Skip to content

PUASA MEMBENTUK SIFAT TAKWA

Ogos 28, 2010

Teks ini dipetik daripada Tafsir Al Munir Juz 2 (mukasurat 168 -170), ketika pengarangnya  (Dr Wahbah al Zuhaily) membuat tafsiran ayat 183 dan 184 surah Al Baqarah.

1.  Puasa mendidik perasaan takut kepada Allah SWT; baik ketika keseorangan mahu pun di hadapan orang lain. Lebih-lebih lagi ketika berpuasa, tiada orang lain yang memerhati melainkan Allah SWT. Apabila seseorang yang berpuasa merasa lapar dan dahaga, terutama ketika terhidu bau makanan yang menyelerakan, maka dia dikawal oleh iman dan rasa takut kepada Allah SWT agar tidak melanggar pantang larang puasa. Demikian juga apabila dia dirangsang untuk mengikut syahawatnya, dia akan tertingat kepada ibadah yang sedang dilakukan. Rasa takutnya kepada Allah SWT akan menghalangnya dari mengikut selera nafsunya. Dia merasa malu kepada Tuhan dan sedar bahawa Allah SWT sedang memerhatikannya. Oleh itu, dia segera insaf dan bertaubat. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT surah al A’raf  ayat 201 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila meraka di rasuk oleh gerombolan Syaitan, mereka segera ingat dan terus sedar (insaf)”

Antara kelebihan berpuasa yang terbesar dari sudut rohani ialah bahawa orang yang berpuasa akan berharap semata-mata kepada balasan Allah SWT, justeru ia berpuasa khusus keranaNya.

2.  Puasa mengekang gelogak syahwat. Ia mengurangkan pengaruh runtunannya, oleh itu orang yang berpuasa akan berada di tahap sederhana. Nabi SAW pernah mencadangkan kepada para sahabat yang belum berkahwin kerana tidak mampu berbuat demikian agar berpuasa. Seperti mana yang diriwayatkan oleh beberapa perawi hadith daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW berpesan, yang maksudnya; 

“Sesiapa yang tidak mampu ia hendaklah berpuasa, kerana puasa itu                adalah benteng baginya.” [Yakni ia boleh mengekang  gejolak sahwatnya]

Baginda juga bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i daripada Mu’az

“Puasa adalah perisai.” [Yakni puasa mencegah seseorang dari melakukan    maksiat]

3. Puasa mendidik sifat kasihan belas terhadap golongan kurang bernasib baik. Latihan ini akan membiasakan seseorang itu dengan budaya suka membantu orang susah. Apabila merasa lapar, dia akan teringat nasib fakir miskin yang tidak ada sebarang makanan. Inilah sifat yang dijelaskan dalam firman Allah SWT, surah al Fath, ayat 29 bermaksud;

“[Sifat orang-orang beriman itu] saling kasih mengasihi antara satu dengan      lain.”

4.  Ibadah puasa meletakkan orang kaya dan miskin, juga golongan atasan dan golongan bawahan pada tahap yang sama dalam aspek perlaksanaannya. Puasa menobatkan makna atau nilai persamaan sesama manusia. Ini adalah antara kesan sosial puasa yang positif.

5.  Puasa juga mengajar disiplin diri yang dapat dilihat ketika banguan bersahur dan berbuka. Dalam masa yang sama, ia melatih seseorang itu berjimat cermat dalam berbelanja seandainya ia mematuhi etika berpuasa. Disiplin pengurusan masa di didik melalui tepatnya masa berbuka puasa.

6.  Puasa menyihatkan tubuh badan, membebaskan jasad dari zat-zat yang memudha-ratkan, merehatkan anggota badan, menguatkan ingatan, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu memusatkan fikirannya dan mengosongkan fikiran dari terlalu memberi tumpuan kepada keselesaan jasad. Hal ini dinyatakan dalam hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Na’im daripada Abu Hurairah ra., bahawa baginda bersabda: (Bermaksud)

             “Berpuasalah agar kamu menjadi sihat.”

Lumrahnya, kesan ini dapat dirasai selepas tiga atau empat hari berpuasa, iaitu selepas seseorang itu membiasakan diri berpuasa; di samping melazimkan diri dengan aktiviti di peringkat awal puasa. Semua faedah ini terhasil jika seseorang berbuka dan bersahur dengan juadah yang ala kadar. Makanan berlebihan mengakibatkan penyakit dari gangguan kesihatan disebabkan proses pencernaan yang tidak sempurna.

7.  Selain itu, kita juga dituntut agar menjaga lidah dan mata, disamping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang haram dan melekakan. Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah: (Bermaksud)       

“Sesiapa yang tidak mencegah diri dari berkata dusta dan beramal dengan  (persaksian) dusta, maka Allah tidak perlu (tidak menerima) kepada  perbuatannya tidak makan dan minum (puasa) kerana Ku (Allah).”

Kadang kala terdapat orang yang berpuasa, tetapi ia hanya dapat merasa lapar dan dahaga sahaja. Justeru itu, menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari sudut rohani dan maknawinya adalah dituntut, selain dari menahan diri dari perkara-perkara lahir yang membatalkan puasa.

Mudah-mudahan dengan mengamalkan saranan dari perkara di atas akan membolehkan kita semua beroleh takwa. Insya Allah.

Advertisements
No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: