Skip to content

Kenangan 10

Oktober 23, 2009

Melalui tulisan ini aku menamatkan catatan kenangan semasa di sekolah rendah dahulu. Aku bersekolah di Sekolah Umum Relong yang kemudiannya ditukar namanya menjadi Sekolah Kebangsaan Relong dari tahun 1960 sehingga 1965, selama enam tahun. Kalau tak silap ingatan, darjah enam tahun 1965 ada 26 orang murid yang datang dari empat kampung yang berhampiran, iaitu Kampung Relong, Kampung Berang, Kampung Bapong dan Kampung Ulu Teris. Melalui enteri ini aku nak nukilkan kenangan bagaimana aku yang bersekolah di sekolah rendah di kampung tiba-tiba bertukar aliran pengantar dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.

Ayah aku inginkan aku memasuki sekolah Arab. Ketika itu memang ada sekolah Arab di kampung aku. Aku pula tidak berapa berminat untuk belajar di sekolah Arab Relong yang terletak di Ceruk Membebek, dilaluan perjalanan dari Kampung Relong ke Kampung Berang. Kampung Berang ialah kampung aku. Pada tahun 1965, terdapat sembilan orang murid darjah enam dari Kampung Berang, empat lelaki iaitu, Medan, Manan, Ali dan aku manakala lima lagi perempuan iaitu, Menah, Minah, Mendek, Timah dan Saba.

Hujung tahun 1963, Menteri Pelajaran ketika itu, YB Khair Johari telah mengistiharkan bentuk sekolah aliran Melayu yang dipanggil Sekolah Menengah Anika Jurusan. Sebelum itu memang sudah ada Darjah Menengah Melayu (DMM). DMM adalah kelas di Sekolah Menengah Inggeris yang menjalankan pengajaran dalam Bahasa Melayu. Oleh itu Sekolah Menengah Anika Jurusan adalah sekolah menengah yang menggunakan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu.  Hanya awal tahun 1965 barulah Sekolah Menengah Aliran Melayu sepenuhnya beroperasi yang namanya sudah ditukar menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan. Di Daerah Lipis terdapat tiga buah sekolah jenis ini itu SM Rendah Padang Tengku, SM Rendah Bandar Lipis dan SM Rendah Budu.

Apabila pendaftaran untuk masuk ke SM Rendah dibuat aku memasukkan nama aku untuk menyambung pelajaran ke SM Rendah Bandar Lipis.  Aku hanya mengharapkan aku dapat belajar di sekolah menengah yang menggunakan bahasa pengatarnya Bahasa Melayu. Aku telah menyatakan hasrat aku itu kepada ayah aku. Ayah kelihatan tidak ceria. Dia berharap aku boleh jadi ustaz, jadi orang yang pandai dalam bidang agama. Hasrat ayah aku pegang dan kini sebenarnya aku tunaikan. Ayah sempat melihat kecenderungan dan minat aku terhadap pengajian agama dan kemampuan aku berbicara tentang Islam.

Dalam pada itu timbul satu cadangan dari pihak sekolah untuk menghantar nama aku dan seorang sahabat aku ke sekolah aliran Inggeris. Pada mulanya aku buat tak endah sahaja akan cadangan dan tawaran itu. Sehinggalah abang aku memaklumkan hal itu kepada ayah. Abang aku mendapat maklumat dari Guru Penolong Kanan SK Relong, Cikgu Abdullah Idin berkenaan tawaran ke sekolah Inggeris itu dan setakat itu aku atau pihak keluargaku belum lagi memberikan kata putus sama ada aku nak masuk ke sekolah Inggeris atau tidak. Aku tidak memaklumkan hal itu kepada ayah kerana aku tahu ayah pasti tak setuju dengan tawaran itu.

Atas pandangan dari abang, abang ipar serta kakak, akhirnya ayah setuju menerima tawaran untuk aku memasuki sekolah menengah rendah aliran Inggeris. Ayah sendiri yang datang menemui Guru Besar Sekolah Relong ketika itu Cikgu Mohd Noor Abdul Karim untuk menyatakan penerimaan tawaran ke sekolah inggeris itu . Di Kuala Lipis ketika itu terdapat dua sekolah aliran Inggeris iaitu SM Clifford dan Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan Lipis. Bermula tahun 1966 SMK Clifford tidak mengambil murid untuk tingkatan satu atau Remove Class (RC). SM Clifford hanya menjadi sekolah menengah atas sahaja mengambil murid tingkatan empat dikalangan yang lulus LCE dan SRP sahaja. Oleh itu aku akan masuk ke sekolah menengah rendah yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris melalui Darjah Peralihan atau Remove Class (RC).

Bulan Disember 1965 aku menamatkan pengajian aku di Sekolah Rendah Kebangsaan Relong dan menyambung pengajian melalui Remove Class di Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan Kuala Lipis. Sekian TK.

One Comment leave one →
  1. sarul permalink
    Februari 12, 2013 2:24 am

    Cikgu yg tuan sebutkan dh meninggal 20.1.2012

    En Sarul, kalau yang awak maksudkan itu ialah Cikgu Abdullah Idin, saya sememangnya tahu hal itu dan saya adalah diantara orang yang awal pergi kerumah beliau setelah mengetahui berita kematiannnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: