Skip to content

Bumi dan Air

Jun 25, 2010

 

Dari Abu Musa Al Asy’ari ra., katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayah petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak; dan terdapat sebahagian daripada tanah-tanah yang keras, yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air sedikit pun, dan tidak menumbuhkan rumput. Demikianlah bandingan orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah, dan bandingan orang yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain, dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu, dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya.” (Riwayat Al Buhari dan Muslim)

Huraian: Rasulullah SAW diutus untuk membawa jalan pimpinan dan petunjuk hidayah serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian baginda membuat perbandingan yang bermaksud:

            Manusia dengan hidayah dan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk yang hidup. Demikian juga halnya manusia, ada diantaranya yang menerima hidayah bersama ilmu dan manfaatnya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, iaitu beramal dengan ilmunya, yang demikian itu adalah sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati. 

                   Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang, dan dengan itu itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman; ia hanya dapat menampung air untuk faedah-faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya  berlaku kepada manusia, ada diantaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya, dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah beramal dengannya atau tidak mahu beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia juga melakukan perkara yang buruk, kerana ia tidak beramal dengan ilmunya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal menurut ilmu yang diketahuinya.

             Diantaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman. Demikianlah pula manusia ada diantaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan, dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat makhluk dan seburuk-buruk makhluk, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam kebaikan, sama ada ilmu pengetahuan atau kemahiran, bahkan ia seperti haiwan, bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.

             Kesimpulannya, tanyalah kepada diri sendiri, dimanakah diri kita berada? Adakah kita manusia golongan pertama, ada ilmu, mengajarkan orang lain dan beramal dengan ilmu itu atau golongan kedua, ada ilmu mengajarkan orang lain ilmu itu tetapi tidak berbuat amal dengan ilmu yang diketahui atau golongan ketiga, tiada ilmu tetapi tidak sedar untuk mahu belajar mencari ilmu sehingga menjadi golongan yang tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Sama-samalah kita memperbaiki diri kita supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW demi untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Wallah wa’lam.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: