Skip to content

Bahagia

Oktober 19, 2009

Bahagia merupakan sesuatu yang sangat didambakan oleh setiap insan. Permohonan kepada Allah SWT untuk memperoleh bahagia dibuat setiap kali kita memanjatkan doa kepada Rabul Jalil. 

Ya Allah kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat serta jauhkan kami dari api neraka.

Apakah tanda-tanda kebahagiaan yang boleh dilihat bagi seseorang dalam kehidupannya? Bagi kita yang beragama Islam yang sentiasa menyakini kata-kata Rasulullah SAW, kita boleh meniliti hadith-hadith Baginda. Antaranya adalah hadith dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya;

Empat perkara yang menandakan kebahagiaan; Wanita yang solihah, tempat tinggal yang luas, jiran yang solih dan kenderaan yang menyenangkan manakala empat perkara yang menandakan derita; Jiran yang jahat, wanita yang jahat, kenderaan yang tidak selesa dan tempat tinggal yang sempit.

Seseorang lelaki yang mempunyai isteri solehah atau seorang perempuan yang mempunyai suami yang soleh, mereka mempunyai rumah yang selesa untuk didiami, mempunyai jiran yang baik untuk berinteraksi dalam kehidupan seharian dan mempunyai kenderaan yang selesa untuk digunakan diperjalanan dan tidak berlaku masalah atau kerosakan ketika dalam perjalanan adalah orang yang bahagia dalam hidupnya. Inilah definisi bahagia menurut pandangan sunnah Rasulullah SAW.

Terdapat satu hadith lagi tentang bahagia ini seperti yang terdapat dalam kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan kepada mereka yang lupa), menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya;

Empat perkara sebagai syarat kebahagiaan bagi seseorang iaitu; Isteri solehah, dan anak-anak yang taat, dan kawan-kawannya adalah orang-orang solih serta penghasilan rezekinya di dalam negerinya.

Dari dua hadith tentang bahagia ini kita boleh nyatakan bahawa bahagia bagi seseorang itu ialah mempunyai pasangan hidup yang solih, mempunyai anak-anak yang taat, mempunyai rakan dan taulan orang yang solih, mempunyai rumah yang selesa, mempunyai kenderaan yang selesa yang tidak mendatangkan masalah ketika dalam perjalanan, mempunyai jiran yang baik serta mempunyai punca rezeki bagi dirinya dari dalam negerinya sendiri.

Oleh itu tidak semestinya seseorang yang bahagia itu mempunyai harta yang menimbun atau kenderaan (kereta) yang banyak atau mahligai yang berpuluh bilik atau mesti mempunyai koperat yang bersifat multinasional.

Syarat utama ialah mempunyai pasangan yang solih. Insan yang beriman, beramal dan bertakwa sebagai syarat pendampin yang utama. Insan yang dapat menghampirkan diri kepada ketaatan kepada Allah SWT. Insan yang mempunyai zuriat atau anak-anak yang bersifat qurrata’ayuni atau yang menjadikan sejuk mata memandang. Anak-anak tidak bersifat seperti Si Tanggang yang tidak mengingati jasa-jasa ayah bonda atau anak yang mempunyai sifat seperti Al Qomah.

Si Tanggang adalah citra seorang insan dalam cerita Melayu lama. Contoh anak yang mendapat kekayaan dan status sosial setelah meninggalkan kampung halaman. Anak yang tidak mengaku seorang ibu yang miskin dan susah kerana malu kepada isterinya yang berstatus mulia dimata manusia tetapi  bukan mulia disisi Allah SWT. Akibat dari doa ibu yang pernah menyusukannya maka dia ditakdirkan menjadi batu. Bukan dia sahaja yang menjadi batu tetapi seluruh kehebatan dunia yang dipunyainya menjadi batu. Walau pun kaya tetapi tidak bahagia. Walau ada isteri yang berstatus sosial yang hebat tetapi dia tidak bahagia ketika di dunia.

Al Qomah  pula ialah seorang lelaki yang hidup di zaman Rasulullah SAW. Al Qomah lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya. Walau pun Al Qomah taat beribadat serta banyak bersedekah tetapi kerana dia lebih mengutamakan isterinya menyebabkan ibunya terasa hati kepada perbuatannya. Sehingga dia tidak mampu mengucapkan syahadah ketika hendak menghembuskan nafas terakhir. (Untuk cerita Al Qomah ini – boleh rujuk buku Tanbihul Ghafilin dibawah tajuk Bab Hak Kedua Orang Tua)

Oleh itu satu lagi punca kebahagian ialah mentaati kedua ibu bapa terutamanya ibu. Untuk tujuan itu seseorang anak berkewajipan mendoakan kedua-duanya baik semasa hidup atau sehingga matinya. Selain itu kawan dan taulan juga perlu diperhatikan. Untuk mendapat kebahagian rakan taulan juga hendaklah terdiri dari insan-insan yang soleh dan berilmu pengetahuan agama yang baik. Itulah sebabnya kita disarankan untuk bergaul dengan para alim ulamak yang mampu membimbing kita menelusuri kehidupan harian kita. Agar mereka dapat menegur laku dan bicara kita yang terlanjur dari garis kehendak agama. Memandu kita agar tidak melampaui batasan kehendak hukum Allah SWT.

Semoga catatan ringkas ini dapat menjadi bahan berfikir dan panduan untuk kita berusaha bagi mendapat kebahagian di dunia, kesejahteraan di akhirat dan menjauhkan kita dari siksa api neraka. Sekian TK.

One Comment leave one →
  1. Oktober 22, 2009 2:09 pm

    Bagimana mendidik anak supaya menjadi anak yang sejuk mata memandang, mendengar kata…
    Anak saya masih kecil.. 6, 4 dan 1 thn lebih…
    yang sulung dan kedua suka bergaduh… apa peranan saya untuk meleraikan.. adakah ini perangai sebenar yg akan dibawa ke besar atau masih boleh dicorakkan lagi..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: