Skip to content

Kenangan 7

September 4, 2009

Ikan akan mengawan apabila terdapat air baru. Itulah fakta yang aku pelajari ketika mengambil kursus Aquaculture 2 anjuran Fakulti Perikanan UPM (1985) dahulu.  Aku mengambil mata pelajaran ini sebagai mata pelajaran pilihan ketika membuat Bacelor Sains Kepujian (pengkhususan Biologi) di UPM. Pensyarahnya ialah Prof. Dr. Ang Kok Ji. Maka dengan fakta ini terjawablah satu persoalan yang sentiasa bermain dikepala aku mengapa ikan akan naik lek (mengawan) selepas hujan. Apabila air “besar” akibat hujan, akan ada ikan naik lek di dalam gedong di hadapan rumah aku. Hujan menghasilkan air baru di sesuatu tekungan air atau sungai. Air baru merangsang hormon ikan untuk mengawan dihasilkan. Masa itu aku akan guna jeramak untuk memedap ikan yang naik lek itu. Diketika yang sama lukah dan temilo akan ditahan dimana-mana yang sesuai untuk menangkap ikan-ikan yang sedang syok mengawan itu. Apabila ikan itu dibelah akan terdapat ikan yang ada telur (betina) dan ikan yang ada susu (jantan). Aku masih ingat Prof. Dr. Ang kata kalau nak kenal ikan jantan atau betina raba pipi ikan itu. Jika pipinya licin ikan itu betina, jika pipi ikan itu kesat atau kasar ikan itu jantan. Satu lagi fakta yang mulanya kami satu kelas gelak ketawa tetapi benar apabila dibuktikan.

Tulisan aku kali ini nak ceritakan bagaimana orang kampung aku mengambil kesempatan ketika ikan naik lek untuk mendapatkan banyak tangkapan ikan. Beberapa batu ke dalam hutan tak jauh dari rumah aku terdapat satu sungai namanya Sungai Ular. Sungai ini muaranya ialah di Empang Jalih. Bila hari hujan air Sungai Ular ini akan naik dan ikan dari Empang Jalih akan mudik kehulu sambil mengawan.

Ayah aku bersama-sama Abang Long (abang ipar aku) serta orang-orang yang lain membuat belat merentangi Sungai Ular. Pertama, tunggul penyokong belat (pangga) dibuat merentasi sungai yang lebarnya antara lapan ke sepuluh depa. Kedua, sebelum itu belat mesti dibuat. Belat dibuat dengan menggunakan buluh yang diraut serta disirat menggunakan rotan. Tinggi belat mesti melepasi tunggul penyokong (pangga) sekurang-kurangnya dua kaki dan dibahagian bawah belat mesti tertanam didasar atau perut sungai. Kita boleh meniti di atas pangga itu. Ketiga, belat hanya akan dipasang apabila air sungai mula surut. Keempat, tidak jauh dari belat itu dibina sapa (pondok) tempat rehat, tidur dan memasak. Kelima, tepat ini hanya dikunjungi apabila ada hujan turun dan air sungai naik.

Bagaimana ayah tahu air Sungai Ular naik? Apabila hujan turun di kampung aku, ayah akan memerhati pokok hujan diarah Sungai Ular. Kalau pokok hujan banyak kelihatan di arah Sungai Ular, ayah akan melihat pula air dalam gedong di hadapan rumah kami. Kalau air dalam gedong melimpahi batas ini bererti air Sungai Ular juga akan naik. Oleh itu ayah membuat inferens tentang air Sungai Ular ini naik atau tidak berdasarkan pengalaman beliau. Biasanya ayah akan bersiap dengan bekalan nasi yang dibungkus dengan daun pisang, sedikit ikan kering goreng, garam, kunyit serta sayur kangkong dan ada kalanya ayah membawa beras satu atau dua pot.

Kalau kena hujung minggu aku akan ikut sama pergi ke belat di Sungai Ular. Aku pernah pergi beberapa kali mengikut ayah. Antara pengalaman yang aku tak akan lupa ialah melihat ikan sebarau yang panjangnya lebih sekaki (lebih kurang 40 cm) melompat melepasi belat ke belah hilir dan mendengar bunyi ikan lambak mudik dalam kumpulan serta membantu ayah memungut ikan dari jalanya di Lubuk Batu Geragau.

Dari pengalaman melihat ikan sebarau melompat belat, ayah menyuruh aku membawa jala buruk yang tiada rantai ketika aku mengikut beliau kali berikutnya. Jala buruk itu dibentang di sebelah hilir belat. Beberapa jala buruk dan jaring dibentang di bahagian hilir belat sepanjang pangga belat itu. Apabila ikan sebarau melompat belat, tersadailah dia di atas jala dan jaring yang dibentang tadi. Aku ditugaskan oleh ayah menjaga tempat ini. Aku masih ingat lagi pada satu kali aku dapat menggumpulkan sembilan ekor ikan sebarau yang besar.

Ada satu pengalaman yang aku masih ingat. Apabila ikan lambak (sejenis ikan yang banyak tulang dan banyak darah tetapi sedap kalau dimasak lemak atau dibuat perkasam) mudik ke hulu, dia bergerak dalam kumpulan dan mengeluarkan bunyi seperti bunyi tayar kereta diberek. Keadaan ini berlaku ketika air sungai sedang naik. Apabila air mula surut ikan-ikan ini akan menghilir semula. Masa inilah belat akan dijatuhkan. Ayah dan rakan-rakannya akan mempastikan seluruh sungai itu akan dipagar oleh belat. Ikan-ikan ini tidak boleh menghilir balik ke Empang Jalih. Apabila air Sungai Ular surut ikan akan tersekat dibeberapa belat sepanjang sungai itu. Belat ayah dan rakan-rakannya ialah yang paling hilir sekali.

Di antara belat ayah dan belat disebelah hulunya terdapat beberapa lubuk. Salah satu dinamakan Lubuk Batu Geragau (kerana didasar lubuk ini ada batu-batu tajam). Hanya ayah sahaja yang berani menjala di lubuk ini. Biasanya ikan banyak disini. Selain menjaga jaring dan jala dibelat tugas aku ialah membantu ayah mengumpulkan ikan yang dia jala. Aku membantu ayah mengeluarkan ikan dari jala dan memasukkan kedalam bekas yang diletakkan semula kedalam air. Ikan tidak akan mati cepat.       

Kalau didapati banyak ikan tersekat dibelat, ayah akan menghantar utusan ke kampung untuk mengajak orang kampung mencari ikan. Maka orang kampung akan datang dengan perkakasan menangkap ikan.  Ada yang membawa jala, jeramak, candik, sesauk, sibam, lukah, temilo dan lain-lain lagi. Berlakulah pesta menangkap ikan disungai yang sudah cetek airnya.  Selain ikan lambak dan ikan sebarau, ikan lampam, ikan kemperas dan lain-lain ikan bertulang bersisik juga banyak didapati semasa mencari ikan dalam belat ini.

Suasana seperti ini aku rasa sudah tiada lagi kerana hutan sekitar Empang Jalih sudah tiada lagi. Hutan ditebang untuk membina padang golf. Orang-orang yang pandai membuat belat juga sudah tiada. Penduduk kampong Relong, Berang, Bapong dan Ulu Teris yang ada sekarang sudah tiada lagi yang pandai membuat belat dan hutan sekitar Sungai Ular juga sudah tiada. Mungkin inilah kesan pembangunan. Oleh itu tulisan ini betul-betul mengimbau kenangan kepada anak muda generasi masa ini.

Selamat berusaha mencari malam lailatul Qadar dan menjalani puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Sekian TK.

2 Komen leave one →
  1. Amir permalink
    September 11, 2009 12:23 pm

    Assalamualaikum Pa andak.
    Kome amat tertarik dengan cerita menangkap ikan (berikan) di sungai ular. Kome pun pernah jugek pegi masa tu. Sambil-sambil tu kalau musim salak nangka bawaklah balik sekali. Cuma sekarang ni, agaknyalah bebudak yang dikampung tu reti lagi ke buat temilo, sibang, tuwar, lukah.. sebabbnya tempat nak guna alat berkenaan dan tak ada atau kurang. Kalau kenangkan masa dulu, di kampung seronok sangat. Musim padi, tiup seruling batang padi, berderau, terawih di surau. macam mana ye, kita nak kembalikan ‘keseronokan’ itu untuk dinikmati semula oleh kita dan generasi kita. Kome dah lama merantau, nasib baiklah masih ingat lagi jalan nak ke lepih, ke berang.. Kekadang sebut nak pegi ke lepih, bukan balik ke lepih..

  2. November 20, 2010 4:39 pm

    kelakar giler citer kat atas tu… best2… giler2 tapi fakta benar..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: