Lompat ke isi kandungan

Susah Jaga Anak

Januari 6, 2010

Ada beberapa kes yang berlaku semasa aku jadi warden asrama dimana ibubapa atau penjaga datang meminta anak mereka dimasukkan ke asrama kerana mereka tak sanggup menjaga anak mereka. Biasanya anak mereka tak layak duduk di asrama kerana ada syarat yang tidak dipenuhi. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1990 dahulu. Waktu itu aku jadi Ketua Waden Asrama.

Lazimnya semua murid yang memasuki tingkatan satu dari kampung-kampung yang jauh dari sekolah akan diberi keutamaan. Oleh itu kes ini tidak berlaku kepada murid tingkatan satu yang baru masuk ke sekolah menengah. Murid tingkatan lima dan tiga juga diberikan keutamaan kerana mereka nak ambil SPM dan PMR, malah ada murid yang dipujuk masuk ke asrama supaya memudahkan mereka menghadiri kelas tambahan waktu malam. Kes begini benar bagi mereka yang ada potensi untuk mendapat banyak A atau bagi calon SPM ketika itu ialah berpotensi untuk mendapat Pangkat Satu. 

Salah satu syarat yang mesti dipatuhi dikalangan murid tingkatan dua ialah mereka perlu mendapat 45% ke atas dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan satu tahun sebelumnya. Bagi mereka yang menghuni asrama sekiranya peratus pencapaian setengah tahun adalah rendah dari 45% maka mereka akan diberi peringatan agar berusaha memperolehi 45% ke atas. Peluang selama tiga atau empat bulan sebelum peperiksaan akhir tahun hendaklah digunakan sepenuhnya. Kalau tidak mereka terpaksa dibuang dari asrama. Mengikut pengalaman dan pemerhatian yang aku buat didapati ramai murid akan berusaha bersungguh untuk mencapai kehendak ini. Memanglah diakui bahawa murid-murid ini apabila dipaksa, diugut dan diberikan peringatan mereka akan mengambil perhatian dan berusaha. Oleh itu kaedah ini boleh diguna untuk meningkatkan kesungguhan anak-anak kita belajar. Seterusnya meningkatkan pencapaian asrama dan sekolah.

Ada ibubapa atau penjaga yang datang bertemu dengan aku meminta anaknya dimasukkan ke asrama. Selalunya aku akan tanya mereka, apakah tujuan nak masukkan anak mereka ke asrama? Kalau kerana susah perhubungan antara rumah ke sekolah, kerana terpaksa naik keretapi jam lima pagi dan balik dengan keretapi sampai kerumah sembilan malam, kerana rumah jauh dari jalanraya atau kerana kawan sekampung dah masuk asrama, biasanya pertimbangan akan dibuat setelah berbincang dengan penyelia asrama.

Terdapat empat lima kes dimana bapa kepada anak itu mengatakan bahawa susah nak jaga anak mereka. Anak mereka nakal tak dapat dikawal. Sangat tidak logik seorang bapa tak boleh jaga anak mereka. Anak yang semenjak dari tapak kakinya selebar dua jari dididik, diasuh sehingga besar dibawah pemerhatian, dibawah kawalan, dibawah seliaan seorang bergelar ayah menjadikan seorang ayah hilang daya pengawalan terhadap anaknya itu.

Menggunakan kaedah perbandingan untuk memantapkan hujah, aku akan bertanya berapakah jumlah anaknya. Lima orang, enam atau tujuh orang atau lebih tetapi tak lebih dari sepuluh orang. Kalau seramai itu sibapa sudah tak terjaga, maka kami warden asrama lagi tak boleh jaga memandangkan kadar seorang warden perlu menjaga 50 orang penghuni. Kalau asrama ada 300 penghuni, bererti hanya enam orang warden sahaja. Oleh itu permohonan yang menggunakan sebab begini akan ditolak pada ketika itu juga. “Mohon maaflah kami tak mampu jaga anak tuan, kerana tuan yang ada anak empat atau lima orang tak sanggup jaga anak sendiri, kemudian nak suruh kami pula jaga.  Sedangkan kami terpaksa jaga 50 orang penghuni asrama serta anak kami sendiri empat lima orang.” 

Keadaan ini bukan berlaku di asrama sahaja. Ramai ibubapa yang tak suka cuti sekolah kerena mereka terpaksa jaga anak sendiri. Biasanya mereka meminta pihak sekolah mengadakan program untuk anak mereka waktu musim cuti. Kalau cuti pertengahan penggal atau pertengahan tahun tu mungkin ada logiknya, tetapi mereka minta sekolah buat program musim cuti akhir tahun. Itu yang peliknya. Ini semua gara-gara susah jaga anak sendiri. Pandai buat anak sahaja tetapi tak pandai jaga.

Dr Abdullah Nasih Ulwan, Professor Pengajian Islam, Universiti Al-Malik Abdul Aziz, Jeddah dalam bukunya “Pendidikan anak-anak dalam Islam” menyarankan cara-cara pendidikan berkesan kepada anak melalui lima pendekatan iaitu, [1] Pendidikan dengan menunjukkan contoh dan tauladan. [2] Pendidikan dengan adat kebiasaan.  [3] Pendidikan dengan nasihat dan bimbingan.  [4] Pendidikan dengan pemerhatian dan pengawasan.  [5] Pendidikan dengan denda dan hukuman.

Oleh itu kepada semua ibu-ibu, bapa-bapa dan penjaga, amalkan cara-cara ini kepada anak-anak sendiri. Kalau tak faham tanyalah mereka yang mengetahui perinciannya. Insya Allah akan berjaya. Sekian TK.

3 Komen leave one →
  1. Januari 7, 2010 5:26 pm

    Salam..

    sebab tu la kot ada sesetengah mak bapak suruh lanjutkan masa kerja cikgu..

    nak suruh jaga anak..

    Tuan Haji, macam mana ye nak mengajar sains kepada kelas2 yg kebanyakannya dapat D sains PMR spt dlm post terbaru saya..

    ada tak rujukannya kat sini?

    Sebenarnya standard soalan untuk mata pelajaran Sains SPM itu memang sesuai untuk mereka yang dapat D dan E dalam PMR. Boleh tanya rakan saya yang jadi guru di SMK Jalan Teluk Gong, Klang…

    • Januari 8, 2010 10:10 pm

      dia GC jugak ye??

      Kawan saya ni bukan GC tetapi orang kuat Sains SPM yang berkaitan dengan format peperiksaan. Tanyalah Pn Cik Ruziah (KP’s awak tu), dia pasti kenal…

  2. April 22, 2010 1:22 pm

    salam,
    dulu saya mmg hadapi masalah pembelajaran anak2 trutama ank saya yg pertama
    alhamdulillah saya ‘bertemu’ mindatifplus
    Allah dh berjanji akn ada ganjaran utk yg berusaha

Tinggalkan Jawapan kepada naman Batal balasan