Skip to content

Kenangan 3

Julai 25, 2009

Dalam Kenangan 1 dan Kenangan 2, aku kisahkan keterlibatan tiga jenis makhluk mamalia, iaitu harimau, babi serta kerbau. Dalam kiriman ini aku mahu mengisahkan hubungan masyarakat kampung aku dengan ular iaitu makhluk reptilia.

Peristiwa ini berlaku diwaktu pagi musim cuti sekolah selepas padi dituai. Gedung (satu kawasan air yang terhasil kerana anak sungai diempang) yang terdapat dihadapan rumah aku masih lagi ada tunggul-tunggul padi yang sudah dituai.  Disamping itu kumbuh, menerong dan kelayar mula tumbuh menghijau dicelah-celah jerami padi.  Lebih kurang 100 meter dari pelantar dapur rumah aku terdapat pokok pulai dan dipangkal pokok pulai itu terdapat lubang memanjang (darang).  Biasanya kalau memedap ikan di dalam darang itu banyak ikan. Pokok pulai itu duduknya ditepi gedung.

Pagi itu, riak air di pangkal pokok pulai itu agak kuat. Sekali sekala kelihatan seperti benda panjang timbul dari dalam darang itu. Benda panjang itu berkilau apabila tersimbah cahaya mata hari pagi. Aku memanggil ayah aku yang baru siap sarapan pagi. Aku tunjuk kepada ayah benda yang timbul tenggelam di pangkal pokok pulai besar itu.  Ayah memberi tahu aku bahawa itu adalah ular besar. Mengikut pengalamannya, ular besar itu jenis Ular Alir. Ular ini adalah jenis ular berbisa dan panjang. Kata ayah, kalau ular biasa boleh ketuk dengan buluh sahaja, tetapi Ular Alir mesti diketuk dengan alu. Aku tanya ayah, “Siapa yang nak pergi ketuk ular sebesar itu?”  Ayah kata “Awaklah!!”

Ketika itu ada seorang bidan kampung, ibu saudara sepupu aku, bertandang kerumah aku sejak semalam. Dia bermalam dirumah aku. Ini perkara biasa dalam masyarakat kampung. Aku panggil dia Mak Uda Yam, atau kadang-kadang aku panggil dia Mak Uda Lang. Aku panggil dia Mak Uda Lang kerana dia selalu tangkap ular sewaktu kami mencari ikan dalam petak-petak sawah atau gedung.  Helang makan ular. Mak Uda Lang selalu tangkap ular.

Teringatkan kehebatan Mak Uda Lang dengan ular, aku pun memanggil Mak Uda ke pelantar dapur. Aku beritahu Mak Uda bahawa dipangkal pokok pulai besar ada ular. Dia pun keluar dan memandang kearah pokok pulai yang aku maksudkan. Tindakan pertama yang dibuat oleh Mak Uda ialah memanggil ular itu. Dia kata, “Oii.. ular kalau awak handai sangat marilah kemari.”  Tiba-tiba pokok kumbuh kelihatan bergegar dan pokok-pokok kumbuh dan jerami padi yang bergegar itu semakin mendekati rumah aku. Tiba-tiba Mak Uda pun berkata, “Oii.. ular berhenti dulu!!.”  Tiada lagi riak dan gegar daun kumbuh atau jerami padi.  Ertinya ular itu sudah berhenti. Macam faham pulak ular itu dengan percakapan orang.

Semasa aku memanggil Mak Uda Yam tadi rupa-rupanya ayah aku pergi ke rumah jiran kami, Pak Teh Musa. Pak Teh Musa ada senapang patah.  Ketika ular itu berhenti Pak Teh Musa, Pak Itam Sidek dan ayah sampai ke rumah kami dengan membawa senapang patah. Sesampai sahaja mereka bertiga, kelihatan pokok kumbuh, kelayar dan jerami padi bergerak, menunjukkan ular itu mudik kehulu menghala ke pokok pulai besar.  Mereka memintas pergerakan ular itu dan sempat menembak ular itu beberapa meter ke sebelah hulu kawasan pangkal pokok pulai besar itu. Dua das tembakan itu kena kepada ular besar itu menyebabkan ular besar itu melempas dan memukul air gedung.  Percikan air itu sangat tinggi, hampir menyamai ketinggian pokok pulai besar itu.   Hempasan air itu makin lama makin rendah sehinggalah tiada lagi gerakan.

Pak Itam Sidek membawa tali dan kayu menghala ke ular yang sudah tidak bergerak lagi. Setelah dijerut leher ular itu, dia menarik badan ular ketebing gedung. Perkara pertama yang dibuat ialah mengetuk kepala ular itu sehingga pecah menggunakan kayu yang dia bawa. Pada ketika itu sudah ramai orang kampung berkumpul dibawah pokok rambai dekat rumah Pak Teh Musa. Dua tiga orang pergi menolong Pak Itam Sidek menarik ular ke bawah pokok rambai. Aku ketika itu hanya memerhati dari jauh sahaja sebab aku pun penakut juga.

Ayah aku mengambil tali dan mengukur panjang ular itu. Mengikut mereka yang hadir, ular itu memang Ular Alir. Panjangnya lebih tiga depa orang tua (Lebih daripada 20 kaki) dan saiznya sebesar peha orang muda (45 cm  lilit). Dileher ular itu terdapat dua lubang kesan tembakan. Ini bererti Pak Teh Musa merupakan antara penembak tepat. Aku mengambil kayu dari tangan Pak Itam Sidek dan meminta izin dari ayah untuk mengetuk kepala ular. Aku ketuk kepala ular yang sudah mati itu kerana menyambut cabaran ayah terhadap aku pagi tadi.

Bebera orang tua berpendapat bahawa mereka hendak mengambil lemak ular untuk dibuat ubat. Dalam hal ini ayah aku tidak masuk campur. Hanya ayah meminta mereka membawa bangkai ular itu jauh dari rumah orang dan selepas dapat apa yang dikehendaki mereka perlu menguburkan bangkai ular itu.  

Sebenarnya banyak kali peristiwa ular memasuki kawasan rumah kami di kampung,  Kedudukan rumah berhampiran dengan paya dan hutan menjadikan mudah dan selesa haiwan liar berjalan dan merayau. Bagi penduduk kampung hal-hal begini telah menjadi kebiasaan dalam hidup mereka.  Sekian TK

One Comment leave one →
  1. pakcikli00 permalink
    Julai 26, 2009 12:23 am

    Ular Alir ke ular Air orang kampung dukun asmara cakap ular Air dan ada peribasa ular Air.Ular Air bolen buat ubat demam asmara. Pakcik buat titian disini supaya orang kampung disini mudah datang ke kampung dukun asmara, jangan marah. Titian ini moden pakai suiz macam lif cuma:
    Klik disini> http://pakcikli00.wordpress.com/
    terima kaseh esok pakcik datang lagi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: