Skip to content

Berceramah Lagi

Oktober 4, 2009

Aku, isteriku, anak ketiga dan isterinya memulakan redahan pagi dari rumahku ke Kuaters Institusi Pendidikan (KIP) Jalan Sungai Pusu, Gombak Selangor. Kami bergerak bermula jam 4.00 pagi Jumaat dan sampai dirumah anak kedua aku di KIP Jalan Sungai Pusu jam 6.10 pagi. Jam 7.00 pagi aku bersama anak keduaku (seorang guru BI) ke SMK Seri Gombak. Aku pergi ke SMK Seri Gombak untuk memenuhi undangan berceramah kepada murid tingkatan lima sekolah berkenaan. Biasalah setiap hujung tahun  aku selalu berceramah dibanyak sekolah baik di Pahang atau di negeri lain.

Aku hanya nak cerita sedikit tentang respons murid-murid yang mendengar ceramah aku bermula 8.00 pagi sehingga 10.30 pagi. Samalah dengan murid-murid di sekolah lain, murid yang mendengar ceramah itu sekurang-kurangnya tiga kumpulan. Kumpulan pertama ialah kumpulan yang duduk dibahagian depan, paling dekat dengan penceramah. Kumpulan ini adalah kumpulan yang menerima kunjungan penceramah dengan penuh harapan. Mereka mendengar apa yang diceramahkan, memberi respons kalau ditanya. Interaksi dengan mereka sangat menyeronokkan. Rasanya berbaloi datang dari jauh. Mereka ada harapan untuk memungut kelebihan dan kelainan yang disampaikan oleh penceramah. Insya Allah golongan ini boleh menempa kejayaan.

 Kumpulan kedua ialah kumpulan yang ingin bersama tetapi tak kesampaian penerimaan mungkin tak seberapa, kurang bersedia, kurang kefahaman atau tidak termotivasi. Kumpulan ini perlu diberikan penjelasan dan motivasi sebelum ke bilik ceramah. Kalau boleh ajar mereka cara untuk bertanya dan bahan yang hendak ditanya kepada penceramah. Berikan juga peringatan tentang apa yang perlu mereka dapati dari penceramah. Kalau ini boleh dibuat, maka kehadiran mereka ke tempat ceramah akan memberi makna dan menyemarakkan kejayaan.

Kumpulan ketiga ialah kumpulan yang duduk dalam majlis ceramah ibarat tikus melihat besi atau seperti kata pepatah sepuluh jong masuk anjing tetap bercawat ekor juga. Indikator bagi kumpulan ini ialah mereka resah gelisah sepanjang berada di majlis ceramah. Ada yang buat kumpulan perbincangan sendiri, ada yang meminta izin keluar hendak ke tandas, ada yang badan sahaja berada dalam majlis tetapi pemikiran, hati dan perasaan entah kemana berkelana tanpa tumpuan. Mereka ini anak-anak yang datang kesekolah tak tahu tujuan. Mereka kurang atau tiada kesedaran dan tidak ada tujuan hidup yang jelas. Tidak ada atau tidak jelas apa yang hendak dicapai. Sebenarnya kalau para pendidik dapat mengubati masalah kumpulan ini, sebahagian besar masalah disiplin sekolah akan selesai. Sesebuah sekolah yang dapat menyelesaikan masalah disiplin muridnya adalah sebuah sekolah yang berpotensi besar untuk memperolehi kecemerlangan dalam apa-apa bidang yang ada di sekolah tersebut.

Kesempatan aku ke SMK Seri Gombak menemukan aku dengan seorang rakan lama yang sama-sama berkerja membina bahan pentaksiran anjuran Lembaga Peperiksaan Malaysia. Setiap kali ada mesyuarat pembinaan instrumen pentaksiran kami selalu bertemu, memeriahkan perkenalan dan silaturrahim. Walau pun aku sudah bersara dan beliau sudah berjawatan besar di sekolah tersebut tetapi perkongsian ilmu pentaksiran tetap diteruskan. Insya Allah aku sanggup membantu dan berkongsi ilmu pengetahuan yang ada dalam ingatan aku. Aku membuat tawaran kepada mereka untuk perkongsian ilmu dan pengalaman. Oleh itu kalau ada kesempatan aku akan berceramah lagi.

Selepas solat Jumaat di masjid UIAM aku dan keluarga pergi berhari raya sambil menziarahi mertua aku yang tinggal bersama adik ipar aku di Kampung Melayu Subang Tambahan. Aku dan isteri membawa keluarga anak sulung aku yang tinggal di Kuala Kubu, keluarga anak keduaku yang tinggal di KIP Jalan Sungai Pusu, Gombak dan keluarga anak ketiga ku yang bercuti hari raya untuk bertemu nenek mereka. Malamnya kami ke Taman Perumahan Bukit Mulia, Ampang berhari raya ke rumah anak saudara isteriku dan semalam hari Sabtu, sebelah pagi kami singgah di Bandar Baru Bangi ke rumah anak saudara isteriku sebelum ke KLIA menghantar anak ketigaku suami isteri untuk mengambil penerbangan ke Belfast.

Minggu hadapan aku akan mengajar semula di dua buah sekolah, membantu menyediakan calon SPM mereka bagi mata pelajaran Sains SPM dan Biologi SPM. Ini bukan berceramah tetapi mengajar. Menggantikan guru sekolah berkenaan kerana cuti bersalin. Sekali GURU SELAMANYA GURU, itulah aku. Sekian TK.

Advertisements
No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: