Skip to content

Warden dimarahi

Januari 9, 2010

Semasa aku menjadi warden asrama (1987 – 1991) aku membuat peraturan bahawa semua penghuni asrama mesti solat berjemaah bagi waktu subuh dan maghrib. Solat waktu yang lain bolehlah dibuat bersendirian atau berjemaah. Walau bagaimana pun solat berjemaah sangat diutamakan. Peringatan diberikan dari masa ke masa kepada semua penghuni asrama agar mematuhi peraturan ini.

Setiap selepas solat subuh dan maghrib aku akan menyampaikan tazkirah selama 10 ke 15 minit. Tazkirah itu dibuat berdasarkan beberapa kitab termasuklah kitab Tanbihul Ghafilin dan Riadhus Solihin. Aku buat perkara ini semata-mata mendidik anak-anak yang menjadi penghuni asrama supaya menjadi manusia yang tahu, faham dan patuh kepada perintah Allah SWT. Oleh itu sesiapa yang tidak berjemaah bagi kedua-dua waktu solat ini akan menerima hukuman.  Hukuman yang terakhir ialah murid itu akan dibuang asrama.

Bukan mudah untuk mengasuh anak-anak yang datang dari berbagai latar belakang kehidupan ini. Mengajak mereka bersolat jemaah maghrib agak mudah berbanding mengajak mereka untuk bersolat jemaah subuh. Terdapat bebagai tektik untuk memonteng solat subuh berjemaah. Antaranya bersembunyi dalam loker (almari), bersembunyi di atas siling, bersembunyi bawah katil, balik pintu, terjun dari tingkat satu ke belakang asrama dan berbagai-bagai cara yang mereka boleh fikir dan buat. Ini cerita penghuni lelaki.

Bagi penghuni perempuan pula ada satu kaedah yang biasa digunakan iaitu mengatakan bahawa mereka ‘datang bulan’. Tetapi tektik ini tak lama bertahan kerana warden perempuan juga ada kaedah tersendiri. Kalau alasan itu meragukan, warden perempuan akan memeriksa bahagian tertentu untuk mempastikan kebenarannya. Betul ke ada haid keluar… Akibatnya selepas seorang dua yang kena tangkap berbohong yang lain sudah tidak berani lagi. Selesai masalah.  Hebat kan!!!

Seorang penghuni lelaki selalu ditangkap kerana tak solat subuh berjemaah. Kali pertama dia sembunyi dalam almari. Dia diberi nasihat dan amaran pertama. Kali kedua dia kata sakit perut. Pagi esoknya kes dia dirujuk ke kelinik kesihatan berhampiran. Kata pegawai perubatan yang memeriksa, murid ini tak sakit apa-apa. Dia mengaku berbohong. Dia diberi amaran kedua dan nasihat. Kali ketiga dia ditangkap di kedai roti canai ketika orang lain sedang mendengar tazkirah. Orang yang menangkap penghuni ini ialah Pengetua sendiri. Akibatnya dia dibuang asrama. Sepucuk surat kepada ibubapanya menyusul menerangkan mengapa murid itu dibuang asrama.

Menghukum pembuangan seseorang penghuni asrama adalah mudah berbanding membuang seseorang murid dari sekolah. Membuang seseorang penghuni asrama tidak memerlukan banyak prosedur berbanding berbagai proseduryang perlu disediakan untuk membuang seseorang murid dari sekolah kerana kesalahan yang dikategori sebagai kesalahan Kumpulan A.

Akibat dari kes pembuangan murid itu bapanya datang bertemu aku dengan marah-marah. Berbagai kata keji dan nista dihemburkan kepada aku dan penyelia asrama. Ketika itu di dalam bilik itu hanya aku dan penyelia asrama sahaja yang ada. Antara kata-kata yang dikira lembut yang ditujukan kepada aku ialah, “Takkanlah kerana tak sembahayang subuh boleh buang asrama.”

Sebenarnya sedari awal penjaga itu datang dengan marah-marah aku hanya berdiam diri sahaja. Orang tengah marah jangan disahut kemarahannya. Jangan mencurah minyak dikala api sedang membakar. Sambil bersabar itu aku merangka jawapan. Takdirnya di bawah cermin atas meja aku tertulis satu hadis tentang solat. Oh… ini satu modal untuk aku berbicara nanti. Aku bersedia. … Orang yang sedang berbicara kalau tidak ditingkah (jawab) kata-katanya akan menjadikan dia kehilangan modal untuk berkata-kata. Itulah tektik aku.

Setelah mati kata-kata dari mulutnya aku tanya si bapa itu. “Dah habis?..” Dia tergamam dan terus diam. Aku beri tahu kepadanya bahawa ini giliran aku untuk bercakap dan minta dia diam dan dengar. Lagi tergamam!!!. Pertama aku minta si bapa itu membaca maksud hadis yang tertulis di bawah cermin atas meja aku. Hadis yang dimaksudkan ialah:

Diriwayatkan oleh Al Hakim dan Abu Daud daripada Abdullah bin Amru bin Al Ash r.a. daripada Rasulullah saw: “Suruh anak-anak kamu bersolat, apabila mereka mencapai usia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana tidak bersolat apabila mencapai usia sepuluh tahun dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.”

Selang beberapa ketika aku bertanya si bapa, “Masa anak ini berumur tujuh tahun dulu pernah suruh dia besembahayang?  Ketika dia tidak bersembahayang semasa darjah empat dahulu adakah awak pukul dia? Kini umur dia sudah empat belas tahun sampai tanggung jawab itu kepada saya. Oleh itu saya jalankan tanggung jawab bagi pihak awak. Tetapi awak datang dengan marah-marah kepada saya.”

Suasana menjadi sunyi… hanya aku perasan air mata mengalir dan menitis dari kelopak mata si bapa. Kemudian dia minta maaf kepada kami dan minta diri. Selang dua hari selepas itu dia datang berjumpa Pengetua merayu untuk diterima semula anaknya mendiami asrama. Selepas dua minggu dibuang asrama kami terima semula penghuni itu dengan satu surat perjanjian yang ditanda tangani oleh kami warden dengan si anak juga bapanya. Perjanjian disaksikan oleh seorang wakil AJK PIBG sekolah.

Aku kira aku telah bertindak dengan betul, dengan keadaan sabar tanpa emosi. Alhamdulillah aku mendapat hasil yang baik serta aku dapat berperanan sebagai seorang guru yang melaksanakan tanggung jawab sebagai pendakwah. Ini aku kira dakwah “bil hal”. Bukan sekadar bercakap tetapi berbuat.

Kini aku sudah tidak jadi warden lagi malah sudah bersara, si anak itu sudah besar, si bapa pula selalu aku jumpa di pasar minggu (pekan sahari, hari Ahad). Setiap kali bersua si bapa akan cepat-cepat menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku menghormati beliau kerana beliau lebih tua dari aku. Kini hanya aku dan dia sahaja yang mengetahui peristiwa yang ditera di atas kerana penyelia asrama yang berkenaan sudah kembali kerahmatullah.

Sesungguhnya pengalaman bertembung dengan orang sedang marah seperti di atas banyak membantu aku mengawal kaedaan dan suasana ketika berhadapan dengan detik-detik cemas semasa menjadi guru dan Pengetua satu masa dahulu. Pengalaman adalah kelas yang memupuk kematangan. Sekian TK.

3 Komen leave one →
  1. cgfizik permalink
    Januari 9, 2010 7:57 pm

    Tindakan tuan memang betul. Walaupun saya tak pernah jadi warden asrama, tetapi hampir sepanjang hidup persekolahan saya tinggal di asrama. Yang saya tahu sehingga hari ini, kalau lah tiada warden asrama, tiada siapa lagi akan membimbing kita. Hidup di asrama meninggalkan ayahanda dan bonda di kampung, warden lah pengganti mereka. Kepada semua warden saya yang masih hidup atau meninggal dunia….. semuga Allah berkati dan rahmati segala usaha yang telah mereka curahkan.

    Bukan mudah menjaga anak orang yang ramai. Seorang warden kena jaga 50 orang penghuni…. Tapi tumpuan utama yang saya fikir nak buat ialah mengasuh para penghuni ini menjadi insan yang beriman, berbakti kepada kedua ibu bapanya, sedar diri dan belajar bersungguh-sungguh.

  2. Ninie permalink
    Januari 9, 2010 9:32 pm

    bijaksana sungguh tindakan tu. Thumb up.

    Ada beberapa pengalaman lain yang digunakan ketika bertemu dengan detik-detik cemas semasa bertugas sebagai guru. Sebenarnya perkara beginilah yang hendak dikongsi dengan semua orang….

  3. Januari 11, 2010 8:27 am

    Alberangque,
    Assalamualaikum,

    “pengalaman ialah guru paling setia!”

    Namun yang lebih penting ialah tindakan yang baik itu akan terus meninggalkan kesan yang baik juga.

    Semoga guru-guru masa kini dapat memanfaatkan pengalaman mantan-mantan guru yang dipaparkan dalam tulisan…. Diharapkan juga guru-guru tidak segan meminta pandangan dan pendapat para mantan guru…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: