Skip to content

Diambang Ramadhan

Ogos 8, 2010

Daripada Abi Hurairah, katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Barang siapa puasa Ramadhan dan mendirikan dia dengan percaya dan menuntut pahala, diampun baginya barang yang dahulu daripada dosanya. Dan barang siapa berdiri pada malam Qadar dengan percaya dan menuntut pahala, diampun baginya barang yang dahulu daripada dosanya.”

 Hadis ini menegaskan tentang tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika menjelang Ramadhan iaitu; berpuasa wajib waktu siang hari dalam bulan Ramadhan, mendirikan malam sepanjang bulan Ramadhan serta berjaga malam untuk beribadat pada malam Lailatul Qadar. Melaksanakan ketiga-tiga perkara ini dengan keyakinan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT akan menyebabkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sebelumnya akan diampun oleh Allah SWT. Bagi dosa-dosa yang termasuk dalam dosa-dosa besar keampunan hanya akan diperolehi melalui taubat. Sekiranya dosa itu berkait dengan orang lain maka kemaafan dari orang berkenaan diperlukan sebelum dosa dapat diampunkan.

Berpuasa disiang hari sepanjang Ramadhan: Imam Ghazali membahagikan puasa ini kepada tiga tingkat iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus dari khusus. Puasa umum adalah mencegah perut dan kemaluan dari memenuhi keinginannya atau berpuasa dengan mencegah dari melakukan perkara yang membatalkan puasa sahaja. Puasa khusus ialah puasa yang mencegah pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan anggota tubuh yang lain daripada membuat dosa. Puasa khusus dari khusus pula ialah puasa hati daripada segala ingatan dan cita-cita hina dan pemikiran duniawi serta sentiasa mengingati dan patuh kepada Allah SWT dan tidak kepada yang lain. Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa amalan puasa itu melibatkan aspek jasmani dan aspek rohani. Aspek jasmani ialah melibatkan perkara yang berkait dengan makan, minum, sahwat serta perlakuan panca indera atau deria seperti penglihatan, pendengaran serta perbuatan lidah. Aspek rohani melibatkan pemikiran, ingatan, cita-cita, lintasan di minda, imejinasi dan perkara yang seumpama dengannya.

Mendirikan malam sepanjang Ramadhan: Kalau diwaktu siangnya adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa maka pada waktu malamnya hendaklah membanyakkan solat sunat, berzikir serta membaca Al Quraan. Oleh kerana solat sunat Tarawikh hanya ada dalam bulan Ramadhan maka hendaklah kita berazam untuk membanyakkan rakaat solat sunat Tarawikh tahun ini. Kita juga digalakkan membanyakkan solat-solat sunat yang lain seperti tahajud, witr, hajat, tasbih, solat sunat rawatib dan sebagainya. Pasangkan tekad untuk membaca Al Quraan sehingga khatam sekurang-kurang sekali sepanjang Ramadhan akan datang ini. Biasanya umat Islam di Malaysia ramai mendatangi jemaah di masjid atau surau di awal Ramadhan tetapi semakin lama semakin kurang, ini merupakan amalan yang tidak betul dalam menglalui latihan Ramadhan. Ramai juga yang bersolat tarawikh sekadar lapan rakaat sahaja walau pun masjid membuat dua puluh rakaat ini juga mengurangkan peluang melakukan solat sunat sepanjang Ramadhan.

Baribadat di malam Lailatul Qadar: Malam yang lebih baik dari 1000 bulan yang hanya ada dalam bulan Ramadhan sahaja. Kelebihan malam ini hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Beribadat dengan ikhlas pada malam ini akan diberikan ganjaran lebih baik dari 83 tahun tiga bulan. Biasanya umat Nabi Muhammad SAW umurnya sekadar 63 tahun. Oleh itu peluang yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk membantu kita menyamai ibadat umat yang terdahulu yang panjang usianya wajarlah disahut dengan berusaha sepanjang Ramadhan atau sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Dapat beribadat pada malam Lailatul Qadar sangat bermakna dalam hidup kita. Dengan itu sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkannya. Wallah wa’lam.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: