Skip to content

Tanda Cinta

Mac 4, 2010

Riuh rendah umat Melayu Islam membuat sambutan Maulidur Rasul sepanjang bulan Rabbiul Awal. Bertelagah sekumpulan Melayu di Pulau Mutiara kerana kononnya tiada perarakan dalam sambutan itu. Bertempik sorak marah mereka kepada pemimpin negeri itu yang tak buat perarakan itu. Walau pun ketika itu negeri berkenaan belum membuat apa-apa keputusan. Saja mereka nak heboh, konon merekalah pencita Rasul yang unggul. Dalam kes serupa terdapat tiga negeri lain yang memang tak buat perarakan, memang tiada dalam perancangan. Perlis buat sambutan Maulidur Rasul tanpa perarakan, Pahang dan Johor begitu juga. Apakah tidak bertempik sorak gerombolan ini.

Apakah tanda cinta kita kepada Rasulullah? Apakah sekadar seronok dengan berarak ketika Maulidur Rasul sahaja? Apakah yang disyariatkan berkaitan Maulidur Rasul ini?

Rasulullah SAW itu adalah qudwah hasanah (contoh teladan yang terbaik). Rasulullah SAW itu telah dididik oleh Allah SWT. “Aku dididik oleh Ar Rabbi (Allah) dengan pendidikan yang terbaik.” Semenjak dari zaman bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga ke umur 40 tahun ketika menerima wahyu pertama, Allah SWT mengasuh, mendidik, memandu dan menjaga semua tindak tanduk, laku perbuatan dan kata bicara sehingga masyarakat Arab Makkah ketika itu menggelarkan baginda Al Amin. Oleh itu kalau kita cinta Rasulullah SAW maka hendaklah kita mendidik dan mengasuh remaja dan belia di negara ini mengikut kaedah yang dilalui oleh Rasulullah SAW.

Banyak bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan. Banyak aktiviti yang boleh dibuat berdasarkan sirah Rasulullah SAW. Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan hendaklah mengambil panduan dari Sirah Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak murid mereka. Belia melalui aktiviti persatuan mereka hendaklah mengadakan program mendalami sirah Rasulullah SAW. Sesudah difahami sirah barulah boleh dihayati didalam penghidupan. Apakah persatuan belia seperti MAYC atau 4B membuat program pemahaman terhadap sirah Rasulullah ini. Bagaimana pula dengan belia FELDA ada buat ke program memahami sirah ini. Kalau sekolah dan pertubuhan belia sampai ke hari ini tak buat program yang berterusan dengan istiqamah atau sepanjang masa tentang pemahaman sirah Rasulullah SAW ini maka tak ada maknanya buat perarakan besar-besaran setiap tahun secara bermusim. Perarakan sahaja tidak akan memberi keinsafan dan sebagi semarak tanda cinta kepada Rasulullah SAW.

Kalau perarakan itu tanda gembira kita tentang kelahiran Rasulullah SAW, kita perlu ingat dua perkara. Pertama, 12 Rabbiul Awal itu bukan sahaja tarikh lahir Rasulullah SAW tetapi itu juga tarikh Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar sampai ke Madinah dari Quba’ semasa hijrahtur Rasul dan tarikh itu juga tarikh Rasulullah SAW kembali ke rahmatullah (wafat). Mungkin kita wajar gembira apabila Rasulullah sampai ke Madinah ketika hijrah tetapi apakah wajar kita berteriak gembira ketika tarikh Rasulullah SAW wafat?

Kedua, antara yang paling gembira ketika Rasulullah SAW lahir ialah bapa saudaranya, Abu Lahab dan orang-orang Yahudi. Tanda gembira Abu Lahab ialah beliau memerdekakan seorang hamba dan membuat kenduri menyembelih 100 ekor unta menjamu penduduk Makkah. Apakah cinta kita kepada Rasulullah SAW seperti cinta Abu Lahab yang bergembira apabila Rasulullah SAW lahir tetapi semua ajaran Rasulullah SAW ditentang. (Memang ramai umat Melayu berbuat seperti Abu Lahab). Orang-orang Yahudi memang mengenali peribadi Rasulullah SAW sebelum baginda lahir, kerana penjelasan tentang kedatangan Nabi akhir zaman itu tercatat dalam Kitab mereka. Mereka gembira kerana Nabi terakhir sudah lahir tetapi selepas itu merekalah penentang ajaran Rasulullah SAW. (Memang ramai juga umat Melayu yang berperangai seperti orang-orang Yahudi ini, masa kini)

Pertubuhan sama ada Pertubuhan Bukan Kerajaan, Badan Kerajaan atau parti politik hendaklah berusaha memberi kefahaman kepada ahlinya tentang sirah Rasulullah SAW sepanjang masa, setiap minggu sehingga ahli tahu, faham dan dapat menghayati sirah Rasulullah SAW. Inilah tanda cinta kepada Rasulullah SAW. Kalau buat secara bermusim sahaja itu tandanya mengada-ngada bukan cinta sebenarnya. Takut-takut jadi geng Abu Lahab, Abu Jahal dan pengikut Yahudi.

Apa kesan sambutan Maulidur Rasul pada kehidupan sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umah? Melihat kepada kegawatan yang menghiasi kehidupan umat Melayu Islam ketika ini, nampaknya perayaan yang dibuat secara bermusim sebelum ini, tidak memberi bekas kepada umat Melayu.  Oleh itu menjadi kewajipan kepada para pemimpin disetiap peringkat untuk membuat rancangan bagi mendidik umat kepada penghayatan tauladan dari Rasulullah SAW itu.

Cinta mesti ada tanda. Tanda yang paling asas bagi sebuah rumah tangga yang diketuai oleh seorang lelaki bergelar bapa dan dibantu oleh ibu, ialah mendidik anak-anaknya memahami sirah Rasulullah SAW. Oleh itu setiap rumah orang Islam khususnya di Malaysia ini mesti mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Al Quraan terjemahan (kalau boleh Kitab Tafsir Al Quraan) dan sebuah buku Sirah Rasulullah SAW dan sebuah buku hadis. Inilah panduan asas bagi sebuah keluarga Muslim Melayu. Orang Melayu boleh beli TV, boleh langgan Astro tetapi beli kitab Tafsir Quraan, Sirah Nabawiah dan Kitab Hadis tak mampu. Inilah yang pelik, sebab itulah masyarakat Melayu Islam mengalami berbagai peristiwa pelik. 

Adanya kitab-kitab itu bukan sekadar tanda cinta sahaja, tetapi pertamanya kitab itu hendaklah dibaca bersama-sama dalam keluarga itu, kedua dikaji agar difahami dan berusaha mencari jalan untuk mengamalkan ajaran semua kitab itu dalam kehidupan sendiri dan keluarga. Ingatlah kata-kata Imam Hassan al Bana; “Binalah keluarga mu mengikut acuan Islam dan kelak terbinalah Islam dalam masyarakat dan negaramu.” Unit kecil dalam negara ialah keluarga. Kalau semua keluarga dalam negara itu sudah baik pengetahuan, kefahaman dan amalannya maka sejahteralah negara itu. Konsep ini hanya boleh difahami sekiranya seseorang itu mengkaji Al Quraan, Sirah Rasulullah dan Hadis Rasulullah. Sekali lagi diingatkan asas tanda cinta kepada Rasulullah SAW ialah mempunyai dan memahami serta mengamalkan apa yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. 

Konsep asas ini mesti disebarkan, dilaksanakan berulang-ulang kali secara berterusan dan mohonlah pertolongan, rahmat dan hidayah dari Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha memberi pertolongan, rahmat dan hidayah…. Sekian TK.

3 Komen leave one →
  1. Mac 5, 2010 6:20 pm

    saya cukup tersentuh dengan wadah orang kampung “tanda cinta” ,saya mengakui apa yang cikgu perkatakan, masyarakat kita hari ini, menangis-nangis sebab anak-anak gagal dalam pelbagai program idola dan sebagainya , tetapi tidak merasa apa-apa jika anak-anak tidak pergi kelas kafa,atau bangun meninggi hari, tidak rasa malu atau segan langsung pada diri sendiri dan pada Maha Pencipta.Doa saya mohon anak-anak dan kaum keluarga kita sentiasa dalam pemeliharaanNya.

    Orang hari ini tiada wawasan ABADI, yang mereka ada hanyalah wawasan 2020 yang akan sampai 10 tahun lagi. Mereka berdoa ingin bahagia di dunia, bahagia di akhirat dan minta jauh dari api neraka tetapi mereka tidak berusaha ke arah itu. Manusia Melayu Muslim kini ramai terpedaya dengan glamour di dunia tetapi lupa kebahagiaan di akhirat….

  2. Mei 29, 2010 10:19 am

    Ape nak jadi ni?

    Akibat ambil ajaran Islam dan didikan Rasulullah SAW, sebahagaian sahaja dan ambil ikut selera atau untuk keuntungan ekonomi, maka Allah SWT turunkan bala’ kepada umat Melayu Malaysia. Umat Melayu mengalamai berbagai kegawatan sosial masakini. Buatlah kajian berdasarkan Al Quraan dan Hadis tentang perkara ini. Nanti kita akan bertemulah, jawapannya.

  3. Muhammad Abdullah permalink
    Jun 19, 2011 10:42 pm

    Assalamualaikum,masa saya kanak2,ayah saya mengatakan dia pernah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w semasa dia ittikaf ramadan.Saya pun telah bermimpi didatangi Rasulullah s.a.w selepas saya tertidur didalam keadaan menanggisi Rasulullah s.a.w yg dicederakan oleh penduduk Taif..saranan-masjid perlu mengadakan kuliah sirah Rasulullah s.a.w paling tidak 1bln skali.wassalam

    Tahniah kepada saudara kerana telah beroleh sesuatu yang sangat baik, mimpi bertemu Rasulullah SAW. Kuliah tentang sirah Rasulullah SAW memang boleh dibuat, tetapi mungkin tak ramai yang hendak mendengarnya…. Atau mungkin ada Masjid yang tak mampu buat atas berbagai alasan. Sekian TK

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: