri. Kaunselor dan para guru prihatin hendaklah sentiasa mencungkil potensi murid, baik yang agak pandai atau tak berapa pandai. Setiap murid ada kelebihan masing-masing.  Lakukan ujian-ujian mengenal potensi bagi setiap murid agar mereka dapat dibantu seoptimum mungkin. Salah satu potensi besar yang ada pada setiap murid ialah kemampuan berkata-kata (bercakap). Potensi ini hendaklah dikembangkan agar dapat digunakan bagi membangun kebolehan belajar yang berkesan dengan menggalakkan terbentuknya kumpulan perbincangan. Jadikan polisi sekolah bahawa setiap murid hendaklah menganggotai satu kumpulan perbincangan. Pihak pengurusan sekolah hendaklah mempastikan polisi ini terbina dipersekitaran sekolah secara bersungguh-sungguh, terarah, dan konsisten serta  sentiasa dipantau secara sistematik. Setiap murid perlu dibimbing untuk mengetahui potensi dirinya secara eksplisit dan bagaimana potensi itu dapat dibangunkan.

Menggerakkan motivasi berterusan. Kesedaran murid serta kesungguhan murid sentiasa ada pasang dan surut. Oleh itu motivasi perlu dilakukan sepanjang masa.  Dalam perkara ini setiap guru wajar berkemahiran dalam usaha memotivasi murid. Idea menjemput pakar motivasi yang berbayar mahal dari luar sekolah merupakan idea yang tidak berapa tepat. Para gurulah manusia yang paling sesuai untuk menyampaikan motivasi kepada muridnya. Sayangnya idea ini selalunya dipandang sinis oleh ramai orang. Dalih yang biasa ialah “Bomoh tempatan tidak mujarab berbanding bomoh luar” atau “Orang luar lebih berkesan daripada orang setempat”. Pandangan-pandangan ini merupakan metos yang tidak ada bukti emprikal, ianya sekadar agak-agak atau ikut-ikut cakap orang sahaja. Tiada bukti secara penyelidikan. Bukankah guru adalah insan yang tahu kekuatan dan kelemahan muridnya sendiri. Hanya yang kurang ialah guru tidak diberi peluang dan digilap kehebatan mereka dalam memberi motivasi. Lebihnya ialah guru sentiasa mendampingi muridnya sepanjang masa. Pakar motivasi datang sekali sekala dan hanya membawa stail umum. Untuk tambahan, para ibubapa boleh juga dibawa bersama dalam program motivasi ini. Mana-mana ibubapa yang berkebolehan dalam perkara ini boleh dijemput menyumbang.

Mengwujudkan persekitaran kondusif untuk pembelajaran. Disinilah peranan kondusif beroperasi. Sewajarnya suasana pembelajaran wujud dimana-mana dalam kawasan sekolah. Kumpulan perbincangan sentiasa beroperasi disetiap waktu senggang. Bentuk-bentuk halaqah, usrah dan perbincangan difahami kaedah dan perjalanannya oleh semua pihak baik para guru apatah lagi murid-murid. Kemahiran berbincang menjadi budaya sekolah dan dihayati pelaksanaannya.  Latihan berbincang dengan segala tekniknya boleh dibuat dalam P&P. Dalam hal ini semua guru mata pelajaran perlu mempunyai kemahiran untuk melatih murid dalam aktiviti berbincang.  Wakaf, pondok sumber, teduhan pokok  merupakan medan tempat berlakunya gerakan yang dinyatakan seperti diatas.

Pembelajaran akses kendiri (self access learning) merupakan satu budaya yang dominan dalam persekitaran sekolah.  Perpustakaan berperanan menyediakan tempat dan bahan untuk murid-murid mencari bahan dan memperkayakan pengetahuan mereka. Guru menjadi tempat rujukan. Murid sentiasa mencari guru untuk ditanya dan mendapat bantuan dalam memantapkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran. Peranan guru bukan sekadar menjadi orang yang mengajar tetapi sebagai sember yang luas pengetahuan dan pengalaman. Guru adalah buku teks yang berjalan atau mungkin kamus yang sentiasa membantu semua murid. Suasana kondusif menggerakkan para guru sentiasa mengemaskini pengetahuan, kefahaman dan kemahiran.

Nilai peningkatan keilmuan dikalangan semua warga sekolah sentiasa ditingkatkan. Tiada insan di dalam kawasan sekolah yang ketinggalan dalam peningkatan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran. Suasana persekitaran betul-betul merangsang peningkatan ilmu. Kalau peringkat ini tercapai barulah kewujudan keindahan persekitaran dapat membantu merangsang kesungguhan usaha dikalangan murid-murid. Kalau tidak keceriaan sekadar usaha yang meletihkan. Sekian entri ini. TK

3 Komen leave one →
  1. Mei 18, 2009 9:13 pm

    alberangque.
    Sebuah posting yang menarik, patut dibaca oleh mereka yang terlibat dengan proses pendidikan,khususnya di sekolah.

    Saya bersetuju bahawa persekitaran sekolah yang kondusif akan menghasilkan kejayaan (seharusnya dalam pelbagai aspek). Sifat kondusif itu sendiri sememangnya diikuti dengan kejayaan sebagai natijahnya (Jika tidak, tidaklah dipanggil kondusif).

    Persekitaran sekolah tidaklah seharusnya dipersempit kepada keceriaan material dan fizikal semata-mata.

    Saya bersetuju apabila Tuan menjelaskan bahawa sikap semua pihak di sekolah memainkan peranan sebagai pemangkin ke arah persekitaran yang positif.

    Kondusifnya persekitaran sekolah yang menghasilkan kejayaan itu juga bersifat subjektif. Saya belum bertemu dengan suatu kajian yang komprehensif perkaitan antara persekitaran kondusif dan kejayaan sekolah.

    Banyak yang saya baca tentang topik kondusif ini, tetapi dalam bentuk andaian, ramalan, hipotikal dan teoritikal.

    Ada sekolah yang mempunyai keceriaan yang menawan tetapi pelajar-pelajarnya tidak cemerlang dan banyak masalah disiplin.

    Kedapatan sekolah yang pelajar-pelajarnya cemerlang tetapi keceriaan pesekitarannya, sederhana sahaja.

    Walaubagaimana pun saya amat bersetuju akan kewujudan pelbagai usaha bagi mewujudkan persekitan yang kondusif untuk kejayaan.

    Barangkalai persekitaran yang kondusif hanyalah satu daripada keperluan di samping keperluan-keperluan lain untuk kejayaan sesebuah sekolah.

    Pertamanya diucapkan terima kasih atas lawatan ke laman maya aku ini.
    Kedua, komen yang diberi merangsang aku untuk banyak menulis. Aku kira ini medan baru bagi ku untuk menyumbang kepada pendidikan negara. Ketiga, silaturrahim antara aku dengan pembaca (khususnya Cikgu Wahab Taha) sentiasa terjalin secara berterusan. Keempat, Aku tidak keseorangan dalam menyambung bakti untuk mendidik umat. Terima Kasih daun keladi!!

  2. ashley permalink
    Mei 18, 2009 10:58 pm

    Ketenangan banyak terletak pada hati..
    Fikiran yang tenang akan mententeramkan jiwanya..semuanya berkait rapat.

    Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang. Bila tenang, mudah untuk belajar. Bila tenang, hati mudah menerima pelajaran. Bila tenang, kerja dilakukan dengan hati hati dan tidak kelam kabut..

    Minda yang tenang membolehkan tubuh badan bekerja..

    Suasana keceriaan secara fizikal hanyalah satu aspek dalam menenangkan fikiran.

    tetapi sebagai peringatan atau renungan…
    seorang yang kaya, hidup dalam
    rumah yang cantik, besar dan indah..mungkin tidak tenang JUGA..mungkin berserabut fikirannya..gelisah jiwanya..kenapa?

    Wahai Jiwa yang tenang, Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan hati redha dan diredhai Tuhan. Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba Ku, Dan masuklah kamu ke dalam syurga Ku. (Al Fajr, ayat 27-30).
    Itulah signal dari Allah Maha Mencipta terhadap makhluk yang dicipta berkenaan ketenangan. Bahawa ketenangan itu diatas keredhaan Nya. Untuk mendapat keredhaan Allah SWT, kita hendaklah mengikut, mematuhi segala perintah Nya dan meninggalkan segala larangan Nya (BERTAKWA) serta melaksanaka al amru bil makruf wan nahyu anil mungkar. Itulah punca ketenangan di dunia dan kejayaan abadi di akhirat.
    Terima Kasih atas lawatan ke rumah maya ku. Hingga jumpa lagi. TK

  3. Mei 22, 2009 12:44 pm

    Datang ziarah =)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: