Skip to content

Memungut Bekalan sepanjang Ramadhan

Ogos 15, 2009

Aku dapat satu artikel dari Ustaz Rushdan, untuk manfaat ramai aku salin dan buat sedikit editing kepada tulisan beliau seperti berikut;

Seperti yang pernah saya coretkan di sini bahawa hakikat kehidupan ini adalah sebuah perjalanan menuju Allah Yang Menghidupkan dan Yang  Mematikan sesuatu,Yang menjadikan muka bumi dan alam semesta ini  sebagai tempat ujian untuk makhluk bernama Jin dan Manusia. Perjalanan itu pula pada hakikatnya adalah  perjalanan Hati yang sentiasa dipengaruhi oleh dua perunding utama dalam diri manusia iaitu akal dan nafsu…

“Malah perjalanan menuju Allah adalah sebenarnya perjalanan hati…Dan anggota lain sebagai kenderaan… dan kehidupan adalah jalan-jalan yang terpaksa dilalui…” (mengenal diri dan hakikat kehidupan…NasihatKu)

Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja melalui perjalanan ini tanpa sebarang pedoman. Sifat Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya menyebabkan bersama kejadian manusia itu diturunkan bersamanya al Kitab (al Quraan) dan diutuskan para Rasul alaihi solatu was salam bagi membimbing serta menunjukkan jalan yang betul menujuNya.

Firman Allah:

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan. (Ujian)
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi apa yang ada di dalam dada kamu (Hati Kamu), dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.

(Yunus 55-58)

Kelebihan…Disertai Kemuliaan

Allah s.w.t. menjadikan makhlukNya tidak sama antara satu sama lain. Allah melebihkan sesuatu dan mengurangkan sesuatu yang lain. Itulah keindahan ciptaanNya. Antara hikmatnya ialah supaya makhluk ini saling bergantung serta memerlukan antara satu sama lain dan kesemuanya itu berhajat dan bergantung kepada Yang Maha Pencipta. Allah melebihkan dan memuliakan Manusia daripada makhlukNya yang lain, begitu juga Allah telah memuliakan Nabi Muhammad s.a.w. melebihi Nabi-nabi yang lain, Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada hari-hari yang lain. Begitulah Allah telah memuliakan Bulan Ramadhan mengatasi kemuliaan bulan-bulan yang lain.

Setiap yang Allah lebihkan dan muliakan itu memang pada hakikatnya ada kelebihan dan ada kemuliaannya, sama ada pada zat kejadiannya atau pada sebab ia dijadikan. Contohnya manusia, selain daripada kejadiannya yang unik yang menghimpunkan antara sifat Haiwan (sifat yang ada pada binatang yang memerlukan makan, minum seks dan sebagainya, serta fizikal daripada jenis Mamalia sepeti sebahagian haiwan lain.) dan sifat Malaikat yang boleh tunduk dan patuh serta mendekatkan diri kepada Allah (sepeti sifat patuh para malaikat) manusia juga dimuliakan kerana sebab ia dijadikan iaitu untuk menjadi Khalifah bagi memakmurkan muka bumi ini dengan apa yang diredhai Penciptanya.

Ramadhan…Kelebihannya Pada al Quraan

Begitu juga Bulan Ramadhan, Allah memuliakannya kerana padanyalah diturunkan al Quraan. Sebagai Petunjuk  yang telah memberi panduan kepada manusia bagaimana untuk hidup dengan cara yang betul, atau dengan kata lain bagaimana untuk memakmurkan muka bumi ini dengan cara yang betul. Iaitu bagaimana untuk melaksanakan tugas Khalifah di muka bumi ini yang dengan sebabnya manusia dimuliakan dan dilebihkan daripada makhluk yang lain.

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; (al baqarah: 185)

Malah pada malam pertama diturunkan al Quraan daripda Luh Mahfuz diberi fadhilat lebih daripada seribu bulan, dan diulangi setiap tahun sehingga hari Qiamat iaitu malam lailatul Qadar:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Ini semua menunjukkan betapa besarnya erti al Quraan kepada kehidupan ini. Oleh itu bagi seorang Mukmin yang memahami tujuan dan erti hidup ini, tiada tulisan  yang paling suka untuk ditatapinya berbanding al Quraan, tiada kalimah yang sentiasa menarik hati dan mindanya untuk  memahaminya melainkan kalima-kalimah al Quraan dan tiada alunan yang paling suka untuk didengarinya saban hari malah setiap ketika (yang sesuai) melainkan alunan daripada bacaan al Quraan, sehingga terpancar daripada hati kepada lidahnya sebuah doa yang diulang-ulang kepada Tuhannya;

اللهم اجعل القرآن ربيع قلوبنا ونور ابصارنا وجلا ءهمناوطريقنا الذى نمشى عليه

Itulah hakikat mukmin dengan al Quraan dan itulah keadaan dirinya di bulan Ramadhan…

Ramadhan Perhentian Untuk Mencari Bekalan…

Allah telah menyusun kehidupan ini sedemikian rupa yang mana hari silih berganti bulan berlalu menjangkau tahun dan Allah telah juga mengolah agama yang diredhaiNya untuk manusia yang sesuai dengan peredaran masa supaya manusia tidak lupa bahawa dunia ini ada Pencipta dan Penentu perjalanannya dan pada akhirnya semua manusia akan dikembalikan KepadaNya. Bagi mereka yang lupa dan lalai akan menerima balasan sewajarnya, sebaliknya bagi mereka yang peka dan sentiasa mencari bekal yang disediakan akan mendapat habuan yang dijanjikan.

Allah menentukan pada setiap hari itu waqafat (perhentian) supaya mukmin mentajdidkan hubungannya dengan Penciptanya melalui solatnya yang telah ditentukan waktunya, begitu juga pada setiap minggu ada waqfah untuk mukmin berhubung serta menginsafi hal ehwal masyaraktnya melalui solat Jumaat dan seterusnyalah Allah menjadikan sebulan suntuk Bulan Ramadhan pada setiap tahun sebagai suatu waqfah besar kepada hambaNya yang mukmin untuk dia mencari sebanyak mungkin bekalan untuk perjalanan seterusnya.

Bekalan, persediaan latihan melawan nafsu mengekang kemahuan perut daripada makan dan minum serta mengekang kemahuan faraj daripda seks yang biasanya dihalalkan disiang hari untuk menguatkan hatinya bahawa Syariat Tuhan mesti didahulukan mengatasi kemahuan syahwat. Bekalan, menguatkan hubungan dengan Penciptanya dengan Qiam di malam dan dini hari serta berdoa dan bertaubat kepada yang Maha Pengampun lagi Mengasihani. Bekalan, menajamkan minda dan matahatinya dengan tilawah dan tadarrus al Quraan sebagai perisai diperjalanan dan untuk pertarungan yang akan datang. Bekalan, menginsafi bahawa perjalanannya yang sebenarnya adalah menuju Akhirat dan di sanalah kehidupan hakiki dan abadinya dengan memutuskan buat seketika kesibukan dunia fatamorgana ini dengan beriktikaf sepuluh hari terakhir Ramadahan. Bekalan, membentuk akhlak jiwa pemurah dan sifat rahmatnya kepada makhluk Allah serta melawan sifat ananiyyah (individulistik) dan bakhilnya dengan bersedekah dan Zakat.

Inilah satu WAQFAH BESAR untuk mencari bekalan yang Allah sediakan bagi mereka, bagi yang mengerti tentang hakikat kehidupan ini dan ke mana penghabisannya…

Dan itulah hakikat dan keadaan seorang Mukmin di bulan Ramadhan yang tentunya  berbeza dari yang lainnya dan daripada masa-masa yang lain…

“Dan carilah bekalan oleh kamu, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah Taqwa…”

Itulah bekalan yang perlu dipungut sepanjang bulan Ramadhan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, InsyaAllah… Sekian TK

One Comment leave one →
  1. shafifah permalink
    Ogos 17, 2009 12:23 pm

    Jadual Tafaqquh Fid Din Sepanjang Ramadhan 2009

    Klik :

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: