Skip to content

Kenangan 4

Ogos 19, 2009

Dulu aku cerita tentang harimau, kerbau dan ular. Kali ini aku cerita tentang kambing pula. Semasa aku darjah empat, keluarga aku memelihara kambing. Ketika itu kami sudah tidak memelihara kerbau. Ayah mengemukakan pendapatnya tentang pemeliharaan kambing kepada abang ipar aku. Abang ipar aku ini seorang guru. Dia mengajar di SK Kechor Tui sebagai Guru Besar. Guru Besar sekolah kurang murid.

Suatu hari abang ipar dan kakak aku balik dari Kechor Tui membawa bersama sepasang kambing. Seekor jantan dan seekor betina. Sebelum itu ayah sudah menyediakan reban kambing bertiang tinggi. Reban kambing itu bersaiz 12 kaki X 15 kaki. Beratap pedur (bertam) yang dianyam serta dindingnya dibuat daripada buluh yang dianyam siku keluang.  Reban itu dibuat dibelakang rumah kami. Ayah tarah kayu bulat untuk buat tangga kambing. Kiri dan kanan tangga itu ada pagar untuk menggelakkan kambing jatuh.

Bermula dari hari itu aku sudah ada kerja baru, iaitu menjadi gembala kambing. Hujung minggu aku akan melepaskan kambing pukul 10.00 pagi dan merebankan kambing (memasukkan kambing kedalam reban) pada pukul 6.00 petang. Hari sekolah kerja aku hanya merebankan kambing sahaja. Kambing akan dilepas dari kandangnya oleh ayah atau emak aku.

Selang beberapa minggu, abang ipar aku membawa balik seekor lagi kambing betina. Oleh itu kami ada dua ekor kambing betina dan seekor kambing jantan. Tak sampai lima bulan kedua-dua kambing betina itu sudah beranak. Apa yang menggembirakan ialah setiap ibu kambing beranak dua ekor. Oleh itu sudah ada tujuh ekor kambing semuanya.

Beberapa pengalaman memelihara kambing ini wajar saya kongsi dengan pembaca budiman. Pertama, bukan mudah hendak mengiring gerombolan kambing ini dari rebannya dibelakang rumah ke tempat ragutannya iaitu diseberang rumah, dalam kebun getah. Kalau kepala jalan ialah kambing betina (ibu kambing) perjalanan akan mudah tetapi perlahan kerana ibu kambing nak ambil kisah tentang anak-anaknya dibelakang dan akibatnya kambing jantan yang gatal akan mendeket ibu kambing dari belakang. Kecoh jadinya. Sekiranya kepala jalan ialah kambing jantan maka perjalanan selalunya melencong-lencong. Sijantan akan menunggu mangsanya sepanjang jalan.

Kedua, sangat sukar untuk membolehkan kambing-kambing ini keluar reban secara seekor demi seekor. Biasanya kalau pintu reban dibuka pukul 10.00 pagi, semua kambing ini akan cuba berterak-terak (berasak-asak) keluar. Kalau murid sekolah nak keluar kelas tidak berbaris atau orang keluar bas tidak berbaris maka bolehlah dikatakan mereka itu mempunyai perangai seperti kambing keluar reban. Maksudnya kumpulan manusia yang tiada disiplin ketika memasuki atau keluar dari sesuatu tempat.

Ketiga,  kalau kambing itu tak balik ke rebannya pukul 5.30 petang, alamatlah aku terpaksa pergi mencarinya. Keadaan ini jarang berlaku kecuali kalau hari hujan. Waktu hujan kambing akan berteduh dimana-mana ada pokok besar. Oleh itu perjalanan pulang akan tergendala. Seperti kambing takutkan hujan. Itu peribahasa yang bermaksud orang beramai-ramai berteduh dibawah sesuatu tempat kerana hujan seperti dibawah jejatas di lebuhraya waktu hujan.

Keempat, setelah kambing direban, setelah pintu reban ditutup, satu kerja yang mesti dilakukan ialah membuat unggu api di bawah reban, untuk mengelakkan kambing kembung terutama musim hujan. Pengalaman yang tak akan aku lupa ialah kena siram dengan air kencing kambing waktu menghidupkan unggun api. Selepas kena siram aku akan terjun dengan segala pakaian dibadan kedalam gedung. Mandi cepat-cepat kalau tidak bau kambing akan dibawa sampai malam. Tidur pun bau kambing, esok ke sekolah juga bau kambing.

Kelima, bermain dengan anak-anak kambing memang mengasyikkan. Anak-anak kambing ini suka melompat-lompat dari tempat tinggi.  Selalunya aku akan cari lesung yang tertelungkup. Letak lesung itu disuatu tempat dan iring anak-anak kambing itu agar bermain lompat lesung. Selepas itu anak-anak kambing yang comel itu aku dukung seekor atau dua ekor sekali. Itulah satu bentuk hiburan yang mungkin tak dapat dinikmati oleh anak-anak  masa kini. 

Sememangnya menggembala kambing melatih kesabaran.  Para nabi seperti Rasulullah SAW, dididik kesabaran dirinya menjadi gembala kambing.  Begitu juga Nabi Musa as dan beberapa nabi yang lain, mereka dilatih oleh Allah SWT untuk menjadi insan yang sabar dengan menjadi penggebala kambing.  Oleh itu memelihara kambing adalah satu sunnah Rasulullah SAW. Disamping itu produk dari kambing ini sangat banyak khasiat, seperti susu dan dagingnya.

Semoga kenangan ini dapat menambahkan kesabaran kepada penulis dan juga pembaca. Selamat menyambut kedatangan Ramadhan al Mubarak. Sekian TK

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: